Jumaat, 14 September 2012

Suara Cinta - Bab 4


BAB 4

“ASSALAMUALAIKUM encik!” tegur Nur Edleen dan tersenyum.
Terhenti tingkah Edzuary dek kerana teguran itu. Diangkat wajahnya dan menatap wajah tersenyum Nur Edleen. Kemudian, dijatuhkan semula wajahnya dan menatap fail di hadapan. Serta merta peristiwa semalam bermain-main di tubir mata. Dapat dirasakan panas wajahnya ketika ini.
“Awak nak apa?” tanya Edzuary sedikit bergetar. Dapat dirasakan degupan jantungnya berlari dengan laju. Mengalahkan pelari sukan olimpik lagaknya. Entah mengapa setiap kali berhadapan dengan Nur Edleen, dia akan berkeadaan begitu, tidak tenteram. Adakah Nur Edleen mempunyai kaitan yang kuat dengannya?
“Tak jawab salam berdosa,” ujar Nur Edleen, selamba.
“Waalaikumussalam. Awak nak apa?” balas Edzuary, geram.
Nur Edleen tersengih. Matanya menatap wajah tegang Edzuary. Sepintas lalu peristiwa semalam menari-nari di tubir mata. Dia tertawa kecil tatkala mengingatinya.
“Yang awak ketawa tiba-tiba ni, kenapa? Awak nak apa sebenarnya ni?” tanya Edzuary dan mengangkat wajah. Sakit telinganya mendengar suara ketawa Nur Edleen itu.
Nur Edleen menekup mulutnya. Menyesali dengan tingkahnya sebentar tadi.
“Awak nak apa? Kalau tak ada apa-apa, baik awak keluar sekarang sebelum saya mengamuk,” marah Edzuary tidak tertahan. Jika diikutkan hati, mahu sahaja dia mengheret Nur Edleen keluar dari biliknya.
“Erk… encik dah sarapan?” tanya Nur Edleen, berbasa-basi.
Bertambah panas dirasakan Edzuary. Pantas, dia berdiri dan memandang tajam ke arah Nur Edleen yang sedang tersenyum. Seketika itu, dia menarik nafas dan melepaskannya lembut.
“Wahai Cik Nur Edleen Haji Marwan yang cantik molek lagi menawan, tujuan apa Cik Nur Edleen Haji Marwan datang berjumpa dengan saya?” tanya Edzuary, lembut dan ramah. Skema sungguh bunyi ayatnya itu. Jauh di sudut hati, rasa nak termuntah dia menuturkannya.
Nur Edleen menggaru kepalanya yang tidak gatal. Sengihan diberikan pada Edzuary. Bukannya dia sengaja mengganggu ketenteraman Edzuary. Disebabkan pesanan yang ditinggalkan oleh seseorang membawa langkahnya masuk ke dalam pejabat Edzuary. Jika diikutkan hati, tak ingin dia mengadap wajah tegang bos besarnya itu.
“Erk… Mak Ita kirim salam pada encik. Dia pesan, minta encik pulangkan peralatannya sebab dia nak jalankan tugas pembersihan pukul sembilan pagi ni,” beritahu Nur Edleen dan tersenyum.
Edzuary memicit kepala. Terasa pening di waktu itu.
“Kenapa encik? Pening ke?” tanya Nur Edleen, lurus.
Edzuary hanya mengangguk.
“Ada muntah-muntah tak?” tanya Nur Edleen lagi.
Berkerut dahi Edzuary mendengar pertanyaan Nur Edleen itu. Dihalakan matanya ke wajah selamba Nur Edleen.
“Kalau encik pening-pening dan muntah-muntah, saya sarankan encik ke hospital atau klinik. Takut penyakit encik melarat nanti,” nasihat Nur Edleen, lembut. Entah hantu mana yang merasuk dirinya berkata begitu. Dilihat bos besarnya memicit-micit kepala. Wajah berkerut bos besarnya juga ditatap. Kasihan Nur Edleen melihatnya.
“Siapa ibunya?” tanya Nur Edleen sedikit teruja.
Semakin berkerut dahi Edzuary. Tajam matanya menikam wajah Nur Edleen. Sengaja mencari nahas minah ni, marahnya di dalam hati.
“Dah berapa bulan?” tanya Nur Edleen lagi.
“Apa yang awak merepek kan ni? Ibu siapa? Bulan apa?” marah Edzuary tidak tertahan.
Terkejut Nur Edleen mendengar amarah Edzuary. Matanya membalas pandangan Edzuary. Kecut perut pula dirasakan Nur Edleen melihatnya.
“Kan encik pening-pening, muntah-muntah. Itu kan tanda orang mengandung. Jadi saya tanyalah siapa ibunya dan berapa bulan. Kut-kut, encik mabuk disebabkan isteri encik pregnant. Salah ke pertanyaan saya tu?” balas Nur Edleen sambil cuba menahan ketawa. Dia sedar apa yang dilakukannya itu. Sengaja mengusik bos besarnya.
Get out!!” lantang Edzuary seraya jarinya mengunjuk ke pintu bilik.
“Okey.. okey… pagi-pagi tak boleh marah, rezeki tak masuk tau, encik,” beritahu Nur Edleen dan menapak jalan menuju ke muka pintu bilik. “Tak handsomelah kalau encik marah-marah macam tu,” komennya dan tersenyum.
Edzuary menyinsing lengan bajunya. Dengusan kasar terlepas dari bibir. Sakit hatinya mendengar kata-kata Nur Edleen. Kenapalah dia boleh berjumpa dengan makhluk seperti Nur Edleen? Jika diikutkan hati, mahu sahaja dia menghapuskan Nur Edleen dari pandangan mata. Baru dua hari Nur Edleen bekerja, Edzuary sudah tidak tahan. Bagaimana dengan sebulan dan seterusnya? Sanggupkah dia berhadapan dengan Nur Edleen.
“Erk… encik!” panggil Nur Edleen dari muka pintu.
“Nak apa?” Meninggi Edzuary bertanya.
“Jangan lupa hantarkan peralatan Mak Ita tu tau. Nanti Mak Ita kena pecat pulak sebab tak jalankan tugas membersih,” beritahu Nur Edleen dan tersengih.
“Nur Edleen!” panggil Edzuary masih meninggi.
“Okey, bye!” balas Nur Edleen dan beredar dari situ. Ketawa yang ditahan sedari tadi dilepaskannya. Sungguh, tidak menyangka begitu mudah Edzuary dipermain-mainkan. Ternyata Edzuary bukanlah seorang yang tegas dan matang.


“AKU tabik spring kat kaulah Leen. Macam mana kau boleh kenakan bos kau tu?” puji Ezzura sambil mengangkat kening.
“Aku pun tak tau Zura. Kecut perut juga aku tengok muka dia tu tadi. Macam singa lapar pun ada,” beritahu Nur Edleen.
“Tapi, berani betul kau cari pasal dengan dia. Kau tak takut kena pecat ke?”
“Nak takutkan apa. Kalau dia nak pecat aku, pecatlah! Aku peduli apa. Lagipun aku tak suka la dapat bos macam dia tu. Ikut hangin sendiri aje. Hangin aku dia tak tahu lagi.”
Ezzura hanya tertawa mendengarnya. Kagum Ezzura melihat Nur Edleen. Selama ini, belum pernah lagi Edzuary dipermain-mainkan oleh sesiapa. Jika Ezzura tidak silap, Edzuary merupakan seorang ketua yang tegas. Sesiapa pun tidak berani melawan katanya. Mementingkan masa, kesempurnaan dan kekemasan.
“Mana diaorang berdua ni? Lama dah tunggu, tapi tak muncul-muncul. Rehat kita bukannya panjang mana pun. Satu jam aje, kan?” rungut Nur Edleen sambil mengerling jam di tangan.
“Sekejap lagi sampailah mereka berdua tu,” kata Ezzura turut sama melihat jam di tangan.
Nur Edleen mengeluh berat. Bingkas, dia bangun dari duduk dan ingin ke ladies room. Badannya juga rasa sakit tatkala bersandar di kerusi. Semenjak dua menjak ini, badannya cepat merasa letih. Entah kenapa, dia sendiri tidak tahu.
“Aku ke ladies sekejap,” pinta Nur Edleen dan berlalu pergi.
Ezzura hanya mengangguk. Matanya menghantar langkah Nur Edleen hingga hilang dari pandangan. Terlihat juga kelibat Azie dan Eka Farisha sedang melangkah jalan menghampiri meja. Senyuman dilemparkan buat Azie dan Eka Farisha.
“Leen mana?” tanya Azie, seraya duduk.
“Dia ke ladies sekejap. Yang korang berdua ni lewat, kenapa?” balas Ezzura.
Sorrylah beb. Cari parking punya pasal, itu yang lambat,” terang Eka Farisha, seraya duduk. Dicapai gelas minuman milik Ezzura dan meneguk rakus air di dalamnya. Tekak yang terasa kering sudah pun dibasahkan.
So, apa cerita?” tanya Ezzura, tidak sabar. Tidak mahu membuang masa memandangkan masa mencemburui dia dan Nur Edleen.
“Tunggu Leen lah!” jawab Azie.
“Nanti aku bagitau pada dia. Masa dah suntuk ni. Kitaorang rehat satu jam, tidak lebih dan tidak kurang. So, daripada korang tunggu Leen, baik korang ceritakan pada aku dulu,” jelas Ezzura bernada tegas.
Azie dan Eka Farisha mengangguk faham. Ada benarnya kata-kata Ezzura. Disebabkan mencari parking, mereka terlewat hampir setengah jam untuk berjumpa dengan Nur Edleen dan Ezzura.
“Okey.. begini…” mulai Azie.


“OPOCOT, kau terjatuh lantai,” latah Nur Edleen, tiba-tiba.
“Hati-hati cik,” ujar seseorang seraya menarik lengan Nur Edleen dari jatuh tersungkur ke lantai. Tarikan itu juga membuatkan Nur Edleen terdorong ke belakang.
“Kush semangat. Nasib baik tak jatuh, kalau jatuh, mau patah tulang aku dibuatnya,” kata Nur Edleen dan mengurut dada. “Terima kasih!” ucapnya pula.
“Sama-sama. Lain kali jalan hati-hati sikit. Kawasan ni memang licin,” beritahu suara itu.
Nur Edleen mengangguk sambil cuba menstabilkan kedudukan dirinya. Namun sukar, kerana pegangan lelaki itu kuat mencengkam lengannya. Dia menoleh ke belakang. Alangkah terkejut tatkala melihat wajah lelaki di belakangnya itu.
“Erk… Encik Edzuary. Buat apa kat sini?” tanya Nur Edleen.
Edzuary sedikit terkejut. Serta-merta dia melepaskan pegangan. Lepasan itu  telah membuatkan Nur Edleen terjatuh. Sungguh, dia terkejut melihat Nur Edleen yang sudah pun terduduk di lantai.
“Maaf, tak sengaja,” ujar Edzuary, selamba. Seminit kemudian, dia tertawa melihat keadaan Nur Edleen itu.
Nur Edleen mendengus geram. Bingkas, dia bangun dan mengusap punggungnya yang terasa sakit. Tajam matanya ke wajah selamba Edzuary. Kemudian, secara tidak sengaja dia terpandangkan sesuatu. Terasa malu Nur Edleen rasakan ketika ini.
“Tak apa, saya terima,” balas Nur Edleen turut selamba.
Edzuary tersenyum sinis. Memang dia sengaja melepaskan pegangannya tadi. Sengaja untuk mengenakan Nur Edleen. Jika orang lain, tidak mungkin dia akan berbuat begitu. Rasa sakit hati dipermain-mainkan Nur Edleen pagi tadi, masih lagi bersisa. Ingin sahaja dia mengenakan Nur Edleen ketika ini.
“Sakit?” tanya Edzuary, sinis.
“Eh, taklah. Sedap!” jawab Nur Edleen turut sama sinis. “Apa-apa pun terima kasih atas bantuan encik tadi,” ucapnya pula dan berkira-kira untuk beredar dari situ. Namun, ditahan oleh Edzuary. Seakan Edzuary masih tidak berpuas hati dengan Nur Edleen.
“Ala, kalau sakit… cakap ajelah sakit, tak payahlah nak berlagak sombong depan saya,” sindir Edzuary, pedas.
Nur Edleen menghela nafas geram. Tangan dikepal erat sambil cuba menahan rasa di hati. Jika diikutkan hati, mahu sahaja dia menumbuk muka Edzuary ketika itu.
So what? Kalau saya nak sombong pun, bukannya ada kena-mengena dengan encik. Sebelum encik nak tegur saya, baik encik tegur diri encik dulu,” luah Nur Edleen, geram.
“Marah nampak,” kata Edzuary tatkala melihat wajah memerah Nur Edleen. Pasti Nur Edleen sedang menahan kemarahan di hati.
“Macam ni lah Encik Edzuary Safuan Erizal Hanif, saya cuma nak bagi nasihat pada encik. Lepas ke tandas, pastikan seluar tu dizip semula. Nasib baik saya yang tegur, kalau orang lain yang tegur, entahlah!” kata Nur Edleen, selamba dengan wajah yang tidak berperasaan.
Tersentak Edzuary mendengar kata-kata Nur Edleen. Dengan pantas dia melihat zip seluarnya. Ternyata benar apa yang diperkatakan oleh Nur Edleen. Ya Allah, terasa malunya dia di saat ini. Mahu sahaja dia menyorokkan muka di dalam poket baju agar Nur Edleen tidak melihat riak malunya itu.
It’s okey Encik Edzuary. Saya tak bagitau pada sesiapa pun, jangan risau ya. Saya simpannya dalam kocek baju saya ni,” beritahu Nur Edleen, seraya menepuk lembut kocek blazernya. “Tapi, ada syaratnya,” sambungnya lagi dan tersenyum nakal.
Edzuary hanya memandang. Sakit matanya melihat senyuman nakal Nur Edleen. Rasa nak tampar sahaja wajah itu. Namun, disabarkan hati supaya tidak berbuat begitu. Khuatir Nur Edleen akan menghebahkan hal sebentar tadi kepada orang lain.
“Awak ingat saya takut ke?” kata Edzuary sambil cuba mengawal suara.
Well! It’s up to you. Okeylah, saya jalan dulu. Bye Encik Edzuary sayang,” balas Nur Edleen, selamba dan berkira-kira untuk beredar dari situ.
Wait!” tahan Edzuary, perlahan.


“ARY, kenapa dah lama tak balik rumah? Rindu benar mama dengan Ary,” tegur Puan Jaslina, seraya memeluk anak terunanya itu.
“Ary sibuk sikit la mama,” balas Edzuary dan meleraikan pelukan. Langkah diatur menuju ke sofa dan melabuhkan duduk di situ.
“Ary sibukkan apa? Sibuk dengan kenangan Ary tu?” tegur Puan Jaslina, tidak berpuas hati. Dilabuhkan duduk di sisi Edzuary.
“Banyak kerja la ma,” bidas Edzuary.
“Ary jangan nak bohong dengan mama. Mama tahu, Ary masih lagi teringatkan kisah lima tahun yang lepas. Sudahlah Ary, yang lepas, biarlah lepas. Jangan diingatkan kisah yang lalu,” nasihat Puan Jaslina, lembut.
Edzuary menarik nafas dalam-dalam dan melepaskannya lembut. Bingkas, dia bangun dari duduk dan menapak jalan menuju ke tangga rumah. Tidak mahu berbicara tentang itu lagi. Jika berbicara juga, dikhuatiri hatinya tidak akan tenteram dan menjadi sebak.
“Mama minta Ary lupakan kisah lama dan mulakan hidup baru. Lima tahun Ary. Lima tahun Ary hidup dalam kenangannya. Mama minta Ary pertimbangkan permintaan mama ini,” nasihat Puan Jaslina, lembut.
Edzuary hanya membisu. Tanpa membalas kata-kata mamanya, segera dia mendaki anak tangga menuju ke bilik di tingkat atas. Terasa letih badannya ketika ini. Otaknya juga turut sama letih bersama fikiran yang berserabut. Syarat Nur Edleen tadi bermain-main di mindanya kini. Perlukah dia mengikut syarat Nur Edleen itu?


“MACAM mana dengan kerja Leen, okey?” tanya Haji Marwan.
So far so good abah. Leen seronok kerja kat situ,” jawab Nur Edleen, ceria.
“Lain macam aje bunyi seronoknya tu. Ada apa-apa ke?” sampuk Norziana dan tersenyum.
“Mesti ada sebab yang buatkan angah seronok bekerja kat situ. Jangan-jangan bosnya, tak?” tebak Khazizul pula.
“Mana ada la kak long, abang long. Memang seronok kerja kat Pelangi Holding tu. Kan Zura pun kerja kat situ,” bidas Nur Edleen dan masih tersenyum. Mustahil, dia akan mengakui kata-kata abang iparnya itu. Walaupun baru dua hari dia bekerja di Pelangi Holding, keseronokan dapat dirasakan Nur Edleen. Tambahan pula mendapat bos seperti Edzuary, menambahkan lagi keseronokannya.
“Ha.. tu senyum-senyum, mesti betul kata abang long, kan?” kata Khazizul dan tertawa kecil. Matanya memandang wajah tersenyum Nur Edleen.
Nur Edleen hanya tersengih. Malu, tatkala abang iparnya dapat menangkap senyumannya tadi. Dengan pantas dia menyuapkan sesudu nasi ke dalam mulut. Tidak mahu berlama di meja makan. Khuatir, keluarganya dapat menangkap tingkahnya nanti.
Handsome tak angah?” tanya Norziana, cuba mengorek.
Handsome? Siapa? Abang long ke?” tanya Nur Edleen, pura-pura.
“Hai, kura-kura dalam perahu, pura-pura tak tahu pulak,” sindir Norziana dan tergelak.
Nur Edleen masih tersengih. Matanya dihalakan ke arah Haji Marwan yang sedari tadi menjadi pendengar. Kemudian, dijatuhkan pandangan ke wajah Hajah Norhayati yang sedang ralit menjamu selera. Umminya memang begitu ketika di meja makan. Tidak sedar apa yang berlaku jika makanan sudah berada di hadapannya.
“Bos angahlah!” kata Norziana dan tersenyum.
“Bos angah?” ulang Nur Edleen, berkerut.
“Ummi pun nak tahu juga, bos Leen tu macam mana orangnya,” sampuk Hajah Norhayati, tiba-tiba.
Tersentak Nur Edleen mendengar pertanyaan Hajah Norhayati itu. Tidak menyangka umminya boleh menyampuk dalam perbualan mereka.
“Erk, bos Leen tak handsome dan tua. Dahlah gemuk, perut boroi pulak tu. Misai dia kalau abah, ummi, kak long dan abang long nak tahu, macam misai pelakon A.Galak tu. Kalau dia usap misai dia, itu tandanya dia tengah marah. So, time tu, janganlah nak cari pasal dengan dia. Meletup satu pejabat dibuatkannya,” cerita Nur Edleen, bersungguh. Otaknya ligat membayangkan Edzuary yang berbadan gemuk, perut boroi dan bermisai. Tersengih-sengih dia membayangkannya. Dia menggeleng-gelengkan kepala. Tidak sanggup untuk membayangkannya lagi.
“Ish, biar betul angah. Takkan macam tu sekali rupa bos angah,” kata Norziana seakan tidak percaya.
“Abang long pun susah nak percaya, angah,” sokong Khazizul akan kata-kata isterinya.
“Kalau tak percaya, nanti angah snap picture buat tatapan kak long dan abang long,” cadang Nur Edleen mengukuhkan kata-katanya sebentar tadi. Janganlah diaorang nak. Kalau tidak, naya aku nanti, doanya di dalam hati.
“Okey, Leen snap picture dia, bagi abah tengok. Manalah tahu kan boleh dijadikan menantu,” sokong Haji Marwan, tiba-tiba sekadar mengusik.
“Erk, menantu? Tak payahlah abah. Leen tak nak orang macam Edzuary Safuan tu. Macam tak matang. Senang diperbodoh-bodohkan,” kutuk Nur Edleen, selamba. Entah kenapa jantungnya berdegup pantas tatkala nama Edzuary meniti di bibir.
“Oh, Edzuary Safuan. Sedap namanya, mesti orangnya pun handsome,” puji Hajah Norhayati yang sedari tadi membisu.
Nur Edleen hanya membisu. Mengangguk tidak menggeleng pun tidak. Jauh di sudut hati, dia mengakui yang Edzuary seorang yang kacak dan berketrampilan.
“Leen, abah ada perkara nak bincangkan dengan Leen. Lepas makan nanti, Leen jumpa abah dekat bilik bacaan,” beritahu Haji Marwan bernada arahan.
Terhenti tingkah Nur Edleen yang sedang menyuap nasi ke dalam mulut. Entah kenapa dapat dirasakan degupan jantungnya berlari laju. Perkara apa yang ingin dibincangkan oleh Haji Marwan? Tidak keruan hatinya ketika ini.


12 ulasan:

  1. adesss... apesal la SE asyik terrkantoi ngan NE hehe.. ade je modal Ne nk kenakan SE.. teringat zaman sekolah.. cikgu terlupa nk zip seluar.. seminggu x masuk kelas..hahaaha

    BalasPadam
    Balasan
    1. hehehe.. nakal, kan NE tu.. lps ni ada lg perkara yg NE wat kat ES.. smpe ES x leh nk lawan...

      Padam
  2. Hahahhhhb...
    Kiut NE ni mengenakan si ES...
    Sini likeeee, musti pok n mok meke ni nk menjodohkan meke..
    Huhuhuu x sabo nk tau

    BalasPadam
  3. best ada jer bab yg NE npk prkra mlucukn (^______^)

    x sbaq nk taw ES jatuh cinta dgn NE..dlm bb brp akk ros..

    BalasPadam
  4. fist time baca cerita, assistant buli boss.....

    BEST pulak..... :)

    BalasPadam
    Balasan
    1. terima kasih kerana sudi singgah dan membaca SC.. (^__^)

      Padam
  5. Best!!haha.sluar x brzip..malu beb!!...:)

    BalasPadam
    Balasan
    1. hahaha.. 2lah psl.. malu, kan klu org npk seluar x berzip..

      Padam
  6. Best2... Kak nk lgi... Hehehe....

    BalasPadam
    Balasan
    1. tq my dear Ieysha coz sudi membaca SC.. rindu nk bc komen adik.. (^__*)

      Padam