Khamis, 25 September 2014

Calon Suami Buat Novelis - Bab 10






QAIRA mengerling jam di pergelangan tangan. Masa sudah merangkak ke pukul 9.00 pagi. Hampir dia terlupa dengan sesi tanda tangan yang dianjur oleh salah sebuah kedai buku pada pukul 11.00 pagi nanti. Gara-gara menyiapkan manuskrip, dia terbangun lewat hari ini. Mujur ada Lija yang bertindak membangunkan dia pagi tadi.
Qaira mengemaskan penampilan di hadapan cermin. Selendang di kepala dibetulkan agar nampak cantik. Dia tersenyum buat seketika. Selendang yang diberi oleh Hadif tampak cantik ketika memakainya.
“Pandai juga mamat tu pilih tudung,” puji Qaira tersenyum.
Setelah itu, beg tangan dicapai dan melangkah keluar dari dalam bilik. Diperhatikan Lija yang sedang duduk santai sambil menonton televisyen.
“Kau tak nak ikut aku?” tanya Qaira sambil duduk.
“Aku ada hal la. Sorry!” jawab Lija seraya memandang wajah Qaira.
“Bosan la aku nanti.”
“Bosan? Kenapa pulak nak bosan?”
“Sekurang-kurangnya ada la teman untuk aku berbual.”
“Ala… bukan kau seorang aje kan yang join event tu. Ada lagi penulis-penulis lain.”
“Memang la. Tapi, aku tak biasa sangat dengan dia orang.”
“Lama-lama kau biasalah nanti. Kau tu kan terlebih peramah,” kata Lija ketawa kecil.
“Aku gerak dulu. Nanti lambat pulak,” ujar Qaira bingkas bangun dari duduk.
“Eh, sekejap!” tahan Lija seraya memegang lengan Qaira.
Qaira mematikan langkah. Berkerut dahinya memandang Lija.
“Aku tak pernah tengok pun selendang tu sebelum ni? Selendang baru ke? Bila kau beli?” tanya Lija bertubi-tubi.
Qaira memandang selendang yang dipakai buat seketika. Senyuman terukir di bibir.
“Hai, semacam aje senyum kau tu,” tegur Lija.
“Mamat tu bagi kat aku.”
“Mamat? Mamat mana?”
Qaira hanya tersenyum. Dia melangkah menuju ke muka pintu dan menyarung sandle ke kaki. Dilihatnya Lija sedang menghampiri.
“Maksud kau, Hadif Asyraf?” tebak Lija.
“Aku jalan dulu,” balas Qaira lalu masuk ke dalam kereta.
Lija hanya memandang. Berkerut dahinya ketika itu. Benarkah Hadif Asyraf yang menghadiahkan selendang itu kepada Qaira?
“Dia orang berdua tu mesti ada ‘something’,” duga Lija dan masuk ke dalam rumah.


HADIF menyusuri deretan kedai yang terdapat di pasaraya itu. Entah kenapa hatinya melonjak untuk ke pasaraya itu pada pagi ini. Dikerling jam di pergelangan tangan. Masa baru menginjak ke pukul 11.30 pagi.
Hadif menghentikan langkah di hadapan sebuah kedai buku. Matanya memandang ke sebuah rak yang tertera ‘novel melayu’ di dalam kedai buku itu. Hatinya berkira-kira sendiri.
Setelah berfikir, dibawa langkah masuk ke dalam kedai buku itu dan menuju ke bahagian novel melayu. Satu persatu novel yang ada di rak itu dipandang.
Pandangannya tertumpu ke sebuah novel yang bertajuk ‘My Best Husband!’ tulisan Tia Alisya. Adakah itu novel hasil tulisan Qaira? Dicapai lalu membelek novel tersebut.
My Best Husband!” sebut Hadif kemudian.
Dibelek novel itu semula. Hatinya memuji kecantikan cover yang direka oleh penerbitan novel tersebut. Blurb di belakang novel dibaca dan cuba memahami jalan cerita yang digambarkan di dalam blurb tersebut.
“Menarik!” puji Hadif pula.
Dihalakan mata melihat sekeliling kedai. Pandangannya jatuh ke sebuah banner yang terdapat di luar kedai tersebut. Kenapa dia tidak perasan dengan banner itu tadi?
“Sesi tanda tangan bersama novelis,” baca Hadif berkerut dahi.
Satu persatu nama penulis di banner itu dibaca. Bacaannya terhenti tatkala nama Tia Alisya tertera di banner itu.
“Minah tu ada sesi tanda tangan hari ni,” kata Hadif mengangguk kecil.
Getaran dari arah telefon menyentak Hadif buat seketika. Digagau poket seluar mencari telefon bimbit. Nama di skrin ditatap buat seketika.
“Ada apa Wan?” tanya Hadif sebaik sahaja salam bersambut.
“Kau kat mana?” tanya Ikhwan dari hujung talian.
“Aku kat luar. Kenapa?”
“Aku ingat nak jumpa kau petang nanti.”
“Petang?”
“Kalau kau ada hal, tak apalah. Lain kali sajalah.”
Hadif berfikir sejenak. Hatinya berkira-kira untuk setuju.
“Aku ingat nak…”
Dating?”
“Tak adalah!”
“Tak apa, Dif. Aku letak dulu. Lain kali kita jumpa,” kata Ikhwan dan mematikan talian. Senyuman meniti di bibir.
Hadif menghela nafas ringan. Telefon bimbit dimasukkan ke dalam poket seluar dan menuju ke kaunter pembayaran. Setelah membuat pembayaran, dia melangkah ke tempat di mana Qaira berada. Dilihatnya orang ramai sedang mendapatkan tanda tangan daripada penulis-penulis yang terlibat termasuklah Qaira.
“Boleh tahan popular minah ni. Ramai orang nak mintak sign dia,” puji Hadif sendirian. Matanya memandang tingkah laku Qaira yang sedang melayan seorang peminat.
“Lelaki pun ada juga?” soal Hadif berkerut dahi.
Seorang lelaki sedang menghampiri Qaira dan bergambar dengan gadis itu. Matanya tidak lepas memandang Qaira yang sedang tersenyum.
Kemudian, dijatuhkan mata ke beg plastik yang dipegang. Novel Qaira berada di dalam beg plastik tersebut.
“Nantilah aku mintak tanda tangan dia,” kata Hadif lalu beredar dari situ.
Belum sempat langkahnya menjauh, namanya dipanggil seseorang. Dia menoleh ke belakang dan wajah Qaira menyapa mata.
“Awak buat apa kat sini?” tanya Qaira sedikit terkejut.
“Kenapa? Aku tak boleh ada kat sini ke?” tanya Hadif bernada serius.
“Eh, apa pulak tak boleh. Tempat ni kan tempat awam. Sesiapa pun boleh ada kat sini,” tukas Qaira tersenyum.
“Kau dah makan belum?” tanya Hadif prihatin.
“Kenapa? Awak nak belanja saya makan ke?” tanya Qaira pula.
“Kalau kau tak nak, aku blah dulu,” kata Hadif bersedia untuk pergi.
“Awak ni merajuk macam budak-budak.”
“Bila masa pulak aku merajuk?”
“Jomlah! Kata tadi nak belanja saya makan,” ajak Qaira teruja.
Dia melangkah menuju ke sebuah restoran berhampiran. Senyuman terukir di bibir.
Hadif hanya memandang dan menggeleng. Tercuit hatinya dengan tingkah lalu Qaira. Tanpa menunggu, dibawa langkah mengekori langkah Qaira. Entah kenapa dia terfikirkan sesuatu. Selendang! Sebut Hadif dalam hati.


“TERIMA kasih!” ucap Qaira sehabis sahaja memberi pesanan.
Pelayan yang bertugas sekadar mengangguk dan tersenyum. Dia beredar dari situ menuju ke kaunter pesanan.
“Awak beli apa?” tanya Qaira tatkala terpandang beg plastik di atas meja.
Pantas, dia menarik dan melihat isi di dalam beg plastik itu. Kelihatan seperti novelnya. Adakah Hadif membeli novelnya?
“Tak ada apa,” kata Hadif sambil cuba menarik beg plastik dari pegangan Qaira.
Namun, Qaira terlebih dahulu menarik beg plastik itu. Dia memandang ke arah lain sambil cuba menahan rasa malu.
My Best Husband!” sebut Qaira berkerut dahi.
Hadif tidak membalas. Matanya melilau melihat keadaan sekeliling restoran.
“Tak sangka awak pun baca novel juga.”
“Kenapa? Kau ingat aku tak pandai baca novel-novel tu semua ke?”
“A’ah! Saya ingat awak ni seorang yang kolot.”
“Kolot kau….”
“Terima kasih sebab beli novel saya.”
“Aku terbeli.”
“Iya ke ni?” tanya Qaira sambil mengangkat kening.
“Iya la. Kenapa?” tanya Hadif pula.
“Tak percayalah! Memang niat awak nak beli novel saya, kan? Awak ke sana tadi nak mintak tanda tangan saya, kan?” tebak Qaira. Matanya tepat ke wajah Hadif.
“Mana ada!” tukas Hadif sambil cuba menahan rasa malu.
“Muka awak dah merah,” usik Qaira ketawa kecil.
Hadif menoleh ke arah lain. Sungguh, dia berasa malu ketika ini. Kau ni Dif, buat malu aje. Kan dah kantoi! Bisik Hadif kepada diri sendiri.
“Saya tanda tangan ya,” ujar Qaira.
Hadif hanya mengangguk. Dia memandang tingkah laku Qaira yang sedang menandatangani novel tersebut.
“Selendang tu nampak sesuai untuk kau.”
Qaira mematikan tingkah laku. Dia memandang selendang yang dipakainya itu.
“Tak sangka kau akan pakainya.”
“Eh, ini bukan selendang yang awak bagi hari tu. Selendang ni….”
“Kau nampak cantik hari ni,” puji Hadif bernada ikhlas.
Qaira menunduk. Malu tatkala dipuji sebegitu.
“Kau ni memang cepat perasan,” kata Hadif tergelak.
Qaira berkerut dahi. Apa maksud Hadif?
“Baru puji sikit dah tersenyum macam orang tak betul,” kutuk Hadif selamba.
“Apa awak cakap?” tanya Qaira bernada keras.
“Orang perempuan ni mudah cair bila dipuji.”
Qaira mengepal tangan. Sakit hati mendengar kutukan Hadif.
“Mesti kau syok sendiri masa tulis novel, kan?”
“Awak kata saya syok sendiri?”
Hadif sekadar mengangguk.
“Awak dah melampau!” geram Qaira bingkas bangun dari duduk.
Tanpa menunggu, dia melangkah keluar dari restoran itu. Sakit hatinya mendengar kutukan dan kritikan Hadif.
“Macam dia tu bagus sangat. Suka hati aje nak kritik orang,” bebel Qaira sendirian.
Tidak diendahkan pandangan orang sekeliling. Ikutkan hati, mahu disekeh kepala pemuda itu. Melepaskan kemarahan di hati.
“Menyesal aku pakai selendang ni,” rengus Qaira pula.
Dia menghentikan langkah. Keluhan berat dilepaskan. Kenapa dia boleh berjumpa dengan pemuda seperti Hadif? Lagi teruk daripada calon-calon suami yang Puan Noraini kenalkan kepadanya.
“Aku mintak maaf!” ujar Hadif tiba-tiba.
Qaira tersentak. Dihalakan mata ke wajah Hadif di sisi. Malah, pegangan di tangan menambahkan rasa terkejutnya itu.
“Aku gurau aje. Takkan itu pun kau nak ambil hati,” kata Hadif lagi.
Qaira mencebikkan bibir.
“Kau memang cantik bila pakai selendang. Terima kasih sebab sudi pakai selendang tu,” ucap Hadif berserta kata pujian.
“Awak ingat saya nak percaya?”
“Tak percaya? Kau nak aku buktikan kata-kata aku ni ke?”
Qaira tidak membalas. Dia memandang ke arah lain.
“Kau nak aku kiss kau baru kau nak percaya?” usik Hadif seraya mengangkat kening.
Dia mengacah untuk mencium Qaira. Gadis itu cuba menjauhkan diri. Tergelak dia melihat tingkah laku Qaira.
“Gila!!!” rengus Qaira lalu beredar dari situ.
Hadif masih lagi ketawa. Dia mengekori langkah Qaira daripada belakang. Entah kenapa dia suka menyakat Qaira. Gadis itu seorang yang ceria. Rasa selesa berkawan dan berada di sisi Qaira.
“5B! Berkenalan, berkawan, bercinta, berkahwin dan bahagia,” sebut Hadif lalu tersenyum.


“MACAM mana? Best tak?” tanya Lija tidak sabar.
“Biasa aje. Kenapa?” balas Qaira sambil duduk.
“Takkan biasa aje kut? Ramai orang tak?”
“Ramai la juga.”
“Siapa lagi yang join dengan kau?”
“Jasmine, Farisa dan Cik Sweet.”
Lija mengangguk faham.
“Kau dah makan ke?”
“Dah! Aku makan kat luar tadi.”
“Kalau macam tu, aku masuk dulu. Penat!”
“Kau dating dengan dia ke?”
Terhenti langkah Qaira dek kerana pertanyaan itu. Dihalakan mata ke wajah Lija.
“Kau dating dengan dia ke tadi?”
“Mana ada! Aku tak jumpa dia pun hari ni.”
“Iya ke ni?”
“Iya la. Kenapa?”
“Habis tu? Yang kat luar tu siapa? Kereta siapa?” tanya Lija sambil mengunjuk ke luar rumah. Senyuman penuh makna menghiasi bibir.
Qaira berkerut dahi. Matanya meninjau ke luar rumah. Bulat matanya melihat Hadif. Bukankah mereka mengikut haluan masing-masing selepas makan tadi?
“Dia temankan kau kat event tu ke? So sweet!”
“Tak adalah! Kebetulan dia ada kat sana tadi.”
“Kebetulan ke atau memang dia nak jumpa dengan kau?”
Qaira menggaru kepala yang tidak gatal. Sengihan diberikan kepada Lija.
“Pergilah! Lama dah dia kat luar tu.”
Qaira tidak membalas. Dia membawa langkah keluar dari rumah menuju ke pintu pagar. Hadif yang sedang bersandar di kereta dipandang.
“Memang dia orang berdua ada ‘something’,” ujar Lija ketawa kecil.
Dia segera masuk ke dalam bilik. Memberi ruang kepada Qaira dan Hadif berbual bersama. Agak kurang manis mengintai dan mencuri dengar perbualan mereka berdua.
Qaira memerhatikan Hadif. Otaknya dikerah berfikir. Kenapa Hadif ke sini? Apa yang Hadif mahukan daripadanya?
“Awak nak apa datang sini?” tanya Qaira setibanya di hadapan Hadif.
Hadif tersenyum. Wajah Qaira ditatap buat seketika.
“Kalau tak ada hal penting, mesej atau call ajelah. Buat apa ke sini? Tak manis kalau jiran-jiran nampak awak selalu ke sini,” kata Qaira bernada teguran.
“Kenapa? Jiran-jiran kau berminat dengan aku ke? Nak tackle aku?” kata Hadif sekadar mengusik. Kening diangkat. Lagak seperti seorang yang nakal.
Qaira berkerut dahi. Cuba memahami kata-kata Hadif.
“Kau cemburu kan? Cemburu sebab dia orang berminat dengan aku.”
“Cemburu? Eee…. tolonglah! Awak ni memang perasan betul.”
“Kalau kau dah suka kat aku, beritahu ajelah. Buat apa nak selindung-selindung.”
“Suka? Tak ada maknanya saya suka kat awak. Perasan!”
Hadif tergelak. Matanya menatap wajah Qaira. Merah pipi gadis itu dilihatnya.
“Kau suka kat aku, kan?”
“Mana ada!”
“Suka!
“Tak suka!”
“Suka!”
“Tak suka!”
“Tak suka!”
“Suka!”
Qaira menekup mulut. Malu!
“Tengok! Pipi kau dah merah!”
Qaira memegang pipi sendiri. Sungguh, dia berasa malu ketika ini.
“Aku gurau aje. Kau janganlah ambil hati.”
Qaira menundukkan muka. Rasa malu masih lagi bersisa.
“Aku dah buat keputusan.”
Qaira berkerut dahi. Keputusan apa yang dimaksudkan oleh Hadif itu?
“Aku nak melamar kau jadi isteri aku.” Serius Hadif berkata.
Qaira yang mendengar mengangkat wajah. Terkejut mendengar keputusan Hadif.
“Kita kahwin!” beritahu Hadif lagi.


Special entry!
Jumpa lagi.
Wassalam.




6 ulasan:

  1. senyum jer bila baca n3 nie...sweet gitu
    tqvm ye

    BalasPadam
  2. best sangt2.. senyum sorang2, nsb baek xde org kt tepi., "*-*"..hehe..
    suke watk hadif..

    BalasPadam
    Balasan
    1. terima kasih jg coz sudi baca CSBN. :)

      Padam