Isnin, 12 Mac 2012

Aku Juga Ingin Dicintai - Bab 5


BAB 5

Nur Ain menatap mesra wajah Hazrel berserta kerutan di dahi. Entah sebab apa Hazrel memanggilnya masuk ke dalam bilik pejabat, Nur Ain tidak tahu. Jika diikutkan, belum pernah dia lewat hadir ke tempat kerja dalam bulan ini. Tetapi, kenapa Hazrel memanggilnya?
“Ada apa Encik Hazrel?” tanya Nur Ain ingin tahu.
Hazrel mengangkat muka. Matanya merenung tajam wajah Nur Ain. Kemudian dijatuhkan wajahnya mengadap fail di hadapannya itu.
Hisy, dia ni nak apa? Dah lama dah aku tercongok kat depan dia. Kalau nak bagi kerja, bagi ajelah, buat apa senyap-senyap macam tu, rungut Nur Ain di dalam hati.
“Encik Hazrel nak suruh saya buat apa?” tanya Nur Ain sekadar mencuba.
Hazrel mendengus kasar. Sakit telinganya mendengar suara Nur Ain itu.
“Awak boleh diam tak? Macam mana saya nak fahamkan maklumat ni kalau awak bising,” jerkah Hazrel meninggi.
“Habis tu yang encik panggil saya ni kenapa?” suara Nur Ain sedikit meninggi.
Sakit hatinya dijerkah sebegitu. Seolah-olah dia tidak punya perasaan dan harga diri. Adakah disebabkan keadaan dirinya maka sesenang hati sahaja Hazrel memarahi dan menjerkah dirinya itu?
“Awak melawan saya Nur Ain?” tanya Hazrel masih meninggi.
“Encik Hazrel panggil saya masuk dalam ni untuk apa? Kalau Encik Hazrel nak bagi saya kerja, bagitau ajelah. Bolehlah saya keluar dari bilik ini secepat yang mungkin. Saya rasa Encik Hazrel pun bukannya suka nak mengadap muka saya ni,” jelas Nur Ain turut sama meninggi.
Hazrel bingkas bangun dari duduknya. Sakit hatinya mendengar kata-kata Nur Ain itu. Jika diikutkan hatinya yang panas, mahu sahaja dia menampar pipi gadis itu di atas kelancangan mulut gadis tersebut.
“Awak melawan saya Nur Ain? Awak tahu tak hutang awak tu masih belum bayar lagi,” suara Hazrel sinis.
Nur Ain mengerutkan dahi. Air liur ditelan berkali-kali. Matanya memandang tepat ke wajah Hazrel yang sedang mencebik.
“Awak jangan ingat saya akan halalkan hutang tu. Saya tetap nak awak bayarnya. Tapi, atas budi bicara saya sendiri, saya boleh pertimbangkan untuk kurangkan hutang awak tu,” jelas Hazrel dan bersandar di meja. Matanya menjamah Nur Ain dari atas ke bawah.
“Bagaimana?” tanya Nur Ain terketar-ketar.
Huh! Memang bodoh betul minah ni. Cepat sangat percayakan orang, kutuk Hazrel di dalam hati dan mencebik.
“Hari ni kau ikut aku ke mana aje aku pergi tanpa bersuara. Sebagai menebus hutang kau tu dan juga telefon bimbit kau yang aku pegang selama sebulan ni,” jelas Hazrel tegas.
Nur Ain membeliakkan matanya. Telefon bimbit? Takkan dia yang jumpa telefon aku kot, duga hati Nur Ain.
“Telefon bimbit?” ulang Nur Ain. “Maknanya, Encik Hazrel yang jumpa dan pegang telefon bimbit saya tu?” duga Nur Ain pula. Senyuman gembira terbias di wajahnya.
Hazrel terkedu. Seperti sebelum ini, terasa kelu lidahnya untuk berkata-kata. Matanya menatap senyuman gembira di bibir Nur Ain.
“Terima kasih encik. Boleh saya dapatkan telefon tu balik?” ujar Nur Ain riang.
Hazrel tersentak. Dia membetulkan keadaan dirinya dan menapak jalan menuju ke sofa. Persoalan Nur Ain dibiarkan tergantung. Jawapan apa yang perlu diberikan? Tidak semudah itu dia akan menyerahkan telefon bimbit itu selagi hatinya belum puas mengenakan Nur Ain.
“Aku akan serahkan asalkan kau dengar cakap aku. Buat permulaan, aku nak kau buatkan aku air, terasa kering tekak aku ni,” arah Hazrel tegas.
“Baiklah! Saya minta diri dulu,” ujar Nur Ain dan segera menapak keluar.
Hazrel hanya memandang. Otaknya ligat berfikir rancangan untuk mengenakan Nur Ain. Rasa sakit hatinya terhadap Eddie, masih lagi bersisa. Malah kata-kata amaran yang diberikan oleh Eddie juga membuatkan ego lelakinya rasa tercabar.
“Aku nak tengok, berapa lama kau akan pertahankan dia Die,” bisik Hazrel sendirian.


Nur Ain membuntuti Hazrel. Sedari tadi, dia hanya menurut segala perintah Hazrel. Ke situ Hazrel pergi, ke situ jugalah Nur Ain pergi. Ke sana Hazrel pergi, ke sana jugalah Nur Ain pergi. Entah ke mana Hazrel ingin membawanya, Nur Ain sendiri tidak pasti. Adakah hari ini menjadi hari paling malang buat Nur Ain? Malang kerana terpaksa mengekori Hazrel ke mana sahaja lelaki itu ingin pergi.
“Cepatlah! Yang terhegeh-hegeh tu lagi kenapa?” jerit Hazrel sedikit meninggi.
“Maaf!” ucap Nur Ain dan mempercepatkan langkahnya.
“Tak habis-habis dengan kata maaf  kau tu. Cubalah cari ayat lain yang boleh disebutkan. Ini tidak, ‘maaf’… ‘maaf’… sakit telinga aku dengarnya, kau tahu tak?” jerkah Hazrel pula sambil bercekak pinggang.
Terhenjut badan Nur Ain mendengar jerkahan Hazrel itu. Dia menundukkan muka dari ditatap oleh Hazrel. Sungguh dia merasa malu yang amat sangat ketika ini. Pasang-pasang mata yang melihat tidak dihiraukannya. Jika boleh, mahu sahaja Nur Ain melangkah pergi dari situ. Namun disabarkan hatinya kerana khuatir Hazrel akan terus-terusan mengugutnya.
Hazrel meneruskan langkahnya. Dia membawa dirinya masuk ke dalam sebuah kedai pakaian yang berada di dalam shopping kompleks itu. Hatinya teruja melihat koleksi pakaian yang terdapat di dalam kedai tersebut. Dicapai satu persatu baju yang menarik minatnya dan diserahkan kepada Nur Ain.
“Pegang ni!” arah Hazrel keras.
Nur Ain yang sedikit mengelamun, tersentak dengan arahan Hazrel. Dia mencapai baju yang diserahkan oleh Hazrel. Satu persatu Hazrel menyerahkan padanya. Dia hanya membuntuti Hazrel tanpa berniat untuk membantah. Jika dibantah, bagaimana untuk melangsaikan hutangnya dan juga mendapat telefon bimbitnya semula.
“Yang kau tercegat kat situ tu lagi kenapa? Bawa sini baju-baju tu semua!” tegur Hazrel keras tatkala menyedari Nur Ain seakan mengelamun.
“Baiklah!” balas Nur Ain dan menghampiri Hazrel.
“Tak boleh diharapkan langsung!” rengus Hazrel kasar.
Segera dia mencapai baju yang berada di tangan Nur Ain. Disuakan baju tersebut ke badannya sendiri satu persatu di hadapan cermin. Jika tidak berkenan di hati dan matanya, dilemparkan baju tersebut ke arah Nur Ain. Begitulah tingkah Hazrel selama dia berada di dalam kedai pakaian itu. Dikerahkan Nur Ain mengambil dan meletakkan baju dari gantungan. Hatinya puas mengenakan Nur Ain. Niatnya untuk membuatkan Nur Ain sebagai hambanya terlaksana sudah. Jika Eddie tahu sekali pun, Hazrel tidak ambil peduli. Apa yang penting, rancangannya itu berjaya dengan jayanya.
“Lepas ni ikut aku ke gym. Dah lama aku tak ke sana,” beritahu Hazrel sebaik sahaja keluar dari kedai pakaian tersebut.
Nur Ain sekadar mengangguk. Nak tak nak, dia terpaksa akur dengan arahan Hazrel. Untuk membantah, tidak sama sekali. Nasibnya diserahkan pada ALLAH sahaja.
“Dah tak ada mulut nak bercakap ke? Aku tak nak tengok kau mengangguk. Aku nak tahu jawapan dari kau bila aku bertanya,” suara Hazrel menekan.
“Baiklah Encik Hazrel!” jawab Nur Ain dan menunduk.
“Kau ni asyik menunduk aje kenapa? Kau takut tengok muka aku ni atau kau takut jatuh cinta pada aku?” tanya Hazrel sinis.
“Tak… saya…”
“Aku pun tak hingin nak tengok muka kau yang tak cantik dan berparut tu,” pintas Hazrel meluat. Seminit kemudian, dia membawa dirinya masuk ke dalam gym.
Tersentap hati Nur Ain mendengarnya. Air matanya bergenang di tubir mata. Kenapa Hazrel menghinanya sebegitu rupa? Nur Ain sedar, dia bukanlah secantik Erra Fazira. Tetapi, dia juga punya hati dan perasaan. Sungguh Nur Ain terasa dengan kata-kata Hazrel tadi. Namun ditahan rasa hatinya itu. Siapalah dia untuk mempersoalnya semula?


“Janganlah macam ni Qis. Auntie janji akan paksa Haz terima cadangan kita tu,” pujuk Datin Salina sambil menggenggam tangan Qistina.
“Tapi kalau Haz tak setuju macam mana Auntie,” ujar Qistina sebak.
“Qis jangan risau. Haz akan dengar cakap Auntie. Percayalah dengan Auntie.
Qistina mengeluh berat. Pelbagai usaha telah dibuat agar Hazrel jatuh cinta dengannya. Ternyata usahanya itu hanya sia-sia sahaja. Hati Hazrel begitu keras sehingga sukar untuk menembusinya. Jika dulu dia gagal untuk mendapatkan Hazrul, dia tidak mahu gagal untuk kali yang kedua. Dia perlu memikat hati Hazrel. Dia perlu pastikan Hazrel jatuh ke tangannya. Dia perlu membuatkan Hazrel menyintainya. Jika dengan jalan baik, dia tidak berjaya. Dia akan menggunakan jalan jahat asalkan Hazrel jatuh ke tangannya.
“Qis bukannya apa Auntie, Qis kecewa dengan sikap Haz. Qis dah usaha untuk pikat hati dia, tapi masih tak berjaya,” jelas Qistina sebak. “Mujurlah papa tak bertanyakan pada Qis tentang hubungan Qis dengan Haz. Kalau tidak, jawapan apa yang Qis perlu berikan pada papa nanti andai kata papa bertanyakan tentang itu dari Qis,” sambung Qistina.
Datin Salina menghela nafas pendek. Dia meleraikan genggaman tangannya yang sedari tadi bertaut di tangan Qistina. Matanya menatap wajah muram Qistina. Tumpah simpatinya terhadap wajah itu.
“Macam nilah Qis. Tentang hubungan Qis dengan Haz, Qis jangan bagitau apa-apa pada papa Qis. Auntie dan Uncle akan bincangnya sendiri dengan papa Qis. Auntie juga akan tanyakan Haz tentang perkara ini,” cadang Datin Salina seraya bangun. Langkah diatur menuju ke jendela dan membuang pandang di situ.
Auntie janji akan selesaikan bagi pihak Qis?”
“Janji Qis. Auntie akan cuba selesaikannya secepat mungkin. Auntie cuma tunggu kata putus dari Haz aje.”
“Kata putus? Maksud Auntie?” ulang Qistina berserta kerutan.
Auntie minta Haz berkahwin dengan Qis. Auntie tunggu jawapan dari Haz aje,” beritahu Datin Salina dan tersenyum.
Membuntang mata Qistina mendengarnya. Betul ke apa yang diperkatakan oleh Datin Salina itu? Datin Salina menyuruh Hazrel berkahwin dengannya?
“Tapi, nak ke Haz setuju dengan cadangan Auntie tu?” tanya Qistina curiga.
“Jangan risau Qis. Auntie yakin Haz akan setuju. Haz terlalu sayangkan Auntie. Semua yang Auntie nak, Haz turutkan. Jadi Auntie akan cuba pujuk Haz terima cadangan Auntie tu,” jelas Datin Salina pula. Senyuman manis bergayut di bibirnya.
Qistina bingkas bangun dari duduknya. Dia menghampiri Datin Salina di jendela. Dipeluk erat tubuh Datin Salina dan dihadiahkan kucupan mesra di pipi Datin Salina. Selama ini hanya Datin Salina sahaja tempat untuk Qistina melepaskan rindu pada arwah mamanya. Jika tiada Datin Salina, sukar untuknya meneruskan kehidupan selepas kematian mamanya dua tahun yang lepas.
“Terima kasih Auntie. Qis sayang sangat pada Auntie. Hanya Auntie tempat Qis bermanja selepas mama meninggal,” ucap Qistina lembut.
“Tak perlulah nak berterima kasih dengan Auntie. Qis pun Auntie dah anggap macam anak menantu Auntie. Kalau Qis ada masalah, Qis bagitau pada Auntie. Mungkin Auntie boleh tolongnya,” balas Datin Salina dan membalas pelukan Qistina. Matanya menjamah wajah Qistina. Tumpah kasih dan sayang pada wajah itu.
Qistina tersenyum. Hatinya berbunga riang. Semoga rancangan Datin Salina untuk menjodohkannya dengan Hazrel tercapai. Semoga Hazrel bersetuju dengan cadangan Datin Salina itu. Sungguh hatinya tidak sabar untuk mendengar jawapan dari Hazrel. Kalau aku tak dapat abang, adiknya pun jadilah, bisik hati kecil Qistina.


“Kau kat mana Haz? Aku cari kau kat office tak ada pun. Tanya Encik Latif, dia pun tak tahu kau ke mana,” tanya Izzuddin dari hujung talian.
“Aku kat luar, ada hal sikit. Kenapa?” jawab Hazrel dan mendengus kasar.
“Aku nak bincang dengan kau tentang strategik pemasaran Cahaya Sdn Bhd. Kau balik office ke tidak?”
“Ermm… tak sure lagi aku balik office ataupun tidak. Kau letak ajelah kat atas meja aku tu dulu. Esok pagi-pagi aku bacanya.”
Izzuddin menarik nafas dan melepaskannya. Matanya dikerling ke jam di dinding. Masa sudah pun menginjak ke angka dua petang. Ke mana Hazrel pergi dia sendiri tidak pasti. Jika begini sikap Hazrel, bagaimana untuk memajukan Cahaya Sdn Bhd.
“Baiklah. Aku letak atas meja kau. Sebelum tu aku nak tanya, Nur Ain ada dengan kau ke? Aku tanya Fauziah, Nur Ain ikut kau keluar sama. Kau bawa dia ke mana?” tanya Izzuddin ingin tahu.
Hisy, penyibuk betullah Izz ni. Suka hati akulah nak bawa dia ke mana. Akukan bos dia dan wajib dia kena dengar arahan aku, rungut Hazrel sendirian. Matanya dihalakan ke arah Nur Ain yang sedang berdiri tidak jauh dari meja yang didudukinya di restoran itu. Geli hati melihat Nur Ain yang sedang memegang beberapa beg kertas berisi baju dan barangan miliknya.
“Aku bawa dia jalan-jalan tengok dunia luar. Okeylah aku nak drive ni, nanti aku call kau balik, itu pun kalau aku ingat nak call kau lah,” bohong Hazrel dan tertawa kecil.
“Kau jangan nak buli dia Haz. Dia pun ada hati dan perasaan macam kau juga,” balas Izzuddin berbaur nasihat.
Hazrel mendengus keras. Sakit telinganya mendengar balasan Izzuddin. Kenapa Izzuddin dan Eddie membela perempuan kampung itu? Apa yang istimewa pada Nur Ain?
“Okeylah. Malas aku nak dengar ceramah free kau tu. Aku jumpa kau esok,” pamit Hazrel dan mematikan talian. Jika berlama, entah ceramah apa lagi yang bakal diceramahkan oleh Izzuddin itu. Bertambah sakit telinganya lagi.
“Kau mari sini!” panggil Hazrel sedikit meninggi.
Nur Ain yang mendengar, segera mengatur langkah menghampiri Hazrel. Menanti arahan seterusnya daripada Hazrel.
“Aku nak kau bawa barang-barang ni semua ke kereta aku. Lepas tu kau datang sini balik. Nah ambil kunci kereta ni. Tapi ingat, kau jangan kotorkan kereta aku tu pulak,” arah Hazrel bernada ugutan. Dihulurkan kunci kereta kepada Nur Ain.
“Bila saya boleh balik Encik Hazrel?” tanya Nur Ain sekadar mencuba.
“Kau jangan nak bermimpi nak balik. Selagi aku belum puas, selagi itu kau kena ikut aku, faham!” suara Hazrel sedikit meninggi.
“Baiklah!” hanya ayat itu yang mampu dikeluarkan dari mulut Nur Ain.
“Bagus. Kan senang kalau kau ikut arahan aku tanpa banyak bunyi. Dah pergi hantar barang-barang tu semua sebelum angin aku naik,” arah Hazrel keras.
Nur Ain mengangguk. Kunci kereta yang dihulurkan oleh Hazrel segera dicapai. Tanpa membuang masa, segera dia membawa langkahnya menuju ke tempat letak kereta. Ikutkan ajelah, asalkan hutang aku langsai, bisik Nur Ain sendirian.
Hazrel hanya memandang. Kepatuhan Nur Ain membuatkan hatinya puas dan gembira. Apa yang membuatkan hatinya panas apabila mengingati kata-kata Izzuddin sebentar tadi. Buli? Sejak bila aku buli dia? Aku ajar dia macam mana nak hidup dalam dunia ni. Aku suruh dia ikut aku aje. Salah ke apa yang aku buat ni? monolog Hazrel sendirian. Bingkas dia bangun menuju ke kedai cermin mata yang terletak berhampiran dengan restoran itu. Tidak mahu terus-terusan memikirkan tentang mereka semua lagi.
Nur Ain melangkah jalan menuju ke parking lot. Matanya meninjau dan mencari-cari kereta Hazrel. Sungguh dia kurang mengenali jenis, nombor plat dan warna kereta Hazrel. Dia juga lupa di mana Hazrel memarkirkan keretanya. Di tingkat berapa, di blok mana, Nur Ain tidak tahu. Bagaimana untuk menghantar barang-barang milik Hazrel sedangkan dia sendiri kurang mengenali kereta Hazrel.
“Ya ALLAH, apa aku nak buat ni? Mana aku ingat keretanya,” keluh Nur Ain sendirian.
Kakinya masih lagi melangkah. Sekejap berhenti, sekejap berjalan. Peluh sudah merenik di dahi. Barang yang dibawa agak memberatkan. Mana tidaknya, baju, seluar, topi, barangan kaca, kasut, semuanya berada di tangannya. Jika diikutkan hati, mahu sahaja dia membuang barang-barang tersebut. Namun disabarkan hati. Tak pasal-pasal kena gantilah pulak, bisik Nur Ain pula.


“Hisy… mana pulak dia ni pergi? Takkan dari tadi tak balik-balik,” rungut Hazrel seraya mengerling jam di tangan. Masa sudah menginjak ke pukul tiga dua puluh minit petang. Matanya membelingas mencari kelibat Nur Ain.
“Sengaja nak naikkan darah akulah dia ni,” marah Hazrel pula.
Lantas di atur langkah menuju ke tempat letak kereta. Nafasnya berombak kencang. Menahan kemarahan yang sudah menapak di dalam dirinya ketika itu. Sambil melangkah, matanya melilau melihat keadaan parking kereta itu.
Langkahnya menjadi perlahan tatkala terlihat orang ramai berkerumun berhampiran kaunter bayaran. Diperhatikan dari jauh dan ada sesuatu yang menarik minatnya untuk melihat.
“Kenapa ni?” tanya Hazrel setibanya dia di pondok kaunter bayaran itu.
“Ada orang diragut. Nasib baik cedera ringan aje,” beritahu lelaki yang berpakaian pengawal.
Hazrel mengangguk faham. Dia memusingkan badannya untuk beredar dari situ. Tidak berminat untuk menyibuk dengan apa yang terjadi di situ. Dia perlu mencari Nur Ain. Sakit hatinya menunggu Nur Ain yang tidak kunjung tiba.
“Saya… saya perlu ambil barang-barang tu semua. Nanti saya kena gantinya pula. Tolonglah encik!” rayu Nur Ain dalam nada esakan.
“Tapi cik, tangan cik dah luka. Cik perlu ke hospital untuk rawat luka cik tu,” nasihat pengawal yang bernama Hussin itu.
“Saya tak peduli. Tolonglah encik, saya perlu dapatkan barang-barang tu semua,” rayu Nur Ain lagi.
Bertambah laju air matanya mengalir membasahi pipi. Luka di tangan akibat terkena pisau tidak dipedulikan asalkan dia mendapat semula barang-barang milik Hazrel. Jika tidak sudah pastilah dia akan menggantikan kesemua barang yang dirompak itu.
“Cik, mustahil cik dapat balik barang-barang tu. Cik jangan risau, kami dah buat laporan pada pengurusan kompleks ni. Mereka akan ambil tindakan selanjutnya. Lagipun kawasan parking ni memang bahaya kalau berjalan berseorangan. Sebelum ini dah terjadi kes yang sama,” cerita Encik Hussin lagi.
Nur Ain menundukkan muka. Sungguh hatinya risau ketika itu. Apa yang perlu dijawabkan jika Hazrel bertanyakan tentang ini? Bagaimana untuk mencari duit jika Hazrel meminta menggantikan barang-barang itu semula? Sudahlah hutangnya yang lepas belum lagi berbayar, ditambah pula dengan hutang yang ini. Alamatnya dia terpaksa mengikat perut selama berbulan-bulan untuk membayar segala kerugian tersebut.
“Nur Ain!” panggil Hazrel tatkala menyedari suara esakan itu milik Nur Ain.
Nur Ain mengangkat muka. Berderau darahnya melihat Hazrel. Riak di wajah Hazrel ketika itu sukar untuk ditafsirkan.
“Encik ni siapa?” tanya Encik Hussin.
“Saya… saya… saya suami dia.” Tergagap-gagap Hazrel menjawabnya.
Nur Ain mengerutkan dahi. Suami? Sejak bila pulak dia jadi suami aku? bisik hati Nur Ain. Matanya menjamah wajah Hazrel.
“Kenapa encik biarkan isteri encik berjalan berseorangan di parking lot ni. Kawasan ni sunyi dan bahaya untuk mereka yang berjalan berseorangan. Kami dah tampal notis setiap bangunan dan blok. Encik tak bacanya ke?” tegur Encik Hussin.
“Mungkin saya tak perasannya encik,” balas Hazrel perlahan.
Lantas dibangunkan Nur Ain dari duduknya. Bulat matanya melihat darah yang mengalir di lengan Nur Ain.
“Kenapa tak bawa isteri saya ke hospital?” tanya Hazrel tidak berpuas hati.
“Kami dah suruh, tapi isteri encik yang berdegil. Dia kata selagi barang-barang dia tak dapat, selagi itulah dia tak nak ke hospital. Barang-barang tu lagi berharga dari nyawanya sendiri,” tegur seseorang dari arah belakang Hazrel.
Serentak Hazrel menoleh ke arah suara tersebut. Nur Ain hanya menunduk.
“Tak mengapalah. Saya bawa isteri saya ke hospital sekarang. Apa-apa pun saya ucapkan terima kasih pada semua,” ucap Hazrel ikhlas dan membawa Nur Ain ke keretanya.
Orang ramai yang berada di situ sekadar mengangguk. Seminit kemudian, mereka bersurai dari tempat itu. Encik Hussin hanya memandang dari jauh. Hatinya terusik dengan kesungguhan Nur Ain mempertahankan barang-barang yang dibawa Nur Ain tadi. Mujurlah dia nampak akan kejadian itu, jika tidak entah apa yang akan terjadi pada Nur Ain. Mungkin lebih teruk dari terkena hirisan pisau.
“Saya minta maaf,” ucap Nur Ain perlahan.
Hazrel tidak menghiraukan ucapan Nur Ain. Dia membawa langkahnya menuju ke tempat di mana keretanya di parkirkan. Entah kenapa hatinya terasa sakit dengan tiba-tiba. Sakit yang sukar untuk dimengertikan. Sakit yang sukar untuk ditafsirkan olehnya sendiri. Huh! Apa semua ni?  bisik hati Hazrel.
“Saya akan gantikan barang-barang tu semua. Tapi, Encik Hazrel bagi masa pada saya untuk kumpulkan duit membayarnya,” sambung Nur Ain. “Kalau saya berhati-hati, mesti barang Encik Hazrel tak dicuri mereka tadi,” tambahnya lagi bernada kesal.
“Kau boleh diam tak? Kenapa kau nak fikirkan pasal barang-barang tu lagi. Kau tengok lengan kau tu dah berdarah. Kau tahu tak?” jerkah Hazrel meninggi.
Terhenjut badan Nur Ain akibat jerkahan Hazrel itu. Air mata yang sempat diseka tadi, mengalir membasahi pipinya semula. Sungguh bukan itu kemahuannya. Bukan itu yang dipintanya. Bukan juga dia mengharapkan kejadian itu berlaku. Tetapi sudah ditakdirkan dia akan menghadapi situasi itu tadi. Dia redha andai kata nyawanya melayang sebentar tadi asalkan barang-barang milik Hazrel tidak dicuri oleh mereka tadi.
Hazrel menendang tayar keretanya sendiri. Melepaskan kemarahan terhadap tayar tersebut. Dibiarkan kakinya yang terasa sakit akibat tendangannya itu. Kenapa Nur Ain perlu memikirkan tentang barang-barang itu? Tidak tahukah dia akan keadaannya sekarang?
“Saya minta maaf. Saya janji akan lebih berhati-hati selepas ini. Saya janji akan bayarnya semula,” ujar Nur Ain sebak.
Hazrel mendengus keras. Dia memegang kepalanya kuat. Sakit telinganya mendengar kata-kata yang keluar dari mulut Nur Ain. Barang… barang. Tak habis-habis dengan barang. Dia tak tahu ke nyawanya hampir melayang disebabkan barang tu, marah Hazrel di dalam hati. Kenapa aku emosional sangat ni, tanyanya pula.
“Mana kunci kereta aku?” tanya Hazrel meninggi.
Tidak mahu terus-terusan membincangkan tentang itu lagi. Dia sendiri tidak tahu apa yang terjadi pada dirinya sekarang.
Nur Ain mengeluarkan kunci kereta dari dalam poket baju kurungnya. Mujurlah dia menyimpan kunci tersebut di dalam poket. Malah dompetnya juga disimpan di dalam poket tersebut. Jika tidak, pasti Hazrel akan bertambah marah dan mengamuk padanya.
“Nasib baik kau tak hilangkan kereta aku ni sekali, kalau tidak sepuluh tahun kau kerja pun belum tentu kau dapat bayarnya balik,” sindir Hazrel pedas seraya merampas kunci kereta dari tangan Nur Ain.
Hazrel memboloskan dirinya masuk ke dalam perut kereta. Dia perlu menghantar Nur Ain ke klinik untuk merawat luka di lengan Nur Ain. Walaupun dia tidak menyukai Nur Ain, atas perikemanusiaan, nak tak nak, terpaksa juga dia menghantar Nur Ain ke klinik. Tidak mahu dianggap buruk oleh sesiapa andai kata suatu hari nanti ada orang yang mengetahui akan kejadian hari ini.
“Kau buat apa lagi kat luar tu, masuk! Aku hantar kau ke klinik!” tempelak Hazrel dari dalam kereta.
Nur Ain yang mendengar segera membuka pintu kereta. Hatinya berkira-kira untuk masuk ke dalam kereta. Khuatir akan mengotorkan kusyen kereta milik Hazrel semula. Sudahlah kes lepas belum lagi selesai. Berhari-hari dia terpaksa mendengar ungkitan dari mulut Hazrel mengenai kes yang lepas. Bagaimana pula dengan kes hari ini? Adakah selama sebulan dia akan mendengar ungkitan dari mulut lelaki itu nanti?
“Kau tunggu apa lagi, masuk!” marah Hazrel. Sakit hatinya melihat reaksi tak berperasaan Nur Ain itu.
“Nanti kereta Encik Hazrel kotor disebabkan darah saya,” balas Nur Ain perlahan.
Hazrel memegang kepalanya. Ditekan kepalanya menahan amarah yang sedang berkocak dalam dirinya itu. Jika diikutkan hatinya yang panas, mahu sahaja dia meninggalkan Nur Ain sahaja dan beredar dari situ. Tidaklah dia menyusahkan diri sendiri kerana Nur Ain lagi. Namun disabarkan hati untuk tidak berbuat begitu.
“Masuk!” arah Hazrel keras. “ Kalau kau tak masuk, aku suruh kau bayar dua kali ganda dari harga asal sebelum ni,” sambung Hazrel lagi.
Nur Ain terkedu. Dua kali ganda? Itu bermakna dia harus membayar sebanyak dua ribu ringgit mendengarkan kata-kata Hazrel itu. Lantas dia menapak masuk ke dalam kereta dan menutup pintu kereta. Matanya mencuri pandang ke arah Hazrel yang masih berwajah tegang.
“Saya minta maaf,” ujar Nur Ain lembut.
Hazrel mendengus keras. Matanya diluruskan ke hadapan. Sesekali matanya dikerlingkan ke arah lengan Nur Ain yang masih berdarah. Lengan baju kurungnya lencun dek darah yang tidak henti-henti mengalir keluar.
“Kau ambil sapu tangan ni. Tahan darah kau tu dari keluar. Tak pasal-pasal, kena pulak kusyen kereta aku ni,” arah Hazrel sambil menghulurkan sapu tangan miliknya kepada Nur Ain.
“Terima kasih!” ucap Nur Ain seraya membalas huluran tersebut.
Lantas disinsing lengan bajunya ke atas sedikit. Diikatkan sapu tangan milik Hazrel di lengannya. Cuba untuk menahan darah dari terus-terusan keluar. Terasa loya dirasakannya ketika itu. Hampir pitam Nur Ain melihat darahnya sendiri. Namun dicuba bertahan agar tidak pitam. Khuatir akan menyusahkan Hazrel.


“Apa hal Haz?” tanya Eddie sedikit kasar dari hujung talian.
“Kau datang Klinik Rosli Seksyen 7 sekarang ambil Nur Ain. Aku tinggalkan dia kat situ,” beritahu Hazrel berupa arahan.
“Klinik? Apa Ain buat kat klinik?” tanya Eddie meninggi.
“Tangan dia luka terkena pisau,” jawab Hazrel selamba.
What? Terkena pisau. Apa kau dah buat dengan dia Haz? Kau buli dia lagi ke?” tanya Eddie bertubi-tubi. Panas hatinya mendengar jawapan Hazrel itu.
“Kau jangan nak main tuduh Eddie. Aku tak buat apa-apa pun pada dia. Dia sendiri yang cuai,” balas Hazrel meninggi. Turut panas dengan tuduhan Eddie itu.
“Kau tunggu situ. Aku datang sekarang,” arah Eddie dan mematikan talian.
Hazrel mendengus deras. Matanya dihalakan ke arah Nur Ain yang sedang duduk di bangku berhampiran dengan kaunter ubat. Riak pucat jelas di wajah Nur Ain ketika itu.
“Nur Ain Zafira Ibrahim!” panggil nurse yang bertugas.
Terkejut Nur Ain dek kerana panggilan tersebut. Bingkas dia bangun dan menapak ke kaunter ubat. Masih terasa sisa kesakitan di lengannya itu. Sudahlah luka sebulan yang lepas masih belum pulih sepenuhnya, ditambah dengan luka hari ini. Nur Ain mengeluh dalam hati. Kenapa begitu malang nasibnya itu?
“Semuanya RM90.00,” ujar nurse tersebut.
Bulat mata Nur Ain mendengarnya. RM90.00! ulangnya di dalam hati. Lantas dikeluarkan dompet dari dalam poket baju kurungnya. Mencongak-congak jumlah duit yang terdapat di dalam dompetnya itu.
“Jangan lupa bayarnya semula,” kata Hazrel sinis selepas menyerahkan sekeping not RM50 dan empat keping not RM10 kepada nurse tersebut.
Setelah mendapat resit, segera dia membawa kakinya keluar dari klinik tersebut. Tidak mahu berada lama di dalam klinik itu. Tempat yang paling tidak disukainya selama ini.
Nur Ain sekadar mengekori dari belakang. Terasa mulutnya terkunci dengan tiba-tiba. Otaknya ligat berfikir. Berfikir jumlah wang yang perlu dibayarnya kepada Hazrel.
“RM1000 tambah RM90 sama dengan RM1090. Itu belum masuk jumlah barang-barang yang aku dah hilangkan tadi,” bisik Nur Ain sendirian. “Duit simpanan aku ada dalam RM3000 lebih, mana cukup aku nak bayarnya nanti. Mesti barang-barang dia tu dalam RM2000 lebih. Ya ALLAH, mana aku nak cari duit lagi ni,” sambung Nur Ain lagi.
“Kau ni dengar ke tak apa yang aku cakapkan tadi?” tegur Hazrel meninggi.
Tersentak Nur Ain akibat teguran itu. Dia menghalakan pandangan ke muka tegang Hazrel. Begitu lama dia mengelamun sehinggakan dia tidak menyedari Hazrel sedang memandangnya dengan pandangan yang tajam.
“Maaf, saya mengelamun tadi,” jujur Nur Ain.
“Apa yang kau lamunkan? Kau kira berapa jumlah yang kau perlu bayar pada aku ke?” sinis Hazrel bertanya. Matanya tajam ke muka Nur Ain.
Nur Ain mengangguk. Itulah yang sedang difikirkannya sekarang. Jumlah yang perlu dibayarkan kepada Hazrel.
“Huh! Susahkan jadi orang yang tak berharta macam kau ni. Kena fikir kat mana nak cari duit bayar hutang,” sindir Hazrel pedas.
Nur Ain yang mendengar, berkerut seribu. Terasa dengan kata-kata Hazrel. Namun ditahan rasa hatinya itu. Tidak ada gunanya jika dia membidas kata-kata Hazrel itu. Biarlah dia, suatu hari nanti dia akan sedar dengan apa yang dia cakapkan tu, bisik Nur Ain sendirian. Cuba untuk menyedapkan hati dan perasaannya sendiri.
“Ain!” panggil Humaira.
Serentak Nur Ain menoleh ke arah Humaira. Kelihatan Eddie turut sama berada di sisi Humaira.
“Eloklah kau datang Die. Dah naik rimas aku dengan dia ni. Aku blah dulu,” suara Hazrel dan membawa langkah kakinya ke kereta. Terasa penat badannya itu akibat seharian membawa kereta dan berjalan. Dia perlu balik ke rumah dan merehatkan badannya itu.
“Aku nak cakap dengan kau Haz,” pinta Eddie dan menahan langkah Hazrel.
“Aku penatlah Die. Esok ajelah kita bincang,” tolak Hazrel.
“Aku jumpa kau kat office kau esok,” pesan Eddie keras.
“Suka hati kaulah. Malas aku nak layan kau Die,” balas Hazrel selamba dan menapak masuk ke dalam kereta. Seminit kemudian, keretanya menghilang di sebalik kepekatan malam.


“Apa yang dah jadi Ain? Cuba Ain cerita dengan maksu dan Abang Eddie,” tanya Humaira keras sambil melabuhkan duduknya di sofa.
Nur Ain menunduk. Takut melihat panahan mata Humaira dan Eddie ketika itu. Jawapan apa yang perlu diberikan pada mereka berdua.
“Ain ni tak serik-serik ke dengan apa yang Hazrel dah lakukan pada Ain dulu. Cuba jangan berdegil dan dengar cakap maksu dan Abang Eddie,” marah Humaira pula.
“Maafkan Ain.” Hanya itu sahaja yang keluar dari mulutnya.
“Ain, abang bukannya nak masuk campur dalam urusan Ain. Tapi, abang nak Ain berfikir sebelum menerima sebarang arahan dari Hazrel. Ain perlu ingat, Hazrel tu bukan orang yang mudah dibawa berbincang. Hatinya keras dan tegas dengan keputusannya. Dia sanggup lakukan apa sahaja asalkan hajatnya tercapai. Ain dengarlah cakap  abang dengan maksu,” nasihat Eddie tegas.
“Ain tahu dan Ain minta maaf,” ucap Nur Ain perlahan.
Eddie menghela nafas pendek. Matanya memberi isyarat pada Humaira dan berharap Humaira memahami akan isyaratnya itu.
“Sudahlah, Ain pergi masuk bilik bersihkan diri. Baju tu tukar dan buang. Penuh darah maksu tengoknya. Nanti bertambah teruk luka Ain tu. Kalau Ain nak makan, maksu ada masak. Ain cari aje kat dapur tu,” arah Humaira berbaur pujukan.
Nur Ain mengangguk. Bingkas dia bangun dari duduknya dan menapak masuk ke dalam bilik. Nur Ain sedar akan kesilapannya itu. Disebabkan tidak berfikir panjang, dia akur dengan arahan Hazrel tanpa memikirkan kesan dan sebabnya. Perlukah dia menolak keras permintaan Hazrel andai kata Hazrel memaksanya lagi? Bagaimana dengan hutangnya nanti?
“Mana aku nak cari duit ni?” keluh Nur Ain sendirian.
Eddie dan Humaira hanya memandang. Ekor mata mereka sahaja yang mengekori langkah Nur Ain sehingga hilang di sebalik pintu bilik. Kemudian mereka berdua bertatapan antara satu sama lain. Keluhan berat terlepas dari bibir masing-masing.
“Die balik dululah Mai. Esok Die nak jumpa dengan Hazrel. Die nak tanya apa yang dia nak dari Ain. Tak habis-habis Haz buli Ain. Apa sebabnya Haz membuli Ain? Nak kata Ain buat salah dengan dia, tak adalah pulak. Kadang-kadang Die tak faham apa masalah Haz tu,” beritahu Eddie tegas seraya bangun.
“Baiklah Die. Jangan bergaduh sudahlah,” balas Humaira dan tertawa kecil.
“Hisy, tak adalah Die nak bergaduh dengan Haz. Apa-apa pun, Haz tu tetap kawan baik Die. Walaupun sikap dia begitu, tapi hati dia lembut dan mudah tersentuh. Mungkin ego dia yang tinggi menenggelemankan sifat baik dia tu,” terang Eddie jujur dan menapak jalan menuju ke muka pintu rumah. Humaira mengekori dari belakang.
“Die, kalau Mai tanya sesuatu, boleh tak?” ujar Humaira.
“Apa dia?” tanya Eddie sambil menyarung kasut ke kaki.
“Kenapa Die ambil berat tentang Ain? Semua tentang Ain, Die perlu tahu dan apa yang terjadi pada Ain, Die akan selesaikannya. Kenapa Die?” tanya Humaira ingin tahu.
Persoalan itulah yang bersarang dalam kotak fikirannya selama ini. Jika dulu, dia menganggap perkara itu biasa, tetapi tidak kali ini. Keprihatinan Eddie melebihi darinya selaku ibu saudara Nur Ain. Hanya Eddie sahaja yang tahu akan jawapan pada persoalannya itu.
Eddie mengerutkan dahi. Bagaimana untuk menjawab pertanyaan Humaira itu? Perlukah dia menceritakan segala-galanya pada Humaira? Tidak! Belum tiba masanya untuk dia berterus-terang pada Humaira sebab dan kenapa dia mengambil berat terhadap Nur Ain. Mungkin suatu hari nanti, dia akan menceritakan segala-galanya pada Humaira dan juga Nur Ain.
“Sebab Die anggap Ain macam adik Die sendiri. Die balik dulu Mai. Kalau ada apa-apa nanti, jangan lupa call Die. Assalamualaikum,” jawab Eddie menyembunyikan kebenaran.
Humaira mengangguk. Matanya menghantar pemergiaan Eddie. Walaupun jawapan Eddie tidak memuaskan hatinya, dia pasti Eddie punya sebab dan kenapa dia mengambil berat akan Nur Ain. Humaira akan mencari jawapannya sendiri. 

Terima kasih kerana membaca...
(^_^)

16 ulasan:

  1. SIAN DIA KAK SELALU KENA BULI

    BalasPadam
    Balasan
    1. huhu.. xpe dik.. lps ni, Ain tak kena buli dh.. Ain hatinya keras sama mcm Aisya..

      Padam
  2. akak.................finally. thx sbb update....weeeeeeeeeee..........

    ok.. nak komen ni..
    bila ain melawan Hazrel kan, org rasa syok gilaaaaaa....OMG best ni.. mcm tu br btl, laki mcm tu mn blh bg muka sgt.

    then mamat tu ugut dia plak. IShx3..nk tuntut hutang pun biarlah dgn cara berhemah sikit.

    then... bila hazrel ni mengaku ain bini dia.. eh eh..rase cam nak sepak plak laki ni. suka suki die je eh.. padan muka kena sound dgn pakcik tu...weeeeeeeeeeee.....

    dia ni... mmg x phm tol.. boleh plak org tgh skit, dia jerkah2.
    ish.. geram !! kalau dh care tu buat la cara care.. layan org elok2.

    geram geram geram~!!
    part mak hazrel + qistina no comment!! diorg ni dh x blh diselamatkan lagi

    BalasPadam
    Balasan
    1. alamak, adik akak sorg ni.. jgn marah2 kat HH.. kan dlm hati HH tu dh ada taman utk NAZ.. huhu.. :D

      Padam
    2. kesian dia akak. dia dh suka tapi tak sedar. nnt kalau dia sedar agak2 dia rasa bersalah tak tenking2 ain mcm tu?

      Padam
    3. err, mybe rs bersalah n mybe tdk.. xpe, kita tggu n lihat aje apa yg bakal terjd pd HH & NAZ tu.. :D

      Padam
  3. ain terlalu naif...sian dia.
    si hazrel dah ada taman dalam hati ke.
    apa hubungan eddie dgn ain ye.
    citer bertambah best.....keep it up eliza...

    BalasPadam
    Balasan
    1. hehe.. lbh krglah, dlm hati HH dh ada taman utk NAZ..
      hubungan Eddie dgn Ain?? erm, ada jwpnnya.. cuma kena tggulah..
      thanks suzie coz follow AJID.. :D

      Padam
  4. apa rahsia eddie ni??? ke sbb pakwe ain tu suro eddie jaga ain kot.. :P

    BalasPadam
  5. assalam...
    akak br mula mnjejakinya...
    tahniah sbb kluarkn enovel baru...

    BalasPadam
  6. lumrah dunia yang kaya buli yang miskin..apa nak buat realiti kehidupan mmg menyakitkan

    BalasPadam
    Balasan
    1. yup!! btl tu.. bkn setakat kita lihat dlm drama shj, dlm realiti pn msh ada jg yg berperangai mcm tu..

      Padam
  7. eeeiiii...blagak nk mampos btul la ko nie Hazrel..cian kt Nur Ain...sya rsa Eddie tu diamanhkn oleh arwah HAzrul kot utk lindungi Nur Ain...

    BalasPadam
    Balasan
    1. hehe.. jgn marah2.. pas ni Hazrel jd baik n romantik.. mgkn btl jg Eddie diamanahkan oleh Hazrul utk lindungi Ain.. :)

      Padam