Rabu, 7 Mac 2012

Aku Juga Ingin Dicintai - Bab 2

BAB 2

“Siapa pulak yang ganggu aku pagi-pagi ni. Menyusahkan betul!” rungut Hazrel sambil meraba mencari telefon bimbitnya. 
Where are you, Hazrel Hardy? Kenapa tak balik semalam?” jerkah suara di hujung talian sebaik sahaja telefon bimbit dilekapkan ke telinga.
Terkejut Hazrel dengan jerkahan itu. Matanya yang kuyu terbuka luas. Dia menggosok-gosok matanya dan menyandarkan tubuh ke kepala katil. Segera dia melihat nombor yang tertera di screen telefon. Mama, detik hatinya.
“Kenapa tak balik Hazrel?” ulang Datin Salina meninggi.
Morning mama!” ucap Hazrel lembut.
“Mama bukan suruh Haz ucap selamat pagi pada mama. Mama tanya, kenapa Haz tak balik semalam? Bukan ke Haz janji nak balik malam tadi. Mama tunggu Haz sampai ke pagi. Batang hidung Haz tak juga muncul-muncul. Mama call Haz, tak dapat. Haz pergi mana?” tanya Datin Salina bertubi-tubi tanpa full stop.
Hazrul menggaru kepalanya yang tidak gatal. Jawapan apa yang harus diberikan pada Datin Salina itu. Bukannya dia sengaja tidak balik ke rumah. Disebabkan peristiwa malam tadi membuatkan niatnya untuk balik ke rumah, terbantut begitu sahaja. Jika bukan kerana perempuan miskin itu, mustahil dia akan menyewa hotel dan bermalam di sini.
“Haz ada perkara yang nak diuruskan mama. Petang ni Haz baliklah,” beritahu Hazrel.
“Haz jangan nak bohong mama. Haz dah sangkut dengan perempuan kat sana ke?” tebak Datin Salina keras.
“Eh… mana ada mama. Tak inginnya Haz dengan perempuan-perempuan kat sini. Bukannya cantik pun. Semuanya miskin dan menyusahkan,” bidas Hazrel laju.
“Kalau mama dengar cerita yang tak baik tentang Haz, tahulah macam mana nak kerjakan Haz. Ingat pesan mama. Jangan sesekali terpikat dengan perempuan kat sana. Jangan sesekali terpikat dengan orang miskin,” pesan Datin Salina keras.
“Ya mama. Haz ingat dan Haz tak pernah lupa itu semua,” ujar Hazrel perlahan.
“Qis ada call Haz tak?”
“Tak ada mama. Kenapa?”
“Kata Qis, Haz dah janji nak bawa dia pergi shopping hari ini, betul ke?”
“Alamak! Haz lupalah mama. Memang Haz ada janji nak temankan dia hari ini.”
“Patutlah pagi-pagi lagi dia dah tarik muka masam. Tak apalah, nanti mama bagitau dia yang Haz tak sempat nak balik semalam dan janji akan temankan dia esok,” cadang Datin Salina.
“Terima kasih mama. Haz nak mandi ni. Dalam tengahari nanti, Haz gerak ke KL,” balas Hazrel seraya mematikan talian. Jika tidak dimatikan, entah apa yang akan dibebelkan oleh Datin Salina lagi. Letih telinganya mendengar bebelan Datin Salina itu.
Hazrel membaringkan semula badannya. Telefon bimbit dicampak ke tepi katil. Fikirannya ligat memikirkan peristiwa malam tadi. Rasa menyesal kerana menghantar perempuan itu ke hospital. Tidak pasal-pasal, keretanya dipenuhi dengan kesan tompokan darah. Disebabkan itu dia mengambil keputusan untuk tidak balik ke KL malam tadi. Dia perlu menghantar keretanya ke workshop, membersihkan kesan tompokan darah tersebut. Kalau diikutkan hati, mahu sahaja dia membakar keretanya itu. Benci dengan bauan yang melekat di dalam keretanya. Bauan dari darah perempuan itu.
Hazrel mendengus keras. Pertengkaran kecilnya di antara Eddie turut terngiang-ngiang di fikirannya. Kenapa Eddie suka membela perempuan tu? Malah Eddie juga bercinta dengan perempuan bernama Humaira. Sudah berkali-kali dia menasihat Eddie, namun nasihatnya itu dipandang sepi oleh Eddie. Entah apa yang dipandangkan oleh Eddie pada Humaira, dia sendiri tidak tahu. Nak kata cantik, cantik lagi bibik aku kat rumah tu. Nak kata kaya, jauh panggang dari api. Dari mana Eddie jumpa pun aku tak tahu, kutuk Hazrel di dalam hati.
“Huh! Daripada aku fikirkan pasal Eddie, baik aku bawa kereta aku ke workshop. Rasa nak termuntah aku dengan bau perempuan tu,” gerutu Hazrel pula.
Bingkas dia bangun dari katil dan menapak ke bilik air. Dia perlu menguruskan keretanya terlebih dahulu sebelum balik ke Kuala Lumpur.


“Ain macam mana hari ni? Dah sihat?” tanya Humaira risau.
“Ain tak ada apa-apa maksu. Dah kurang sakitnya ni,” jawab Nurul Ain. Tidak mahu merisaukan hati Humaira.
“Macam mana boleh accident? Ain tak tengok kiri kanan ke?” tanya Eddie pula.
“Ain tak perasan ada kereta masa tu Abang Die. Lagipun masa tu memang Ain tengah mengelamun,” akui Nur Ain jujur.
“Mengelamun? Apa yang Ain lamunkan? Ain tahu tak bahaya berjalan sambil mengelamun. Samalah juga dengan bawa kereta,” bebel Humaira.
Nur Ain hanya menunduk. Ada benarnya kata-kata Humaira. Jika dia tidak mengelamun, mustahil dia akan dilanggar dengan kereta. Malah membahayakan juga dirinya. Mujurlah kaca yang tertusuk di lengannya dapat dikeluarkan terlebih awal, jika tidak akan memudaratkan dirinya nanti. Nur Ain mengeluh dalam hati. Bagaimana untuk mengelak dari dirinya dibuang kerja? Sungguh itulah yang difikirkan oleh Nur Ain hingga ke hari ini.
“Tengok tu, mengelamun lagi. Apa yang Ain fikirkan? Cuba bagitau pada maksu. Ain ada masalah ke? Pasal duit?” tegur Humaira pula.
“Bukan pasal duit. Ain risaukan kerja Ain. Mungkin Ain akan dibuang kerja nanti,” jujur Nur Ain berkata.
“Kenapa pulak dibuang kerja? Ain buat hal kat tempat kerja ke?” tanya Eddie prihatin.
“Ain tak buat hal. Cuma dalam bulan lepas, hampir sepuluh kali Ain lewat ke tempat kerja. Disebabkan itu, bos besar nak ambil tindakan pada staf yang bermasalah termasuklah Ain,” jelas Nur Ain berserta keluhan berat.
“Kalau Ain kena buang, Ain kerja dengan abang aje. Habis cerita!” putus Eddie.
“Betul juga tu. Tempat maksu pun ada juga kosong. Kalau Ain kena buang, Ain boleh kerja dengan maksu atau Abang Eddie,” cadang Humaira dan tersenyum.
Nur Ain tersenyum pahit. Mana mungkin dia akan menerima cadangan Humaira itu. Sudahlah dirinya menyusahkan Humaira, takkan soal kerja pun dia akan menyusahkan Humaira juga. Dia juga tidak mahu menyusahkan Eddie. Walaupun Eddie baik dengannya, itu tidak bermakna dia akan mengambil kesempatan di atas kebaikan Eddie.
“Ain kenal tak siapa yang langgar Ain malam tadi?” tanya Eddie berbasa basi.
“Tak kenal. Tapi lelaki tu juga yang hampir langgar Ain pagi semalam,” jujur Nur Ain.
Apa gunanya dia menyembunyikan kebenaran? Ada baiknya dia berterus-terang kerana itulah sifatnya yang semula jadi. Jujur dan berterus-terang. Cuma ada sesetengah perkara yang boleh membuatkan Nur Ain berbohong. Tetapi pembohongannya itu mudah dikesan jika benar-benar mengenali Nur Ain.
“Pagi semalam?” ulang Humaira sedikit menjerit.
“Maknanya Hazrel melanggar Ain sebanyak dua kali dalam satu hari,” ulas Eddie dan mengeluh ringan.
“Hazrel?” ulang Nur Ain pula dan berkerut.
Eddie dan Humaira mengangguk serentak. Itulah kenyataannya. Hazrel yang melanggar  Nur Ain semalam.
“Hazrel kawan baik abang. Dia juga yang bawa Ain ke sini. Kalau dia lambat hantar Ain, mungkin luka Ain akan dijangkiti kuman,” terang Eddie.
“Maknanya Ain dah terhutang budi dengan dia. Jadi Ain kena ucapkan terima kasih pada dia sebab hantarkan Ain ke hospital.”
“Orang macam tu buat apa nak berterima kasih. Dia bukannya faham maksud terima kasih tu,” bentak Eddie keras.
“Tapi Abang Eddie, dia dah…”
“Dia minta Ain bayar kos keretanya yang calar dengan kusyen yang terkena darah Ain semalam,” pintas Humaira.
Membuntang Nur Ain mendengarnya. Benarkah apa yang didengarnya itu?
“Mana Ain nak cari duit bayarnya,” keluh Nur Ain perlahan.
“Tak pe Ain. Biar abang bayarkan untuk Ain.”
“Maksu pun boleh bayarkan untuk Ain.”
“Ain boleh bayarnya maksu, Abang Eddie. Nanti Abang Eddie tanya Encik Hazrel, berapa yang Ain perlu bayar?”
“Abang boleh tolong bayarnya untuk Ain,” tegas Eddie.
Nur Ain menggeleng. Tidak sama sekali dia akan menerima pertolongan Eddie dan Humaira. Dia yang mendatangkan masalah, maka dia juga yang akan menyelesaikannya.
“Ain ada duit. Ain boleh guna duit simpanan Ain untuk bayarnya. Abang Eddie tolong tanyakan pada Encik Hazrel,” putus Nur Ain dan membaringkan badannya. Tidak mahu membincangkan tentang itu lagi. Keputusannya muktamad!


“Anak mama dah balik!” sahut Datin Salina girang.
Lantas dipeluk anak bujangnya itu. Melepaskan kerinduan selama sehari.
“Haz dah makan? Kalau belum, mama minta Mak Tun siapkan,” tanya Datin Salina pula.
“Tak apalah ma. Haz tak lapar. Papa mana?” jawab Hazrel dan melabuhkan duduk di sofa. Keletihan amat dirasainya waktu itu.
“Papa ada meeting kat luar. Malam nanti baru papa balik,” beritahu Datin Salina dan turut melabuhkan duduk bersebelahan Hazrel. Wajah anak kesayangannya itu ditatap kasih.
“Oh, meeting apa?”
“Apa lagi kalau bukan Syarikat Pemborong Intan tu.”
Hazrel mengangguk. Matanya terasa berat ketika itu. Terasa juga sengal-sengal di badan akibat memandu yang terlalu lama. Walaupun perjalanan hanya memakan masa sejam, keletihan begitu amat dirasai. Malah akibat duduk terlalu lama ketika menunggu keretanya siap dipolish dan dibasuh, turut mengakibatkan tulang punggungnya terasa sakit. Ingin saja dia meminta sesiapa mengurut badannya itu. Tetapi, pada siapa untuk memintanya?
“Mama, Haz naik atas dululah. Penat!” ujar Hazrel seraya bangun.
“Haz, malam nanti temankan mama ke majlis Puan Sri Ainun. Mama nak kenalkan Haz dengan kawan-kawan mama. Mama dah ajak Qis sekali,” pinta Datin Salina.
“Ma, Haz penatlah. Mama pergi ajelah dengan Qis,” tolak Hazrel.
“Tak boleh. Mama dah janji dengan Puan Sri nak kenalkan Haz dengan dia.”
“Tapi mama…”
“Pukul lapan malam, Hazrel Hardy,” tegas Datin Salina seraya bangun.
Kemudian dia menapak jalan menuju ke biliknya di tingkat atas. Dia perlu mencari pakaian yang sesuai untuk ke majlis malam nanti.
Hazrel melepaskan keluhan. Bukannya dia tidak mahu menemani mamanya ke majlis-majlis seperti itu. Dia cukup rimas dengan suasana hingar bingar dan ramai orang. Tambahan pula rakan-rakan mamanya suka mengusik dirinya. Dan dia tidak suka situasi begitu.
“Sayang!” jerit kecil Qistina dari muka pintu.
Terkejut Hazrel dengan jeritan itu. Seraya dia menoleh ke belakang. Dia tersenyum pahit melihat Qistina yang sedang memandang ke arahnya. Membuntang matanya melihat penampilan Qistina yang hanya berskirt pendek berserta t-shirt sendat.
“Sayang! Bila you balik? Kenapa you tak call I?” rengek Qistina manja.
Dia melangkah menghampiri Hazrel dan menarik tangan Hazrel lalu dicium mesra. Senyuman manis terbias di wajahnya.
Terkedu Hazrel dengan tingkah laku Qistina. Belum pernah sekali Qistina berkelakuan seperti itu. Dahinya berkerut memandang Qistina. Hanya pandangan pelik.
“Sayang, kenapa ni? Dahi tu berkerut kenapa? Sayang fikirkan apa?” tanya Qistina sambil mengusap lembut dahi Hazrel.
“Tak ada apalah. I nak naik atas, nak berehat,” bidas Hazrel seraya menolak lembut tangan Qistina. Langkah di atur menuju ke biliknya di tingkat atas, namun sempat ditahan oleh Qistina.
“You ni memang tak sayangkan I ke? You janji nak balik sini malam tadi and temankan I hari ni. Tapi, you mungkir janji. Sekarang ni you buat muka monyok you tu. Sakit hati I ni Haz,” rajuk Qistina dan berpeluk tubuh. Dia menarik muka memandang ke sisi lain.
Hazrel mengeluh berat. Dia menggeleng kecil melihat perangai mengada-ngada Qistina itu. Bukannya dia tidak mahu melayan Qistina, keletihan yang dialami menguasai segala-galanya. Otaknya sudah penat untuk berfikir. Malah peristiwa semalam masih terngiang-ngiang di fikirannya itu. Sehinggakan dia sendiri tidak tahu apa yang terjadi pada dirinya itu.
“Qis, I betul-betul penat ni. Malam nanti kita berbual ya,” balas Hazrel dan menapak jalan meninggalkan Qistina di situ keseorangan.
Qistina mendengus geram. Dia membentakkan kakinya menahan kemarahan. Rajuknya tadi tidak memberi apa-apa makna terhadap Hazrel. Bagaimana caranya untuk memikat hati Hazrel? Sudah diusahakan pelbagai cara untuk membuatkan Hazrel jatuh cinta dengannya. Namun satu pun tidak mendatangkan hasil. Walaupun mereka sudah lama di anggap sebagai pasangan kekasih, tetapi hati Hazrel bukan milik Qistina sepenuhnya. Mereka bercinta atas dasar keluarga yang meminta mereka berbuat begitu. Hakikatnya, hanya mereka berdua sahaja yang tahu apa yang tersirat dan tersurat di sebalik hubungan mereka berdua itu.


Nur Ain duduk termangu memandang ke luar jendela. Entah kenapa hatinya tiba-tiba merasa sebu dan sebak. Entah mengapa fikirannya asyik memikirkan seseorang. Seseorang yang amat dirinduinya. Seseorang yang telah lama pergi meninggalkan dirinya. Seseorang yang pernah hadir dalam hidupnya suatu ketika dulu. Seseorang yang telah membuatkan hidupnya bahagia walaupun ianya cuma sebentar. Seseorang yang teramat menyayangi dirinya suatu masa dahulu. Sungguh dia amat merindui insan tersebut. Jika masa boleh diputarkan kembali, ingin sahaja dia mengelak daripada kejadian itu berlaku. Namun apakan daya. Kita hanya merancang, ALLAH yang menentukan segala-galanya. Termasuklah urusan hidup dan mati.
Nur Ain mencapai kelendar yang berada di atas meja di sisi katil. Matanya tertancap ke tarikh 25 Februari. Tarikh lahirnya dan juga tarikh kematian Hazrul. Setiap tahun, pada tarikh itu dia akan melawat pusara Hazrul. Walaupun dia diharamkan ke pusara itu, jadilah kiranya dia memandang pusara itu hanya dari jauh sahaja. Dan seperti biasa, dia akan meminta penjaga di situ untuk menaburkan bunga dan menjiruskan air di pusara Hazrul. Hanya bacaan Surah Yassin yang mampu dihadiahkan oleh Nur Ain buat Hazrul.
Nur Ain mengeluh berat. Keadaannya itu sudah pun dikhabarkan kepada Encik Latif, Humaira sendiri yang memberitahu Encik Latif. Petang tadi, Fauziah datang melawatnya. Masih terngiang-ngiang di kotak fikiran perbualannya bersama Fauziah. Tentang perjumpaan Pengurus Besar bersama pekerja-pekerja yang akan diadakan pada 25 haribulan ini. Kenapa tarikh itu yang di ambil untuk mengadakan perjumpaan? Tak ada tarikh lain ke yang nak di ambilnya. Kan banyak lagi tarikh-tarikh yang sesuai, bentak hati Nur Ain.
Bagaimana untuk mengelakkan diri dari menghadirkan perjumpaan itu? Mana mungkin dia tidak akan hadir ke perjumpaan itu sedangkan dia sudah diberi amaran keras oleh Encik Latif. Mana mungkin dia tidak melawat pusara Hazrul kerana setiap tahun pada tarikh itu, dia akan membawa dirinya ke sana. Apa yang perlu Nur Ain lakukan?
“Ya ALLAH, aku memohon petunjuk dari-MU,” bisik Nur Ain sendirian.
Nur Ain menyandarkan badan di kepala katil. Otaknya masih ligat berfungsi. Entah kenapa dengan tiba-tiba dia teringatkan wajah lelaki yang melanggarnya semalam. Lelaki yang telah menghantarnya ke hospital sekali gus terhutang budi dengan lelaki itu. Bagaimana untuk mengucapkan terima kasih pada lelaki yang bernama Hazrel itu? Bagaimana untuk membalas budi Hazrel? Dan bagaimana untuk berjumpa dengan Hazrel? Perlukah dia bertanya pada Eddie tentang Hazrel? Mungkin Eddie tahu di mana Hazrel berada. Dia berdoa agar suatu hari nanti dia akan berjumpa dengan Hazrel dan mengucapkan terima kasih pada lelaki itu.
Nur Ain menarik laci dan mencari sesuatu di dalamnya. Beg sandang yang terletak di dalam laci, dikeluarkan. Dia menggagau mencari telefon bimbitnya. Berkerut dahinya mencari benda tersebut, namun tidak berhasil. Diselongkar satu persatu setiap ceruk poket yang terdapat di beg sandangnya itu, tetap tidak menemuinya.
“Mana telefon aku ni? Semalam bukan ke aku letak kat sini?” rungut Nur Ain sendirian. Tangannya masih lincah mencari. Akhirnya dia mengeluh berat. Pencariannya hanyalah sia-sia.
“Takkan hilang kot?” duga Nur Ain. “Alamatnya kena beli lain lah ni,” keluh Nur Ain.
Lantas dimasukkan semula beg sandangnya ke dalam laci. Badan dibaringkan dan matanya tertancap ke siling putih yang berada di dalam bilik itu. Bilik yang disewa khas buatnya oleh Eddie. Bersungguh Nur Ain menegah agar dia ditempatkan di wad biasa. Tetapi disebabkan kedegilan Eddie, nak tak nak, Nur Ain terpaksa akur dan akhirnya dia berada di dalam bilik yang luasnya lebih dari biliknya di kampung dahulu. Betapa rindunya dia pada kampung halaman. Bagaimana keadaan kedua-dua orang tuanya ketika ini? Sudah agak lama dia tidak pulang ke kampung halamannya itu. Mungkinkah orang tuanya akan menerima dirinya semula? Persoalan itulah yang selalu bermain di fikirannya sehingga sekarang. Jauh di sudut hati, dia berdoa agar dia diterima semula oleh orang tuanya. Mak, abah, Ain rindu! Rintih Nur Ain sendirian.


“Haz, apa lagi yang dibuatkan kat atas tu, cepatlah sikit. Mama dah lambat ni!” jerit Datin Salina dari ruang tamu. Bergema suara Datin Salina di setiap penjuru ruang banglo tiga tingkat itu. Dadanya sudah pun berombak. Menahan geram di dalam hati.
“Ma, Haz tak sihatlah. Mama pergilah dengan Qistina,” balas Hazrel dan terbatuk. Dia menapak jalan menuruni anak tangga dan menuju ke ruang tamu.
“Haz jangan nak tipu mama. Pergi siap sekarang!” arah Datin Salina keras. Tajam matanya ke muka Hazrel.
“Kenapa pulak Haz nak tipu mama? Betullah mama. Haz tak sihat. Cuba mama rasa badan Haz ni, panaskan?” bidas Hazrel turut keras. Dia menarik tangan Datin Suraya supaya menyentuh dahi dan lehernya.
Bulat mata Datin Salina memandang wajah pucat Hazrel. Ternyata Hazrel tidak berbohong. Dia meraba-raba dahi dan leher Hazrel. Apa yang Hazrel katakan benar belaka.
“Betulkan?” ujar Hazrel dan mengeluh.
“Dah. Pergi naik atas. Suruh Mak Tun bawakan ubat untuk Haz,” arah Datin Salina dan menapak menuju ke muka pintu. “Pastikan Haz tidur lepas makan ubat. Kalau mama dapat tahu Haz tipu mama, siap Haz mama kerjakan nanti,” amaran Datin Salina sebelum menghilang di sebalik pintu utama banglo tiga tingkat itu.
“Terima kasih mama!” ucap Hazrel dan tersenyum girang.
Segera dia menapak jalan menuju ke tingkat atas. Alangkah gembiranya di hati hanya tuhan sahaja yang tahu. Mujurlah idea geliganya datang. Jika tidak sukar untuk dirinya mengelak dari turut serta ke majlis tersebut. Bukan niatnya untuk berbohong, tetapi keadaan memaksanya untuk berbuat begitu.
Hazrel merebahkan badannya di atas katil. Tangan diletakkan di atas dahi dan merenung siling putih di dalam biliknya itu. Keluhan halus dilepaskan. Keletihan yang mencengkam diri dari semalam, sudah pun direhatkan. Masalah Syarikat Cahaya Sdn Bhd perlu diselesaikan seberapa segera. Syarikat yang baru dua tahun di ambil alih oleh papanya. Pada mulanya dia menentang keras niat papanya untuk mengambil alih syarikat yang hampir bankrap itu. Entah apa yang dipandangkan oleh papanya, dia sendiri tidak pasti. Apa yang menjadi susah baginya, bagaimana untuk memulihkan masalah kewangan syarikat tersebut?
Hazrel menyandarkan tubuhnya di kepala katil. Telefon bimbit di atas meja di sisi katil, dicapai dan ditatap penuh jelek. Entah macam mana telefon bimbit itu boleh berada di dalam keretanya, dia sendiri tidak pasti. Terkejut dia menerima telefon itu dari pekerja workshop pagi tadi. Bersungguh dia menafikan telefon itu bukan miliknya. Tetapi apabila diberitahu, telefon itu dijumpai di dalam keretanya, nak tak nak, terpaksalah dia menerima telefon tersebut. Betapa gelinya dia memegang telefon itu.
“Huh! Zaman sekarang mana ada orang main telefon murah macam ni. Hanya orang biasa aje yang layak guna telefon ni,” cebik Hazrel meluat.
Lantas ditekan butang unlock untuk memeriksa data di dalam telefon itu. Satu persatu data di dalam telefon itu diperiksa. Dia menekan menu dan terus ke inbox. Membaca mesej di dalamnya.
“Apa ke teruk orang ni. Satu haram mesej pun tak ada. Kolot betul!” kutuk Hazrel pula.
Tangannya lincah menekan butang telefon bimbit itu satu persatu. Diterjah data yang terdapat di dalam telefon bimbit itu.
“25 Februari – Aku kehilangannya pada hari lahirku,” tutur Hazrel perlahan. “Abang sayangkan Ain. Jaga diri Ain baik-baik. Abang akan doakan kebahagiaan Ain – Az, 25 Februari,” sambung Hazrel lagi.
Berkerut dahinya membaca perkataan itu. Lantas dicapai kalendar yang berada di atas meja, mencari-cari tarikh 25 Februari. Setelah itu, dia melepaskan keluhan berat. Dicampak kalendar tersebut bersama telefon bimbit itu ke sisi katil. Hatinya tiba-tiba menjadi sebak dan pilu. Kerinduan terhadap seseorang yang amat disayanginya suatu masa dahulu mencengkam dirinya ketika ini.
Hazrel menarik laci dan mengeluarkan album gambar dari dalam laci tersebut. Diselak satu persatu dan ditatap gambar yang berada di dalam album itu. Senyuman terbias diwajahnya ketika itu. Namun tingkahnya terhenti tatkala matanya tertancap pada sekeping gambar yang menjadi memorinya sehingga ke hari ini.
“Haz rindukan abang. Kenapa abang pergi dulu dari Haz? Abang tahu tak betapa susahnya Haz nak terima kenyataan yang abang pergi tinggalkan Haz. Abang mungkir janji dengan Haz,” rintih Hazrel sendirian.
Masih terngiang-ngiang di cuping telinganya akan kata-kata Hazrul tidak lama dulu. Sungguh Hazrel tidak dapat menerima kenyataan bahawa abang kembarnya pergi meninggalkannya terlebih awal dari dirinya.
“Haz, kalau abang pergi dulu, Haz janji akan jaga mama dan papa baik-baik. Jadi anak yang soleh dan mendengar kata orang tua. Jangan jadi macam abang Haz. Abang anak derhaka. Abang bantah cakap mama. Mungkin sebab inilah hidup abang sentiasa tak tenteram disebabkan abang melawan cakap mama,” luah Hazrul pada suatu hari sewaktu mereka berdua berjogging bersama di tasik.
“Abang merepek apa ni? Buang tebiat dah ke?” kutuk Hazrel dan tergelak. Geli hatinya mendengar kata-kata yang keluar dari mulut kembarnya itu.
“Abang tak merepek Haz. Apa yang abang cakapkan ni, benar. Abang melawan cakap mama disebabkan orang yang abang cintai. Kalau Haz bercinta nanti, jangan jadi macam abang. Restu keluarga itu penting Haz, ingat pesan abang ni,” jelas Hazrul lagi.
Matanya menatap mesra wajah adik kembarnya itu. Wajah yang sering dirinduinya selepas keluarganya mengambil keputusan untuk menghantar Hazrel melanjutkan pelajaran ke luar negara. Berkeras Hazrul menolak untuk ke luar negara, kerana tidak sampai hati untuk meninggalkan gadis yang sudah bertahta di dalam hatinya ketika itu.
“Haz cuti berapa lama?” tanya Hazrul prihatin.
“Sebulan aje bang. Ini pun balik sebab mama yang suruh. Kalau tidak, malas Haz nak balik sini. Buat penat dan habis duit aje. Kalau kat sana, bolehlah enjoy sikit!” jawab Hazrel dan tertawa kecil.
“Haz habiskan pengajian Haz dulu, kemudian barulah fikir pasal enjoy. Bila Haz dah berjaya, Haz buktikan pada papa dan mama yang Haz tidak sia-siakan masa belajar Haz di sana,” nasihat Hazrul lembut.
“Kenapa abang tak ikut sama dengan Haz? Kan papa dan mama hantar kita berdua ke sana sama-sama. Kalau ada abang, mesti meriah hidup Haz kat sana.”
“Abang ada sebab kenapa tak nak ke sana. Tak mengapalah Haz. Belajar kat mana-mana pun sama aje. Janji kita dapat segulung Ijazah tu,” beritahu Hazrul jujur.
Hazrel mengangguk faham. Ada benarnya juga kata-kata Hazrul. Belajar di mana-mana pun sama juga. Yang penting, dapatkan segulung Ijazah.
“Ingat pesan abang Haz. Abang sentiasa doakan kebahagiaan Haz. Andai abang pergi dulu, jangan lupa mendoakan kesejahteraan abang di sana. Abang sayangkan Haz,” pesan Hazrul dan tersenyum.
“Hazrel! Hazrel!” panggil Mak Tun mematikan lamunan panjang Hazrel.
Segera dia menyeka air mata yang mengalir perlahan membasahi pipinya. Sejak bila dia menangis, dia sendiri tidak pasti. Mujurlah dia berada di dalam bilik, jika tidak, bagaimana untuk menyorokkan mukanya ketika itu. Sudah pastilah dia akan merasa malu andai kata orang lain melihatnya berkeadaan begitu sebentar tadi.
“Hazrel!” panggil Mak Tun lagi.
“Apa?” tanya Hazrel meninggi.
“Ada orang nak jumpa dengan Hazrel. Dia tunggu di bawah,” jawab Mak Tun.
“Siapa?”
“Mak Tun tak kenal Hazrel.”
“Baiklah. Kejap lagi Haz turun,” jerit Hazrel dari dalam bilik.
Mak Som yang mendengar, segera berlalu pergi dari situ. Dia perlu menyambung semula kerjanya yang tertangguh.
“Siapa pulak yang nak jumpa aku malam-malam ni? Penyibuk betullah!” rungut Hazrel sendiri seraya turun dari katil.
Kemudian dia menapak keluar dari bilik. Melangkah jalan menuju ke ruang tamu. Hatinya tertanya-tanya, siapa yang ingin berjumpa dengannya malam-malam begini.
“Nak jumpa saya ke?” tegur Hazrel sebaik sahaja berada di belakang lelaki tersebut.
Bro. Dah tak kenal dengan aku lagi ke? Baru enam bulan tak jumpa, kau dah tak ingat kat aku. Apa punya kawanlah kau ni,” balas Izzuddin Hanif berserta senyuman.
Hazrel mengerutkan dahi. Diamati wajah yang berada di hadapannya itu. Otaknya cuba untuk merencanakan sesuatu.
“La, kau ke Izz. Hisy, hampir aku terlupa dengan kau. Bila kau balik?” tanya Hazrel seraya bersalaman dengan Izzuddin.
“Bulan lepas,” jawab Izzuddin dan membalas salaman Hazrel.
“Apasal tak bagitau aku awal-awal. Kalau tak, boleh aku jumpa kau lepas kau balik sini,” rajuk Hazrel dan melabuhkan duduk di sofa. Izzuddin turut mengikut tingkah Hazrel.
“Aku nak bagitau kau, tapi handphone aku kena curi kat sana. Semua nombor contact member-member kita termasuk kau, aku tak save kat mana-mana. Jadi aku loss contact dengan korang semua,” jelas Izzuddin.
“Habis tu, macam mana kau boleh datang sini? Setahu aku, mana pernah aku bagi address rumah aku pada kau malah sesiapa pun.”
“Kebetulan aku terjumpa dengan papa kau siang tadi, jadi aku minta maklumat dari papa kaulah,” jelas Izzuddin dan tersenyum.
“Eh, kau pernah jumpa dengan papa aku ke?” tanya Hazrel berkerut.
“Apasal kau bengap sangat Haz. Kan aku pernah jumpa dengan papa kau masa kat KLIA dulu. Apa kau dah lupa ke?” jawab Izzuddin dan tergeleng.
“Oh aku lupalah Izz. So, kau dah kerja ke belum?” tanya Hazrel ingin tahu.
“Belum,” jawab Izzuddin.
Hazrel menghela nafas pendek. Matanya tertancap ke arah Mak Tun yang sedang menghidangkan air di atas meja. Setelah itu, kelibat Mak Tun hilang di sebalik pintu dapur.
“Kau tak nak kerja dengan papa kau ke?” tanya Hazrel ingin tahu.
“Malaslah aku Haz. Aku nak cuba hidup berdikari. Nak timba pengalaman kat tempat orang lain dulu sebelum aku bekerja dengan dia. Lagipun abang aku ada untuk bantu papa aku tu,” jelas Izzuddin dan tersenyum.
“Hisy kau ni. Dah ada jalan mudah, kau ikut jalan susah. Tak faham aku dengan perangai kau ni. So, kau nak kerja kat mana?”
“Ha… baik punya soalan. Kau ada lubang tak?” tanya Izzuddin dan tersengih.
Hazrel mencebik. Meluat melihat sengihan Izzuddin itu.
“Nanti aku tanyakan pada papa aku. Mungkin kau boleh kerja kat syarikat yang papa aku ambil alih dua tahun yang lepas. Tapi, syarikat tu dekat Shah Alam. Kau tak kesah ke?” terang Hazrel seraya mencapai gelas minuman dari atas meja. Lalu diteguk air di dalam gelas itu.
“Tak pe Haz. Aku tak kisah. Janji aku dapat timba pengalaman kat tempat orang. Lagipun business papa kau dan papa aku tak sama. Apa salahnya aku belajar benda yang baru,” balas Izzuddin dan tersenyum. Tangannya turut mencapai gelas minuman.
“Okey, nanti aku tanyakan pada papa. Apa-apa hal nanti, aku call kau.”
Thanks bro. Kau bagi nombor phone kau pada aku sekarang, nak misscall. Nanti aku lupalah,” ujar Izzuddin dan tersengih.
Hazrel mengangguk. Telefon bimbit dari dalam poket seluar dikeluarkan. Setelah bertukar nombor, segera dia memasukkan semula telefon ke dalam poket seluarnya.
“Kau steady dengan siapa sekarang?” tanya Hazrel sekadar ingin tahu.
Nope! Why?” jawab Izzuddin sambil jarinya menekan butang di telefon bimbitnya.
“Hai, bukan ke kau ‘mat romeo’ kat universiri dulu. Takkan dah hilang taring kau tu,” sindir Hazrel sinis.
“Itu dulu Haz. Sekarang aku dah tak macam tu lagi. Aku dah berubah. Umur pun dah meningkat Haz. Sudah tiba masanya aku mencari seorang perempuan untuk dijadikan isteri,” bidas Izzuddin dan tersenyum.
“Alah, muka macam kau, senang aje nak dapatnya. Tak payah lah kau nak risau. Kau petik jari aje, berduyun yang datang,” seloroh Hazrel dan tergelak. Geli hati dengan ayatnya itu.
Izzuddin turut sama tertawa. Ada benarnya kata-kata Hazrel itu. Dulu dialah yang terkenal di universiti sehingga mereka menggelarkannya ‘mat romeo’. Tetapi, sejak dia berjumpa dengan gadis yang tidak dikenalinya sebulan lepas, hatinya sudah diserahkan pada gadis tersebut. Gadis yang telah menyelamatkannya dari dilanggar kereta sebulan yang lepas. Betapa terhutang budinya dia dengan gadis itu. Belum sempat dia mengucapkan terima kasih pada gadis tersebut, kelibat gadis itu menghilang dari pandangan matanya. Sungguh dia perlu mencari gadis itu. Setiap hari dia berdoa agar ALLAH mempertemukannya dengan gadis tersebut.
“Kalau buat girlfriend, ramailah Haz. Kalau untuk dijadikan isteri, susah Haz. Dalam senarai tu, hanya seorang aje yang boleh dijadikan isteri,” bidas Izzuddin keras.
Hazrel terkedu mendengarnya. Ada benarnya juga kata-kata Izzuddin itu. Kebanyakan kawannya berkahwin dengan orang lain dan bukan teman wanita mereka sendiri. Ada juga yang berkahwin dengan teman wanita sendiri, tetapi masih boleh dikira bilangannya. Mungkinkah dia akan berkahwin dengan pilihannya sendiri atau pilihan mamanya, Qistina? Hazrel menelan liurnya sendiri tatkala memikirkan persoalan itu.
“Okeylah Haz. Aku minta diri dululah. Dah lewat malam ni. Apa-apa nanti, kau inform akulah. Hope dapatlah aku bekerja bersama dengan kau nanti,” suara Izzuddin berharap.
“Aku akan cuba tanyakan pada papa aku. Apa-apa nanti, aku inform kau,” balas Hazrel.
“Terima kasih bro,” ucap Izzuddin seraya bangun dan menapak jalan menuju ke pintu utama. Sebuah senyuman dihadiahkan buat Hazrel.
“Tak ada apalah sangat Izz. Aku pun harap kau dapat bekerja dengan aku. Tak adalah aku bosan sangat kat syarikat tu nanti bila papa aku kerahkan aku sepenuhnya di sana,” balas Hazrel turut sama berharap.
Arahan Dato’ Ridzuan masih terngiang-ngiang di kotak fikirannya. Arahan yang memintanya menguruskan Cahaya Sdn Bhd sepenuh masa. Jika diikutkan hati, mahu sahaja dia menolak arahan itu. Namun apakan dayanya kerana arahan tetap arahan. Malah Dato’ Ridzuan merupakan seorang yang tegas dengan keputusannya. Sebagai anak, dia terpaksa akur dengan arahan Dato’ Ridzuan itu.

14 ulasan:

  1. owh....dia ni dh kena brainwashed!! patutlah pelik semacam allergic org miskin mamat ni.

    Hazrul ni mst si kembar hazrel...hehehe (somehow teringat Airyl and adik dia airul^^ weeee)

    tringin nak tau full story Ain and Hazrul ap dh jd sbnrnya~!!

    Ps: EDDIE BAIK... less than three eddie^^ weeeee..

    BalasPadam
    Balasan
    1. kisah Ain & Hazrul?? ada, cuma lmbt cktlah.. akak suka EDDIE, mmg jatuh cinta dgn watak EDDIE ni.. aah la, teringat kat Airyl yg comel tu.. bl nk smbg n3.. alamak, sempat buat permintaan tu.. haha.. :D

      Padam
    2. tepat 12 malam, hehe... another 23 hours +, insya allah sya update n3^^ weeeeeee

      Padam
    3. hehe.. ok2, akak tggu.. :D

      Padam
  2. Sape yg izz bekenan tu? Ain ke? Jeng jeng jeng.. Tmbh kekwat la haz tu nti

    BalasPadam
    Balasan
    1. haha.. jeng2, next n3 baru tau Izz kenan kat sape.. mmg kekwat Hazrel tu..

      Padam
  3. Wah... dah tahu serba sdkt.. kak, xnak wat cam NT GB kea... Satu hari 3 or 2 bab... best sikit nak baca... heheheheh...

    BalasPadam
    Balasan
    1. hehe... AJID ni still menaip lg.. ms HM & GB dlu, akak dh siapkan byk bab, then baru akak n3 kat blog.. :D

      Padam
  4. wah..best..best..tak sbr nak bace ag..^^

    BalasPadam
  5. suka pulak dkt izzuddin hanif ni...dy ni mcm akn jd pesaing hazrel ja..hehe...sori akak,trlbh pkr plak...will be waiting 4 ur next n3...sabar2..:)

    BalasPadam
    Balasan
    1. hehe.. watak yg plg akak suka dlm AJID.. Izzuddin Hanif.. :D

      Padam
  6. gediknye qis tu.. hehehehehe...

    BalasPadam