Khamis, 13 November 2014

Seandainya Tuhan Mengizinkan! - Bab 17





“YANG kau tercungap-cungap ni, kenapa?” tegur Farhana tatkala terpandang Nur Syahirah.
“Kush semangat! Kau ni kalau nak tegur, elok-elok la sikit. Nasib baik aku tak ada sakit jantung. Kalau tidak… free-free aje aku mati,” rungut Nur Syahirah sambil mengurut dada.
“Aku pulak yang salah? Dah kau masuk macam pencuri, aku tegurlah!”
Farhana geram tatkala ditegur Nur Syahirah. Dia bingkas bangun dari duduk dan menghampiri Nur Syahirah di sofa. Wajah Nur Syahirah ditatap berkerut.
“Kau ni kenapa? Macam dikejar dek hantu saja.”
“Aku baru lepas jogging.”
Jogging?”
Nur Syahirah sekadar mengangguk. Botol mineral yang berada di hadapan dicapai lalu meneguk rakus air dari dalamnya.
“Kau jangan nak kelentong aku. Aku dah lama kenal kau. Dari matrik lagi. Kau larikan diri daripada siapa?”
Nur Syahirah menghela nafas ringan. Botol mineral diletakkan semula di atas meja.
“Syira...”
“Ada orang ekori aku.”
“Ekori kau? Siapa?”
“Aku tak tahu dan aku tak kenal. Dari bus stand lagi orang tu ikut aku.”
“Kau biar betul? Jangan nak main-mainkan aku.”
“Betul! Aku tak tipu.”
“Perasaan kau saja kut. Mungkin orang tu sehala dengan kau.”
“Aku tak tipu. Memang ada yang ekori aku.” Nur Syahirah menegakkan kenyataan.
“Okey! Aku percaya. Apa motif dia ekori kau?”
“Kau ingat tak mesej yang aku terima dulu.”
Farhana berfikir sejenak. Kemudian, dia mengangguk tatkala mengingatinya.
“Aku dapat mesej tu lagi. Kali ini, dia ugut aku supaya tinggalkan tempat ni.”
“Maksud kau?”
“Dia akan cederakan keluarga aku kalau aku tak ikut arahan dia. Dia suruh aku tinggalkan tempat ni. Aku susah hati sekarang ni.”
“Ini dah kes lebih. Kau sepatutnya buat laporan polis.”
Please Hana. Aku tak nak susahkan keluarga aku. Aku takut ‘dia’ akan ambil tindakan terhadap keluarga aku kalau aku buat begitu.”
“Tapi Syira…. kes ni dah jadi kes polis. Ugutan!”
“Aku tahu.”
“Habis tu, kalau dah tahu kenapa kau tak nak ambil tindakan?”
“Aku tak nak Zairiel dapat susah kalau aku ambil tindakan dengan melaporkan kepada pihak polis,” terang Nur Syahirah sedikit sebak.
Farhana berkerut dahi. Kurang faham dengan kata-kata Nur Syahirah. Apa kena-mengena dengan Zairiel dalam kes ini?
“Aku cuma ada dua pilihan,” ujar Nur Syahirah, perlahan.
Farhana memandang ke wajah Nur Syahirah. Menanti butir bicara daripada gadis itu.
“Aku pergi dari sini atau keluarga aku dan Zairiel dapat susah,” sambung Nur Syahirah seraya memandang ke wajah Farhana.
“Gila!!!” Farhana melepaskan kemarahan lalu bangun dari duduk.
“Apa hak dia nak buat macam tu? Dia tu siapa nak aturkan hidup kau? Kalau aku tahu siapa dia, aku cincang-cincang dia buat sup.”
“Hana….”
“Aku tetap tak puas hati. Siapa dia? Kau kenal dengan dia?”
“Aku tak kenal. Dia hanya call dan mesej aku saja,” jujur Nur Syahirah.
Farhana mendengus kasar. Dikepalkan tangan sambil cuba menahan kemarahan di hati.
“Demi keluarga aku. Demi Zairiel, aku terpaksa pergi juga.”
“Zairiel?” pintas Farhana.
Nur Syahirah mengangguk.
“Aku terpaksa, Hana. Adik aku beritahu yang ayah aku dapat surat ugutan daripada seseorang semalam.”
“Apa? Kenapa kau tak beritahu pada aku?”
“Aku tak nak susahkan kau dengan masalah aku.”
“Siapa aku pada kau, Syira? Aku ni kawan kau. Susah senang kita bersama.”
Nur Syahirah tidak membalas. Selama ini, kawan baiknya itu sentiasa berada di sisi setiap kali dia memerlukan. Bersyukur kerana memiliki seorang kawan baik seperti Farhana.
“Habis tu, kita nak buat apa?”
“Demi keselamatan orang-orang yang aku sayang, aku terpaksa ikut arahan dia.”
“Apa arahan dia?”
“Keluar dari Malaysia!”
What?!! Perlukah kau ikut arahan dia?”
Nur Syahirah sekadar mengangguk.
“Syira… tak ada jalan lain ke untuk kau ingkar arahan dia?” Farhana sekadar bertanya. Berharap, Nur Syahirah berfikir tentang itu semula.
“Aku tak ada jalan lain lagi. Aku terpaksa ikut arahan dia. Aku sanggup berkorban demi cinta aku pada Zairiel,” kata Nur Syahirah, sebak.
Farhana menghela nafas berat. Diraup kasar wajah dan memandang ke wajah tenang Nur Syahirah. Kenapa begini kisah hidup kawan baiknya itu? Kenapa dia dipaksa berkorban seperti ini? Adakah pengorbanannya berbaloi nanti?
“Kau ikut aku boleh?” ujar Nur Syahirah seraya memandang ke wajah Farhana.
“Maksud kau?” tanya Farhana kurang faham.
“Aku letakkan syarat dekat dia. Kalau aku tinggalkan sini, aku nak kau ikut aku ke sana sekali. Aku perlukan kau, Hana,” jelas Nur Syahirah.
“Syira… aku akan sentiasa berada di sisi kau. Aku tak ada sesiapa di dunia ni melainkan kau. Mak dan ayah aku anak tunggal dan aku tak ada adik-beradik yang lain. Selepas mereka meninggal dunia dalam kemalangan tak lama dulu, hanya kau dan family kau tempat aku menumpang kasih.Aku bersyukur kerana Allah pertemukan aku dengan kau,” luah Farhana sambil melabuhkan duduk semula. Tubuh Nur Syahirah didakap kemas.
“Terima kasih, Hana. Kau kawan aku dunia dan akhirat,” ucap Nur Syahirah sambil mengeratkan dakapan.
Family kau macam mana?” tanya Farhana sambil meleraikan pelukan.
“Aku dah jelaskan pada mereka dan mereka redha dengan keputusan aku. Demi keselamatan mereka dan Zairiel, aku sanggup berkorban,” jawab Nur Syahirah, tenang.
“Zairiel? Apa kena-mengena Zairiel dalam kes ni? Aku tak faham,” tanya Farhana.
Sedari tadi hatinya tertanya-tanya. Apa kena-mengena Zairiel dalam hal ini? Adakah ugutan itu datangnya daripada ayah Zairiel,  Encik Zahrin?
Nur Syahirah tidak menjawab. Diangkat punggung dan menghela nafas ringan. Perlukah dia berterus-terang kepada Farhana perkara yang sebenar?
“Syira… apa kena mengena Zairiel dalam hal ni?” Farhana bertanya lagi.
Riak di wajah Nur Syahirah mencurigakan. Seakan ada sesuatu yang cuba disembunyikan oleh Nur Syahirah.
“Aku….”
Belum sempat Nur Syahirah menyudahkan ayat, laju dibawa langkahnya menuju ke dapur. Dikeluarkan isi perut di sinki. Rasa loya dan mual ditekak ketika ini.
Farhana yang melihat segera menuju ke dapur. Berkerut dahinya memandang Nur Syahirah yang sedang memuntahkan isi perut di sinki. Apa yang tidak kena dengan Nur Syahirah?
Ya Allah! Ucap Nur Syahirah sendirian sebaik sahaja habis memuntahkan segala-gala isi perut. Mineral botol diambil dari dalam peti sejuk lalu meneguk air dari dalamnya.
“Kenapa dengan kau? Kau tak sihat ke?” tegur Farhana lalu menghampiri Nur Syahirah. Disentuh lembut dahi Nur Syahirah.
“Kau demam?” tanya Farhana lagi.
Nur Syahirah menggelengkan kepala. Hatinya menduga sesuatu. Jika dia tidak silap, sudah sebulan lebih periodnya tidak datang. Loya, mual dan pening di kepala menguatkan lagi dugaan di hati. Adakah peristiwa malam itu telah membenihkan nyawa di dalam rahimnya?
“Syira… Syira…” panggil Farhana seraya menyentuh lembut bahu Nur Syahirah.
Tersentak Nur Syahirah dek kerana sentuhan itu. Dihalakan mata ke wajah Farhana dan tersenyum hambar. Botol mineral diletakkan semula di dalam peti sejuk.
Farhana masih lagi memandang. Otaknya ligat berfikir. Sejak dua menjak ini, sering kali dia terlihat Nur Syahirah muntah. Setiap kali makanan masuk ke dalam mulut, pasti Nur Syahirah akan memuntahkannya semula.
Malah, Nur Syahirah akan berasa loya dan mual tatkala terhidu sesuatu. Adakah Nur Syahirah mengidap penyakit kronik? Tetapi, jika dilihat dari tanda-tanda yang ada, lebih kepada tanda-tanda awal kehamilan. Adakah Nur Syahirah mengandung?
“Mengandung!” Meluncur laju perkataan itu daripada bibir Farhana.
Nur Syahirah menelan liur. Kelat! Dilarikan pandangan dan memandang ke luar tingkap.
“Kau mengandung, Syira?” tanya Farhana. Wajah Nur Syahirah ditatap tidak berkelip.
Nur Syahirah tidak membalas.
“Syira kau…”
“Dah sebulan lebih period aku tak datang.”
“Macam mana….”
“Aku tak tahu apa yang terjadi pada malam tu.”
“Maksud kau?”
“Bila aku sedar, dia dah ada di sebelah aku.”
“Siapa?”
“Zairiel!”
“Ya Allah!” ucap Farhana sambil mengurut dada.
“Sumpah, Hana! Aku bukan seperti yang kau fikirkan. Aku tak tahu apa yang terjadi sebenarnya. Bila aku sedar, Zairiel dah ada di sebelah aku. Kami berdua dalam keadaan mengaibkan,” jelas Nur Syahirah, bersungguh. Air matanya mulai bertakung di tubir mata.
“Aku tak fikir yang bukan-bukan, Syira. Cuba kau cerita pada aku, macam mana perkara tu boleh terjadi?” kata Farhana. Anggukan diberikan buat Nur Syahirah.
Nur Syahirah menghela nafas berat. Diraup wajah dan menyeka air mata yang sudah pun membasahi pipi.
“Syira…”
“Aku ikut Zairiel malam tu ke Genting. Aku beritahu Zairiel yang aku nak balik sebab kepala aku sakit. Zairiel tak bagi aku balik. Dia risaukan keselamatan aku. Aku tak tahu kenapa tiba-tiba kepala aku sakit sangat. Macam nak pecah kepala aku tu pun ada. Then, Zairiel cadangkan aku berehat kat bilik. Dia tempah bilik tu khas untuk aku. Sementara nak tunggu habis majlis, aku berehat kat bilik tu sampailah aku terlelap. Bila aku sedar… Zairiel dah ada di sebelah aku.”
“Itu saja yang aku ingat. Selebihnya aku tak ingat apa-apa. Macam mana Zairiel boleh ada dalam bilik tu aku sendiri tak tahu,” cerita Nur Syahirah akan peristiwa itu. Esakan kecil terlepas daripada bibir.
Farhana menarik tubuh Nur Syahirah lalu mendakapnya erat. Diusap lembut belakang tubuh Nur Syahirah. Menyalurkan semangat buat kawan baiknya itu.
“Aku takut, Hana!” luah Nur Syahirah.
“Maafkan aku, Syira. Kalau aku menolak untuk pergi ke Gunung Jerai, mesti kau takkan tempuh semua ni. Maafkan atas kedegilan aku,” luah Farhana, kesal.
Kalau bukan disebabkan kedegilan untuk mengikuti Ekspedisi Ke Gunung Jerai, tidak mungkin Nur Syahirah akan mengalami peristiwa itu.Malah, dia sendiri yang akan melindungi Nur Syahirah daripada sesiapa yang cuba berniat tidak baik terhadap kawannya itu.
“Sudah tertulis yang aku akan ikut Zairiel ke majlis makan malam tu. Sudah tertulis yang aku akan alami perisitiwa itu. Dan, sudah tertulis yang aku akan mengandungkan anak Zairiel,” suara Nur Syahirah sambil meleraikan pelukan. Ditundukkan wajah sambil menyeka air mata.
“Aku cadangkan kita ke klinik. Sahkan sama ada kau mengandung ataupun tidak. Tapi, dari tanda-tanda yang aku lihat, kemungkinan kau mengandung. Yang penting sekarang ni, kau perlu beritahu dia. Dia perlu bertanggungjawab,” cadang Farhana.
“Tak mungkin, Hana. Masa aku sedar hari tu dia masih tak sedarkan diri. Aku terus balik lepas aku sempurnakan keadaan aku. Kalau aku beritahu dia, mesti dia tak akan percaya. Sudah tentulah dia akan tuduh aku sengaja nak perangkap dia,” terang Nur Syahirah berserta gelengan kecil.
Farhana cuba merencana penjelasan Nur Syahirah. Ada benarnya juga penjelasan Nur Syahirah itu. Sudah tentulah Zairiel tidak akan percaya. Tambahan pula, tidak ada bukti yang membuktikan Zairiel bertanggungjawab dalam perkara itu.
“Lagipun, dia dah ada Maisarah,” ujar Nur Syahirah bernada sebak.
Kisah percintaan Zairiel dan Maisarah, pelajar dari Fakulti Kejuruteraan sudah lama diketahui. Zairiel sendiri yang bercerita. Mustahil dia tidak mengetahui tentang itu memandangkan mereka berdua berkawan rapat sejak dari sekolah lagi. Disebabkan hubungan rapat itu, dia diugut dan dipaksa meninggalkan Malaysia. Mungkinkah semua itu ada kaitan dengan Zairiel?
Suara orang memberi salam mematikan perbualan mereka berdua. Farhana membawa langkah ke ruang tamu untuk melihat. Nur Syahirah turut sama membuntuti Farhana. Diseka sisa air mata di pipi.
“Zairiel!” sebut Farhana.


“ZAIRIEL, boleh akak masuk!” tegur Zafira dari muka pintu bilik.
Zairiel mengangkat wajah. Anggukan diberikan kepada kakaknya itu.
Zafira menapak masuk ke dalam bilik. Dilabuhkan duduk di birai katil dan menatap mesra wajah Zairiel yang sedang ralit menatap laptop. Hatinya berkira-kira sendiri. Perlukah dia meluahkan masalah kepada adiknya itu?
“Ada apa, kak?” tanya Zairiel tatkala menyedari kebisuan Zafira. Diangkat wajah dan memandang ke wajah Zafira.
Zafira sedikit tersentak. Dia membalas tatapan Zairiel.
“Akak ada masalah ke?”
“Macam mana dengan study adik? Okey?”
“Setakat ni, alhamdulillah. Kenapa akak tanya?”
“Hai, tanya pun tak boleh ke?”
“Boleh! Apa pulak tak boleh. Ini mesti ada benda yang akak nak minta daripada adik, kan?” tebak Zairiel, tersenyum.
Zafira tersenyum. Tebakan adiknya mengena.
So, kali ni nak suruh adik tolong apa pulak?” tanya Zairiel tidak sabar.
“Akak nak kahwin dik,” jawab Zafira, tenang.
Tersentak Zairiel mendengarnya.
“Abang Hafizul melamar akak,” beritahu Zafira.
What?!! Serius?” Zairiel sedikit terkejut.
Zafira menganggukkan kepala.
“Ayah dah tahu?”
“Belum!”
So, jom kita beritahu pada ayah,” ajak Zairiel sedikit teruja. Dia bingkas bangun untuk turun dari katil.
“Jangan dik!” tegah Zafira sambil menarik tangan Zariel.
Terduduk Zairiel semula dek kerana tarikan itu. Berkerut dahinya memandang Zafira.
“Ayah tak setuju!” ujar Zafira, sebak.
“Ayah tak setuju? Kenapa?” tanya Zairiel, berkerut.
“Ayah tak suka Abang Hafizul.”
“Mana akak tahu?”
“Abang Hafizul dah jumpa dengan ayah siang tadi. Ayah tak setuju kalau akak kahwin dengan Abang Hafizul.”
“Tapi, Abang Hafizul tu kan berkedudukan dan terpelajar. Engineer sama macam akak. Takkan ayah tak setuju?”
“Ayah nak jodohkan akak dengan anak Dato Ramlan. Kata ayah, Abang Hafizul tak layak untuk akak. Tak sama taraf dengan kita.”
“Tak sama taraf? Taraf apa yang ayah maksudkan ni?”
“Akak tak tahu. Ayah tetap tak setuju akak kahwin dengan Abang Hafizul.”
Zairiel menghela nafas ringan. Wajah sedih kakaknya ditatap pilu.
“Akak sayangkan Abang Hafizul. Akak tak sanggup hidup tanpa dia,” luah Zafira bernada sebak. Sungguh, dia kecewa dengan keputusan Encik Zahrin.
“Akak jangan risau. Adik akan cuba pujuk ayah,” pujuk Zairiel sambil menggenggam erat tangan Zafira. Anggukan kecil diberikan buat kakaknya itu.
“Betul ni?” tanya Zafira inginkan kepastian.
Zairiel masih lagi mengangguk.
“Terima kasih, adik!” ucap Zafira seraya mengucup pipi Zairiel.
Most welcome, sister,” balas Zairiel, tersenyum.
Zafira menarik nafas lega. Senyuman terbias di wajah. Berdoa dan berharap agar Zairiel dapat memujuk ayah mereka.
“Dah! Tak mahu sedih-sedih. Adik akan bantu akak sampai akak berkahwin dengan Abang Hafizul. Ini janji adik pada akak!” Zairiel berjanji sambil mengangkat tangan.
Zafira mengangguk. Diusap lembut rambut Zairiel.
“Syira apa khabar?”
Mati senyuman Zairiel tatkala pertanyaan itu menyapa telinga. Dijatuhkan tangan dan mengeluh berat. Pertemuannya dengan Nur Syahirah beberapa jam yang lalu terimbas di ruangan mata. Pelbagai persoalan berkenaan Nur Syahirah berlegar-legar di kotak fikiran. Perubahan Nur Syahirah turut menyesakkan nafas.
“Adik ada masalah dengan Syira ke?”
“Adik tak tahu apa masalah Syira, kak. Syira macam nak jauhkan diri daripada adik. Paling ketara lepas adik couple dengan Maisarah.”
“Adik ada sakitkan hati Syira?”
Zairiel sekadar menggeleng.
“Mungkin Syira sibuk dengan study,” duga Zafira. Sekadar menyedapkan hati Zairiel.
“Mungkin juga kak. Final exam dah nak dekat.” Zairiel mengiyakan kata-kata Zafira. Hatinya masih lagi tertanya akan perubahan Nur Syahirah.
“Insya-Allah, lepas exam nanti Syira elok la tu,” kata Zafira seraya bangun dari duduk. Bahu adiknya ditepuk lembut.
Zairiel mengangguk faham. Senyuman diberikan kepada Zafira.
“Akak balik bilik dulu. Jangan fikirkan sangat,” nasihat Zafiralalu menapak menuju ke muka pintu bilik. Otaknya cuba merencana penjelasan Zairiel sebentar tadi.
“Selamat malam, kak!” ucap Zairiel.
“Adik… akak rasa, Syira cintakan adik. Kalau Syira tak cintakan adik, mustahil Syira jauhkan diri daripada adik. Tambahan pula, adik dah couple dengan Maisarah.  Mungkin dengan cara jauhkan diri daripada adik dapat menutup rasa cemburu dan kecewa di hati Syira,” jelas Zafira lalu menghilangkan diri di sebalik pintu bilik.
Zairiel berfikir sejenak. Kata-kata Zafira terngiang-ngiang di cuping telinga. Syira cintakan adik! Hati Zairiel mengulangi ayat itu. Mustahil Nur Syahirah menyukai dan menyintainya.
Selama ini, Nur Syahirah menganggapnya sebagai kawan baik sahaja dan tidak lebih dari itu. Nur Syahirah sendiri mengakui akan perkara itu. Pernah juga sekali dia menduga perasaan gadis itu tetapi feedback yang dia dapat hanyalah perasaan seorang sahabat sahaja. Tidak lebih dari itu melainkan seorang sahabat baik. Hanya seorang sahabat! Titik!


10 ulasan:

  1. What going on exactly to Syira??? Mcmna dia dgn Zairiel boleh terbabas??? Sapa yg ugut dia??? Ayah Zairiel ka???

    BalasPadam
    Balasan
    1. Semua 2 akan tjawab nanti. Tq sudi bc dan follow STW. :)

      Padam
  2. ini flashback ka ? konpius sat .

    BalasPadam
    Balasan
    1. Flashback. Ada mention study. Future kan Syira jd cikgu dan Zairiel jd doktor. Tq.

      Padam
  3. sape la yg pedajal syira n zairiel ne....kuang ajakkkkkkkkkk....

    BalasPadam
    Balasan
    1. hahaha.. nti tau la siapa.. tp, kena tggu versi cetak la baru blh tahu.. insya-Allah, thn hdpn STM keluar.

      Padam
  4. alahai zairiel tak sedar ke dia dah musnahkan hidup syira? betullah kata katakhijaubuncit... siapa pulak yang dah pedajalkan syira dan zairiel ni? Tak sabar nak tahu seterusnya.

    k.mid

    BalasPadam
    Balasan
    1. Insya-Allah.. lambat laun akn tahu jg.. cuma blh tahu dlm versi cetak ajelah nti.. tq k.mid sudi baca n follow STM. :)

      Padam