Isnin, 22 Disember 2014

Kerana Hati Bicara - Bab 2







TENGKU Iqbal menolak perlahan daun pintu bilik. Dia menapak masuk dan menghampiri katil. Rutin setiap malamnya. Melihat keadaan Tengku Irfan.
Risau terhadap Tengku Irfan tidak pernah surut. Selama dua tahun dia berperasaan begitu. Selepas kemalangan itu, Tengku Irfan lebih banyak menyendiri daripada bergaul dengan sesiapa mahu pun kenalan rapat.
Tengku Iqbal menghela nafas berat. Bagaimana untuk memulihkan semangat Tengku Irfan? Semangat dan kekuatan Tengku Irfan hilang begitu sahaja selepas kemalangan itu. Perkara itu yang amat menyedihkan hatinya.
Tengku Irfan satu-satunya anak yang menjadi harapan dalam keluarga. Pada siapa lagi dia perlu menyerahkan segala harta yang dimiliki selain daripada Tengku Irfan.
Duduk dilabuh di birai katil sambil menatap kasih wajah Tengku Irfan yang sedang tidur. Dikuak perlahan rambut Tengku Irfan yang menutupi dahi sambil mengamati wajah bersih anaknya itu. Saling tak tumpah dengan arwah isterinya, Tengku Zaharah.
Rindu terhadap Tengku Zaharah hadir dengan tiba-tiba. Pemergiaan Tengku Zaharah akibat penyakit kanser otak memberi satu tamparan hebat buat mereka berdua.
Tengku Iqbal membuka cermin mata. Terasa air mata meniti di tubir mata. Kenangan bersama Tengku Zaharah mencengkam jiwa. Sukar untuk melupakan segala kenangan mereka.
“Ir, papa semakin lemah. Papa harap Ir dapat bantu papa,” suara Tengku Iqbal, sebak.
Diseka air mata yang meniti di tubir mata. Tanpa menunggu, dia bingkas bangun lalu beredar dari bilik itu. Dia perlu memikirkan bagaimana untuk menyelesaikan masalah yang semakin memberat. Masalah Tengku Irfan, anaknya.
Tengku Irfan membuka perlahan matanya. Dihalakan pandangan ke pintu bilik yang baru sahaja ditutup. Dia segera bangun daripada pembaringan dan bersandar di kepala katil.
Kata-kata Tengku Iqbal terngiang-ngiang di minda. Perasaan bersalah hadir dengan tiba-tiba. Bersalah terhadap ayahnya. Bersalah kerana menyusahkan Tengku Iqbal selama ini.
“Ir mintak maaf, papa. Ir bersalah dengan papa. Ir janji lepas ni Ir takkan susahkan papa lagi,” luah Tengku Irfan, lemah.
Wajah Naufal Shafiq meniti di tubir mata. Wajah kawan baiknya yang sentiasa ada di sisi setiap kali dia memerlukan.
“Kau kena lawan, Ir. Kalau kau tak lawan, macam mana kau nak tenang?” kata Naufal sambil menggeleng. Tengku Irfan di hadapan ditatap mesra.
“Aku dah cuba, Naufal. Tapi…” Tengku Irfan mematikan ayat. Sukar untuk berterus-terang akan perasaannya ketika ini.
“Aku tahu, Ir. Kemalangan tu bagi kesan pada diri kau. Tapi, sampai bila kau nak susahkan papa kau? Aku kesiankan papa kau. Cuba kau letakkan diri kau di tempat dia. Pasti kau dapat rasa apa yang dia rasa selama ini,” nasihat Naufal lagi.
Tengku Irfan tidak membalas. Otaknya cuba merencana kata-kata nasihat Naufal. Ada benarnya kata-kata Naufal itu. Semakin bersalah Tengku Irfan ketika ini.
“Kau kena atasi masalah yang ada. Aku masih menunggu Tengku Irfan yang aku kenali sejak kecil lagi,” sambung Naufal lalu beredar dari situ.
Tengku Irfan tersentak tatkala telefon bimbitnya berbunyi. Lamunannya yang pendek, berterbangan entah ke mana. Dicapai telefon bimbit dari atas meja dan menatap nama di skrin.
“Ada apa, Naufal?” tanya Tengku Irfan sebaik sahaja talian bersambung.
Sorry kalau aku kacau kau malam-malam buta ni. Aku cuma nak confirmkan dengan kau pasal esok. Jadi tak kau ikut aku esok?” terang Naufal dari hujung talian.
Tengku Irfan berfikir sejenak. Hatinya berkira-kira untuk bersetuju.
“Ir…” panggil Naufal.
“Aku ikut,” balas Tengku Irfan, lemah.
“Okey! Jangan tak jadi pulak.”
“Insya-Allah, jadi.”
“Baiklah, Ir. Jumpa esok.”
Tengku Irfan mematikan talian. Nafas dihela ringan untuk kesekian kali. Ada baiknya dia menerima kata-kata nasihat Naufal. Semoga dia dapat mengatasi masalah yang dihadapi selama ini. Semoga dia tidak menyusahkan Tengku Iqbal lagi.


“BINGO! Yes! Aku menang!” sorak Irdina, girang.
“Ala…” keluh Melisa.
Kertas di tangan ditatap. Untuk kali yang ke sepuluh dia kalah di tangan Irdina. Tidak dinafikan Irdina pakar dalam permainan itu.
So, nak main lagi tak?” tanya Irdina sambil mengangkat kening.
“Tak nak la. Asyik kalah saja. Bosan!” balas Melisa, perlahan.
Kertas di tangan dironyok lalu mencampakkannya ke dalam tong sampah. Keluhan terlepas daripada bibir untuk kesekian kali.
“Tu la, tadi bukan main sombong sangat dengan aku. Sekarang, siapa yang malu? Kau juga, kan?” sindir Irdina, selamba.
“Yalah, aku ingat boleh menang. Tu yang aku cakap besar,” kata Melisa tidak mahu mengalah. Wajah Irdina ditatap geram.
Irdina ketawa kecil. Diamati wajah muram Melisa. Kawannya itu selalu kalah tatkala bermain permainan.
“Along mana?” tanya Melisa tatkala menyedari ketiadaan Irshad.
“Beli burger kat tepi jalan sana,” jawab Irdina.
Dia membuang pandang ke langit malam. Bulan dan bintang menghiasi dada langit. Cantik dari pandangan mata.
“Eh… apa kes kau siang tadi?”
“Kes? Kes apa?”
“Kes mamat tu.”
Irdina berkerut dahi.
“Ala… yang kat pantai tadi tu.”
Irdina berfikir seketika. Kemudian, dia mengangguk faham.
“Apa kes?”
Irdina tidak membalas. Ingatannya mengimbas semula kejadian siang tadi.


“KAU tak nampak atau pura-pura tak nampak?” marah Tengku Irfan sedikit meninggi.
Tajam matanya ke wajah seorang kanak-kanak yang sedang menunduk. Rasa sakit hati tatkala kanak-kanak itu melanggarnya dengan sengaja.
“Maa... maafff… aaa… bbbaaanggg.”
Terketar-ketar kanak-kanak itu mengucapkan kata maaf. Takut melihat wajah tegang Tengku Irfan. Sungguh, dia tidak sengaja melanggar pemuda itu.
“Maaf kepala hotak kau! Mentang-mentang kau budak, so kau nak aku maafkan kau ke?” marah Tengku Irfan lagi.
Kanak-kanak itu sekadar menggeleng. Tidak berani untuk membalas.
“Apa masalah encik ni?” tanya Irdina, tiba-tiba.
Tengku Irfan dan kanak-kanak yang bernama Farid terkejut. Masing-masing menghalakan mata ke wajah Irdina.
“Apa masalah encik ni? Yang encik marah budak ni, kenapa?” tegur Irdina pula.
Ditarik tubuh Farid menjauhi Tengku Irfan. Sejak dari tadi dia mendengar kemarahan pemuda itu. Apa yang kanak-kanak itu telah lakukan sehingga dimarahi sebegitu sekali?
“Siapa kau nak masuk campur? Kau mak budak ni ke?” Keras nada Tengku Irfan bertanya. Wajah Irdina ditatap tajam.
“Saya bukan siapa-siapa dengan budak ni. Tapi, encik tak patut marah dia di tempat awam macam ni.”
“Suka hati aku la nak marah ke, tegur ke budak ni. Dah dia buat salah, aku tegur la.”
So, suka hati saya la nak bela atau masuk campur dalam urusan ni.”
Tengku Irfan mendengus kasar. Sakit hatinya mendengar kata-kata Irdina. Wajah selamba Irdina menambahkan lagi tahap kemarahannya itu.
“Adik buat apa dengan abang ni?” tanya Irdina, lembut.
“Saya… saya… saya tak sengaja langgar abang ni, kakak. Aiskrim saya terkena dekat baju abang tu,” cerita Farid, bergetar.
“Oh, macam tu. Tak apa, adik boleh pergi sekarang,” balas Irdina bernada arahan.
“Tapi…”
“Jangan risau. Akak settle dengan abang. Mak dan ayah adik kat mana?”
“Ada kat sana!” unjuk Farid ke arah mak dan ayahnya.
Irdina memandang ke arah yang ditunjuk. Dia mengangguk kecil dan tersenyum.
“Adik boleh pergi sekarang,” arah Irdina kemudian.
Farid mengangguk faham. Tanpa berlengah, dia segera beredar dari situ. Nafas lega dilepaskan. Bersyukur kerana Irdina sudi membantu dalam menyelesaikan masalah dengan Tengku Irfan. Kecut perutnya berhadapan dengan pemuda itu.
Tengku Irfan yang melihat terkejut. Kenapa kanak-kanak itu beredar dari situ?
“Woi… aku tak suruh pergi,” laung Tengku Irfan.
Namun, panggilannya itu tidak bersambut. Dihalakan mata ke wajah Irdina yang sedang beriak selamba sambil berpeluk tubuh.
“Siapa benarkan budak tu pergi? Aku belum habis dengan dia lagi,” tanya Tengku Irfan bernada geram.
So what?” tanya Irdina, selamba.
Tengku Irfan menggenggam erat tangan. Semakin sakit hatinya mendengar jawapan selamba Irdina. Ikutkan hati, mahu ditampar pipi gadis di hadapannya itu.
“Kalau encik nak ganti rugi pada baju yang dah kotor tu, saya boleh bayar bagi pihak budak tu. Berapa yang encik nak? RM 5? RM 10? RM 50? Atau RM 100?”
Wajah pemuda di hadapan ditatap berserta senyuman sinis. Lelaki seperti itu perlu dibalas dengan serius.
Semakin panas hati Tengku Irfan mendengarnya. Tingkah laku Irdina ditatap benci.
“Hurm… saya cuma ada RM 50 saja. Cukuplah, kan?” ujar Irdina.
Sekeping not RM 50 dihulurkan kepada Tengku Irfan. Dilihatnya pemuda itu tidak mengendahkan huluran wang tersebut.
“Kira settle la ya,” putus Irdina
Not RM 50 diletakkan di dalam poket baju kemeja Tengku Irfan. Setelah itu, dia segera beredar dari situ. Membiarkan Tengku Irfan yang sedang memandangnya.
“Apa punya manusia. Dengan budak-budak pun nak gaduh,” bebel Irdina sendirian.
Dia melangkah menuju ke tempat di mana Irshad dan Melisa berada. Belum sempat langkahnya menjauh, telinganya disapa dengan suara seseorang. Dia menoleh buat seketika dan alangkah terkejut tatkala melihat pemuda tadi.
“Tak sangka!” suara Melisa, tiba-tiba.
Tersentak Irdina mendengarnya. Dihalakan mata ke wajah Melisa di sisi.
“Tak sangka mamat tu begitu orangnya,” sambung Melisa.
“Aku pun tak sangka juga,” sokong Irdina lalu tersenyum kelat.
Wajah Tengku Irfan meniti di tubir mata. Entah kenapa perasaan bersalah hadir dengan tiba-tiba. Adakah dia berasa bersalah atas apa yang telah terjadi kepada Tengku Irfan? Pemuda itu pengsan selepas bertegang urat dengannya.
“Aku balik dululah. Dah lewat ni. Nanti mak aku marah pulak,” ujar Melisa bingkas bangun.
“Esok jangan lupa temankan aku jumpa dengan mak aku.” Irdina mengingatkan. Wajah teman baiknya itu ditatap kasih.
Melisa sekadar mengangguk. Dia segera beredar dari situ. Kepenatan mulai terasa dan minta direhatkan.
“Mel mana?” tanya Irshad tatkala menyedari ketiadaan Melisa.
“Dah balik!” jawab Irdina sambil menutup pintu pagar rumah.
Irshad mengangguk. Dia melangkah masuk ke dalam rumah. Beg plastik berisi burger diletakkan di atas meja.
“Along, esok Dina balik lambat. Ada hal lepas kerja,” beritahu Irdina, lembut.
“Hal apa?” tanya Irshad, ingin tahu.
Irdina menelan liur. Apa jawapan yang harus diberikan kepada abangnya itu? Perlukah dia berterus-terang kepada Irshad? Pasti Irshad akan membantah serta menghalangnya daripada berjumpa dengan Datin Iznaini.
Selama ini, Irshad tidak suka jika dia berjumpa dengan Datin Iznaini. Semuanya disebabkan kisah lampau. Kisah yang tidak mungkin Irshad lupakan. Sehingga ke hari ini, Irshad tidak dapat menerima Datin Iznaini sebagai ibu mereka.
“Hal apa?” Irshad mengulangi pertanyaannya yang tadi. Wajah adiknya ditatap. Menanti jawapan daripada Irdina.
“Nak jumpa ummi,” balas Irdina, tenang.
Irshad mengangguk. Ummi. Panggilan buat Hajah Basyirah di rumah anak-anak yatim. Tempat yang mereka berdua kunjungi jika mempunyai masa lapang.
“Along…” seru Irdina, perlahan.
“Hurm… baiklah! Kirim salam pada ummi,” balas Irshad lalu menuju ke bilik.
Irdina mengangguk. Dia segera menuju ke bilik sebaik sahaja kelibat Irshad menghilang. Senyuman meniti di bibir ketika itu. Namun, senyumannya mati tatkala wajah Tengku Irfan meniti di tubir mata.


“BAGAIMANA Lokman?” tanya Tengku Iqbal.
“Saya dah cari dan saya dah jumpa di mana dia berada, tengku,” beritahu Lokman.
“Awak memang boleh diharapkan, Lokman,” puji Tengku Iqbal, ikhlas.
Lokman sekadar tersenyum. Sampul surat bersaiz A4 diserahkan kepada Tengku Iqbal.
“Semua maklumat ada dalam sampul surat ni. Tak ada perubahan dan masih sama dengan yang lepas,” beritahu Lokman, tenang.
Tengku Iqbal membalas huluran. Dikeluarkan isi dari dalam sampul surat. Beberapa helai kertas ditatap satu persatu. Askara yang terdapat di dalam kertas itu dibaca dengan penuh minat. Terangguk-angguk tatkala membacanya.
“Tengku nak saya buat apa lagi?”
“Buat masa sekarang ni, tak ada apa-apa. Kalau ada nanti, saya panggil awak.”
“Baiklah, tengku.”
“Terima kasih, Lokman. Awak banyak membantu saya dalam segala hal,” ucap Tengku Iqbal, ikhlas. Wajah penyiasat peribadinya ditatap mesra.
“Saya pun ucapkan terima kasih pada tengku atas kepercayaan tengku terhadap saya,” balas Lokman lalu tersenyum.
Tengku Iqbal sekadar mengangguk.
“Kalau macam tu, saya minta diri dulu,” ujar Lokman pula.
“Baiklah, Lokman. Terima kasih atas bantuan awak selama ini,” ucap Tengku Iqbal.
Lokman sekadar tersenyum dan mengangguk. Tanpa berlengah, dia segera beredar dari bilik itu. Memberi ruang persendirian kepada Tengku Iqbal untuk membaca dan menilai maklumat yang diperolehinya itu.
Tengku Iqbal masih lagi membaca. Satu persatu maklumat dibaca. Tidak ada tertinggal satu pun. Daripada maklumat itu, dia perlu merancang sesuatu. Demi Tengku Irfan, dia sanggup melakukan apa saja asalkan Tengku Irfan kembali seperti sedia kala.
Semangat Tengku Irfan perlu dipulihkan dan ketenangan anaknya itu dikembalikan. Semoga usahanya selama ini membuahkan hasil. Semoga rancangannya berjaya.
Seminit kemudian, telefon bimbit dari atas meja dicapai. Nombor yang tertera di atas kertas didail dan menanti panggilan berjawab.
Hello!” suara seseorang dari hujung talian.
Tengku Iqbal tidak membalas. Diamati suara tersebut.
Hello! Siapa ni?” tanya suara itu pula.
Tengku Iqbal masih membisu. Dia mematikan talian dan meletakkan telefon bimbit di atas meja.
“Kau takkan boleh terlepas. Aku akan pastikan kau terima balasan atas apa yang telah kau lakukan terhadap Tengku Irfan,” azam Tengku Iqbal sambil mengepal tangan.


Jumpa lagi! Thanks!


Tiada ulasan:

Catat Ulasan