Isnin, 23 Januari 2012

Gurauan Berkasih - Bab 5


BAB 5

Tan Sri Khalil menatap fail yang berada di hadapannya. Sesekali dia mengeluh berat. Keluhan yang membuatkan dirinya lemah gara-gara kerja yang menimbun dan memerlukan penelitian darinya. Mujurlah Amirul dan Harris banyak membantu dalam menguruskan syarikat. Terasa ringan bebanan yang ditanggung. Terasa lapang dadanya ketika ini. Nafas yang sesak dahulu kini dapat dihembusnya lembut.
Tan Sri Khalil menutup failnya. Bingkas dia bangun dari duduk dan menghampiri jendela. Dia membuang pandang di situ. Kelihatan kepulan awan putih sedang berarak menuju ke timur. Langit cerah pagi itu menggamit ingatannya seketika. Ingatan kepada gadis yang menolongnya seminggu yang lalu. Keikhlasan gadis itu telah memikat hatinya. Jika dia mengenali gadis itu, mahu sahaja dia memperkenalkan gadis itu dengan Amirul. Tetapi apakan daya, dia tidak mengenali gadis itu. Malah dia sendiri tidak tahu di mana gadis itu bekerja. Asal usul gadis itu dan di mana dia tinggal, Tan Sri Khalil tidak tahu. Ingin sahaja dia mengupah seseorang untuk mencari gadis itu. Namun dia terpaksa membatalkan niatnya. Dia pasti suatu hari nanti dia akan berjumpa dengan gadis itu semula.
“Papa!!” panggil Amirul sambil menjengulkan kepala. Matanya melilau mencari kelibat Tan Sri Khalil.
“Ada apa Rul?” balas Tan Sri Khalil.
Amirul menapak masuk ke dalam bilik. Kelihatan Tan Sri Khalil sedang berdiri termenung di jendela. Apa yang difikirkan oleh orang tua itu, dia sendiri tidak pasti. Seperti ada satu bebanan yang sedang ditanggung oleh Tan Sri Khalil.
“Papa… meeting dah nak mula tu,” beritahu Amirul sambil memandang ke arah Tan Sri Khalil.
Tan Sri Khalil mengangguk perlahan. Lantas dia menapak keluar dari bilik. Amirul setia mengekori dari belakang. Hari ini syarikatnya mengadakan mesyuarat pengurusan untuk membincangkan aktiviti tahunan mereka. Family Day yang akan diadakan di Teluk Batik pada hujung bulan ni. Sebagai Pengarah Besar Samudera Holding, dia sekadar mendengar segala perancangan yang telah diaturkan oleh pihak yang bertanggungjawab. Segala tugasan akan diagih-agihkan mengikut bahagian. Dan tugasan itu dibahagikan pula kepada beberapa staf. Setiap staf bertanggungjawab dalam melaksanakannya.
Amirul menguak pintu bilik mesyuarat. Dia memberi ruang kepada Tan Sri Khalil melangkah masuk terlebih dahulu. Setelah itu, dia menutup pintu dan duduk di sebelah kiri Tan Sri Khalil. Kesemua staf sudah pun berada di dalam bilik itu. Matanya mencari-cari kelibat Harris, tetapi tiada. Lantas dia meminta Fazura untuk menghubungi Harris. Fazura mengangguk. Bingkas dia bangun meminta diri dari Tan Sri Khalil untuk keluar sebentar. Belum sempat dia menapak keluar, kelihatan kelibat Harris masuk ke dalam bilik bersama Liyana di sisi. Lantas dia melabuhkan punggungnya semula di atas kerusi yang diduduki sejak tadi. Sempat dia menjeling ke arah Liyana dan menghadiahkan senyuman bermakna buat Liyana. Kata tak suka. Tu asyik berkepit aje dengan Harris tu, apa kes? Ngomel Fazura sendirian. Pandangannya dihalakan semula ke arah Amirul. Seperti ada sesuatu dari raut wajah Amirul.
Amirul tersentak tatkala terlihat Liyana. Seakan-akan mengenali gadis yang berada di sisi Harris. Mungkinkah gadis itu yang dimaksudkan oleh Harris tempoh hari? Gadis yang telah berjaya membuatkan Harris angau dan jatuh cinta semula. Tetapi, kenapa penampilannya berlainan dari sebelum ini? Walaupun hanya berbaju kurung, keayuan gadis itu masih terserlah dan tampak cantik dan menawan di pandangan mata. Ya, barulah dia perasan akan gadis itu. Gadis yang menjadi seterunya beberapa minggu yang lepas. Malah hampir sebulan mereka berkenalan tanpa mengetahui nama masing-masing. Setiap kali berjumpa, ada sahaja perkara yang ditengkarkan dan disindirkan. Tetapi, kenapa dia merasa cemburu melihat kemesraan di antara Harris dan gadis itu? Apakah makna semua itu?
“Maaf Tan Sri, lambat. Ris dengan Lia dari site tadi,” beritahu Harris jujur. Dia menghampiri Tan Sri Khalil dan bersalaman dengannya.
Tan Sri Khalil sekadar mengangguk. Matanya tertancap ke wajah bersih Liyana. Wajah yang selama ini dicarinya. Wajah yang telah menolongnya. Wajah yang telah memikat hati tuanya untuk dijadikan menantu. Tidak terlalu awalkah untuknya menaruh harapan terhadap gadis itu? Apa yang pasti, dia sudah mengetahui di mana gadis itu bekerja. Rupa-rupanya, gadis itu bekerja di syarikatnya sendiri. Begitu kecil dunia ini dirasakan.
“Oh ya… lupa Ris nak kenalkan pembantu baru Ris,” ujar Harris perlahan.
“Pembantu Harris?” ulang Tan Sri Khalil seraya bangun. Amirul turut sama mengikut tingkah Tan Sri Khalil. Matanya masih lagi jatuh ke muka Liyana.
Harris mengangguk. Dia melemparkan senyuman kepada Amirul yang berdiri bersebelahan Tan Sri Khalil. Dia perasan akan pandangan Amirul terhadap Liyana. Dan dia cemburu melihat keadaan itu.
“Lia… kenalkan pemilik dan Pengarah Samudera Holding, Tan Sri Khalil,” kata Harris. “Dan yang itu, Encik Amirul Arif Iskandar Tan Sri Khalil, Pengurus Besar Samudera Holding,” sambung Harris sambil mengunjukkan Liyana kepada Tan Sri Khalil dan juga Amirul.
Tersentak Liyana mendengarnya. Lelaki yang sering bertengkar dengannya beberapa minggu yang lepas merupakan anak pemilik syarikat di mana dia bekerja selama ini. Sungguh dia tidak mengetahui akan perkara itu. Malah Fazura juga tidak menceritakan tentang Amirul kepadanya. Mungkin ada atau dia tidak mengambil port tentang itu langsung.
Liyana juga terkejut tatkala melihat Tan Sri Khalil. Lelaki tua yang pernah ditolongnya suatu masa dulu. Kenapa semuanya terjadi dalam satu masa dan hari? Lelaki yang ditolongnya dan juga lelaki yang menjadi seterunya selama ini. Kedua-dua lelaki itu mempunyai kaitan yang kuat dengannya. Bagaimana untuk menghadapi Amirul pada masa hadapan. Bukan sahaja hadapan, waktu dan ketika ini sahaja sudah membuatkan dirinya kecut perut. Aduh! Macam mana boleh terjebak ni, bisik Liyana sendirian.
“Nur Liyana Safiyah Zulkifli,” ujar Liyana lembut sambil menghulurkan tangan untuk bersalaman dengan Tan Sri Khalil.
Seperti biasa Liyana akan mencium tangan orang yang lebih tua darinya. Sebagai menghormati lelaki yang seusia ayahnya. Dan seperti hari itu juga, Liyana dapat merasakan usapan lembut di ubun kepala. Terharu dirasakan ketika ini. Namun dia cuba mengawal perasaan agar tidak terlalu beremosi dan dikesan oleh mereka yang berada di hadapannya itu.
Kemudian, Liyana menghulurkan tangan untuk bersalaman dengan Amirul. Buat pertama kalinya dia bersikap baik dengan Amirul. Jika dulu, pantang aje berjumpa, adalah adegan drama sebabak yang dilakonkannya. Sekadar untuk melepaskan diri setelah apa yang dilakukan terhadap Amirul. Jauh di sudut hati, dia dapat merasakan sesuatu yang bakal terjadi nanti. Mungkin ianya melibatkan Amirul ataupun kerjayanya.
“Boleh kita mulakannya Tan Sri?” ujar Encik Zainal selaku Pengerusi Kelab Samudera Holding.
Tan Sri Khalil sekadar mengangguk. Dia melabuhkan duduk semula di atas kerusi. Begitu juga dengan Amirul dan Harris. Masing-masing mengambil tempat di sisi kiri dan kanan Tan Sri Khalil.
“Kata tak suka. Aku tengok kau asyik berkepit aje dengan si Harris tu,” bisik Fazura sebaik sahaja Liyana melabuhkan duduk bersebelahan dengannya.
“Hisy kau ni. Mana ada la. Dah dia ajak aku pergi site, aku ikutlah. Lagipun diakan bos aku, kenalah dengar arahan dia,” bidas Liyana sambil mencebik. Tak habis-habis Fazura hendak memadankannya dengan Harris.
“Tapikan, aku perasan muka si Amirul tu lain macam aje tengok kau. Macam terkejut pun ada, cemburu pun ada,” beritahu Fazura. Itulah yang dapat dirasakan ketika ini.
Berkerut dahi Liyana mendengarnya. Bukan sahaja Fazura, malah dia juga turut sama menyedari akan riak di wajah Amirul. Mungkin Amirul terkejut melihatnya begitu juga dengan dia. Sungguh dia tidak menyangka Amirul merupakan Pengurus Besar Samudera Holding. Jika dia mengetahuinya lebih awal, sudah pastilah dia tidak akan mencari pasal dengan lelaki itu.
“Kau sembunyikan sesuatu dari aku ya Lia,” duga Fazura dan memandang tepat ke muka Liyana. Mencari jawapan di muka itu.
“Eh… mana ada,” bidas Liyana sedikit gugup.
“Lepas ni aku nak tahu semuanya,” desak Fazura. Dia pasti akan nalurinya itu. Liyana cuba menyembunyikan sesuatu darinya. Dan dia perlu tahu akan perkara itu.
Aduh! Zura ni tahu aje kalau aku sembunyikan sesuatu dari dia. Takkan aku nak ceritakan pada dia pasal Amirul kot. Malulah aku. Dibuatnya Amirul ambil tindakan ke atas aku, satu hal pulak nanti. Adoi! Apa aku nak buat ni? Liyana bermonolog sendiri. Keluhan berat terlepas dari bibir.
Setelah hampir sejam bermesyuarat dan kata sepakat di ambil, mereka beransur keluar dari bilik mesyuarat itu. Tugasan sudah pun di agih-agihkan oleh Encik Zainal. Kebetulan Liyana dan Fazura berserta dua orang staf bahagian kewangan ditugaskan dalam penyediaan hadiah. Mudahlah bagi Liyana untuk berbincang dengan Fazura kelak.
“Lia jadi pasangan saya malam dinner tu boleh?” pelawa Harris sebaik sahaja habis bermesyuarat.
Terkejut Liyana dengan pelawaan Harris. Dia memandang Harris berserta kerutan di dahi. Keihklasan yang terpancar di wajah Harris membuatkan hatinya terusik. Perlukah dia bersetuju dengan pelawaan Harris itu?
“Erk… Lia bukannya cantik. Buat malu Harris saja nanti,” tolak Liyana lembut. Kalau boleh dia tidak mahu berpasangan dengan Harris. Biarlah dia tidak punya pasangan daripada dipandang serong oleh pekerja di Samudera Holding.
“Lia cantik dan menawan di hati saya,” balas Harris dan tersenyum manis. Dia mengharapkan Liyana bersetuju dengan pelawaannya itu.
Liyana mengeluh ringan. Sedari tadi dia menyedari akan pandangan Amirul terhadapnya. Begitu juga Tan Sri Khalil, tidak jemu-jemu memandangnya. Naik rimas pula dia melihatnya. Terasa dirinya dikawal oleh kedua-dua beranak itu.
“Baiklah. Kalau saya malukan Harris, saya minta maaf. Saya ni bukannya pandai nak bergaya sakan seperti orang lain,” jujur Liyana dan berharap Harris mengerti akan apa yang diperkatakan itu. Dia juga berharap Harris menarik balik pelawaannya tadi.
“Terima kasih Lia. Saya yakin, Lia takkan malukan saya. Saya janji akan buat Lia bangga dengan diri Lia sendiri,” riang Harris sambil menggenggam erat tangan Liyana. Syukur di dalam hati kerana Liyana sudi menjadi pasangannya pada malam itu.
Bagi Liyana itu merupakan satu bala buat dirinya. Belum pernah dia menghadirkan diri di majlis-majlis makan malam. Malah ketika di universiti dahulu, dia sering mengelak daripada menghadiri ke majlis seperti itu. Walaupun berkali-kali Fazura mengajak, namun ditolak keras olehnya. Dia tidak suka pada suasana yang hingar-bingar. Dia tidak suka pada suasana romantik. Suasana romantik membuatkan tengkuknya meremang dan takut. Takut pada dirinya sendiri. Apa aku nak buat ni? keluh Liyana sendirian.


“Apa hal Tan Sri Khalil nak berjumpa dengan aku Zura?” gusar Liyana sambil menggenggam tangannya sendiri. Kecut perut tatkala mendapat panggilan memintanya berjumpa dengan Tan Sri Khalil. Hatinya tertanya-tanya samada dia ada melakukan kesalahan ataupun tidak.
“Kau ada buat salah ke Lia?” curiga Fazura. Hatinya turut tertanya-tanya.
“Setahu aku, tak ada pun. Kalau ada pun, Harris selalu tolong coverkan untuk aku. Malah Harris banyak tegur aku kalau aku ada lakukan kesilapan. Tak adalah sampai ke pengetahuan bos besar,” beritahu Liyana berserta keluhan berat.
Perbualan mereka terhenti tatkala intercom Fazura berbunyi. Segera Fazura menjawabnya. Terangguk-angguk kepala Fazura dilihatnya. Seperti ada perkara yang penting dan berat dibicarakan oleh Fazura bersama orang di hujung talian.
“Tan Sri suruh kau masuk sekarang,” ujar Fazura sebaik sahaja talian dimatikan.
Liyana sekadar mengangguk. Lantas dia mengatur langkah menuju ke bilik Tan Sri Khalil. Senyuman dihadiahkan buat Fazura. Seminit kemudian, dia sudah pun berdiri di hadapan bilik Tan Sri Khalil. Dia mengetuk pintu dan menguak daun pintu bilik sebaik sahaja mendapat arahan berbuat begitu.
“Masuk Liyana!” arah Tan Sri Khalil tatkala melihat susuk tubuh Liyana.
Liyana menapak masuk. Kelihatan Amirul sedang duduk berhadapan dengan Tan Sri Khalil. Entah mengapa jantungnya berdegup dengan kencang. Terasa gelabah dan resah apabila berhadapan dengan Amirul. Entah-entah dia mengadu dengan Tan Sri Khalil pasal aku pecahkan cermin kereta dia hari tu tak, duga Liyana sendirian. Serta-merta mukanya berubah pucat. Risau Tan Sri Khalil memintanya supaya membayar ganti rugi atas perbuatannya itu.
“Silakan duduk Liyana!” arah Tan Sri Khalil lagi.
Liyana akur. Lantas dia melabuhkan duduk bersebelahan dengan Amirul.
“Saya tak tahu pulak awak bekerja kat sini. Selama dua minggu saya mencari awak, Liyana,” bicara Tan Sri Khalil sambil bersandar ke belakang. Pandangannya jatuh ke muka Liyana.
Liyana menelan liur. Selama dua minggu Tan Sri Khalil mencarinya? Untuk apa? Adakah disebabkan kesnya dengan Amirul dahulu?
“Tan Sri… saya minta maaf sebab pecahkan cermin kereta Encik Amirul. Kalau Tan Sri minta saya membayar ganti rugi di atas kerosakkan itu, Insya-ALLAH saya akan membayarnya. Tapi, berilah saya masa untuk mengumpul duit terlebih dahulu,” jelas Liyana tanpa berselindung. Hanya tuhan sahaja yang tahu perasaannya ketika itu.
Berkerut-kerut Tan Sri Khalil mendengarnya. Apa yang dimaksudkan oleh Liyana? Cermin kereta? Niatnya memanggil Liyana adalah untuk berkenal-kenalan dengan Liyana dan bukan ada maksud lain. Hanya ingin mengenali gadis yang telah mencuit hati tuanya itu.
“Apa maksud awak Liyana?” tanya Tan Sri Khalil kurang faham.
“Papa, dia nilah yang pecahkan cermin kereta Rul hari tu,” celah Amirul yang sedari tadi membisu. Senyuman kemenangan terukir di bibir.
Tan Sri Khalil mengangguk. Barulah dia faham akan maksud Liyana sebentar tadi. Diamati wajah Liyana dan Amirul silih berganti. Seperti ada sesuatu yang cuba disembunyikan oleh Amirul dan juga Liyana. Seperti mereka berdua telah lama mengenali antara satu sama lain.
Liyana menundukkan muka. Sungguh dia rasa bersalah ketika itu. Jika Tan Sri Khalil ingin menghukumnya, dia redha dan menerimanya dengan hati yang terbuka.
“Saya minta maaf,” ucap Liyana perlahan.
“Sejak bila pulak awak mengaku kalah ni. Mana pergi lakonan awak selama ini? Awakkan pandai berlakon mengalahkan Siti Saleha dalam drama popular Nora Elena tu,” sindir Amirul seakan berbisik. Seminit kemudian, dia melepaskan ketawa kecil yang hanya boleh didengari oleh Liyana. Puas hatinya kerana dapat mengenakan Liyana.
Liyana menahan geram di hati. Sindiran Amirul menusuk ke tangkai hati. Pada waktu dan ketika ini, dia tidak mampu untuk berbuat apa-apa. Jika dia diberi kuasa, mahu sahaja dia menempeleng Amirul di depan Tan Sri Khalil. Biar padan dengan mukanya. Entah mengapa, dengan tiba-tiba sahaja, dia mendapat akal nakalnya. Kali ini dia perlu mengenakan Amirul secukup-cukupnya. Dia tidak peduli dengan perasaan Tan Sri Khalil di situ asalkan dia dapat membalas sindiran Amirul sebentar tadi. Kau nak tengok sangat lakonan aku kan. Baik, aku buktikan betapa hebatnya lakonan aku ni. Kalah Enot dibuatkan aku nanti, bisik Liyana.
“Erk… Tan Sri, boleh saya bagitau satu cerita pada Tan Sri?” pinta Liyana berserta senyuman di bibir. Senyuman penuh makna.
“Yes… you may proceed!” balas Tan Sri Khalil. Tumpuannya dihalakan ke muka Liyana.
Liyana bingkas bangun. Biar nampak real sikit, desisnya. Tapi, kena buat muka sedih dulu, baru menjadi lakonan aku nanti, sambung Liyana lagi. Liyana menghampiri Tan Sri Khalil. Diamati wajah lelaki tua itu. Melihatkan wajah Tan Sri Khalil, membuatkan dia teringat akan ayahnya. Apakah ayahnya merinduinya sepertimana dia merindui lelaki itu? Memikirkan tentang ayahnya, hati Liyana menjadi sebu dan sebak. Dia mengerdip-ngerdipkan kelopak matanya. Cuba menahan air mata dari gugur.
“Kalau Tan Sri nak tahu, saya dan Amirul dah lama kenal. Malah kami pernah bercinta selama setahun. Dia juga pernah kecewakan saya, Tan Sri,” mulai Liyana. “Dia janji nak sehidup semati dengan saya. Alih-alih bila dia jumpa perempuan lain, saya ditinggalkan. Malah janji-janjinya pada saya, hanya tinggal janji saja,” cerita Liyana dalam nada sebak. Dia berpura-pura menyeka air matanya. Wekk!! Sehidup semati? Geli aku!! kutuk Liyana di dalam hati.
“What??!!” jerit Amirul pantas berdiri. “Apa yang awak merepek ni Liyana?” marah Amirul. Panas hatinya mendengar cerita yang direka-reka oleh Liyana itu.
“Amirul, duduk!!” arah Tan Sri Khalil sedikit meninggi. “Teruskan Liyana!!” arah Tan Sri Khalil tidak sabar. Dia perlu mengetahui cerita yang sebenar.
Amirul akur dengan arahan Tan Sri Khalil. Lantas dia duduk semula di kerusinya. Hatinya membengkak tiba-tiba. Begitu sekali lakonan Liyana. Mengada-adakan cerita yang tidak ada.
Liyana mengangguk. Kemenangan berpihak padanya. Cukup berkesan lakonannya itu. Terimbas-imbas di kepala otaknya trofi pelakon terbaik yang bakal dimenanginya dalam Anugerah Skrin tahun hadapan. Liyana ketawa dalam hati memikirkannya. Kemudian, dia mengerling ke arah Amirul. Sungguh tegang muka mamat hingusan itu. Pasti kemarahan sedang menjalar dalam diri Amirul waktu ini.
“Baru-baru ni Amirul datang berjumpa dengan saya. Dia suruh saya jangan ganggu dia lagi. Dia minta saya jauhkan diri saya dari dia. Malah dia beritahu saya yang dia nak berkahwin dengan perempuan pilihan hatinya. Disebabkan rasa cinta saya pada Amirul, saya tak ambil pusing dengan arahannya. Malah saya minta tolong kawan baik saya carikan saya kerja di Samudera Holding ni. Dengan bekerja di sini, saya lebih dekat lagi dengan Amirul dan saya boleh pikat hatinya semula,” cerita Liyana lagi berserta air mata palsunya. Huh! Hebat betul lakonan aku ni.
“Awak jangan nak menipu Liyana. Sejak bila pulak kita bercinta?” bidas Amirul pantas.
“Sampai hati awak Amirul buat saya macam ni,” keluh Liyana sebak. Dia memandang Amirul dengan wajah simpati. “Kalau Tan Sri nak tahu, cermin tu saya pecahkan sebab saya marahkan Amirul. Tapi, kalau Tan Sri nak juga saya gantinya, saya boleh gantinya. Tan Sri boleh tolak dari gaji bulanan saya,” tambahnya lagi menagih simpati dari Tan Sri Khalil pula.
Tan Sri Khalil menanggalkan cermin matanya. Diraup lembut mukanya sekali. Lantas dia bangun dari duduknya dan menghampiri Liyana yang sedang membuang pandang ke luar jendela. Rasa kecewa menyerbu diri. Kecewa dengan sikap dan perangai Amirul. Tidak menyangka Amirul berperangai seperti itu.
“Macam nilah Liyana. Awak tak perlulah bayar ganti rugi cermin yang dah awak pecahkan tu. Saya halalkan perbuatan awak tu,” ujar Tan Sri Khalil lembut. Dia menyentuh lembut bahu Liyana.
Yes! Berjaya juga lakonan aku ni. Ha, padan muka kau Amirul. Kau sindir aku ya tadi. Sekarang ni kau telanlah sindiran kau tu. Yang pasti, aku tak payah bayar cermin yang dah aku pecahkan tu. Yahoo!! Monolog Liyana berserta senyuman puas.
“Terima kasih Tan Sri. Saya hargai jasa baik Tan Sri itu,” ucap Liyana berserta senyuman di bibir. Dia mengerling ke arah Amirul. Kelihatan Amirul sedang mengepal tangannya sendiri. Marah benar mamat hingus tu.
“Tapi….” Tan Sri Khalil mematikan ayatnya.
“Tapi apa?” ulang Liyana berserta kerutan di dahi.
Tan Sri Khalil membawa langkahnya menuju ke sofa dan duduk di situ. Nafasnya ditarik dan dilepaskannya pendek. Jika benarlah apa yang diperkatakan oleh Liyana, dia tidak teragak-agak untuk menyunting Liyana sebagai menantunya. Sejak pertemuan pertamanya dengan Liyana, hatinya terdesak untuk menjadikan Liyana sebagai menantunya. Dan hari ini niatnya itu seakan menjadi kenyataan. Selama ini Amirul dan Liyana punya hubungan istimewa tanpa pengetahuannya.
“Ada syaratnya Liyana,” ujar Tan Sri Khalil.
“Syarat?” ulang Liyana lagi. Makin jelas kerutan di dahinya itu.
Aduh! Apa lagi ni. Ingatkan dah lepas. Rupanya tak lepas juga lagi ni. Nak kena tapis berapa peringkat lagi ni. Aku dah letih nak berlakonlah, gerutu Liyana sendirian. Dia menghampiri Tan Sri Khalil di sofa dan berdiri di hadapan lelaki itu.
“Saya nak Liyana jadi menantu saya. Saya nak pinang Liyana untuk Amirul,” sambung Tan Sri Khalil berserta senyuman penuh makna di bibir.
“What??!!” serentak Liyana dan Amirul bersuara.
Amirul pantas berdiri. Liyana terkedu. Mampus!!


“Aduh!!” rengek Liyana tatkala Amirul menolak kasar badannya sehingga membuatkan dia jatuh terjelepuk ke tanah.
Sebaik sahaja keluar dari bilik Tan Sri Khalil, Amirul segera mengheret kasar Liyana menuju ke taman di belakang Menara Samudera. Marah benar Amirul waktu itu sehinggakan tiada rasa belas kasihan terhadap Liyana. Liyana tidak mampu untuk berbuat apa-apa. Dia sekadar menurut perintah dan berserah pada ALLAH akan nasibnya itu.
“Puas hati kau sekarang. Hebat betul lakonan kau tadi sehinggakan bulat-bulat papa aku percaya dengan kata-kata kau. Pandai kau tipu papa aku dengan muka simpati kau tu. Perempuan jenis apa kau ni. Apa motif kau yang sebenarnya?” marah Amirul tidak tertahan lagi. Matanya tajam ke muka Liyana.
Liyana sekadar membisu. Mengiyakan tidak, mengangguk pun tidak. Dia juga tidak menyangka semua itu akan berlaku. Dia termakan dengan lakonannya sendiri. Sungguh bukan itu niatnya yang sebenar. Jika tahu semua ini akan terjadi, tidak mungkin dia akan berlakon sebegitu rupa.
“Aku nak kau bagitau papa aku perkara yang sebenarnya. Kalau kau tak bagitaunya, tahulah nasib kau nanti!” tengking Amirul pula. Tangannya dikepal erat. Tunggu masa untuk melayangnya sahaja.
Liyana masih membisu. Otaknya ligat berfungsi mencari jalan penyelesaian. Amirul di hadapan dipandang kosong. Jika Dato’ Zulkifli mendapat tahu akan perkara ini, sudah pastilah dia akan ditengking dan dimarahi secukup-cukupnya. Mujurlah Tan Sri Khalil tidak bertanyakan tentang keluarganya. Jika tidak, bagaimana untuk menjawab pertanyaan Tan Sri Khalil itu.
“Hey… kau dengar tak apa yang aku cakapkan ni?” tanya Amirul sambil mencengkam lengan Liyana. Sakit hatinya melihat Liyana hanya membisu dan membatu mengalahkan patung cendana lagaknya.
Liyana mengerutkan dahi. Menahan kesakitan akibat cengkaman kuat Amirul. Apa yang perlu dilakukannya lagi. Nasi sudah menjadi bubur. Terlajak perahu, bolehlah diundur, tapi kalau terlajak kata, dah tak boleh nak reverse-reverse. Nak tak nak kena juga telannya walaupun ianya pahit melebihi pahit ubat di klinik mahupun hospital.
Liyana tersandar lesu. Setelah puas menghamburkan segala amarah, Amirul meninggalkannya di situ. Begitu marah Amirul terhadapnya. Niatnya sekadar bergurau. Tetapi, gurauan itu telah memakan dirinya sendiri. Bagaimana untuk menjelaskan perkara yang sebenar kepada Tan Sri Khalil? Apa tanggapan Tan Sri Khalil terhadapnya nanti? Terasa batu konkrit sedang menghempap bahunya kini.
Liyana perlu memikirkan jalan untuk menyelesaikan masalah itu. Jika tidak, sudah pastilah Amirul akan terus-terusan mendesak dan memarahinya. Terasa maruahnya begitu rendah di mata Amirul. Tegar-tegarnya Amirul menuduhnya perempuan bermata duitan. Perempuan tak sedar diuntung. Perempuan tak tahu malu. Perempuan kampung. Perempuan hodoh dan lain-lain yang boleh diberi gelaran buat dirinya. Kalau gelaran pelakon terbaik diberi padanya waktu ini, kembanglah juga hatinya kerana dia telah berjaya melakonkan satu watak dengan berkesan sekali. Ini tidak, gelaran yang begitu menyakitkan hati yang dijolokkan oleh Amirul buat dirinya. Sampai hati!
“Pinang saya?” ulang Liyana terkejut.
Tan Sri Khalil mengangguk kecil.
“Erk… saya rasa Tan Sri dah silap tafsir. Saya dengan Amirul, dah lama berpisah,” beritahu Liyana cuba membetulkan keadaan. Dia mengerling ke arah Amirul yang sedang merenung tajam ke arahnya. Kecut perut dibuatnya ketika itu. Terasa kelat air liur yang ditelan.
“Saya tak salah tafsir tentang hubungan kamu berdua, Liyana. Saya serius ingin bermenantukan Liyana,” beritahu Tan Sri Khalil jujur.
Mampus aku! Tulah berlakon lagi. Sekarangkan dah kena. Ha, makan sendirilah kau punya lakonan Lia, bebel Liyana di dalam hati.
“Tapi Tan Sri….”
“Papa… semua ni tak masuk dek akal. Terus terang Rul katakan yang Rul tak kenal dengan dia. Rul baru kenalnya beberapa jam yang lepas. Papa tak boleh buat keputusan drastik macam ni. Ini masa depan Rul,” bantah Amirul keras. Dia menghampiri Tan Sri Khalil dan mencapai tangan Tan Sri Khalil. “Rul dah ada pilihan Rul sendiri. Rul janji akan bawanya berjumpa dengan papa,” sambung Amirul serius. Dia juga membuat janji kepada Tan Sri Khalil.
Tan Sri Khalil melepaskan keluhan berat. Tidak mungkin dia menukar fikiran. Keputusan sudah pun diambil. Dia juga nekad untuk menjadikan Liyana sebagai menantunya. Dia yakin Liyana akan membahagiakan Amirul. Liyana merupakan pilihan yang tepat berbanding dengan perempuan-perempuan di luar sana yang sering mengejar dan berdampingan dengan Amirul.
“Keputusan papa muktamad!” keras nada suara Tan Sri Khalil memutuskan kata-katanya.
Lamunan Liyana terhenti tatkala telefon bimbitnya berbunyi. Lantas dia menyeluk poket baju kurung dan mengeluarkan telefon bimbitnya. Ditekan butang hijau dan dilekapkan ke telinga.
“Awak kat mana Lia?” tanya Harris bernada risau.
“Ha… saya… saya kat ladies Harris. Ada apa?” bohong Liyana. Buat masa ini dia perlu bersendirian dan tidak mahu diganggu. Kepalanya sarat dengan masalah.
“Baiklah! Saya tunggu Lia kat pejabat. Ada perkara yang nak saya bincangkan dengan Lia,” beritahu Harris pula.
“Bagi saya sepuluh minit,” ujar Liyana dan mematikan talian. Bingkas dia bangun dari duduk dan menapak masuk ke dalam Menara Samudera.


Amirul melabuhkan duduk di kerusi kayu yang tersedia di halaman rumah. Bulan dan bintang menjadi peneman di kala itu. Terasa nyaman dan tenang dirasakan. Bertemankan bunyian cengkerik yang berdondang lagu sayang menambahkan keasyikkan untuk melayan perasaan sendiri. Disapa angin malam, membuatkan badannya sedikit menggigil kesejukan. Mujurlah baju sejuk yang membaluti tubuh dapat menghangatkan tubuhnya dari kesejukan.
Amirul melepaskan keluhan berat. Keluhan untuk kesekian kalinya. Bagaikan ada satu bebanan berat yang sedang digalasnya. Semuanya gara-gara keputusan Tan Sri Khalil yang ingin menjodohkannya dengan Liyana. Ya, Liyana. Gadis yang kini menjadi musuhnya selepas apa yang telah dilakukan oleh gadis itu siang tadi. Tergamak Liyana membuat cerita membabitkan dirinya sehingga dia diberi hukuman seperti itu. Hukuman dari Tan Sri Khalil yang ingin bermenantukan Liyana. Sudah gilakah Tan Sri Khalil menjodohkannya dengan perempuan yang tidak tahu asal usulnya. Perempuan yang baru sebulan dikenalinya. Perempuan yang ala-ala Betty Suarez dalam drama Ugly Betty. Perempuan yang bukan menjadi pilihan hatinya dan macam-macam lagi yang boleh diberi gelaran buat Liyana. Penat otaknya berfikir.
“Hai!!” tegur seseorang dari arah belakang mematikan lamunan Amirul yang panjang. Segera dia menoleh ke belakang dan terlihat Laila sedang berdiri sambil tersenyum mesra.
“Hai!!” balas Amirul acuh tak acuh. Sibuk betul! Mengacau betullah dia ni, gerutu Amirul sendirian. Dia mencebik.
“Buat apa sorang-sorang kat sini?” tanya Laila berbasa-basi sambil melabuhkan duduk bersebelahan Amirul.
Amirul membetulkan duduknya. Dia mengengsot sedikit menjauhi Laila. Sejak dulu sehinggalah sekarang dia tidak menyenangi sikap Laila. Entah mengapa, dia sendiri tidak pasti. Laila selalu mempamerkan tingkah yang kurang senang di matanya. Mungkin perangai Laila begitu. Manja yang dibuat-buat dan sedikit gedik.
“Saja. Panas kat dalam tu,” balas Amirul malas.
Laila tertawa kecil. Dia menyedari akan ketidakselesaan Amirul. Walau bagaimanapun penerimaan Amirul, dia akan cuba sedaya upaya untuk memikat hati Amirul. Kata-kata Anita dulu masih terngiang-ngiang di gegendang telinga. Benarkah Liyana berkawan rapat dengan Amirul? Tapi, bagaimana pula dengan Shasha?
“Shasha apa khabar?” tanya Laila bertujuan membawa Amirul berbual dengannya.
“Shasha?” ulang Amirul. “Dia sihat. Kenapa you tanya?” sambung Amirul dan meluruskan pandangan ke muka Laila.
“Saja I tanya. Seminggu yang lepas, I nampak dia dengan seorang lelaki. I ingatkan you, tapi rupa-rupanya bukan. Mesra bukan main I tengoknya,” cerita Laila. Pertemuannya dengan Shasha seminggu yang lepas terimbau semula. Sungguh dia terkejut melihat kemesraan Shasha bersama lelaki itu. Bagaikan pasangan kekasih lagaknya.
Amirul terkejut. Namun dicuba kawal sebaik mungkin rasa terkejutnya. Benarkah apa yang diperkatakan oleh Laila itu? Shasha bersama dengan seorang lelaki? Sudah lama dia tidak berjumpa dengan Shasha, selepas pertengkaran mereka sebulan yang lepas. Disebabkan itu, dia tidak menghubungi Shasha. Difikirkan Shasha akan mengaku kalah, ternyata fikirannya meleset. Ego Shasha melebihi egonya.
“You jumpa…”
Belum sempat Amirul bertanya lanjut, kedengaran namanya di panggil dari arah belakang. Serentak dia dan Laila menoleh. Kelihatan papa, mama dan yang lain-lain menuju ke arahnya.
Uncle nak balik dah?” tanya Amirul sebaik sahaja Dato’ Zulkifli berdiri di hadapannya.
Dato’ Zulkifli sekadar mengangguk. Dia menepuk lembut bahu Amirul. Dihulurkan tangan untuk bersalaman dengan Amirul dan disambut baik oleh Amirul.
“Senang-senang nanti, datanglah rumah Uncle,” pelawa Dato’ Zulkifli ikhlas.
“Insya-ALLAH, ada masa nanti, saya datanglah!” ujar Amirul sekadar menyedapkan hati orang tua itu. Jauh di sudut hati, tidak ingin dia bertandang ke rumah Dato’ Zulkifli tambah-tambah lagi berjumpa dengan Laila. Jika Adif, dia masih boleh menerimanya tetapi tidak Laila.
Setelah memastikan kereta Dato’ Zulkifli hilang disebalik kepekatan malam, Tan Sri Khalil berehat sebentar di laman rumah. Dia mendongak ke langit yang ditemani dengan bintang dan bulan. Keheningan pada malam itu membuatkan dirinya begitu tenang dan damai. Terasa ingin membelai diri dengan tiupan angin sepoi-sepoi bahasa di kerusi itu.
“Abang ni kenapa?” tegur Puan Sri Marissa sebaik sahaja terlihat suaminya duduk termenung di halaman rumah. Amirul sudah pun masuk ke dalam rumah untuk berehat.
“Abang tengah fikirkan pasal Amirul,” jawab Tan Sri Khalil berserta keluhan ringan.
Puan Sri Marissa duduk bersebelahan Tan Sri Khalil. Diamati wajah tua suaminya itu. Wajah yang menemaninya selama dua puluh lapan tahun. Wajah yang mengajar dia erti rindu dan cinta yang sebenarnya. Kasih sayangnya selama ini tumpah kepada wajah itu.
“Kenapa dengan Amirul? Abang tak perlulah fikirkan sangat tentang Amirul tu. Dia dah cukup matang untuk memikirkan yang mana baik dan yang mana buruk,” nasihat Puan Sri Marissa sambil menggenggam tangan Tan Sri Khalil. Dia melentokkan kepala ke bahu Tan Sri Khalil. Bagaikan orang sedang bercinta lagaknya.
“Abang tahu Mar. Tapi kalau boleh, abang nak yang terbaik buat Amirul,” ujar Tan Sri Khalil.
“Jangan dipaksa-paksa Amirul tu bang. Nanti memberontak pulak dia,”
“Abang nak bagitau Mar sesuatu. Dan abang harap, Mar bersetuju dengan cadangan abang ni,”
“Mar ikut saja bang. Kalau abang rasa itu yang terbaik buat Amirul, Mar tak ada bantahan,” kata Puan Sri Marissa. Selama ini dia hanya mengikut sahaja kata-kata Tan Sri Khalil. Bagi Puan Sri Marissa, Tan Sri Khalil tahu apa yang terbaik buat Amirul.
“Abang nak jodohkan Amirul dengan Liyana, pekerja abang di syarikat tu. Abang berkenan betul dengan Liyana tu. Kalau Mar nak tahu, Liyana tulah yang telah selamatkan abang dari dilanggar kereta dulu,” cerita Tan Sri Khalil pada niat yang sebenar.
Puan Sri Marissa mengangkat kepala. Terkejut mendengar penjelasan Tan Sri Khalil. Pernah juga dia mendengar cerita mengenai gadis yang menyelamatkan suaminya dari dilanggar kereta. Selama beberapa hari suaminya bercerita akan kebaikan gadis itu. Suaminya juga pernah mencari gadis tersebut. Dan rupa-rupanya gadis itu bekerja di bawah syarikat suaminya selama ini.
“Ya ALLAH, ya ke bang. Mar nak jumpa dengan dialah, nak ucapkan terima kasih kerana selamatkan suami Mar dari dilanggar kereta,” teruja Puan Sri Marissa menuturkannya. Sungguh dia ingin berkenalan dengan gadis itu.
“Insya-ALLAH, nanti abang kenalkan Liyana dengan Mar. Sudahlah, hari pun dah lewat ni. Jom kita masuk. Awak tu tak boleh berembum lama sangat. Badan awak tu bukannya sihat sangat,” bebel Tan Sri Khalil seraya bangun dari duduknya.
Puan Sri Marissa turut sama bangun. Dia membuntuti Tan Sri Khalil masuk ke dalam rumah. Hatinya tidak sabar untuk berjumpa dengan gadis itu. Terasa ingin mengenali gadis itu. Mungkin ada yang menarik tentang gadis itu membuatkan Tan Sri Khalil ingin bermenantukan gadis itu. Dan itu semua akan dihuraikan tidak lama lagi.



10 ulasan:

  1. terbaik , tak sabar nak tgu bab seterusnyaa . ;) ~ bunga rose ~

    BalasPadam
    Balasan
    1. hihi.. blm terbaik lg lah dik.. baru permulaan bab dlm GB.. dh msk tgh nti, baru blh menilainya.. :)

      Padam
  2. hahaha,,bagus tan sri kahlil nk jodohkn lia dgn amirul..heheehe
    akak sambung lagi iye...x sabar nk tahu slnjutnye ttg dyorg..

    BalasPadam
    Balasan
    1. hehe.. wokey2, Insya-ALLAH akn disambung tdk lama lg.. :)

      Padam
  3. sedang mmngikuti cerita ini dan still blum boleh komen apa2 dulu.... x apa kaaannn... but sgt menarik pd akak...

    BalasPadam
    Balasan
    1. xpe kak Hanim, blh aje.. apa2 pn thank you coz mengikuti GB.. ;)

      Padam
  4. menarik n tertarik... GB berjaya menceriakan hari2 sue..:-)hihihi

    BalasPadam
    Balasan
    1. hehe.. amboi2 Sue.. teringat2 ke part romantik Amirul & Liyana.. susah dh 2.. huhu.. :D

      Padam
  5. herm, menarik...nak tau apa jadi ngan diorg lps ni...continue to chapter 6 plak... :)

    BalasPadam
    Balasan
    1. hehe.. silakan kak iboo.. amat dialu2kan.. :D

      Padam