Rabu, 15 Februari 2017

Terus Mencintaimu - Bab 4







“AKU harap kita dapat projek ni,” suara Aidil penuh harapan.
Hanif hanya mendengar. Kakinya melangkah menuju ke bilik mesyuarat yang telah ditetapkan. Jauh di sudut hati, dia turut mengharapkan perkara yang sama.
“Kau okey tak?” tanya Aidil tatkala menyedari kebisuan Hanif.
“Aku okey!” balas Hanif senafas.
Meliar matanya melihat keadaan ruang legar di hadapan bilik mesyuarat. Beberapa orang berpakaian formal sudah memenuhi ruang legar itu. Adakah mereka semua menyimpan harapan yang sama dengannya? Mendapatkan projek Tan Sri Kamal.
“Aku ke tandas sekejap,” ujar Aidil, perlahan.
Hanif sekadar mengangguk. Matanya menghantar langkah Aidil yang sedang menuju ke tandas. Kemudian, dia menghampiri sofa yang berada di ruangan itu lalu melabuhkan duduk. Nafas dihela ringan.
“Iris Eryna!” tegur Dato Mazlan berserta senyuman di bibir.
“Apa khabar dato?” sapa Iris, ramah.
“I sihat. Bertambah sihat lepas jumpa dengan you.” Dato Mazlan ketawa kecil. Wajah Iris di hadapan ditatap mesra.
“Ada-ada sajalah dato ni,” balas Iris turut sama ketawa.
Hanif yang mendengar mencebik meluat. Perempuan kalau tak melayan, memang tak sah, cebik Hanif dalam hati.
“Kalau saya dapat projek ni, dato kena belanja saya selama sebulan.”
“Sebulan? Demi you, setahun pun I sanggup.”
Iris yang mendengar ketawa kecil. Lelaki tua tak sedar diri! Kutuk Iris dalam hati.
Bertambah meluat Hanif mendengarnya. Rasa nak muntah pun ada juga.
“Kalau you dah bosan bekerja dengan Rashid, you datang jumpa dengan I. I akan beri lebih dari yang Rashid beri,” suara Dato Mazlan bernada harapan.
Iris tidak membalas. Sejak dari dulu lagi Dato Mazlan menginginkan dia bekerja di syarikatnya. Lelaki tua itu sanggup menawarkan dua kali ganda dengan apa yang diperolehinya di syarikat Dato Rashid.
Walau berapa yang ditawarkan oleh Dato Mazlan, dia tidak akan meninggalkan syarikat Dato Rashid. Sudah lama dia bekerja di situ. Malah, Dato Rashid sudah dianggap seperti ayahnya. Mustahil dia akan mengkhianati kepercayaan Dato Rashid.
“I masuk dulu. Kali ni I pasti berjaya,” ujar Dato Mazlan.
“Jika rezeki memihak kepada dato, In shaa Allah projek tu akan jadi milik dato,” balas Iris berserta senyuman di bibir.
Dato Mazlan sekadar tersenyum. Dia beredar dari situ menuju ke bilik mesyuarat. Iris yang melihat menghela nafas lega. Diperhatikan keadaan sekeliling. Kebanyakan mereka sudah beredar dari ruangan itu menuju ke bilik mesyuarat.
Hanif yang melihat beberapa orang sudah meninggalkan ruangan bingkas bangun dari duduk. Dia mengerling jam di pergelangan tangan. Masa baru merangkak ke angka sepuluh pagi. Matanya mencari kelibat Aidil namun kawannya itu tidak juga muncul-muncul.
“Mana pula Aidil ni pergi? Takkan lama sangat kat tandas tu?” rungut Hanif sendirian. Dengusan ringan terlepas daripada bibir.
“Kalau ya pun nak melepas, sikit-sikit sudahlah,” bebel Hanif pula.
Tanpa menunggu, dia segera menoleh ke belakang untuk beredar dari situ. Ada baiknya dia menunggu Aidil di dalam bilik mesyuarat sahaja. Namun, langkahnya terhenti tatkala terpandang seorang gadis yang kebetulan sedang memandang ke arahnya.
Iris sedikit tergamam. Tidak menyangka dia akan berjumpa dengan lelaki itu lagi. Apa lelaki itu buat di sini? Persoalan yang menerjah ke kotak fikiran ketika ini.
“Yang kau bodoh sangat, kenapa? Dah tentulah dia datang pasal projek tu.” Iris mengutuk dirinya sendiri.
Tanpa berlengah, dia melangkah menuju ke bilik mesyuarat. Tidak diendahkan pemuda itu yang sedang memandang ke arahnya.
“Hanif!” tegur Aidil seraya memegang bahu Hanif.
Hanif terkejut. Diurut dadanya yang bergetar laju.
Sorry kalau aku mengejutkan kau,” kata Aidil bernada kesal. Dilihatnya wajah Hanif yang sedikit pucat.
Hanif tidak membalas. Matanya tertumpu kepada langkah gadis yang baru ditemuinya tadi. Seakan pernah melihat wajah gadis itu. Adakah gadis yang sama? Gadis yang telah memalukannya pada minggu lepas?
“Kau kenapa?” tegur Aidil.
Sejak dari tadi dia melihat tingkah laku Hanif. Apa yang sedang dipandang oleh kawan baiknya itu? Adakah Hanif berasa berdebar saat ini?
“Tak ada apa. Jomlah masuk!” balas Hanif sambil memulakan langkah.
Aidil berkerut dahi. Langkah Hanif diperhati penuh minat. Otaknya memikirkan tingkah laku Hanif sebentar tadi. Seperti ada sesuatu yang cuba disembunyikan oleh Hanif? Tetapi, apa dia?


“TAK ada rezeki untuk kita,” ujar Aidil berserta keluhan ringan sebaik sahaja keluar dari bilik mesyuarat. Mereka yang berada di situ turut berbual sesama sendiri.
Hanif hanya membisu. Matanya terpahat kepada susuk tubuh Iris.
“Ingatkan kita boleh dapat projek tu. Tapi…” Aidil mematikan ayat. Rasa kecewa menghuni di hati.
Hanif masih memandang Iris. Gadis itu sedang berbual mesra sambil ketawa kegembiraan. Pasti gadis itu sedang meraikan kejayaan mendapat projek Tan Sri Kamal.
“Gadis tu hebat!” puji Aidil seraya memandang wajah Hanif.
Hanif yang mendengar menoleh.
“Dah banyak kali dia dapat projek. Aku kagum dengan dia,” suara Aidil lagi. Matanya memandang ke arah Iris yang berada hampir dengan mereka berdua.
Semakin erat genggaman di tangan Hanif. Kata-kata pujian Aidil mewujudkan rasa benci di hati. Gadis itu hebat! Hatinya mengulangi kata-kata Aidil.
“Kita pun tak setanding dia,” puji Aidil pula. Susuk tubuh Iris masih dipandang.
“Hebat la sangat!” Hanif mencebik. Dia segera beredar dari situ.
Aidil yang melihat berkerut dahi. Langkah Hanif dipandang. Apa yang tidak kena dengan kawan baiknya itu?
We meet again!” tegur Iris berserta senyuman di bibir.
Hanif mematikan langkah. Ditatap wajah Iris di hadapan. Rasa menyampah melihat senyuman di bibir gadis itu. Aidil di sisi turut sama mematikan langkah.
“Tahniah!” ucap Aidil kemudian.
Thanks!” balas Iris.
Aidil sekadar tersenyum.
Nice presentation!” puji Iris, ikhlas.
Hanif mencebik meluat. Bertambah tahap kebenciannya terhadap gadis itu.
You pun tak kurang hebat.”
“Tapi kami tetap tak dapat projek tu.”
“In shaa Allah, kalau bukan projek ni, mungkin projek lain company awak akan dapat.”
“Huh! Kau guna apa untuk dapatkan projek ni?” sampuk Hanif setelah sekian lama membisu. Wajah Iris ditatap sinis.
Iris berkerut dahi. Apa maksud pemuda itu?
“Kalau kau tak pakai, mustahil kau akan dapat projek tu. Entah-entah… kau guna taktik kotor. Iyalah! Macam…..”
“Hanif, tak baik buruk sangka.” Aidil menegur. Kurang senang dengan kata-kata Hanif. Adakah Hanif tidak percaya kepada rezeki Allah?
Iris tidak membalas. Faham dengan maksud kata-kata Hanif. Pasti Hanif menuduhnya menggunakan taktik kotor untuk mendapatkan projek. Dia tersenyum seketika.
“Jumpa lagi!” ujar Iris selepas itu.
Tanpa menunggu, dia beredar dari situ. Sempat matanya mengerling ke wajah Hanif. Tegang wajah itu dilihatnya.
“Sinar matanya penuh dengan kebencian,” bisik Iris lalu melajukan langkah.


SORRY kalau saya susahkan awak,” suara Zulaikha bernada kesal.
“Apa pulak susahnya? Kita kan kawan,” bidas Haidar, lembut.
Zulaikha hanya tersenyum. Matanya memandang tingkah laku Haidar yang sedang menukar tayar kereta. Rasa bersyukur kerana mempunyai kawan seperti Haidar. Seorang yang ringan tulang dan prihatin.
“Okey, done!” suara Haidar kemudian.
Zulaikha tersentak.
“Tayar tu dah tak boleh pakai. Dah rosak. Nanti saya belikan tayar spare yang baru,” beritahu Haidar sambil menyeka peluh di dahi.
Zulaikha tidak membalas. Diperhatikan tayar kereta yang sudah siap ditukar. Senyuman diberikan kepada Haidar.
“Terima kasih, awak,” ucap Zulaikha bernada ikhlas.
Haidar sekadar tersenyum. Peralatan disimpan ke dalam bonet kereta. Setelah itu, disandarkan tubuh ke kereta sambil memandang ke wajah Zulaikha. Melepaskan lelah buat seketika.
“Jom saya belanja awak makan. Dah masuk tengah hari ni,” pelawa Zulaikha, ramah sambil melihat jam di pergelangan tangan. Masa sudah menghampiri ke angka dua belas tiga puluh minit.
Haidar turut sama memandang jam di pergelangan tangan. Dia berfikir sejenak. Ada baiknya dia bersetuju dengan pelawaan Zulaikha. Kebetulan hari ini dia cuti.
“Boleh juga,” balas Haidar berserta anggukan kecil.
Zulaikha turut sama mengangguk. Lantas, dia menghampiri kereta lalu membuka daun pintu. Peluh dingin sudah membasahi tudung yang dipakainya itu.
Haidar melangkah menuju ke kereta yang diparkir tidak jauh dari situ. Nafas ditarik dan dilepaskan ringan. Matanya melihat sekeliling kawasan. Sedikit lengang kerana jalan itu bukanlah jalan utama.
“Awak!” Zulaikha memanggil.
Haidar yang mendengar memandang ke arah Zulaikha. Kenapa Zulaikha memanggilnya? Riak cemas terlukis di wajah gadis itu.
“Hati-hati!” Zulaikha menjerit kecil.
Haidar berkerut dahi. Kenapa Zulaikha menjerit? Dia meliarkan mata melihat sekeliling kawasan.
“Ya Allah!” sebut Haidar sedikit terkejut. Hampir, dia dilanggar oleh sebuah kereta yang datang dengan tiba-tiba.
“Awak okey?” Zulaikha bertanya. Dia berlari anak menghampiri Haidar.
“Alhamdulillah. Saya okey!” balas Haidar sambil mengurut dada yang sedang bergetar hebat. Dihalakan mata ke arah sebuah kereta yang sudah pun berhenti di tepi jalan.
“Bawa kereta macam apa entah. Tak nampak ke orang kat tepi ni?” marah Zulaikha berserta dengusan kasar.
Haidar hanya membisu. Kereta yang berhenti hampir dengan mereka berdua dipandang. Seperti ada yang tidak kena pada kereta itu.
“Nasib baik sempat mengelak. Kalau tak sempat tadi, macam mana?” Zulaikha masih lagi meluahkan ketidakpuasan di hati. Tajam matanya ke arah kereta yang dimaksudkan.
Haidar masih tidak membalas. Dia melangkah menghampiri kereta yang sudah diberhentikan. Berkerut dahinya memandang kereta itu.
Zulaikha hanya memandang. Apa yang sedang cuba Haidar lakukan?
“Ya Allah! Cik! Cik!” Haidar memanggil. Terkejut melihat seorang gadis yang sudah tidak sedarkan diri.
Zulaikha yang mendengar segera melangkah menghampiri Haidar. Apa yang telah berlaku?
“Cik! Cik!” panggil Haidar lagi. Cermin tingkap diketuk beberapa kali namun tidak ada tindak balas dari gadis itu.
“Kenapa, awak?” tanya Zulaikha setibanya di sisi Haidar.
“Awak, tolong saya ambilkan beg di kereta,” pinta Haidar beriak cemas.
Zulaikha mengangguk. Dia membawa langkah menuju ke kereta Haidar. Perasaan cemas turut menumpang di hati. Kenapa dengan gadis itu?
“Cik! Cik!”
Haidar memanggil buat kali yang ketiga. Daun pintu kereta cuba ditarik. Nafas lega dilepaskan tatkala pintu kereta dibuka. Lantas, tangan gadis itu ditarik lembut lalu memeriksa nadinya.
“Awak!” suara Zulaikha, tiba-tiba. Dihulurkan beg kepada Haidar.
Thanks, Ika!” ucap Haidar, lembut.
Tanpa berlengah, stethoscope dari dalam beg dikeluarkan. Degupan jantung gadis itu diperiksa. Sudah menjadi kebiasaan bagi Haidar untuk membawa beg peralatan perubatannya setiap kali keluar ke mana-mana. Sekadar persediaan sekiranya menghadapi kecemasan.
“Macam mana?” tanya Zulaikha, ingin tahu.
“Cuma pengsan,” beritahu Haidar sambil meletakkan stethoscope di leher.
Zulaikha mengangguk perlahan.
“Aduh!” suara Iris, perlahan.
Haidar dan Zulaikha tersentak. Masing-masing menghalakan mata ke wajah Iris.
“Cik tak ada apa-apa?” tanya Haidar, prihatin.
Iris yang mendengar sedikit terkejut. Dia menghalakan mata ke arah yang bertanya.
“Cik nyaris nak terbabas tadi dan hampir nak melanggar saya,” beritahu Haidar lagi.
Iris terpinga-pinga. Disentuh kepalanya yang berasa sakit.
“Nasib baik kawan saya mengelak. Kalau tidak, tak pasal-pasal kena langgar dengan cik,” luah Zulaikha kurang senang.
Haidar memandang wajah Zulaikha. Dia memberi isyarat kepada gadis itu. Kurang senang mendengar kata-kata Zulaikha.
“Maaf! Saya tak faham dengan apa yang cik cakapkan ni,” suara Iris sebaik sahaja menstabilkan pernafasan. Sungguh, dia tidak tahu apa yang sedang berlaku ketika ini.
“Maafkan kawan saya. Sebentar tadi, cik nyaris nak melanggar saya.” Haidar berterus-terang. Wajah Iris di hadapan ditatap seketika.
Iris mengangguk lemah. Barulah dia teringat dengan apa yang terjadi. Entah kenapa kepalanya berasa sakit dengan tiba-tiba. Pandangannya sedikit kabur. Maka dari itu, dia cuba untuk memberhentikan kereta di bahu jalan. Tetapi, tayar keretanya telah melanggar sesuatu dan dia tidak dapat mengawal stereng lalu terbabas di bahu jalan. Sempat juga dia menekan brek kecemasan.
“Cik tak ada apa-apa?” Haidar bertanya lagi. Wajah gadis itu masih ditatap dengan penuh minat.
Iris memandang wajah Haidar. Lama dia memerhatikan wajah itu. Seminit kemudian, dia melarikan wajah tatkala terdengar deheman dari arah Zulaikha.
“Cik okey ke tak ni?” tanya Zulaikha pula.
Berkerut dahinya melihat Iris. Pandangan gadis itu terhadap Haidar menghadirkan rasa cemburu di hati. Kenapa gadis itu memandang Haidar sebegitu sekali?
“Haa.. okey! Saya  okey!” balas Iris sebaik sahaja tersedar.
Agak lama dia memandang wajah Haidar. Entah kenapa wajah itu menghadirkan rasa sebu di hati. Adakah wajah itu pernah dilihat sebelum ini?
“Alhamdulillah kalau cik dah okey.”
“Terima kasih kerana membantu.”
“Kita sesama Islam saling memerlukan dan bantu membantu. Mana tahu suatu hari nanti, cik pula yang bantu saya.”
Iris sekadar tersenyum. Ada benarnya kata-kata pemuda itu.
“Kalau tak ada apa-apa lagi, saya minta diri dulu. Terima kasih kerana membantu,” ujar Iris kemudian. Senyuman diberikan kepada Haidar dan Zulaikha.
“Cik boleh…”
“In shaa Allah, boleh!” pintas Iris. Pasti pemuda itu risau jika dia memandu kereta dalam keadaan belum stabil.
Haidar mengangguk faham. Diamati wajah gadis itu buat seketika.
“Saya minta diri dulu,” pamit Iris sambil menarik daun pintu kereta.
“Hati-hati, cik,” pesan Haidar bernada ikhlas.
“Jumpa lagi,” suara Zulaikha yang sejak dari tadi mendengar dan membisu.
Iris tersenyum. Tanpa menunggu, dia menghidupkan enjin kereta dan beredar dari kawasan itu. Otaknya sedang memikirkan sesuatu. Entah apa yang difikirkannya itu dia sendiri tidak pasti.
“Jom!” ajak Zulaikha selepas itu.
Haidar menoleh ke wajah Zulaikha. Dia tersenyum buat seketika. Masih teringat pandangan gadis itu tadi. Pandangan yang sukar untuk dimengertikan. Sinar mata gadis itu seperti pernah dilihat sebelum ini. Tetapi, di mana?


1 ulasan: