Rabu, 14 November 2012

Gurauan Berkasih - Versi Cetak


Syukur alhamdulillah.. akhirnya karya kedua saya keluar.  Mulai Isnin hadapan (19/11) dah boleh order melalui  Kaki Novel

Pada yang menyokong saya selama ini, terima kasih saya ucapkan atas sokongan anda.  Tanpa anda semua, siapalah saya sekarang ini.

Pada yang mengkritik, terima kasih juga kerana mengkritik. Kritikan anda semua itu pembakar semangat buat saya untuk terus berkarya.

Khas untuk anda semua, cover ‘Gurauan Berkasih’.

Oh ya, sesiapa yang nak order melalui saya.. boleh la dibuat di group FB saya atau email saya di teratai_layu2201@yahoo.com

Terima kasih semua.








Khamis, 1 November 2012

Suara Cinta - Bab 20


BAB 20

EZZURA memerhatikan Nur Edleen yang sedang tidur. Kasihan dia melihat Nur Edleen. Kemudian, dijatuhkan matanya kepada luka yang berbalut di dahi Nur Edleen. Mujurlah hanya luka dan lebam kecil sahaja. Jika tidak, bagaimana Nur Edleen dapat menerimanya? Sedari tadi hatinya bertanya. Apa yang berlaku sebenarnya? Bila ditanya, Nur Edleen hanya tersenyum hambar. Seakan ada sesuatu yang cuba dirahsiakan oleh Nur Edleen darinya. Adakah semuanya bersangkut paut dengan Edzuary? Hatinya menduga.
Ezzura mengeluh berat. Tangannya mencapai telefon bimbit dan mendail nombor telefon Azie. Nampak gayanya, mereka terpaksa membatalkan percutian mereka pada hujung minggu depan. Tidak sampai hati membiarkan Nur Edleen bersendirian menghadapi masalah. Sebagai kawan yang paling rapat, dia perlu berada di sisi Nur Edleen, tidak kira susah ataupun senang. Berkongsi dan menyelesaikan masalah bersama.
“Kenapa Zura?” tanya Azie sebaik sahaja talian berjawab.
“Aku rasa, ada baiknya kita cancel rancangan kita tu la Azie. Leen sedang hadapi masalah besar ni,” beritahu Ezzura, tenang.
“Masalah? Masalah apa, Zura?”
“Aku sendiri tak tahu Azie. Tapi aku pasti, masalah ni hanya dia sahaja yang boleh selesaikannya.”
“Hurm, kalau macam tu, baiklah. Nanti aku bagitau pada Eka pasal ni,”
Thanks Azie. Sampaikan salam aku pada Eka. Kalau semuanya dah settle, kita teruskan rancangan kita tu balik.”
“Insya-Allah, baiklah!” balas Azie dan mematikan talian.
Ezzura meletakkan telefon bimbit di atas meja. Dia membawa langkah keluar dari bilik dan menuju ke dapur. Dia perlu menyediakan bubur nasi buat Nur Edleen. Hatinya masih lagi tertanya-tanya. Setiap persoalan memerlukan jawapan daripada Nur Edleen.


“TOLONG! Tolong selamatkan aku! Tolong!” jerit Nur Edleen. “Ya Allah, selamatkan aku!” rintihnya pula.
“Cik… cik…” panggil seseorang menyentakkan Nur Edleen. Pantas, dia menoleh ke sisi kanan. Terlihat seseorang sedang mengetuk cermin keretanya.
“Tolong saya! Tolong saya!” pintanya, mengharap. Tangannya cuba untuk menanggalkan tali pinggang keledar, namun tidak berjaya. Terasa lemah badannya ketika itu. Hanya pada Allah, Nur Edleen memohon perlindungan.
“Sekejap cik, saya cari apa-apa benda yang boleh membantu,” kata suara itu.
Nur Edleen mengangguk. Syukur, masih ada yang sudi menolongnya. Dalam masa yang sama, dia cuba untuk keluar dari dalam kereta sebaik sahaja berjaya menanggalkan tali pinggang keledar. Disebabkan kakinya tersepit di celah antara pedal brek dan minyak, menyukarkannya untuk keluar.
“Ya Allah, api!” sebut Nur Edleen tatkala matanya terpandangkan api yang sudah membakar badan kereta. “Tolong! Tolong!” jeritnya lagi. Matanya meliar mencari kelibat yang ingin menolongnya sebentar tadi.
“Ya Allah! Cik, api. Macam mana saya nak selamatkan cik?” kata suara itu.
“Tolong! Tolong selamatkan saya! Ya Allah!” pinta Nur Edleen tatkala api membakar separuh tudung dan baju yang dipakainya.
“Sekejap cik, saya cuba,” beritahu suara itu pula. Tanpa berlengah, segera, dia membuka baju dan cuba untuk memadamkan api yang sudah mulai merebak ke tempat pemandu. Sedaya upaya dia cuba untuk membuka pintu kereta, namun, disebabkan api terlalu marak, sukar untuknya bertindak. Kepulan asap yang masuk ke dalam kereta turut sama menyukarkan tindakannya juga.
“Uhuk! Uhuk!” Nur Edleen terbatuk. “Ya Allah, panas!” rintihnya pula. Matanya memandang kesungguhan insan yang cuba menyelamatkannya. Air mata sudah pun membasahi pipi. Berdoa agar insan itu berjaya menyelamatkannya.
“Cik, bersabar. Saya akan cuba keluarkan cik,” kata insan itu pula. Ya Allah, selamatkanlah dia, doanya di dalam hati.
Sedaya upaya dia cuba untuk membuka pintu kereta. Sebaik sahaja berjaya, segera dipadamkan api yang sudah membakar baju dan tudung gadis tersebut dengan menggunakan bajunya sendiri. Separuh badan gadis itu melecur. Satu lagi kesukaran yang dialaminya apabila kaki gadis itu tersepit di antara pedal brek dan minyak. Dengan lafaz bismillah, dia cuba menarik keluar kaki gadis tersebut. Ucapan syukur meniti di benak hati sebaik sahaja berjaya mengeluarkan kaki gadis itu. Tanpa berlengah, dipangku tubuh gadis itu keluar dari dalam kereta. Khuatir kereta tersebut akan meletup dan membahayakan gadis itu dan juga dirinya.
“Cik! Cik!” panggil suara itu.
Nur Edleen membuka matanya perlahan. Wajah insan yang menyelamatkannya menyapa mata. Kabur! Adakah disebabkan asap, membuatkan matanya pedih dan menjadi kabur?
“Ya Allah, syukur alhamdulillah,” ucap Nur Edleen, tersekat-sekat. “Ya Allah, sakitnya badan aku,” rintihnya, perlahan.
“Cik, saya dah call ambulans. Tak lama lagi, sampailah!” beritahu suara itu.
Nur Edleen mengangguk lemah. Kesakitan yang dialami melumpuhkan pergerakannya. Sedaya upaya dia cuba untuk melihat insan yang telah menyelamatkannya. Namun, dia hampa, pandangannya semakin kabur. Hanya sinar anak mata yang Nur Edleen nampak. Itu pun masih dalam keadaan kabur. Badannya pula melecur akibat terbakar. Dapat dirasakan kesakitan di kaki dan tangannya juga.
Bunyi bingit hon kereta mengejutkan Nur Edleen.
“Hidayah!!!” jerit suara itu.
“Ya Allah!” sebut Nur Edleen dan terjaga.
“Leen, kau dah sedar. Syukur alhamdulillah,” ucap Ezzura. Dulang yang berada di tangan diletakkan di atas meja di sisi katil. Bingkas, dia duduk di birai katil dan memeluk erat tubuh Nur Edleen. “Aku risaukan kau, Leen.”
“Aku mimpi, Zura. Aku nampak apa yang berlaku pada aku lima tahun yang lepas,” luah Nur Edleen sambil cuba menstabilkan pernafasan.
Ezzura mengerutkan dahi. Pelukan dileraikan dan menatap wajah Nur Edleen.
“Ada insan yang selamatkan aku. Dia bertungkus-lumus cuba selamatkan aku. Zura, kau tahu tak siapa dia?” terang Nur Edleen.
“Leen, mimpi tu kan mainan tidur. Tak semestinya betul,” kata Ezzura sekadar menutup perasaan gelisah Nur Edleen.
“Tak Zura. Aku yakin, apa yang aku mimpikan tadi, memang terjadi pada aku. Zura… aku nak tahu, siapa yang selamatkan aku dari kemalangan tu. Please Zura. Aku terhutang budi dengan dia,” tegas Nur Edleen.
Ezzura menarik nafas lembut.
“Mesti kau tahu, kan Zura?” duga Nur Edleen. Kesakitan di dahi tidak diendahkan. Kesakitan di hati dibiarkan sahaja. Apa yang penting, Nur Edleen perlu tahu siapa yang menyelamatkannya ketika kemalangan itu berlaku?
“Aku tak tahu Leen. Aku pun dengar dari orang-orang yang berada di kawasan tu,” jelas Ezzura, terang dan nyata.
“Mustahil kau tak tahu, Zura. Aku pasti kau tahu. Kenapa kau tak nak bagitau aku siapa? Aku ada hak untuk tahu dan aku nak ucapkan terima kasih pada dia.”
Serba salah Ezzura mendengarnya. Bukannya dia sengaja tidak mahu menjawab, kerana dia sendiri tidak punya jawapan pada persoalan Nur Edleen itu. Di mana harus dicari gerangan yang menyelamatkan Nur Edleen lima tahun yang lepas?
“Zura…” seru Nur Edleen, lembut.
“Aku akan cuba, Leen,” balas Ezzura. “Aku ada masakkan bubur nasi untuk kau. Kau makanlah. Mesti kau lapar,” beritahu Ezzura, seraya mencapai bubur nasi dari atas meja. Dihulurkan kepada Nur Edleen.
Nur Edleen mencapai huluran Ezzura. Ditenung bubur nasi tersebut. Fikiran masih menerewang mengingati peristiwa lima tahun yang lepas. Siapa yang menyelamatkannya? Siapa yang sanggup berkorban nyawa untuk menyelamatkannya ketika itu? Sungguh, hatinya tertanya-tanya. Bagaimana untuk mencari jawapan pada kesemua pertanyaannya itu?
“Hidayah!” ujar Nur Edleen, perlahan.
“Hidayah?” ulang Ezzura. “Siapa Hidayah?”
Nur Edleen menggeleng. Dicapai sudu dan mengaut sedikit bubur dari dalam mangkuk lalu disuakan ke mulutnya sendiri. Perlahan-lahan dikunyah bubur nasi tersebut. Seakan tidak memberi kesan pada anak tekaknya itu. Hatinya sebak dan pilu ketika ini. Dapat dirasakan matanya mulai berkaca-kaca. Pantas, dikerdipkan mata agar tidak gugur di hadapan Ezzura.
“Aku tak ada selera la, Zura. Aku penat,” beritahu Nur Edleen dan menghulurkan semula mangkuk bubur kepada Ezzura.
“Leen, sikit saja kau makan ni. Nanti kau lapar,” tegur Ezzura, tidak berpuas hati.
Nur Edleen tidak menjawab. Dibaringkan semula tubuhnya dan menarik selimut ke paras dada. Otaknya tidak mampu untuk berfikir. Fikirannya juga kusut ketika ini. Siapa Hidayah? Persoalan itu selalu bermain-main di minda sehingga ke hari ini. Matanya mulai berkaca-kaca. Kenapa Edzuary tega memarahinya sebegitu sekali? Kenapa Edzuary sanggup menolak tubuhnya sehingga menyebabkan dirinya terluka? Sesak nafas Nur Edleen memikirkan semua itu. Tangannya menyentuh lembut dahi yang berbalut. Perlukah dia memaafkan Edzuary?


EDZUARY membuka mata dan bangun dari pembaringan. Tangannya mengurut kecil tengkuk yang terasa sakit. Matanya meliar melihat keadaan bilik yang bergelap. Bingkas, dia bangun dan turun dari katil. Suis lampu dipetik dan keindahan bilik menyapa mata. Dia tersenyum tatkala bilik yang direka khas buat Hidayah masih tampak cantik dan indah.
“Abang takkan benarkan sesiapa pun masuk ke dalam bilik ni lagi. Maafkan abang, Dayah,” bisik Edzuary, sendirian. Setelah berpuas hati, segera dibawa langkah keluar dari bilik tersebut. Dia mencari suis lampu rumah lalu memetiknya.
“Dah malam rupanya,” kata Edzuary dan melabuhkan duduk di sofa. “Penatnya hari ini,” keluhnya dan mengerling jam di dinding. Masa sudah merangkak ke pukul sembilan tiga puluh minit malam. Terlalu lama dia tidur sehingga tidak menyedari masa sudah pun merangkak ke malam hari.
Tanpa membuang masa, bingkas, dia bangun dari duduk dan menapak ke anak tangga untuk ke tingkat atas. Dia perlu membersihkan diri terlebih dahulu sebelum mengisi perutnya yang sudah berkeroncong hebat.
“Leen!” panggil Edzuary sebaik sahaja masuk ke dalam bilik. “Kenapa gelap saja ni? Mana pulak minah ni pergi?” rungutnya dan membuka suis lampu. Melilau matanya mencari kelibat Nur Edleen, namun tidak kelihatan. “Ah! Lantak dia la. Baik aku mandi dulu,” katanya lagi dan mencapai tuala di ampaian. Laju langkahnya menuju ke bilik air.
Usai menunaikan sholat, Edzuary melabuhkan duduk di meja kerja. Laptop dibuka sekadar menyambung kerjanya yang tertangguh disebabkan Nur Edleen siang tadi. Matanya mengerling sekilas jam di dinding.
“Sebelas malam. Mana minah ni pergi? Tak reti-reti nak balik rumah ke?” rungut Edzuary sendirian berserta dengusan kecil. “Jangan-jangan, dia keluar dengan Eddry tak?” duganya pula. Lantas, telefon bimbit dicapai. Nombor telefon Eddry didail dan menanti panggilan berjawab. Segera, dia bangun dari duduk dan menapak keluar dari bilik. Tekaknya terasa kering dan perlu dibasahkan.
“Abang!” sapa Edzuary sebaik sahaja panggilan berjawab.
“Ada apa, Ary?” tanya Eddry.
“Leen ada dengan abang ke?”
“Leen?” ulang Eddry, berkerut.
“Bukan ke abang call semalam nak jumpa dengan Leen?” tanya Edzuary lagi.
“A’ah la. Tapi tak jadi sebab Leen kata tak sedap badan. Kebetulan abang pun ada hal yang nak diuruskan,” jelas Eddry.
“Habis tu, mana Leen pergi?” tanya Edzuary seakan orang bodoh.
“Hai, bini sendiri pun tak tahu ke mana pergi. Suami apa Ary ni?” sindir Eddry, pedas.
“Abang jangan nak sindir Ary. Ary ingat dia keluar dengan abang,” bidas Edzuary, keras.
Tergelak Eddry mendengarnya.
“Yang abang gelak, kenapa?”
“Okeylah Ary, abang ada kerja ni. Assalamualaikum,” balas Eddry dan mematikan talian.
Edzuary berkerut. Kepala yang tidak gatal digaru beberapa kali. Ke mana Nur Edleen pergi? Keluar tanpa minta izin darinya. Dengusan kasar terlepas dari bibir. Panas hatinya di waktu ini. Degil!
“Hisy, siapa pulak yang usik pasu ni?” marahnya sambil menunduk membetulkan  pasu yang terbaring. “Ni mesti kerja minah tu,” rengusnya pula. Tangannya lincah menegakkan semula pasu bunga tersebut. Tingkahnya terhenti tatkala matanya terpandangkan sesuatu. Berkerut dahinya sambil cuba memikirkan benda yang dilihatnya itu. Darah! Darah siapa pulak ni? Tanya hatinya. Kemudian, dijatuhkan matanya ke pintu bilik. Ingatannya memutarkan semula kejadian siang tadi.
“Ya Allah, apa aku dah buat?” ucapnya dan terduduk. Mukanya diraup beberapa kali. Menyesali dengan apa yang telah dilakukannya terhadap Nur Edleen siang tadi. Tanpa membuang masa, telefon bimbit dicapai dan mendail nombor telefon Nur Edleen. Berkali-kali dicuba, namun panggilannya tidak berjawab. Keluhan berat terlepas dari bibir. Pada siapa dia harus bertanya tentang Nur Edleen? Perlukah dia bertanya pada mentuanya?
“Assalamualaikum, abah. Maaf, kalau Ary mengganggu abah,” sapanya.
“Waalaikumussalam. Ada apa Ary?” tanya Haji Marwan.
“Err.. Leen.. Leen ada kat rumah abah tak?” tanya Edzuary, tersekat-sekat.
“Leen?” ulang Haji Marwan, berkerut. “Tak ada Ary. Kenapa?”
“Tak ada apa-apa. Leen kata nak ke rumah abah malam ni. Jadi, Ary ingat Leen tidur kat rumah abah,” bohong Edzuary.
Berkerut dahi Haji Marwan mendengarnya. Hatinya diburu keresahan dan kerisauan. Dari nada suara Edzuary, dia dapat merasakan ada sesuatu yang berlaku terhadap Nur Edleen.
“Tak apa la kalau macam tu abah. Ary letak dulu. Assalamualaikum,” kata Edzuary dan mematikan talian. Keluhan berat terlepas buat sekian kalinya.
“Zura. Aku pasti Zura tahu ke mana Leen,” yakin Edzuary dan mendail nombor Ezzura. “Zura!” panggilnya, lembut.
“Ada apa Encik Ary?” tanya Ezzura, acuh tak acuh. Dia tahu, pasti Edzuary menelefonnya sebaik sahaja menyedari ketiadaan Nur Edleen. Kenapa baru tengah malam begini mencari Nur Edleen? Kenapa tidak dari siang tadi, sebaik sahaja Nur Edleen sampai di rumahnya?
“Leen.. Nur Edleen ada kat rumah awak ke?” tanya Edzuary, penuh cermat.
“Nur Edleen? Kenapa Encik Ary? Nur Edleen hilang ke? Nur Edleen kena culik ke?” Sengaja Ezzura bertanya begitu. Sekadar menduga perasaan Edzuary.
“Eh.. tak. Bukan kena culik atau hilang. Saya cuma nak tahu, kalau-kalau Leen ada kat rumah awak, Zura,” bidas Edzuary, lembut.
“Kenapa baru sekarang Encik Ary nak cari Leen? Kenapa tak dari siang tadi sewaktu Leen sampai kat rumah saya?” keluh Ezzura, lemah.
“Zura…”
“Buat masa sekarang ni, biarlah Leen kat rumah saya. Mungkin itu yang Leen perlukan,” pintas Ezzura.
“Tapi Zura…”
“Sehingga luka di dahi Leen sembuh dan luka di hatinya juga,” potong Ezzura lagi. Walaupun dia tidak tahu hujung pangkal apa yang terjadi terhadap Nur Edleen, tetapi dia yakin semua itu berlaku disebabkan Edzuary. Pasti Edzuary bertindak kasar terhadap Nur Edleen sehinggakan mendatangkan kecederaan. Malah nama yang meniti di bibir Nur Edleen, mungkin juga punca pada masalah mereka berdua.
“Saya minta maaf Zura. Saya tak sengaja,” ujar Edzuary, kesal.
“Bukan dengan saya, encik perlu minta maaf, tapi dengan Leen. Okeylah encik, saya nak letak ni. Nampaknya macam Leen mengigau lagi. Pasti mimpinya datang kembali. Assalamualaikum,” balas Ezzura dan mematikan talian. Tidak mahu berlama berbual dengan Edzuary. Khuatir dia akan melepaskan segala kemarahan terhadap lelaki itu.
Edzuary mengeluh berat. Sungguh, dia merasa kesal di waktu ini. Apa yang harus dilakukannya sekarang? Perlukah dia berjumpa dengan Nur Edleen ketika ini? Otaknya dikerah berfikir. Seminit kemudian, laju dibawa langkah ke tingkat atas. Memikirkan apa yang perlu dilakukannya sekarang.


Mesti semua dah dpt agak siapa yg menyelamatkan NE ms kemalangan tu. Berjaya atau tdk ES memujuk NE, akn terjwb di dlm bab seterusnya.
Jumpa minggu hdpn.

Rabu, 31 Oktober 2012

Suara Cinta - Bab 19



BAB 19

“DAYAH! Dayah! Jangan tinggalkan abang! Dayah!” racau Edzuary sambil tergeleng-geleng. Peluh sudah membasahi baju. Berkerut-kerut dahinya mengalami mimpi tersebut.
“Hidayah! Hidayah!” ulang Edzuary dan masih menggeleng.
Nur Edleen hanya memandang. Tiada keyakinan untuk mengejutkan Edzuary. Sebu dirasakan ketika ini. Nama yang sentiasa berlegar-legar di kepalanya selama beberapa minggu ini meniti di bibir Edzuary. Siapa Hidayah?
“Hidayah!” jerit kecil Edzuary dan membuka mata. “Astaghfirulallah-al’azim,” ucapnya dan mengusap lembut dada yang bergetar laju. Bingkas, dia bangun dari pembaringan dan cuba bersandar di kepala katil. Namun, tingkahnya terhenti tatkala wajah Nur Edleen menyapa mata.
“Leeennn…” terketar-ketar dia menyebut nama Nur Edleen. Disapu peluh yang sudah membasahi dahi.
Nur Edleen hanya membisu. Matanya memandang tepat ke wajah Edzuary. Kenapa aku berkahwin dengan dia? Adakah dia sama seperti ‘orang tu’ yang telah mengecewakan serta memperbodohkan aku dahulu, bisik hatinya.
“Kenapa tak tidur lagi?” tanya Edzuary sambil cuba membetulkan suara.
Nur Edleen tidak menjawab. Hatinya masih lagi terasa dengan kata-kata Edzuary siang tadi. Tanpa membalas, bingkas, dia bangun untuk turun dari katil. Jam di dinding dikerling buat seketika. Masa sudah merangkak ke dua pagi. Dia perlu ke bilik air untuk berwudhuk. Hatinya benar-benar tidak tenteram. Jiwanya terasa kosong dan dia perlu meredakan perasaannya dengan bersholat dan mengaji. Hanya dengan cara itu sahaja yang dapat mententeramkan hati dan perasaannya ketika ini.
“Leen!” seru Edzuary, seraya memegang lengan Nur Edleen. “Aku… aku minta maaf atas kata-kata aku siang tadi. Aku…”
“Saya nak ke bilik air,” pintas Nur Edleen dan menarik lembut lengannya. Tanpa menunggu, dia menapak menuju ke bilik air.
Edzuary mengeluh berat. Pasti, Nur Edleen marah dan terasa dengan kata-katanya siang tadi. Jika tidak, mustahil Nur Edleen akan bersikap dingin dengannya.
Nur Edleen menghamburkan air matanya di hadapan cermin di dalam bilik air. Air mata yang telah sekian lama tidak tumpah membasahi pipi, akhirnya gugur. Selama lima tahun dia menyimpan air matanya di hadapan keluarga serta kenalan. Selama lima tahun juga dia berjanji tidak akan menitiskan air mata kerana lelaki. Tetapi tidak pada hari ini. Edzuary, suaminya telah membuatkan air mata itu gugur. Edzuary, suaminya telah membuatkan hatinya menjadi sebak dan pilu. Edzuary, suaminya juga yang telah menggores serta membuatkan hatinya terasa. Apa yang perlu dilakukannya sekarang ini? Perlukah dia memaafkan Edzuary?


“BETUL?” tanya Nur Edleen, ceria.
“Betullah. Takkan kitaorang nak tipu kau pulak,” yakin Ezzura.
“Wah! Terujanya aku. Dah lama aku tak bercuti. Eh, bukan aku.. kita semua,” girang Nur Edleen dan tersenyum.
“Yalah, paling last pun, setahun yang lepas. Itupun lepas kena paksa dengan Eka,” balas Ezzura turut sama teruja.
Nur Edleen mengangguk. Sungguh, dia teruja selepas mendapat tahu tentang rancangan mereka. Sudah agak lama dia tidak bercuti. Ada baiknya dia bercuti. Sekurang-kurangnya dapat menenangkan fikirannya yang sedang berserabut.
“Kau kena minta izin dari Edzuary dulu, Leen. Takut Edzuary tak izinkan kau pergi,” beritahu Ezzura sekadar mengingatkan status Nur Edleen.
Mati senyuman di bibir Nur Edleen sebaik sahaja nama Edzuary di sebut. Dengan tiba-tiba hatinya menjadi sebak dan hiba. Dapat dirasakan juga matanya mulai berkaca. Dilarikan pandangan ke luar jendela agar Ezzura tidak dapat mengesaninya.
“Leen, kau okey ke?” tanya Ezzura tatkala menyedari kebisuan Nur Edleen.
“Kau lapar tak? Aku lapar la. Jom kita lunch!” kata Nur Edleen dan mengerling jam di tangan. Masa sudah merangkak ke angka satu.
“Kan awal lagi,” kata Ezzura.
“Pukul satu dah cik adik oii. Jom!” ajak Nur Edleen dan membawa langkah ke muka pintu bilik.
Ezzura menepuk dahi. Terlalu lama mereka berbual sehinggakan tidak sedar masa sudah masuk ke waktu rehat. Bingkas, dia bangun dari duduk dan mengekori dari belakang.
“Nak ke mana?” tegur Edzuary menghentikan langkah mereka berdua.
Serentak Nur Edleen dan Ezzura menoleh. Wajah Edzuary menyapa mata mereka berdua.
“Leen, nak ke mana?” ulang Edzuary.
Nur Edleen hanya membisu. Tanpa membalas, dia menyambung langkah beredar dari situ. Malas untuk melayan Edzuary.
Ezzura terpinga-pinga. Apa yang dah berlaku ni? Hatinya bertanya. Kenapa dengan Nur Edleen? Kenapa Nur Edleen pergi begitu sahaja? Kenapa Nur Edleen tidak menjawab pertanyaan Edzuary? Pelbagai persoalan menerjah kotak fikiran Ezzura.
“Kami nak pergi lunch, Encik Ary,” jawab Ezzura bagi pihak Nur Edleen.
“Oh, baiklah!” balas Edzuary, lemah.
“Saya minta diri dulu Encik Ary,” pamit Ezzura dan berlalu pergi.
Edzuary hanya memandang. Jauh di sudut hati, dia terasa malu tatkala pertanyaannya tadi tidak dibalas oleh Nur Edleen. Keluhan terlepas dari bibir. Bagaimana hendak memujuk Nur Edleen? Hatinya bertanya, sayu.


“KAU bergaduh dengan dia ke?” tanya Ezzura, sebaik sahaja duduk di kerusi.
Nur Edleen sekadar menggeleng.
“Habis tu?”
Nothing!”
“Kau jangan nak tipu aku Leen. Aku tahu kau ada masalah dengan dia, kan?”
“Kalau ada, kenapa?”
“Leen, cuba jangan bersikap acuh tak acuh,” tegur Ezzura, tegas.
“Habis tu, kau nak aku buat apa? Kau tahu tak hati aku sakit disebabkan dia,” luah Nur Edleen, tidak tertahan. “Dia sama macam lelaki tu,” ujarnya pula.
Tersentak Ezzura mendengarnya. Matanya menatap wajah Nur Edleen. Ada riak kesedihan pada wajah itu.
“Dia ada perempuan lain,” ujar Nur Edleen, lemah.
“Perempuan lain? Maksud kau?” tanya Ezzura, kurang mengerti.
“Sepertimana aku rasai lima tahun yang lepas, begitulah juga aku rasainya sekarang.”
“Leen, kau tak boleh nak tuduh dia sesuka hati. Kau kena tanya siapa perempuan tu. Jangan terus membuat kesimpulan pada yang kau sendiri tidak pasti. Manalah tahu kan perempuan tu, saudara mara dia ke, sepupu dia ke atau kenalan rapat dia,” nasihat Ezzura, seraya menggenggam tangan Nur Edleen.
“Aku terasa dengan kata-kata dia hari tu. Susah untuk aku maafkan dia,” ujar Nur Edleen. Selera makannya mati tatkala isu itu dibangkitkan. “Aku nak balik rumah la, Zura. Rasa tak sihat badan. Kau tolong bagitau dia,” sambungnya dan bangun.
“Leen, kau mana boleh buat macam ni? Sampai bila kau nak lari daripada masalah?” tegur Ezzura. Berharap, Nur Edleen memikirkan kata-katanya itu.
Nur Edleen hanya membisu. Tanpa menunggu, segera dia beredar dari situ. Mood untuk bekerja, hilang begitu sahaja. Jika Edzuary ingin memecatnya, dia tidak peduli. Lebih baik dia dipecat daripada bekerja di bawah pengurusan Edzuary.
Ezzura mengeluh berat. Seleranya juga mati melihatkan keadaan Nur Edleen. Tidak meyangka begitu sekali masalah yang dihadapi oleh Nur Edleen. Bagaimana untuk membantu Nur Edleen? Perlukah dia memberitahu abah dan ummi tentang Nur Edleen?


AIMANUDDIN memandang tepat ke wajah kawan baiknya. Dia menggelengkan kepala tatkala terdengar Edzuary mengeluh. Kenapa kawannya berkeadaan begitu? Apa yang membuatkan kawan baiknya kusut?
“Kau ni kenapa, Ary? Dari tadi aku tengok macam orang mati bini aje. Kau ada masalah ke?” tanya Aimanuddin, prihatin.
Edzuary mengeluh untuk kesekian kali.
“Masalah rumah tangga ke?”
Edzuary mengangguk lemah.
“Cuba kau ceritakan pada aku. Apa sebenarnya yang terjadi?” asak Aimanuddin.
“Aku terlepas cakap. Aku tak sedar apa yang aku cakapkan pada Leen,” luah Edzuary bernada kesal.
“Itu la kau, dari dulu lagi aku nasihatkan kau. Kalau nak bercakap tu, berpada-pada sikit. Jangan pakai hentam saja,” komplen Aimanuddin dan menggeleng.
“Aku tak sengaja la Aiman. Yang dia nak terasa hati tu, kenapa?” bentak Edzuary, keras.
“Tengok, aku baru saja cakap, kau dah ulangnya balik. Kau tu terlalu ego, Ary. Tak nak mengaku kesalahan kau sendiri,” tegur Aimanuddin lagi.
“Bila masa pulak aku ego?” geram Edzuary.
Aimanuddin menghela nafas ringan. Wajah kusut kawannya itu ditatap mesra.
“Kau ego Ary. Aku tahu, hati kau masih kuat pada Hidayah. Sudahlah Ary. Hidayah dah lama pergi. Lepaskanlah dia dari hati kau. Kau kena jaga sekeping hati yang telah diamanahkan pada kau oleh kedua-dua orang tuanya. Tempatkan dia di dalam hati kau,” nasihat Aimanuddin.
Sudah berkali-kali dia menasihati Edzuary. Naik muak dia bercakap apatah lagi yang mendengarnya. Sampai bila Edzuary akan bersikap begitu? Sampai bila Edzuary akan hidup dalam kenangan Hidayah? Yang pergi biarlah pergi. Kita yang hidup ini perlu meneruskan perjalanan yang masih jauh.
“Aku tak boleh, Aiman. Aku selalu mimpikan Dayah. Peristiwa lima tahun yang lepas, mengganggu tidur aku semula. Aku masih nampak apa yang berlaku terhadap Dayah. Aku menyesal kerana tinggalkan dia masa tu,” luah Edzuary dan menunduk.
“Semua tu dah takdir Allah, Ary. Kau tak boleh nak salahkan takdir. Dah tertulis yang Dayah pergi awal dari kita. Sebagai umat Islam, kita kena redha dan ikhlas menerimanya,” kata Aimanuddin dan menghela nafas lembut.
“Aku…” Sukar untuknya berkata-kata. Ingatannya ligat mengingati peristiwa lima tahun yang lepas. Terlalu sukar untuk menerima takdir bahawa Hidayah pergi buat selama-lamanya. Dia terlalu sayangkan Hidayah. Hanya Hidayah yang bertahta di hatinya sehingga ke hari ini. Mana mungkin tempat itu digantikan dengan orang lain.
“Kalau kau tak boleh nak terima Leen dalam hidup kau, ada baiknya kau lepaskan dia. Mungkin dengan cara itu, hatinya takkan terluka dan sakit. Kau dan dia berkahwin atas dasar keluarga. Papa dan mama kau nak kau lupakan kisah yang lalu. Sebab itulah mereka menjodohkan kau dengan Nur Edleen. Mereka berharap kau boleh lupakan semua kenangan bersama Hidayah. Tapi, nampak gayanya usaha mereka sia-sia sahaja. Sebabnya, anak mereka masih hidup di dalam dunia khayalan dan bukan realiti,” luah Aimanuddin, panjang lebar. “Kau fikirkanlah Ary. Mana yang baik dan mana yang buruk. Aku sekadar menasihatkan kau sahaja”
Edzuary tunduk membisu. Kata-kata nasihat Aimanuddin menusuk terus ke tangkai hati. Sedikit sebanyak, ada benarnya kata-kata Aimanuddin. Cuma hatinya sahaja menolak terus kata-kata nasihat itu. Sukar untuk melepaskan Hidayah pergi dari dalam hidupnya. Kenangan bersama Hidayah, terpahat kemas di dalam kamus hidupnya.
“Eh, Encik Ary pun makan kat sini?” tegur Ezzura menyentakkan Aimanuddin dan Edzuary. Serentak Aimanuddin dan Edzuary menoleh.
“Ezzura,” balas Edzuary, sepatah.
Aimanuddin hanya melemparkan senyuman. Gadis di hadapannya seperti pernah dilihat sebelum ini. Jika dia tidak silap, dia berjumpa dengan gadis itu ketika Nur Edleen pengsan tidak lama dulu di sebuah restoran.
Ezzura membalas senyuman Aimanuddin. Dianggukkan kepala sebagai tanda hormat.
“Zura, mana Leen?” tanya Edzuary tatkala menyedari ketiadaan Nur Edleen. Bukankah mereka berdua keluar makan bersama-sama sebentar tadi?
“Err…”  Aduh! Kena lagi, rungutnya.
“Mana Leen?” ulang Edzuary sedikit menekan.
“Leen… Leen.. dia kata tak sihat. Jadi dia balik rumah terus. Dia suruh saya bagitau pada Encik Ary,” jelas Ezzura sedikit bergetar.
“Tak sihat?” ulang Edzuary pantas berdiri. “Kenapa dia tak bagitau pada saya? Saya kan suami dia,” rengus Edzuary dan beredar dari situ.
“Ary!” panggil Aimanuddin. Terkejut dengan tindakan Edzuary itu. “Ego!” komennya dan tertawa kecil.
Ezzura turut sama tertawa. Tanpa membuang masa, dia beredar dari situ selepas berbicara dengan Aimanuddin sebentar. Semoga ada jalan penyelesaian buat Nur Edleen dan juga Edzuary.


“MAAF abang, Leen terlupa. Nanti kita jumpa ya, bang,” kata Nur Edleen.
“Tak apalah. Abang pun kebetulan ada hal yang nak diuruskan. Nasib baik Leen pun terlupa tentang tu,” jelas Eddry dan tertawa kecil.
“Yang abang ketawa ni, kenapa?” tanya Nur Edleen. Langkah diatur menuju ke dapur rumah. Terasa kering tekaknya ketika ini dan minta dibasahkan. Matanya terpandangkan sebuah bilik yang sedikit terbuka. Lantas, dibawa langkah menuju ke bilik tersebut.
“Leen kat mana?” tanya Eddry sekadar ingin tahu.
“Leen kat rumah. Tak sedap badan. Sebab itulah Leen balik,” jawab Nur Edleen. Tangannya menolak daun pintu seluas yang boleh dan menapak masuk ke dalam bilik. Diperhatikan bilik tersebut. Cantik susun atur yang ada di dalam bilik tersebut. Kenapa bilik ini dihias cantik? Tanya hatinya.
“Tak sedap badan? Leen dah jumpa doktor?” tanya Eddry lagi, prihatin.
“Lepas makan panadol, baiklah. Abang, Leen ada benda nak buat ni. Nanti Leen call abang balik. Maaf, sebab batalkan pertemuan kita,” ujar Nur Edleen bernada kesal.
“Eh, tak mengapa. Abang pun nak minta maaf juga. Apa-apa nanti, abang call atau sms Leen,” balas Eddry.
“Insya-Allah. Assalamualaikum,” balas Nur Edleen dan mematikan talian. Matanya meliar melihat keadaan bilik tersebut. Kagum dan teruja Nur Edleen melihatnya. Seperti hidup di alam kayangan Nur Edleen rasakan. Jika selama ini, pintu bilik itu sentiasa tertutup, tetapi, tidak pada hari ini. Mungkinkah Edzuary terlupa untuk menutupnya atau sememangnya selama ini pintu bilik itu tidak pernah berkunci.
“Cantik! Bilik siapa ni?” kagum Nur Edleen. “Bestnya kalau aku dapat duduk dalam bilik ni,” ujarnya dan tersengih. Bingkas, dia naik ke atas katil dan melompat-lompat di atasnya dengan perasaan yang teruja.
“Kenapa aku tak tahu ada bilik secantik ni?” tanyanya lagi berserta kerutan di dahi. “Mungkin, Ary nak surprisekan aku,” duganya dan tersenyum malu. Dibaringkan badan di atas katil. Pelbagai aksi dibuatnya. Sekejap mengiring, sekejap terlentang, sekejap melompat dan sekejap meniarap. Lagak seperti kanak-kanak riang beraksi Nur Edleen itu sehinggalah dia keletihan. Rasa seronok dan selesa berada di atas katil tersebut.
“Wah! Siap ada kad lagi ni. Memang special betul,” katanya, teruja. Dicapai kad yang berada di meja lalu dibuka. Bait-bait yang tertulis di dalam kad tersebut dibaca penuh khusyuk.

Kau tercipta untukku dan aku tercipta untukmu. Hanya maut yang bisa memisahkan kita berdua. Abang sayang dan cintakan Hidayah sepenuh hati abang. Tiada sesiapa pun yang dapat menggantikan Hidayah dalam hati abang ini. Terimalah hadiah tak seberapa dari abang. Bilik yang abang sediakan khas untuk Hidayah sempena perkahwinan kita nanti.

Tersentap Nur Edleen membacanya. Hatinya menjadi sebak dan pilu. Bagaikan direntap sesuatu Nur Edleen rasakan ketika ini. Tidak semena-mena, air matanya mengalir perlahan membasahi pipi.
“Ya Allah, kenapa aku berperasaan seperti ni? Aku tak punya apa-apa perasaan pada dia. Kenapa hati aku terasa sakit yang amat?” bisik Nur Edleen, sendirian.
“Kau buat apa dalam bilik ni? Siapa yang benarkan kau masuk ke sini?” tanya Edzuary, keras. Direntap kasar kad dari pegangan Nur Edleen.
Tersentak Nur Edleen dengan rentapan kasar itu. Bingkas, dia turun dari katil dan memandang ke wajah tegang Edzuary.
“Kenapa kau duduk atas katil tu? Aku tak benarkan sesiapa pun duduk melainkan Hidayah,” marah Edzuary pula.
“Leen… Leen…”
“Pergi kau dari sini. Aku tak nak tengok muka kau lagi. Pergi!” tengking Edzuary, meninggi. Jarinya diluruskan ke arah muka pintu bilik.
Terhenjut tubuh Nur Edleen akibat tengkingan Edzuary. Matanya masih memandang ke wajah Edzuary.
“Kau tunggu apa lagi, keluar kau dari sini. Keluar!” halau Edzuary pula.
Nur Edleen masih tidak berganjak. Hatinya semakin sakit tatkala Edzuary memarahinya sebegitu sekali. Apa kesalahan yang telah dilakukannya? Jika kemarahan Edzuary disebabkan kesalahannya menceroboh masuk ke dalam bilik itu, tidak masuk dek akalnya yang waras.
“Apasal degil sangat ni? Aku kata keluar.. keluarlah!” marah Edzuary tidak tertahan. Ditarik kasar tubuh Nur Edleen dan membawanya keluar. Kemudian, ditolak kasar tubuh Nur Edleen sehingga membuatkan Nur Edleen tersungkur jatuh. Tidak semena-mena, dahi Nur Edleen terhantuk kuat ke pasu bunga yang berada tidak jauh dari bilik tersebut.
Dumn!! Hempasan pintu bilik mengejutkan Nur Edleen. Diusap lembut dadanya yang berombak laju menahan ketakutan. Dengan sedaya upaya, Nur Edleen cuba bangun dari duduknya, namun tidak berdaya.
“Ouch!!” rengek Nur Edleen. Tangannya meraba-raba dahi yang terasa berdenyut dan sakit. “Ya Allah, darah!” luahnya pula. Digagahkan juga agar berdiri sehingga membuatkan pasu bunga itu terbaring. Matanya memerhatikan pasu tersebut. Bagaimana dahinya boleh berdarah sedangkan pasu tersebut tidak mempunyai bucu yang tajam? Diperhatikan segenap ruang pasu bunga tersebut. Terkejut matanya tatkala terlihat hujung pasu bunga tersebut.
Tanpa menunggu, segera dicapai beg tangan dan keluar dari rumah itu. Ke mana harus dibawa dirinya ketika ini? Tidak mungkin dia akan pulang ke rumah abah dan ummi. Tidak mungkin juga ke rumah kak long dan abang long. Hanya rumah Ezzura yang paling sesuai buat dirinya kala ini. Tanpa disedari, laju air matanya mengalir membasahi pipi. Dibiarkan sahaja tanpa berniat untuk menyeka air  mata itu.
 
 Jangan marah kat hero saya ya. Lepas ni ES pujuk NE and kisah lima tahun yg lepas bakal terbongkar. 
Terima kasih kerana membaca SC. Andai ada kekurangan dlm SC, hrp dimaafkan. Kalau ada yg tak betul, minta ditegur jg.
(^____*)