Jumaat, 21 September 2012

Suara Cinta - Bab 6

BAB 6

NUR EDLEEN mundar-mandir di dalam bilik pejabatnya. Tidak senang duduk di waktu ini. Selama seminggu dia memikirkan masalahnya. Pelbagai jalan penyelesaian di utarakan, namun satu pun tidak mendatangkan hasil. Bagaimana untuk menyelesaikan masalahnya itu? Buntu. Buntu dia memikirkannya. Tanpa membuang masa, interkom ditekan. Menanti panggilan dijawab.
“Ha.. apasal?” tanya Ezzura di hujung talian.
“Zura, kau masuk bilik aku sekejap, boleh tak?” pinta Nur Edleen.
“Kenapa?”
Please!”
“Sepuluh minit lagi aku sampai.”
Thanks!” ucap Nur Edleen dan mematikan talian. Duduk dilabuhkan dan menanti kedatangan Ezzura. Jam di dinding dikerling buat seketika. Masa sudah pun merangkak ke angka sebelas pagi. Nafas berat dihela sambil bersandar ke kerusi. Otaknya masih bekerja keras, memikirkan jalan penyelesaian akan masalahnya itu.
Ketukan di pintu mengejutkan Nur Edleen. Tersembul wajah Karmila di sebalik pintu bilik. Senyuman dihadiahkan buat setiausaha Encik Edzuary Safuan itu.
“Maaf Cik Leen, Encik Edzuary panggil Cik Leen ke biliknya,” beritahu Karmila sambil menapak masuk ke dalam bilik. Senyuman mesra terukir di wajah.
“Encik Edzuary?” ulang Nur Edleen, berkerut.
Karmila mengangguk.
“Kenapa?”
“Tak pasti pula saya Cik Leen. Katanya ada perkara penting yang nak dibincangkan dengan Cik Leen.”
“Oh, baiklah! Terima kasih!” ucap Nur Edleen.
“Kalau macam tu, saya minta diri dulu. Lagi satu, Encik Edzuary pesan, suruh bawa pen dan kertas sekali,” beritahu Karmila lagi.
“Pen dan kertas? Untuk apa?” tanya Nur Edleen, kehairanan.
Karmila menjungkitkan bahu. Tanpa menunggu, segera dia beredar dari situ. Membiarkan Nur Edleen terpinga-pinga mencari jawapan daripada persoalan yang diciptakan oleh Nur Edleen sendiri. Dalam pada itu, dia gembira melihat perubahan Edzuary. Ternyata kehadiran Nur Edleen sedikit sebanyak telah mengubah Edzuary. Jika dulu hanya riak serius yang dilihat Karmila di wajah Edzuary, tetapi tidak pada ketika ini. Edzuary sudah pandai melemparkan senyuman kepada pekerja-pekerja bawahannya. Malah seakan secocok dan serasi Edzuary dan Nur Edleen, Karmila rasakan. Semoga perubahan Edzuary akan kekal buat selama-lamanya.
Nur Edleen tidak keruan. Hatinya tertanya-tanya akan tujuan Edzuary memanggilnya ke bilik. Adakah disebabkan kes seminggu yang lepas maka dia dipanggil oleh Edzuary? Jika difikirkan, sudah berkali-kali Nur Edleen meminta maaf pada Edzuary, tetapi lelaki itu tidak mahu memaafkannya.
“Ha.. apa kes?” tanya Ezzura, tiba-tiba.
“Oi mak kau terlanggar batu,” latah Nur Edleen.
Ezzura tertawa besar. Geli hati mendengar latah Nur Edleen. Pantang ditegur tiba-tiba, pasti Nur Edleen akan melatah. Dia menggeleng kecil memikirkannya.
“Kau ni Zura, janganlah sergah aku tiba-tiba. Mana aku tak terkejut,” geram Nur Edleen, seraya mengurut dada.
“Ala, kau tu kalau tak sergah pun tetap melatah juga. Kau kena bawa berubat penyakit latah kau tu Leen. Takut makin teruk jadinya nanti,” nasihat Ezzura, seraya duduk.
“Yalah, aku tahu. Kau buat apa kat sini? Ada hal apa?” tanya Nur Edleen turut sama duduk. Matanya menatap wajah Ezzura.
“Bukan ke kau yang panggil aku ke sini?” tanya Ezzura, berkerut.
“Eh.. lupa pulak. Memang aku yang panggil kau ke sini. Tapi, lain kali la aku tanya sebab aku kena ke bilik bos besar sekejap. Dia panggil aku ke sana. Tak pasal-pasal mengamuk pulak dia nanti sebab aku lambat jumpa dia. Dahlah kes lepas tak settle lagi. Mengalahkan perempuan ajelah dia tu. Sikit-sikit nak merajuk. Sikit-sikit nak merajuk. Mengada-ngada!” luah Nur Edleen panjang lebar. Mukanya dicebikkan tatkala memikirkan rajuk Edzuary.
Tertawa Ezzura mendengarnya. Dia menggelengkan kepala melihat cebikan Nur Edleen. Ternyata, Nur Edleen tidak berjaya memujuk Edzuary. Pertama kali melihat Nur Edleen kalah.
“Kau dah kalah nampaknya Leen.” Terluah juga ayat itu dari mulut Ezzura.
“Kalah? Maksud kau?” tanya Nur Edleen, kurang mengerti.
Ezzura bangun dari duduk. Matanya menjamah wajah Nur Edleen. Ada riak bahagia di situ. Adakah kerana Edzuary, maka Nur Edleen beriak sebegitu?
“Kalah dengan Edzuary. Kau kalah sebab tak dapat pujuk dia. Sebelum ini, mana pernah kau kalah dengan lawan kau sendiri,” beritahu Ezzura dan menapak keluar dari bilik.
Nur Edleen mengerutkan dahi. Kurang mengerti kata-kata Ezzura. Dikerahkan otaknya dan cuba merencanakan dengan apa yang diperkatakan oleh Ezzura. Seminit kemudian, barulah dia mengerti akan maksud kata-kata Ezzura itu.
“Aku belum…” Belum sempat dia menyudahkan ayat, kelibat Ezzura sudah pun hilang di sebalik pintu bilik. Dia mengeluh ringan. Tanpa memikirkan apa-apa lagi, dicapai sebatang pen dan beberapa helai kertas dan menapak keluar dari bilik menuju ke bilik Edzuary. Jauh di sudut hati, dia berdoa agar kemaafannya diterima oleh Edzuary.


“SAYA nak awak siapkan laporan ni dan serahkan pada saya secepat yang mungkin,” arah Edzuary bernada serius, seraya menyerahkan fail kepada Encik Jamal.
“Baiklah Encik Ary. Saya akan cuba siapkan laporan ni seperti yang encik minta,” balas Encik Jamal, seraya bangun.
“Terima kasih. Jangan lupa arrange kan untuk saya jamuan makan malam dengan pelabur kita hujung minggu ni. Saya tak nak perkara yang tidak diingini berlaku seperti sebelum ini. Saya nak semuanya berjalan dengan lancar,” kata Edzuary bernada arahan.
“Insya-Allah Encik Ary,” sahut Encik Jamal dan beredar dari ruangan itu.
Edzuary hanya mengangguk. Matanya menghantar pemergian Encik Jamal sehingga hilang di sebalik pintu bilik. Nafas ditarik dan dilepaskan lembut. Badan disandarkan sambil memejamkan mata. Terasa penat otaknya berfikir dan minta direhatkan.
“Assalamualaikum,” ucap Nur Edleen membuatkan Edzuary terkejut. Segera dibukakan mata dan wajah Nur Edleen menyapa mata. Kemudian, dipejamkan matanya semula. Membiarkan Nur Edleen di hadapannya itu.
“Hai Encik Edzuary,” tegur Nur Edleen pula. Hisy, dia ni. Orang bagi salam, tak berjawab. Boleh pulak buat muka seposen. Yang dok pejamkan mata tu, kenapa? Tak cun ke aku hari ni. Aku rasa dah tip top pakaian aku hari ni, bisik Nur Edleen di dalam hati. Dihampiri cermin yang berada di dalam bilik Edzuary dan memerhatikan penampilan dirinya di sebalik cermin itu.
“Hurm, dah lawa dah ni. Apa yang tak kenanya sampai dia tak nak tengok muka aku. Hisy, sakit otak aku fikirkan pasal dia tu,” gerutu Nur Edleen sendirian.
Edzuary yang terdengar suara halus dari arah Nur Edleen segera membukakan mata. Tersentak dia melihat Nur Edleen yang sedang membelek diri sendiri di hadapan cermin. Lucu pula dirasakan Edzuary melihatnya.
“Ehem.. ehem…” Dehem Edzuary mematikan tingkah Nur Edleen. Segera Nur Edleen menoleh dan terkejut melihat Edzuary yang sedang memandang tepat ke arahnya. Serta-merta dia merasa malu di hadapan Edzuary. Dia menundukkan muka dan tidak mahu berpandangan dengan Edzuary.
“Awak ingat bilik saya ni bilik persalinan pakaian ke?” sindir Edzuary, keras. Dia membetulkan kedudukan dan memandang tepat ke wajah menunduk Nur Edleen. Pasti, Nur Edleen berasa malu dengan tingkahnya sebentar tadi.
“Awak buat apa kat sini?” tanya Edzuary pula.
Terangkat muka Nur Edleen mendengarkan pertanyaan Edzuary itu. Bukan ke dia yang suruh aku ke mari? Boleh pulak dia tanya lagi, gerutunya.
“Awak ingat muka awak tu cantik sangat ke sampai nak tayangnya pada saya. Kalau tak ada hal, boleh tak awak keluar dari bilik saya ni. Sakit mata saya melihat awak kat sini,” kata Edzuary, selamba.
Berkerut dahi Nur Edleen mendengarnya. Apa maksud Edzuary berkata begitu? Bukankah dia dipanggil ke sini dan kenapa dia dihalau pula? “Bukan ke encik yang panggil saya ke mari?”
“Bila masa pula saya panggil awak?” tanya Edzuary tidak berpuas hati.
“Karmila!” sebut Nur Edleen.
Edzuary tertawa mendengarnya. “Mesti Karmila salah dengar nama. Saya minta Karmila tolong panggilkan Azreen dan bukannya Nur Edleen. Kan jauh bunyinya tu,” jelasnya, terang dan nyata.
Nur Edleen menghela nafas ringan. Sakit hatinya mendengar penjelasan Edzuary. Sudahlah dia dikritik hebat oleh Edzuary, kini dia dipermain-mainkan oleh Edzuary pula. Jika diikutkan hati, mahu sahaja dia menampar Edzuary. Namun, disabarkan hati agar tidak berbuat begitu kerana Edzuary ketua dan dia perlu menghormati ketua walau bagaimana benci sekali pun Edzuary terhadapnya.
Okey, fine! Kau nak main-mainkan aku nampak. Aku ikut rentak kau. Kau belum kenal lagi siapa aku. Ini Nur Edleen Haji Marwan. Siapa pun tak boleh lawan dengan Nur Edleen, bisik hati Nur Edleen, geram.
“Baiklah, alang-alang saya dah ada dalam bilik encik ni, di kesempatan ini saya nak minta maaf pada encik disebabkan kes seminggu yang lepas. Saya harap encik dapat maafkan saya,” beritahu Nur Edleen, kesal.
Edzuary tertawa sinis. Kata-kata maaf yang keluar dari mulut Nur Edleen sukar untuk dipercayai. Nur Edleen bukan calang-calang orang yang boleh dipermain-mainkan. Dia perlu lebih berhati-hati terhadap Nur Edleen.
“Maaf? Kenapa awak perlu minta maaf dengan saya? Awak ada buat salah pada saya ke?” tanya Edzuary, pura-pura.
“Eh, tak ada. Mana ada saya buat salah dengan encik,” bidas Nur Edleen turut berpura-pura. Ikutkan ajelah rentak dia, bisiknya.
So?”
“Saya rasa ada yang tak kena dengan muka encik tu.”
Edzuary mengerutkan dahi. Kurang mengerti dengan kata-kata Nur Edleen. Apa yang tak kena dengan muka aku, bisik hatinya. Kejap… kejap… boleh percaya ke dengan kata-kata dia tu. Takut dia main-mainkan aku aje, kata akalnya berbisik.
Nur Edleen tersenyum. Pasti, Edzuary sedang leka memikirkan kata-katanya sebentar tadi. Kau belum tahu siapa aku lagi, bisik Nur Edleen nakal. Dengan perlahan dia mengeluarkan handphone miliknya dari kocek blazer yang dipakainya.
Klik!!
Tersentak Edzuary mendengar bunyi tersebut. Dihalakan matanya ke arah Nur Edleen yang sedang menyimpan handphone ke dalam kocek blazer yang dipakai gadis itu. Adakah Nur Edleen menangkap gambarnya sebentar tadi?
“Buat kenang-kenangan,” ujar Nur Edleen, selamba dan memasukkan semula handphone ke dalam kocek blazernya.
“Awak buat apa Nur Edleen?” tanya Edzuary pantas berdiri.
Nothing!” jawab Nur Edleen, selamba dan menapak jalan menuju ke muka pintu bilik.
Wait!” arah Edzuary.
Nur Edleen tidak menghiraukan arahan Edzuary. Selamba dia menapak keluar dari bilik itu. Namun, belum sempat tangannya memulas tombol pintu bilik, lengannya sudah ditarik Edzuary membuatkan dia terdorong ke belakang.
“Bagi handphone awak tu pada saya!” pinta Edzuary, keras.
“Tak nak!” balas Nur Edleen, seraya menolak tangan Edzuary dari memegang lengannya.
“Saya takkan benarkan awak keluar dari bilik saya ni selagi awak tak delete gambar saya tu dari handphone awak,” ugut Edzuary dan masih keras.
“Saya peduli apa. Lepaskan lengan saya!” ronta Nur Edleen tidak mahu mengalah.
No. I won’t let you go,” tegah Edzuary, keras.
Nur Edleen tidak menghiraukan tegahan Edzuary. Dia cuba melepaskan lengannya dari pegangan Edzuary, namun tidak berjaya. Ternyata kudratnya tidak mampu untuk melawan tenaga Edzuary.
“Okey… okey… stop! Saya dah penat!” arah Nur Edleen.
Edzuary turut sama menghentikan tingkah. Matanya memandang tepat ke dalam anak mata Nur Edleen. Seakan ada sesuatu yang terlindung di sebalik anak mata itu.
Nur Edleen membalas tatapan Edzuary. Sama seperti Edzuary. Seakan ada cerita yang terselindung di sebalik anak mata Edzuary.
“Bagi handphone awak tu pada saya,” arah Edzuary, keras seraya menghulurkan tangan ke arah Nur Edleen.
“Err….” Sambil menggaru-garu kepalanya yang bertudung. Dia tersengih melihat Edzuary. “Tu… tu… kat muka encik tu ada somethinglah.”
“Awak jangan nak tipu saya. Awak ni bukannya boleh dipercayai,” kata Edzuary.
“Saya tak tipulah encik. Mari sini, saya tunjukkan pada encik,” arah Nur Edleen, seraya menarik Edzuary menghampiri cermin. “Tu.. kan saya cakap ada something kat muka encik.”
Edzuary mengamati wajahnya di cermin. Benar apa yang diperkatakan oleh Nur Edleen. Dakwat pen melekat di pipinya. Bagaimana dakwat pen itu boleh berada di pipinya? Dijatuhkan matanya ke arah pen di atas meja. Ternyata, pen yang digunakannya tadi sedikit mengeluarkan dakwat. Tetapi, kenapa Encik Jamal tidak menegurnya sebentar tadi?
“Itulah, lain kali, sebelum nak guna pen, tengok dulu pen tu elok ke tidak. Ini tidak, pakai belasah aje. Tengok, kan dah melekat kat pipi tu,” bebel Nur Edleen, seraya mengeluarkan sehelai tisu dari kocek blazernya. Tisu yang sering dibawa kerana dia mengalami alahan aircond dan mudah selsema. “Saya tolong ya,” beritahunya sambil mengesat kesan dakwat di pipi Edzuary.
Edzuary hanya membiarkan sahaja tingkah Nur Edleen. Matanya menjamah wajah Nur Edleen. Terasa tenang tatkala melihat wajah itu. Dapat dirasakan sesuatu pada wajah itu juga. Sesuatu yang dirasakan kehilangan selama ini. Serta-merta perbualannya bersama dengan Aimanuddin pada minggu lepas bermain-main di minda.
“Kau dah jatuh cinta, kan?” tanya Aimanuddin dan mengangkat kening.
“Hisy, mana ada!” bidas Edzuary.
“Tengok muka kau pun aku dah tahu, Ary. Betul, kan, kau dah jatuh cinta dengan seseorang?” tanya Aimanuddin lagi.
Edzuary hanya membisu. Benarkah dia sudah jatuh cinta pada seseorang? Tapi, siapa?
“Encik!” panggil Nur Edleen.
Tersentak Edzuary dengan panggilan tersebut. Serta-merta, tangannya menghalang Nur Edleen daripada meneruskan tingkah. Kemudian, langkah diatur dan bersandar di meja kerja. Hatinya tidak tenteram ketika ini. Kenapa jantungnya berdegup dengan kencang?
“Saya keluar dulu,” pinta Nur Edleen dan menapak menghampiri pintu bilik. “Err, encik maafkan saya?”
“Maafkan?” ulang Edzuary, berkerut.
“Kes minggu lepas.”
Edzuary berfikir sejenak. Memang dia yang meminta Karmila memanggil Nur Edleen masuk ke dalam biliknya. Sengaja buat-buat tidak tahu di hadapan Nur Edleen sebentar tadi. Dia pun sudah merencanakan sesuatu untuk mengenakan Nur Edleen.
“Oh! Tentang itu,” sahut Edzuary dan berpeluk tubuh.
Nur Edleen mengangguk. Berdoa agar Edzuary memaafkan kesalahannya yang lepas. Rasa berdosa kerana mempermainkan Edzuary ketika itu.
So?” tanya Nur Edleen dan memandang tepat ke wajah Edzuary.
“Okey, tapi ada syaratnya,” balas Edzuary.
“Syarat?” ulang Nur Edleen.
Edzuary mengangguk. Segera dia melabuhkan duduk di kerusi dan membiarkan Nur Edleen tertanya-tanya akan syaratnya itu. Apa yang pasti, dia akan mengenakan Nur Edleen secukup-cukupnya.


“KENAPA mengeluh ni? Tak baik mengeluh Leen,” tegur Ezzura, seraya menghulurkan secawan milo panas kepada Nur Edleen.
Nur Edleen menghela nafas berat. Huluran Ezzura disambut, lalu menghirup perlahan milo panas tersebut. Kemudian, diletakkan di atas meja dan mengeluh untuk kesekian kalinya.
“Kenapa? Kau ada masalah ke?” tanya Ezzura, prihatin.
“Masalah? Manusia mana yang tidak pernah ada masalah. Semua manusia ada masalah tersendiri,” luah Nur Edleen.
“Memanglah semua manusia ada masalah. So, apa masalah kau sekarang ni?”
Nur Edleen mengeluarkan kertas dari kocek baju tidurnya. Seharian dia membawa kertas itu dan menatap kosong pada kertas tersebut. Sungguh, tidak menyangka begitu kejam Edzuary memperlakukannya sebegitu.
Ezzura mencapai kertas tersebut. Dibuka dan dibaca isi kandungan kertas tersebut. Membuntang matanya membaca bait-bait ayat di dalam kertas tersebut.

Syarat untuk memaafkan Nur Edleen Haji Marwan :

1.      Setiap hari wajib Cik Nur Edleen menunggu Encik Edzuary di lif dan  mengucapkan ‘Selamat Pagi’ kepada Encik Edzuary.
2.     Cik Nur Edleen wajib mengikut ke mana sahaja Encik Edzuary jika diminta berbuat begitu.
3.    Sebelum balik, Cik Nur Edleen perlu melaporkan diri kepada Encik Edzuary. Encik Edzuary punya hak untuk menahan atau membenarkan Cik Nur Edleen balik.
4.          Setiap hari Cik Nur Edleen perlu menyediakan secawan kopi buat  Encik Edzuary.
5.      Jika ada bantahan, Cik Nur Edleen boleh kemukakan sendiri kepada Encik Edzuary. Terpulang pada Encik Edzuary sendiri untuk menerima bantahan tersebut ataupun tidak.

Syarat yang paling utama, jangan cuba mempermainkan Encik Edzuary.

Edzuary Safuan Erizal Hanif

Terhambur ketawa Ezzura selepas membacanya. Dilipatkan semula kertas tersebut dan diserahkan kepada Nur Edleen. Wajah Nur Edleen ditatap kasih.
“Merepek!” ujar Nur Edleen dan mendengus kasar.
“Apa yang merepeknya?” tanya Ezzura, pura-pura.
“Syarat mengarut dia tu lah. Ada ke suruh aku buat semua tu. Gila apa. Macamlah aku ni tak ada kerja lain yang nak dibuatkan,” rungut Nur Edleen, keras.
Ezzura tertawa lagi. Ternyata, Nur Edleen tidak bersetuju dengan syarat yang dinyatakan oleh Edzuary.
“Tak kuasa aku nak ikut syarat dia tu. Aku tak heranlah kalau dia tak maafkan aku atas kes hari tu,” luah Nur Edleen, geram.
“Leen… Leen.. Kau sendiri yang cari pasal, so kau tanggunglah akibatnya,” beritahu Ezzura bernada sindiran.
“Tak guna punya kawan. Aku harapkan nasihat dari dia, dia boleh hentam aku balik,” bengang Nur Edleen.
“Okey.. sorry. So, kau nak buat apa sekarang ni?” tanya Ezzura, prihatin.
Nur Edleen mengeluh. Bingkas, dia bangun dan membuang pandang ke luar jendela. Angin malam menyapa tubuh. Begitu dingin dan damai dirasakan Nur Edleen ketika ini.
“Entahlah. Kalau ikutkan, dia yang menang. Kalau tak ikutkan, aku juga yang dapat susah,” keluh Nur Edleen, lemah.
So, apa susahnya. Kau ikutkan ajelah permintaan dia tu. Dalam masa yang sama, kau boleh kenakan dia juga,” cadang Ezzura dan tersenyum.
Nur Edleen menoleh. Ada benarnya cadangan Ezzura itu. Mungkin dengan cara itu dia dapat mengenakan Edzuary yang difikirkannya seorang yang berlagak bagus.
So?” tanya Ezzura ingingkan kepastian.
So.. so.. dari tadi tak habis-habis dengan perkataan ‘so’ kau tu. Dah macam Ah So kat kedai runcit sana tu dah aku rasanya,” balas Nur Edleen dan tertawa kecil.
Ezzura turut sama tertawa. Bingkas, dia bangun dari duduk dan menghampiri Nur Edleen. Bahu Nur Edleen disentuh lembut.
“Apa keputusan kau tentang permintaan abah?” tanya Ezzura sekadar ingin tahu.
Tersentak Nur Edleen dengan pertanyaan Ezzura. Dia hampir terlupa akan permintaan Haji Marwan seminggu yang lalu. Otaknya ligat memutarkan semula permintaan Haji Marwan.
“Apa keputusan kau?” ulang Ezzura.
“Aku tak ada keputusan lagi Zura. Aku belum bersedia lagi nak ke arah tu,” beritahu Nur Edleen, perlahan.
“Habis tu, kenapa kau tak berterus-terang aje pada abah yang kau belum bersedia lagi nak ke arah tu,”cadang Ezzura.
“Aku tak nak kecewakan hati abah dan ummi. Kau sendiri tahu kan apa yang terjadi pada aku dulu. Cukuplah masa tu aku susahkan hati mereka berdua dan aku tak nak susahkan hati mereka lagi,” luah Nur Edleen, serba salah.
Ezzura menarik nafas lembut. Matanya menatap wajah keliru Nur Edleen. Pasti Nur Edleen keliru dalam membuat keputusan. Ditelan mati emak, diluah mati bapak, Nur Edleen rasakan ketika ini.
“Apa kata kau kenal dulu dengan dia, then, baru kau buat keputusan,” cadang Ezzura.
“Nantilah Zura aku fikirkannya. Kepala aku ni tengah serabut dengan syarat mamat tu,” kata Nur Edleen berserta keluhan ringan.
Ezzura mengangguk. Tanpa membalas apa-apa, segera dia beredar dari situ. Membiarkan Nur Edleen memikirkan tentang permintaan Haji Marwan. Permintaan untuk menyatukan Nur Edleen dengan anak kawan baik Haji Marwan. Sanggupkah Nur Edleen menerima perancangan Haji Marwan itu? Apa yang bersarang di kepala Ezzura ketika ini, adakah Nur Edleen masih tidak boleh melupakan kisah lima tahun yang lepas?


14 ulasan:

  1. kak eliza jgn buat saya peninggg!! Kisah apa 5 thn lepas tu?? Suspen..

    BalasPadam
    Balasan
    1. erk, pening ke?? alahai, sorry la.. nti taulah kisah apa 5 thn tu.. sabar ya..

      Padam
  2. kesah 5 tahun lu tu yg excident tu ker..??? ermmmm

    sama2 nakal n ade agenda jer si ES ngan NE niee..

    BalasPadam
    Balasan
    1. a'ah, NE n ES.. sama2 nakal.. nti tau la kisah apa 5 thn tu..

      Padam
  3. kenapa ES pon ada kisah 5 thn lps ek...xcdent sama2 ker?

    BalasPadam
    Balasan
    1. yg tu, kena tggu bab2 seterusnya.. then, baru leh tahu kisah apa 5 thn lps tu..

      Padam
  4. saLam akk ros...

    apo2 pun sy tggu update n3 sterusnya...hhehe.....tq i love akk ros

    BalasPadam
  5. Anak kawan baik Hj Marwan tu mesti ES kan?

    ~nor..

    BalasPadam
  6. Hehehehe.... NE dan ES sma2 nakal la.... X sbar nk tau kisah 5thn lpas.... Kak Ros cpat2 entry next chapter ea...

    BalasPadam
    Balasan
    1. A'ah, sama2 nakal.. minggu dpn akak smbg, ok!! (^___^)

      Padam
  7. pergh..menarik dan tertarik ..akak rasa antara 2 pasangan ini..tanpa disedari mereka mungkin..sebelum ni..mereka pernah mengenali antara satu sama lain..propa ..akak je..dik.. tapi akak rasa mereka ini mmg serasi bersama..Adakah NE akan kenakan mamat poyo tu kaw kaw dan turn d table around..kenakan mamat tu..minah tu ..luaq alam nakalnya..mesti..seriously mamat tu menyesal giler..mengenakan syarat yg entah apa apa tu..kan..
    Rasa tak sabar nak tunggu E3 baru..

    BalasPadam
    Balasan
    1. pandai akak propa.. mana la taukan propa akak tu betul.. hehe.. ES n NE tu mmg nakal.. bab slps ni, taulah samada NE tu ikt syarat2 ES ke tdk.. atau NE kenakan ES balik.. hehehe..

      terima kasih jg coz sudi singgah n membaca SC.. (^___^)

      Padam