Isnin, 4 Januari 2016

Luahan Hati - Bab 9






“ELISYA, kau nak aku hantar ke tidak?” laung Dahlia dari luar bilik.
“Tak mengapalah, Lia. Aidid datang ambil aku,” balas Elisya dari dalam bilik.
“Kalau macam tu, aku pergi dulu. Good luck untuk temuduga kau nanti,” kata Dahlia lagi lalu beredar dari situ.
“Terima kasih, Lia!” sahut Elisya sambil membuka pintu bilik.
Matanya memandang kelibat Dahlia yang sudah pun masuk ke dalam kereta. Seminit kemudian, bayang kereta Dahlia hilang dari pandangan mata. Tanpa membuang masa, digerakkan kerusi rodanya ke ruang tamu dan mencapai kunci rumah dari atas meja.
“Assalamualaikum,” ucap seseorang dari luar rumah.
“Waalaikumussalam,” jawab Elisya sambil meninjau ke luar rumah. Wajah Aidid menyapa mata.
“Dah siap?” tanya Aidid setibanya Elisya di luar pagar.
“Dah! Maaf, sebab susahkan Aidid,” jawab Elisya, tersenyum.
“Tak ada susahnya, Sya,” balas Aidid seraya meletakkan Elisya di tempat duduk penumpang. Senyuman diberikan kepada Elisya.
“Terima kasih, Aidid,” ucap Elisya, ikhlas.
Aidid hanya mengangguk. Setelah meletakkan kerusi roda di belakang bonet, dia melangkah masuk ke dalam perut kereta. Senyuman masih lagi terukir di bibir. Dikerling sekilas ke wajah Elisya buat seketika. Tanpa berlengah, dia memandu keluar dari kawasan perumahan Elisya.
“Dah sedia tak?” tanya Aidid, berbasa basi.
“Insya-Allah, Sya dah sedia,” jawab Elisya, tersenyum.
“Aidid doakan Sya dapat tender tu. Kalau Sya perlukan pertolongan Aidid, Sya beritahu saja. Insya-Allah, Aidid akan bantu Sya,” kata Aidid, ikhlas.
“Hurm, setakat ni tak ada apa-apa lagi. Kalau dapat tender tu, baru Sya minta tulang empat kerat Aidid,” tutur Elisya lalu ketawa kecil.
“Amboi, sampai tulang empat kerat. Patahlah tulang Aidid ni nanti,” gurau Aidid turut sama ketawa.
Elisya masih lagi ketawa. Wajah Aidid dipandang mesra. Ucapan syukur meniti di benak hati. Syukur kerana bertemu dengan Aidid Haikal. Lelaki yang telah dua tahun menjadi teman baiknya dan juga Dahlia.
“Sya… kenapa termenung ni?” tegur Aidid seraya menyentuh lembut tangan Elisya.
Tersentak Elisya dek kerana teguran itu. Gelengan diberikan kepada Aidid.
“Sya risau ke? Insya-Allah, kalau dah ditakdirkan rezeki Sya, Sya akan dapatnya juga,” sambung Aidid sekadar memberi semangat buat Elisya.
“Mudah-mudahan Aidid,” ujar Elisya masih tersenyum.
Aidid turut sama tersenyum. Matanya mengerling sekilas ke wajah Elisya. Sejuk matanya memandang wajah itu. Selama dua tahun berkawan, segala keperluan diuruskannya. Keperluan dari segi pengangkutan dan pandangan jika Elisya memerlukan bantuan darinya.
Hanya itu yang mampu dilakukan oleh Aidid buat Elisya. Jika boleh, seumur hidup dia mahu bersama dan setia bersama Elisya.


“SYA tunggu sini dulu. Aidid nak daftar nama sekejap,” beritahu Aidid setibanya mereka berdua di Megah Indah Sdn Bhd.
“Kalau macam tu, Sya nak ke ladies dulu,” ujar Elisya.
“Sya nak Aidid bawa ke sana?” tanya Aidid, prihatin.
“Err.. tak perlulah. Sya boleh pergi sendiri,” jawab Elisya tertunduk malu.
Aidid tersenyum. Silapnya juga kerana bertanya begitu.
“Aidid tunggu kat sini nanti.”
Elisya mengangguk. Tanpa berlengah, digerakkan kerusi rodanya menuju ke ladies room. Rasa gugup dan gementar hadir dengan tiba-tiba. Jantungnya juga turut berdegup dengan kencang. Seakan ada sesuatu yang bakal berlaku nanti. Ah! Mungkin firasatnya sahaja. Dihalau firasatnya itu jauh dari kotak fikiran.
“Woi, buta ke?” tegur seseorang, lantang.
Terkejut Elisya mendengarnya. Dihalakan mata ke arah suara yang menegur. Jelas ketegangan pada wajah itu.
“Mata kau tu letak kat mana?” marah suara itu pula.
“Maaf, saya tak sengaja,” ujar Elisya, perlahan.
“Kaki kau tu dah la cacat, takkan mata kau pun cacat juga. Lain kali, jalan tu tengok orang sikit. Tak pasal-pasal sakit kaki aku ni kena kerusi roda kau,” tengking suara itu.
Diusap kakinya yang terasa sakit akibat terkena kerusi roda Elisya. Jelingan tajam diberikan kepada Elisya.
Elisya hanya memandang. Rasa sebu di hati tatkala mendengar kata-kata perempuan itu. Dikerdipkan mata sambil cuba menahan air mata daripada menitis.
“Kenapa ni?” tanya seseorang dari arah belakang.
“Tak ada apa-apa Encik Firdaus. Perempuan cacat ni langgar saya. Dahlah cacat kaki, mata pun cacat juga kut,” jelas Maria lalu mencebik.
Firdaus menghela nafas ringan. Dihalakan mata ke arah gadis yang dimaksudkan oleh Maria. Diperhatikan gadis yang sedang menunduk itu. Seakan mengenali gadis tersebut.
“Lepas ni, bawa kerusi roda kau ni elok-elok. Kalau tidak…”
“Sudahlah Maria. Dia tak sengaja nak langgar awak,” pintas Firdaus, laju. Tidak mahu Maria terus-terusan memarahi serta memalukan gadis itu.
Maria mendengus kasar. Tanpa membalas, dibawa langkah beredar dari situ. Tajam matanya ke wajah Elisya yang sedang menunduk.
“Maafkan staf saya, cik,” ujar Firdaus sebaik sahaja kelibat Maria menghilang.
Elisya hanya membisu. Digerakkan kerusi rodanya menuju ke ruang menunggu di mana Aidid berada. Hatinya berasa sedih ketika ini.
“Cik!” tahan Firdaus. Matanya memandang pemergian gadis itu.
Elisya tidak menghiraukan panggilan Firdaus. Air matanya menitis perlahan membasahi pipi. Diusap lembut air mata itu. Tidak mahu Aidid melihatnya.
“Elisya!” panggil Aidid.
Firdaus yang baru memulakan langkah terhenti tatkala mendengar nama Elisya. Pantas dia menoleh ke belakang memandang ke arah gadis yang berkerusi roda itu. Diamati gadis itu penuh minat. Elisya!
“Kenapa ni?” tanya Aidid tatkala terpandangkan wajah sedih Elisya. Dijatuhkan tubuh separas Elisya.
Elisya sekadar menggeleng dan tersenyum hambar. Tidak mahu Aidid mengesani gelojak di hatinya ketika ini.
“Sya, awak menangis ke?” tanya Aidid masih tidak berpuas hati. Matanya terpandang air mata yang mengalir di pipi Elisya. Kenapa Elisya menangis?
“Sya tak sihat. Kita balik, Aidid,” adu Elisya.
Sungguh, dia tidak ada mood untuk meneruskan temuduga itu lagi. Sebu hatinya di kala ini. Kata-kata hina wanita tadi bermain-main di minda. Semakin laju air matanya mengalir membasahi pipi tatkala mengingatinya.
“Ya Allah, Sya kenapa ni?” tanya Aidid, kalut. Diseka air mata yang mengalir membasahi pipi Elisya.
“Sya tak ada mood. Jom kita balik!” ajak Elisya seraya menolak lembut tangan Aidid daripada menyeka air matanya. Berharap, Aidid mengerti akan permintaannya itu.
“Tapi, kita belum…”
“Rezeki boleh dicari. Bukan rezeki Sya nak dapat tender tu,” pintas Elisya. Mengerti akan maksud kata-kata Aidid itu.
Aidid menghela nafas ringan. Anggukan kecil diberikan kepada Elisya. Lantas, diangkat tubuh dan bersedia untuk menolak kerusi roda Elisya. Tingkah lakunya terhenti tatkala ditahan seseorang. Dia segera menoleh ke belakang dan melihat gerangan yang menahannya itu.
“Elisya!” seru Firdaus, perlahan.
Elisya menoleh. Berderau darahnya melihat Firdaus di belakang. Digerakkan kerusi rodanya tanpa mempedulikan Aidid.
“Elisya!” panggil Firdaus dan Aidid, serentak.
Firdaus dan Aidid berpandangan antara satu sama lain.
“Elisya!” panggil Firdaus sambil melajukan langkah. Cuba untuk mengejar Elisya.
Aidid yang melihat turut sama memulakan langkah mengekori Firdaus daripada belakang. Hatinya tertanya-tanya akan gerangan lelaki yang sedang melangkah di hadapannya itu. Seperti pernah berjumpa dengan lelaki itu.
“Elisya, nanti dulu!” rayu Firdaus sambil menahan kerusi roda Elisya.
“Lepaskan saya!” pinta Elisya, keras.
Tangan Firdaus ditolak kasar dari memegang kerusi rodanya. Tidak dihiraukan berpasang-pasang mata yang sedang memandang ke arah mereka berdua. Apa yang penting, dia dapat melepaskan diri daripada Firdaus.
“Elisya, please…” rayu Firdaus penuh mengharap.
Tangannya erat memegang kerusi roda Elisya. Tidak mahu Elisya pergi sama seperti pertemuan yang lepas.
“Saya bukan Elisya. Jangan ganggu saya. Lepaskan saya!” tegas Elisya.
Sedaya upaya dia mencuba untuk menggerakkan kerusi rodanya. Namun, kudratnya tidaklah sekuat mana. Firdaus terlebih dahulu menahan kerusi rodanya agar dia tidak beredar dari situ. Malah, pegangan erat Firdaus di kerusi roda menyukarkan dia menggerakkan kerusi roda.
“Elisya, kenapa ni?” tanya Aidid setibanya di situ.
“Aidid, bawa Sya pergi dari sini cepat!” pinta Elisya, mengharap.
“Saya tak benarkan awak pergi, Elisya!” Firdaus berkata tegas.
“Encik, maaf kalau saya menyampuk. Apa sebenarnya yang berlaku? Kenapa encik tahan kawan saya?” tanya Aidid yang sedari tadi memandang.
Firdaus melepaskan pegangan. Diraup kasar wajahnya sebelum menjatuhkan tubuh separas Elisya. Ditatap wajah Elisya penuh kasih. Rindu terhadap wajah itu.
Selama dua tahun dia menanggung rindu terhadap Elisya. Selama itu dia menyesali dengan apa yang berlaku dahulu. Kali ini, dia tidak mahu menyesal lagi. Dia perlu meluahkan perasaannya kepada Elisya.


AIDID memerhatikan Elisya dan Firdaus dari jauh. Hampir setengah jam mereka bertiga di situ. Sedari tadi hanya kebisuan yang dilihat Aidid di antara Elisya dan Firdaus. Apa yang sebenarnya berlaku di antara Elisya dan Firdaus? Seperti ada kisah di antara mereka berdua. Pandangan Firdaus terhadap Elisya menggambarkan betapa rindunya lelaki itu terhadap Elisya. Adakah mereka berdua pasangan kekasih?
Aidid menghela nafas ringan. Barulah dia ingat di mana dia bertemu dengan Firdaus. Pemuda itu yang ditumpanginya semalam ke Ampang. Sungguh kecil dunia ini. Dalam masa sehari mereka berjumpa semula. Dia tersenyum seketika. Rupa-rupanya ada maksud yang tersirat dari tingkah laku Elisya semalam. Sekadar mengelak dari dicam oleh Firdaus.
“Elisya!” seru Firdaus, lembut. Matanya memandang wajah Elisya. Rindu pada wajah itu.
“Awak nak apa, Firdaus?” tanya Elisya sambil berpeluk tubuh.
“Saya rindukan awak,” luah Firdaus, ikhlas.
“Kalau dah habis, boleh saya balik?” pinta Elisya dan berkira-kira untuk beredar dari situ.
“Sya…” tahan Firdaus seraya menarik tangan Elisya.
“Saya minta maaf atas apa yang berlaku dulu.”
“Tak ada apa yang perlu dimaafkan, Firdaus. Benda dah lepas, biarlah lepas dan saya tak nak ingatnya semula,” kata Elisya seraya menarik tangannya dari pegangan Firdaus.
Please, Sya! Saya tahu, awak faham dengan apa yang cuba saya sampaikan ni.” Firdaus mengeluh ringan.
Elisya tidak membalas. Dia membuang pandang ke tengah padang.
“Dari pertemuan pertama sehingga ke pertemuan semalam, awak cuba mengelak untuk bertemu dengan saya. Kenapa awak nak mengelak dari saya?” soal Firdaus tidak berpuas hati.
Elisya masih membisu. Pandangnya masih ke tengah padang. Tidak mahu memandang wajah Firdaus.
“Allah mendengar rintihan saya. Doa saya. Allah temukan saya dengan awak,” suara Firdaus lagi. Wajah Elisya masih menjadi tatapan mata.
“Tak ada apa yang penting untuk kita bertemu,” ujar Elisya seraya memandang ke wajah Firdaus. Ditatap wajah itu buat seketika.
“Penting!” tegas Firdaus sambil membalas tatapan Elisya.
“Awak ada kehidupan awak dan saya ada kehidupan saya. Kita buat hal masing-masing dan anggaplah awak tidak pernah mengenali saya,” jelas Elisya bernada harapan.
Firdaus mengeluh berat untuk kesekian kali. Kenapa Elisya berkata begitu?
“Saya minta diri dulu,” ujar Elisya seraya menggerakkan kerusi rodanya.
Please, Sya! Nanti dulu!” suruh Firdaus sambil menahan kerusi roda Elisya.
“Awak nak apa lagi, Firdaus Hakimi?”
“Saya nak perbetulkan apa yang terjadi dahulu.”
“Saya bukan Elisya yang dulu. Saya dah lumpuh!” luah Elisya, sebak.
“Saya tak salahkan awak atas apa yang pernah berlaku dahulu. Saya terima semua itu sebagai takdir dari Allah untuk saya dan saya ikhlas menerimanya.”
“Hati saya tak tenang. Lepas awak pergi, saya rasa menyesal kerana melukakan hati awak. Saya cintakan awak, Elisya,” jujur Firdaus meluahkan.
“Saya lumpuh, Firdaus,” ujar Elisya lalu teresak. Sungguh, dia berasa kekurangan ketika berhadapan dengan Firdaus.
Rasa sebu dan hiba Firdaus mendengarnya. Perlahan-lahan, jemarinya menyeka air mata Elisya yang mengalir membasahi pipi. Tidak terniat di hati untuk merendah-rendahkan Elisya apatah lagi memandang rendah pada gadis itu.
“Saya nak balik, Firdaus. Benarkan saya balik,” pinta Elisya, mengharap.
Tangan Firdaus ditolak daripada meneruskan tingkah laku. Tanpa menunggu balasan, digerakkan kerusi roda menjauhi Firdaus. Tidak mahu berlama di situ.


“TERIMA kasih Aidid,” ucap Elisya sebaik sahaja tiba di hadapan pintu rumah. Senyuman diberikan kepada Aidid.
“Sama-sama Sya,” balas Aidid turut sama tersenyum.
“Maaf, sebab menyusahkan Aidid hari ini.”
“Tak mengapa. Aidid faham!”
“Kalau bukan disebabkan Sya, mungkin kita akan dapat tender tu tadi.”
“Sya dah lupa dengan apa yang Sya katakan tadi?”
Elisya berkerut dahi. Apa maksud Aidid?
“Rezeki ada di mana-mana. Bukan rezeki kita nak dapat tender tu,” ulang Aidid kepada kata-kata Elisya tadi.
Elisya mengangguk lemah. Senyuman hambar diberikan kepada Aidid.
“Sya masuk dalam dulu. Terima kasih sekali lagi.”
“Kalau ada apa-apa, jangan lupa beritahu Aidid,” pesan Aidid bernada serius.
Yes boss!” balas Elisya lalu ketawa kecil.
“Oh, ejek Aidid ya. Tarik hidung tu baru tahu,” ugut Aidid turut sama ketawa.
Elisya mematikan ketawa.
“Sya masuk dalam dulu. Hati-hati memandu,” pesan Elisya lalu membuka pintu utama rumah.
“Insya-Allah!” balas Aidid sambil melangkah semula ke kereta.
Setelah memastikan Elisya masuk ke dalam rumah, dia segera masuk ke dalam perut kereta dan memandu keluar dari kawasan perumahan itu. Hatinya tertanya-tanya akan hubungan Elisya dan Firdaus. Perlukah dia bertanya kepada Elisya, siapa Firdaus Hakimi yang sebenar?



Tiada ulasan:

Catat Ulasan