Jumaat, 28 September 2012

Suara Cinta - Bab 8


BAB 8

“LEEN!” panggil Norziana dari arah ruang tamu.
Nur Edleen menoleh. Senyuman terbias di wajah. Langkah diatur menuju ke ruang tamu. Kelihatan keluarga kak longnya berserta abah dan umminya sedang duduk santai di ruang tamu. Seakan ada perkara yang ingin mereka bincangkan. Adakah perkara itu berkenaan dengan dirinya? Tentang rancangan Haji Marwan untuk menjodohkan dirinya dengan anak kawan baik abahnya itu.
“Ada apa, kak long?” tanya Nur Edleen setibanya di hadapan mereka semua.
“Duduk Leen. Abah ada perkara nak bincangkan dengan Leen,” arah Haji Marwan.
Nur Edleen akur. Dilabuhkan duduknya di sofa bersebelahan Norziana. Wajah abahnya ditatap mesra.
“Leen dah fikirkan permintaan abah dan ummi? Apa keputusan Leen?” mulai Haji Marwan berserta senyuman di bibir.
Nur Edleen hanya menunduk. Kakinya menguis-nguis permaidani di lantai. Jawapan apa yang harus diberikan pada keluarganya. Sungguh, Nur Edleen belum bersedia untuk ke arah itu. Hatinya juga berat untuk bersetuju. Seakan ada sesuatu yang menghalangnya daripada bersetuju.
“Leen kenal dulu dengan dia. Kalau Leen…”
“Leen boleh reject tak?” pintas Nur Edleen dan mengangkat muka.
“Hai, belum jumpa dah reject dulu. Handsome angah, rugi kalau angah tak kenal dengan dia,” sampuk Norziana dan tersenyum.
“Angah tak heranlah kak long. Kalau handsome perangai mengalahkan syaitan, tak guna juga, kan?” bidas Nur Edleen. Sungguh, dia bukanlah seorang yang teruja dengan kekacakan seseorang lelaki. Asalkan sedap mata memandang, jadilah.
“Betul kata kakak kamu tu, Leen. Ada baiknya Leen kenal dulu sebelum buat keputusan. Abah dan ummi dah kenal dengan familynya. Keluarga baik-baik dan terhormat. Jadi, abah nak Leen fikirkan permintaan abah dan ummi,” terang Haji Marwan.
“Ummi pun harap Leen setuju dengan permintaan kami,” sampuk Hajah Norhayati yang sedari tadi hanya membisu dan mendengar.
“Angah, abang long bukan nak menyokong sesiapa. Abang long rasa, ada baiknya angah kenal dulu dengan dia. Kalau angah tak suka, kami takkan paksa angah untuk terimanya,” sokong Khazizul pula.
Nur Edleen menunduk semula. Kata-kata keluarganya antara dengar ataupun tidak. Kenapa dia perlu alami semua ini? Jika dia menolak, seolah-olah dia melukakan hati keluarganya. Jika dia terima, bagaimana dengan perasaannya sendiri?
“Leen naik atas dulu,” pinta Nur Edleen, seraya bangun. Tidak mahu terus-terusan mendengar permintaan dan harapan keluarganya. Hatinya akan sebak tatkala memikirkan perkara itu.
“Leen.. fikir mana yang terbaik buat Leen. Abah dan ummi tak memaksa,” kata Haji Marwan bernada harapan.
Nur Edleen hanya mengangguk. Tanpa membalas, segera dibawa langkah menuju ke tingkat atas. Otaknya serabut memikirkan permintaan keluarganya. Sudahlah masalah Edzuary masih belum selesai, ditambah pula dengan masalah yang lain. Bagai nak gila Nur Edleen rasakan ketika ini. Ya Allah, aku memohon petunjuk dari-Mu, bisik hatinya, sayu.


NUR EDLEEN mengeluh berat. Jam di tangan dikerling buat seketika. Masa sudah menginjak ke angka enam petang. Sebaik sahaja berbual bersama keluarganya dan menunaikan sholat Asar, tidak beberapa minit selepas itu, dia meminta diri untuk keluar. Sekadar untuk mententeramkan perasaan. Sekadar melepaskan lelah yang selama ini membelenggu dirinya. Ingin sahaja dia menjerit, melepaskan tekanan yang dihadapinya waktu ini.
“Arrrggghhhhhh!!!” jerit Nur Edleen sekuat hati. Mujurlah hanya dia sahaja yang berada di puncak itu. Jika tidak pasti dia dicop ‘gila’ kerana menjerit tidak tentu pasal.
“Woi!! Pekak telinga aku dengar kau jeritlah!” marah seseorang dari arah sisi kanan Nur Edleen.
Terkejut Nur Edleen mendengar kemarahan tersebut. Apa yang membuatkan dia lagi terkejut, lelaki yang sedang berdiri di hadapannya itu.
“Kau ingat kau sorang saja ke kat tempat ni, orang lain tak ada,” sindir Edzuary, pedas.
Nur Edleen mengerutkan dahi. Bagaimana Edzuary berada di sini? Hatinya bertanya.
“Kalau tension sekali pun, tak payahlah nak jerit macam orang sasau gila talak. Cuba tarik nafas dan hembusnya perlahan. Motivasikan diri tu sikit,” kata Edzuary seakan menyindir.
“Suka hati saya la nak buat apa,” balas Nur Edleen dan menjeling geram.
“Suka hati saya la nak buat apa,” ajuk Edzuary, mengejek.
Nur Edleen mengepal tangan. Sakit matanya melihat wajah cebikan Edzuary. Jika diikutkan hati, mahu sahaja dia menampar wajah Edzuary itu.
“Malas nak layan lelaki ‘sawan air’ macam awak ni,” kata Nur Edleen dan berlalu pergi.
Edzuary mengerutkan dahi. Sawan air? Dia kata aku sawan air. Hai, ini sudah lebih. Aku tak kata apa-apa kat dia, dia boleh kata aku macam tu, geram Edzuary di dalam hati.
“Awak kata apa tadi?” tanya Edzuary tidak berpuas hati. Langkah diatur dan mengekori Nur Edleen dari belakang.
“Saya tak kata apa pun,” jawab Nur Edleen.
“Awak jangan nak tipu saya Nur Edleen Haji Marwan. Awak kata saya ‘sawan air’, kan?” kata Edzuary, keras.
“Haaa… tak pekak pun. Kalau dah dengar, kenapa nak tanya lagi?” balas Nur Edleen, selamba. Dilajukan langkah agar Edzuary tidak dapat menyainginya. Namun, tidak berjaya. Edzuary tetap melangkah seiring bersama dengannya.
“Saya tak pekak lagi. Suka hati awak saja nak gelar saya ‘sawan air’,” geram Edzuary.
“Mulut saya, suka hati saya la nak cakap apa,” bidas Nur Edleen turut sama keras.
Edzuary mendengus geram. Sakit hatinya mendengar jawapan selamba Nur Edleen. Jika diikutkan hatinya yang panas, ingin sahaja dia menolak Nur Edleen jatuh ke lereng bukit yang curam itu. Baru puas hatinya.
Hisy mamat ni. Tak reti nak blah dari sini ke? Semak mata aku tengok muka dia la, rungut Nur Edleen sendirian. Tanpa membuang masa, dia berlari meninggalkan Edzuary. Cuba untuk melepaskan diri dari Edzuary.
Edzuary yang melihat tersentak. Matanya memandang Nur Edleen yang sedang berlari menjauhi dirinya. “Awak nak ke mana?”
Nur Edleen menoleh. Dijulurkan lidah ke arah Edzuary dan menyambung lariannya. Entah ke mana kakinya melangkah, dia kurang pasti. Berharap, dia menemui tempat yang sesuai untuk mententeramkan hati dan perasaannya.
“Nanti dulu!” arah Edzuary, sebaik sahaja berjaya mengejar Nur Edleen. Tangannya menarik sedikit kasar lengan Nur Edleen.
Terhenti larian Nur Edleen dibuatkan Edzuary. Malah, tarikan Edzuary membuatkan dia terdorong ke belakang. Mujurlah dia dapat menstabilkan kedudukannya, jika tidak, pasti dia akan terjatuh akibat tarikan tersebut. Dengusan kasar terlepas dari bibirnya juga.
“Encik nak apa?” Keras Nur Edleen bertanya. Tajam matanya juga ke muka Edzuary. Hilang sudah panggilan ‘awak’ dan ‘saya’ dari bibirnya. Rasa sakit diperlakukan sebegitu turut menumpang di dalam hati.
Sorry, saya tak sengaja,” kesal Edzuary dan melepaskan pegangan.
Sorry naik lori,” balas Nur Edleen, geram.
Edzuary tertawa. Geli hati mendengar balasan Nur Edleen. “Okey… saya minta maaf kalau saya berkasar dengan awak. Kalau awak tak larikan diri, tak adalah saya buat awak macam tu tadi.”
Nur Edleen mencebik. Ternyata, lelaki di hadapannya itu sukar untuk mengaku bersalah walaupun terang-terangan nampak bersalah. Ego lelaki itu mengatasi segala-galanya. Nur Edleen perlu memikirkan bagaimana untuk melepaskan diri di waktu ini.
“Alasan! Dahlah, malas saya nak layan encik. Dah lewat ni dan saya nak balik,” pamit Nur Edleen. Jam di tangan dikerling buat seketika. Masa sudah menginjak ke angka tujuh.
Aduh! Mesti Zura marahkan aku nanti. Aku dah janji dengan dia nak keluar dinner dengan Azie dan Eka, rungut Nur Edleen sendirian. Langkah diatur, menuju ke tempat keretanya dipakirkan. Namun, langkahnya terhenti tatkala lengannya ditarik kuat oleh Edzuary.
“Awak ni dah lama hidup ke?” marah Edzuary, meninggi. Bergetar suaranya, menahan ketakutan. Mujurlah dia sempat menarik tubuh Nur Edleen, jika tidak, pasti Nur Edleen dilanggar kereta yang dipandu laju sebentar tadi.
Tersentak Nur Edleen mendengar kemarahan Edzuary. Dapat dirasakan tubuhnya dipeluk erat oleh Edzuary. Seakan tidak mahu dilepaskan sahaja. Malah, degupan jantung Edzuary menyapa halwa telinganya. Deras dan laju seperti menahan ketakutan dan kemarahan.
“Saya tak nak awak tinggalkan saya,” luah Edzuary, perlahan seakan berbisik.
Terkedu Nur Edleen mendengarnya. Didongakkan kepala dan memandang tepat ke wajah Edzuary. Sayu hatinya melihat wajah Edzuary ketika itu. Sepertimana hatinya sayu, begitu juga pandangan matanya. Seakan ada kesedihan pada wajah itu.
“Maaf, saya tak sengaja,” lafaz Edzuary sebaik sahaja tersedar akan tindakannya itu. Dileraikan pelukan dan membuang pandang ke arah matahari yang hampir terbenam. Dapat dirasakan matanya mulai berkaca. Peristiwa lima tahun yang lepas menggamit perasaannya kini.
It’s okey. Saya minta diri dulu,” balas Nur Edleen dan berlalu dari situ.
“Saya takut kehilangan awak,” luah Edzuary lagi.
Terhenti langkah Nur Edleen. Dipusingkan badan dan memandang ke arah Edzuary yang sedang menatap matahari terbenam. Hatinya tertanya, kenapa Edzuary berkata begitu? Adakah Edzuary sengaja berkata begitu atau ada sebab yang membuatkan Edzuary bertingkah seperti tadi. Untuk tidak menyesakkan fikirannya, segera dia beredar dari situ.


“AIRNYA, bang,” pelawa Norziana, seraya duduk.
“Terima kasih Ana,” balas Khazizul dan tersenyum. Cawan yang berisi kopi dicapai dan dihirup perlahan. Setelah itu, diletakkan semula di atas meja kecil di hadapan mereka berdua.
“Abang setuju ke dengan rancangan abah dengan ummi tu?” tanya Norziana sekadar ingin tahu. Hatinya tidak tenteram melihatkan riak mencuka Nur Edleen.
“Abang ikut saja Ana. Abang tahu, abah dan ummi buat macam tu demi kebaikan Leen juga,” jawab Khazizul.
“Ana pun fikir macam tu, bang. Kalau abah dan ummi tak buat macam tu, sampai bila-bila pun Leen akan bersendirian. Apa yang merisaukan abah dan ummi, kalau Leen teringatkan kisah lima tahun yang lepas,” luah Norziana, sebak.
“Leen ada hak untuk ingatnya, Ana. Kita tak boleh nak halang kalau itu dah ketentuan Allah. Selama ini pun, Leen hanya ingat tentang kemalangan tu sahaja.”
“Ana bukan apa bang, Ana tak nak Leen tertekan dengan permintaan abah dan ummi. Abang kan tahu yang Leen tak boleh tertekan. Selama setahun kita berubatkan Leen dan bila Leen dah benar-benar pulih, kita semakkan fikiran dia balik.”
Khazizul menarik nafas berat. Matanya memandang sayu wajah Norziana. Ada benarnya kata-kata isterinya itu. Selama setahun mereka berusaha menyembuhkan penyakit Nur Edleen. Selama setahun itu juga mereka terpaksa menahan perasaan melihat kebisuan dan kemurungan Nur Edleen. Sungguh, tidak tertanggung hatinya melihat keadaan Nur Edleen ketika itu. Hanya iringan doa yang dapat diberikan buat Nur Edleen.
“Insya-Allah, sama-samalah kita berdoa agar Leen terima cadangan abah dan ummi. Ana sebagai kakak, kena banyak mainkan peranan. Pujuk Leen secara halus dan jangan didesak sangat Leen tu. Jika kita pujuk dengan secara halus dan lembut, abang yakin, Leen akan terima cadangan abah dan ummi tu,” kata Khazizul dan tersenyum.
“Insya-Allah bang. Ana akan cuba buat yang terbaik untuk Leen. Ana nak Leen bahagia seperti kita,” balas Norziana turut sama tersenyum.
Khazizul menggenggam erat tangan Norziana. Rasa bahagia kerana memiliki seorang isteri seperti Norziana. Seorang yang memahami dan penyayang. Malah, seorang kakak yang bertanggungjawab terhadap adiknya. Itulah yang membuatkan hatinya terpaut pada Norziana ketika di universiti dahulu. Kini, mereka hidup bahagia di samping Amjad dan Ameera pelengkap hidup mereka berdua.
“Anak-anak kita mana?” tanya Khazizul tatkala menyedari ketiadaan Amjad dan Ameera.
“Kata mereka nak tidur dengan atuk dan neneknya,” jawab Norziana.
“Hurm… bolehlah abang bermanja dengan Ana malam ni,” usik Khazizul dan tersenyum nakal. Keningnya diangkat lagak seperti memujuk.
“Mengada-ngadalah abang ni. Ana nak tengok budak-budak tu kejap,” balas Norziana, seraya bangun. Pegangan tangan Khazizul dileraikan.
“Ala, baru nak bermanja sikit, dah kena tolak. Jangan lama-lama sangat, abang tunggu,” rajuk Khazizul dan memasamkan muka.
Norziana sekadar menggeleng dan tersenyum. Dibiarkan sahaja rajuk suaminya itu dan tidak mahu memujuknya. Jika dipujuk, takut lain pula jadinya. Ada baiknya dia keluar dan memberi ruang pada suaminya untuk memujuk diri sendiri. Jauh di sudut hati, dia bahagia dan bersyukur dengan apa yang dimilikinya ketika ini. Semoga Nur Edleen akan meperolehi kebahagiaan sama sepertinya juga.


“SORRY guys, aku terlambat,” ujar Nur Edleen, kesal.
Ezzura, Eka Farisha dan Azie hanya menjungkitkan bahu. Mata mereka memandang ke wajah Nur Edleen.
Guys, aku bukannya sengaja nak lewat. Aku terkandas dalam jammed tadi,” jelas Nur Edleen, serba salah. Sungguh, bukannya sengaja dia terlewat. Jika bukan disebabkan Edzuary, tidak mungkin dia akan lewat sebegini. Jika mengikut perancangan, dia akan pulang ke rumah sewanya dan bersama-sama dengan Ezzura berjumpa Azie dan Eka Farisha. Tetapi, disebabkan jalan yang dilaluinya terlibat dengan kawasan kemalangan, maka dari itu dia meminta Ezzura pergi terlebih dahulu darinya.
“Kau lewat satu jam, Leen. Lama kami tunggu kau,” rungut Azie.
Nur Edleen menghela nafas berat. Wajah Azie ditatap kasih. Sudah pastilah Azie tidak suka akan kelewatan. Dari dulu sehinggalah sekarang, Azie menitik beratkan soal masa. Sukar untuknya mempersoalkan tentang masa di hadapan Azie.
“Aku tak sengaja, Azie. Jalan yang aku lalui tu terlibat dengan kemalangan. Disebabkan itulah aku terlewat sejam,” jelas Nur Edleen lagi.
“Sudahlah, tak perlulah kita nak bertekak lagi tentang perkara sekecil ini. Benda dah nak jadi, nak buat macam mana, kan?” sampuk Ezzura. Tidak mahu perkara itu dibincangkan terus-terusan. Jika tidak, pasti Nur Edleen akan diceramahkan oleh Azie tentang masa.
“Yalah guys, tak payahlah nak gaduh-gaduh. Yang penting, Leen selamat tiba kat sini,” sokong Eka Farisha yang sedari tadi membisu.
“Okey, aku minta maaf,” ujar Azie, perlahan. Tahu akan kesalahannya itu.
“Okey.. okey… kita pergi pada point penting perjumpaan kita hari ini. Leen, aku nak minta tolong pada kau uruskan sesuatu, boleh?” mulai Ezzura.
“Tolong? Tolong apa?” tanya Nur Edleen, berkerut.
“Boleh tak kau minta bos kesayangan kau tu sponsor program kita ni,” balas Ezzura.
Sponsor? Kau nak aku minta sponsor kat dia? Biar betul Zura? Kau kan tahu perangai dia tu macam mana. Tak berkenan sungguh aku dengan perangai dia tu,” bidas Nur Edleen dan menggeleng. Tidak mungkin dia akan meminta sponsor dari lelaki itu.
“Leen, please. Kau aje yang boleh lembutkan hati mamat tu. Kalau kita tak ada sponsor, macam mana nak uruskan program tu. Kan kita dah janji dengan mereka nak buat,” kata Ezzura bernada pujukan.
“Betul kata Zura tu, Leen. Kalau kita tak ada sponsor, macam mana kita nak jayakan program tu,” sokong Azie.
Nur Edleen mengeluh berat. Mukanya diraup beberapa kali. Otaknya ligat memikirkan permintaan rakan-rakannya itu. Bagaimana untuk berhadapan dengan Edzuary nanti?
“Sebelum ni, kan kita tak pernah minta sponsor. Kenapa kali ini kita perlukan sponsor?” tanya Nur Edleen, perlahan.
“Memang dulu kita tak perlukan sponsor. Tapi, kali ini kita perlukannya Leen. Kos semakin tinggi dan aku pasti, duit kita bertiga pun tak mungkin dapat cover kos yang kita perlukan,” terang Eka Farisha.
“Baiklah, aku akan cuba,” ujar Nur Edleen, mengalah. “Aku nak ke ladies sekejap,” pintanya, seraya bangun.
Thanks Leen!” ucap Ezzura, Azie dan Eka Farisha serentak.
Nur Edleen sekadar mengangguk. Langkah diatur menuju ke ladies room yang terletak tidak jauh dari meja mereka duduki. Otaknya masih berfikir, bagaimana caranya untuk meminta sponsor dari Edzuary? Sudahlah masalahnya belum selesai, ditambah pula dengan masalah yang lain. Makin tertekan Nur Edleen rasakan waktu ini. Kepalanya juga turut berdenyut dengan tiba-tiba. Adakah tekanan yang dialaminya itu memberi kesan pada dirinya semula?
“Kau rasa, Leen boleh ke minta sponsor dari bosnya?” tanya Azie sekadar ingin tahu.
“Insya-Allah, aku yakin Leen akan dapatkan sponsor tu,” jawab Ezzura.
“Kalau tak dapat macam mana?” tanya Eka Farisha pula.
“Kalau tak dapat, kita terpaksa guna plan B la. Macam biasa, masing-masing keluar duit sendiri sikit-sikit, amacam, okey tak?” cadang Ezzura dan mengangkat kening.
“Aku tak ada hal. Nanti aku try tanyakan pada papa aku, kut-kut dia boleh sumbang sedikit. Program yang kita nak buat ni memang perlukan modal yang banyak,” kata Azie.
“Baguslah kalau dah macam tu. Selain kita minta daripada bos Leen, kita minta pada siapa-siapa yang kita kenal,” sokong Eka Farisha dan mengangguk.
Ezzura turut sama mengangguk dan tersenyum. Berharap, program yang mereka rancang akan berjalan dengan jayanya. Program beramah mesra bersama anak-anak yatim telah lama mereka rancangkan. Itulah sumbangan yang mereka boleh berikan kepada anak-anak yatim tersebut. Walaupun program itu biasa sahaja, tapi, bagi mereka berempat, program itu merupakan program yang paling bermakna dalam hidup mereka. Berharap, program tersebut berjalan dengan jaya dan lancar.
“Cik, kawan cik pengsan,” beritahu seseorang menghentikan perbualan mereka bertiga.
“Pengsan!”
Serentak mereka bertiga bersuara dan berdiri. Tanpa berlengah, segera mereka menuju ke arah yang diberitahukan oleh pelayan tersebut. Kerisauan menumpang di hati masing-masing.
“Leen, kenapa ni?” tanya Ezzura bernada risau.
“Dia pengsan, Zura,” jawab Edzuary.
Terkejut Ezzura mendengar jawapan Edzuary. Bulat matanya melihat Edzuary yang sedang memangku kepala Nur Edleen.
“Encik Ary, macam mana encik ada kat sini?” tanya Ezzura, berkerut.
“Saya ada dinner dengan kawan baik saya kat sini. Saya tak tahu pulak awak dan Nur Edleen ada di sini juga,” jujur Edzuary.
“Hurm, kebetulan atau memang berjanji. Macam ada chemistry la encik dengan Leen ni,” komen Eka Farisha dan tersenyum nakal.
Edzuary tersenyum kelat. Dia sendiri tidak tahu kenapa hatinya meronta untuk ke restoran itu. Sebaik sahaja dia beredar dari bukit siang tadi, terus, dia menelefon Aimanuddin untuk berjumpa.
“Macam mana Encik Ary tahu Leen pengsan?” tanya Azie sekadar ingin tahu.
“Saya ke washroom tadi. Sebaik sahaja saya keluar, saya ternampak kelibat Nur Edleen. Belum sempat saya nak tegur, Nur Edleen dah pengsan,” jelas Edzuary, terang dan nyata.
“Ary, macam mana?” tanya Aimanuddin, tiba-tiba.
Serentak mereka yang berada di situ menoleh. Wajah Aimanuddin menyapa mata mereka. Sebuah senyuman terukir indah di wajah Aimanuddin.
“Dia pengsan, Aiman. Aku nak bawa dia ke hospital sekejap,” beritahu Edzuary, seraya mencempung tubuh Nur Edleen.
“Kau nak aku ikut atau…”
“Kau baliklah dulu. Apa-apa nanti aku call kau,” pintas Edzuary.
“Kalau dah macam tu, aku blah dululah. Apa-apa nanti, kau call aku,” pamit Aimanuddin. “Maaf semua, saya minta diri dulu,” katanya pada Ezzura, Azie dan Eka Farisha.
Tanpa menunggu balasan, segera dia beredar dari situ. Membiarkan Edzuary menyelesaikan masalah dengan gadis-gadis itu. Jauh di sudut hati, Aimanuddin dapat merasakan sesuatu, melihatkan dari cara keprihatinan Edzuary terhadap gadis pengsan itu. Pasti, dia akan mengorek cerita tersebut daripada Edzuary sekiranya mereka berjumpa semula.
“Kita hantar Nur Edleen ke hospital dulu,” cadang Edzuary dan mencempung tubuh Nur Edleen ke tempat di mana keretanya diparkirkan.
Ezzura, Azie dan Eka Farisha sekadar mengangguk. Mereka bertiga mengekori dari belakang sehinggalah ke tempat letak kereta. Masing-masing berdoa akan keselamatan Nur Edleen. Adakah disebabkan permintaan mereka tadi menjadi penyebab Nur Edleen pengsan? Tetapi, tidak bagi Ezzura. Kerisauan di hati melebihi otaknya yang waras. Pesanan doktor lima tahun yang lepas, masih terngiang-ngiang di cuping telinga. Jawapan apa yang harus diberikan, seandainya keluarga Nur Edleen mengetahui akan perkara ini. Ezzura tiada jawapan untuk itu. Berharap, Nur Edleen sedar dari pengsannya. 

Terima kasih kerana membaca SC.

16 ulasan:

  1. adehhh suspender betul la.. awat NE buleh pengsan 2. ES

    BalasPadam
  2. salam dik..

    Apakah yg berlaku 5 tahun yg lepas ek yg sungguh misteri yg cuba disembunyikan oleh pengetahuan keluarg NE dan juga kawan rapatnya Ezzura..

    Dan adakah pertemuan demi pertemuan antara NE dan SE akan membuahkan rasa hati SE pada NE yg comel dan nakal tu..

    Apakah setelah tersedar dari pengsan NE akan teringat kisahnya yg berlalu..dan adakah NE ini tunangan SE..hopefully akan terukangkai persoalan nya di E3 akan datang

    BalasPadam
    Balasan
    1. wslm Kak Ida..

      byknya persoalan akak tu.. xpe, setiap persoalan akak tu akn terjwb sedikit demi sedikit dlm bab seterusnya..

      ttg NE tersedar dr pengsan tu... dlm bab 9, ada jwpnnya.. so, jmpe akak minggu depan ya.. (^___*)

      Padam
  3. Stress ngan ES, ngan permintaan keluarga n permintaan kawan... sungguh teruk gak kn, smpai leh pengsan...
    Peristiwa 5thn yg lalu adkh melibatkn ES.. aduiii

    BalasPadam
    Balasan
    1. hehe.. pandai pn eppy.. btl la tu.. NE stress ngan ES, permintaan family n kwn2.. tu yg smpe NE pengsan..

      Padam
  4. Sgt stress si NE ni smpai pengsan2..
    Adkh permintaan dr family, karenah ES n permintaan kawan dia menyebabkn stress..
    Apkh kesah 5 thn lu yer...

    BalasPadam
    Balasan
    1. aik!! smpe 2 kali komennya.. kat atas tu dh jwb.. hehehe...

      Padam
  5. Peristiwa ape 5tahun lepas??? sgt suspend...

    BalasPadam
    Balasan
    1. wat2 x tau lak sue ni.. hehehe..

      Padam
    2. hahaha....kura2 dlm perahu, pura2 tak tahu.... Biarlah Rahsia....

      Padam
  6. salam Ros..bru hari ne akak bka suara dah bab 8 pn..akak tak da nak komen apa2 cuma cian kisah Edleen ..d sbbkn stress dia pengsan..akak rindu kat Ros dah lama akak tk sembang n brgurau cam dulu..heheee...kdang2 akak lmbt 0n9..bukan apa..akak bca bku2 yg akak bli kat KL tu..belum habis akak bca..skjap2 ja akak 0n9....;)
    .....Ida..Yahya...

    BalasPadam
    Balasan
    1. wslm Kak Ida...

      rindu kat akak jg.. ptt la x npk komen kat group.. xpe kak.. klu akak ada ms.. akak leh bc SC.. x lama lg, sy hantar Amirul dan Liyana ke Brunei ya.. hehehe.. (^___^)

      Padam