Selasa, 10 Mac 2015

My Dream Husband - Bab 7





“BUAT permulaan, aku nak bagi makanan ni pada dia. Pak cik google tu kata, kalau nak pikat hati lelaki kena ikat dia dengan air tangan kita,” kata Zafira kepada dirinya sendiri.
Beg kertas di tangan diperhati penuh minat. Diintai isi di dalam beg itu dan tersenyum. Bekas makanan berisi spagheti hasil air tangannya cantik terletak di dalam bekas itu. Tidak sabar untuk mendengar komen Iqwan sewaktu memakannya nanti.
“Assalamualaikum, cik!” tegur Zafira kemudian.
Haniza mengangkat muka. Wajah Zafira menyapa mata.
“Encik Iqwan Hafiz ada?” Ramah Zafira bertanya. Senyuman diberikan kepada gadis itu.
“Encik Iqwan?” ulang Haniza, berkerut dahi.
Wajah Zafira diperhati penuh minat. Seperti pernah melihat gadis itu. Adakah gadis yang sama beberapa hari yang lepas?
“Cik!” tegur Zafira tatkala menyedari gadis di hadapannya itu seakan termenung.
“Oh, maaf. Nak jumpa dengan Encik Iqwan ya.”
Zafira mengangguk dan tersenyum.
“Sebentar, saya beritahu pada Encik Iqwan. Cik duduk dulu. Nanti saya panggil.”
“Terima kasih.”
Haniza tersenyum. Dia segera menuju ke bilik Iqwan. Otaknya ligat berfikir. Siapa gadis itu? Apa hubungan gadis itu dengan Iqwan?
Belum pernah lagi dia melihat Iqwan keluar bersama dengan mana-mana gadis. Girlfriend jauh sama sekali. Bosnya itu suka menghabiskan masa dengan kerja.
Zafira hanya memandang. Kemudian, dilabuhkan duduk di sofa sambil melilaukan mata. Memerhati keadaan pejabat itu. Cantik dan teratur.
“Cik!” tegur Haniza kemudian.
“Macam mana?” tanya Zafira tidak sabar.
“Encik Iqwan ada tetamu sekarang. Dia minta cik tunggu di sini sehingga dipanggil.”
“Oh! Baiklah kalau dah macam tu. Saya tunggu kat sini sajalah.”
Haniza sekadar mengangguk. Dia segera menuju ke meja kerjanya semula. Hatinya masih lagi tertanya-tanya. Siapa sebenarnya gadis itu?
Zafira melabuhkan duduk semula di sofa. Dikerling jam buat seketika. Masa baru merangkak ke angka dua belas tengah hari. Kedatangannya ke pejabat Iqwan sudah diberitahu kepada Aqil. Hanya bantahan yang diterima daripada abangnya itu. Namun, dia tidak peduli asalkan dia dapat meneruskan rancangan memikat Iqwan.
Zafira menghela nafas ringan. Disandarkan tubuh ke sofa sambil berfikir. Apa yang difikirkannya itu dia sendiri tidak tahu. Adakah Iqwan yang sedang bermain di minda? Senyuman malu terukir di bibir. Tidak sabar untuk berjumpa dengan Iqwan.


“KALAU kau tak suka sekali pun, janganlah buat dia macam tu. Cuba letakkan diri kau kat tempat dia,” tegur Khairil kurang senang.
“Suka hati aku la nak buat apa. Yang kau tak puas hati ni, kenapa?” bentak Iqwan, keras.
Khairil menggelengkan kepala. Kedegilan Iqwan sukar untuk dilawan.
“Menyusahkan! Hidup aku jadi kucar kacir, kau tahu tak?”
“Menyusahkan? Maksud kau? Aku tak nampak pun dia menyusahkan kau.”
“Memang menyusahkan.”
“Kalau dia menyusahkan kau, kenapa kau tak berterus-terang saja pada dia?”
“Perempuan macam tu, bukannya dia faham. Selagi tak dapat, selagi itulah dia akan dapatkan.” Iqwan mendengus keras.
Ketawa kecil Khairil mendengarnya.
“Apasal kau ketawa?” tegur Iqwan kurang faham.
“Sebenarnya kau suka dia kacau kau, kan?” usik Khairil seraya mengangkat kening.
“Mengarut!” tukas Iqwan, serius.
“Sudahlah Wan. Bukannya aku tak kenal dengan kau. Kita berkawan dari sekolah lagi. Selepas keluarga aku meninggal disebabkan kemalangan, keluarga kau ambil aku jadi anak angkat. Segala sikap dan perangai kau, dah sebati dalam diri aku ni,” jelas Khairil, nyata.
Kenangan lama menggamit memori. Ucapan terima kasih meniti di benak hati. Terima kasih kepada keluarga Iqwan kerana sudi mengambilnya sebagai anak angkat memandangkan dia tidak mempunyai sesiapa dalam dunia ini.
Ibu dan ayahnya merupakan anak tunggal dalam keluarga. Adik lelakinya meninggal dalam kemalangan yang sama. Hanya doa yang mampu diberikan agar roh keluarganya dicucuri rahmat dan berbahagia di alam sana.
“Yang pasti, aku tak suka minah sengal tu. Faham!” putus Iqwan bingkas bangun dari duduk. Dibawa langkah menuju ke muka pintu bilik. Dia perlu berhadapan dengan gadis itu.
“Kau nak ke mana?” tanya Khairil, ingin tahu.
“Halau minah sengal tu.” Selamba Iqwan berkata. Seminit kemudian, kelibatnya hilang dari pandangan mata Khairil.
Khairil yang mendengar berkerut dahi. Dia mengekori Iqwan daripada belakang. Ketawa kecil terlepas daripada bibir. Geli hati memikirkan perangai Iqwan.


“MACAM mana? Sedap tak?” tanya Zafira tidak sabar.
Iqwan tidak membalas. Mulutnya mengunyah spagheti yang dimasak oleh Zafira. Mahu tidak mahu, terpaksalah dia menelan walaupun dalam hati dia membentak hebat.
“Macam mana?” tanya Zafira lagi. Matanya memandang wajah Iqwan.
“Okeylah!” jawab Iqwan, sepatah.
Zafira tersenyum mendengar jawapan Iqwan. Ucapan syukur meniti di benak hati.
“Terima kasih!” ucap Zafira kemudian.
Iqwan berkerut dahi. Kurang faham makna ucapan itu.
“Sebab awak sudi makan masakan saya,” jelas Zafira melihatkan wajah berkerut Iqwan.
“Dah kau paksa aku makan, nak tak nak makan sajalah,” balas Iqwan, selamba.
Zafira tersentak. Wajah selamba Iqwan ditatap. Walaupun dia terasa dengan kata-kata Iqwan sebentar tadi, dibuang jauh-jauh perasaan itu.
“Tak apalah. Saya dah cukup bersyukur kalau awak nak makan walaupun kerana terpaksa,” ujar Zafira lalu tersenyum.
Iqwan mencebik. Kata-kata yang keluar daripada mulut Zafira buat endah tak endah sahaja. Dikerling jam di pergelangan tangan. Masa sudah merangkak ke angka dua petang.
“Aku nak balik office. Dah lambat ni,” beritahu Iqwan bingkas bangun.
“Ha… nak balik dah ke?” soal Zafira turut sama bangun.
“Aku ada kerja. Syarikat tu perlukan aku. Lain la kau. Duduk goyang kaki. Abang kau tu yang uruskan syarikat,” kata Iqwan bernada sindiran.
Tanpa menunggu, dia segera beredar dari situ. Rasa rimas berhadapan dengan Zafira. Kenapa dia dijadikan sasaran gadis itu? Kenapa dia yang dipilih?
Zafira hanya memandang. Kata-kata sindiran Iqwan tidak dipedulikan.
“Encik Iqwan!” panggil Zafira sambil cuba mengejar langkah Iqwan.


DEAR My Dream Husband,

Hari ini saya happy sangat sebab awak sudi temankan saya. Terima kasih awak!

                                         Your Future Wife – NZS

Zafira menutup diari hitam miliknya. Senyuman terukir di bibir. Peristiwa siang tadi bermain-main di minda. Sungguh, dia berasa gembira tatkala bersama dengan Iqwan.
Walaupun dia tahu Iqwan tidak senang dengannya, dia tidak peduli dengan semua itu. Yang pasti, dia akan cuba memikat hati Iqwan. Dia yakin, Iqwan akan jatuh cinta dengannya suatu hari nanti.
Telefon bimbit dicapai dari atas meja. Nombor Iqwan dicari lalu mendailnya dan menanti panggilan berjawab.
“Encik suami!” ujar Zafira, tersenyum.
“Kau nak apa?” tanya Iqwan dari hujung talian.
“Encik suami tengah buat apa? Mimpikan bakal isteri ke?” Zafira sekadar mengusik.
“Boleh tak kau jangan nak berangan? Aku nak tidur ni,” rengus Iqwan.
Ketawa kecil Zafira mendengarnya. Kemarahan Iqwan buat endah tak endah sahaja.
“Kau nak apa?” ulang Iqwan pada pertanyaannya yang tadi.
“Nak encik suami!” Selamba Zafira membalasnya.
Iqwan mendengus kasar. Sikap Zafira menguji kesabarannya.
“Terima kasih encik suami.”
For what?”
“Sudi keluar dengan bakal isteri.”
Iqwan beriak geli. Geli geleman mendengarnya.
“Lepas ni kita keluar lagi nak?”
“Tak nak!”
“Kenapa?”
“Sebab aku tak suka.”
“Tak apa. Nanti jadi suka.”
“Dahlah! Malas aku nak layan kau. Aku nak tidur,” kata Iqwan, serius. Ada baiknya dia menghentikan perbualan itu. Malas untuk melayan Zafira lagi.
“Okey, encik suami. Mimpikan yang indah-indah. Yang penting, mimpikan bakal isteri yang comel ni,” ucap Zafira, tersenyum malu.
“Jangan nak perasan!” balas Iqwan dan mematikan talian.
Dengusan kasar terlepas daripada bibir. Kenapalah dia boleh berjumpa dengan manusia seperti Zafira itu? Tidak kenal erti malu.
“Huh! Dia ni tak ada perasaan ke? Dah macam-macam aku buat, tapi dia boleh buat-buat bodoh pulak,” kutuk Iqwan sendirian.
Seminit kemudian, bunyi mesej kedengaran dari arah telefon. Ditatap nama di skrin telefon. Nama Zafira yang diset kepada ‘minah sengal’ tertera di skrin.

Selamat malam, encik suami. Bakal isteri masuk beradu dulu dan ikhlas memaafkan segala kesalahan encik suami. J

Terkedu Iqwan membacanya. Dicampak telefon bimbit ke atas katil dan meraup wajah. Terkadang sikap Zafira membuatkan dia rasa bersalah. Gadis itu tidak pernah terasa dengan apa yang telah dilakukannya. Keluhan berat terlepas untuk kesekian kali.


“KENAPA tak makan lagi?” tegur Amylia, lembut.
“Abang tak ada selera, Amy,” jawab Aqil, lemah.
Amylia memandang wajah suaminya. Riak sedih terlukis di wajah itu. Adakah disebabkan Zafira maka suaminya itu beriak sebegitu?
“Abang ingat nak jumpa mak long. Tanya pendapat mak long macam mana,” cadang Iqwan berserta keluhan ringan.
Amylia melabuhkan duduk di sisi Aqil. Dicapai tangan Aqil lalu menggenggamnya erat.
“Abang risaukan Zafira?”
“Fikiran abang tak pernah putus risaukan pasal Zafira.”
“Fira dah besar. Dah boleh fikir sendiri. Abang tak perlulah nak risaukan pasal Fira.”
“Abang tahu Fira dah besar. Dah boleh fikir sendiri. Tapi, abang tetap risaukan dia.”
Amylia menghela nafas ringan. Itulah Iqwan yang sebenar. Suaminya itu seorang yang bertanggungjawab dan penyayang. Seorang abang yang sayangkan adiknya. Kasih sayang yang ditunjukkan oleh Aqil terhadap Zafira mengharukan hati.
Sebab itu juga dia jatuh cinta dengan Aqil. Walaupun Aqil lebih mengutamakan Zafira, dia tidak pernah berasa cemburu. Memiliki Aqil sebagai suami merupakan anugerah terindah dalam hidupnya.
“Abang nak minta pendapat mak long.”
“Amy pun rasa macam tu juga. Abang tanya pada mak long tentang Zafira.”
“Amy ada tanya Fira pasal siang tadi?”
“Ada! Happy saja Amy dengar suara Fira.”
Happy?”
Amylia mengangguk.
“Abang tak yakin Fira happy. Mungkin Fira menyembunyikan rasa di hati. Amy sendiri tahu macam mana sikap Iqwan pada Fira. Walaupun mereka baru berkenalan, abang tengok Iqwan memang tak sukakan Fira,” jelas Aqil, perlahan.
“Baru lagi mereka berkenalan. Dah lama-lama nanti, okeylah,” kata Amylia, memujuk.
“Abang perasan, Amy. Iqwan memang tak sukakan Fira.”
“Kita tengok dulu macam mana. Amy yakin, suatu hari nanti Iqwan akan sukakan Fira.”
Aqil menghela nafas berat. Wajah isterinya ditatap kasih.
“Bukan bererti kita membiarkan sahaja apa yang Fira nak buat. Kita sebagai orang yang lebih tua perlu juga menasihati Fira. Kalau Fira masih boleh dikawal, kita biarkan. Tapi, kalau perkara tu boleh memudaratkan Fira, kita masuk campur. Amy pun tak nak Iqwan sakitkan hati Fira,” terang Amylia dengan penuh tersirat. Berharap, suaminya itu dapat memahami dengan apa yang cuba disampaikannya itu.
“Abang faham, Amy. Abang harap Fira tak berasa kecewa dengan penolakan Iqwan. Maksud abang, sikap dan penerimaan Iqwan terhadap Zafira.”
“Insya-Allah, abang. Kita tengok sajalah dulu. Kalau difikirkan, memanglah nampak Fira yang terhegeh-hegeh dengan Iqwan. Perigi mencari timba. Tapi, zaman sekarang ni orang dah tak pandang istilah tu lagi.”
Aqil cuba merencana penjelasan Amylia. Ada benarnya kata-kata isterinya itu.
“Abang ingat kisah Rasulullah S.A.W. kita dahulu? Siti Khadijah meminang Rasulullah S.A.W.?” tambah Amylia seraya memandang ke wajah Aqil.
Aqil berfikir sejenak. Seminit kemudian, dia menganggukkan kepala tatkala mengingati kisah Rasullullah S.A.W.
“Dahlah! Kita doakan yang terbaik buat Zafira. Amy pun setuju kalau abang nak jumpa dengan mak long. Mungkin mak long ada pendapatnya tersendiri,” ujar Amylia pula.
“Abang pun fikir macam tu. Esok kalau abang ada masa, abang pergi jumpa dengan mak long. Abang harap, mak long boleh bagi pendapat tentang ni,” balas Aqil, menggangguk kecil.
“Insya-Allah. So, dah boleh makan? Penat-penat Amy masak untuk abang, tapi abang tak nak makan. Nak merajuklah macam ni,” kata Amylia sambil menarik muka masam.
Tergelak Aqil mendengarnya. Wajah masam mencuka isterinya ditatap kasih. Seminit kemudian, kucupan kasih diberikan buat Amylia.
“Terima kasih, sayang. Terima kasih untuk segala-galanya,” ucap Aqil, tersenyum.
Amylia turut sama tersenyum. Semoga hubungannya dengan Aqil berkekalan hingga ke akhir hayat. Semoga rumah tangganya sentiasa dilindungi daripada hasad dengki manusia.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan