Jumaat, 23 Mac 2018

Hate Of Love You? - Bab 5








TUAN HAJI ZUHURI menghela nafas ringan. Dia memandang makanan yang telah terhidang di atas meja. Kelibat Farid tidak juga muncul-muncul. Mungkinkah cucunya sudah keluar ke pejabat?
Tuan Haji Zuhuri mencapai tongkat di sisi meja. Dia bangun lalu melangkah perlahan-lahan menuju ke ruang tamu. Sejak dia mengalami strok 5 tahun yang lalu, dia berusaha untuk pulih. Alhamdulillah, pergerakannya sudah semakin pulih walaupun mengambil masa bertahun.
“Datuk!” tegur Farid, tiba-tiba dari arah belakang.
Tuan Haji Zuhuri menghentikan langkah. Dia menoleh ke belakang.
“Datuk dah makan?” tanya Farid sambil membantu Tuan Haji Zuhuri duduk di sofa.
“Datuk ingat kamu dah ke office,” balas Tuan Haji Zuhuri sambil melepaskan lelah.
“Farid ada meeting pukul 10.00 nanti,” beritahu Farid. Dia menghampiri meja makan lalu mengambil sandwich dan secawan kopi. Dihulurkan kepada Tuan Haji Zuhuri selepas itu.
Tuan Haji Zuhuri membalas huluran. Wajah cucunya dipandang seketika.
“Ayah mana?” Farid melabuhkan duduk di sofa. Melilau matanya mencari kelibat Encik Amir.
“Ayah kamu kan outstation ke Kedah. Kamu dah lupa?” Tuan Haji Zuhuri menggelengkan kepala. Dia menjamah sandwich yang diberi Farid sebentar tadi.
Farid menepuk dahi. Hampir dia terlupa yang Encik Amir ke Kedah atas urusan kerja. Sudah 2 hari ayahnya berada di Kedah.
“Farid lupa datuk,” ujar Farid selepas itu.
“Macam mana dengan kerja, Farid?” Tuan Haji Zuhuri berbasa-basi.
“Biasa saja datuk,” jawab Farid sambil menghulurkan cawan kopi.
“Kerja… kerja juga, Farid. Kesihatan tu kena juga jaga. Jangan nanti jadi macam datuk. Sibuk bekerja sampai tak ada masa untuk diri sendiri,” tegur Tuan Haji Zuhuri bernada lembut. Air kopi dihirup perlahan.
“Farid tahu, datuk.”
“Majlis pertunangan Farid dah tak lama lagi. Macam mana dengan persiapan?”
“Farid minta Aunty Fauziah uruskan semuanya.”
“Fauziah?” Tuan Haji Zuhuri berkerut dahi.
“Yang uruskan syarikat serta rakan kongsi arwah ibu,” beritahu Farid mengingatkan Tuan Haji Zuhuri.
Tuan Haji Zuhuri mengangguk perlahan. Hampir dia lupa dengan syarikat yang dikendalikan oleh arwah menantunya dahulu. Malah, arwah menantunya juga mempunyai sebuah butik dan diuruskan oleh syarikat tersebut.
“Farid minta diri dulu datuk,” ujar Farid bingkas bangun dari duduk.
Dia mengerling jam di pergelangan tangan. Masa sudah menginjak ke pukul 9.00 pagi. Dihulurkan tangan untuk bersalaman dengan datuknya.
“Macam mana dengan pertolongan datuk tu, Farid?” Tuan Haji Zuhuri bertanya. Matanya memandang wajah Farid.
Farid mengangkat wajah sehabis sahaja bersalaman. Pandangan Tuan Haji Zuhuri dibalas. Permintaan datuknya beberapa hari yang lepas meniti dalam minda. Permintaan supaya mencari seseorang.
 “Datuk faham,” suara Tuan Haji Zuhuri sambil menepuk lembut tangan Farid. Dia tersenyum kepada cucunya itu.
Farid turut sama tersenyum. Dia beredar dari situ.
Tuan Haji Zuhuri bangun dari duduk. Dia melangkah perlahan menuju ke bilik.
“Datuk!” Farid memanggil.
Tuan Haji Zuhuri mematikan langkah. Dia menoleh ke arah Farid di muka pintu rumah.
“Farid janji akan usahakannya sampai dapat,” janji Farid kepada Tuan Haji Zuhuri lalu beredar dari situ.
Tuan Haji Zuhuri tersenyum. Dia turut berharap agar Farid dapat mengotakan janjinya.



“ENCIK FARID!” sapa Liza selaku setiausaha Farid.
Farid mengangkat wajah. Matanya disapa dengan tubuh Liza.
“Ini senarai jemputan untuk majlis amal kita hujung minggu ni,” beritahu Liza sambil menghulurkan sebuah fail.
Farid membalas huluran. Dia meneliti senarai yang telah disediakan.
“Kalau ada yang tertinggal, Encik Farid boleh beritahu pada saya,” ujar Liza pula.
Farid masih meneliti senarai jemputan. Matanya jatuh ke satu nama yang tidak dikenali.
“Nurin Natasya?” sebut Farid selepas itu. Dia berkerut dahi.
“Wakil dari Mahligai Impian, Encik Farid,” beritahu Liza, tenang.
“Mahligai Impian?” ulang Farid. Bukankah itu anak syarikat mereka? Milik arwah ibunya, Puan Farisya.
“Kenapa bukan Puan Fauziah wakilnya?” Farid masih lagi bertanya. Dia menyandarkan tubuh ke kerusi. Wajah setiausahanya dipandang.
“Puan Fauziah ada hal yang tak dapat nak dielakkan, Encik Farid. Jadi, dia hantar Cik Nurin mewakili syarikat,” jelas Liza berserta senyuman di bibir.
“Oh!” balas Farid, sepatah berserta anggukan di kepala.
“Kalau tak ada apa-apa lagi, saya minta diri dulu Encik Farid,” suara Liza seminit kemudian. Dia melangkah keluar sebaik sahaja mendapat arahan daripada Farid.
Farid bersandar ke kerusi. Macam mana dia tidak tahu kewujudan pekerja bernama Nurin Natasya di Mahligai Impian.
“Nurin Natasya!” sebut Farid, perlahan.
Dia menarik laptop. Nama Nurin Natasya dicari. Sekadar mencuba. Seperti ada yang menarik pada nama Nurin Natasya.
“Hurm… siapa Nurin Natasya?”
Tidak banyak maklumat yang diperolehi dari carian nama itu. Dia bermain-main dengan telefon bimbitnya.
“Kenapa aku rasa macam dah lama kenal dengan nama ni?” soal Farid berserta nafas ringan. Nama Nurin Natasya masih meniti dalam minda.
“Siapa dia?” ulang Farid untuk kesekian kali. Dia perlu tahu siapa Nurin Natasya yang sebenarnya.



“TERIMA kasih!” ucap Farid sebaik sahaja pelayan meletak makanan dan minuman. Dia tersenyum kepada pelayan tersebut.
“Awak tak busy ke hari ni?” tanya Dahlia seraya memandang ke wajah Farid.
“Untuk awak tak ada istilah busy,” jawab Farid berserta kenyitan di mata.
“Awak ni memang bermulut manis.”
“Kalau tak manis, tak kan awak suka dengan saya, kan?”
Dahlia ketawa kecil. Farid memang pandai bermain kata-kata.
“Saya ada meeting berhampiran dengan pejabat awak. So, tak salah kan kalau saya ajak awak keluar makan tengah hari sama,” beritahu Farid masih tersenyum.
“Minggu depan kita cari barang, nak tak?”
“Barang?”
“Iyalah! Kan tinggal berapa bulan saja lagi kita nak bertunang.”
Farid menghentikan suapan. Dia berfikir sejenak.
“Awak!” panggil Dahlia tatkala Farid membisu.
“Saya dah minta Aunty Fauziah uruskan,” beritahu Farid, tenang.
“Aunty Fauziah?” ulang Dahlia berserta kerutan di dahi.
“Yang uruskan butik arwah ibu,” jelas Farid pula.
Dahlia mengangguk perlahan. Hampir dia terlupa dengan butik peninggalan arwah Puan Farisya.
“Minggu depan kita jumpa dengan Aunty Fauziah,” cadang Farid selepas itu.
Dahlia tidak membalas.
“Saya minta Aunty Fauziah uruskan pakaian untuk majlis pertunangan kita nanti. Minggu depan tu kita tengok rekaan mereka,” sambung Farid lagi.
“Awak minta Aunty Fauziah reka pakaian pertunangan kita?” tanya Dahlia inginkan kepastian. Rasa teruja menujah ke hati.
Farid sekadar mengangguk. Dia menyambung menjamah makanan semula.
Thanks, awak!” ucap Dahlia seminit kemudian.
Thanks? For what?” tanya Farid berserta kerutan di dahi.
“Segala-galanya,” balas Dahlia. Senyuman meniti di bibir. Rasa bersyukur kerana memiliki lelaki sehebat Farid.
“Saya ke washroom sekejap,” ujar Farid lalu bangun dari duduk.
Dahlia sekadar mengangguk. Dia memandang pemergian Farid sehingga hilang dari pandangan mata.
Farid melangkah menuju ke washroom. Langkahnya mati dengan tiba-tiba tatkala terlihat seseorang yang amat dikenalinya. Lantas, dia keluar dari restoran lalu menghampiri orang tersebut.
“Ayah?” tegur Farid setibanya di belakang Encik Amir.
Encik Amir terkejut. Dia menoleh untuk melihat gerangan yang menegur.
“Ayah buat apa kat sini? Bukan ayah ke Kedah?” Farid bertanya. Dia berasa pelik berjumpa dengan Encik Amir di situ.
Encik Amir yang mendengar menelan air liur sendiri.
“Ayah dari Kedah terus ke sini nak jumpa dengan client.” Encik Amir cuba bertenang. Dia masih lagi terkejut melihat Farid.
Client?” Farid berkerut dahi.
Encik Amir masih beriak tenang. Dia melilaukan mata melihat keadaan sekeliling.
“Ayah?” panggil Farid. Seperti ada yang dirahsiakan oleh Encik Amir ketika ini.
“Ayah pergi dulu,” balas Encik Amir lalu beredar dari situ. Dia melepaskan nafas lega.
Farid hanya memandang pemergian Encik Amir. Hatinya berasa curiga dengan tiba-tiba.
“Awak!” tegur Dahlia dari arah belakang.
Farid tersentak. Dia menoleh ke belakang. Wajah Dahlia menyapa mata.
“Awak pergi mana? Lama saya tunggu kat dalam tu.” Dahlia menghampiri Farid.
“Saya terserempak dengan kawan tadi.” Farid membalas. Dia tersenyum kepada Dahlia.
“Kawan?” ulang Dahlia berserta kerutan di dahi.
“Jomlah saya hantar awak ke pejabat,” ajak Farid. Ada baiknya dia beredar dari situ. Dia akan mencari jawapan kepada perjumpaannya dengan Encik Amir tadi.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan