Rabu, 24 September 2014

Calon Suami Buat Novelis - Bab 9







“MACAM mana awak kenal dengan saya?” tanya Qaira berkerut dahi.
“Saya cam wajah awak masa awak larikan diri daripada seseorang hari tu,” jawab Ikhwan tersenyum.
“Oh, lupa pulak. Masa tu saya berlindung dekat Hadif.”
Ikhwan sekadar tersenyum.
“Awak dari mana?”
“Lepas jumpa dengan Hadif.”
Qaira mengangguk dan tersenyum.
“Hadif dah cerita semuanya pada saya. Awak dan dia…”
“Cerita? Alamak!”
“Kenapa?”
“Malu!”
Ikhwan yang mendengar ketawa.
“Dah berapa lama awak berkawan dengan dia?” tanya Qaira sekadar ingin tahu.
“Sejak dari semester pertama di UM,” jawab Ikhwan ramah.
“Satu universiti. Kiranya lama juga la. Kalau awak sebaya dengan dia, tentu umur awak dalam 27 tahun. Betul tak?”
“Ya, betul!”
“Dia tu berlagak bagus.”
Tergelak Ikhwan mendengarnya.
By the way. Apa yang dia suka dengan yang tak suka?”
“Awak nak siasat tentang dia ke?”
“Tak adalah sangat. Sikit-sikit tu adalah.”
“Awak tak tanya dia?”
“Tanya dia? Huh! Baik tak payah. Tak pasal-pasal, saya yang kena balik.”
Ikhwan ketawa kecil. Kepala menggeleng kecil.
“Loyar buruk pun ada juga.”
“Hadif tak macam tu sebelum ni.”
“Maksud awak?”
“Apa yang berlaku di sekeliling menyebabkan dia berubah.”
Qaira tidak membalas dan hanya mendengar.
“Tapi saya suka dengan perubahan Hadif. Sekurang-kurangnya dia tak fikirkan masalah lalu.”
“Masalah? Masalah apa?”
“Awak akan tahu nanti.”
Qaira hanya tersenyum. Ada baiknya dia tidak bertanya lagi. Pasti Ikhwan tidak sudi bercerita. Lagipun, dia dan Hadif dalam proses mengenali. Lambat laun, dia akan mengetahui tentang Hadif.
Setelah sejam berbual, Ihwan meminta diri untuk beredar. Qaira turut sama meninggalkan restoran itu. Apa yang diperkatakan oleh Ikhwan ada benarnya juga. Jodoh dan maut di tangan Allah. Kalau dah tercatat di Luh Mahfuz yang dia dan Hadif berjodoh, walau apa pun rintangan, pasti akan terjadi.
Nafas ditarik dan melepaskannya ringan. Peribadi Ikhwan mengingatkan dia kepada seseorang. Siapa? Dia sendiri tidak pasti. Rasa tenang ketika berbual bersama Ikhwan. Pemuda itu sering melontarkan kata-kata nasihat. Beruntung Hadif mempunyai sahabat baik seperti Ikhwan. Saling mengingati antara satu sama lain.
“Asfan!”
Terpacul nama itu dari bibirnya dengan tiba-tiba. Serta-merta langkahnya mati.


“BANYAK lagi ke pages yang kena kau siapkan?” tanya Lija prihatin.
“Aku target dalam 500 pages. Sekarang dah masuk 400 lebih,” jawab Qaira perlahan.
Due date?”
“Lagi sebulan.”
Lija mengangguk faham.
“Aku terkenangkan seseorang.”
“Seseorang? Siapa?”
“Asfan!”
“Asfan? Mamat yang duduk setaman dengan kau tu ke?”
Qaira mengangguk perlahan.
“Kenapa tiba-tiba kau kenangkan dia?”
“Bila aku berbual dengan Ikhwan, seperti aku berbual dengan Asfan. Kata-kata Ikhwan penuh dengan kata-kata nasihat. Sama seperti Asfan.”
“Ikhwan? Siapa Ikhwan?” tanya Lija berkerut dahi.
“Kawan Hadif,” balas Qaira bingkas bangun dari duduk.
Lija hanya memandang. Otaknya cuba mengingati gerangan yang dimaksudkan oleh Qaira itu. Adakah lelaki yang bersama dengan Hadif itu ialah Ikhwan?
“Bila kau berbual dengan dia?”
“Siang tadi.”
“Oh!” balas Lija sepatah. Dia terangguk-angguk.
“Ibu aku nak kenalkan aku dengan calon dia. Anak jiran kita orang dulu sewaktu tinggal di Ampang,” cerita Qaira malas.
“Habis tu? Kau nak berkenalan dengan calon ibu kau tu ke?” Lija sekadar bertanya.
“Entahlah! Aku dah letih nak fikir pasal jodoh. Aku berserah kepada Allah saja.”
“Kau cuba la buat kali yang terakhir. Mana la tahukan hati kau berkenan dengan calon tu,” cadang Lija seraya menghampiri Qaira di muka pintu rumah.
Qaira tidak membalas.
“Kalau kau tak nak terima calon ibu kau tu… kau ikutlah perancangan Hadif.”
“Perancangan Hadif? Tak nak aku.”
“Habis tu?”
“Tak nak aku mamat tu jadi suami aku. Macam orang tak betul pun ada juga.”
“Kau ni, Aira. Tak baik mengata orang,” tegur Lija kurang senang.
“Betullah! Kau nak tahu apa yang dia ugut aku kalau aku tak ikut rancangan dia?”
“Apa dia?”
“Dia nak heboh pasal aku kat media sosial dan surat khabar.”
“Heboh? Heboh pasal apa?”
“Yang aku ni daftarkan diri kat laman web My Jodoh. Then, nak beritahu satu Malaysia yang ‘Novelis Tia Alisya terdesak nak berkahwin’. Ada ke patut tajuk tu yang dia cadangkan? Letaklah ‘Novelis Tia Alisya bakal keluar dengan novel baharu’ ke. ‘Novelis Tia Alisya semakin dikenali di kalangan pembaca-pembaca novel’ ke. Barulah sedap sikit dengarnya. Ini tidak, tajuk sengal tu jugak yang dia cadangkan,” terang Qaira lebih kepada bebelan. Dengusan kasar terlepas dari bibir.
Tergelak besar Lija mendengarnya. Tidak menyangka sampai begitu sekali ugutan Hadif terhadap Qaira sekiranya gadis itu menolak rancangan mereka.
“Huh! Kau pun nak kena sekeh macam dia juga ke?” bengang Qaira.
Lija tidak mengendahkannya. Dia masih lagi ketawa.
“Dahlah! Aku nak sambung taip,” rengus Qaira kemudian.
Deringan telefon bimbit mematikan ketawa Lija. Dihalakan mata ke arah telefon bimbit Qaira yang berbunyi.
“Siapa pulak yang kacau aku tengah bersemangat nak menaip ni?” rungut Qaira keras.
“Hadif Asyraf!” tebak Lija tersenyum makna.
Qaira tidak membalas. Ditatap nama di skrin telefon. Nama Hadif tertera di situ.
“Betul tak?” tanya Lija sambil mengangkat kening.
“Kau pergi buat kerja kau la Lija. Sibuk aje kat sini!” tegur Qaira bernada geram.
Lija ketawa besar. Tanpa membalas, dia beredar dari ruang tamu menuju ke bilik.
“Dia nak ajak kau dating la tu,” laung Lija sebelum masuk ke dalam bilik.
“Lija!” tegur Qaira sedikit meninggi tatkala suara ketawa Lija menyapa halwa telinga.
Dia mengeluh seketika. Butang hijau ditekan dan dilekapkan ke telinga.
“Ada apa?” tanya Qaira bernada serius.
“Hai, belum habis menapous lagi ke?” tanya Hadif ketawa kecil.
Qaira menggigit bibir. Geram!
“Senggugut ke?” Hadif masih lagi bertanya. Sengaja mengusik gadis itu.
“Awak nak apa Hadif Asyraf?” Qaira bertanya dalam nada geram.
Dating!”
Dating? Siapa yang nak dating dengan awak?”
“Qaira Nur Imani Binti Qamil!”
“Tak ingin saya nak dating dengan awak. Bukan best pun.”
“Kalau kau tak keluar sekarang, aku jerit satu taman ni.”
Qaira berkerut dahi. Keluar? Apa maksud Hadif?
“Aku dah call kau siang tadi, kan?”
Qaira mengerah otaknya buat seketika. Cuba mengingati panggilan telefon Hadif. Keluhan dilepaskan tatkala mengingatinya.
“Aku bagi masa lima minit. Kalau kau tak keluar sekarang, aku jerit satu taman ni. Malu kau nanti,” ugut Hadif dari hujung talian.
“Saya tak nak keluar dengan awak!” tegas Qaira lalu mematikan talian.
Dia mencapai tetikus dan meneruskan kerja yang tertangguh.
“Dia ingat aku takut dengan ugutan dia tu. Boleh blah la!” cebik Qaira meluat.
“Aira, bunyi apa kat luar tu?” tanya Lija tiba-tiba.
Qaira terkejut. Dia menoleh ke belakang. Lija sedang berdiri di muka pintu bilik.
“Bunyi apa kat luar tu?” soal Lija lagi.
“Bunyi apa?” tanya Qaira kurang faham.
Matanya memandang langkah Lija yang sedang menuju ke pintu rumah. Telinganya disapa dengan bunyi hon kereta dan suara orang menjerit. Siapa yang menjerit? Siapa yang membunyikan hon kereta?
Tanpa berlengah, dia bangun dari duduk menuju ke muka pintu rumah. Alangkah terkejut tatkala melihat kelibat yang berada di luar pagar rumah.
“Hadif Asyraf!” sebut Qaira menekan sambil mengepal tangan.


HADIF mengerling ke wajah Qaira buat seketika. Kelat wajah itu ketika ini. Kemudian, dia ketawa tatkala mengingati tingkah lakunya sejam yang lepas. Entah kenapa otaknya memikirkan tindakan itu. Dengan membunyikan hon kereta dan menjerit memanggil nama Qaira. Adakah dia sudah gila?
Apa yang dia tahu, sejak mengenali Qaira dia dapat merasakan perubahan kepada dirinya. Jika dulu dia sukar untuk melemparkan senyuman. Sukar untuk ketawa tetapi tidak pada beberapa minggu yang lepas. Dia sudah pandai melemparkan senyuman. Pandai bergurau, ketawa dan mengusik. Semua itu berlaku selepas dia mengenali gadis yang bernama Qaira Nur Imani Binti Qamil.
“Yang awak gelak seorang-seorang tu kenapa? Dah gila ke?” tegur Qaira pelik.
“Saja nak gelak. Tak boleh ke? Kena bayar ke?” balas Hadif seraya memandang ke wajah Qaira. Kelat wajah itu dilihatnya.
“Gila!” kutuk Qaira selamba.
“Gila… gila pun. Bakal suami kau juga, kan?” Hadif berkata selamba.
“Eee… tolonglah. Siapa ntah nak kahwin dengan dia?”
“Bukan Qaira Nur Imani ke?” Hadif mengusik.
“Jangan nak perasan!” cebik Qaira meluat.
Hadif ketawa mendengarnya.
“Saya dah ada calon lain. Ibu saya dah tolong carikan untuk saya.”
Hadif tidak membalas.
So, kita batalkan rancangan kita. Mulai esok kita tak kenal antara satu sama lain.”
Hadif masih lagi membisu. Dia mematikan enjin kereta sebaik sahaja tiba di tempat yang dituju. Setelah itu, dia menapak keluar dari dalam kereta dan melangkah menuju ke restoran. Tidak diendahkan Qaira yang masih berada di dalam kereta.
“Hisyy… mamat ni. Dengar ke tidak apa yang aku cakap tadi tu? Apasal dia senyap aje?” kata Qaira sendirian.
Perlahan-lahan ditolak daun pintu dan keluar dari dalam perut kereta. Dikemaskan penampilan dan melepaskan nafas ringan.
“Tak gentleman langsung la dia tu,” bebel Qaira pula.
Dibawa langkah menuju ke restoran. Diperhatikan Hadif daripada belakang.
“Boleh tahan!” puji Qaira tersenyum.
Langkahnya mengekori langkah Hadif. Otaknya sedang ligat berfikir.
“Dari belakang, nampak macam Hafizi. Dari segi tubuh badan, lebih kurang Zahrin. Dia tu… boleh tahan handsome juga. Macam Aeril yang aku gambarkan dalam My Best Husband!” Qaira berkata sendirian.
Terbayang-bayang penampilan dan karektor kesemua hero dalam novelnya. Tersenyum dia memikirkan tentang itu.
“Aduh!” rengek Qaira kemudian. Diusap dahi yang terasa sakit.
“Masa berjalan jangan nak mengelamun. Kan dah kena!”
“Suka hati oranglah nak mengelamun ke apa.”
“Kau ni degil juga orangnya.”
Qaira masih mengusap dahi. Tajam matanya ke wajah selamba Hadif.
“Sakit ke?” tanya Hadif tatkala melihat tingkah laku Qaira.
“Sakitlah! Suka hati aje nak pukul dahi orang,” rungut Qaira bernada geram.
Hadif ketawa. Wajah berkerut Qaira ditatap mesra.
“Amboi… suka sangat gelakkan orang. Tendang kaki tu baru tahu.”
“Cubalah tendang. Tak sedar yang kaki tu pendek,” kutuk Hadif selamba.
“Apa? Kaki pendek awak cakap?”
Hadif tidak membalas. Dia beredar dari situ sambil ketawa. Geli hati melihat tingkah laku Qaira. Suka mengusik Qaira. Gadis itu tampak comel apabila marah.
“Mamat ni memang nak kena. Suka hati aje nak kritik aku.”
Dia menyambung langkah dan cuba untuk menyaingi langkah Hadif. Ikutkan hati tadi, dah lama kaki lelaki itu ditendang. Melepaskan kemarahan di hati.


“UNTUK kau!” ujar Hadif.
Sebuah beg kertas diserahkan kepada Qaira dan dibalas oleh gadis itu. Barang yang dibeli di salah sebuah gerai berhampiran restoran ketika Qaira ke ladies tadi.
“Sebagai tanda mintak maaf daripada aku,” sambung Hadif.
“Mintak maaf?” ulang Qaira.
Hadif hanya memandang.
“Hadif Asyraf mintak maaf dengan Qaira Nur Imani?” tanya Qaira pula kurang percaya. Diintai beg kertas buat seketika.
“Kau ingat aku ni teruk sangat ke?”
“Awak ingat?”
“Kau tak kenal dengan aku lagi. Kalau kau dah kenal, baru kau nilai aku macam mana orangnya. Aku boleh jadi lebih bagus daripada hero-hero kau tu semua.”
“Kenapa awak nak kaitkan dengan hero-hero saya?”
“Sebab aku tahu, kau tentu idamkan seorang suami yang hampir sama dengan hero ciptaan kau. Aku rasa bukan kau saja yang macam tu. Mungkin penulis-penulis lain pun macam tu juga. Sedangkan pembaca-pembaca novel di luar sana boleh mengidamkan hero atau heroin ciptaan penulis-penulis kesayangan mereka, inikan pula penulis-penulis novel itu sendiri,” hujah Hadif panjang lebar.
“Wow! Boleh tahan juga awak ni. Saya ingatkan awak ni seorang yang kolot,” balas Qaira berserta kutukan buat Hadif.
“Kolot?” ulang Hadif berkerut dahi.
“Selamat malam!” ucap Qaira laju.
Tanpa menunggu, dia segera melangkah beredar dari situ. Khuatir akan kemarahan Hadif. Marah? Lelaki itu tidak pernah mempamerkan kemarahan.
Wait!” arah Hadif seraya menarik lengan Qaira.
Termati langkah Qaira dek kerana tarikan itu. Dihalakan mata ke wajah Hadif.
“Aku nak kau tolak calon ibu kau tu. Aku janji akan cuba jadi yang terbaik untuk kau,” kata Hadif bernada harapan.
Qaira berkerut dahi. Kurang faham dengan kata-kata Hadif.
“Tapi, kalau kau nak berkenalan dengan dia, aku tak kisah. Cuma kalau kau nak berkahwin dengan dia, aku takkan benarkan,” tegas Hadif pula.
“Maksud?” tanya Qaira.
Hadif tidak membalas. Dia masuk ke dalam kereta dan memandu keluar dari kawasan perumahan Qaira.
“Tak romantik langsung mamat tu,” kritik Qaira dan melangkah masuk ke dalam rumah sebaik sahaja pintu dibuka.
Namun, langkahnya terhenti tatkala bunyi mesej masuk dari arah telefon bimbit menyapa halwa telinga. Lantas, dibuka kotak mesej lalu membacanya.

Aku akan cuba membahagiakan kau. Kau hak aku selama-lamanya!

“Hak dia selama-lamanya?” baca Qaira berkerut dahi.


Saya tinggalkan anda semua dengan senyuman di bibir.
Jumpa anda semua minggu hadapan. Insya-Allah.
Terima kasih coz sudi follow CSBN.
:)




4 ulasan:

  1. hadif asyraf tu sebenarnya romatikk cuma taknak tunjukk je an.. hihi.
    sangat sweet bile dia ckp yg "kau hak aku selam-lamanya"...... sanggattt terbaikk la.. nak sambungann hihihihi

    BalasPadam
    Balasan
    1. Hadif Asyraf romantik?? Nak tahu dia romantik ke tak... tggu bab2 strsnya.. tq dear coz follow CSBN. :)

      Padam