Sabtu, 8 November 2014

Seandainya Tuhan Mengizinkan! - Bab 14






“ALHAMDULILLAH, semuanya berjalan dengan lancar,” lafaz Puan Hasiah, lega.
“Alhamdulillah, mak long. Allah permudahkan urusan kita,” balas Nur Syahirah, tersenyum. Nafas lega dilepaskan.
“Tak menang tangan kita tadi Syira.”
“A’ah, mak long. Kalau tak silap Syira, kenduri yang lepas tak macam ni.”
“Kali ni mak long ajak orang-orang surau. Itu yang ramai.”
“Oh, patutlah!” sahut Nur Syahirah berserta anggukan kecil.
“Syira dah makan?”
“Dah mak long.”
“Kalau macam tu, mak long ke dapur dulu. Nak kemas apa-apa yang patut,” kata Puan Hasiah bingkas bangun dari duduk. Tingkah lakunya terhenti tatkala Nur Syahirah menahannya.
“Terima kasih, mak long!”
“Terima kasih untuk apa?”
“Terima kasih kerana membantu Syira selama ini. Terima kasih kerana merahsiakan siapa Sarah Imani yang sebenar.”
Puan Hasiah melabuhkan duduknya semula. Ditatap kasih wajah Nur Syahirah.
“Syira terhutang budi dengan mak long,” sambung Nur Syahirah.
“Syira anak buah mak long. Dah menjadi tanggungjawab mak long untuk membantu dan menjaga Syira sekiranya keluarga Syira tak ada nanti.”
“Kalau bukan disebabkan Syira, mak long takkan dapat susah. Mak long tak perlu berbohong dengan orang kampung tentang Syira.” Nur Syahirah meluahkan rasa kekesalan.
Rasa bersalah masih lagi menebal dalam diri. Disebabkan peristiwa enam tahun yang lepas, Puan Hasiah terpaksa berhadapan dengan orang-orang kampung. Puan Hasiah terpaksa berbohong sekaligus menafikan tuduhan orang-orang kampung.
Dengan pembohongan itu dapat menyelamatkan mak long daripada terus-terusan dihina dan dipandang serong oleh mereka. Semuanya disebabkan kesilapan yang lepas. Kesilapan yang tak mungkin akan hilang dari dalam kamus hidupnya itu.
“Tak mengapalah, Syira. Semua tu dah takdir Allah buat kita. Kalau kita tak buat macam tu dulu, tak mungkin orang-orang kampung akan pandang elok pada kita sekarang ni,” jelas Puan Hasiah. Sekadar untuk menyedapkan hati Nur Syahirah.
Nur Syahirah mengangguk lemah. Didakap tubuh ibu saudaranya dan tersenyum hambar. Terlalu banyak pengorbanan yang telah dilakukan oleh mak long terhadap dirinya. Bagaimana untuk membalas kesemua itu?
“Ehem… ehem…” Deheman seseorang membuatkan Nur Syahirah meleraikan pelukan. Ditatap mesra kelibat yang sedang berdiri di hadapannya itu.
“Maaf, kalau mengganggu,” tutur Zahrul, lembut.
“Zahrul! Ada apa Zahrul?” tanya Puan Hasiah, ramah.
“Rul dah kemaskat luar, mak long. Ada apa-apa lagi yang nak dikemas?” beritahu Zahrul berserta senyuman di bibir.
“Ya Allah! Buat apa susah-susah kemaskannya, Zahrul. Mak long dengan Syira boleh kemaskan,” luah Puan Hasiah sedikit terkejut.
“Betul kata mak long tu, Abang Zahrul. Syira boleh kemaskan kat luar tu. Kenapa susah-susah buat?” sokong Nur Syahirah. Rasa serba salah kerana menyusahkan lelaki itu.
Zahrul sekadar tersenyum. Wajah Nur Syahirah dan Puan Hasiah dipandang silih berganti. Riak terkejut terpamer di wajah kedua-dua insan di hadapannya itu.
“Mak long banyak susahkan Zahrul,” ujar Puan Hasiah, kesal.
“Mak long, mana ada susahnya. Kalau nak dibandingkan dengan apa yang telah mak long lakukan pada Rul, tak terbalas jasa mak long tu bagi Rul,” bidas Zahrul, ikhlas.
Selama ini, Puan Hasiah banyak membantu dalam segala hal. Selepas kematian kedua-dua orang tuanya, hanya Puan Hasiah tempat untuk mengadu segala masalah. Disebabkan itu dia berani membahasakan panggilan ‘mak long’ buat Puan Hasiah. Jika nak dibandingkan dengan apa yang Puan Hasiah pernah lakukan, tak terbalas jasa wanita itu.
“Zahrul dah makan?” tanya Puan Hasiah, lembut.
“Dah, mak long!” balas Zahrul.
“Bawa balik sikit lauk nanti. Buat makan malam.”
“Tak mengapalah, mak long. Rul tinggal seorang aje kat rumah tu. Takut tak termakan nanti dan membazir.”
“Ala, bawa ajelah. Nanti Abang Zahrul boleh panaskan balik lauk-pauk tu semua,” sampuk Nur Syahirah.
“Betul tu, Zahrul. Ambil ajelah lauk-pauk tu bawa balik sikit. Manalah tahukan tengah-tengah malam nanti lapar,” sokong Puan Hasiah.
Zahrul berfikir sejenak. Kemudian, anggukan diberikan kepada Puan Hasiah dan Nur Syahirah. Sekadar mengambil hati kedua-dua wanita di hadapannya itu.
“Kalau macam tu, biar Syira bungkuskan semua lauk-pauk tu. Abang Zahrul tunggu sekejap ya,” ujar Nur Syahirah berlalu pergi.
Zahrul dan Puan Hasiah sekadar mengangguk. Mata mereka mengekori langkah Nur Syahirah sehingga hilang di sebalik pintu dapur.
“Terima kasih, Zahrul!” ucap Puan Hasiah, ikhlas.
Zahrul berkerut dahi.
“Terima kasih kerana merahsiakan semuanya tentang Nur Syahirah,” sambung Puan Hasiah. Matanya menatap mesra wajah Zahrul.
“Tak perlulah berterima kasih pada Rul,mak long. Rul sekadar menjalankan tanggungjawab serta amanah yang telah diberikan oleh mak long pada Rul,” kata Zahrul.
“Setiap hari mak long mendoakan kebahagiaan Syira. Mak long harap sangat Syira balik kampung jumpa adik mak long sekeluarga. Mak long kesiankan dia,” luah Puan Hasiah tanpa segan silu.
Sudah menjadi kebiasaan bagi dia meluah kepada Zahrul. Semenjak kematian suaminya akibat sakit jantung, hanya Zahrul tempatnya mengadu selain daripada Nur Syahirah. Zahrul sudah dianggap seperti anak kandungnya sendiri memandangkan dia tidak mempunyai anak.
“Saya pun sama juga mak long. Rul dah anggap Syira seperti adik kandung Rul sendiri,” sokong Zahrul, mengangguk perlahan.
Puan Hasiah turut sama mengangguk. Matanya memandang ke wajah tenang Zahrul. Bersyukur kerana mengenali pemuda baik seperti Zahrul.
“Esok, mak long buka kedai macam biasa ke?” tanya Zahrul, berbasa basi.
“Mak long ingat nak tutup. Bagi cuti sehari pada pekerja-pekerja. Zahrul tolong beritahu pada mereka semua,” jawab Puan Hasiah, tenang. Senyuman diberikan kepada Zahrul.
“Baiklah, mak long! Nanti Rulberitahu pada mereka semua,” balas Zahrul turut sama tersenyum. Matanya menatap mesra wajah Puan Hasiah.
“Maaflah kalau mak long susahkan Zahrul. Pagi, Zahrul mengajar di sekolah. Petang sampai malam, tolong mak long kat kedai pulak,” ujar Puan Hasiah, serba salah.
“Tak mengapa mak long. Daripada Rul tak buat apa-apa kat rumah lepas sekolah, baik Rul tolong mak long kat kedai. Melainkan Rul ada program kat sekolah, Rul tak dapat nak bantu mak long,” terang Zahrul, ikhlas.
Semenjak Puan Hasiah membuka kedai, dia banyak menghabiskan masa membantu Puan Hasiah jika berkelapangan. Perniagaan kerepek kecil-kecilan yang dibuka oleh Puan Hasiah dua tahun yang lepassemakin mendapat tempat di luar kawasan kampung.
“Mak long ke dapur dulu. Nak tengok Syira,” ujar Puan Hasiah lalu beredar dari situ.
Zahrul hanya mengangguk. Setelah memastikan kelibat Puan Hasiah hilang dari pandangan mata, dibawa langkah menuju ke luar rumah.


“MACAM mana, Zairiel?” tanya Farhana tidak sabar.
“Masih sama!” jawab Zairiel, lemah.
“Habis tu, takkan awak nak biarkan saja?”
“Saya dah cuba. Tapi hasilnya tetap sama.”
“Kita tak boleh biarkan saja. Takut melarat menanti,” gusar Farhana. Matanya memandang ke susuk tubuh Daniel Iman yang sedang berbaring di atas katil.
“Saya dah bagi suntikan. Kita tunggu dua tiga jam lagi. Kalau demam Danny tak kebah, saya bawa dia ke hospital,” jelas Zairiel. Ada nada risau dari ayatnya itu.
Farhana sekadar mengangguk. Matanya tidak lekang memandang ke arah Daniel Iman. Perasaan risau turut hadir di hati. Perlukah dia memberitahu Nur Syahirah tentang Daniel Iman?
“Doktor!” tegur Sakinah, tiba-tiba.
Farhana dan Zairiel menoleh. Wajah Sakinah menyapa mata mereka berdua.
“Ada pesakit di luar,” beritahu Sakinah.
“Baiklah, Kak Kinah. Sekejap lagi saya keluar,” balas Zairiel.
Sakinah mengangguk dan beredar dari situ.Sempat matanya mengerling ke arah Daniel Iman. Kasihan melihat kanak-kanak itu. Penyakit apa yang sedang ditanggung oleh Daniel Iman? Sudah bermacam usaha Zairiel lakukan namun hasilnya tetap sama. Matanya terpandangkan tanda merah yang terdapat di tubuh Daniel Iman. Adakah Daniel Iman terkena demam denggi?
“Nauzubillah! Janganlah Danny terkena demam denggi. Bahaya penyakit tu. Boleh membawa maut,” kata Sakinah sambil mengurut dada. Dilabuhkan duduk di kerusi sebaik sahaja memberitahu kepada pesakit yang hadir.
“Hana, saya keluar dulu. Awak tolong tengok-tengokkan Danny,” ujar Zairiel.
“Baiklah, Zairiel! Awak jangan risau. Pesakit awak perlukan awak sekarang,” balas Farhana berserta anggukan kecil.
Zairiel tersenyumsambil melangkah keluar dari bilik. Hatinya risau akan kesihatan Daniel Iman. Tidak ada tanda-tanda untuk sembuh dari demam. Perlukah dia membawa Daniel Iman ke hospital untuk rawatan lanjut?
Farhana hanya memandang sehingga kelibat Zairiel hilang dari pandangan mata. Telefon bimbit dikeluarkan dari dalam poket seluar. Ada baiknya dia mengkhabarkan tentang Daniel Iman kepada Nur Syahirah. Sekurang-kurangnya Nur Syahirah dapat menangguhkan percutiannya di kampung Puan Hasiah.
“Ada apa, Hana?” tanya Nur Syahirah sebaik sahaja salam bersambut.
“Danny, Syira,” jawab Farhana.
“Danny? Kenapa dengan Danny? Danny tak sihat lagi ke?” tanya Nur Syahirah, cemas. Perasaan risau menyelinap masuk ke dalam hati.
“Belum lagi. Danny ada kat klinik Zairiel.”
“Ya Allah! Habis tu, kenapa tak bawa ke hospital? Nanti melarat pulak.”
“Zairiel kata tunggu malam ni. Kalau demam Danny tak kebah juga, baru Zairiel bawa Danny ke hospital.”
Nur Syahirah menghela nafas ringan. Jam di dinding dikerling buat seketika.
“Bila kau nak balik?”
“Tak sure lagi. Aku cadang, esok baru aku nak balik.”
“Aku rasa, Danny rindukan kau. Mungkin bila dia jumpa dengan kau nanti dia akan baik,” kata Farhana mengeluh ringan.
“Aku memang nak balik. Tapi….”
“Tapi apa, Syira? Kau tak kesian ke dengan Danny? Takkan disebabkan Zairiel, kau nak abaikan Danny? Kau buanglah ego kau tu dulu demi Danny,” pintas Farhana. Mengerti akan maksud kata-kata Nur Syahirah itu.
“Aku belum bersedia nak berhadapan dengan dia lagi. Aku harap kau faham.”
“Sampai bila? Sampai bila kau nak larikan diri daripada kenyataan dan masalah?”
“Sampai aku bersedia untuk berhadapan dengan dia.”
“Suka hati kau la Syira. Kau fikirlah mana yang terbaik buat diri kau. Tapi, kau jangan lupa dengan Danny. Budak tu tak bersalah. Jangan disebabkan kedegilan kau ni buatkan kau menyesal di kemudian hari,” luah Farhana sekadar nasihat.
Nur Syahirah hanya mendengar. Kata-kata Farhana menusuk ke tangkai hati. Perlukah dia membuang sikap degilnya demi Daniel Iman?
“Hana… Danny!” ujar Sakinah sedikit menjerit.
Farhana tersentak. Dihalakan mata ke arah Daniel Iman.
“Ya Allah!” ucap Farhana.
“Hana, kenapa dengan Danny?” tanya Nur Syahirah dari hujung talian.
“Syira, Danny…”
“Hana… Hana… Kenapa dengan Danny?” ulang Nur Syahirah, risau. Namun, pertanyaannya tidak dijawab kerana Farhana sudah pun mematikan talian.
“Kenapa, Syira?” tanya Puan Hasiah dari arah belakang.
Nur Syahirah menoleh. Riak cemas terlukis di wajah.
“Kenapa, Syira?” ulang Puan Hasiah.
“Tak ada apa-apa, mak long. Kawan Syira call,” jawab Nur Syahirah.
“Siapa?”
“Hana! Farhana!”
Puan Hasiah mengangguk. Wajah Nur Syahirah masih menjadi tatapan matanya.
“Mak long, Syira ke bilik sekejap,” pamit Nur Syahirah berlalu pergi.
Puan Hasiah hanya memandang. Hatinya tertanya-tanya akan tingkah laku Nur Syahirah.


“AKU terpaksa tahan Danny, Zairiel,” beritahu Doktor Imran.
“Kau buat apa saja Im. Asalkan Danny selamat,” balas Zairiel, lemah.
“Kau janganlah risau. Insya-Allah, Danny tak ada apa-apa,” kata Doktor Imran. Memberi semangat buat kawannya itu.
“Silap aku juga. Aku ingatkan demam biasa saja. Aku anggap tanda-tanda merah kat badan Danny hanya alahan biasa. Danny memang ada alahan. Tak sangka tanda-tanda merah tu tanda demam denggi,” luah Zairiel, kesal. Diraup sekali wajahnya berserta nafas berat.
“Perkara dah nak jadi. Kita tak boleh nak menolak. Nasib baik kau bawa cepat ke sini. Kalau tidak aku takut jadi lagi teruk.”
“Tak guna aku jadi doktor kalau anak aku sendiri pun aku tak boleh nak rawat.”
“Zairiel, jangan cakap macam tu. Kalau aku di tempat kau, mungkin aku pun akan jadi sama macam kau.”
“Aku sayangkan Danny lebih daripada nyawa aku sendiri.”
“Insya-Allah, Zairiel. Banyak-banyaklah kita berdoa agar Danny terlepas dari penyakit yang boleh membawa maut ni,” pujuk Doktor Imran sambil menepuk lembut bahu Zairiel.
Zairiel mengangguk lemah. Muka diraup untuk kesekian kali. Lemah dirasai ketika ini. Silapnya juga kerana tidak memantau kesihatan Danny. Malah tanda-tanda yang terdapat pada Danny lebih menunjukkan Danny terkena demam denggi.
“Aku ke bilik dulu. Kalau kau perlukan apa-apa bantuan, kau cari aku kat sana,” kata Doktor Imran.
“Baiklah, Im. Terima kasih!” balas Zairiel berserta senyuman nipis.
Doktor Imran turut sama tersenyum. Dia segera beredar dari situ menuju ke bilik. Jauh di sudut hati, dia berdoa akan kesihatan Daniel Iman. Semoga Daniel Iman terlepas dari waktu kritikal.
Zairiel membawa langkah menuju ke bilik rawatan Daniel Iman. Lemah kepala lututnya untuk melangkah. Kusut fikirannya ketika ini. Daniel Iman segala-gala baginya. Sakit Daniel Iman, sakitlah juga dia. Selama ini, tidak pernah sekali pun dia mengabaikan Daniel Iman. Tetapi hari ini, dia cuai dalam menjalankan tanggungjawab sebagai seorang ayah.
“Doktor Zairiel!” tegur Farhana, tiba-tiba.
Terhenti langkah Zairiel dek kerana teguran itu. Matanya dihalakan ke arah Farhana di hadapan. Senyuman nipis diberikan buat gadis itu.
“Maafkan atas kecuaian saya, Zairiel.”
“Awak tak salah Hana.”
“Kalau saya perhatikan Danny, mungkin perkara ni takkan berlaku.”
“Tak mengapa. Benda dah nak jadi.”
Farhana menunduk. Menyesal ketika ini. Jika bukan disebabkan sibuk melayan panggilan Nur Syahirah, Daniel Iman tidak akan cuba bangun sekali gus mencapai jag air dari atas meja. Malah, Daniel Iman juga hampir terjatuh dari katil. Mujur ada Sakinah yang melihat kejadian itu dan sempat menyambut tubuh Daniel Iman daripada jatuh ke bawah.
“Mungkin Danny haus lepas terjaga. Sebab itulah Danny cuba nak capai jag air tu.”
“Maafkan saya.”
“Tak mengapalah Hana. Saya tak salahkan awak. Buat masa sekarang, kawan saya akan pantau keadaan Danny. Air akan dimasukkan ke tubuh Danny bagi melawan virus denggi. Insya-Allah, Danny tak akan apa-apa,” jelas Zairiel, tenang. Cuba menyembunyikan kerisauan di hati.
“Saya ke bilik Danny, Zairiel,” ujar Farhana.
Zairiel sedikit tersentak.
“Marilah! Saya pun nak ke sana juga.”
Mereka melangkah beriringan menuju ke bilik rawatan Daniel Iman. Hanya doa yang mampu diberikan agar Daniel Iman sembuh dari penyakitnya.
“Syira!” sebut Farhana membuatkan langkah Zairiel termati di situ.


1 ulasan: