Selasa, 28 Oktober 2014

Seandainya Tuhan Mengizinkan! - Bab 10







NUR SYAHIRAH mengeluh ringan dan meraup kasar wajah. Nafas ditarik dan melepaskannya berat. Sedari tadi dia hanya memerhati tingkah laku Daniel Iman yang sedang duduk membisu. Panjang yang ditanya, sepatah yang dijawab oleh Daniel Iman. Itupun kalau Daniel Iman hendak bersuara. Sukar benar untuk menyelami perasaan Daniel Iman. Bagaimana untuk membuatkan Daniel Iman percaya padanya?
Nur Syahirah melangkah menghampiri Daniel Iman. Wajah kanak-kanak itu ditenung sayang. Senyuman diberikan walaupun jelingan tajam yang dibalas oleh Daniel Iman. Nur Syahirah yakin, disebabkan kekurangan kasih sayang daripada seorang ibu maka Daniel Iman bersikap begitu. Mungkin juga peristiwa didera pengasuh kanak-kanak itu yang lepas membuatkan Daniel Iman sukar mempercayainya. Walau bagaimanapun, dia akan cuba menambat hati kanak-kanak itu.
“Mak cik!” panggil Daniel Iman.
Nur Syahirah tersentak. Lamunannya yang pendek berterbangan entah ke mana. Dihalakan mata ke wajah Daniel Iman lalu tersenyum kepada kanak-kanak itu.
“Mak cik dah tak betul ke? Senyum seorang-seorang, kenapa?” tegur Daniel Iman, sinis.
“Kak Syira senyum sebab senyum tu kan satu sedekah. Malah dengan senyuman, kita nampak lebih muda,” beritahu Nur Syahirah.
“Alah, kalau dah tua buat sajalah dah tua,” cebik Daniel Iman, meluat.
Nur Syahirah ketawa kecil. Gelengan diberikan kepada Daniel Iman.
“Iman nak ikut Kak Syira? Kak Syira nak ke kedai.”
“Tak nak!”
“Kak Syira bawa Iman pusing satu kawasan ni, nak tak?”
“Tak nak! Danny nak tunggu papa.”
“Jom, Iman. Kak Syira bawa Iman ke suatu tempat.”
“Mak cik ni tak faham ke? Danny tak nak… tak nak la.”
Nur Syahirah tidak menghiraukan kemarahan Daniel Iman. Ditarik tangan Daniel Iman supaya mengekorinya. Mahu tidak mahu, terpaksalah Daniel Iman mengekori Nur Syahirah. Masam mencuka wajahnya tatkala Nur Syahirah memaksa begitu. Dengusan kasar terlepas daripada bibir.


“ADA dengan aku. Kau janganlah risau,” kata Nur Syahirah dari hujung talian.
“Kau ni, Syira. Dibuatnya papa dia cari macam mana?” balas Farhana kurang senang.
“Tahulah aku macam mana nak cakap dengan papa dia nanti. Budak tu degil sangat.”
“Tahu pun kau. Sekarang nak merungut pulak. Dari hari tu lagi kan aku tak nak kau jaga budak tu. Tapi kau degil. Nak juga jaga.”
“Ala, daripada aku tak buat apa-apa lepas mengajar, baik aku jaga budak tu. Kadang-kadang, terhibur juga hati aku ni tengok rajuk dan wajah mencuka dia,” beritahu Nur Syahirah ketawa kecil. Matanya memandang wajah Daniel Iman yang masam mencuka.
“Suka hati kau la, Syira. Asalkan dia tak menyusahkan aku, sudahlah!”
“Hai, ada ke dia susahkan kau?”
“Ada!”
“Apa yang dia dah buat?”
“Apa lagi, muka masam mencuka dia tu la.”
Tertawa Nur Syahirah mendengarnya.
“Ada-ada sajalah kau ni, Hana.”
“Lama lagi ke kau kat kebun Pak Manan tu? Jangan lupa bawa hasil untuk aku juga.”
“Yalah, kau ni asyik makan saja. Aku tengok badan kau makin membesar. Bukan makin mengecil,” tegur Nur Syahirah, selamba.
“Amboi, sedapnya bahasa. Aku ke yang gemuk atau kau?”
“Aku? Aku gemuk? Tolong sikit. Selama ini, aku jaga badan aku tau. Ikut kelas ‘Mak Jemah’ lagi kalau kau nak tahu,” tukas Nur Syahirah ketawa kecil.
Farhana turut sama ketawa. ‘Mak Jemah’, watak yang dilakonkan oleh pelawak Johan sewaktu pertandingan ‘Maharaja Lawak Mega’ tidak lama dahulu. Dia menggeleng kecil tatkala mengingatinya.
“Okeylah Hana. Aku nak tengok anak kesayangan aku tu. Dah masam mencuka mukanya tu aku tengok,” kata Nur Syahirah.
“Jangan lupa buah rambutan untuk aku Syira,” pesan Farhana untuk kesekian kali.
“Yalah, aku tak lupa,” balas Nur Syahirah dan mematikan talian.
Seminit kemudian, dibawa langkah menghampiri Pak Manan yang sedang mengait buah rambutan. Matanya memandang ke arah Daniel Iman yang sedang duduk di sebuah pondok.
“Ha Syira. Cukup tak ni?” tanya Pak Manan.
“Cukup dah tu Pak Manan,” jawab Nur Syahirah.
“Kenapa dengan budak tu? Dari tadi Pak Manan tengok masam mencuka aje. Anak siapa tu Syira?” tanya Pak Manan sambil menghalakan mata ke arah Daniel Iman.
“Sakit senggugut, Pak Manan,” balas Nur Syahirah, selamba.
Berkerut dahi Pak Manan mendengarnya.
“Senggugut?”
“A’ah, Pak Manan.”
“Hisy, kamu ni Syira. Mati-mati Pak Manan ingat budak tu sakit senggugut. Pelik juga Pak Manan, lelaki ke perempuan budak tu.”
“Pak Manan ni pun. Dah terang-terang namanya Daniel Iman, mestilah lelaki.”
“Anak siapa, Syira?” ulang Pak Manan kepada pertanyaannya yang tadi.
“Anak doktor yang baru buka klinik kat pekan tu,” jawab Nur Syahirah. Tangannya lincah memasukkan buah rambutan ke dalam plastik.
“Oh, Syira tolong jagakan ke?”
“A’ah, Pak Manan.”
“Habis tu, kenapa dengan budak tu?”
“Biasalah Pak Manan. Tak biasa lagi dengan Syira.”
Pak Manan mengangguk faham. Matanya masih lagi menatap wajah mencuka Daniel Iman. Comel! Detik hati tua Pak Manan.
“Syira ke sana sekejap,” pamit Nur Syahirah lalu menghampiri Daniel Iman.
Pak Manan hanya mengangguk. Matanya mengekori langkah Nur Syahirah.
“Iman nak? Sedap tau buah ni. Manis!” tanya Nur Syahirah, berbasa-basi. Dihulurkan beberapa buah rambutan kepada Daniel Iman.
Daniel Iman tidak menghiraukan pertanyaan Nur Syahirah. Hatinya masih lagi keras untuk menerima kebaikan Nur Syahirah.
“Rugi tau kalau Iman tak makan buah ni. Kat Kuala Lumpur sana pun Iman takkan dapat buah yang dipetik terus dari pokok,” umpan Nur Syahirah pula.
Daniel Iman hanya membisu. Matanya memandang buah rambutan yang dihulurkan oleh Nur Syahirah.
“Kalau Iman tak nak, tak mengapalah. Kak Syira bagi pada Kak Hana,” kata Nur Syahirah dan berkira-kira untuk beredar dari situ.
Belum sempat dia beredar dari situ, Daniel Iman sudah pun merampas buah rambutan daripada tangannya. Dia tersenyum melihat tingkah laku Daniel Iman.
“Sedap, kan?” tanya Nur Syahirah sebaik sahaja Daniel Iman habis memakan sebiji buah rambutan. Senyuman diberikan kepada kanak-kanak itu.
Daniel Iman hanya mengangguk. Tangannya mencapai sebiji buah rambutan lagi. Dikupas dan dimasukkan ke dalam mulut. Matanya memandang wajah tersenyum Nur Syahirah.
“Kalau Iman nak, Kak Syira suruh Pak Manan bungkuskan untuk Iman. Nanti, Iman boleh bagi pada papa Iman sikit,” cadang Nur Syahirah.
Daniel Iman hanya mengangguk. Sebiji demi sebiji buah rambutan dimakan. Tidak dihiraukan pandangan Nur Syahirah. Apa yang pasti, kenikmatan buah rambutan itu.
“Uhuk! Uhuk!” batuk Daniel Iman sambil tangannya memukul lembut dada sendiri.
Nur Syahirah tersentak. Berkerut dahinya melihat tingkah laku Daniel Iman.
“Air!” sebut Daniel Iman.
“Iman, kenapa ni?” tanya Nur Syahirah, terkejut.
“Air!” ulang Daniel Iman.
“Pak Manan!” panggil Nur Syahirah.
Pak Manan yang sedang ralit mengait buah rambutan terkejut dengan panggilan Nur Syahirah. Dia segera melangkah menghampiri Nur Syahirah dan Daniel Iman.
“Pak Manan, kenapa dengan Iman?” tanya Nur Syahirah, kalut.
“Tercekik biji rambutan kut, Syira?” tebak Pak Manan.
“Haaa… Pak Manan, macam mana ni?” tanya Nur Syahirah sedikit menjerit. Tangannya turut sama mengusap belakang Daniel Iman. Risau di hati hanya Allah sahaja yang tahu.
“Kita bawa ke hospital, Syira,” cadang Pak Manan.
“Baiklah, Pak Manan,” balas Nur Syahirah.
Pak Manan segera mencempung tubuh Daniel Iman lalu membawanya ke kereta. Hatinya turut sama risau dengan apa yang terjadi.


“MACAM mana, Syira?” tanya Farhana setibanya di hospital.
Sebaik sahaja mendapat panggilan daripada Nur Syahirah tadi, dia segera menuju ke hospital. Berdoa agar tidak ada apa-apa yang berlaku terhadap Daniel Iman.
“Belum tahu lagi, Hana. Iman masih di dalam,” jawab Nur Syahirah, risau.
“Kau tak tengok-tengokkan dia ke tadi?”
“Aku tengok. Tapi, tak sangka boleh jadi macam ni.”
“Insya-Allah, tak ada apa-apa. Doakan Daniel Iman selamat,” sampuk Pak Manan.
Nur Syahirah dan Farhana hanya mengangguk. Perasaan risau masih lagi menapak di hati. Semoga Daniel Iman selamat, doa mereka berdua pula.
“Macam mana, doktor?” tanya Pak Manan sebaik sahaja kelibat Doktor Hasnah keluar dari bilik rawatan.
“Macam mana, doktor?” tanya Nur Syahirah dan Farhana, serentak.
“Tak ada apa-apa. Cuma lelah biasa sahaja,” jawab Doktor Hasnah, tersenyum.
“Betul ke, doktor?” tanya Nur Syahirah inginkan kepastian.
Doktor Hasnah sekadar mengangguk. Senyuman masih terbias di wajah.
“Syukur alhamdulillah. Saya takut Iman tercekik biji rambutan saja tadi,” kata Nur Syahirah sambil menarik nafas lega.
“Kalau macam tu, saya minta diri dulu,” pamit Doktor Hasnah dan berlalu pergi.
Nur Syahirah, Farhana dan Pak Manan sekadar mengangguk. Ucapan terima kasih meniti di bibir mereka bertiga.
“Pak Manan pun nak beransur jugalah, Syira, Hana. Kalau ada apa-apa nanti, jangan lupa beritahu Pak Manan.”
“Baiklah, Pak Manan. Terima kasih kerana membantu Syira tadi.”
“Perkara kecik aje. Pak Manan balik dulu, Syira, Hana.”
“Oh ya, buah-buah rambutan tu nanti Syira minta tolong Abang Nazry ambilkan daripada Pak Manan,” beritahu Nur Syahirah.
“Baiklah! Pak Manan balik dulu,” balas Pak Manan lalu beredar dari situ.
Nur Syahirah dan Farhana sekadar mengangguk. Mata mereka menghantar langkah Pak Manan sehingga hilang di sebalik pintu.
So, kau nak tunggu sini ke?” tanya Farhana.
“Aku tunggu sampai papa dia sampai. Aku dah call dia tadi,” jawab Nur Syahirah sambil melangkah masuk ke dalam bilik Daniel Iman.
“Oh! Habis tu, apa kata papa Daniel Iman?” tanya Farhana sambil mengekori Nur Syahirah daripada belakang.
“Dia cuma terkejut saja,” jawab Nur Syahirah, tenang.
Farhana mengangguk faham. Matanya memandang tingkah laku Nur Syahirah yang sedang mengemas selimut Daniel Iman.
“Kalau kau nak balik dulu, baliklah. Aku boleh tunggu sini sampai papa Iman datang.”
“Hurm, aku tunggu sama dengan kau la Syira. Aku nak jumpa dengan papa Daniel Iman juga. Handsome ke tidak papa budak tu,” kata Farhana, tersengih.
“Ada-ada sajalah kau ni Hana,” balas Nur Syahirah menggeleng kecil.
“Apa pulak ada-adanya? Selama dua bulan kau jaga Daniel Iman, mana pernah kau jumpa dengan papa dia. Kita pun tak pernah ke klinik Doktor Zairiel lagi.”
“Kan aku dah pernah jumpa sekali hari tu.”
“Memanglah kau dah pernah jumpa dengan dia. Tapi, kau tak tengok muka dia lagi, kan? Masa kau jumpa dengan dia, lampu rumah kita tu kan rosak. Kau pun tak pasti macam mana muka papa Daniel Iman, betul tak?”
Nur Syahirah berfikir sejenak. Ada benarnya kata-kata Farhana itu. Masih teringat pertemuan pertamanya dengan papa Daniel Iman.
“Agak-agak kau kan Syira, handsome tak papa Daniel Iman tu?”
“Manalah aku tahu. Yang kau sibuk sangat nak tahu, kenapa?”
“Aku saja nak tahu. Kut-kut la handsome. So, ada chance la untuk kau.”
“Apasal pulak aku?”
“Ala kau ni, buat-buat tak faham pulak. Apa salahnya kau tackle papa Daniel Iman tu. Dia pun duda, kan?”
“Apa yang kau merepek ni, Hana?” Nur Syahirah menegur.
“Okey.. okey.. sorry. Aku bergurau aje,” kata Farhana, tersenyum kelat.
Pasti, Nur Syahirah tidak suka dengan gurauannya tadi. Selama ini, sukar untuk menduga perasaan Nur Syahirah. Adakah hati Nur Syahirah sudah tertutup buat lelaki?
“Aku nak buat panggilan sekejap. Kau tolong tengok-tengokkan Iman sementara papanya belum sampai,” arah Nur Syahirah.
Yes boss!” sebut Farhana sambil mengangkat tangan kanan ke dahi. Lagak seperti orang memberi tabik hormat kepada ketua.
“Mengada-ngadalah kau ni Hana,” balas Nur Syahirah ketawa kecil.
Tanpa menunggu, dia melangkah keluar dari bilik. Dia perlu menelefon Nazry untuk meminta tolong mengambil buah rambutan daripada Pak Manan.
Farhana hanya mengangguk faham. Matanya menghantar langkah Nur Syahirah sehingga hilang di sebalik pintu bilik. Kemudian, dilabuhkan duduk di kerusi yang terdapat di situ. Wajah Daniel Iman ditatap mesra.
“Papa… papa…” panggil Daniel Iman lalu membuka mata.
“Danny dah bangun,” tegur Farhana, tersenyum.
“Papa mana?”
“Sekejap lagi papa Danny datang.”
Daniel Iman hanya mengangguk. Matanya melilau mencari kelibat Nur Syahirah. Ke mana Nur Syahirah pergi?
“Danny nak air? Kak Hana ambilkan ya,” tanya Farhana, berbasa-basi.
Daniel Iman hanya membisu. Dibangunkan tubuh sambil dibantu oleh Farhana. Matanya masih mencari Nur Syahirah.
“Ka… ka… kak…” tersekat-sekat Daniel Iman menuturkannya. Malu untuk menyebut panggilan ‘kakak’ buat Nur Syahirah.
“Kak Syira ke? Danny cari Kak Syira ya,” duga Farhana.
Daniel Iman mengangguk lemah. Wajah ditundukkan. Malu untuk mengakui kata-kata Farhana itu. Sungguh, hatinya teringin untuk berjumpa dengan Nur Syahirah. Adakah dia sudah dapat menerima Nur Syahirah sebagai pengasuhnya?
“Kak Syira keluar sekejap. Kak Syira…” kata-kata Farhana terhenti tatkala terpandang sesusuk tubuh yang sedang berdiri di hadapannya itu.




1 ulasan: