Rabu, 5 Mac 2014

Seandainya Tuhan Mengizinkan! - Bab 4





PUAN MARIAM menghela nafas berat. Matanya menatap sayu gambar Nur Syahirah lalu dibawa ke dada sendiri. Sungguh, dia amat merindui Nur Syahirah selama enam tahun ini.
“Mak!” tegur Syakir dari arah belakang.
Puan Mariam menoleh. Wajah anak lelakinya menyapa mata.
“Mak rindukan kakak ke?” tanya Syakir seraya duduk.
“Hari-hari mak rindukan kakak kamu, Syakir. Macam mana keadaan kakak kamu sekarang ni? Kat mana kakak kamu berada sekarang?”
“Insya-Allah, mak. Syakir yakin, kakak selamat sekarang ni.”
“Mak pun harap begitu. Disebabkan orang lain, kakak kamu terpaksa berkorban. Disebabkan orang lain, kakak kamu terpaksa tanggung semua tu sendirian.”
Syakir menghela nafas ringan. Wajah maknya ditatap. Jelas kesedihan pada wajah itu.
“Sudah-sudahlah, Yam. Terjejas kesihatan awak tu pulak nanti,” tegur Encik Nazim, tiba-tiba. Gelengan kecil diberikan kepada isterinya itu.
“Yam rindukan Syira, abang.”
“Mak, dengarlah cakap ayah. Betul kata ayah tu. Nanti kesihatan mak terjejas pulak.”
“Abang pun rindukan Syira. Tapi, kita nak buat macam mana. Kita terpaksa lepaskan dia pergi demi keselamatan kita sekeluarga,” luah Encik Nazim turut sama sebak.
“Syakir pun rindukan kakak,” sampuk Syakir, perlahan.
“Insya-Allah, abang yakin Syira selamat sekarang ni. Mungkin Syira takut nak balik ke sini demi menjaga keselamatan kita semua,” kata Encik Nazim lagi.
Puan Mariam membisu. Anggukan kecil diberikan kepada Syakir dan Encik Nazim. Ada benarnya kata-kata suaminya itu.
“Assalamualaikum,” panggil seseorang dari luar menghentikan perbualan mereka.
“Waalaikumussalam,” jawab Puan Mariam, Encik Nazim dan Syakir serentak.
“Syakir pergi tengok siapa yang datang,” arah Encik Nazim.
“Baiklah, ayah!” balas Syakir lalu menapak menuju ke pintu rumah.
Puan Mariam dan Encik Nazim sekadar melihat.
“Eh, Pak Zainal. Jemputlah masuk!” pelawa Syakir setibanya di muka pintu.
“Tak mengapalah Syakir. Ayah kamu ada tak?” kata Pak Zainal.
“Ada. Sekejap, Syakir panggil ayah,” beritahu Syakir. Belum sempat dia melangkah, Encik Nazim sudah pun berada di belakangnya.
“Ada apa Zainal?” tanya Encik Nazim, berkerut.
“Aku ada perkara nak beritahu pada kau Nazim,” jawab Pak Zainal.
“Perkara apa Nal? Macam serius saja bunyinya tu.”
Pak Zainal mengeluh berat. Matanya menghantar isyarat kepada Encik Nazim.
“Kau tunggu sekejap,” arah Encik Nazim sebaik sahaja memahami maksud isyarat itu
“Syakir beritahu pada mak ayah keluar sekejap.”
“Baiklah ayah!” balas Syakir, tersenyum.
Encik Nazim mengangguk. Tanpa berlengah, dibawa langkah keluar dari rumah. Pasti ada perkara penting yang ingin disampaikan oleh Pak Zainal.
“Kenapa, Syakir?” tanya Puan Mariam, tiba-tiba.
“Ayah keluar dengan Pak Zainal,” beritahu Syakir.
“Tak mengapalah. Syakir tolong mak belikan kelapa kat kedai Pak Jalil sekejap,” arah Puan Mariam seraya menghulurkan wang kertas kepada Syakir.
“Baiklah mak!” balas Syakir sambil membalas huluran.
Dia menapak keluar dari rumah sebaik sahaja meminta izin. Hatinya tertanya-tanya, apa yang cuba dirahsiakan oleh ayahnya dan juga Pak Zainal?


“MACAM mana Nal? Ada berita?” tanya Encik Nazim tidak sabar.
“Belum ada lagi Nazim,” jawab Pak Zainal.
Encik Nazim mengeluh berat. Melepaskan bebanan yang membelenggu diri selama enam tahun. Apa yang harus dilakukannya lagi? Pelbagai usaha sudah dilakukan demi mencari kebenaran. Namun, semuanya tidak berhasil.
“Kau janganlah risau. Aku dengan Hassan akan cuba cari di mana dia berada.”
“Selama enam tahun kita cuba cari dia Nal. Kau sendiri tahu kan apa yang dia dah lakukan pada keluarga aku.”
“Aku tahu Nazim. Kita dah berusaha cari dia tapi tak juga jumpa. Insya-Allah, aku yakin kita akan berjaya jumpa dengan dia nanti.”
“Aku pun berharap macam tu. Aku nak perkara ni diselesaikan secepat yang mungkin.”
“Kau jangan risau. Aku dan Hassan akan cuba bantu kau cari dia.”
“Terima kasih, Nal. Terima kasih kerana membantu aku selama enam tahun ni.”
“Tak perlulah nak berterima kasih dengan aku. Kita dah lama berkawan. Kau jangan risau. Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga. Yang aku nak tahu sekarang ni, kenapa kau tak laporkan kepada pihak polis?” tanya Pak Zainal ingin tahu.
Selama ini, persoalan itu yang sering bermain-main di minda. Kenapa kawannya itu tidak melaporkan kepada pihak polis?
“Aku tak ada bukti nak sabitkan sesiapa? Aku cuma dapat agak dia yang lakukan semua ini,” jawab Encik Nazim, lemah.
“Kenapa dia?”
“Aku pernah terserempak dia dengan seseorang selepas Syira berangkat ke luar negara. Lama dia tak munculkan diri lepas kes yang lalu. Itu yang aku jadi syak kat dia.”
Pak Zainal mengangguk faham. Otaknya cuba merencana penjelasan Encik Nazim.
“Habis tu, kau suruh kita orang siasat ni, dia tak syak apa-apa ke?”
“ Aku pasti, dia dah lupakan tentang ni memandangkan anak aku dah tak ada di sini.”
“Betul jugak tu. Tak apalah Nazim. Nanti kalau aku dan Hassan jumpa dia, aku beritahu pada kau. Banyak-banyaklah kita berdoa kepada Allah semoga urusan kita ni dipermudahkan.”
“Insya-Allah, Nal. Terima kasih atas pertolongan kau dan Hassan. Tak terbalas budi baik kau pada aku selama ini,” ucap Encik Nazim.
“Tak apalah kawan. Masa ni kau susah. Manalah tahukan, esok lusa aku dan Hassan pulak yang susah,” balas Pak Zainal, tersenyum.
Encik Nazim turut sama tersenyum. Anggukan kecil diberikan kepada Pak Zainal. Semoga usaha mereka berhasil. Berharap, mereka akan berjumpa dengan orang yang terlibat dalam rancangan itu.


ZAIRIEL memerhatikan Daniel Iman dengan penuh minat. Selama seminggu, Daniel Iman merajuk. Entah sebab apa, dia sendiri tidak tahu. Adakah disebabkan keengganannya untuk menghantar dan menjemput Daniel Iman dari rumah pengasuh maka anaknya itu masam mencuka serta merajuk.
Zairiel mengeluh berat. Setiap kali pengasuh Daniel Iman menelefon, setiap kali itulah jantungnya berdegup dengan kencang. Setiap kali nama itu meniti benak hati, ada debaran hebat di dada. Ada rasa rindu terhadap empunya nama. Apa makna semua itu?
“Adakah pengasuh Danny, Nur Syahirah?” bisik Zairiel, sendirian.
“Papa!” panggil Daniel Iman.
Tersentak Zairiel mendengar panggilan itu. Dihalakan mata ke arah Daniel Iman yang sedang duduk di sofa sambil menatap permainan di tangan. Dia bingkas bangun dari duduk dan menapak menghampiri Daniel Iman di sofa.
“Papa, Danny nak makan KFC,” rengek Daniel Iman, manja.
“Danny nak makan KFC?” ulang Zairiel seraya melabuhkan duduk di sofa.
Daniel Iman mengangguk. Matanya masih lagi tertancap ke permainan di tangan.
“Hurm, Danny tak merajuk lagi dengan papa?”
Daniel Iman menggeleng.
“Kalau Danny nak makan KFC, ada syaratnya,” umpan Zairiel, tersenyum.
“Apa dia?” tanya Daniel Iman seraya mengangkat wajah.
“Esok, Danny kena pergi rumah Kak Syira. Macam mana?”
Daniel Iman berkerut dahi. Dengusan ringan terlepas daripada bibir.
So, macam mana?” tanya Zairiel sambil mengangkat kening.
“Papa ni tak acilah main syarat-syarat dengan Danny,” rengus Daniel Iman.
“Aci ada kat estate,” balas Zairiel ketawa kecil.
“Tak nak kawan dengan papa la macam ni. Sikit-sikit mak cik tu. Sikit-sikit mak cik tu. Tak ada orang lain lagi ke papa nak sebut?” bentak Daniel Iman pula.
Tertawa Zairiel mendengarnya. Gelengan kecil diberikan kepada anaknya itu.
So, Danny nak makan KFC ke tidak?”
Daniel Iman memasamkan muka.
“KFC?” ulang Zairiel.
Daniel Iman mengangguk.
“Kak Syira?” sebut Zairiel pula.
Daniel Iman mengeluh berat. Anggukan kecil diberikan kepada Zairiel.


“TERIMA kasih papa,” ucap Daniel Iman, tersenyum.
“Sama-sama kasih, sayang,” balas Zairiel turut sama tersenyum.
Best kan kalau mama ada. Boleh kita jalan sama-sama,” luah Daniel Iman, sebak.
Terhenti langkah Zairiel dek kerana luahan Daniel Iman. Matanya memandang wajah sayu Daniel Iman.
“Kenapa mama tinggalkan Danny, papa?” tanya Daniel Iman.
Zairiel menjatuhkan tubuh separas Daniel Iman. Wajah Daniel Iman ditatap kasih.
“Sebab Allah lebih sayangkan mama Danny daripada kita berdua.”
“Danny pun sayang mama juga. Danny tak pernah jumpa dengan mama,” luah Daniel Iman, teresak.
“Syhhh… Danny, jangan menangis. Kan papa dah tunjukkan gambar mama pada Danny. Kalau Danny rindukan mama, Danny boleh tengok gambar mama,” pujuk Zairiel, lembut. Diseka air mata yang mengalir di pipi Daniel Iman.
Daniel Iman mengangguk lemah. Tangannya turut sama menyeka air mata di pipi. Senyuman hambar diberikan kepada papanya itu.
“Dah, jom kita balik,” ajak Zairiel, tersenyum. Diangkat tubuh dan memulakan langkah. Tangannya menggenggam erat tangan Daniel Iman.
“Esok, papa hantar Danny ke rumah Mak cik Syira ya,” pinta Daniel Iman.
Zairiel berkerut dahi.
“Danny tak nak Pak Hamdan hantar. Danny nak papa hantar,” sambung Daniel Iman.
“Kenapa tak nak Pak Hamdan hantar?” tanya Zairiel sekadar ingin tahu.
“Tak nak! Danny nak papa hantar. Kalau papa tak nak hantar, Danny tak nak pergi rumah Mak cik Syira,” bentak Daniel Iman pula.
“Okey… okey… esok papa hantar,” kata Zairiel, mengalah.
“Terima kasih, papa,” ucap Daniel Iman.
“Danny, boleh papa tanya?”
“Apa dia?”
“Kenapa panggil Kak Syira, mak cik? Dah tua ke dia tu?” tanya Zairiel ingin tahu.
“Dah tua, papa. Buruk dan tak cantik,” terang Daniel Iman, tersenyum.
“Betul ke ni? Kenapa hari tu papa tengok Kak Syira muda dan cantik? Tak sama dengan apa yang Danny beritahu pada papa. Danny tipu papa, kan?” duga Zairiel.
Jika ingatannya tidak silap, apa yang dilihat pada malam itu berlainan dengan kenyataan Daniel Iman. Walaupun kurang jelas, dia yakin pengasuh Daniel Iman bukanlah seperti yang digambarkan oleh anaknya itu.
“Betul papa. Danny tak tipu. Kalau papa tak percaya, esok papa boleh jumpa dengan Mak cik Syira tu,” cerita Daniel Iman, bersungguh.
“Okey, esok papa nak jumpa dengan Mak cik Syira Danny tu,” cadang Zairiel.
“Papa, Danny nak mainan sana tu,” pinta Daniel Iman seraya mengunjuk ke arah sebuah kedai di seberang jalan.
Zairiel menghalakan mata ke arah yang ditunjuk. Terkebil-kebil matanya memandang ke arah seseorang di situ. Syira! Bisik hati Zairiel. Tanpa membuang masa, laju dibawa langkah menuju ke kedai itu. Tangan Daniel Iman digenggam erat.
Daniel Iman yang sedikit tersentak terkejut dengan tingkah laku Zairiel. Langkahnya mengekori langkah Zairiel.


“SYIRA!” tegur Nazry dari arah belakang.
“Kush semangat! Ya Allah, abang ni. Syira ingatkan siapa tadi?” luah Nur Syahirah sambil mengurut kecil dadanya yang berombak kencang. Menahan perasanan takut ketika ini.
“Maaf, Syira. Abang tak sengaja,” kata Nazry, kesal.
“Tak apa!”
“Syira lari daripada siapa?” tanya Nazry ingin tahu.
Sedari tadi dia memandang Nur Syahirah. Seakan gadis itu melarikan diri daripada seseorang. Tapi, siapa?
“Abang buat apa kat sini?” tanya Nur Syahirah. Mengalih topik perbualan.
“Abang nak ke kedai. Kebetulan abang nampak Syira kat sini, itu yang abang tegur.”
“Oh ya, Mak cik Normah apa khabar?” tanya Nur Syahirah. Tidak mahu Nazry terus-terusan bertanya akan tingkah lakunya tadi.
“Mak abang sihat alhamdulillah. Mak abang tanya, bila Syira nak datang ke rumah?”
“Insya-Allah. Kalau Syira free, Syira jumpa Mak cik Normah.”
Nazry mengangguk. Matanya menatap wajah pucat Nur Syahirah.
“Kalau macam tu, Syira minta diri dulu. Hana mungkin dah tunggu Syira kat kereta.”
“Syira!” tahan Nazry seraya menarik lembut lengan Nur Syahirah.
Nur Syahirah menghentikan langkah. Matanya memandang wajah Nazry yang sedang berkerut. Hatinya berdebar-debar ketika ini.
“Syira larikan diri daripada siapa?” tanya Nazry. Masih mencuba.
Nur Syahirah menelan liur. Kelat. Apa jawapan yang harus diberikan kepada Nazry?
“Syira rahsiakan sesuatu daripada abang, kan?” tebak Nazry pula.
“Eh… mana ada. Abang ni, memandai aje,” bidas Nur Syahirah lalu ketawa kecil.
“Syira jangan nak bohong dengan abang. Bukan sehari dua abang kenal dengan Syira, dah hampir enam tahun. Sejak Syira datang ke pekan ni lagi abang mengenali Syira. Abang tahu, Syira larikan diri daripada seseorang. Betul, kan?” terang Nazry bernada tegas.
“Syira… abang… Syira…”
“Syira!” laung Farhana dari arah seberang jalan.
“Hana dah panggil Syira tu. Syira minta diri dulu,” pamit Nur Syahirah.
Tanpa menunggu, dibawa langkah menyeberangi jalan. Nafas lega dilepaskan lembut. Lega kerana dapat melepaskan diri daripada Nazry.



1 ulasan:

  1. eh....nazry nie nak paksa2 plak....suka ati la nak larikan dr sape pon...

    BalasPadam