Rabu, 26 Februari 2014

Seandainya Tuhan Mengizinkan! - Bab 3





“EHEM.. Ehem…” Nur Syahirah berdehem.
Daniel Iman menoleh. Wajah Nur Syahirah diperhati penuh minat. Kemudian, dihalakan pandangan ke luar tingkap.
Nur Syahirah melabuhkan duduk di sisi Daniel Iman. Wajah kanak-kanak itu diperhatikan. Sejak kaki kanak-kanak itu melangkah masuk ke taska, hanya riak mencuka yang dilihat di wajah Daniel Iman.
“Bosannya!” keluh Daniel Iman.
“Iman bosan?” tanya Nur Syahirah.
Daniel Iman menoleh. Jelingan tajam diberikan kepada Nur Syahirah. Tidak menyenangi dengan panggilan Nur Syahirah itu.
Nur Syahirah yang melihat ketawa kecil.
“Iman nak makan?” tanya Nur Syahirah, berbasa-basi.
“Mak cik jangan sibuk, boleh tak? Nama saya Daniel Iman. Panggil Danny dan bukan Iman,” tegur Daniel Iman berserta dengusan kasar.
“Kak Syira lagi suka dengan nama Iman dari Daniel atau Danny.”
“Suka hati mak cik la. Malas nak layan,” rengus Daniel Iman berlalu pergi.
Nur Syahirah sekadar menggeleng. Sukar benar untuk mendekati kanak-kanak itu. Adakah disebabkan pengalaman bersama pengasuh yang lepas, kanak-kanak itu takut dengannya? Kisah yang diceritakan oleh Latifah kelmarin.
“Kenapa, Syira?” tanya Nora, tiba-tiba.
“Tak ada apa-apa Kak Nora,” jawab Nur Syahirah.
“Budak tu degil ke?”
“Biasalah Kak Nora. Mula-mula memang la macam tu. Dah lama-lama nanti okey la.”
“Budak bandar, Syira. Mana nak biasa dengan suasana kampung.”
“Insya-Allah, Kak Nora. Syira pasti, Daniel Iman akan sukakan suasana di sini.”
“Kalau Syira dah kata macam tu, akak tak boleh nak kata apa dah. Akak harap, budak tu tak mendatangkan masalah pada Syira. Pagi, Syira mengajar dan tengok-tengokkan dia. Lepas mengajar, jaga dia sampai ke malam pulak. Syira tak rasa penat ke?” tanya Nora, prihatin.
“Syira ikhlas lakukannya, Kak Nora. Syira rasa gembira dan terisi masa lapang Syira bila jaga Daniel Iman,” jawab Nur Syahirah, ikhlas.
Nora sekadar tersenyum. Kagum melihat kesungguhan Nur Syahirah. Semenjak dia mengenali Nur Syahirah, pelbagai perkara yang dipelajari daripada gadis itu.
Segala nasihat yang diberikan Nur Syahirah amat berguna sekali. Nasihat dari segi hubungan suami isteri. Terkadang dia terfikir, adakah Nur Syahirah sudah berumah tangga? Melihatkan dari segi nasihat yang diberikan oleh gadis itu.


ADILA menghenyak kasar pungguk di atas kerusi. Rasa sakit di hati masih lagi bersisa. Sakit hati tatkala mendapat tahu tentang Zairiel. Kenapa Zairiel tidak memberitahunya tentang itu?
“Hai, monyok aje muka tu papa tengok kenapa?” tegur Dato Amran, tiba-tiba.
“Huh! Hati Dila ni sakit papa. Sengaja Zairiel buat macam tu pada Dila,” rengus Adila.
“Zairiel? Apa yang Zairiel dah buat?”
“Boleh pulak dia pindah ke Sungkai tu tak beritahu pada Dila. Sakit hati Dila ni, papa.”
Dato Amran ketawa kecil. Gelengan kecil diberikan kepada anaknya itu.
“Yang papa ketawa ni, kenapa?”
“Dila… Dila… Kan papa dah pesan pada Dila, buat apa Dila terkejar-kejarkan Zairiel tu? Dila kan tahu status Zairiel macam mana?”
“Dila tak kesah papa asalkan Dila dapat dia.”
“Dila tahu kan penerimaan Encik Zahrin tu pada Dila. Dari dulu sampai sekarang, Zahrin tak sukakan Dila,” terang Dato Amran.
“Huh! Dila peduli apa. Bukannya Dila nak kahwin dengan dia. Yang dia sibuk sangat tu, kenapa?”
“Dila jangan nak main-main dengan Zahrin. Papa sendiri pun tak berani nak lawan dia, inikan pulak Dila. Dila dah lupa ugutan dia pada Dila dulu?”
So, what? Papa ingat Dila takut?” balas Adila, selamba.
“Hurm, papa tahu anak papa ni berani orangnya. Tapi, papa cuma nak ingatkan Dila, Zahrin tu punya pengaruh yang kuat. Kalau Dila tak nak hidup Dila susah, jauhkan diri daripada Zairiel,” nasihat Dato Amran lalu beredar dari situ.
Adila yang mendengar mendengus keras. Sakit pula hatinya mendengar nasihat daripada Dato Amran itu. Menyesal kerana meluahkannya di hadapan Dato Amran.


ZAIRIEL masih lagi ralit membuat kerja. Tidak menang tangan di waktu ini. Jam di pergelangan tangan dipandang. Masa sudah menginjak ke angka lapan malam. Tanpa berlengah, segala peralatan dan barang yang berada di atas meja dikemas. Dia perlu segera mengambil Daniel Iman di rumah pengasuh. Bagaimana agaknya keadaan Daniel Iman? Adakah anaknya dapat menerima pengasuh itu ataupun tidak?
“Sakinah!” tegur Zairiel sebaik sahaja keluar dari bilik.
“Ada apa, doktor?” tanya Sakinah.
“Saya balik dulu. Nak ambil Danny. Pastikan semua dikunci sebelum awak balik nanti.”
“Baiklah doktor. Doktor nak ambil Danny di rumah Syira ke?”
“A’ah. Tapi, saya tak tahu rumah pengasuh Danny. Awak ada alamat rumahnya?”
“Doktor tak tahu? Habis tu, pagi tadi siapa yang hantar Danny ke taska?”
“Pak Hamdan! Saya upah Pak Hamdan hantar Danny setiap pagi.”
Sakinah mengangguk faham. Hampir dia terlupa tentang Pak Hamdan. Dia yang merekomenkan Pak Hamdan bekerja sebagai pemandu Zairiel.
“Awak ada alamatnya, Sakinah?” ulang Zairiel.
“Sekejap doktor, saya tuliskan alamat Syira,” jawab Sakinah.
Zairiel tersenyum. Matanya memerhatikan tingkah laku Sakinah yang sedang menulis alamat di atas kertas. Sebaik sahaja habis menulis, dihulurkan kertas itu kepadanya.
“Hati-hati doktor,” pesan Sakinah tersenyum makna.
“Hati-hati kenapa? Rumah pengasuh ni, ada apa-apa ke? Maksud saya, hantu?”
Tertawa Sakinah mendengarnya.
“Hati-hati. Takut doktor jatuh cinta dengan pengasuh Danny.”
“Kush semangat! Saya ingatkan apalah tadi,” kata Zairiel sambil menarik nafas lega.
“Doktor ni, sampai ke situ pulak fikirnya. Saya bukannya apa doktor, sekadar berpesan sahaja,” balas Sakinah masih ketawa.
“Ada-ada sajalah awak ni, Sakinah. Saya minta diri dulu. Terima kasih untuk alamat ni,” pamit Zairiel lalu menapak keluar dari klinik. Senyuman diberikan kepada Sakinah.
“Hati-hati doktor. Jangan sampai jatuh cinta nanti,” pesan Sakinah untuk kesekian kali.
“Macam secocok saja Syira dengan Doktor Zairiel tu,” kata Sakinah bingkas bangun.
Sebaik sahaja mengemas barang dan memastikan keadaan klinik ditutup, dia menapak keluar menuju ke rumah.


“KAU dah bagi budak tu makan ke, Syira?” tanya Farhana, berbasa-basi.
“Dia tak nak la, Hana,” adu Nur Syahirah mengeluh ringan.
“Hurm, kan aku dah cakap dari awal-awal lagi. Bukan senang nak jaga budak. Kau tu yang degil. Nak juga tolong jaga budak tu,” bebel Farhana bernada keras.
Nur Syahirah hanya membisu. Matanya memerhatikan tingkah laku Daniel Iman yang sedang duduk termenung di muka pintu rumah. Sedari balik dari tadika sehinggalah ke malam hari, di situlah tempat Daniel Iman duduk. Tidak mahu makan ataupun minum. Mungkin Daniel Iman sedang menanti kedatangan ayahnya.
“Esok, kau nak jaga juga budak tu lagi?”
“Ayah Daniel Iman dah amanahkan aku untuk jaga. So, aku kena jalankan amanah itu sebaik yang mungkin.”
Farhana mengeluh.
“Pukul berapa ayah Daniel Iman datang ambil? Dah lewat ni.”
“Dalam pukul sembilan.”
Farhana mengangguk. Matanya mengerling jam di dinding. Masa sudah pun merangkak ke pukul lapan empat puluh minit malam.
“Aku nak ajak Iman makan,” kata Nur Syahirah lalu menghampiri Daniel Iman.
“Aku masuk sholat Isyak dulu.”
Nur Syahirah mengangguk. Dilabuhkan duduk lalu menatap wajah muram Daniel Iman.
“Iman!” panggil Nur Syahirah, lembut.
Daniel Iman menoleh. Jelingan diberikan kepada Nur Syahirah.
Ketawa kecil Nur Syahirah melihatnya. Ternyata, Daniel Iman tidak menyukainya.
“Mana papa ni?” keluh Daniel Iman, sendirian.
“Iman tunggu papa ke?”
“Sibuk!”
“Kak Syira tunggu sama-sama dengan Iman ya.”
“Mak cik ni tak faham bahasa ke? Panggil saya Danny, bukannya Iman. Danny, faham!”
“Kak Syira tahu. Samalah juga dengan Iman bila Iman panggil Kak Syira dengan panggilan ‘mak cik’. Kak Syira muda lagi dan belum layak digelar dengan panggilan itu.”
Daniel Iman hanya membisu. Kata-kata Nur Syahirah langsung tidak dipedulikan. Apa yang pasti, dia perlu balik ke rumah dengan kadar segera.
“Iman belum makan lagi. Apa kata Iman makan dulu sementara nak tunggu papa datang,” ajak Nur Syahirah bernada lembut.
“Mak cik ni tak faham bahasa ke? Danny tak nak… tak nak la,” geram Daniel Iman pantas berdiri. Tajam matanya ke muka Nur Syahirah.
Nur Syahirah turut sama bangun. Gelengan kecil diberikan kepada Daniel Iman. Sukar benar memujuk kanak-kanak itu.
“Assalamualaikum,” sapa seseorang dari arah luar pagar rumah.
Nur Syahirah menoleh. Gerangan yang memberi salam diperhati. Disebabkan keadaan luar rumah gelap, agak sukar untuk dia melihat.
“Papa!” jerit kecil Daniel Iman lalu menapak keluar dari rumah.
“Anak papa hari ni macam mana? Nakal tak?” tanya Zairiel sebaik sahaja Daniel Iman tiba di hadapannya.
“Tak! Danny baik saja,” jawab Daniel Iman, tersenyum.
“Mana pengasuh Danny?” tanya Zairiel. Matanya mencari pengasuh Daniel Iman.
Daniel Iman hanya mencebik. Tidak dihiraukan pertanyaan papanya. Tanpa membalas, dia menapak masuk ke dalam kereta. Tidak mahu berlama di rumah itu.
“Ini begnya, doktor,” kata Nur Syahirah seraya menghulurkan beg kepada Zairiel.
Zairiel tersentak. Seakan mengenali suara itu. Wajah gadis yang sedang berdiri di hadapannya itu diamati. Dalam kesamaran cahaya lampu jalan yang berada jauh dari rumah, sukar untuknya melihat wajah gadis itu.
“Maaf, doktor. Lampu kat luar ni rosak. Saya lupa nak ganti siang tadi,” beritahu Nur Syahirah tanpa dipinta.
“Tak mengapa. Macam mana dengan anak saya hari ni?”
“Iman budak yang baik. Dia tak mendatangkan masalah pada saya.”
“Iman?” ulang Zairiel, berkerut.
“Eh, maaf. Saya panggil Daniel Iman dengan panggilan Iman. Saya lebih suka nama tu daripada nama Danny. Nama Iman mengingatkan saya pada seseorang,” jujur Nur Syahirah.
“Oh, maafkan saya. Kalau macam tu, saya minta diri dulu. Terima kasih kerana menjaga Danny. Insya-Allah, esok pagi Pak Hamdan hantar Danny ke taska,” suara Zairiel.
“Baiklah doktor…”
“Zairiel!” sahut Zairiel.
Nur Syahirah mengangguk.
“Kalau macam tu, saya minta diri dulu Cik Syira. Terima kasih sekali lagi kerana menjaga Danny,” pamit Zairiel lalu menapak ke kereta.
“Saya ikhlas menjaga Iman. Terima kasih kerana mempercayai saya,” balas Nur Syahirah. Matanya menghantar langkah Zairiel sehingga lelaki itu masuk ke dalam kereta.
“Cepatlah papa! Danny lapar ni,” rengek Daniel Iman.
“Sekejap, papa betulkan ni dulu,” balas Zairiel seraya membuka lampu dalam kereta.
Nur Syahirah hanya memandang. Entah kenapa jantungnya berdegup kencang.
“Kami minta diri dulu, Cik Syira,” pamit Zairiel. Kereta dipandu keluar dari kawasan.
Nur Syahirah tidak membalas. Dia segera masuk ke dalam rumah menuju ke bilik.
“Syira, Danny…” Terhenti kata-kata Farhana tatkala Nur Syahirah menutup pintu bilik. Berkerut dahinya melihat tingkah laku Nur Syahirah itu.
Nur Syahirah melilaukan mata mencari sesuatu. Satu persatu laci meja dibuka dan ditutup. Tingkah lakunya terhenti tatkala terpandang sebuah album gambar. Dikeluarkan lalu menyelak satu persatu.
“Tak mungkin dia,” tukas Nur Syahirah menggeleng perlahan. Gambar Zairiel dikeluarkan dari dalam album gambar itu.
“Syira, kau buat apa?” tegur Farhana, tiba-tiba.
Nur Syahirah mengangkat muka.
“Kau ni kenapa? Pucat saja muka tu aku tengok.”
“Aku… Aku… Aku ternampak Zairiel.”
“Zairiel? Kat mana?”
“Ayah Daniel Iman.”
Membuntang mata Farhana mendengarnya. Ayah Daniel Iman?
“Kau biar betul Syira. Takkanlah Zairiel ke sini? Mustahil Zairiel ayah Daniel Iman?”
“Aku rasa macam dia.”
“Perasaan kau saja kut. Mungkin pelanduk dua serupa.”
“Tapi, nama dia Zairiel juga. Aku yakin dia.”
“Syira, dalam dunia ni ada tujuh orang yang hampir sama dengan muka kita. Dalam Malaysia ni, berapa ramai yang mempunyai nama sama dengan Zairiel,” hujah Farhana, tenang.
“Aku... Aku…” Nur Syahirah termati kata-kata. Ada benarnya penerangan Farhana itu.
“Kau rindu kat dia, kan?” duga Farhana.
Nur Syahirah hanya membisu. Mengangguk tidak, menggeleng pun tidak.
“Aku tahu, kau rindukan dia. Dah lama juga kita tak jumpa dengan dia. Macam mana keadaan dia sekarang ni, kan? Aku pun teringin juga nak tahu keadaan dia. Mungkin dia dah kahwin dengan Maisarah dan dah ada seorang dua anak. Kita mana nak tahu, kan?”
“Aku pasti dia dah bahagia dengan Sarah.”
“Mungkin juga. Sudahlah Syira. Tak perlulah kau nak fikirkan pasal dia lagi. Apa yang terjadi pada kau dulu bukankah disebabkan dia?”
“Dia tak bersalah.”
“Sedikit sebanyak apa yang terjadi pada kau sebab dia juga, kan?”
Nur Syahirah tidak membalas. Tidak dinafikan dengan kata-kata Farhana itu. Zairiel ada kena mengena dengan apa yang terjadi kepada dirinya selama ini.




5 ulasan: