Jumaat, 20 Januari 2012

Gurauan Berkasih - Bab 4

BAB 4

Liyana menyusuri deretan kedai yang berada di kompleks membeli-belah itu. Matanya melilau melihat keadaan di dalam kompleks itu. Sesak dan penuh dengan umat manusia. Sudah menjadi kebiasaan pada hari minggu sebegini, ramai yang akan menghabiskan masa mereka di situ. Sesekali dia mencemburui keluarga yang berjalan bersama-sama berpimpinan tangan antara satu sama lain. Sejak dari kecil, dia tidak merasa akan keadaan itu. Setiap kali dia ingin berpimpinan tangan dengan Dato’ Zulkifli, dengan pantas Dato’ Zulkifli menolak. Mungkin ketika itu dia terlalu kecil dan tidak memahami akan maksud tindakan Dato’ Zulkifli. Tetapi, setelah meningkat dewasa, barulah dia faham akan maksud perbuatan itu. Dan semakin lama semakin dia mengerti akan kedudukan dirinya di hati Dato’ Zulkifli.
Liyana masih lagi melangkah. Mencari-cari iklan jawatan kosong. Setelah berfikir semasak-masaknya, dia perlu mencari pekerjaan lain sekadar mengisi masa lapang yang terluang. Daripada duduk tidak berbuat apa, ada baiknya dia mencari kerja tambahan. Dia malu dengan Fazura. Terlalu banyak Fazura membantu dan dia tidak mahu terhutang budi dengan Fazura lagi. Sudahlah diberi menumpang di rumah Fazura tanpa membayar sewa, kini makan dan minumnya pula ditanggung oleh Fazura. Terasa dirinya banyak menyusahkan Fazura selama ini. Terasa segan menyambut bantuan Fazura walaupun Fazura tidak pernah berkira dan mengungkit semua itu.
Liyana memberhentikan langkah di hadapan sebuah butik. Matanya tertancap ke sebuah iklan yang menawarkan pekerjaan sebagai pembantu butik. Tanpa membuang masa, dia segera masuk ke dalam butik tersebut. Setelah memberitahu akan tujuan dan ditemuduga, akhirnya dia diterima bekerja di situ dan memulakan tugas pada hari ini. Waktu bekerja sudah pun ditetapkan. Isnin hingga Jumaat, dia perlu bekerja dari pukul tujuh hingga ke sepuluh malam. Manakala Sabtu dan Ahad, dia diminta datang bekerja dari pukul sepuluh pagi hingga ke sepuluh malam. Gajinya pula dibayar pada setiap minggu. Syukurnya di dalam hati kerana memperolehi pekerjaan tersebut. Dapatlah Liyana membantu Fazura serba sedikit dalam kos belanja di rumah mereka, malah dia juga dapat menimba pengalaman di butik tersebut.
“Terima kasih sebab terima Lia bekerja kat sini,” ucap Liyana berserta senyuman di bibir. Syukur pada ALLAH kerana memberi rezeki dan menemukannya dengan seorang perempuan yang baik hati dan jujur.
“Sama-sama Lia. Kebetulan akak pun perlukan pembantu, jadi kiranya rezeki Lia lah ni,” jawab Marina dan membalas senyuman Liyana.
“Lia janji akan kerja elok-elok Kak Ina. Sila beri tunjuk ajar pada Lia,”
“Insya-ALLAH Lia. Tapi, kerja kat sini kena banyak bersabar Lia,”
“Kenapa Kak Ina?” tanya Liyana ingin tahu. Berkerut-kerut dahinya memandang Marina.
“Kebanyakkan pelanggan akak terdiri daripada golongan berada. Datin-datin, Dato’-Dato’, Puan Sri-Puan Sri dan lain-lain lagi. Mereka ni kadang-kala cerewet dan ikut suka hati mereka aje. Tapi, Lia jangan risau, bukan ke semuanya begitu. Ada juga yang baik dan memahami kerja kita ni, terutama Puan Sri Marissa. Kalau Lia jumpa dengan Puan Sri Marissa, pasti Lia akan sukakannya,” jelas Marina panjang lebar. Dia mencapai baju yang sudah digosok dan digantung di tempat yang telah disediakan.
Liyana sekadar memerhati sahaja. Hari pertama bekerja, Marina hanya memintanya melihat cara-cara pakaian digosok dan digantung.
“Puan Sri Marissa?” ulang Liyana. “Pasti cantik orangnya macam namanya juga,” sambung Liyana. Mesti kaya, desisnya.
“Betullah tu. Orangnya memang cantik dan bergaya. Walaupun usianya sudah menjangkau lima puluhan, tapi gayanya mengalahkan orang dua puluhan sahaja,” puji Marina pula.
“Teruja pulak Lia nak jumpa dia Kak Ina. Manalah tahu boleh buat kawan. Kalau dia ada anak bujang, lagi bagus. Bolehlah Lia mengorat anaknya sekali,” balas Liyana dalam nada usikan. Matanya masih lagi memerhati tingkah Marina.
“Memang dia ada anak bujang Lia. Akak pernahlah jumpa dia sekali dua. Masa tu dia datang dengan girlfriendnya ambil baju kat sini. Cantik girlfriendnya Lia,” kagum Marina. Dia mengimbau semula pertemuannya dengan Amirul dan Shasha tidak lama dulu.
“Alamak!! Melepaslah Lia nak tacklenya. Manalah tahukan boleh jadi isteri anak orang kaya. Tak perlulah Lia bersusah payah bekerja macam ni,” keluh Liyana seakan-akan kecewa. Namun jauh di sudut hati, tidak mungkin dia akan menjadi orang ketiga. Meruntuhkan masjid orang ataupun kebahagiaan kaum sejenisnya.
“Baru girlfriend Lia. Belum kahwin lagi pun. Lia masih ada peluang untuk tacklenya,” usik Marina dan menapak menuju ke meja cashier.
“Lia bukan orang macam tu Kak Ina,” ujar Liyana perlahan.
“Insya-ALLAH Lia. Kalau ada jodoh, Lia akan jumpa dengannya. Kalau dia datang sini, akak kenalkan Lia dengan dia ya,” balas Marina sambil menukar duit dari dalam cash register.
Liyana tersenyum pahit. Tidak mungkin dia akan bertemu dengan lelaki itu. Jika berjumpa pun, mungkin sudah ditakdirkan oleh ALLAH untuknya. Dan bila keadaan itu berlaku, dia sendiri yang akan melarikan diri dari situasi itu. Sungguh dia belum pernah terfikir untuk ke arah itu. Hidupnya perlu diuruskan terlebih dahulu. Dia perlu membahagiakan dirinya sendiri sebelum membahagiakan orang lain.
“Yang dok termenung lagi tu kenapa?” tegur Marina mematikan lamunan Liyana.
“Erk… Lia suka termenung Kak Ina. Kadang-kadang apa yang Lia menungkan tu, menjadi kenyataan tau,” beritahu Liyana berserta ketawa kecil. Sekadar menceriakan suasana mereka berdua.
“Yalah tu. Ada-ada ajelah kamu ni Lia,” kata Marina dan tergeleng kecil. “Buat permulaaan ni, Lia tolong hantarkan baju tu kat alamat ni,” arah Marina sambil memuncungkan bibir ke arah sehelai baju yang terletak di atas sofa. Dia menghulurkan sekeping kad kepada Liyana.
Yes boss!! Saya yang menurut perintah!” kata Liyana sambil meletakkan tangannya di dahi. Seperti orang memberi tabik hormat pada ketuanya. Kad yang dipegang sudah pun bertukar tangan.
Liyana mencapai baju yang terletak di atas sofa. Diamati dan dibelek-belek baju tersebut. Rasa kagum melihatnya. Terasa ingin mencubanya pula.
“Kak Ina, cantiklah baju ni,” puji Liyana sambil mengenakan baju itu ke badannya. Diamati dirinya di hadapan cermin. Boleh tahan!!
Marina sekadar menjadi pemerhati. Gelagat Liyana mencuit hati. Baru beberapa jam dia mengenali Liyana, seakan-akan sudah terlalu lama dia mengenali gadis itu. Keramahan Liyana berjaya memikat hatinya. Entah mengapa dia dapat merasakan keserasian dengan Liyana. Berbanding dengan pekerja-pekerjanya yang dulu. Terlalu up-to-date sehingga menyusahkan dirinya juga.
“Kak Ina… nanti kalau Lia kahwin, akak sponsor baju nikah tuk Lia boleh?” tanya Liyana mematikan lamunan Marina.
“Apa dia Lia?” soalnya.
“Akak mengelamun ya? Tadi kata Lia mengelamun, sekarang akak pulak yang mengelamun,” usik Liyana sambil mengangkat keningnya sendiri.
“Dah… dah… pergi hantarkan baju tu ke tempat asalnya,” ujar Marina tegas. Malu apabila Liyana dapat mengesan keadaannya tadi.
“Yalah… yalah… Lia pergi hantar sekarang,” balas Liyana dan menapak keluar dari kedai. “Apa yang dilamunkan lagi tu. Pergi buat kerja Kak Ina!” sambung Liyana dalam nada usikan. Seminit kemudian dia tersengih dan ketawa melihatkan gelagat bosnya itu.
Marina menjeling manja ke arah Liyana. Geram pula dia mendengar usikan Liyana itu. Namun dia senang dengan karektor Liyana yang happy go lucky. Seperti Liyana tidak punya apa-apa masalah. Sentiasa ceria dan gembira walaupun baru pertama kali berjumpa. Semoga Liyana bahagia dengan hidupnya sekarang, doa Marina buat Liyana.


 “Kau ni tak boleh haraplah. Dah lama aku tunggu, kau tahu tak?” marah Amirul sambil bercekak pinggang. Panas hatinya apabila Harris membatalkan temu janji mereka. Jika dia tahu lebih awal, sudah lama dia memanjakan dirinya di rumah sahaja.
Sorrylah Rul. Aku ada hal yang tak boleh nak dielakkan. Kau ajaklah siapa-siapa temankan kau,” ujar Harris kesal. Rasa bersalah menyerbu diri.
“Yalah… nak buat macam manakan,” keluh Amirul. “Tapi, lain kali kau bagitaulah aku awal-awal. Tak adalah aku tercongok macam kerang busuk kat sini,” geram Amirul. “Baik aku tidur aje kat rumah tadi,” bebelnya pula.
Harris melepaskan ketawa. Geli hati mendengar bebelan Amirul. Belum pernah lagi dia mendengar bebelan Amirul. Bukan niatnya untuk memungkiri janji. Disebabkan permintaan papanya supaya dia turut sama pulang ke kampung, nak tak nak, dia terpaksa akur. Mungkin ada perkara penting yang ingin disampaikan oleh papanya.
“Aku minta maaf Rul. Pandai-pandai kaulah bawa diri ya. Manalah taukan kau berjumpa dengan seseorang yang boleh menceriakan hati kau yang sedang berduka lara tu,” usik Harris berserta sisa ketawanya.
Amirul mencebik. Mana mungkin dia akan berjumpa dengan orang yang diperkatakan oleh Harris itu. Ada baiknya dia pulang saja ke rumah daripada berpeleseran tanpa arah tujuan. Lagipun dia bukanlah orang seperti itu. Hanya dengan Shasha dan Harris sahaja dia akan berbuat begitu.
“Harap-harap mulut kau masin Ris,” balas Amirul sambil membuang pandang ke arah Butik Idaman yang terletak tidak jauh dari tempat dia berada.
“Mulut aku memang masinlah Rul. Kan hari-hari aku makan masakan yang bergaram,” gurau Harris dan tertawa. Geli hati dengan ayatnya itu.
“Ha… betullah. Mulut kau memang masin. Aku dah jumpa dengan orang yang akan menggembirakan aku,” balas Amirul seraya tertawa. Matanya tertancap ke arah sesusuk tubuh yang baru keluar dari Butik Idaman.
“Siapa?” tanya Harris ingin tahu.
“Nanti aku ceritakan pada kau. Aku chaw dulu. Kirim salam aku pada Pak Ngah,” ujar Amirul dan mematikan talian telefon. Dia menghayun langkah menuju ke arah susuk tubuh itu.
Ha… kali ni kau takkan terlepas dari aku perempuan. Aku akan kerjakan kau secukup-cukupnya. Dendam aku belum terbalas lagi ni, monolog Amirul dan tersenyum nakal. Akal jahat sedang menguasai fikirannya ketika ini.
“Hai!!” tegur Amirul sebaik sahaja berada di belakang Liyana.
Liyana menoleh. Berderau darahnya melihat susuk tubuh yang sedang berdiri di hadapannya itu. Bulat matanya memandang Amirul. Alamak!! Bala ni!! bisiknya.
“Eh… hai!!” balas Liyana cuba mengawal rasa terkejutnya. “Macam kenallah? Tapi, di mana ya?” tanya Liyana pura-pura. Dia menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal dan tersengih.
Soalan bodoh apa yang aku tanyakan ni. Sah-sahlah aku kenal dia, gerutu Liyana sendirian. Dia memperkemaskan langkahnya. Mencari akal untuk melarikan diri dari situ. Kalau aku cuba lari, mesti boleh ni, bisiknya lagi. Matanya melilau melihat keadaan sekeliling.
“Buat-buat hilang ingatan pulak ya. Kali ni awak tak boleh lari dari saya lagi,” balas Amirul sinis. Dia dapat membaca gerak tubuh Liyana. Seraya itu dia menghalang laluan Liyana dengan kakinya.
Hisy… macam tau-tau aje aku nak cabut. Tu yang siap halang aku awal-awal lagi, gerutu Liyana sendiri dan tersenyum pahit. Bertambah laju Liyana menggaru kepalanya yang tidak gatal itu. Bagaimana untuk melepaskan diri jika lelaki itu menghalang tubuhnya dari bergerak. Dia tersepit di antara dinding dan lelaki itu. Baju yang dipegang digenggam erat. Khuatir akan mengalami kerosakan pada baju itu. Mampus aku kena gantinya nanti!
“Eh… mana ada saya lari. Kan saya tengah merangkak ni!” sindir Liyana perlahan. Otaknya masih ligat memikirkan cara untuk melepaskan diri dari lelaki itu.
Membulat mata Amirul mendengarnya. Dia ni main sindir-sindir aku nampak, gerutu Amirul.
“Encik… boleh tak tolong alihkan kaki tu,” ujar Liyana dan memuncungkan mulut ke arah kaki Amirul. Senyuman nakal terukir di bibir.
“Suka hati sayalah, kaki saya,” balas Amirul tegas. Kakinya masih lagi menghalang laluan Liyana.
Kedudukan tubuhnya yang berhampiran tubuh gadis itu membuatkan gadis itu sukar untuk melepaskan diri. Entah mengapa, terasa jantungnya berdegup kencang. Debaran di hati turut dirasakan.
Liyana mengeluh ringan. Matanya jatuh ke muka lelaki di hadapannya itu. Jika diikutkan hati, mahu sahaja dia menolak lelaki itu. Otaknya membayangkan keadaan itu. Sudah pasti lelaki itu akan jatuh tergolek-golek malah berguling-guling di atas lantai. Mungkin juga dia boleh menyepak kaki lelaki itu seperti yang dilakukannya sebelum ini. Liyana tersenyum sendiri tatkala memikirkannya.
“Yang awak senyum macam kerang busuk tu kenapa? Awak planning nak kenakan saya ke?” teka Amirul sambil terjegil mata kepada Liyana.
“Saya bayangkan kalau awak jatuh tergolek-golek dan terguling-guling kalau saya tolak awak nanti.” Laju sahaja Liyana menjawabnya. Jujur tanpa berselindung. Seketika kemudian, dia menekup mulutnya. Menyedari yang dirinya sudah terlepas cakap. Opss!! Mampus aku!!
Membuntang mata Amirul mendengarnya. Berani-beraninya gadis itu membayangkannya sebegitu rupa. Mahu sahaja dia menarik gadis itu dan membawanya ke gaung lalu dihumbankan ke dalam gaung tersebut. Baru puas hatinya.
Melihatkan Amirul sedang mengelamun, dengan pantas Liyana menolak kaki Amirul. Cuba untuk melepaskan diri. Namun belum pun sempat dia berlalu pergi, lengannya pula ditarik oleh Amirul. Hisy… ni yang aku hangin ni. Main tarik-tariklah pulak. Kang kena sebijik baru tau, gerutu Liyana.
“Nak ke mana?” tanya Amirul keras. Kealpaannya tadi membuatkan dia hampir melepaskan gadis itu pergi. Matanya tepat ke muka Liyana.
“Erk… nak pergi makan. Eh… nak pergi butik. Bukan… bukan… saya nak hantar baju ni,” jawab Liyana tergagap-gagap. Terasa kelainan dari suaranya. Hatinya berdebar-debar. Jantungnya berdegup kencang tatkala pandangan Amirul jatuh ke mukanya.
“Oh!! Nak hantar baju,” ulang Amirul sinis. Dia memerhatikan baju yang sedang dipegang oleh Liyana itu. “Kalau saya rosakkan baju ni, tentu awak yang kena marah nantikan. Paling teruk pun awak kena gantikan baju ni balik. Betul tak?” sambung Amirul dan tersenyum nakal.
“Rosak?” jerit kecil Liyana.
Aduh! Matilah aku. Mana aku ada duit nak gantinya nanti. Aku pun tengah sengkek ni, risau Liyana. Berkerut dahi memikirkannya.
“Janganlah encik. Saya tak ada duit nak gantinya nanti. Kasihanilah saya encik. Saya orang susah. Kais pagi makan pagi, kais petang makan petang,” suara Liyana jujur cuba menagih simpati daripada Amirul. Sungguh itulah perasaannya ketika itu.
“Jangan nak tipu sayalah. Alasan awak ajekan sebab nak larikan diri dari saya lagi,” bidas Amirul pantas. Aku takkan tertipu lagi, bisiknya pula.
Liyana menepuk dahi. Bagaimana untuk menyakinkan lelaki itu dengan apa yang sedang dialaminya ketika ini. Jika bukan kerana desakan hidup, tidak mungkin dia akan bekerja di Butik Idaman dan memenatkan diri sendiri dengan pekerjaan itu.
“Betul encik. Saya memang orang susah. Saya datang sini untuk mencari rezeki yang halal. Kalau encik sekat rezeki saya, bagaimana saya nak makan. Tolonglah encik. Jangan rosakkan baju ni,” rayu Liyana berserta muka simpatinya. Jauh di sudut hati, dia mentertawakan Amirul. Aku pasti kau akan tertipu dengan lakonan aku ni, riang hatinya.
Amirul melepaskan pegangannya. Riak sedih yang ditunjukkan oleh Liyana, membuatkan hatinya turut sama sedih. Dia mudah tertewas jika melibatkan kesedihan ataupun air mata. Dan itulah kelemahannya yang sebenar. Sungguh dia benci akan kelemahan itu. Disebabkan kelemahan itulah, dirinya mudah diperbodoh-bodohkan oleh orang lain.
Melihatkan perubahan di wajah Amirul, Liyana yakin Amirul tertipu dengan lakonannya. Pandai sungguh dia berlakon. Agak-agaknya layak tak berlakon bersama Aaron Aziz dalam drama popular masa kini Nora Elena. Huh! Berangan sampai ke situ pulak aku ni, desis hatinya. Liyana yakin, inilah masa untuk melepaskan diri dari lelaki itu. Setelah mendapat akal, pantas dia menolak Amirul sehinggakan Amirul terdorong ke belakang. Dengan langkah seribu, Liyana berlari sepantas yang mungkin. Dan buat kali yang ketiga, dia berjaya melepaskan diri dari lelaki itu.
 “Hahaha….” ketawa Liyana dari jauh. “Hebat tak lakonan saya tadi tu,” sambung Liyana dan masih ketawa. Dia segera membawa dirinya jauh dari Amirul.
Amirul tersedar dirinya sudah ditipu oleh Liyana. Buat kali yang ketiga dia tertipu dengan wajah simpati Liyana. Terlalu bodoh kerana mempercayai lakonan Liyana sebentar tadi. Jika dia tahu Liyana akan menipunya lagi, sudah pasti dia akan merantai kaki dan tangan Liyana terlebih dahulu agar tidak terlepas lagi.


Liyana segera keluar dari tempat yang menjadi persinggahannya tadi. Baju yang diminta Marina hantarkan, selamat sampai di tangan pemiliknya. Mujurlah dia mendapat akal bijaknya untuk menipu lelaki itu. Jika tidak, mustahil dia dapat melepaskan diri lagi. Seolah-olah dirinya sudah dirantai oleh lelaki itu. Malang sungguh nasibnya hari ini. Sebuah keluhan berat terlepas juga dari bibirnya.
Liyana merehatkan diri di atas bangku yang berada di luar kompleks membeli-belah itu. Dia melepaskan lelahnya di situ. Sudah terlalu lama dia tidak berlari. Dan hari ini dia diuji dengan lariannya semula. Kalau masuk Sukan Olimpik, sudah pastilah dia orang terakhir yang sampai. Tak terlawan dia dengan orang-orang putih itu semua.
“Dia ingat aku ni siapa. Mudah-mudah ditipu. Sekarang siapa yang kena tipu, dia ke aku?” bisik Liyana sendirian sambil menyandar ke belakang. Dia berpeluk tubuh di situ. Senyuman kemenangan terukir di bibir.
“Kenyang menang ke?” sindir Amirul seraya melabuhkan duduk bersebelahan Liyana. Dia tersenyum sinis sambil meluruskan pandangan ke hadapan.
Meremang bulu tengkuk Liyana mendengar suara itu. Bingkas dia bangun dari duduknya untuk beredar. Namun tindakan Amirul lebih pantas dari tindakannya. Pegangan kemas tangan Amirul membuatkan dirinya terduduk semula di bangku itu. Macam mana nak lepas ni? keluh Liyana.
“Jangan cuba nak larikan diri lagi,” suara Amirul tegas. Dieratkan lagi genggamannya.
“Okey… okey… saya takkan larikan diri lagi. Apa yang awak nak dari saya?” balas Liyana mengaku kalah. Biarlah dia menang kali ini, desisnya. Matanya ditancapkan ke muka Amirul. Diamati dan diteliti wajah itu. Handsome juga mamat hingus ni, bisiknya pula.
Amirul yang menyedari wajahnya diamati oleh Liyana, sedaya upaya mengawal riak di wajah. Terasa malu pulak diperhatikan sebegitu rupa. Terasa debaran di dada. Jantungnya semakin berdegup dengan kencang. Hisy dia ni, yang pandang-pandang aku macam tu kenapa? Hilang macho aku nanti, gerutu Amirul sendirian.
“Awak ni memang kelakar la,” ujar Liyana. “Tengok muka awak tu, dah blushing,” sambungnya dan melepaskan ketawa. Geli hati melihat rona merah di muka lelaki itu.
Amirul menjeling tajam Liyana. Terasa sakit hatinya mendengar ketawa Liyana. Tidak dinafikan yang dia terasa malu apabila gadis itu melihatnya sebegitu sebentar tadi.
“Tapikan, macam mana awak boleh cari saya? Sayakan dah lari sejauh yang mungkin dari awak. Awak pakai tok nujum ke untuk cari saya ni?” soal Liyana dalam nada usikan sebaik sahaja ketawanya reda. Seminit kemudian, wajahnya diseriuskan semula.
“Awak jangan ingat saya tak dapat cari awak. Dalam ramai-ramai manusia yang ada kat sini, hanya awak saja yang berpakaian macam ni,” sindir Amirul selamba. Tangannya masih memegang tangan gadis itu. Dirasakan ada sesuatu perasaan lain sedang menjalar di dalam hatinya ketika itu. Apakah itu?
Liyana menggaru kepala. Pakaian? Apa yang dimaksudkan lelaki itu dengan pakaiannya? Dia mengamati pakaiannya seketika. T-shirt lengan panjang saiz XL berserta jean lusuh yang dikenakan ke badan bukanlah menjolokkan mata untuk seseorang itu memandangnya. Sudah gila agaknya lelaki ini sehinggakan dia tergoda dengan penampilannya itu.
“Takkan awak tergoda dengan penampilan saya kot?” terluah juga persoalan yang bersarang di kepalanya itu. Dia mengangkat kening memandang Amirul.
What??!!” jerit kecil Amirul. “Dengan penampilan awak yang mengalahkan Betty Suarez ni boleh buatkan saya tergoda. Pembantu rumah saya tu lagi bergaya dari awak la,” kutuk Amirul tidak berlapik tanpa memikirkan perasaan Liyana. “Gilalah saya kalau saya tergoda dengan awak,” tambahnya lagi.
Tak nak aku. Pakaian mengalahkan Betty Suarez dalam drama Ugly Betty aje aku tengoknya. Tapi Betty tu ada juga nampak susuk badannya. Tapi dia ni, langsung tak ada susuknya. Entah-entah berkudis kulitnya kot. Huh!! Minta dijauhkan, kutuk Amirul di dalam hati pula.
Gulppp!!!
Liyana menelan liur. Terasa kelat air liurnya itu. Sungguh dia terasa dengan kata-kata lelaki itu. Namun dikawal perasaan agar tidak dikesan oleh lelaki itu. Belum pernah dia dihina sebegitu rupa. Jika Dato’ Zulkifli yang menghina, masih lagi boleh diterima olehnya. Tetapi, jika orang lain yang menghina, terasa maruahnya dipijak-pijak sesuka hati tanpa belas kasihan.
“Eh… okey apa penampilan saya ni. Seteruk mana penampilan saya ni, masih ada yang nakkan saya tau” bidas Liyana tidak mahu mengalah.
“Saya pasti lelaki itu bodoh dan tak pandai nak menilainya,” balas Amirul turut sama tidak mahu mengalah. Dia menoleh ke sisi kanan dan memandang tepat ke muka Liyana. “Siapa ya lelaki malang tu,” ujar Amirul dan tertawa kecil. Seakan-akan mengejek kata-kata Liyana sebentar tadi.
Liyana menarik tangannya yang sedari tadi dipegang oleh Amirul. Pandangannya jatuh ke muka Amirul. Kata-kata Amirul menusuk terus ke tangkai hati. Akan disimpan kemas akan kata-kata sindiran itu. Dia juga akan pastikan kata-katanya tadi menjadi kenyataan. Nama Harris berlegar-legar di kotak fikiran. Mungkin dengan bantuan Harris, dia dapat membuktikan yang dia tidaklah seteruk mana yang difikirkan oleh lelaki itu.
“Insya-ALLAH, saya akan kenalkan dia dengan awak suatu hari nanti. Dan saya pasti awak akan menelan semula kata-kata awak tadi. Saya pasti awak akan gila kerana tergoda dengan saya dan saya akan buktikannya pada awak. Jika perkara itu berlaku….”
“Saya pasti perkara itu takkan berlaku,” pintas Amirul laju. Matanya menentang mata Liyana.
“Kita tunggu dan lihat sahaja. ALLAH Maha Mengetahui apa yang tersirat dan tersurat,” suara Liyana seraya bangun. “Terima kasih di atas penghinaan awak terhadap saya sebentar tadi. Saya akan simpannya kemas di dalam hati saya ini,” ucap Liyana sambil membawa tangannya ke dada.
Seminit kemudian dia meninggalkan Amirul di situ. Walaupun hatinya terasa dengan kata-kata Amirul, namun dia cuba menghalau perasaan itu untuk tidak memeningkan kepalanya sendiri. Cukuplah dengan masalah yang dihadapi dan jangan ditambah dengan masalah lain pula.
Tergamam Amirul seketika. Ekor matanya mengekori langkah Liyana hingga hilang dari pandangan mata. Hatinya puas kerana menyindir gadis itu. Tetapi, entah mengapa dia merasa bersalah kerana menghina dan mengutuk gadis itu. Ah!! Peduli apa aku dengan perasaannya. Kalau betullah apa yang dia katakan tu, buktikan pada aku. So, tak adalah aku beranggapan sebegitu lagi padanya. Tapi, bagaimana jika aku tergoda dengan dia suatu hari nanti? Tak… tak mungkin. Kenal pun tidak, macam mana nak tergoda. Asal usul dia pun aku tak tahu. Mustahil aku akan tergoda dengannya, monolog Amirul sendirian sambil menggeleng kecil. Tanpa memikirkan apa-apa lagi, bingkas dia bangun dan beredar dari situ. Dapat dirasakan waktu begitu panjang ketika bersama dengan gadis itu sebentar tadi.


“Kau kenapa ni?” tanya Fazura sambil menghulurkan secawan milo panas kepada Liyana.
Liyana menyambut dan menghirup perlahan milo tersebut. Kemudian itu, diletakkan cawan di atas meja selepas meneguknya. Keluhan kecil dilepaskan.
“Entahlah Zura. Terasa hati aku ni sakit tiba-tiba,” ujar Liyana perlahan.
“Sakit? Sakit kenapa? Ayah kau buat hal lagi ke?” tanya Fazura inginkan kepastian.
“Tak… bukan sebab ayah aku. Aku rasa banyak perkara yang tak betul daripada betulnya,” jawab Liyana seraya bangun. Dia menghampiri jendela dan berpeluk tubuh di situ.
“Apa yang tak betul daripada betulnya?” ulang Fazura turut sama bangun dan berdiri di sebelah Liyana. Mereka berdua sama-sama membuang pandang ke luar jendela.
“Kerja aku. Hidup aku. Cita-cita aku. Semuanya jadi tunggang langgang. Kerja aku sekarang ni bukanlah kerja impian aku. Hidup aku sekarang ni, bukanlah kehendak aku. Cita-cita aku untuk menjadi pereka fesyen, terkubur begitu sahaja,” jelas Liyana berserta keluhan di bibir.
“Lia… Lia… apa yang nak dikesahkan. Kaukan masih muda. Masih ada masa untuk memperbetulkan semua tu. Yang penting sekarang ni, kau cari pengalaman dulu. Kumpul duit dan harta. Lepas tu baru kau fikirkan apa yang kau nak buat. Lagipun sekarang ni kan kau buat part time kat Butik Idaman tu, sudah satu bonus buat kau untuk teruskan cita-cita kau tu,” nasihat Fazura ikhlas. Dia menyentuh lembut bahu Liyana dan cuba memberi semangat kepada Liyana.
“Betul jugak apa yang kau katakan tu Zura. Mujurlah aku sekarang buat part time kat butik tu, bolehlah aku belajar sikit-sikit tentang fesyen. Kak Ina pun sudi nak ajar aku tentang fesyen,” sokong Liyana dan mengangguk kecil.
“Aku pasti kau akan berjaya Lia. Rebut peluang yang ada dan jangan sia-siakan peluang itu,” nasihat Fazura ikhlas.
“Insya-ALLAH… aku pasti akan mencapai cita-cita aku tu. Kau tahu Zura, siang tadi aku ternampak family aku kat kompleks tu,” beritahu Liyana lemah. Dia melabuhkan duduk semula di atas sofa dan bersandar di situ. Televisyen di hadapan di pandang dengan pandangan kosong.
Fazura turut duduk bersebelahan Liyana. Dipandang kasih wajah Liyana. Kedukaan jelas terpancar di wajah itu. Sampai bila dia harus melihat riak seperti itu di wajah Liyana? Tidak adakah kebahagiaan buat kawan baiknya itu?
“Mereka nampak happy Zura. Walaupun tanpa aku, mereka masih tetap happy. Ayah aku sentiasa tersenyum di samping kakak aku, Laila. Ibu aku berbual bersama abang aku, Adif. Cukup lengkap keluarga itu Zura. Walaupun tanpa aku, mereka tetap nampak bahagia. Jika ada aku, pastinya tidak sebahagia begitu. Adakah aku ni pembawa malang pada keluarga aku Zura?” cerita Liyana sambil cuba menyeka air mata dari gugur. Senyuman pahit terukir di bibirnya.
“Lia… sabarlah. Insya-ALLAH suatu hari nanti ayah kau akan menerima kau sebagai anaknya,” suara Fazura seperti memujuk. Memujuk hati Liyana yang sudah lama terluka. Terluka disebabkan sikap Dato’ Zulkifli terhadap Liyana.
“Sampai bila Zura? Sampai bila aku harus menunggu untuk dia mengaku yang aku ni anaknya juga. Sehingga nafas terakhir aku, begitu? Hati aku dah lama terluka Zura. Kadang-kadang aku terfikir yang aku ni bukan anak kandungnya? Kadang-kadang aku terfikir yang aku ni cuma anak angkatnya? Kadang-kadang aku terfikir, kenapa dia terlalu membenci aku?” luah Liyana lagi. Dan kali ini dia tidak mampu untuk menahan air matanya sendiri.
“Sudahlah Lia. Kau lupakan itu semua. Anggaplah semua itu tidak pernah terjadi dalam hidup kau. Mungkin ada hikmahnya buat kau. ALLAH sedang menguji kau, Lia. Dan aku yakin, suatu masa nanti kau akan menemui kebahagiaan yang kau inginkan selama ini. Percaya pada ALLAH, Lia.” Fazura memberi nasihat. Nasihat yang dirasakan dapat memujuk hati Liyana yang terluka dek sikap keluarganya sendiri.
Seperti Liyana, dia juga pernah memikirkan persoalan yang sama. Kenapa Dato’ Zulkifli berbuat begitu terhadap Liyana dan bukannya Adif ataupun Laila? Mungkin ada sesuatu yang cuba dirahsiakan oleh Dato’ Zulkifli dan Datin Suraya daripada pengetahuan Liyana. Mungkin rahsia melibatkan Liyana. Rahsia asal usul Liyana yang sebenarnya.
“Eh… aku dengar syarikat nak adakan family day, betul ke?” tanya Liyana cuba mengusir perasaan sedihnya tadi. Kelihatan Fazura turut melayan perasaannya sendiri.
“Ha… apa dia?” tanya Fazura seakan baru tersedar dari lamunan.
“Kau ni… mengelamun pulak. Aku tanya, betul ke company nak adakan family day tak lama lagi,” ulang Liyana sedikit geram.
“A’ah, betullah tu. Minggu depankan kita ada meeting tentang tu,” balas Fazura. Dia mengetuk-ngetuk kepalanya sendiri. Cuba mengusir dari memikirkan nasib Liyana.
“Yang kau ni ketuk-ketuk macam burung belatuk tu kenapa? Dah sewel ke otak kau tu. Nak aku tolong ketukkan kasi betul balik ke?”
“Hisy kau ni. Suka hati aje nak ketuk kepala aku. Mahal tau kepala aku ni,”
“Oh mahal? Kalau setakat kepala bujur macam telur ayam ni, kau kata mahal. Aku rasa telur ayam kat pasaraya tu lagi mahallah!” ejek Liyana berserta ketawa kecil. Dia mencapai remote televisyen dan mencari-cari siaran yang sesuai untuk ditonton.
“Kau memang sengaja nak sakitkan hati aku kan Lia,” geram Fazura mendengarkan ketawa Liyana.
“Ala… la… la… manjanya dia. Aku main-main ajelah. Janganlah marah. Tak comellah kalau kau buat muka dua puluh empat macam tu,” pujuk Liyana lembut. Namun ketawanya masih lagi bersisa. Geli hati melihat wajah mencuka Fazura.
Fazura menarik muka masam. Sengaja untuk mempermainkan Liyana. Walaupun perkataan Liyana berbisa, tetapi dia menganggap perkara itu biasa sahaja. Sudah terlalu masak dengan perangai Liyana. Cara Liyana menghilangkan stress adalah dengan membuat lawak bodoh dan menyakitkan hatinya. Mungkin cara itu memberi kepuasan pada diri Liyana sendiri. Jika itu dapat membuat Liyana tersenyum, dia sanggup ditertawakan oleh Liyana. Dia tidak mahu melihat air mata Liyana mengalir lagi. Jika Liyana sedih, dia juga turut akan bersedih. Bagai isi dengan kuku di antara mereka berdua. Sejak dari zaman sekolah sehinggalah sedewasa ini, hanya dia tempat Liyana mengadu keluh kesahnya. Segala kisah Liyana, berada di dalam poketnya dan dia bangga menjadi sahabat baik Liyana.
“Aku dengar masa dinner nanti, ada pemilihan pasangan ideal dan serasi. Kau tak nak masuk ke?” cerita Fazura sedikit teruja. Rajuknya sebentar tadi dibuang jauh-jauh.
“Aku? Kau suruh aku masuk?” sedikit menjerit. “Gila apa kau ni. Kan perlu ada pasangan kalau nak masuknya. Aku mana ada pasangan. Lagipun aku bukannya cantik sangat pun. Kalau masuk, mesti kena gelak punyalah,” bidas Liyana sambil mencapai cawan milonya. Dihirup milo itu sehingga separuh.
“Ala… tak cantik konon. Ayat tak boleh blah betullah!” cebik Fazura dengan muka-mukanya sekali. Geli hati pula Liyana melihatnya. Terburai semula ketawanya.
“Ha… gelaklah. Esok-esok aku gelakkan kau. Tak pe, ada ubi ada batas, lain hari bolehku balas,” sambung Fazura turut sama tertawa.
“Kau masuk ke?” tanya Liyana sebaik sahaja ketawanya reda.
“Aku manalah ada orang yang nak. Lainlah kau, Encik Harris tu tunggu green light dari kau aje,”
“Alah… Harris tu. Takkanlah dia nak pilih aku sedangkan ramai lagi perempuan yang lebih cantik dari aku kat office tu,” tukas Liyana tegas. Harris? Gila apa. Bagai langit dengan bumi kalau aku berjalan dengan dia, getus hati Liyana.
“Tak secantik kau Lia. Kalau Encik Harris tu mata keranjang, dah lama dah anak-anak dara kat company tu dia balun. Tapi, dia tak macam tu kan. Dengan kau aje aku tengok dia terlebih mata keranjang. Macam nak terkeluar bijik mata dia menengok kau Lia,”
“Zura, bagai langit dengan bumi antara aku dan Harris. Siapalah aku untuk menjadi pilihan hatinya,” ujar Liyana jujur. Itulah yang dirasakan selama ini. Antara dia dan Harris tidak mungkin akan lebih dari seorang majikan dan pekerjanya.
Well… wait and see. Aku pasti dia dah jatuh cinta dengan kau,” bidas Fazura seraya bangun. Dia mencapai cawan minuman Liyana dan dibawanya ke dapur. Lalu dibersihkan cawan itu dan diletakkan di tempat pengering pinggan mangkuk.
“Aku masuk tidur dululah!” ujar Fazura dan menapak masuk ke dalam bilik.
Liyana sekadar mengangguk. Matanya masih belum mengantuk. Lantaran itu, dia memandang televisyen di hadapan dengan pandangan kosong. Dia memikirkan kata-kata Fazura sebentar tadi. Benarkah Harris sudah jatuh cinta dengannya? Kenapa hatinya tidak merasakan debaran tatkala memandang Harris? Berbeza dengan seterunya siang tadi. Hanya dengan renungan lelaki itu, cukup membuatkan jantungnya berdegup dengan kencang dan hatinya berdebar-debar. Sentuhan kasar lelaki itu membuatkan dirinya terasa bahagia dan selamat. Apakah semua itu?
Liyana akui kurang arif tentang cinta. Dia tidak tahu apa itu makna cinta yang sebenarnya. Maka disebabkan ceteknya pemikiran dia tentang cinta membuatkan dirinya diperbodoh-bodohkan dan dipermain-mainkan dahulu. Malah perubahannya sekarang bersangkut paut dengan pengalamannya yang lepas. Bagi Liyana, mungkin cinta itu indah, ataupun cinta itu derita. Bila melihat kawan-kawannya bercinta, bermacam-macam karektor yang dijumpainya. Ada yang sedih, gembira, meraung, ketawa malah hampir bunuh diri pun ada. Bila difikirkan semula, terasa takut untuk bercinta. Terasa takut dipermain-mainkan lagi. Terasa takut diperbodoh-bodohkan lagi. Malah dia juga takut untuk merasai perasaan kecewa sepertimana roomatenya dahulu. Kecewa gara-gara bercinta sehingga menjejaskan pelajaran dan masa depan sendiri. Sungguh dia tidak mahu berkeadaan seperti itu jika dia bercinta semula. Dia takut dikecewakan lagi. Takut hatinya dilukai lagi. Cukuplah kelukaan yang bertamu di dalam hatinya selama dua puluh tiga tahun ini dan disebabkan pengalamannya yang lepas. Dia tidak mahu menambahkan lagi kelukaan yang sudah ada.
Liyana menekan butang off di remote sekali gus mematikan siaran televisyen. Setelah itu dia menapak masuk ke dalam bilik. Keletihan bekerja di Butik Idaman membuatkan badannya terasa sengal dan lenguh. Demi menampung kos hidup seharian dan menimba pengalaman dalam bidang rekaan fesyen, dia rela menyusahkan dirinya sendiri daripada menyusahkan orang lain. Apa yang pasti, hatinya puas dengan apa yang dilakukannya itu. Tanpa bantuan siapa-siapa terutama ayahnya, dia pasti akan berjaya mengejar cita-citanya suatu masa nanti. Jika diizinkan ALLAH, dia ingin melanjutkan pelajaran ke luar negara dalam bidang yang diminatinya iaitu Seni Reka Fesyen. Dan dia berharap cita-citanya itu akan tercapai suatu hari nanti. Insya-ALLAH.


Laila mencapai telefon bimbit tatkala telefon itu berbunyi nyaring. Ditekan butang hijau dan dilekapkan ke telinga. Menanti butir bicara dari pemanggil di hujung talian.
“Kau dah tidur ke?” tanya Anita sebaik sahaja talian bersambung.
“Erm… belum lagi. Kenapa?” balas Laila dengan pertanyaan.
“Aku ada benda nak cerita pada kau. Mesti kau teruja nak tahu punyalah,”
“Cerita apa? Ada kena-mengena dengan aku ke?”
“Eh… mestilah ada. Apa lagi kalau bukan pasal adik kau tu,” ujar Anita serius.
“Liyana?” ulang Laila pantas bangun dari pembaringan. Rasa mengantuk yang menjalar tubuhnya sebentar tadi hilang dengan serta-merta tatkala mendengar nama Liyana. Rasa panas menjalar dalam dirinya waktu itu.
“Aku pasti kau mesti nak tahu cerita pasal adik kau tu kan,” sindir Anita seraya ketawa.
Selama ini tiada cerita yang bisa memanaskan hati Laila melainkan cerita tentang Liyana. Setakat ini hanya Liyana orang yang paling dibenci oleh Laila. Sebab apa? Dia sendiri pun tidak pasti. Apabila ditanya, jawapan standard Laila hanya ‘dia bukan adik aku’.
“Asal dengan adik aku tu?” tanya Laila seakan mendesak.
“Aku nampak dia kat shopping mall tadi bersama dengan lelaki yang kejar dia ari tu. Bukan main mesra lagi dia dengan lelaki tu,” cerita Anita dengan serius.
“Kau jangan nak buat cerita Anita,”
“Bila masa pulak aku buat cerita. Bukan aku saja yang nampaknya, Jasmine pun nampak juga. Eh… Laila. Kalau tak silap aku, lelaki tu macam muka Amirul, anak Tan Sri Khalil,” cerita Anita lagi.
“Amirul?” ulang Laila sedikit terkejut. “Anak bujang Auntie Marissa?” teka Laila inginkan kepastian.
“Ha… betullah tu. Wah-wah adik kau tu tangkap ikan besar nampak. Kau tu tangkap ikan apa pulak?” sindir Anita sinis.
Laila terasa disindir. Anita memang sengaja. Dari dulu Anita suka menyakitkan hatinya. Dia mencemburui Anita begitu juga sebaliknya. Hatinya semakin membengkak. Ternyata Liyana bukan calang-calang orang. Liyana bijak menggunakan kepakarannya dalam memikat. Mungkin wajah simpati yang ditunjukkan oleh Liyana membuatkan ramai yang terpikat dan tergoda. Tak guna kau Liyana. Berani-beraninya kau menggoda Amirul. Aku takkan benarkan perkara itu berlaku, marah Laila di dalam hati.
Laila mencampakkan telefon bimbitnya. Geram, marah, sakit hati dan bengang bercampur menjadi satu. Terasa sakit hatinya mendengar sindiran Anita. Selama ini dia cuba sedaya upaya memberi yang terbaik buat keluarganya terutama Dato’ Zulkifli. Pelbagai cara dilakukan untuk membuatkan Dato’ Zulkifli membenci Liyana dan usahanya itu berjaya tatkala Liyana keluar dari rumah mereka. Sejak kecil lagi dia membenci Liyana. Liyana hadir dalam keluarganya tanpa diundang. Kehadiran Liyana juga menggugat kasih sayang ibu dan abangnya. Ibu serta abangnya suka melebih-lebihkan Liyana dari dirinya sendiri. Dan atas sebab-sebab lain juga membuatkan kebenciannya terhadap Liyana semakin menebal.
“Laila!!” panggil Adif dari luar bilik membuatkan dirinya terjaga dari lamunan yang panjang.
“Ada apa?” sahut Laila dari dalam bilik. Sibuk ajelah abang ni, marahnya.
“Bukalah pintu ni kejap. Abang nak cakap ni,” arah Adif sedikit meninggi.
Laila segera turun dari katil. Dia menapak ke muka pintu dan membuka pintu untuk Adif.
“Ha… ada apa?” sergah Laila geram.
“Kalau ya pun, bahasa tu biarlah elok sikit. Ini tidak, nak hangin aje tak tentu pasal,” geram Adif pula. Panas hatinya apabila Laila meninggikan suara terhadapnya.
“Yang abang nak membebel ni kenapa? Abang nak apa?” marah Laila. Geram pula hatinya apabila Adif menegurnya begitu.
“Abang nak bagitau, Tan Sri Khalil jemput kita makan malam kat rumahnya esok. So, ayah pesan, Laila jangan pergi mana-mana esok,” beritahu Adif dan berlalu pergi dari situ. Lebih lama di situ, bertambah geramnya dengan sikap Laila. Kenapa Laila bukan seperti Lia, keluhnya sendirian. Rindunya pada Liyana semakin membuak-buak. Sudah agak lama dia tidak berjumpa dengan adik bongsunya itu.
“Tan Sri Khalil?” ulang Laila sedikit teruja. “Abang….” panggil Laila namun abangnya sudah lenyap dari pandangan mata.


Nantikan pertemuan Liyana dan Amirul di Samudera Holding...   ;)




8 ulasan:

  1. Looks like ur 2nd novel is very interesting lah .. tak sabar to wait for ur nxt entry ... good job n well done n yeah what happens to her car??? Fr Aida "Perth"

    BalasPadam
    Balasan
    1. thanks Aida coz still follow karya saya.. ttg kereta tu, dlm bab 2 ada bgtau, Dato' Zulkifli tarik blk kereta n duit saku Liyana.. :)

      Padam
  2. aduhh,,abis la laili nk goda amirul lak... akak sambung lagi ea..curious nk tahu sgt nie... hehehe .tj.

    BalasPadam
    Balasan
    1. hehe.. thanks Tj.. Insya-ALLAH dlm bbrapa hr lg akak n3 bab seterusnya.. :)

      Padam
  3. sangat best , tak sabar nak tunggu kisah selanjutnya . kak ros , cepat lhaa entry sementara saya ada masa nak membaca novel akak ni ;))

    BalasPadam
    Balasan
    1. hehe.. thanks atas pujian itu.. tp, msh di peringkat awal utk menilainya.. Insya-ALLAH, akn di n3 tdl lama lg.. sabar ya, :)

      Padam
  4. nak tau la..kenape ayah liyana tak hirau kan liyana...liyana anak angkat ke...kenape liyana keluar dari rumah.. tak sabar nak tunggu kisah selanjutnya.. cepat la cikit kak...

    BalasPadam
    Balasan
    1. amboi, byknya soalan.. xpe, semua soalan tu ada jwpnnya.. sabar menanti ya.. ;)

      Padam