Ahad, 4 Disember 2011

Hatimu Milikku - Bab 7


BAB 7

“Ada apa Tengku?” soal Aisya setibanya di dalam bilik Tengku Hariz.
Tengku Hariz menyelak helaian kertas satu persatu laporan yang disediakan oleh Aisya tanpa mempedulikan persoalan dan kehadiran Aisya di dalam bilik itu.
“Tengku panggil saya kenapa?” ulang Aisya semula apabila menyedari tiada tindak balas dari Tengku Hariz. Eee… geramnya aku! Bentaknya di dalam hati.
Tengku Hariz mengangkat muka apabila terdengar dengusan kecil dari arah Aisya. Ternyata Aisya sedang cuba menahan kemarahan. Seperti dirinya juga, turut sama menahan kemarahan selepas apa yang dilihatnya di restoran seminggu yang lalu. Aisya bersama dengan seorang lelaki! Kenyataan yang tidak dapat diterima. Ah! Kenapa aku tiba-tiba cemburu dengan lelaki itu? Kenapa aku berperasaan begini sedangkan baru sebulan dia bekerja di sini? Aku baru saja mengenalinya, tetapi seolah-olah aku sudah lama mengenalinya. Aduh! Adakah aku sudah jatuh cinta padanya? Teka Tengku Hariz. Ah! Tak mungkin aku boleh jatuh cinta pada perempuan seperti dia, tepis hatinya keras. Cuba menafikan dengan apa yang dirasakannya terhadap Aisya.
“Tengku panggil saya kenapa? Jika tiada apa-apa, saya minta diri dulu,” geram Aisya sekali gus menepis lamunan Tengku Hariz. Terkebil-kebil dia melihat Aisya. Seketika tadi hatinya sedang berbunga riang tatkala memikirkan tentang Aisya.
Aisya memulakan langkah untuk segera keluar dari bilik itu. Bilik yang amat menyesakkan nafasnya selama dia bekerja di situ.
“Nanti dulu!” panggil Tengku Hariz mematikan langkah Aisya.
Aisya melepaskan keluhan kecil sambil memandang Tengku Hariz yang masih berlegar-legar jalan di hadapannya itu. Dia kurang selesa tatkala Tengku Hariz memandang tajam ke arahnya serta memerhatikannya dari atas ke bawah.
“Apa masalah dengan awak ni Aisya? Awak marahkan saya?” suara Tengku Hariz ingin mengungkai sikap dingin Aisya terhadapnya selama ini.
Huh! Aku yang bermasalah atau dia yang bermasalah, kutuk Aisya di dalam hati.
“Masalah? Masalah apa?” Aisya memulangkan soalan kepada Tengku Hariz semula.
Tengku Hariz cuba berlagak tenang di hadapan Aisya. Dia tidak mahu di anggap lemah apabila berhadapan dengan perempuan yang telah berjaya mencuri hatinya yang selama ini dipagari kemas olehnya.
“Awak…..” tersekat-sekat Tengku Hariz meluahkannya.
“Tengku, saya ada banyak kerja yang perlu saya siapkan. Saya juga yang akan dimarahi oleh Tengku jika saya tak menyiapkannya dengan cepat,” potong Aisya dan segera berlalu pergi meninggalkan Tengku Hariz yang masih lagi termati kata-kata.
Tengku Hariz tergamam dengan tindakan Aisya. Matanya mengekori kelibat Aisya hingga hilang di sebalik pintu bilik itu.
“Ish!! Menyusahkan betullah dengan dia tu. Buang masa betul pergi jumpa dia. Meluat betul aku. Nasib baik kau bos aku, kalau tak… nahas kau aku marahkan!” kutuk Aisya dari dalam benak hati yang dari tadi ditahan-tahan.
“Aisya, apa yang Aisya bebelkan tu?” sapa Nurul dengan tiba-tiba apabila terlihat mulut Aisya  terkumat-kamit seperti menyumpahkan seseorang.
“Eh, mana ada kak,” bidas Aisya spontan.
“Ala, macamlah akak tak nampak. Bos nak ngorat Aisya kan,” gurau Nurul sambil menyiku lengan Aisya. Aisya mengerling ke arah Nurul. “Apa salahnya Aisya. Bos tukan kaya, handsome, baik dan lain-lain lagi menjadi idaman semua wanita di Kuala Lumpur ni termasuklah akak. Kalau akak belum kahwin, dah lama dah akak ngorat bos tu tau,” sambung Nurul diselangi dengan gelak tawanya yang bersahaja.
What? Handsome? Baik? Kaya? Wuekk!! Nak termuntah aku mendengarnya. Aku tak pandang la semua tu. Lagipun dia bukan taste aku, nafi Aisya untuk cuba menidakkan kenyataan Nurul sebentar tadi.
“Woit!! Menung pulak budak ni. Jom kita kuar makan!” sergah Nurul mematikan penafian Aisya. Dia mengerling jam di tangan, ternyata jarum sudah pun menghampiri ke angka satu petang.
“Tak pelah kak, saya ada bawa bekal,” tolak Aisya lembut. Nurul hanya mengangguk dan meninggalkan Aisya yang masih lagi mengadap komputer menaip sesuatu.

Aisya khusyuk menikmati makanan yang dimasaknya pagi tadi. Dia juga membekalkan Nadia bekalan yang sama walaupun dikutuk hebat oleh rakan baiknya itu. Dia tersenyum sendiri mengingati peristiwa pagi tadi. Semahu-mahunya Nadia cuba menolak kerana menganggap perbuatan itu seperti kebudak-budakkan dan memalukan. Tetapi setelah dipujuk dan dirayu, barulah Nadia bersetuju untuk membawa bekalan itu.
“Kenapa tak keluar makan?” tegur seseorang menghalau lamunan Aisya. Riak di wajah berubah serta merta apabila terpandangkan Tengku Hariz. Selera makannya terhenti dengan tiba-tiba.
“Malas.” Hanya sepatah ayat yang keluar dari mulut Aisya.
Tengku Hariz mengangkat kening, tidak suka dengan layanan Aisya terhadapnya.
“Erm… awak masak ke? Boleh saya rasa?” ujar Tengku Hariz lagi. Sekadar mengambil hati Aisya. Matanya tertancap ke bekas makanan Aisya. 
Eh mamat ni, asal baik sangat ngan aku ni. Buang tebiat apa. Suka hati mak bapak dia aje nak rasa masakan aku, bebel Aisya di dalam hati sambil matanya memandang ke arah lain.
Tengku Hariz menyedari akan kedinginan Aisya. Dia tergelak kecil kerana tidak tahan melihat gelagat Aisya yang cuba melarikan pandangan dari memandang ke arahnya sedari tadi lagi.
Aisya mengerutkan dahi apabila terdengar ketawa kecil Tengku Hariz. Pandangannya dikalihkan ke wajah Tengku Hariz. Seminit kemudian, dia melarikan pandangan apabila secara tidak sengaja bertemu mata dengan Tengku Hariz. Jantungnya berdegup kencang disebabkan situasi sebentar tadi.
“Hai Aisya!” tegur seseorang mematikan tingkah mereka berdua.
“Eh Amirul, Amirul buat apa kat sini?” tanya Aisya terkejut seraya bangun dan melangkah menghampiri Amirul yang sedang berdiri berhampiran pintu utama.
Tengku Hariz terkejut dengan kehadiran lelaki itu. Dia cuba untuk mengingati wajah lelaki itu. Jika dia tidak silap, dia pernah terserempak dengan lelaki itu sebelum ini.
“Kebetulan Amirul ada meeting berhampiran dengan bangunan ni tadi, so Amirul singgah la kejap kat sini. Nasib baik Aisya ada, takut jugak tadi kalau-kalau Aisya keluar pergi makan. Aisya dah makan ya, Amirul baru nak ajak Aisya lunch,” jelas Amirul sambil matanya tertancap ke bekas makanan Aisya yang masih berbaki.
“Err… memang Aisya dah makan. Tapi, tak mengapalah… Aisya temankan Amirul makan. Jom!” balas Aisya dan menarik lengan Amirul agar segera beredar dari ruangan itu. Amirul menuruti langkah Aisya, sempat juga dia melemparkan sebuah senyuman buat Tengku Hariz yang dari tadi diam membisu.
Tengku Hariz mengetap bibir, menahan marah dan geram dengan tindakan Aisya. Kenapa Aisya begitu mesra dengan lelaki itu? Kenapa Aisya bersikap dingin dengannya? Apa hubungan mereka berdua? Kesemua soalan itu dihalakan ke dalam kotak fikirannya yang masih memerlukan jawapan dari Aisya.


“Thanks!” ucap Aisya sambil meneguk segelas limau ais.
“Thanks? For what?” ulang Amirul kehairanan.
Aisya hanya tersenyum.
“Aisya!!” desak Amirul.
“Sebab Amirul larikan Aisya dari orang gila tu tadi,” ujar Aisya spontan disertai dengan ketawa kecil. Geli hati melihat raut wajah Tengku Hariz sebentar tadi. Kelat!!
“Orang gila?” ulang Amirul kurang faham. Dia memandang tepat ke wajah Aisya dan menginginkan jawapan. Siapa yang Aisya maksudkan?
“Dahlah… tak payah difikirkan sangat. Anggap aje perkara tadi tak pernah terjadi, okey!” sambung Aisya. Cuba menghilangkan rasa sangsi Amirul.
Amirul semakin tidak mengerti dan faham akan sikap dan perangai Aisya, berubah-ubah mengikut musim. Sekejap sejuk… sekejap tu panas… sekejap musim bunga pula dan sekejap musim luruh sama seperti hatinya juga. Ya, memang tidak dinafikan Aisya sebegitu orangnya. Tetapi, cuma certain-certain part sahaja Aisya akan berkelakuan sebegitu. Amirul masih ingat lagi ketika di UK dulu, Aisya berperangai seperti tadi apabila seorang junior cuba meluahkan perasaan kepada Aisya. Aisya yang ingin lari dari situasi itu telah meminta Amirul menyamar menjadi teman lelaki Aisya. Berharap junior itu kecewa dan tidak mengganggu Aisya lagi.
Tapi, siapa lelaki tadi? Yang sama-sama berada di sisi Aisya. Bos dia atau kekasihnya? Persoalan itu dimatikan oleh Amirul begitu saja dan menumpukan semula perhatian kepada pemanduan. Dia ingin menepis segala kemungkinan terhadap lelaki itu tadi. Untuk menyedapkan hati sendiri, dia beranggapan lelaki tadi adalah bos Aisya. Ah! Mustahil Aisya tidak akan terpikat dengan ketampanan lelaki itu tadi. Pandangan dan lirikan mata lelaki itu terhadap Aisya, sudah pun memberitahu bahawa lelaki itu punya perasaan terhadap Aisya. Aisya cuba untuk menafikannya. Aisya! Kenapa hatimu sekeras batu kelikir. Lembutkanlah hatinya Ya ALLAH, bisik Amirul di dalam hati diikuti dengan sebuah keluhan berat.


“Aisya cepat, bos cari tu,” kalut Nurul tatkala melihat kelibat Aisya masuk ke dalam pejabat. Aisya memandang jam di tangan, masih berbaki 10 minit waktu rehatnya.
“Aduh! Apa masalah dengan dia tu. Tak habis-habislah nak menyusahkan orang,” rungut Aisya sambil mengurut kecil bahu yang terasa sakit.
“Ish! Tak baik tau cakap macam tu, diakan bos kita,” tegur Nurul keras.
Aisya mencebikkan bibir. Tidak bersetuju dengan kata-kata Nurul. Lantas dia duduk dan mengemas mejanya yang agak berselerak.
“Eh budak ni, boskan panggil Aisya... kenapa tak pergi lagi?” tekan Nurul berupa arahan.
Aisya bermuka selamba. Tidak mengendahkan arahan Nurul. Malah dia meneruskan kerja mengemasnya. Nurul di sisi buat pandang tak pandang sahaja.
Nurul mengerutkan dahi. Semakin mengenali Aisya, semakin pelik dia melihat perangai Aisya. Arahan Tengku Hariz tidak diendahkan. Belum pernah ada sesiapa pun yang berani membantah perintah atau arahan Tengku Hariz melainkan Aisya. Berani betul budak Aisya ni, kagum Nurul sendirian.
“Dah pukul 2 kan!” suara Aisya tiba-tiba.
Nurul mengangguk.
“Masa untuk bekerja, baru boleh jumpa bos,” perli Aisya dan melangkah jalan menuju ke bilik Tengku Hariz.
Nurul tertawa kecil. Barulah dia faham kenapa Aisya tidak berganjak dari meja sedari tadi. Betul juga tindakan Aisya, hanya satu jam sahaja waktu rehat mereka dan semolek-moleknya dipergunakan waktu itu dengan betul dan bijak. Aku pun harus setegas Aisya, bisik Nurul dan menyambung semula kerja yang tertangguh sebelum waktu rehat tadi.


Perasaan marahnya bagaikan gunung berapi yang menunggu masa untuk meledakkan lavanya. Entah mengapa dia terasa cemburu dengan kemesraan yang ditunjukkan Aisya terhadap lelaki itu. Dia mundar-mandir di dalam bilik sejak tadi. Segala yang dilakukan menjadi serba tak kena disebabkan Aisya. Dia melirik jam di tangan, 2.05 petang, namun kelibat Aisya tidak juga muncul-muncul. Apakah Nurul tidak menyampaikan pesanannya? Adakah Aisya masih belum pulang dari berjumpa dengan lelaki tadi? Arghhh!!! Kenapa dengan aku ni? Jeritnya di dalam hati. Cuba menghalau perasaannya terhadap Aisya.
“Ada apa Tengku panggil saya?” suara Aisya tiba-tiba.
Tengku Hariz terkejut. Malah teguran Aisya itu telah membuatkan dia hampir terjatuh akibat terlanggar kaki sofa yang berada di situ. Terbeliak mata Aisya melihat keadaan Tengku Hariz itu. Dia hampir tergelak namun di tahannya agar tidak terkeluar.
“Kenapa lambat?” soal Tengku Hariz keras. Cuba berlagak selamba dengan kejadian yang hampir memalukan dirinya sebentar tadi. Mukanya terasa merah disebabkan insiden yang tidak sengaja itu tadi.
“Lambat? Maksud Tengku?” ulang Aisya semula. Tidak mengerti akan soalan Tengku Hariz itu.
Tengku Hariz menarik nafas dan melepaskannya. Dia membetulkan keadaan dirinya dan berjalan menghampiri Aisya.
Aisya setia menunggu. Dia memandang tepat ke wajah Tengku Hariz yang masih lagi menahan malu. Jelas kelihatan rona merah di pipi Tengku Hariz.
“Oh! Maksud Tengku, pesanan yang Tengku tinggalkan pada Nurul sebentar tadi, begitu?” sambung Aisya pura-pura. Pada dasarnya, dia sudah mengagak pertanyaan Tengku Hariz tadi.
Tengku Hariz mengangguk seraya bersuara.
“Saya pantang kalau staf saya ingkar dengan arahan saya. Awak melampaui batasan awak sebagai staf saya.” Ada nada tegas dari suara Tengku Hariz.
Aisya hanya mendengar tanpa berkata apa-apa. Dia hanya menunggu masa untuk membalas kata-kata Tengku Hariz. Macam bagus sangat, cebik Aisya di dalam hati.
“Awak faham Aisya!” sambung Tengku Hariz lagi melihatkan reaksi bersahaja Aisya.
“Tengku dah habis?” tanya Aisya seakan-akan mengejek.
Tengku Hariz mengangkat kening, hairan dengan pertanyaan Aisya. Belum ada mana-mana pekerja bawahan yang berani menentang dan melawan arahannya melainkan Aisya.
“Kalau Tengku dah habis, saya keluar dulu. Bila hati Tengku dah sejuk, baru panggil saya semula, okey!” sambung Aisya selamba dan membawa tapak kakinya menuju ke muka pintu bilik.
Aisya malas nak bertekak dengan Tengku Hariz disebabkan perkara yang tidak masuk dek akal. Bagi Aisya tidak seberapa penting untuk dia menjelaskan akan kelewatannya itu. Malah tidak sedikit pun dia melawan arahan Tengku Hariz. Belum sempat tangannya memulas tombol pintu, lengannya sudah direntap oleh Tengku Hariz dari arah belakang.
“Kalau awak nak bermesra dengan lelaki lain, bukan dalam waktu kerja awak. Awak boleh buatnya selepas waktu kerja,” lontar Tengku Hariz dari dalam hati yang sekian lama ditahan-tahan.
Berkerut dahi Aisya mendengarnya. Wajah Tengku Hariz di tatap curiga.
“Excuse me Tengku Hariz. For your information, saya lewat bukan disebabkan bermesra dengan lelaki, berdating dengan lelaki, saya sengaja lewat kerana waktu kerja saya bermula dari pukul 2. Jangan pandai persoalkan waktu kerja orang lain jika diri sendiri pun tak betul. Kenapa perkara kecil saja Tengku nak perbesar-besarkan? Be professional Tengku! Jangan campur adukkan urusan peribadi dengan kerja. Kalau Tengku masih tak berpuas hati dengan saya, saya boleh letak jawatan sekarang,” marah Aisya. Dia perlu membawa dirinya keluar dari bilik yang semakin menyesakkan nafasnya. Sakit hatinya apabila Tengku Hariz mempersoalkan waktu kerjanya. Dia juga tidak suka orang lain mencampuri urusan peribadinya. Aisya menoleh semula ke arah Tengku Hariz yang masih membisu seribu kata sebelum memulas tombol pintu.
“Ha lagi satu Tengku, suka hati sayalah nak bermesra ke, nak berdating ke, nak bercium ke atau apa-apa aje. Lagipun apa hak Tengku nak menegur saya. Tengku bukan siapa-siapa dengan saya. Jadi tolong jangan campuri urusan peribadi saya!” tegas Aisya dan keluar dari bilik itu dengan senyuman sinis buat Tengku Hariz. Seminit kemudian, kelibat Aisya hilang di sebalik pintu bilik.
Tengku Hariz menyandarkan kepala sambil kedua-dua belah tangan diletakkan di belakang kerusi. Matanya tertancap ke siling di dalam bilik itu. Dia benar-benar terasa dengan kata-kata Aisya sebentar tadi. Salah dia juga kerana mencampur adukkan hal kerja dan juga peribadi. Silap dia juga kerana mempersoalkannya. Wajah Aisya datang silih berganti di ruangan mata. Dia diselubungi rasa bersalah dengan tuduhan melulunya terhadap Aisya. Entah mengapa dia tidak dapat menahan kemarahan apabila mengingati semula akan kemesraan Aisya bersama lelaki tersebut. Ah! Kenapa dengan aku ni? Peduli apa aku kalau dia nak bermesra ke apa ke, bukan ada kena-mengena dengan aku pun, marahnya di dalam hati.


Apa masalah dengan dia tu? Suka sangat cari pasal dan menyusahkan aku. Tanya yang bukan-bukan. Apa dia fikir dia bos, dia boleh buat sesuka hati dengan aku, marah Aisya di dalam hati pada malam itu. Dia tidak mengerti dengan sikap Tengku Hariz. Ada ketika Tengku Hariz terlalu baik dengannya dan ada ketika Tengku Hariz bersikap dingin dan marah-marah dengannya. Nak menopause kot mamat sengal tu. Ketawanya tiba-tiba.
“Apa yang kau gelakkan tu?” soal Nadia dengan tiba-tiba. Aisya mematikan ketawanya. Nadia berjalan menghampiri Aisya yang masih lagi khusyuk mengadap laptop. “Kau ingatkan pakwe kau ya,” sambung Nadia lagi sambil mengangkat-ngangkat keningnya menunggu jawapan dari Aisya.
“Pakwe? Siapa? Mana ada?” dalih Aisya.
Nadia tertawa kecil mendengar jawapan Aisya.
“Aku teka aje. Eh Aisya, malam tu dia buat apa kat kau ha?” Aisya terkejut dengan pertanyaan Nadia. Sekilas itu dia berpaling ke arah Nadia yang sudah pun duduk di birai katil.
“Oppsss… soalan maut. Tertanya la pulak, aduh!” jerit kecil Nadia sambil menutup mulutnya dengan kedua-dua belah tangan. Macam mana pulak aku boleh tertanya ni, habislah aku, bisik Nadia. Bingkas dia bangun dan cuba berjalan keluar dari bilik itu.
“Nadia!” panggil Aisya mematikan langkahnya. Aisya bangun dan menghampiri Nadia yang masih lagi dengan riak cemas.
“Kau nampak?” agak Aisya dengan nada terketar-ketar.
“Nampak? Nampak apa Aisya? Aku tak paham,” ulang Nadia sengaja mengelak dari menjawab pertanyaan Aisya.
“Kau jangan nak dalih la Nadia. Aku tahu kau nampak apa yang berlaku pada malam tu kan,” sangkal Aisya dengan dalih yang dibuat-buat oleh Nadia.
“Aku…. aku….” terhenti apabila telefon bimbit Aisya berbunyi. Aisya mencari-cari telefon bimbitnya. Setelah berjumpa, lantas menjawab panggilan tersebut.
Melihatkan Aisya yang sedang khusyuk menjawab panggilan, Nadia cuba memboloskan diri dari dalam bilik Aisya dengan melangkah perlahan-lahan agar tidak disedari oleh Aisya.
“Kush semangat! Hampir terkantoi tadi,” luah Nadia sambil mengurut-urut dada supaya bertenang. Dia sengaja tidak mahu mengungkit peristiwa malam itu di depan Aisya kerana dikhuatiri menambahkan kelukaan dan kesakitan di hati Aisya.
“Tapikan, handsome jugak Tengku Hariz tu. Kalau aku, tak payah dipaksa-paksa, aku rela kalau dia nak kiss aku. Kih… kih… kih…” ketawa Nadia sambil tersenyum-senyum mengimbas kembali peristiwa malam itu.
“Tak, belum tidur lagi mak. Kenapa mak?” soal Aisya kepada Puan Suhaila yang berada di hujung talian.
“Aisya boleh balik kampung tak? Mak ada hal nak bincangkan dengan Aisya,” jawab Puan Suhaila mengharap.
“Ada apa ni mak, serius aje bunyinya. Mak ada masalah ke?” soal Aisya kembali apabila mendengar suara Puan Suhaila yang serak-serak basah seakan-akan menahan esakan tangisan.
“Aisya balik ya nak, mak tunggu,” balas Puan Suhaila dan mematikan talian telefon.
Aisya kelihatan kalut. Hatinya berdebar-debar dan tidak keruan dengan permintaan Puan Suhaila yang memintanya pulang ke kampung dengan segera. Mungkinkah Puan Suhaila akan mendesak dia berkahwin seperti yang terjadi sebulan yang lepas. Ah! Tidak mungkin. Siapa lagi yang mak nak jodohkan dengan aku ni, fikirnya sendiri.


8 ulasan:

  1. gamak2nya mak tengku azizul datang nak mintak maaf tak?
    oh bila nak berenti kerja? elok gak dia kerja kat tempat nadia tu, kedian baru jumpa balik gan tg ego tu.

    BalasPadam
  2. Persoalan samada Aisya berhenti kerja akan terjawab dlm bab 8... nantikannya.. ;)

    BalasPadam
  3. wokez tak sabar2 nak baca next. hehe. thanks. wink.

    BalasPadam
  4. thanks 4 the support.. hope enjoy!! :D

    BalasPadam
  5. best! best!
    cpt sambung!

    BalasPadam
  6. Thanks.. Insya-ALLAH bab seterusnya akan di upload tdk lama lg.. terima kasih di atas support anda.. ;)

    BalasPadam