Rabu, 11 Mac 2015

My Dream Husband - Bab 8






“MAAF kalau saya mengganggu Encik Iqwan,” mulai Aqil bernada kesal.
It’s okey. Kebetulan saya ada meeting dekat dengan kawasan ni,” balas Iqwan, serius.
Aqil menarik nafas dan melepaskannya ringan. Wajah Iqwan ditatap mesra. Jelas riak tidak puas hati di wajah itu.
So, ada apa Encik Aqil nak berjumpa dengan saya?” tanya Iqwan tidak sabar.
“Mengenai adik saya,” jawab Aqil, cermat.
“Saya pun nak bercakap tentang adik Encik Aqil.”
Aqil berkerut dahi.  Apa yang dimaksudkan oleh Iqwan itu?
“Boleh tak tolong nasihatkan adik Encik Aqil tu supaya jangan ganggu saya lagi?”
“Maafkan adik saya. Dia….”
“Kenapa dia kata saya ni bakal suami dia?”
Aqil menghela nafas berat. Perlukah dia berterus-terang kepada Iqwan ketika ini?
“Tolong beritahu pada dia yang saya tak sukakan dia. Saya bukan bakal suami dia.” Tegas Iqwan bersuara. Berharap, Aqil faham akan kehendaknya itu.
“Maafkan saya. Dalam hal ni, adik saya tak bersalah. Tapi, saya yang bersalah.”
Iqwan memandang ke wajah Aqil. Apa yang dimaksudkan oleh Aqil itu?
“Sebenarnya, saya nak kenalkan Zafira dengan seseorang. Entah macam mana, saya terpaksa berbohong pada dia yang encik adalah lelaki yang ingin saya kenalkan,” jelas Aqil penuh cermat.
What?” Iqwan terkejut mendengarnya.
“Maafkan saya, Encik Iqwan. Saya terpaksa,” ujar Aqil, kesal.
“Encik Aqil tak boleh libatkan saya demi kepentingan sendiri,” geram Iqwan.
Sakit hatinya mendengar kenyataan yang keluar daripada mulut Aqil. Kenapa dia dijadikan mangsa dalam kes ini? Kenapa dia yang dipilih oleh Aqil? Rasa sesak nafas mengetahui perkara itu.
“Maafkan saya, Encik Iqwan. Saya tak berniat nak libatkan Encik Iqwan. Zafira sukakan Encik Iqwan. Saya tak sampai hati nak tengok dia kecewa buat kali yang kedua. Zafira satu-satunya adik yang saya ada. Saya takut kehilangannya,” luah Aqil, sebak.
“Semua tu tak ada kena-mengena dengan saya.”
Aqil menundukkan kepala. Takut untuk menatap wajah tegang Iqwan.
“Saya nak Encik Aqil perbetulkan keadaan. Encik Aqil berterus-terang pada dia. Beritahu dia yang saya bukan bakal suami dia,” beritahu Iqwan bernada amaran.
Aqil masih lagi menunduk.
“Terus-terang saya cakap, saya tak suka perangai adik Encik Aqil. Dahlah gedik, mengada-ngada dan merimaskan. Perempuan macam dia tu tak layak untuk saya,” jelas Iqwan bingkas bangun dari duduk.
Terangkat wajah Aqil tatkala mendengarnya. Tajam matanya ke wajah Iqwan. Sakit hatinya mendengar kutukan Iqwan sebentar tadi. Ikutkan hati, mahu sahaja dilayang sebiji penumbuk ke muka Iqwan ketika itu juga. Namun, disabarkan hati agar tidak berbuat begitu demi kepentingan dan kebahagiaan Zafira.
“Ini amaran daripada saya, Encik Aqil. Kalau dia ganggu saya lagi, saya tak teragak-agak tarik balik kontrak kerjasama antara syarikat kita nanti,” amaran Iqwan dan beredar dari situ.
Sesak nafasnya mendengar kenyataan yang keluar daripada mulut Aqil. Kenapa dia perlu menghadapi situasi sebegitu? Menyesal kerana bertemu dengan Zafira. Menyesal kerana bekerjasama dengan Cempaka Sdn Bhd.
“Huh! Tak pasal-pasal aku jadi mangsa,” rengus Iqwan, sendirian.


“KAU nak makan apa?” tanya Khairil.
Iqwan tidak membalas. Otaknya ligat berfikir. Entah apa yang sedang difikirkannya, dia sendiri tidak tahu. Adakah tentang pertemuannya dengan Aqil beberapa jam yang lepas?
“Wan, kau nak makan apa?” soal Khairil sedikit menekan.
“Haa.. apa dia Khai?” soal Iqwan pula.
“Apasal dengan kau ni? Kau ada masalah ke?”
“Masalah? Siapa?”
“Ya Allah!” ucap Khairil, menggeleng.
Buku menu diserahkan kepada pelayan. Setelah memberi pesanan, dihalakan mata ke wajah Iqwan. Memberi sepenuh perhatian kepada kawan baiknya itu.
“Kau dah order ke?” tanya Iqwan sedikit terpinga-pinga.
“Kau ni kenapa? Ada masalah lagi ke? Zafira?”
“Tak ada apa-apa la. Aku tengah fikirkan pasal meeting kita minggu hadapan tu.”
“Buat apa nak fikir? Kan semuanya dah settle.”
Iqwan hanya mendengar. Otaknya masih lagi dikerah berfikir.
“Terima kasih!” ucap Khairil sebaik sahaja pelayan meletakkan makanan.
Tanpa menunggu, dia segera menjamah nasi goreng ayam. Tidak diendahkan Iqwan yang sedang termenung di hadapannya itu.
“Aku nak bertunang!” ujar Iqwan, perlahan.
Tersedak Khairil mendengarnya. Dihalakan mata ke wajah Iqwan. Biar betul?
“Aku nak bertunang!” ulang Iqwan, serius.
“Kau biar betul?”
“Aku serius!”
“Tak ada angin, tiba-tiba nak bertunang. Dengan siapa?”
“Nur Zafira Sofea!”
Terkejut Khairil mendengarnya. Nasi yang berada di dalam mulut ditelan. Pantas, gelas minuman dicapai lalu meneguk rakus air dari dalamnya.
“Aku nak bertunang dengan dia. Aku nak minta tolong kau uruskan untuk aku,” jelas Iqwan seraya memandang ke wajah Khairil.
“Sekejap! Kau biar betul?”
“Betul dan aku tak main-main.”
“Macam mana kau…”
“Aku dah jatuh cinta dengan dia,” pintas Iqwan, laju. Pasti soalan itu yang hendak ditanya oleh Khairil.
Bulat mata Khairil mendengarnya. Biar betul Iqwan jatuh cinta dengan Zafira? Selama ini, hanya reaksi kurang senang yang terpamer di wajah Iqwan. Bagaimana Iqwan boleh jatuh cinta dengan Zafira dalam masa beberapa hari sahaja?
“Aku nak kau wakilkan aku meminang Zafira. Segala perbelanjaan aku tanggung,” kata Iqwan bernada arahan.
“Sekejap! Aku masih tak faham dengan kenyataan kau ni,” ujar Khairil, berkerut.
“Apa yang kau tak faham? Dah jelaskan apa yang aku cakap. Aku nak bertunang dengan Nur Zafira Sofea dan aku wakilkan kau pergi meminang dia,” jelas Iqwan bernada serius.
“Aku tak yakin kau sukakan dia. Mesti ada sebab. Cuba kau berterus-terang pada aku perkara yang sebenar?”
Iqwan tersenyum nipis. Wajah curiga Khairil ditatap.
“Aku suka kat dia. So, apa salahnya aku meminang dia. Lagipun, kau juga yang cakap, aku patut bangga sebab ada perempuan tergila-gilakan aku.”
“Memang betul apa yang kau cakapkan tu. Cuma aku nak tahu, niat kau tu ikhlas atau terpaksa? Jangan-jangan, kau ada niat lain tak?”
“Ikhlas la. Dahlah! Kau ni banyak bunyi pulak. Kau nak tolong aku ke tidak ni?”
Khairil menghela nafas ringan. Anggukan diberikan sebagai tanda jawapan kepada pertanyaan Iqwan. Jauh di sudut hati, dia berharap agar Iqwan benar-benar ikhlas dengan Zafira.


“CIK ZAFIRA!” tegur Sarimah dari arah muka pintu bilik.
Zafira mengangkat wajah. Dihalakan mata ke arah Sarimah di muka pintu bilik.
“Encik Aqil panggil cik ke bilik,” beritahu Sarimah, ramah.
“Encik Aqil?” tanya Zafira inginkan kepastian.
Sarimah sekadar mengangguk.
“Baiklah! Nanti saya datang,” balas Zafira, tersenyum.
Sarimah turut sama tersenyum. Dia beredar dari situ.
Zafira bingkas bangun dari duduk. Berkerut dahinya ketika ini. Kenapa Aqil ingin berjumpa dengannya? Kenapa Aqil tidak menelefon sahaja? Adakah sesuatu telah berlaku kepada syarikat? Perasaan risau menujah ke dalam hati.
“Kenapa along nak jumpa? Ada yang tak kena dengan draf tu ke?” soal Zafira kepada dirinya sendiri. Langkah dibawa menuju ke bilik Aqil.
Pintu bilik diketuk. Dia segera masuk ke dalam bilik sebaik sahaja arahan diterima.
“Duduk Fira!” arah Aqil, ramah.
Zafira melabuhkan duduk di kerusi. Matanya memandang tingkah laku Aqil yang sedang membaca draf yang dibuatnya itu. Berkerut dahi Aqil dilihatnya. Adakah drafnya tidak menepati kehendak Aqil?
“Along dah baca draf Fira. Ada beberapa part yang Fira kena betulkan. Dah betulkan nanti, pulang balik pada along,” beritahu Aqil seraya menutup fail.
“Along dah tandakan ke kat dalam draf tu?”
“Dah! Along dah buat note sekali.”
Zafira mengangguk faham. Senyuman terbias di bibir.
“Along ada perkara nak beritahu pada Fira.”
“Perkara apa? Kerja Fira tak memuaskan ke?”
“Tak. Pasal Iqwan!”
“Iqwan? Kenapa dengan dia?” tanya Zafira, berkerut.
Berdebar-debar dirasai ketika ini. Berita apa yang ingin dikhabarkan oleh Aqil itu?
“Minggu depan, Iqwan datang nak meminang Fira. Iqwan…”
“Meminang? Maksud along?” pintas Zafira, laju.
“Iqwan nak meminang Fira sekali gus bertunang. Lepas tiga bulan, Fira dan Iqwan bernikah,” beritahu Aqil, tenang.
Terkejut Zafira mendengarnya. Biar betul Iqwan ingin meminangnya? Kenapa dengan tiba-tiba sahaja Iqwan ingin bertunang dengannya?
“Fira setuju tak?” soal Aqil sambil memandang ke wajah Zafira.
“Along tipu Fira, kan?” soal Zafira pula. Masih tidak percaya.
“Along tak tipu. Memang Iqwan nak masuk meminang Fira.”
“Tapi, takkan dengan tiba-tiba saja? Dia pun bukannya sukakan Fira.”
“Perasaan tu akan datang dengan sendirinya. Yang pasti, dia ikhlas nak bertunang dengan Fira,” jelas Aqil. Cuba menghalau rasa curiga di hati Zafira.
Zafira membisu. Otaknya cuba merencana penjelasan Aqil.
“Fira setuju tak?” ulang Aqil pada pertanyaannya tadi.
“Along serius, kan? Tak main-mainkan Fira?”
“Tak! Along tak main-mainkan Fira. Iqwan memang nak bertunang dengan Fira,” jelas Aqil lagi. Wajah adiknya ditatap kasih.
Zafira berfikir sejenak. Seminit kemudian, dia bingkas bangun dari duduk.
“Fira balik bilik dulu,” pamit Zafira dan beredar dari situ.
“Fira tak jawab soalan along lagi. Setuju ke tidak?” tanya Aqil sebelum kelibat adiknya itu menghilang di sebalik pintu bilik.
Zafira sekadar tersenyum. Laju dibawa langkah menuju ke bilik. Jantungnya berdegup dengan kencang. Rasa terkejut mendengar berita itu. Kenapa dengan tiba-tiba Iqwan ingin bertunang dengannya? Adakah Iqwan sudah jatuh cinta dengannya?
Yes! Yes! Yes! Dia sukakan aku! Dia nak bertunang dengan aku!” girang Zafira setibanya di bilik. Senyuman ceria terbias di wajah.
“Ya Allah! Adakah aku sedang bermimpi?” soal Zafira seraya mencubit pipinya sendiri.
“Ouch!” rengek Zafira kemudian.
Ternyata dia bukan bermimpi ketika ini. Rasa riang di hati sebaik sahaja menyedarinya. Dia menari-nari kegembiraan. Hanya Allah sahaja yang tahu perasaannya itu.
Deringan telefon mematikan tingkah lakunya yang sedang menari. Dicapai telefon bimbit dari atas meja dan menatap nama di skrin. Encik suami! Bisik hati Zafira. Senyuman terbias di wajah.
“Nak jumpa?” soal Zafira sebaik sahaja salam bersambut.
“Kalau kau free la. Kalau tak free, lain kali saja,” balas Iqwan, tenang.
Freefree… saya free. Bila?” tanya Zafira, teruja.
“Nanti aku text kau,” kata Iqwan dan mematikan talian.
Zafira sedikit tersentak. Digaru kepalanya yang bertudung.
“Eee… tak sabarnya nak bertunang!” luah Zafira, tersenyum malu.


SO, macam mana?” tanya Izreen, berminat.
“Macam mana apa?”
“Kau kan pergi jumpa dengan dia siang tadi. So?”
So?”
“Ya Allah!” ucap Izreen sambil menepuk dahi. Dia melangkah masuk ke dalam bilik dan melabuhkan duduk di birai katil.
“Kau dah makan ke?” tanya Zafira, berbasa-basi.
“Dah!” jawab Izreen, sepatah.
Zafira mengangguk faham. Dibaringkan tubuh ke atas katil dan memandang ke arah siling bilik. Otaknya ligat memikirkan pertemuan dengan Iqwan beberapa jam yang lepas.
“Jadilah kau bertunang dengan dia?” mulai Izreen turut sama berbaring.
Zafira sekadar mengangguk. Senyuman terbias di wajah.
“Dia ikhlas ke?”
“Kenapa kau tanya?”
“Tak ada. Aku cuma curiga saja. Kenapa dengan tiba-tiba, dia nak bertunang dengan kau? Bukan ke dia tak sukakan kau?”
“Bila masa pulak dia tak sukakan aku?”
“Dari riak wajah dia pun aku dah boleh baca, Fira. Dia tak sukakan kau.”
“Along kata, perasaan itu boleh dipupuk kemudian. Aku percaya cakap along. Ada baiknya macam tu daripada bercinta dan akhirnya mengecewakan.”
Terkedu Izreen mendengarnya. Mengerti akan maksud kata-kata Zafira itu.
“Aku tahu, dia memang tak sukakan aku. Tapi, aku akan cuba buat dia sukakan aku.”
“Aku bukannya apa, Fira. Aku takut kau yang makan hati nanti. Tak guna kalau sebelah pihak saja yang berusaha sedangkan sebelah pihak lagi tidak.”
“Insya-Allah. Semuanya baik-baik sahaja. Kau doakan kebahagiaan aku. Doakan semoga suatu hari nanti dia terima aku,”
“Aku sentiasa mendoakan kebahagiaan kau, Fira.”
Zafira mengangguk dan tersenyum. Kata-kata Iqwan terngiang-ngiang di minda ketika ini. Walau apa pun yang bakal berlaku, dia akan tetap menghadapinya. Semoga dia tabah menghadapi dugaan hidup.



5 ulasan: