Khamis, 5 Mac 2015

My Dream Husband - Bab 4







“JEMPUT duduk Encik Khairil, Encik Iqwan,” pelawa Aqil, ramah.
Khairil dan Iqwan melabuhkan duduk di kerusi. 
“Maaf kalau kami terlewat,” beritahu Khairil, kesal.
“Tak apa, Encik Khairil. Saya pun baru lepas meeting dengan staf-staf saya,” balas Aqil. Menghalau rasa bersalah Khairil.
“Apa kata kita mulakan meeting kita ni cepat. Saya ada hal yang nak diuruskan selepas ni,” sampuk Iqwan, serius. Rasa rimas berada di bilik mesyuarat itu.
“Wan!” tegur Khairil, keras. Kurang senang dengan sikap Iqwan.
“Baiklah!” ujar Aqil lalu tersenyum kelat.
Wajah Iqwan diperhati dalam diam. Riak tegang terlukis di wajah itu. Semenjak syarikat mereka bekerjasama, jarang sekali melihat Iqwan hadir di mesyuarat.
Setiap kali hadir, hanya riak kurang senang dan tegang sahaja yang terlukis di wajah jejaka itu. Apa yang tidak kena dengan pemuda itu?
“Kita mula….”
“Along!” suara Zafira, tiba-tiba dari arah muka pintu bilik.
Aqil dan Khairil menoleh ke arah yang bersuara. Wajah Zafira menyapa mata mereka berdua. Iqwan hanya membatukan diri. Tidak berniat untuk melihat gerangan yang menegur.
“Fira nak….” Zafira mematikan kata-kata tatkala terpandangkan wajah Iqwan.
“Fira, along ada meeting ni,” tegur Aqil, keras.
Zafira tidak mengendahkan teguran Aqil. Dihampiri Iqwan yang sedang duduk di kerusi.
“Awak!” tegur Zafira, teruja.
Iqwan tersentak. Diangkat wajah dan memandang ke arah yang menegur. Terkejut dia melihat Zafira di situ.
“Awak buat apa kat sini?” tanya Zafira pula.
Iqwan tidak membalas. Dengusan kasar terlepas daripada bibir. Kenapa dia boleh berjumpa dengan gadis itu lagi?
“Haa… awak calon suami saya, kan?” tebak Zafira.
Bulat mata Iqwan mendengarnya. Apa maksud gadis itu?
“Tak sangka awak bakal suami saya. Memang kita ada jodoh.” Malu-malu Zafira berkata. Senyuman manis diberikan kepada Iqwan.
Berdiri Iqwan mendengarnya. Bakal suami? Kenapa gadis itu berkata begitu?
“Fira, along ada meeting. Fira keluar dulu,” arah Aqil, serius.
Zafira tersengih. Matanya menatap wajah Iqwan. Sungguh, tidak menyangka dia akan berjumpa lagi dengan pemuda itu. Adakah Iqwan calon jodoh yang ingin diperkenalkan oleh Aqil beberapa hari yang lepas?
“Nur Zafira Sofea!” tegur Aqil sedikit meninggi.
Zafira segera beredar dari situ. Riang di hati tatkala berjumpa dengan lelaki itu.
“Maafkan adik saya. Hari ni hari pertama adik saya bekerja. Itu yang kalut sikit,” ujar Aqil, kesal. Rasa malu melihat tingkah laku Zafira sebentar tadi.
“Tak mengapalah, Encik Aqil,” balas Khairil, tersenyum.
Aqil sekadar mengangguk. Matanya memandang wajah Iqwan dan Khairil silih berganti. Hatinya menduga sesuatu. Adakah Zafira mengenali Iqwan?


“TERIMA kasih, Encik Khairil. Insya-Allah, saya akan uruskan projek ni sebaik mungkin,” beritahu Aqil seraya berjabat.
“Sama-sama, Encik Aqil. Terima kasih atas kerjasama,” balas Khairil, tersenyum.
Aqil meleraikan jabatan. Ditatap wajah Iqwan seketika. Pemuda itu hanya mendengar dan tidak banyak bercakap. Terkadang dia terfikir, siapa sebenarnya pemilik Permata Sdn Bhd? Iqwan Hafiz ataupun Khairil Izhan. Khairil banyak memainkan peranan berbanding Iqwan.
“Dah masuk tengah hari. Apa kata kita lunch sama?” cadang Khairil kemudian.
Aqil melihat jam di pergelangan tangan. Masa sudah menginjak ke angka dua belas tiga puluh minit tengah hari. Mungkin ada baiknya mereka keluar makan bersama.
“Boleh juga,” sokong Aqil, tersenyum.
“Khai!” tegur Iqwan sambil menjegilkan mata. Kurang senang dengan cadangan Khairil.
“Boleh kita gerak sekarang?” ujar Aqil, perlahan.
“Boleh! Mari!” balas Khairil, mengangguk.
Aqil tersenyum. Dibawa langkah menuju ke muka pintu bilik sebaik sahaja mengemas meja. Matanya menangkap riak kurang senang di wajah Iqwan. Pasti pemuda itu tidak menyukai cadangan Khairil sebentar tadi.
Iqwan menarik lengan Khairil.
“Kenapa nak pergi makan pulak?”
“Apa salahnya kita makan dulu sebelum balik office. Kau ni, kenapa?” tegur Khairil.
“Aku tak suka!” balas Iqwan, keras.
“Suka hati kau la, Wan. Kalau kau nak balik, kau balik sendiri naik teksi,” kata Khairil, selamba. Dibawa langkah menuju ke muka pintu. Senyuman diberikan kepada Aqil.
Iqwan mendengus kasar. Sakit hatinya mendengar kata-kata Khairil. Mahu tidak mahu, terpaksa jugalah dia mengekori langkah Khairil.
“Fira!” tegur Aqil tatkala ternampak Zafira duduk di tepi pintu.
“Kenapa Encik Aqil?” tanya Khairil, ingin tahu.
“Adik saya!” ujar Aqil, tersenyum kelat. Matanya memandang Zafira yang sedang tidur bersandar di dinding di tepi pintu bilik.
Khairil menghalakan mata ke arah yang sama. Tersenyum dia melihat tingkah laku gadis itu.
“Zafira!” panggil Aqil sambil cuba membangunkan adiknya itu.
“Haaa.. kenapa? Kenapa? Hitrik Roshan dah keluar ke?” tanya Zafira, kalut. Dia bingkas bangun dari duduk sambil meninjau-ninjau ke dalam bilik.
Ketawa kecil Khairil melihat tingkah laku Zafira. Gadis itu seorang yang kelakar dan selamba. Manakala Iqwan sekadar mencebik. Meluat melihat gelagat gadis itu.
“Fira buat apa kat sini?” tanya Aqil, serius.
“Along nak pergi mana? Makan ke?” tanya Zafira pula. Menolak pertanyaan Aqil.
Aqil sekadar mengangguk. Berkerut dahinya melihat riak di wajah Zafira.
“Dengan Hitrik Roshan?” soal Zafira lagi.
“Hitrik Roshan?” ulang Aqil masih berkerut.
Zafira tersengih. Dihampiri Iqwan yang sedang berdiri tegak di sisi Khairil.
“Dia ni, Hitrik Roshan,” beritahu Zafira, tersengih lebar.
Bulat mata Aqil mendengarnya. Khairil sekadar tersenyum. Sudah pastilah Hitrik Roshan yang dimaksudkan oleh Zafira adalah Iqwan.


“HUH! Lepas ni kalau kau nak ke sana, jangan nak ajak aku. Kau pergi seorang saja,” bentak Iqwan, keras. Dengusan kasar terlepas daripada bibir.
Ketawa kecil Khairil mendengarnya. Riak tegang di wajah Iqwan diperhati dalam diam.
“Minah tu dah tak betul agaknya. Entah-entah baru lepas keluar dari Tanjung Rambutan,” sambung Iqwan lagi. Dilabuhkan duduk di sofa yang berada di dalam bilik itu.
Khairil tidak membalas. Dia turut melabuhkan duduk di sofa.
“Ada ke dia cakap aku ni bakal suami dia? Mengarut! Tak ingin aku!” bebel Iqwan pula.
“Iya ke tak ingin?” tanya Khairil sekadar menduga.
“Kau ingat aku hadap sangat ke dengan minah tu? Perangai tak semenggah. Kau tengok sendiri kan macam mana perangai dia tadi.” Keras Iqwan bersuara. Tajam matanya ke wajah Khairil di hadapannya itu.
“Aku tengok okey saja minah tu. Tak ada cacat cela pun. Sedap mata memandang,” tukas Khairil. Pandangan tajam Iqwan dibalas dengan senyuman di bibir.
“Mata kau tu dah rabun. Baik kau pergi check kat kedai cemin mata tu. Tak pasal-pasal, buta pulak,” geram Iqwan sambil mendengus ringan.
Tergelak Khairil mendengarnya. Gelengan diberikan kepada kawan baiknya itu.
“Aku tengok dia memang dah berkenan dengan kau.”
“Huh! Sengal!”
“Lagipun, dah beberapa kali kau orang berdua berjumpa. Memang ada jodoh kau dan dia,” kata Khairil, tersenyum penuh makna.
“Tak ada maknanya. Dia bukan jodoh aku. Aku tak suka!” Tegas Iqwan berkata.
“Kau jangan nak benci sangat, Wan. Dibuatnya kau terjatuh sayang kat dia nanti, macam mana? Orang tua-tua ada kata, perasaan benci boleh bertukar menjadi sayang.”
“Yang kau merepek ni, kenapa?”
“Kau tak perlu risau. Encik Aqil dah carikan calon suami untuk adiknya tu. Tunggu masa yang sesuai saja untuk diperkenalkan,” beritahu Khairil dan beredar dari bilik itu.
Iqwan terkedu. Matanya menghantar langkah Khairil beredar dari bilik itu. Benarkah apa yang diberitahu oleh Khairil sebentar tadi?


“ALONG tak suka Fira berperangai macam tadi. Buat malu along saja,” tegur Aqil, keras.
Kurang senang dengan tingkah laku Zafira di restoran sebentar tadi. Bersungguh, Zafira melayan Iqwan makan sehingga merimaskan pemuda itu. Jelas riak ketidakpuasan di wajah Iqwan. Sungguh, dia berasa malu dengan tingkah laku Zafira.
Zafira tidak mengendahkan teguran abangnya. Otaknya ligat memikirkan Iqwan.
“Fira jangan ingat yang Fira tu adik along boleh buat apa saja yang Fira suka.”
Zafira masih lagi membisu. Teguran Aqil buat endah tak endah sahaja. Terbayang-bayang wajah Iqwan di ruangan mata. Alangkah seronoknya jika dia berjumpa dengan Iqwan lagi. Tidak puas menatap wajah pemuda itu.
“Fira dengar tak ni?” tanya Aqil sedikit menekan. Adiknya itu dilihat sedang mengelamun. Apa yang sedang dilamunkan oleh Zafira ketika ini?
Zafira sekadar mengangguk. Tersenyum-senyum dia memikirkan tentang Iqwan.
“Fira tahu tak dia tu siapa?” tanya Aqil. Masih tidak berpuas hati.
“Bakal suami Fira merangkap my dream husband, Iqwan Hafiz Bin Sharizal.” Selamba Zafira menjawab. Tersengih-sengih dia ketika itu.
“Ya Allah!” ucap Aqil sambil menepuk dahi. Menggeleng dia mendengar jawapan Zafira. Apa yang tidak kena dengan adiknya itu?
“Along, dia la lelaki yang Fira nak along siasatkan,” ujar Zafira, tersenyum.
Aqil berkerut dahi. Apa maksud Zafira?
“Kan hari tu Fira nak mintak tolong along siasat tentang seseorang. Dia la yang Fira maksudkan hari tu,” jelas Zafira pula.
Aqil cuba merencana penjelasan Zafira. Seminit kemudian, dia mengangguk tatkala mengingati tentang itu.
“Tapi, Fira dah kenal. So, tak perlu la along siasat lagi,” sambung Zafira. Senyuman ceria menghiasi bibirnya itu.
Aqil tidak membalas. Senyuman di bibir Zafira menjadi tatapan matanya.        
“Haaa.. along… along. Dia ke yang along nak kenalkan dengan Fira?” tanya Zafira, berminat. Dihalakan mata ke wajah Aqil.
“Kenalkan? Maksud Fira?” tanya Aqil pula.
“Ala… hari tu kan along kata nak kenalkan Fira dengan seseorang. Dia ke yang along nak kenalkan dengan Fira?” ulang Zafira, jelas dan nyata.
Aqil menghela nafas ringan. Wajah teruja Zafira ditatap. Senyuman di bibir Zafira berlainan sekali. Jarang sekali dia melihat wajah ceria Zafira.
Jika ada pun, hanya wajah terpaksa sahaja. Apa jawapan yang harus diberikan kepada Zafira? Perlukah dia mengiyakan pertanyaan Zafira itu?
“Along!” panggil Zafira.
“Kalau betul, kenapa?” Aqil sengaja bertanya. Sekadar untuk melihat reaksi Zafira.
“Fira nak tackle dia. Fira suka tengok mata dia. Macam mata Hitrik Roshan. Dia ada ciri-ciri suami idaman Fira,” beritahu Zafira, tersenyum malu.
Bulat mata Aqil mendengarnya. Biar betul dengan apa yang diperkatakan oleh Zafira itu?
“Betul ke, along?” Zafira bertanya.
Aqil tidak membalas. Otaknya mencari jawapan yang sesuai.
“Along!” desak Zafira.
“Ha… dialah!” Aqil terpaksa mengiyakan. Rasa bersalah jika menafikannya.
“Along tak tipu?” Zafira inginkan kepastian.
“Along tak tipu. Kalau Fira tak percaya, Fira boleh tanya pada Iqwan.”
Zafira tersenyum. Tanpa membalas, dia beredar dari situ. Rasa teruja tatkala mengetahuinya. Tidak sabar untuk berkenalan dengan Iqwan Hafiz.
“Fira…”
“Along, malam nanti Fira tidur rumah along. Fira nak tahu tentang Iqwan,” pintas Zafira dan menghilangkan diri di sebalik pintu bilik.
Aqil terkedu. Matanya memandang pemergian Zafira. Seminit kemudian, diraup wajah sambil melepaskan keluhan berat. Apa yang telah dilakukannya ketika ini? Kenapa dia boleh mengiyakan pertanyaan Zafira sebentar tadi? Jika tidak mengiyakannya, pasti hati Zafira akan kecewa. Selama ini, jarang sekali melihat riak ceria di wajah Zafira.
Semenjak peristiwa dua tahun yang lepas, Zafira berpura-pura gembira dan ceria. Dia tahu, Zafira berbuat begitu semata-mata untuk tidak merisaukan hatinya dan juga Amylia. Tetapi, adakah dengan keceriaan yang dipamerkan selama ini dapat mengubati luka di hati Zafira? Luka yang meninggalkan kesan yang mendalam dalam diri adiknya itu.


DEAR My Dream Husband,

Awak tahu tak saya happy hari ni? Saya dapat berjumpa dengan awak lagi. Bila along beritahu yang awak adalah orangnya, hati saya berdebar-debar. Jantung saya berdegup dengan laju. Kenapa? Kenapa saya berkeadaan macam tu? Adakah saya dah jatuh cinta dengan awak?

                                                                                                                                 Your future wife - NZS

Zafira menutup diari sehabis sahaja mencoretnya. Wajah Iqwan menyapa mata ketika ini. Tidak sabar untuk berjumpa dan mengenali lebih rapat lagi dengan Iqwan. Penerangan Aqil tentang Iqwan sedikit sebanyak dapat membantunya dalam mengenali pemuda itu.
Rupa-rupanya, Iqwan merupakan pengarah di Syarikat Permata Sdn Bhd. Jika dia bekerja di syarikat peninggalan ayahnya dahulu, pasti dia mengenali Iqwan. Tidak mustahil dia akan berkahwin dengan Iqwan juga. Tersenyum dia memikirkan tentang itu.
Bukannya dia tidak mahu membantu Aqil. Disebabkan ingin berdikari, maka dia memohon kerja di syarikat Izreen bekerja. Dia juga tidak mahu menyusahkan Aqil dan Amylia.
Baru kini dia terbuka pintu hati untuk membantu Aqil. Kasihan melihat Aqil yang bertungkus lumus menguruskan syarikat. Apa gunanya dia menjadi adik Aqil jika tidak boleh membantu.
Keluhan ringan dilepaskan. Telefon bimbit dari atas meja dicapai. Jemarinya memainkan peranan mencari nombor telefon Iqwan. Nombor telefon yang diperolehi daripada Aqil. Setelah berjumpa, didail nombor itu dan menanti panggilan berjawab.
Hello!” suara Iqwan dari hujung talian.
Terkejut Zafira mendengar suara kasar Iqwan. Diusap dadanya yang sedikit bergetar.
Hello!” ulang Iqwan semula.
“Assalamualaikum, encik suami,” sapa Zafira, lembut.
Iqwan berkerut dahi. Siapa di hujung talian?
“Encik suami tengah buat apa?” tanya Zafira, ramah. Ketawa kecil terlepas daripada bibir. Geli hati dengan panggilan itu.
“Kau ni siapa?”
“Bakal isteri!”
Semakin berkerut dahi Iqwan mendengarnya.
“Encik suami dah makan?”
“Kau ni siapa?”
“Bakal isteri!”
“Boleh tak jangan nak main-mainkan aku? Kau ni siapa sebenarnya?” geram Iqwan.
Zafira ketawa. Kemarahan Iqwan buat endah tak endah sahaja.
“Malas aku nak layan kau,” bentak Iqwan sambil mendengus kasar.
“Encik Iqwan, nanti dulu,” tahan Zafira, laju.
Iqwan tidak jadi mematikan talian. Diamati suara di hujung talian.
“Saya, Zafira. Adik Aqil,” beritahu Zafira pula.
Iqwan cuba merencana sebaris nama itu. Zafira? Adik Aqil? Adakah Aqil Danish yang dimaksudkan oleh gadis itu?
“Mana kau dapat nombor telefon aku?” tanya Iqwan sebaik sahaja mengingatinya.
“Daripada Abang Aqil.” Jujur Zafira menjawabnya. Senyuman terbias di wajah.
Iqwan mengangguk. Kata-kata Khairil terngiang-ngiang di minda ketika ini.
“Encik suami rindu kat bakal isteri tak?” tanya Zafira, malu-malu.
“Apa yang kau merepek ni?” Keras Iqwan bertanya.
Zafira tersengih. Kepala yang tidak gatal digaru.
“Dahlah, malas aku…”
Good night my dream husband!” pintas Zafira dan mematikan talian.
Dibaringkan tubuh sambil tersenyum. Seronok berbual bersama dengan Iqwan. Semoga malam ini dia bermimpikan yang indah-indah sahaja.
Iqwan terkedu. Terkejut dengan tingkah laku Zafira yang mematikan talian. Kenapa dengan gadis itu? Adakah gadis itu mempunyai masalah mental?
“Hisy, simpang malaikat empat puluh empat. Tak nak aku dapat isteri macam minah tu. Dahlah tak betul. Syok sendiri pun ada juga,” omel Iqwan sendiri.
“Isteri?” ulang Iqwan kemudian.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan