Selasa, 30 Disember 2014

Kerana Hati Bicara - Bab 4





“ALONG!” panggil Irdina dari jauh.
Irshad menoleh. Terkejut dengan panggilan itu.
“Along!” panggil Irdina lagi.
“Ya Allah adik aku ni. Satu semesta dengar suara dia,” bebel Irshad sambil menggeleng.
“Along… Along…” Buat kali yang ketiga Irdina memanggil. Rasa teruja ketika ini.
“Dina, cuba la jangan panggil along macam tu. Takut burung-burung yang ada kat pokok tu,” tegur Irshad sebaik sahaja Irdina di hadapan.
Irdina berkerut dahi. Kurang faham dengan kata-kata Irshad.
“Tengok tu!” unjuk Irshad ke arah beberapa burung yang berterbangan.
Irdina menghalakan mata ke arah yang ditunjuk. Cuba untuk memahami kata-kata Irshad.
“Along!!!” Irdina menegur tatkala dapat menangkap maksud kata-kata Irshad. Cubitan hinggap di lengan abangnya itu.
“Sakitlah Dina!” adu Irshad sambil cuba mengelak daripada dicubit.
“Padan muka!” kutuk Irdiana, selamba.
“Okey… Okey… Apa cerita? Dari jauh lagi dah menjerit nama along.”
Irdina tersenyum penuh makna. Dihampiri Irshad lalu memeluk kejap lengan Irshad.
“Ni mesti ada benda nak mintak,” duga Irshad sambil mengangkat kening.
Irdina tersengih. Dileraikan pelukan dan mengeluarkan sesuatu dari dalam beg tangan. Kemudian, dihulurkan kepada Irshad.
“Apa ni?” tanya Irshad sambil membalas huluran.
“Surat jemputan!” jawab Irdina, teruja.
“Jemputan? Jemputan apa?”
Blind date!”
Blind date? Untuk siapa?”
“Along!”
Irshad berkerut dahi.
“Dina daftarkan nama along kat agensi cari jodoh.”
What?!!!” Terjerit Irshad mendengarnya.
“Kenapa? Along tak suka ke?”
“Dina, along kan masih muda lagi. Kenapa nak…”
“Muda along kata? Umur along dah 28 tahun. Lagi 2 tahun masuk 30 an.”
“Muda la tu.”
“Muda? Cuba along tengok kawan-kawan along. Semua dah kahwin. Dah ada 2 atau 3 orang anak. Along?”
“Eh, along pun ada anak tau.”
“Bila masa along ada anak? Kahwin pun belum.”
“Anak kucing!” balas Irshad lalu tersengih.
Irdina menjegilkan mata. Wajah sengihan Irshad ditatap geram.
“Tak  perlulah Dina. Along boleh cari sendiri,” beritahu Irshad. Kad jemputan diserahkan semula kepada Irdina.
“Ala… Penat-penat orang daftarkan nama along,” keluh Irdina beriak kecewa.
Irshad hanya tersenyum. Dia menyambung kerja yang tertangguh sebentar tadi. Kepala menggeleng kecil. Geli hati dengan tindakan Irdina. Jauh di sudut hati, dia berterima kasih kepada Irdina kerana mengambil berat akan dirinya.
Irdina memandang tingkah laku Irshad. Permintaannya tadi tidak mendapat persetujuan Irshad. Bagaimana untuk membantu Irshad? Sudah beberapa kali Irshad putus cinta. Semuanya disebabkan gadis yang dikenali Irshad tidak menepati citarasa. Semuanya mata duitan dan mengambil kesempatan atas kebaikan Irshad.
Irshad bukanlah seorang yang kaya. Berkat usaha Irshad selama ini, abangnya berjaya membuka sebuah kedai dobi. Walaupun hanya kecil-kecilan, Irshad sudah berjaya membuka tiga cawangan dobi miliknya. Rasa kagum atas usaha Irshad selama ini.
“Dina tak kerja ke?” tanya Irshad, prihatin.
“Haa… Apa dia?” Irdina sedikit tersentak.
“Tak kerja ke?”
“Kan tengah rehat.”
Irshad mengerling jam di pergelangan tangan. Masa sudah menginjak ke pukul satu lima minit petang. Dia mengangguk perlahan. Mujurlah jarak pejabat Irdina tidak jauh dari kedai dobinya. Jika tidak, mustahil Irdina boleh melepak di kedainya.
“Along!” panggil Irdina, lembut.
Irshad menghalakan mata ke arah Irdina.
“Along pergi ya.” Irdina sedikit merayu.
Irshad menghela nafas ringan. Mengangguk tidak menggeleng pun tidak. Tidak tahu untuk menjawab permintaan Irdina.
“Dina balik office dulu. Petang nanti ada meeting team building,” beritahu Irdina lalu beredar dari situ. Kad jemputan diserahkan semula kepada Irshad.
Irshad hanya memandang. Kad di tangan ditatap. Perlukah dia memenuhi permintaan Irdina? Rasa serba salah ketika ini.


SO, macam mana first day kau bekerja. Okey?” tanya Naufal, prihatin.
Tengku Irfan menghela nafas ringan. Dia melabuhkan duduk di kerusi.
“Tak apalah, Ir. Slow-slow dulu. Lama-lama nanti, okey la. Lagipun kau dah lama tak kerja. Dua tahun. Bukan masa yang pendek, Ir,” suara Naufal lagi.
“Aku tahu, Naufal. Banyak yang aku perlu belajar,” balas Tengku Irfan, perlahan.
“Kalau kau perlukan bantuan aku, kau beritahu saja. Insya-Allah, aku akan bantu.”
I will, Naufal. Thanks.”
Naufal mengangguk. Matanya memandang wajah Tengku Irfan. Riak keliru terlukis di wajah itu. Pasti Tengku Irfan masih cuba menyesuaikan diri dengan suasana bekerja.
“Kau tak nak order makanan?”
“Tak apalah. Aku dah makan tadi sebelum jumpa kau. Makan dengan client.”
Tengku Irfan mengangguk. Gelas minuman dicapai lalu meneguk air dari dalamnya.
“Aku dengar papa kau ambil alih Suria Holdings, betul ke?”
“A’ah. Aku baru tahu.”
“Kenapa dengan tiba-tiba papa kau nak ambil alih Suria Holdings?”
“Papa kata Tuan Haji Jamal berhijrah ke Australia dan menetap di sana. Dia jual share pada papa aku,” beritahu Tengku Irfan.
Itulah yang diketahuinya daripada Tengku Iqbal. Tentang pengambilalihan Suria Holdings sebagai anak syarikat. Dia dipertanggungjawabkan mengurus Suria Holdings.
Tetapi, dia memerlukan masa untuk menggalas tugas itu. Buat masa sekarang, biarlah Encik Razman selaku pengurus memantau syarikat.
“Sebelum aku terlupa, apa kes kau dengan gadis tu?” tanya Naufal, ingin tahu.
“Gadis? Gadis mana?” soal Tengku Irfan, berkerut.
“Gadis yang langgar kau malam tu. Kat pasar.”
Tengku Irfan cuba mengingati gadis yang dimaksudkan oleh Naufal. Seminit kemudian, dia mengangguk tatkala mengingatinya.
“Apa kes?”
“Huh! Minah tu memang menyakitkan hati.”
“Yalah. Tapi, apa kes? Apa yang dia dah buat pada kau?”
“Hari tu ada budak langgar aku. Dia bela budak tu. Suka hati dia saja nak lepaskan budak tu,” cerita Tengku Irfan, mendengus kasar.
Tergelak Naufal mendengarnya. Gelengan diberikan kepada Tengku Irfan.
“Yang kau gelak, kenapa? Ada yang lawak ke?” tegur Tengku Irfan, keras.
Naufal mematikan ketawa. Wajah tegang Tengku Irfan ditatap.
“Bengang betul aku dengan minah tu,” luah Tengku Irfan lagi.
“Ala, perkara kecik saja. Kau ni janganlah ambil hati pasal tu. Lagipun, benda dah nak jadi, kan?” kata Naufal berbaur nasihat.
Tengku Irfan tidak membalas. Wajah gadis itu menyapa mata ketika ini.
“Aku suka tengok kau dalam keadaan macam ni. Sekurang-kurangnya aku tahu yang kau masih ada hati dan perasaan,” ujar Naufal lalu tersenyum.
“Apa maksud kau? Aku tak faham,” soal Tengku Irfan, berkerut dahi.
“Maksud aku, selama dua tahun kau pendam perasaan kau. Apa yang terjadi buatkan kau menyendiri dan menjauhi orang,” jelas Naufal.
Tengku Irfan mengangguk faham. Ada benarnya penjelasan Naufal itu. Selama ini, dia menyendiri dan menjauhi orang lain.
“Kau nak ikut aku tak minggu depan?” tanya Tengku Irfan kemudian.
“Minggu depan? Ke mana?” soal Naufal, ingin tahu.
“Papa kata ada team building minggu depan. Jadi, papa ajak aku sekali ke sana. Nak bermesra dengan staf-staf Suria Holdings.”
“Oh. Tengoklah dulu macam mana. Kalau tak ada apa-apa, aku follow.”
Tengku Irfan mengangguk. Jam di pergelangan tangan dikerling buat seketika. Masa sudah merangkak ke pukul dua petang. Terlalu lama mereka berdua berbual-bual di kafeteria itu. Ada baiknya dia beredar dari situ. Khuatir papanya, Tengku Iqbal mencari.
“Aku balik office dulu. Nanti papa aku cari pulak,” ujar Tengku Irfan bingkas bangun.
Naufal melihat jam di pergelangan tangan.
“Okey. Apa-apa jangan lupa beritahu or tanya pada aku. Ingat pesanan aku, Ir. Papa kau perlukan kau sekarang. Kuatkan semangat. Jangan layan sangat perasaan kau tu,” nasihat Naufal.
“Kau ni macam orang tua,” tegur Tengku Irfan lalu ketawa kecil.
“Kau kepentingan aku, Ir. Papa kau amanahkan pada aku untuk jaga dan tengok-tengokkan kau,” balas Naufal lalu tersenyum.
Tengku Irfan sekadar tersenyum. Tanpa membalas, dia segera beredar dari situ. Ya. Memang benar apa yang diperkatakan oleh Naufal. Tengku Iqbal telah mengamanahkan Naufal untuk menjaga dan berada di sisinya selama ini.
Naufal merupakan anak angkat papanya sejak pemuda itu berusia sepuluh tahun lagi. Ibu dan ayah Naufal merupakan pembantu dan pemandu Tengku Iqbal dan mereka meninggal dalam satu kemalangan jalan raya.
Kini, Naufal bekerja sebagai Akauntan di salah sebuah syarikat swasta. Walaupun papanya menawarkan pekerjaan buat Naufal, pemuda itu menolak untuk menerima.
Kata Naufal, dia tidak mahu mengmbil kesempatan atas kebaikan Tengku Iqbal. Cukuplah dengan apa yang telah Tengku Iqbal lakukan selama ini dan dia mengagumi keperibadian Naufal Shafiq.


“MESYUARAT ditangguhkan. Sebarang masalah, kamu semua boleh merujuk pada saya ataupun Puan Norashamti selaku pembantu program ini,” beritahu Encik Razman.
Matanya memandang setiap wajah yang berada di dalam bilik mesyuarat itu. Mereka mengadakan mesyuarat untuk melaksanakan program team building anjuran Suria Holdings.
“Baik, Encik Razman,” balas mereka serentak.
Tanpa membuang masa, mereka yang berada di dalam bilik segera beredar dari situ. Masing-masing berbisik sesama sendiri. Tidak sabar untuk menjalankan program tersebut.
“Irdina Asyikin tunggu sekejap,” arah Encik Razman.
Irdina yang baru hendak keluar dari bilik menghentikan langkah. Dihalakan mata ke wajah Encik Razman. Melisa di sisi turut sama memandang.
“Saya ada perkara nak bincang dengan awak, Irdina,” beritahu Encik Razman.
“Err… perkara apa, bos?” tanya Irdina, berdebar.
“Aku keluar dulu,” bisik Melisa ke telinga Irdina.
Irdina hanya mengangguk. Matanya menghantar pemergian Melisa. Kemudian, dihampiri Encik Razman dan menanti butir bicara daripada lelaki separuh abad itu.
“Duduk!” arah Encik Razman.
Irdina melabuhkan duduk berhadapan Encik Razman. Wajah pengurusnya ditatap mesra. Berdebar-debar dirasakan ketika ini. Perkara apa yang hendak dibincangkan oleh pengurusnya itu? Adakah melibatkan syarikat atau bersifat peribadi?
“Saya diarahkan untuk serahkan surat ni kepada awak. Mulai bulan hadapan, awak ditugaskan menjadi pembantu peribadi Tengku Irfan Haiqarl,” mulai Encik Razman.
Sehelai sampul surat diserahkan kepada Irdina. Senyuman menghiasi bibir. Menanti reaksi daripada gadis di hadapannya itu.
“Pembantu peribadi?” ulang Irdina sedikit terkejut.
Sampul surat dicapai lalu melihat isi di dalam. Surat bermuka syarikat dibaca dan cuba untuk difahami.
“Kenapa saya?” tanya Irdina sehabis sahaja meneliti surat tersebut.
“Atas arahan Tengku Iqbal, pengarah baru kita,” jawab Encik Razman, tenang.
“Tapi, kenapa saya?”
“Saya tak pasti, Irdina. Ini arahan Tengku Iqbal. Dia nak awak jadi pembantu peribadi Tengku Irfan Haiqarl.”
“Siapa Tengku Irfan?”
“Anak tunggal Tengku Iqbal. Tengku Irfan akan bertugas sebagai pengurus besar mulai bulan hadapan. Lepas team building kita.”
Irdina masih lagi cuba untuk menerima penjelasan Encik Razman. Perkataan ‘kenapa’ meniti di benak hati. Kenapa dia dipilih untuk jawatan itu?
“Kalau tak ada apa-apa soalan lagi, awak boleh teruskan kerja,” suara Encik Razman bernada arahan. Wajah berkerut Irdina menjadi tatapan mata.
Irdina tidak membalas. Dia bingkas bangun dan beredar dari ruangan itu. Hatinya masih lagi tertanya-tanya. Kenapa dia yang dipilih menjawat jawatan itu? Kenapa dia perlu menjadi pembantu peribadi Tengku Irfan?
“Apa kes?” tegur Melisa, tiba-tiba.
Tersentak Irdina dek kerana teguran itu. Dia mengurut dada menahan debaran.
Sorry. Tak sengaja,” kesal Melisa tatkala melihat tingkah laku Irdina.
Irdina tidak membalas. Surat di tangan menjadi tatapan mata.
“Surat apa tu? Kau dinaikkan pangkat lagi ke?” tanya Melisa, ingin tahu.
Surat dari pegangan Irdina ditarik lalu membaca isi surat tersebut. Berkerut dahinya tatkala membaca. Cuba untuk memahami isi kandungan surat tersebut.
“Kenapa aku?” soal Irdina, perlahan.
“Wow! Pembantu peribadi,” ujar Melisa sehabis sahaja membaca.
“Kenapa aku?” Irdina masih lagi menyoal. Kurang percaya dengan arahan itu.
“Tengku Irfan? Siapa dia? Anak Tengku Iqbal ke?” tebak Melisa.
“A’ah, anak Tengku Iqbal. Masalahnya, kenapa Tengku Iqbal pilih aku? Kan ramai lagi staf yang lebih berpengalaman daripada aku.”
“Ala… dah dia nak pilih kau, kau terima sajalah. Bukan senang nak dapat peluang macam ni. Kira kau bertuah tau.”
“Aku tak heran sangat tentang tu. Yang aku pelik, kenapa aku yang dipilih? Kenapa aku perlu jadi pembantu peribadi anak dia?”
“Hurm… mungkin dia berkenan dengan kau. Nak jadikan kau sebagai menantu dia. Sebab itulah dia suruh kau jadi pembantu peribadi anak dia. Nak nilai kau sebelum dia melamar buat anak dia.” Melisa sekadar serkap jarang.
“Mengarutlah kau ni, Mel,” tukas Irdina, serius.
“Aku buat andaian saja. Mana la tahu kan andaian aku ni betul. Bertuah kau, Dina. Dapat kahwin dengan keturunan raja,” balas Melisa lalu tersenyum penuh makna.
Irdina tidak membalas. Otaknya masih ligat berfikir. Kenapa dan kenapa. Seperti ada sesuatu yang tidak kena. Mungkinkah itu sekadar firasat di hati.
“Aku balik tempat aku dulu. Petang nanti kita ke shopping mall nak? Nak beli barang sikit,” ujar Melisa sambil memandang wajah Irdina.
“Haa… okey!” balas Irdina sedikit tersentak.
Melisa sekadar mengangguk. Tanpa menunggu, dia menuju ke tempat kerjanya. Dia perlu menyiapkan kerja yang tertangguh pagi tadi.
Irdina menuju ke tempatnya. Nama Tengku Irfan meniti di benak hati. Siapa Tengku Irfan? Adakah tua ataupun muda?
“Huh! Buat sakit otak aku saja. Baik aku siapkan kerja aku. Tunggu dan lihat sajalah bulan hadapan. Macam mana orangnya Tengku Irfan tu,” putus Irdina tatkala penat berfikir.
Jam di dinding dikerling buat seketika. Masa sudah menghampiri ke pukul empat sepuluh minit. Mungkin ada baiknya dia tidak memikirkan tentang itu. Berserah kepada Yang Maha Esa. Semoga perjalanan hidupnya diberkati Allah selama ini.

Thank you. Jumpa lagi!



Tiada ulasan:

Catat Ulasan