Isnin, 27 Oktober 2014

Seandainya Tuhan Mengizinkan! - Bab 9








“NAH!” ujar Farhana.
Secawan milo panas dihulurkan kepada Nur Syahirah. Dilabuhkan duduk di sisi Nur Syahirah dan membuang pandang ke langit malam.
“Terima kasih, Hana,” balas Nur Syahirah lalu meneguk perlahan milo panas.
“Kau jumpa Danny kat mana tadi?” tanya Farhana sekadar ingin tahu.
Berita kehilangan Daniel Iman sudah diketahui melalui Nur Syahirah siang tadi. Sungguh, dia terkejut mendengar berita itu.
“Dekat taman belakang tadika,” jawab Nur Syahirah sambil mengeluh.
“Oh, pandai pulak budak tu berjalan-jalan. Masa mula-mula kau jaga dia, tak pandai pun nak merayap,” rungut Farhana.
“Kau ni, Hana. Cuba la berfikiran positif sikit dengan budak tu. Ini tidak, ada saja yang kau nak bangkang,” tegur Nur Syahirah,menggeleng kecil.
“Aku bukannya apa, Syira. Aku tak nak budak tu menyusahkan kau. Kau pun ada masalah tersendiri yang perlu diselesaikan. Sekarang, bertambah pulak masalah kau disebabkan budak tu.”
“Aku faham dan aku berterima kasih pada kau kerana ambil berat soal aku selama ni. Hanya kau yang ada di sisi aku waktu aku susah dan senang. Tapi, niat aku cuma satu. Aku nak berbakti pada orang yang memerlukan termasuklah Daniel Iman.”
“Kalau kau happy dengan apa yang kau lakukan sekarang ni, aku takkan menghalangnya. Cuma aku nak kau tahu. Walau apa pun yang kau buat aku tetap sokong kau.”
“Terima kasih, Hana. Terima kasih kerana memahami aku.”
“Berbalik pada cerita Daniel Iman. Bila kau jumpa dengan dia tadi, dia tengah buat apa?”
Nur Syahirah ketawa kecil. Dia menggeleng kecil tatkala mengingatinya.
“Yang kau ketawa ni, kenapa? Apa yang berlaku?” tanya Farhana tidak sabar.
“Risau juga aku tadi bila Iman hilang. Aku takut dia ke jalan besar sana tu. Tak pasal-pasal, kena saman pulak aku sebab tak pandai jaga budak,” cerita Nur Syahirah.
So, Danny buat apa kat taman belakang tadika tu?”
“Tengah main buaian.”
“Habis tu, Danny tak marah kat kau ke sebab kacau dia main?”
“Marah. Dia jeling maut dengan aku. Punyalah susah aku nak pujuk dia suruh balik. Degil betul budak tu.”
“Baru kau tahu budak tu degil. Sebelum ni, kau tak tahu ke atau buat-buat tak tahu.”
“Budak macam Iman tu perlukan perhatian. Aku kesiankan dia. Kecil-kecil lagi dah kehilangan ibu. Kurang kasih sayang ibu. Ayahnya pula, sibuk kat klinik. Sebab itulah aku memberanikan diri untuk mendekatinya. Kalau boleh, aku nak selami perasaannya,” jelas Nur Syahirah lalu meneguk semula air milonya.
“Hurm, betul juga dengan apa yang kau cakapkan tu. Budak macam Danny tu perlukan perhatian lebih. Tapi itulah, budak tu tak nak kat kau,” kata Farhana ketawa kecil.
“Kau pandang rendah pada aku ke?”
“Eh, mana ada. Aku cuma cabar kau saja.”
“Cabar?”
“Aku cabar kau, Syira. Kalau kau berjaya buat budak tu suka kat kau, aku belanja kau sebulan, amacam?” cadang Farhana sambil mengangkat kening.
“Sebulan? Kau biar betul? Jangan kau menyesal sudahlah!”
“Yup! Takkan menyesal!”
“Okey! Aku sahut cabaran kau. Jangan pulak kau tarik diri saat-saat akhir nanti,” balas Nur Syahirah sambil mengangkat kening.
“Insya-Allah, tak. Aku takkan tarik balik dengan apa yang aku katakan sekarang ni,” kata Farhana tersenyum kelat. Jauh di sudut hati, dia berdoa agar misi Nur Syahirah tidak berjaya.
“Baiklah Cik Farhana Sulaiman. Nur Syahirah Nazim sahut cabaran anda,” kata Nur Syahirah, bersungguh. Seminit kemudian, dia ketawa dengan ayatnya itu.
“Mengada-ngadalah kau ni, Syira.”
“Alah, baru macam ni dah kata aku mengada-ngada. Kau tu yang mengada-ngada bila jumpa dengan Abang Nazry. Jangan nampakkan sangat kau yang lebih, Hana. Kena jual mahal sikit, tahu tak?” tegur Nur Syahirah bernada serius.
“Hisy, ke situ pulak kau ni. Mana ada aku mengada-ngada depan Abang Nazry,” bidas Farhana tersipu-sipu malu.
Malu tatkala ditegur oleh Nur Syahirah. Malu tatkala Nur Syahirah dapat menangkap tingkah lakunya ketika berhadapan dengan Nazry.
“Apa-apa pun, aku doakan kebahagiaan kau. Semoga pintu hati Abang Nazry terbuka untuk kau,” doa Nur Syahirah, ikhlas.
“Insya-Allah! Terima kasih, Syira. Aku juga doakan kebahagiaan kau bersama Doktor Zairiel,” balas Farhana, tersengih.
“Aduh! Sakitlah Syira,” rengek Farhana kemudian.
“Padan muka! Sesuka hati saja nak buat statement. Sejak bila aku suka kat doktor tu?”
“Aku yakin jodoh kau dengan dia. Oh ya, handsome tak doktor tu?”
Nur Syahirah berkerut dahi. Kurang mengerti maksud pertanyaan Farhana itu. Diletakkan cawan milo ke bawah dan meraup wajahnya sekali.
Handsome tak, Syira?”
Handsome? Siapa?”
“Doktor Zairiel la. Siapa lagi?”
“Mana ada aku jumpa dengan dia?”
“Aik! Tadi masa Danny hilang, bukan ke kau call doktor tu?”
“Memang la aku call dia. Tapi, masa aku call dia aku dah nampak Danny. Jadi, aku suruh dia tak payah datang,” cerita Nur Syahirah.
“Ala, melepaslah kau nak tengok rupa doktor tu.”
“Aku ke atau kau yang melepas?”
“Eh, aku la bukan kau,” sengih Farhana.
“Suatu hari nanti, kita pasti akan berjumpa dan berhadapan dengan dia. Kau tak payah la tergesa-gesa nak jumpa dengan dia,” beritahu Nur Syahirah bingkas bangun dari duduk.
“Kalau kau dah tak sabar sangat nak jumpa dengan dia, kau pergi ajelah ke klinik dia tu. Face to face dengan dia. Then, kau beritahu aku macam mana rupa Doktor Zairiel tu?” sambung Nur Syahirah lalu beredar dari situ.
Farhana mencebik. Mustahil dia akan berbuat begitu. Walau dipaksa sekali pun, tidak mungkin dia akan ke klinik tanpa tujuan. Moga suatu hari nanti dia dan Nur Syahirah akan berjumpa dengan doktor yang bernama Zairiel itu.


“LEPAS ni, jangan nak susahkan Kak Syira, faham!” tegur Zairiel bernada tegas.
Daniel Iman mendengus kasar. Sakit hatinya tatkala ditegur oleh Zairiel. Dicebikkan bibir tatkala nama Nur Syahirah meniti di bibir papanya itu.
“Danny faham ke tidak ni?” tegas Zairiel.
“Faham!” balas Daniel Iman, sepatah.
Zairiel menghela nafas ringan. Wajah mencuka Daniel Iman ditenung kasih. Bagaimana untuk melembutkan hati anaknya itu supaya menyukai Nur Syahirah? Perlukah dia masuk campur dalam urusan pengasuh dan anaknya? Jika dia masuk campur, adakah akan memalukan Nur Syahirah? Sungguh, otaknya penat memikirkan tentang Daniel Iman.
“Papa ni, Danny bukannya pergi mana pun. Main kat taman aje. Takkan itu pun tak boleh?” Daniel Iman membentak keras.
“Papa tahu. Tapi, Danny kenalah beritahu pada Kak Syira. Kalau Danny hilang, kena culik atau kemalangan, siapa yang susah kalau bukan Kak Syira dan papa? Papa bukannya mintak semua tu berlaku pada Danny. Papa nak Danny fikirkan kesusahan orang lain,” tegur Zairiel bernada nasihat.
“Padan muka dengan mak cik hodoh lagi bodoh tu,” kutuk Daniel Iman, selamba.
“Danny! Papa tak pernah ajar Danny cakap macam tu. Siapa yang ajar Danny cakap macam tu?” tegur Zairiel sedikit meninggi.
Daniel Iman sudah keterlaluan. Tidak menyangka begitu sekali percakapan Daniel Iman di hadapannya.
Daniel Iman tersentak. Matanya memandang wajah tegang Zairiel. Belum pernah lagi dia ditegur sebegitu. Adakah disebabkan pengasuh yang bernama Nur Syahirah itu maka dia ditegur sebegitu sekali? Terasa hati dengan kemarahan papanya.
“Papa dah tak sayang Danny. Danny benci papa!” marah Daniel Iman berlalu menuju ke bilik. Jelas kedengaran esak tangis dari arahnya itu.
Zairiel yang mendengar mengeluh berat. Diraup kasar wajahnya lalu melangkah menuju ke bilik. Bukan niatnya memarahi Daniel Iman sekali gus membuat anak itu menangis. Sekadar menegur agar Daniel Iman tidak bersikap kurang ajar dengan orang yang lebih tua.
“Danny benci papa! Danny nak jumpa mama!” tangis Daniel Iman sambil menatap gambar mamanya.
“Danny!” panggil Zairiel, lembut. Dilabuhkan duduk di sisi Daniel Iman dan menatap kasih wajah anaknya itu.
“Danny benci papa! Danny tak nak jumpa dengan papa,” luah Daniel Iman seraya menolak kasar tubuh Zairiel.
“Danny, dengar cakap papa sayang,” pujuk Zairiel, lembut.
“Danny tak nak dengar. Papa dah tak sayangkan Danny. Papa lebihkan Mak cik Syira,” luah Daniel Iman lagi. Ditekup telinga dengan kedua-dua belah tangan. Tidak mahu mendengar kata-kata Zairiel lagi.
Zairiel menghela nafas berat. Sukarnya memujuk hati anak kecil itu. Bagaimana untuk menjelaskan kesemuanya kepada Daniel Iman?
“Mama, Danny nak jumpa mama,” adu Daniel Iman, teresak.
Zairiel menghampiri Daniel Iman. Ditarik tubuh Daniel Iman lalu mendakap kasih tubuh itu. Senyuman kecil terbit di bibir tatkala Daniel Iman membalas pelukannya.
“Maafkan papa. Papa tak sengaja nak marah Danny,” pujuk Zairiel.
“Papa memang sengaja marah Danny. Papa dengar cakap Mak cik Syira. Danny benci dengan Mak cik Syira,” balas Daniel Iman, keras.
“Papa tak sengaja, sayang. Papa tegur demi kebaikan Danny juga. Kenapa Danny bencikan Kak Syira? Apa salah Kak Syira pada Danny?” jelas Zairiel dan menatap wajah Daniel Iman. Menanti jawapan daripada kanak-kanak itu.
“Danny tak suka sebab papa sayangkan Mak cik Syira,” jawab Daniel Iman. Wajah Zairiel ditatap kasih.
Tertawa Zairiel mendengarnya. Gelengan kecil diberikan kepada anaknya itu.
“Nanti papa tak sayangkan Danny lagi,” sambung Daniel Iman.
“Danny… Danny… papa sayangkan Danny. Danny penting dalam hidup papa. Antara papa dengan Kak Syira, tak ada apa-apa hubungan,” terang Zairiel, lembut.
“Papa tipu! Danny tahu, papa sukakan Mak cik Syira,” bidas Daniel Iman.
“Okey.. okey.. kalau papa sukaKak Syira macam mana?” tanya Zairiel sekadar menduga perasaan Daniel Iman.
Daniel Iman mendengus kasar. Diseka air mata dan meletak semula bingkai gambar di atas meja. Dibaringkan tubuh dan menarik selimut sehingga menutupi tubuh. Tidak mahu menjawab pertanyaan papanya itu.
Zairiel yang melihat ketawa kecil. Pasti, Daniel Iman tidak menyukai dengan pertanyaannya tadi. Sudah tentulah Daniel Iman tidak bersetuju seandainya dia bercinta dengan Nur Syahirah. Bercinta? Dahinya berkerut dengan tiba-tiba. Dirasakan dadanya berdetak dengan hebat. Adakah disebabkan Nur Syahirah maka jantungnya berdegup sekencang itu?
“Danny tetap tak suka!” kata Daniel Iman dari arah bawah selimut.
“Okey! Kalau Danny tak suka, papa tak paksa Danny lagi,” pujuk Zairiel.
Daniel Iman menolak selimut. Diangkat tubuh lalu bersandar di kepala katil.
“Papa tak paksa Danny suka Kak Syira. Tapi, Kak Syira tetap pengasuh Danny,” beritahu Zairiel. Masih memujuk.
Daniel Iman hanya membisu. Otaknya sedang ligat berfikir.
“Macam mana?” tanya Zairiel.
“Okey! Tapi, Danny nak papa cakap dengan Mak cik Syira, jangan ganggu Danny masa Danny kat rumah dia,” balas Daniel Iman bernada arahan.
“Baiklah Encik Daniel Iman. Encik Zairiel Iqwan yang menurut perintah!” balas Zairiel sambil memberi tabik hormat kepada Daniel Iman.
Daniel Iman ketawa. Dipeluk erat tubuh papanya. Menzahirkan rasa kasih dan sayang terhadap insan yang menjaganya selama ini.
“Danny sayangkan papa!” luah Daniel Iman, ikhlas.
“Papa pun sayangkan Danny,” balas Zairiel sambil mengeratkan pelukan.
Senyuman terbias di wajah. Berdoa agar terbuka pintu hati Daniel Imanuntuk menerima Nur Syahirah sebagai pengasuhnanti.


“BARU balik, Dila?” tegur Dato Amran.
Terhenti langkah Adila dek kerana teguran itu. Dibawa langkah menghampiri Dato Amran di ruang tamu. Senyuman hambar diberikan kepada papanya itu.
“Kenapa ni? Monyok aje muka tu papa tengok. Bukan ke Dila pergi jumpa Zairiel siang tadi?” tegur Dato Amran lagi.
Adila menghela nafas berat. Ingatannya memutarkan semula pertemuan dengan Zairiel. Gara-gara kehilangan Daniel Iman, Zairiel tidak memberi sepenuh perhatian kepadanya. Badan Zairiel sahaja bersamanya tetapi fikiran Zairiel memikirkan Daniel Iman.
“Dila, kan papa tengah bercakap dengan Dila. Apa yang Dila menungkan?” tegur Dato Amran menggeleng kecil.
Diperhatikan riak di wajah Adila. Jelas ketidakpuasan pada wajah itu. Pasti ada kena-mengena dengan Zairiel.
“Sakit hati Dila ni papa. Zairiel tu…” Adila mematikan ayat.
“Dila… Dila… tak habis-habis dengan Zairiel. Kan papa dah beritahu pada Dila, buat apa Dila terhegeh-hegeh dengan Zairiel tu lagi? Dila kan tahu Encik Zahrin…”
“Dila tahu dan Dila tak nak ambil tahu. Dila tetap nakkan Zairiel,” bentak Adila, keras.
Dato Amran menghela nafas berat. Matanya memandang wajah Adila yang beriak tegang. Bagaimana untuk memahamkan anaknya itu?
“Papa tak faham perasaan Dila. Sejak pertemuan pertama lagi Dila dah suka kat Zairiel. Sayang dan cintakan Zairiel,” luah Adila, sebak.
Dato Amran bingkas bangun dari duduk. Dihampiri Adila dan menyentuh lembut bahu anaknya itu. Sekadar memberi semangat buat Adila.
“Kalau bukan kerana Maisarah, Zairiel takkan ketepikan Dila,” esak Adila.
“Papa faham, Dila. Papa faham apa yang Dila rasakan sekarang ni. Tapi Dila perlu tahu, bukan kehendak Zairiel atau Dila semua ni berlaku. Dah takdir Allah Zairiel bersama Maisarah. Kita sebagai hambaNya perlu redha dan menerima semuanya seikhlas hati,” kata Dato Amran bernada nasihat.
Adila sekadar mendengar. Matanya memandang kasih wajah tua Dato Amran.
“Jodoh kita telah pun ditentukan oleh Allah. Apabila Allah menghalangi sesuatu dari seseorang kerana kehendakNya, sudah tentu halangan tersebut merupakan ‘sesuatu yang terbaik’, kerana Allah Maha Mengetahui. Apabila Allah telah memutuskan ‘sesuatu yang terbaik’ kepada makhlukNya, bermakna Allah sedang melimpahkan rahmatNya kepada makhluk itu. Setiap yang terjadi kepada kita hanyalah ujian dariNya. Allah nak menguji keimanan dan ketakwaan kita. Sejauh mana kesabaran kita terhadap ujian tersebut,” nasihat Dato Amran, panjang lebar.
“Dila faham, papa. Kalau dah ditakdirkan Zairiel bukan jodoh Dila, sejauh mana Dila berusaha hasilnya tetap akan sama juga,” rumus Adila lalu tersenyum hambar.
“Anak papa ni kan bijak. Jadi, papa tak perlulah nak terangkannya lagi,” balas Dato Amran seraya melepaskan pegangan.
“Dila akan cuba papa. Dila tetap berdoa agar pintu hati Zairiel terbuka dan dapat terima Dila suatu hari nanti,” tutur Adila, perlahan.
Dato Amran mengangguk faham. Senyuman diberikan kepada anaknya itu. Semoga Adila tabah dalam menghadapi dugaan hidup. Jauh di sudut hati, dia tetap berdoa agar Zairiel dapat menerima Adila suatu hari nanti.



1 ulasan: