Selasa, 18 November 2014

Seandainya Tuhan Mengizinkan! - Bab 20





“MAMA, mana papa?” tanya Daniel Iman, tiba-tiba.
Tersentak Nur Syahirah dek kerana pertanyaan itu. Dihalakan pandangan ke wajah Daniel Iman. Senyuman diberikan buat kanak-kanak itu.
“Mama, mana papa?” tanya Daniel Iman buat kali kedua.
“Papa dah pergi klinik, sayang,” beritahu Nur Syahirah.
“Pergi klinik?” ulang Daniel Iman, berkerut dahi.
Nur Syahirah mengangguk.
“Papa dah janji nak bawa Danny dan mama pergi jalan-jalan hari ni. Kenapa papa pergi klinik?” beritahu Daniel Iman. Masih teringat akan janji papanya itu semalam.
Nur Syahirah menghela nafas berat. Apa jawapan yang harus diberikan kepada Daniel Iman? Ketika dia sedar waktu subuh tadi, Zairiel tiada di sisi. Difikirkan Zairiel keluar jogging kerana lelaki itu mengutamakan kesihatan.
Tetapi, kelibat Zairiel tidak juga muncul-muncul sehinggalah masa merangkak ke sepuluh pagi. Dia sekadar menduga. Mungkin Zairiel ke klinik. Jauh di sudut hati, dia dapat rasakan sesuatu. Sudah tentulah Zairiel mengetahui siapa dirinya yang sebenar? Dan, dia perlu bersedia untuk menghadapi segala kemungkinan.
“Mama, Danny nak call papa,” pinta Daniel Iman.
Nur Syahirah sedikit terpinga-pinga. Telefon bimbit dari atas meja dicapai. Nombor telefon Zairiel didail dan menanti panggilan bersambut.
“Ada apa?” tanya Zairiel sedikit kasar.
Terkejut Nur Syahirah mendengar pertanyaan kasar dari arah Zairiel. Diurut dada yang sedang berdegup kencang.
“Awak nak apa? Saya ada pesakit ni.” Tegas Zairiel bersuara. Dengusan kasar terlepas daripada bibir.
“Iman… Iman nak bercakap dengan awak,” beritahu Nur Syahirah, bergetar.
“Iman? Mulai hari ini, saya tak nak awak panggil dia dengan panggilan ‘Iman’. Awak jangan samakan anak saya dengan anak awak yang dah meninggal tu.” Zairiel memberi amaran. Memaksudkan kata-kata itu.
Nur Syahirah terkejut. Hatinya mengulangi kata-kata Zairiel. Jangan samakan anak saya dengan anak awak yang dah meninggal tu. Ya Allah, pasti Zairiel sudah mengetahui siapa dirinya yang sebenar. Pasti Zairiel tidak dapat menerimanya.
“Mama!” panggil Daniel Iman seraya menarik hujung t-shirt yang dipakai Nur Syahirah.
Nur Syahirah menghalakan mata ke arah Daniel Iman. Telefon bimbit dihulurkan dan menapak menuju ke sofa. Membiarkan Daniel Iman berbual bersama Zairiel.
“Ya Allah, hanya padaMu aku berserah. Jika dia membenciku ketika ini, Kau kuatkan semangatku untuk menghadapinya,” doa Nur Syahirah, sendirian.
“Mama… mama…” panggil Daniel Iman.
“Haaa… ada apa sayang?” tanya Nur Syahirah sedikit terpinga-pinga.
“Papa minta mama hantar Danny ke klinik,” beritahu Daniel Iman.
“Baiklah, sayang. Iman pergi… eh, Danny pergi mandi dulu. Lepas sarapan, mama bawa Danny ke klinik papa,” arah Nur Syahirah, lembut.
Rasa lain tatkala menyebut nama ‘Danny’ buat Daniel Iman. Tak apa, lama-lama aku akan biasa panggil dia Danny, ujar Nur Syahirah sekadar untuk menyedapkan hati sendiri.
Daniel Iman berkerut dahi. Kenapa Nur Syahirah memanggilnya dengan panggilan ‘Danny’ dan bukannya ‘Iman’ seperti biasa?
“Cepat Danny! Nanti papa marah!” tegur Nur Syahirah, lembut.
Daniel Iman mengangguk faham. Matanya mengekori tingkah laku Nur Syahirah yang sedang melangkah menuju ke dapur. Kenapa riak sedih yang terlukis di wajah mamanya itu?


“TERIMA kasih, Kak Kinah!” ucap Zairiel, tersenyum.
“Doktor perlukan apa-apa lagi?” tanya Sakinah pula.
“Tak ada. Saya nak berehat sekejap. Lagipun dah waktu rehat, kan?” balas Zairiel.
Sakinah sekadar mengangguk. Tanpa menunggu, dia segera keluar dari bilik. Sedari pagi tadi lagi hatinya menduga sesuatu. Kenapa Zairiel ke klinik hari ini? Bukankah sepatutnya Zairiel bercuti hari ini? Bukankah semalam majlis pernikahan doktor itu? Pelbagai persoalan menujah di fikiran.
Zairiel menyandarkan tubuh ke kerusi. Ingatannya mengimbas semula peristiwa yang berlaku pada malam tadi. Sungguh tidak menyangka yang selama ini Nur Syahirah bukan lagi gadis. Adakah perkara itu yang cuba disembunyikan oleh Nur Syahirah dan Farhana? Adakah ia kena-mengena dengan kisah enam tahun yang lepas?
Zairiel mengeluh untuk kesekian kali. Mesej yang diterima awal pagi tadi turut membuatkan hatinya sakit. Mesej yang menyatakan Sarah Imani adalah anak Nur Syahirah.
Jika benar Nur Syahirah pernah berkahwin, kenapa Nur Syahirah tidak membuktikannya sebelum mereka berdua bernikah? Atau Nur Syahirah pernah terlanjur dan melahirkan seorang anak yang bernama Sarah Imani?
“Papa!” panggil Daniel Iman dari arah muka pintu bilik.
Zairiel tersentak. Dihalakan mata ke arah Daniel Iman yang sedang berdiri di muka pintu. Senyuman diberikan buat anaknya itu. Tatkala terpandang Nur Syahirah, serta-merta senyumannya mati. Dengusan kecil terlepas daripada bibir.
“Kenapa papa kerja? Kan papa dah janji nak bawa Danny dan mama pergi jalan-jalan,” suara Daniel Iman sambil menghampiri Zairiel.
Zairiel mendukung Daniel Iman. Kucupan kasih hinggap di pipi.
“Anak papa ni makin berat.”
Tergelak Daniel Iman mendengarnya. Dikucup pipi papanya itu lalu tersenyum senang.
“Jom kita pergi makan!” ajak Zairiel sambil melangkah keluar dari bilik. Tidak dihiraukan Nur Syahirah yang sedang berdiri kaku di muka pintu.
Nur Syahirah hanya memandang. Rasa sebu dan sebak di hati ketika ini. Namun, dihalau perasaan itu sambil cuba mengukir sebuah senyuman.
“Mama…” panggil Daniel Iman dari luar bilik.
Nur Syahirah tersentak. Anggukan diberikan berserta senyuman hambar di bibir.


NUR SYAHIRAH mengekori daripada belakang. Matanya hanya memandang tingkah laku Zairiel dan Daniel Iman. Sedari dalam kereta sehinggalah mereka tiba di Restoran KFC, Zairiel hanya berbual bersama dengan Daniel Iman.
        Setiap kali dia bertanya, hanya kebisuan yang dibalas oleh Zairiel. Sungguh, hatinya terasa namun dihalau perasaan itu dan cuba sedaya upaya menyembunyikan rasa di hati. Siapalah dia untuk menghukum serta memarahi Zairiel? Zairiel berhak untuk berbuat begitu. Dia yakin, Zairiel tidak dapat menerima dirinya selepas peristiwa malam tadi.
Nur Syahirah masih lagi melangkah. Otaknya ligat berfikir. Apa yang harus dilakukan sekarang? Perlukah dia berterus-terang perkara yang sebenar? Jika dia berterus-terang, adakah Zairiel akan mempercayai kata-katanya?
Tanpa sebarang bukti, mana mungkin Zairiel akan mempercayainya. Sudah tentulah dia akan dituduh cuba untuk memerangkap lelaki itu. Tambahan pula, peristiwa itu sudah lama terjadi dan tidak ada gunanya dia mengungkit kisah itu semula. Keluhan terlepas daripada bibir.
“Yang awak jalan sambil termenung ni, kenapa?” tegur Zairiel, keras.
Tersentak Nur Syahirah dek kerana teguran itu. Diurut dadanya yang bergetar hebat.
“Maaf!” ujar Nur Syahirah lalu menunduk.
Zairiel mendengus kasar. Ditarik tangan Daniel Iman dan masuk ke dalam Restoran KFC.
Nur Syahirah menghela nafas berat. Dipaksa bibirnya mengukir sebuah senyuman. Sekadar untuk mengaburi mata Daniel Iman.
Sepanjang makan, Nur Syahirah lebih banyak membisu. Panjang yang ditanya Daniel Iman, sepatah yang dijawab olehnya. Tatkala memandang wajah Zairiel, hanya kebencian yang dilihat dari sinar anak mata lelaki itu. Nafas berat dilepaskan untuk kesekian kali.
“Mama, kenapa tak makan?” tanya Daniel Iman, berkerut dahi.
“Haaa.. apa dia Iman?” tanya Nur Syahirah.
“Eh, apa dia Danny?” Nur Syahirah membetulkan pertanyaannya yang tadi. Bagaimana dia boleh tersasul menyebut nama ‘Iman’?
“Kenapa mama tak makan? Tak sedap ke ayam goreng ni?” tanya Daniel Iman, prihatin.
“Mama…”
“Danny, sekejap lagi mak cik makan,” pintas Zairiel, laju.
Tersentak Nur Syahirah mendengarnya. Wajah Zairiel dipandang sayu. Hanya riak selamba yang terlukis di wajah itu. Ya Allah, sungguh berat dugaanMu ini. Berikan aku kekuatan untuk melawan rasa bencinya terhadap aku.
“Papa, kenapa…”
“Makan cepat, Danny! Papa banyak kerja kat klinik,” tegur Zairiel, tegas.
Daniel Iman mengangguk faham. Matanya memandang ke wajah Zairiel dan kemudian beralih ke wajah Nur Syahirah. Kenapa sikap papa dan mamanya berlainan daripada semalam? Adakah papa dan mamanya bergaduh?
“Saya ke ladies sekejap,” pinta Nur Syahirah bingkas bangun dari duduk.
Zairiel tidak membalas. Tingkah laku Daniel Iman yang sedang makan diperhati penuh minat. Tidak dihiraukan pemergian Nur Syahirah.
Nur Syahirah membiarkan sahaja air matanya mengalir membasahi pipi. Sebak di hati dengan penerimaan Zairiel. Baru semalam Zairiel bersikap baik dan romantik. Tetapi hari ini, Zairiel banyak melukakan hatinya. Apa yang harus dilakukan ketika ini? Aku kena kuat! Aku kena lawan perasaan benci dia terhadap aku, azam Nur Syahirah kepada diri sendiri.
Tanpa membuang masa, diseka air mata yang mengalir membasahi pipi. Tidak ada gunanya dia menangis. Masalah tidak akan selesai dengan hanya menangis. Jika selama enam tahun ini dia tabah dalam menghadapi semua dugaan, kenapa tidak pada kali ini?
You can do it, Nur Syahirah Nazim!” janji Nur Syahirah di hadapan cermin.
Setelah memastikan kesempurnaan pada wajahnya, dia melangkah keluar dari tempat itu. Khuatir, Zairiel dan Daniel Iman menunggu lama.
“Aduh!” adu Nur Syahirah kemudian.


“DANNY tidurlah dulu. Mak cik tak ada apa-apa,” suruh Nur Syahirah, lembut.
“Tapi, kaki ma…”
“Sikit saja ni. Tak sakit pun!” pintas Nur Syahirah, tersenyum.
Daniel Iman hanya mendengar. Kaki Nur Syahirah yang berbalut diperhati berserta kerutan di dahi.
“Danny, dah lewat ni. Nanti papa marah!”
“Kesian mama. Kaki mama dah berbalut. Mesti sakit kan, mama?”
Nur Syahirah hanya menggeleng. Diusap lembut rambut Daniel Iman dan mengucup dahi kanak-kanak itu.
“Kenapa papa marah mama?” tanya Daniel Iman ingin tahu.
Nur Syahirah hanya membisu. Apa jawapan yang harus diberikan kepada Daniel Iman? Ingatannya mengimbau semula peristiwa siang tadi.
“Mata awak tu letak kat mana? Kat lutut?” marah Zairiel berserta dengusan kasar.
“Saya tak perasan lantai tu licin. Kalau saya….”
“Tak perasan? Awak ni memang suka mengelamun bila berjalan, kan?” pintas Zairiel.
“Maafkan saya atas kecuaian saya. Lepas ni saya takkan cuai lagi,” ucap Nur Syahirah lalu menunduk.
Bukan niatnya untuk mendatangkan kemarahan Zairiel. Disebabkan kecuaian sendiri maka dia mendapat habuan berbalut di kaki. Kakinya terseliuh akibat terjatuh di tandas. Mujur ada cleaner yang sanggup menolongnya tadi. Jika tidak entah apa akan terjadi nanti. Malah, cleaner itu juga yang memberitahu kepada Zairiel.
Zairiel menggenggam erat tangan. Matanya memandang wajah menunduk Nur Syahirah dan kemudian ke balutan di kaki. Tanpa membuang masa, ditarik Daniel Iman supaya beredar dari situ. Membiarkan Nur Syahirah melayani perasaan sendiri.
Nur Syahirah mengangkat wajah. Langkah Zairiel dan Daniel Iman dipandang sayu. Nafas ditarik dan melepaskannya berat. Perlahan-lahan dia melangkah keluar dari klinik itu. Berkerut-kerut dahinya sambil cuba menahan kesakitan di kaki.
“Mama… mama…” panggil Daniel Iman sambil menyentuh lembut tangan Nur Syahirah. Wajah Nur Syahirah yang sedang mengelamun diperhati penuh minat.
“Haa… apa dia, sayang?” tanya Nur Syahirah tatkala lamunannya diganggu Daniel Iman.
“Kenapa papa marah mama?” ulang Daniel Iman pada pertanyaannya yang tadi.
“Papa sayangkan mak cik. Sebab itulah papa Danny marah mak cik.”
“Kalau papa marah Danny maknanya papa sayang Danny juga. Macam tu ke, mama?”
“Pandai pun anak mak cik ni,” puji Nur Syahirah sambil mencuit hidung Daniel Iman.
So, dah lewat malam ni. Danny pergi tidur ya, sayang.”
Daniel Iman mengangguk faham. Kucupan di pipi dihadiahkan buat Nur Syahirah. Seminit kemudian, dia menuju ke bilik sebaik sahaja memberi salam.
Nur Syahirah hanya memandang. Sebaik sahaja Daniel Iman hilang dari pandangan mata, dia segera turun dari katil dan menapak ke muka pintu bilik. Sedari tadi hatinya tertanya-tanya, ke mana Zairiel pergi malam-malam begini? Adakah Zairiel ke klinik atau ke tempat untuk menenangkan hati dan fikiran?
“Awak nak ke mana?” tanya Zairiel, tiba-tiba.
Terhenti langkah Nur Syahirah dek kerana pertanyaan Zairiel itu. Malah, teguran itu membuatkan keseimbangan tubuh badannya tidak stabil dan hampir terjatuh.
Zairiel yang melihat segera menghampiri Nur Syahirah. Disambut tubuh Nur Syahirah agar tidak jatuh ke lantai.
“Kenapa tak berhati-hati?” tegur Zairiel, serius.
Nur Syahirah membetulkan kedudukan. Nafas lega dilepaskan.
“Kaki awak kan sakit. Buat apa keluar? Duduk sajalah dalam bilik tu,” tegur Zairiel lagi.
Dicempung tubuh Nur Syahirah dan membawanya masuk ke dalam bilik. Kemudian, diletakkan di atas katil dan menghela nafas ringan.
“Maaf sebab susahkan awak. Saya janji takkan cuai lagi,” janji Nur Syahirah, serius.
Zairiel tidak membalas. Lampu tidur dipasang dan menapak ke muka pintu bilik. Jam di dinding dikerling. Dia perlu ke bilik Daniel Iman untuk melihat keadaan anaknya itu.
“Saya minta maaf,” ujar Nur Syahirah, lembut.
Zairiel mematikan langkah. Menanti butir bicara daripada isterinya itu.
“Saya pernah berkahwin enam tahun yang lepas dan Sarah Imani anak kandung saya,” mulai Nur Syahirah, perlahan.
Nafas ditarik dan melepaskannya berat. Ya Allah, ampuni dosaku. Aku terpaksa berbohong dengan suamiku sendiri, bisik Nur Syahirah dalam hati.
“Suami saya meninggal dalam kemalangan selepas dua tahun kami berkahwin. Beberapa bulan selepas itu, Sarah Imani meninggal disebabkan penyakit jantung berlubang.”
Zairiel membisu. Otaknya cuba merencana penjelasan Nur Syahirah.
“Saya tak boleh nak buktikan pada awak yang saya dah berkahwin. Sijil nikah saya hangus terbakar dalam satu kejadian kebakaran di tempat saya menginap dulu,” cerita Nur Syahirah, serius. Berharap, Zairiel mempercayai akan ceritanya itu.
Deringan telefon dari arah Zairiel membingitkan suasana sunyi di antara mereka berdua. Zairiel mengeluarkan telefon bimbit dari dalam poket seluar lalu menatap nama di screen telefon.Dia menapak keluar dari bilik sebaik sahaja suis lampu utama dipadam.
Nur Syahirah hanya memandang. Dibaringkan tubuh dan menarik selimut. Adakah Zairiel mempercayai akan ceritanya itu? Kenapa reaksi Zairiel tenang sebaik sahaja dia berterus-terang? Adakah Zairiel akan terus bersikap dingin dan membencinya? 


Nota Kaki

Okey! Terima kasih sudi baca dan follow STM. Maybe saya akan up sehingga ke bab 25 sahaja. Nantikan STM dalam versi cetak pada tahun hadapan. Insya-Allah.



2 ulasan: