Jumaat, 16 Mac 2012

Aku Juga Ingin Dicintai - Bab 9

BAB 9

“Dah pukul berapa ni Ain, kenapa tak balik lagi?” tanya Humaira risau.
“Ain ada kerja sikit yang nak disiapkan. Sekejap lagi Ain baliklah maksu,” jawab Nur Ain. Tangannya masih lincah menaip surat yang diminta oleh Hazrel.
Humaira mengeluh ringan. Matanya dikerling ke arah jam di dinding. Masa sudah menginjak ke angka lapan malam. Risau di hati hanya ALLAH sahaja yang tahu. Mujurlah Fauziah memberitahunya akan kelewatan Nur Ain, jika tidak sampai ke malam Humaira tidak akan tahu mengenai kelewatan Nur Ain itu. Untuk menghubungi handphone Nur Ain, tidak mungkin. Hanya telefon pejabat yang dapat menghubungkannya dengan Nur Ain.
“Ain nak maksu atau Abang Eddie ambil Ain kat Cahaya?”
“Tak apalah maksu. Ain boleh balik naik teksi. Lagipun masih awal lagi.”
“Ain, maksu risau. Siapa lagi yang ada kat office Ain tu.”
“Err, Encik Hazrel maksu.”
“Hazrel!” jerit kecil Humaira.
Hisy maksu aku ni. Sakit telinga aku dibuatkannya. Nasib baik tak pekak telinga aku ni, rungut Nur Ain sendirian.
“Ain tunggu kat office. Maksu datang dengan Abang Eddie ambil Ain kat sana,” pesan Humaira tegas.
“Tapi…”
“Tak ada tapi… tapi. Ain tunggu sana. Jangan pergi mana-mana. Dalam satu jam, maksu datang dengan Abang Eddie,” pintas Humaira dan mematikan talian telefon.
“Hisy, kenapa dengan maksu ni? Dah orang kata, tak payah ambil, tak payahlah. Degil betullah maksu ni. Suka sangat menyusahkan Abang Eddie,” keluh Nur Ain sendirian. Dia meletakkan gagang telefon ke tempat asalnya semula.
“Jom!” ajak Hazrel tiba-tiba.
Terkejut Nur Ain mendengarnya. Dia mengurut kecil dadanya yang berombak kencang dengan tiba-tiba.
“Mari!” arah Hazrel meninggi.
“Ke mana?” tanya Nur Ain ingin tahu.
“Saya kata mari.. marilah. Awak ni degil sangat kenapa?” marah Hazrel meninggi.
Nur Ain menggaru kepalanya yang bertudung. Wajah Hazrel ditatap berserta kerutan di dahi. Ke mana Hazrel ingin membawanya malam-malam begini? Tidak puas lagi ke siang tadi dia disuruh ikut ke restoran tanpa tujuan. Lantas dicapai beg sandangnya dan menutup suis komputer. Setelah memastikan pintu pejabat berkunci, segera Nur Ain menapak jalan menuju ke kereta Hazrel.
“Ke mana lagi dia nak bawa aku? Apa lagi yang dia nak dari aku?” soal Nur Ain pada dirinya sendiri. “Kalau macam ni, sampai bila-bila pun aku tak dapat balik handphone aku tu,” keluh Nur Ain pula.
Hazrel melangkah ke keretanya. Dia menekan punat unlock dan memboloskan masuk ke dalam kereta. Enjin kereta dihidupkan dan hanya menunggu masa untuk menggerakkannya sahaja.
“Masuklah!” arah Hazrel sedikit menjerit.
Nur Ain yang terpinga-pinga terpaksa akur. Dengan sedikit ketakutan, dia membukakan pintu kereta dan memboloskan diri masuk ke dalamnya.
“Kira bagus aku bagi kau tumpang kereta aku ni. Kalau tidak, jangan haraplah. Buat kotor dan busuk aje dalam kereta aku ni,” cebik Hazrel seraya menggerakkan keretanya.
Nur Ain mengetap bibir. Terasa dengan kata-kata Hazrel. Matanya menatap wajah Hazrel seketika. Jelas ketegangan dan kebencian di wajah itu.
“Dah tahu saya ni bawa busuk dalam kereta Encik Hazrel, kenapa suruh juga saya masuk,” sindir Nur Ain pedas. Sakit hatinya dengan penerimaan Hazrel itu.
Hazrel mengetap giginya. Menahan kemarahan di dalam hati. Matanya mengerling sekilas ke arah Nur Ain yang sedang membuang pandang ke luar jendela. Sakit telinganya mendengar sindiran Nur Ain itu.
“Eh, Encik Hazrel nak bawa saya ke mana ni?” tanya Nur Ain kalut tatkala menyedari tempat yang dibawa oleh Hazrel itu.
Hazrel hanya membisu. Senyuman sinis terbias di wajahnya. Dia perlu melaksanakan rancangannya untuk mengenakan Nur Ain. Rasa sakit hatinya dengan Eddie masih lagi belum surut. Rasa menyampahnya dengan Nur Ain, masih tersemat kemas dalam hatinya. Walaupun rancangannya siang tadi tidak berjaya, dia akan pastikan malam ini rancangannya berjaya. Dan dia yakin Eddie akan tunduk meminta maaf kepadanya.
Hazrel melangkah keluar dari perut kereta. Dia mengisyaratkan Nur Ain keluar dari dalam keretanya. Langkah diatur menuju ke sebuah kelab malam. Dia perlu merehatkan fikirannya buat seketika. Penat otaknya berfikir mengenai syarikat berserta dengan bebelan Izzuddin petang tadi sebaik sahaja dia masuk semula ke office. Hampir pekak telinganya mendengar ceramah free Izzuddin gara-gara dia membawa Nur Ain keluar ketika waktu rehat siang tadi. Bertambah sakit hatinya apabila Izzuddin membela Nur Ain sama seperti Eddie.
“Cepatlah bodoh! Yang tercegat kat situ tu lagi kenapa? Kau kena ikut arahan aku kalau kau nak telefon bimbit dan hutang kau tu langsai,” tengking Hazrel meninggi.
Terkejut Nur Ain mendengar tengkingan Hazrel itu. Dalam keterpaksaan, dia membawa langkahnya menuju ke tempat itu. Seumur hidupnya, belum pernah lagi dia menjejakkan kakinya ke kelab malam. Malah memikirkan untuk ke tempat itu pun tidak pernah terlintas dek akalnya itu. Berniat, jauh sama sekali.
“Ha… Haz, lambatnya kau sampai. Dah lama aku tunggu kau,” tegur Faizal sedikit meninggi. Bunyi bingit alunan muzik di dalam kelab malam itu, membataskan mereka untuk bersuara perlahan.
“Aku tunggu orang gaji aku, itu yang lambat,” jawab Hazrel dan melabuhkan duduk di atas sofa. Dia mengangkat tangan ke arah pelayan untuk memesan minuman.
“Nur Ain? Maksud kau Nur Ain ke?” ujar Faizal ingin tahu.
“A’ah la. Siapa lagi kalau bukan budak kampung tu,” balas Hazrel dan mendengus keras.
Faizal mengangguk faham. Matanya menoleh sekilas ke arah Nur Ain yang sedang berdiri berjauhan dari mereka. Naluri lelakinya berkocak tatkala melihat Nur Ain. Ada sesuatu yang menarik minatnya untuk mendampingi Nur Ain. Mungkinkah disebabkan kelembutan dan keayuan wajah Nur Ain membuatkan dia berperasaan sebegitu?
“Kenapa kau tak suruh orang gaji kau tu duduk kat sini? Boleh aku berkenalan dengan dia lagi. Maklumlah siang tadi aku tak sempat nak bertanya lebih dari dia,” ujar Faizal dan tersenyum sinis.
“Suka hati kaulah nak buat apa dengan dia. Aku sengaja bawa dia kat sini. Biar celik sikit mata dia tengok dunia luar. Kolot sangat, keluar malam pun jarang,” cebik Hazrel meluat.
Gelas minuman yang baru sahaja diletakkan oleh pelayan, dicapai dan diteguk rakus air di dalamnya. Matanya menoleh sekilas ke arah Nur Ain yang sedang berdiri terpacak seperti tiang lampu di sebelah pintu masuk. Jelas riak ketakutan pada wajah itu.
“Kalau kau dah bagi green light, aku sambar aje,” seloroh Faizal dan tertawa.
Hazrel yang mendengar, turut sama tertawa. Geli hati mendengar kenyataan Faizal itu. Mana tidaknya Faizal memang terkenal dengan sikap ‘lelaki buaya’. Semua perempuan mahu disambarnya. Tak kira cantik atau tak cantik perempuan tersebut. Hazrel menggeleng kepala tatkala memikirkannya.


“Mana Ain Mai?” tanya Eddie.
“Mai tak jumpa dia Die. Tak tahu ke mana Ain pergi,” jawab Humaira.
“Mai dah pesan pada dia tak suruh tunggu kita.”
“Dah. Mai dah pesan tadi suruh tunggu kita datang ambil.”
“Habis tu, mana Ain pergi?” tanya Eddie risau.
Humaira hanya membisu. Risau di hati hanya ALLAH sahaja yang tahu. Sudah dipesan supaya tunggu, tetapi Nur Ain tetap berdegil.
“Die dah tanya guard tak? Manalah tahu dia nampak Ain ke?”
“Belum lagi. Kejap Die pergi tanya kat guard tu,” balas Eddie dan melangkah jalan menuju ke pondok pengawal.
Humaira mengangguk. Matanya menghantar langkah Eddie menuju ke pondok pengawal.
“Ain kat mana ni? Kenapa suka merisaukan maksu dan Abang Eddie,” keluh Humaira sendirian sambil bersandar di badan kereta.
“Macam mana Die?” tanya Humaira tatkala Eddie menghampirinya.
“Pengawal tu kata, dia nampak Ain naik kereta Hazrel dalam dua puluh minit tadi,” jawab Eddie berserta keluhan berat.
“Habis, apa yang kita nak buat Die? Ke mana Hazrel bawa Ain? Risau hati Mai ni Die,” tanya Humaira bernada risau. “Degil betullah Ain ni. Mai dah pesan banyak kali jangan ikut cakap Hazrel, masih tetap ikutnya,” geram Humaira pula.
“Sabar Mai. Kita call Ain dulu,” pujuk Eddie lembut.
Handphone Ain hilang dari bulan lepas lagi, macam mana nak call dia,” keluh Humaira.
Berkerut dahi Eddie mendengar penjelasan Humaira itu.
“Apa maksud Mai? Handphone Ain hilang? Die tak faham.”
Handphone Ain hilang dari bulan lepas lagi. Sebab itulah Die call Ain tak dapat hari tu. Ain kata handphone dia dipegang oleh seorang lelaki, malah lelaki tu berjanji nak serahkan handphone Ain pada minggu lepas. Tapi sampai sekarang handphone Ain tak dipulangkannya,” ulang Humaira jujur.
“Ain ni cuai sangat kenapa?” marah Eddie. “Cuba Mai call handphone Ain. Manalah taukan lelaki tu jawab panggilan Mai,” arah Eddie pula.
Humaira mengangguk. Lantas dikeluarkan telefon bimbit dan mendail nombor Nur Ain. Lama dia menanti dan akhirnya dia mengucap syukur kerana panggilannya itu berjawab.
“Siapa ni?” tanya Hazrel kasar.
Tersentak Humaira mendengar suara kasar lelaki itu. Segera dia menyerahkan telefon bimbitnya kepada Eddie.
“Siapa ni?” ulang Hazrel semula kasar.
“Haz, kau ke ni? Hazrel?” tanya Eddie seakan dapat menduga suara di hujung talian.
“Aku Hazrel. Siapa ni?” akui Hazrel.
“Haz, kau ke yang ambil handphone Ain? Mana Ain Haz?” tanya Eddie menekan.
“Oh! Kau ke Eddie. Kau nak apa?”
“Mana Ain Haz?”
“Dia ada dengan aku. Kenapa?”
“Apa? Haz kau kat mana sekarang?”
“Kelab malam,” ujar Hazrel dan mematikan talian telefon.
“Haz… Haz…” panggil Eddie meninggi.
“Kenapa Die?” tanya Humaira risau.
“Ain ada dengan Hazrel kat kelab malam,” jawab Eddie.
“Apa? Ya ALLAH, apa yang Hazrel nak buat dengan Ain?”
“Die tak tahu apa yang Hazrel nak buat pada Ain. Die tahu kelab malam mana yang Haz selalu pergi. Jom kita ke sana,” ajak Eddie seraya memboloskan diri masuk ke dalam kereta.
Humaira mengangguk dan akur. Dia turut memboloskan diri masuk ke dalam kereta. Jauh di sudut hati, dia berdoa akan keselamatan Nur Ain.


“Encik Hazrel suruh saya tunggu kat sini?” tanya Nur Ain inginkan kepastian.
Faizal mengangguk dan tersenyum.
“Tapi…”
“Tak ada tapi.. tapinya lagi. Memang Encik Hazrel suruh awak tunggu kat sini. Dia nak jumpa kawan sekejap. Lepas ni, dia hantar awak balik,” pintas Faizal sambil cuba meraih tangan Nur Ain namun ditepis keras oleh Nur Ain.
“Saya nak balik dululah. Nanti maksu saya risau,” pinta Nur Ain seraya bangun.
Seram sejuk dirasakan tatkala Faizal cuba meraih tangannya. Pandangan Faizal turut melemaskannya. Seperti ada muslimat yang cuba disembunyikan oleh lelaki itu.
“Nantilah dulu. Awak temankan saya minum,” bantah Faizal seraya menarik tangan Nur Ain. Terduduk Nur Ain semula dibuatkan oleh Faizal itu.
“Saya nak balik!” bentak Nur Ain sambil cuba menarik tangannya dari pegangan Faizal. Namun Faizal mengemaskan lagi pegangannya.
“Temankan saya sekejap,” desak Faizal dan menarik tubuh Nur Ain menghampirinya.
“Saya nak balik. Lepaskan saya,” pinta Nur Ain dan cuba menjauhi tubuhnya dari tubuh Faizal. Namun dia tidak mampu untuk melawan kudrat lelaki itu. Matanya membelingas mencari kelibat Hazrel.
“Tak perlulah awak cari Hazrel. Dia yang suruh saya temankan awak. Lagipun dia bukannya kisahkan awak. Awak ni kan orang suruhan dia,” jelas Faizal seakan menyindir tatkala menyedari tingkah Nur Ain itu.
“Tolonglah Encik Faizal. Saya nak balik!” rayu Nur Ain sambil cuba menolak badan Faizal daripada menghampirinya.
Faizal mendengus kasar. Penolakan Nur Ain mencabar ego lelakinya. Lantas dia menarik kasar tubuh Nur Ain dan cuba untuk mencium Nur Ain.
“Encik Hazrel!” panggil Nur Ain tatkala terlihat kelibat Hazrel. Tangannya cuba menolak wajah Faizal yang semakin menghampiri wajahnya.
“Encik Hazrel!” panggil Nur Ain lagi.
Namun suasana di dalam kelab itu amat membingitkan. Mana mungkin Hazrel akan mendengar panggilannya jika suaranya tenggelam dek kerana bunyi muzik tersebut.
“Lepaskan saya!” pinta Nur Ain tatkala Faizal semakin bertindak kasar terhadapnya. “Encik Hazrel!” panggil Nur Ain buat kali yang ketiga. Berharap panggilannya itu didengari oleh Hazrel. Ya ALLAH, selamatkanlah hamba, doa Nur Ain di dalam hati.
Hazrel masih mencari kelibat Nur Ain. Matanya membelingas ke kiri dan ke kanan. Dia mendengus kasar tatkala pencariannya itu tidak berjaya.
“Hisy, mana minah ni? Menyusahkan betullah!” rungut Hazrel sendirian dan masih mencari. Tatkala itu matanya terpandangkan pasangan yang sedang berasmara. Hazrel mencebik meluat melihat tingkah pasangan itu.
“Encik Hazrel. Tolong!” jerit Nur Ain lantang.
“Nur Ain!” panggil Hazrel sebaik menyedari gerangan suara dari arah pasangan tersebut.
“Encik Hazrel!” ulang Nur Ain dan menangis.
“Tak guna kau Faizal. Apa kau buat ni?” marah Hazrel seraya menarik kasar tubuh Faizal supaya menjauhi Nur Ain. Satu tumbukan hinggap ke muka Faizal. “Aku tak suruh kau buat benda tak elok pada dia!” sambung Hazrel lagi meninggi.
Nafasnya berombak kencang. Menahan amarah di dalam hati ketika itu. Pasang-pasang mata yang melihat tidak dihiraukannya. Apa yang pasti dia perlu membuat perhitungan dengan Faizal. Tidak menyangka sampai begitu sekali tindakan Faizal terhadap Nur Ain.
Faizal membetulkan kedudukannya. Dia menyeka darah yang mengalir keluar dari tepi bibir menggunakan ibu jarinya. Matanya tajam ke muka Hazrel.
“Tak guna kau Hazrel. Tergamak kau pukul aku. Aku ni kawan kau!” bentak Faizal meninggi. Dia meraba-raba rahang pipinya yang terasa sakit akibat tumbukan Hazrel itu.
“Kau dah lebih Faizal. Aku tak suruh kau apa-apakan dia,” tengking Hazrel pula.
Nur Ain bingkas bangun dari duduknya. Tidak mahu mendengar atau melihat pertengkaran di antara Hazrel dan Faizal. Dia perlu beredar dari situ. Terasa hina dirinya di waktu itu. Jika bukan disebabkan Hazrel, tidak mungkin dia akan mengalami peristiwa ini. Tidak mungkin Faizal mengambil kesempatan ke atas dirinya. Sungguh Nur Ain amat membenci Hazrel dan Faizal ketika ini.
“Nur Ain!” panggil Hazrel meninggi tatkala Nur Ain berlalu dari situ. “Aku takkan maafkan kau Faizal. Mulai hari ini, kita putus kawan,” tengking Hazrel dan menghadiahkan penumbuk ke muka Faizal sekali lagi.
Setelah itu, Hazrel berlari keluar dari kelab malam itu. Cuba untuk mengejar Nur Ain. Rasa serba salah menyerbu dirinya di kala itu. Menyesal kerana memperlakukan Nur Ain sebegitu. Menyesal kerana terlalu mengikut kata hati. Menyesal kerana menyusahkan Nur Ain. Sampai bila-bila pun dia tidak akan memaafkan dirinya sendiri seandainya terjadi sesuatu pada Nur Ain tadi. Sekeras dan seego hatinya, dia masih boleh berfikiran waras. Masih boleh membezakan yang mana baik dan yang mana buruk.
Nur Ain segera keluar dari kelab itu. Air matanya tidak henti-henti menitis. Dia perlu segera balik ke rumah agar sisa kesan tinggalan lelaki itu dapat dihapuskan dari tubuhnya. Terasa jijik dengan sentuhan lelaki itu. Terasa jijik tatkala lelaki itu cuba mencium pipinya. Terasa hinanya diri Nur Ain ketika itu. Hanya pada ALLAH, dia memohon keampunan dengan apa yang telah terjadi. Dia hanya insan biasa yang tidak lepas dari melakukan kesalahan.
“Ain!” panggil Humaira tatkala terlihat kelibat Nur Ain keluar dari sebuah kelab.
“Maksu!” rintih Nur Ain seraya memeluk tubuh Humaira.
“Kenapa ni Ain? Apa yang dah berlaku?” tanya Humaira pelik.
“Ain, kenapa ni? tanya Eddie pula.
Nur Ain hanya membisu. Di bahu Humaira dia menangis teresak-esak. Tidak mampu untuk berkata-kata. Fokus utamanya sekarang, dia perlu balik untuk membersihkan tubuhnya itu.
“Nur Ain!” panggil Hazrel setibanya di hadapan Humaira dan Eddie.
“Kau buat apa ni Haz? Apa yang dah terjadi?” tanya Eddie meninggi.
“Aku… aku…”
“Encik Hazrel buat apa dengan anak saudara saya?” tengking Humaira. Kesabarannya sudah menipis tatkala melihat Nur Ain berkeadaan begitu.
“Die, aku tak tahu apa yang berlaku sebenarnya? Aku…”
Belum sempat Hazrel menyudahkan ayat, satu tumbukan hinggap ke mukanya. Dia terjelepuk ke jalan dan mengaduh kesakitan. Matanya tajam ke muka Eddie.
“Kau apasal? Tetiba aje nak tumbuk aku,” marah Hazrel sambil meraba mukanya.
“Kalau apa-apa terjadi pada Ain, aku cari kau Hazrel. Ingat tu!” amaran Eddie keras. “Nah, duit hutang Ain pada kau. Lepas ni aku tak nak kau ungkit pasal hutang Ain lagi,” tegas Eddie.
Sekeping cek dikeluarkan dari poket seluarnya dan dilemparkan ke muka Hazrel. Cek yang disediakannya pada petang tadi. Memang Eddie berniat untuk menyerahkan cek tersebut pada Hazrel.
“Mai bawa Ain ke kereta,” arah Eddie pula.
Humaira akur. Lantas dia membawa Nur Ain menuju ke kereta Eddie. Rasa sakit hatinya dengan Hazrel semakin bercambah. Sampai bila-bila dia tidak akan memaafkan lelaki itu andai kata terjadi sesuatu pada Nur Ain.
“Tak pernah aku jumpa manusia macam kau Haz!” kutuk Eddie dan beredar dari situ.
Rasa sakit hati apabila Hazrel membuli Nur Ain. Rasa sakit hati apabila Hazrel memperlakukan Nur Ain seperti itu. Apa salah Nur Ain pada Hazrel? Kenapa Hazrel berbuat begitu terhadap Nur Ain?


“Apa yang terjadi Ain? Cuba bagitau pada maksu dan Abang Eddie,” soal Humaira keras.
“Berapa kali abang dah pesan pada Ain, jangan dengar cakap Hazrel. Ain ni memang degil. Tengok apa yang dah jadi sekarang ni,” tegur Eddie keras berserta dengusan kasar.
Nur Ain menunduk. Tidak berani untuk menentang pandangan Eddie dan juga Humaira. Air matanya laju mengalir membasahi pipi. Setibanya di rumah tadi, terus dia menuju ke bilik air dan membersihkan diri dari kesan kotoran yang ditinggalkan oleh Faizal. Sungguh dia terasa terhina yang amat sangat ketika itu.
“Maksu pesankan nak ambil Ain tadi, kenapa Ain ikut juga Hazrel tu?” tegur Humaira pula. Matanya tajam ke muka Nur Ain yang menunduk.
“Ain minta maaf,” ucap Nur Ain perlahan.
Eddie menarik nafas dan melepaskannya lembut. Hatinya sakit tatkala mengingati perbuatan Hazrel terhadap Nur Ain. Apa yang menyebabkan Hazrel bertindak sebegitu sekali?
“Abang bukan nak marahkan Ain, cuma abang nak Ain berfikir dulu sebelum membuat keputusan. Apa yang dah berlaku sebenarnya? Cuba Ain ceritakan pada abang.” Keras Eddie bertanya. Dia perlu mengetahui perkara yang sebenarnya.
“Encik Hazrel janji akan serahkan telefon Ain kalau Ain ikut syarat dia. Ain tak tahu yang dia nak bawa Ain ke tempat tu dan Ain tak sangka kawan Encik Hazrel, Faizal sanggup buat Ain begitu,” jelas Nur Ain jujur berserta esakan tangisan.
“Faizal?” ulang Eddie berkerut.
Nur Ain mengangguk.
“Kenapa Die? Die kenal dengan Faizal ke?” tanya Humaira turut sama berkerut.
“Siapa tak kenal dengan Faizal? ‘Buaya darat’ masa kat universiti dulu. Tak kiralah perempuan tu cantik atau tak, semuanya dia sambar,” jawab Eddie dan mengeluh. “Ramai perempuan yang dah ditipu oleh Faizal. Cuma Die pelik, kenapa Hazrel berkawan dengan Faizal? Kalau tak silap Die, mereka bergaduh sebelum Hazrel ke luar negara dulu,” jelas Eddie tanpa dipinta.
“Maksud Die? Mai tak berapa nak faham.”
“Hazrel, Die, Izzuddin dan Faizal belajar setahun kat universiti sini sebelum kami ke luar negara. Apa yang Die tahu, Hazrel dan Faizal bergaduh disebabkan seseorang. Die tak pasti siapa orang tu,” jelas Eddie menyembunyikan kebenaran. “Die tak tahu bila Hazrel berbaik dengan Faizal? Mungkin selepas Hazrel balik kat sini kot atau Faizal sendiri hubungi Hazrel,” duga Eddie pula.
Itulah yang menjadi tanda tanyanya ketika ini. Sejak bila Hazrel berbaik semula dengan Faizal? Jika memorinya tidak silap, Hazrel bergaduh dengan Faizal disebabkan seseorang. Entah apa yang menyebabkan Hazrel ditegah berkawan dengan Faizal, Eddie sendiri tidak pasti. Mungkin ada sesuatu yang cuba disembunyikan dari pengetahuan mereka selama ini dan Eddie pasti akan menyiasatnya.
“Okeylah Mai, Die balik dulu. Dah lewat malam ni,” ujar Eddie pula seraya bangun.
“Baiklah Die. Terima kasih atas bantuan Die selama ini. Tak terbalas jasa Die pada Mai dan Ain,” ucap Humaira ikhlas.
“Tak ada yang perlu diterima kasihkan Mai. Die ikhlas lakukannya. Die tak nak orang lain terutamanya Hazrel mengambil kesempatan pada Mai dan Ain. Die ikhlas sayangkan Mai dan Ain. Tak ada yang ternilai dalam hidup Die melainkan Mai dan Ain di sisi Die,” balas Eddie ikhlas dan jujur. Senyuman dihadiahkan buat Humaira.
“Ingat pesan abang Ain. Kalau Hazrel lakukan apa-apa pada Ain lagi, cepat bagitau abang. Pasal hutang tu, abang dah pun bayarnya dan jangan sesekali pertikaikan keikhlasan abang ni,” pesan Eddie tegas.
“Maafkan Ain. Lepas ni Ain janji takkan buat lagi. Ain janji akan ingat pesanan abang,” ujar Nur Ain lemah dan cuba menyeka air matanya sendiri.
“Abang pegang janji Ain,” balas Eddie dan menapak menuju ke kereta.
“Hati-hati Die,” pesan Humaira seraya melambai tangan ke arah Eddie.
Eddie hanya mengangguk. Seminit kemudian, keretanya hilang dari perkarangan rumah Humaira. Hanya doa yang dapat diberikan oleh Eddie buat Nur Ain. Semoga Nur Ain menjadikan peristiwa hari ini sebagai satu pengajaran yang amat bermakna dalam hidupnya.
“Ain masuk dulu,” pinta Nur Ain seraya bangun.
“Maksu minta maaf. Bukan niat maksu nak marahkan Ain. Cuma maksu tak nak Ain dibuli Hazrel lagi,” tegur Humaira ikhlas turut sama bangun.
“Ain minta maaf kalau Ain menyusahkan maksu dan Abang Eddie. Ain janji Ain takkan dengar cakap Hazrel lagi,” janji Nur Ain seraya mengangkat tangannya seperti orang berjanji.
Humaira tersenyum. Lantas ditariknya tubuh Nur Ain dan memeluk erat tubuh itu. Cuba untuk menyalurkan semangat buat Nur Ain. Hanya iringan doa yang mampu diberikan pada Nur Ain agar lebih tabah dalam menghadapi dugaan hidup.
“Terima kasih maksu. Terima kasih kerana berada di sisi Ain selama tiga tahun ni. Kalau maksu tak ada, tak tahulah apa yang terjadi pada Ain,” luah Nur Ain ikhlas sambil meleraikan pelukan.
“Sudahlah Ain, dah jadi tanggungjawab maksu untuk menjaga Ain walaupun abah Ain buang Ain dulu. Maksu yakin Ain tak bersalah dan maksu pasti Ain difitnah,” beritahu Humaira.
Nur Ain tersenyum hambar. Kata-kata Humaira begitu memilukan hati. Kenangan tiga tahun yang lepas masih segar di ingatan. Walau dicuba untuk melupakannya, namun kenangan itu tetap bermain-main di kotak ingatannya.


“Arrgghhhh!! Tak guna kau Die. Tergamak kau tumbuk aku buat kali yang kedua. Tergamak kau tumbuk aku disebabkan perempuan tu. Tergamak kau memalukan aku di depan perempuan kampung tu. Kau memang tak guna Die. Aku takkan lepaskan kau Die. Aku akan ingat setiap apa yang telah kau lakukan pada aku. Aku akan balasnya nanti,” marah Hazrel sambil mengepal penumbuk.
Diamati wajahnya di hadapan cermin. Buat kali yang kedua, mukanya ditumbuk oleh Eddie. Sudahlah tumbukan yang lepas masih lagi bersisa, ditambah pula tumbukan yang ini, mahu tercabut rahang pipinya itu akibat kedua-dua tumbukan tersebut.
“Kenapa kau bela sangat dengan dia Die? Apa yang dia dah bagi kau makan?” geram Hazrel lagi. Jenuh dia mengamati wajahnya itu. Terbayang-bayang  juga wajah Eddie sedang mengekek ketawa kepadanya.
“Tak guna!!” tengking Hazrel seraya menumbuk cermin dengan tangannya.
“Siap kau Eddie. Aku akan pastikan kau menyesal dengan apa yang telah kau lakukan pada aku sebelum ni,” azam Hazrel sambil mengibas-ngibas tangannya yang terasa sakit. Baru kini dia terasa sakit selepas menyedari akan tindakannya itu.
Lantas dia menapak keluar dari bilik air untuk mencari First Aid Kit. Tangannya perlu di balut memandangkan darah pekat merah yang sedang mengalir keluar dari tangannya itu. Walaupun begitu, hatinya puas setelah menghamburkan kemarahan ke atas cermin tersebut.
Hazrel menghempaskan badannya ke katil setelah siap membalut tangannya. Mata terpahat kaku ke arah siling rumah. Masih terasa denyutan di tangannya, namun dibiarkannya sahaja. Apa yang bersarang di kepalanya kini, tentang tindakan Faizal yang cuba untuk mengapa-apakan Nur Ain. Sungguh hatinya merasa sakit dengan perlakuan Faizal itu. Kenapa Faizal tergamak berbuat begitu pada Nur Ain?
Hazrel melepaskan keluhan berat. Telefon bimbit Nur Ain dikeluarkan dari dalam poket seluarnya. Dia menatap telefon bimbit itu berserta kerutan di dahi. Entah kenapa dapat dirasakan hatinya sebak tatkala menatap telefon bimbit tersebut. Entah mengapa nama Nur Ain meniti di benak hatinya. Mungkinkah disebabkan peristiwa sebentar tadi membuatkan dia berperasaan begitu. Huh! Apa semua ni? Kenapa dia yang aku ingat? Marah hatinya.

17 ulasan:

  1. mane blh eddie je.........nk ain & hazrel

    BalasPadam
    Balasan
    1. hehe.. mana blh tggl hero & heroin sy tu.. mestilah ada sekali.. :D

      Padam
  2. Eliza...kenapa Eddie je?.. mana peginya Ain dengan mamat poyo a.k.a. hazrel tu...walau pun mamat tu sengal+poyo+berlagak...tapi kalau takde mesti boringkan?..

    BalasPadam
    Balasan
    1. mesti ada.. mana blh tggl mamat sengal + poyo + berlagak = Hazrel.. mak aii!! byk btl gelaran utk dia.. hehe.. hero & heroin sy mana blh tggl.. sstu bkl terjd pd NAZ n HH akn jd x keruan disbbkan NAZ.. dlm hati HH dh ada taman utk NAZ.. huhu.. sabar menanti ya.. ;)

      Padam
  3. hehehe. best best! btw, penulisan akak dah banyak peningkatan la. keep it up! ;-)

    BalasPadam
    Balasan
    1. thanks Nurul.. thanks jg coz membaca karya2 akak.. ;)

      Padam
  4. haha..akak..c hazrel mcm da nak jatuh hati je ngn ain..=P x sabar nak tau smbungan..^^

    BalasPadam
    Balasan
    1. haha.. dh ada tmn dlm hati HH utk NAZ.. tulah sombong n bongkak lg.. erm, sat lg tersungkurlah HH tu.. hahaha (gelak jahat).. :D

      Padam
    2. haha..like2..=P

      Padam
    3. hehe.. jgn terkejut bl bcnya nti.. bunga2 cinta dh wujud dlm hati HH tu.. haha.. :D

      Padam
  5. buahahahahaha.. mula2 dia bantai org, skali kena blk kat dia. padan muka kau hazrel~!!! ahahhaa....

    eddie..hehehe.. the best man lah!! weeeeeeee... untung humaira~!!

    BalasPadam
    Balasan
    1. haha.. mmg padan muka HH tu but kesian pulak kat dia.. huhu..
      akak dh lama jatuh cinta ngan Eddie.. hihi... ;)

      Padam
  6. hahaha..padan muka hazrel mkn penumbuk member sendirik.tu lah asyik dia je nak buli org...berlagak x hengat.. yo qminz, eddie is the man. i pon nak eddie lah...ngeeeee!

    BalasPadam
    Balasan
    1. huhu.. mmg padan dgn muka HH tu.. xpe, nti dia tukar romantika de amor pulak.. hehe.. :D

      Padam
  7. Ya ampun. Sakit jiwa,hati,kepala otak aku dengan watak si ain ni.tolong lahhh. Dah lah lemah,sikit2 maaf even bukan salah dia.kena hina sampai aku rasa maruah dia dah tegolek masuk lubang najis pun masih boleh lg ikut ckp laki tu..OMG x perlu la buat watak mcm ni,as a reader and as a WOMAN aku rasa plot cite ni dah terrrlebih sesangat..argggghhh tekanan sungguh baca watak cam AIN ni. And kalo one day buku ni bakal diterbitkan,tolonggg lah edit balik part first smpi yg tah bile dia stop kna hina. Tak akan ada wanita sperti AIN ni yg boleh bersabar mcm tu in reality.

    BalasPadam
  8. masih terbitkn novel aku juga ingin dicintai

    BalasPadam
    Balasan
    1. Masih ada. Kalau nak, boleh inbox kat FB saya.

      Padam