Rabu, 4 Mac 2015

My Dream Husband - Bab 3






“APASAL kau gelak?” tegur Iqwan tatkala terdengar suara ketawa Khairil.
“Kelakar!” balas Khairil, sepatah.
“Apa yang kelakar?”          
“Pasal semalam. Hantu raya! Hitrik Roshan!”
Iqwan mendengus kasar. Pasti Khairil sedang mentertawakannya.
“Comel la minah tu. Kau kenal ke dengan dia?”
“Huh! Minah kurang waras tu kau kata comel? Mata kau tu rabun ke?”
“Aku tak buta. First time aku jumpa dengan perempuan selamba macam dia. Aku tengok dia macam minat kat kau saja.”
Iqwan sekadar mencebik. Meluat mendengar kata-kata Khairil.
“Kau tak nak berkenalan dengan dia ke? Manalah tahu kan kau dan dia ada jodoh.”
“Jangan nak merepek!”
Khairil ketawa. Wajah tegang Iqwan ditatap mesra.
“Kita nak buat apa kat sini?” tanya Iqwan sambil mendengus ringan.
Sejak pagi lagi Khairil mengajaknya ke tasik. Kenapa Khairil mengajaknya ke tasik? Adakah sekadar untuk jogging bersama atau ada maksud lain yang dia sendiri tidak tahu?
Jogging la. Apa lagi?”
Jogging? Kau bangunkan aku pagi-pagi buta semata-mata nak jogging?”
“Yalah! Apa masalahnya?”
“Masalahnya kau dah kacau waktu tidur aku. Waktu rehat aku. Tahu tak?”
“Ala… relax la. Kau ni pun satu. Cuba la lembutkan otot-otot kau tu dengan bersenam. Aku tengok perut kau tu dah nak boroi.” Selamba Khairil menegur. Ketawa terlepas daripada bibirnya itu.
Iqwan memandang perutnya sendiri. Adakah perutnya semakin boroi?
Tergelak Khairil melihat tingkah laku Iqwan. Gelengan diberikan kepada Iqwan.
“Awak!!!”
Jeritan seseorang mengejutkan Iqwan dan Khairil. Serentak mereka berdua menoleh ke belakang. Wajah seorang gadis menyapa mata.
“Ya Allah! Tak sangka kita jumpa lagi. Memang kita berdua ada jodoh,” teruja Zafira sambil menghampiri Iqwan dan Khairil. Senyuman manis terbias di wajah.
Iqwan mendengus keras. Kenapa dia boleh berjumpa dengan perempuan itu lagi?
“Hai awak!” tegur Zafira, ramah.
Iqwan tidak membalas. Hanya cebikan yang diberikan kepada Zafira.
“Awak jogging kat sini ke?” sampuk Khairil.
“A’ah. Rumah abang saya dekat dengan tasik ni,” jawab Zafira, tersenyum.
“Dah lewat ni. Jom kita balik,” ajak Iqwan.
Khairil mengerling jam di pergelangan tangan. Masa baru menginjak ke angka sembilan pagi. Masih terlalu awal untuk pulang.
“Awal lagi la, Wan. Kau layan la minah ni dulu,” bisik Khairil ke telinga Iqwan.
“Kau….” Iqwan mematikan ayat. Dikepalkan tangan menahan kemarahan.
“Awak dah sarapan?” tanya Zafira. Wajah Iqwan ditatap mesra.
Iqwan tidak menjawab. Rasa rimas dengan tenungan Zafira. Minah ni kalau tak tengok aku tak boleh ke? Hisy, naik meluat aku tengok gaya dia ni, rungut Iqwan dalam hati.
“Kalau belum, jom la kita sarapan sama. Saya belanja,” ajak Zafira pula.
“Boleh juga tu,” sampuk Khairil, tersenyum.
Iqwan menjegilkan mata. Kurang senang dengan jawapan Khairil.
“Awak!” panggil Zafira lagi.
Iqwan tidak membalas. Dia segera beredar dari situ. Tidak dihiraukan Khairil yang sedang memandang ke arahnya.
“Kenapa dengan dia?” tanya Zafira, berkerut.
“Senggugut!” balas Khairil, sepatah.
Ketawa besar Zafira mendengarnya. Dia segera membawa langkah mengekori langkah Iqwan. Rasa teruja tatkala berjumpa dengan Iqwan. Tidak menyangka juga akan berjumpa dengan lelaki itu lagi.


“HISY, minah ni dah tak ada kerja ke? Dari tadi ikut aku saja, apasal?” rungut Iqwan sendirian.
Zafira mengekori Iqwan daripada belakang. Tatkala Iqwan melajukan langkah, dia turut sama melajukan langkah. Rasa seronok ketika ini.
“Mana Khai ni? Sebab dia aku terjebak dengan minah gila tu hari ni,” bebel Iqwan lagi. Ditoleh ke belakang mencari kelibat Khairil. Namun, kawannya itu tiada di belakang.
Zafira yang menyedari Iqwan menoleh ke belakang melemparkan senyuman manis. Kakinya masih setia mengekori langkah Iqwan.
“Tak boleh jadi ni. Aku kena tegur minah gila tu,” kata Iqwan lalu mematikan langkah.
“Opocot, mak kau tergolek!” latah Zafira tatkala melanggar tubuh Iqwan.
Terkejut Iqwan dengan tingkah laku Zafira. Tidak menyangka tindakannya itu telah menyebabkan Zafira melanggar tubuhnya.
“Kau!!!” tegur Iqwan kemudian, keras.
“Oppss!!! Sorry, tak sengaja,” ucap Zafira, tersengih.
Iqwan mendengus kasar. Tajam matanya ke wajah sengihan Zafira.
“Err… saya lapar. Jom kita sarapan sama,” ajak Zafira, lembut.
“Kau yang lapar. Kau pergilah sendiri. Aku tak lapar,” balas Iqwan, keras.
“Ala… jomlah. Saya tengah lapar ni,” rengek Zafira, manja.
“Kau ni tak faham Bahasa Melayu ke? Aku cakap, aku tak lapar. Faham!” geram Iqwan sambil mengepal tangan.
“Faham!” balas Zafira, sepatah. Sengihan diberikan kepada Iqwan.
Iqwan mendengus kasar. Sakit hatinya memandang sengihan di bibir Zafira. Minah ni memang gila! Kutuk Iqwan dalam hati. Seminit kemudian….
“Opss!!!” luah Iqwan sambil menekup mulut.
Tergelak Zafira melihat tingkah laku Iqwan yang sedang menekup mulut. Telinganya menangkap bunyi dari arah perut Iqwan.
“Aduh! Malunya aku. Perut ni pun satu. Time ni juga nak berbunyi kenapa? Depan minah gila tu pulak,” rungut Iqwan, berbisik.
So?” tanya Zafira sambil mengangkat kening.
“Suka hati kau lah!” balas Iqwan dan beredar dari situ.
Zafira ketawa. Dia melonjak gembira tatkala Iqwan sudi menerima pelawaannya. Pantas, dia menyaingi langkah Iqwan. Dikerling ke wajah Iqwan sebentar. Hanya riak tegang terlukis di wajah itu. Dia tidak peduli dengan riak itu asalkan hajatnya untuk bersarapan bersama dengan Iqwan tercapai.


“YANG kau tengok muka aku ni, kenapa?” tegur Iqwan, serius. Rasa kurang senang tatkala Zafira menatap wajahnya. Serba tak kena dirasakan ketika ini.
Zafira tidak membalas. Wajah Iqwan masih menjadi tatapan mata. Handsome! Mata dia cantik. Mata Hitrik Roshan, puji Zafira dalam hati.
“Yang kau tengok muka aku ni, kenapa?” ulang Iqwan pada pertanyaannya yang tadi.
Zafira masih tidak membalas. Matanya meneroka raut wajah Iqwan. Tersenyum-senyum dia ketika itu. Jantungnya berdegup dengan laju.
“Minah ni memang gila betul. Aku panggil pun tak dengar. Hisy, macam mana la aku boleh terjebak dengan dia ni? Menyesal aku setuju tadi,” bisik Iqwan, sendirian.
Matanya memerhati wajah Zafira yang sedang mengelamun. Entah apa yang dilamunkan oleh Zafira, dia sendiri tidak tahu. Otaknya ligat memikirkan cara untuk menyedarkan Zafira.
Seminit kemudian, dia tersenyum tatkala mendapat idea. Tanpa berlengah, gelas di hadapan mata dicapai. Dituang sedikit air dari dalam gelas ke telapak tangan lalu direnjis ke muka Zafira.
Terkejut Zafira dengan perlakuan Iqwan. Lamunannya yang pendek berterbangan entah ke mana. Dihalakan mata ke wajah Iqwan.
“Awak!” tegur Zafira, keras.
Iqwan menjungkitkan bahu. Dia menyambung gigitan ke atas roti bakar.
“Habis muka saya basah,” rungut Zafira.
Sehelai tisu dari dalam kotak ditarik lalu mengelap wajahnya yang basah. Matanya memandang lagak selamba Iqwan.
“Sedap pulak roti bakar ni,” ujar Iqwan, selamba. Tidak dihiraukan Zafira yang sedang memandang ke arahnya.
“Awak ni, dah tak comel muka saya ni awak buat,” sambung Zafira.
Tersentak Iqwan mendengarnya. Serta-merta mulutnya berhenti mengunyah. Kenapa itu pula yang keluar daripada mulut Zafira?
“Awak ni nakal juga,” usik Zafira lalu tersengih.
Iqwan berkerut dahi. Wajah sengihan Zafira ditatap benci.
“Lepas ni boleh la kita pergi dating lagi,” ujar Zafira lalu tersenyum malu.
“Tak ingin aku nak pergi dating dengan kau. Aku makan dengan kau ni pun sebab terpaksa tahu tak? Kawan aku tu yang paksa.” balas Iqwan, mencebik.
Rasa marah terhadap Khairil menyelinap masuk ke dalam hati. Khairil sengaja memberi alasan mengambil barang di kereta agar dia bersama dengan Zafira.
“Ala… bolehlah,” pujuk Zafira, lembut.
“Aku tak suka keluar dengan perempuan.” Iqwan beralasan. Berharap, Zafira menerima alasannya itu. Rasa rimas ketika ini.
“Tak suka?” ulang Zafira, berkerut.
“Ya! Tak suka. Perempuan ni leceh. Bila berjalan, macam itik. Terkedek-kedek. Tambah-tambah yang dressing mengalahkan artis,” jelas Iqwan lalu berpeluk tubuh.
 Zafira berfikir sejenak. Penjelasan Iqwan bermain-main di minda.
“Dan lagi satu, aku tak suka menunggu. Perempuan ni tak sah kalau tak bermekap.”
“Kalau macam tu, saya dressing macam lelaki. Mesti awak nak keluar dengan saya, kan?” kata Zafira sedikit teruja.
Iqwan terkedu. Lain yang diharap, lain pula yang jadi. Niatnya berkata begitu sekadar untuk mengelak. Ternyata taktiknya tidak menjadi.
“Boleh?” tanya Zafira sambil mengerlipkan mata.
Iqwan bingkas bangun dari duduk. Ada baiknya dia beredar dari situ. Malas untuk melayan Zafira. Boleh jadi gila aku kalau macam ni, bebel Iqwan dalam hati.
Zafira yang melihat menggaru kepala. Adakah pertanyaannya tadi kurang disenangi oleh pemuda itu?


“KAU memang sengaja tinggalkan aku dengan minah gila tu, kan?” kata Iqwan, serius.
Khairil tergelak. Wajah tegang Iqwan ditatap. Memang dia sengaja. Sekadar untuk melihat reaksi Iqwan terhadap gadis itu.
“Memang gila betul minah tu. Ada ke nak ajak aku pergi dating. Meluat betul aku tengok gaya gedik dia tu,” luah Iqwan tidak berpuas hati.
Semakin galak Khairil ketawa. Kepalanya menggeleng kecil.
“Yang kau gelak ni, kenapa? Ada yang lawak ke?” tegur Iqwan, keras.
“Lawak la, Wan. Selalunya lelaki yang ajak perempuan dating. Tapi yang ni, terbalik pulak,” balas Khairil masih ketawa.
“Huh! Entah apa yang dia pandang kat aku pun aku tak tahu.”
“Kau kan handsome. Sebab itulah dia pandang kau.”
“Mengarut!”
“Wan… Wan… cuba berfikiran positif sikit. Tak kesemua perempuan sama perangainya. Aku tahu, kisah lama masih berbekas di hati kau.”
“Aku takkan lupa sampai bila-bila pun, Khai. Perkara tu begitu melukakan hati aku.”
“Perkara dah lama. Ada baiknya kau ikhlaskan perkara tu.”
Iqwan tidak membalas. Keluhan berat terlepas daripada bibir. Mana mungkin dia melupakan kenangan lama. Disebabkan kenangan itu, hidupnya terumbang-ambing.
“Aku tengok dia ikhlas nak berkawan dengan kau,” ujar Khairil.
“Aku tetap tak suka.” Iqwan membentak.
Khairil menarik nafas ringan. Wajah Iqwan masih menjadi tatapan mata.
“Aku sentiasa mendoakan kebahagiaan kau, Wan,” kata Khairil dan beredar dari situ.
Iqwan hanya memandang. Entah kenapa kata-kata Khairil menghadirkan rasa sebu di hati. Selama dua tahun ini, hanya Khairil yang berada di sisinya baik susah mahupun senang.
Hanya Khairil sahabat baiknya. Rasa terhutang budi dengan apa yang telah dilakukan oleh Khairil selama ini. Berdoa agar Khairil setia berada di sisinya.


“BARU balik?” tegur Aqil dari arah ruang tamu.
Zafira mematikan langkah. Dihalakan mata ke arah Aqil yang sedang duduk membaca surat khabar di ruang tamu. Dibawa langkah menuju ke situ.
“Fira dari mana?” tanya Aqil sambil meletak surat khabar di atas meja.
Jogging!” balas Zafira, sepatah sambil melabuhkan duduk.
“Hai, tak pernah dibuat pergi jogging. Kenapa tiba-tiba pergi jogging?” tanya Aqil, berkerut. Wajah Zafira ditatap curiga.
Zafira tersengih. Kepala yang tidak gatal digaru.
“Mesti ada apa-apa ni,” tebak Aqil, curiga.
“Tak adalah along. Kebetulan Fira bangun awal hari ni. Jadi, Fira pergilah jogging,” jelas Zafira, tersenyum.
“Mana la tahu kan,” kata Aqil sambil membetulkan duduk.
Zafira tidak membalas. Peristiwa beberapa jam yang lepas meniti di tubir mata. Rasa seronok sewaktu bersarapan dengan pemuda itu. Tersenyum-senyum dia tatkala wajah Iqwan meniti di tubir mata.
“Fira… Zafira… Nur Zafira Sofea!” panggil Aqil, menekan.
Tersentak Zafira mendengarnya. Dihalakan mata ke wajah Aqil. Sengihan diberikan kepada abangnya itu.
“Termenung tak habis-habis,” tegur Aqil, keras.
Zafira masih lagi tersengih. Dia bingkas bangun dan duduk di sisi Aqil. Lengan abangnya dipeluk kejap. Sekadar untuk bermanja dengan Aqil.
“Haa… peluk-peluk along ni, kenapa?” tegur Aqil, berkerut dahi.
“Along… nak mintak tolong boleh?” suara Zafira, manja.
“Tolong? Tolong apa?”
“Siasat tentang seseorang ni, boleh tak?”
“Seseorang? Siapa?”
“Lelaki!”
“Lelaki?”
Zafira mengangguk.
“Siapa?”
“Lelaki la!”
“Yalah, lelaki. Tapi, siapa? Apa nama dia?”
Zafira membetulkan duduk. Pegangan di lengan dilepaskan. Kepala yang tidak gatal digaru. Sungguh, dia terlupa hendak berkenalan dengan pemuda itu.
“Nama dia?” tanya Aqil lagi.
“Err… Fira tak tahu. Lupa nak tanya,” sengih Zafira.
Aqil menggelengkan kepala. Wajah sengihan adiknya ditatap.
“Fira naik atas dulu. Nanti bila Fira dah tahu nama dia, Fira beritahu pada along,” kata Zafira bingkas bangun dan beredar dari situ.
Aqil hanya mengangguk dan memandang. Otaknya sedang berfikir. Siapa lelaki yang dimaksudkan oleh Zafira itu? Mungkin dia perlu menyiasat perkara tersebut. Sekadar untuk berjaga-jaga demi mengelak perkara yang tidak diingini.


IQWAN menyandarkan tubuh ke kepala katil. Seharian keluar begitu memenatkan dan minta direhatkan. Dikerling jam di dinding buat seketika. Masa baru merangkak ke pukul sembilan malam. Terlalu lama dia keluar bersama dengan Khairil. Sekadar untuk mengisi waktu hujung minggu mereka berdua. Rasa tenang ketika ini.
Iqwan bingkas bangun dari duduk bersandar. Dia menapak ke balkoni rumah dan membuang pandang ke langit malam. Beberapa butir bintang menghiasi langit malam. Nafas ditarik dan melepaskannya ringan.
Deringan telefon memecah kesunyian. Dia melangkah masuk ke dalam bilik dan mencapai telefon bimbit di atas meja. Matanya melihat nama di skrin telefon.
“Ada apa?” tanya Iqwan sebaik sahaja salam dijawab.
“Aku lupa nak ingatkan kau pasal meeting kita dengan Cempaka tu. Kau jangan nak ‘mengelat’ pulak,” beritahu Khairil, mengingatkan.
“Kau ni Khai, tak habis-habis dengan meeting. Tengah cuti pun kau boleh ingat pasal kerja. Cuba la bawa rehat otak kau tu sikit,” tegur Iqwan sambil menggeleng.
“Aku dah biasa la, Wan. Selagi benda tak settle, selagi itu hati aku tak tenang.”
Iqwan tidak membalas. Rasa bersalah menumpang di hati. Bersalah kerana menyusahkan kawan baiknya itu.
“Kau jangan lupa, Wan. Aku harap kali ini kau join sekali meeting tu,” kata Khairil penuh mengharap. Semoga Iqwan mendengar kata-katanya itu.
“Yalah, aku join. Kau ni risau sangat. Dah! Pergilah berehat. Dari siang tadi kita keluar, takkan kau tak penat?”
“Okey! Aku harap kau tak kecewakan aku.”
“Yalah, boss!” balas Iqwan, keras.
Khairil ketawa kecil. Seminit kemudian, dia mematikan talian. Berdoa agar Iqwan mengotakan kata-katanya itu.
Iqwan meletak telefon bimbit di atas meja. Dibaringkan tubuh ke atas katil sambil otaknya ligat berfikir. Entah kenapa dengan tiba-tiba wajah Zafira meniti di tubir mata. Pantas, dihalau wajah itu dari pandangan mata.
“Hisy, kenapa dia yang aku ingat? Merepek betul!” rengus Iqwan.



Tiada ulasan:

Catat Komen