Khamis, 7 Januari 2016

Luahan Hati - Bab 10






“BARU balik, Daus?” tegur Mak Jah dari arah ruang tamu.
“Mak tak tidur lagi ke?” tanya Firdaus sambil melabuhkan duduk di sofa.
“Mak tunggu Daus balik. Mata ni pun belum mengantuk lagi,” jawab Mak Jah.
Firdaus mengeluh berat. Diraup sekali wajah dan memandang ke wajah Mak Jah.
“Kenapa mengeluh ni? Tak baik mengeluh.”
“Daus tahu, mak. Maafkan Daus.”
“Daus ada masalah ke? Tentang syarikat Daus ke?”
Firdaus sekadar menggelengkan kepala.
“Habis tu, masalah apa?”
“Elisya, mak!” ujar Firdaus, perlahan.
“Elisya? Kenapa dengan Elisya?” tanya Mak Jah, kalut.
“Tak ada apa-apa, mak. Mak janganlah risau.”
“Mana mak tak risau, Daus. Dah lama mak tak jumpa dengan Sya. Rindu sangat-sangat pada dia,” luah Mak Jah, sebak.
“Daus dah jumpa dengan Sya,”
“Apa? Daus dah jumpa Sya? Kat mana Daus? Bawa mak jumpa dengan dia. Mak teringin sangat nak jumpa dengan dia,” pinta Mak Jah, mengharap.
“Insya-Allah, mak. Daus akan bawa mak jumpa dengan Sya.”
“Ya Allah, syukur alhamdulillah. Akhirnya, Daus dah jumpa dengan Elisya. Mak gembira sangat-sangat,” luah Mak Jah, girang.
Firdaus hanya mengangguk. Wajah ceria maknya ditatap mesra. Perlukah dia memberitahu keadaan Elisya kepada maknya itu?
“Daus bawa Sya ke rumah ni. Mak nak masak special untuk Sya. Ayam masak merah, makanan kegemaran Sya,” cerita Mak Jah, teruja.
“Insya-Allah, mak. Kalau Daus jumpa dengan Sya lagi, Daus bawa Sya ke rumah ni.”
“Tak sabarnya mak nak jumpa dengan Elisya.”
“Mak!”
“Kenapa, Daus?”
“Kalau Daus beritahu pada mak sesuatu, mak jangan terkejut. Daus nak mak tahu keadaan Sya terlebih dahulu. Daus tak nak, bila Daus bawa Sya ke sini, mak terkejut,” terang Firdaus penuh cermat.
“Apa maksud Daus? Tentang apa?” tanya Mak Jah tidak sabar.
“Sebenarnya… sebenarnya… Sya lumpuh, mak,” tutur Firdaus menghela nafas berat.
“Lumpuh!” ulang Mak Jah, terkejut.
Firdaus mengangguk lemah.
“Macam mana boleh lumpuh, Daus? Sya alami kemalangan ke?” tanya Mak Jah, ingin tahu. Tidak semena-mena, air mata mengalir keluar dari tubir mata. Sebak dan hiba mendengar perkhabaran itu.
“Daus tak tahu. Daus tak sempat nak tanya Sya. Insya-Allah, kalau Daus jumpa semula dengan Sya, Daus akan tanya sebab dan kenapa Sya lumpuh,” jelas Firdaus, terang dan nyata. Berharap, Mak Jah mengerti akan kata-katanya itu.
“Adakah disebabkan kita Sya jadi begitu, Daus?”
“Mak… jangan cakap macam tu. Daus rasa bersalah sangat-sangat sekarang ni.”
“Mak bukannya apa, Daus. Mak tak tahu kenapa Sya pergi tak beritahu pada kita dulu. Mak takut, Sya terasa hati dengan kita. Kut-kut la, layanan kita dulu ada melukakan hati Sya,” terang Mak Jah akan rasa di hati.
Firdaus hanya mendengar. Benarkah apa yang dikatakan oleh Mak Jah itu? Jika benar, dia yang sepatutnya dipersalahkan. Sehingga ke hari ini, rasa kesal itu masih membelenggu diri.
“Mak masuk bilik dulu. Jangan tidur lewat sangat,” pesan Mak Jah bingkas bangun. Bahu anaknya itu ditepuk lembut.
“Baiklah mak!” balas Firdaus lalu tersenyum.
Matanya menghantar langkah Mak Jah sehingga hilang di sebalik pintu bilik. Tanpa berlengah, dia segera bangun dari duduk lalu menapak ke bilik di tingkat atas. Seharian menguruskan temuduga begitu memenatkan. Temuduga dengan beberapa syarikat untuk mendapatkan tender membekalkan peralatan pejabat di syarikatnya.
“Tapi, Sya buat apa kat office aku tadi? Takkan dia….”
Kata-kata Firdaus terhenti tatkala terfikirkan sesuatu. Perlahan-lahan, bibirnya menguntum sebuah senyuman. Senyuman yang penuh makna sekali. Laju dibawa langkah menuju ke tingkat atas. Dia perlu menelefon Kamil. Berharap, Kamil dapat membantu menyelesaikan masalahnya ketika ini.
“Ya Allah, aku harap fail-fail tu semua ada pada Kamil sekarang ni,” doa Firdaus penuh harapan.


“YA ALLAH…

Berikan aku kekuatan di saat aku rebah
Berikan aku ketenangan di saat jiwaku patah
Berikan aku kedamaian di saat hati dan jiwaku kusut dan terbelah
Berikan aku seluhur kasih sayangMu
Berikan aku semurni cintaMu
Berikan aku semua rasa-rasa itu

Ya Allah Ya Rahman, Ya Rahim,

Secantik namaMu Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang
Yang akan memenuhi setiap rasa dan doa-doa makhlukMu
Berikan aku rezeki halal supaya aku sihat
Berikanku kesihatan yang baik supaya aku dapat beribadat
Berikan aku kebahagiaan yang berhak aku dapat
Berikan aku cinta sejati yang menyenangkan
Berikan aku kasih sayang yang mendamaikan
Tolong sedarkan aku andainya ada waktu
Aku alpa dan jauh dariMu
Berikan aku rasa itu supaya Engkau tidak jauh dariku..

Elisya menarik nafas dan melepaskannya lembut.

Ya Allah, aku memohon dariMu jiwa yang tenang, yang beriman dengan pertemuan denganMu, redha dengan ketentuanMu, dan merasa cukup dengan pemberianMu. Kau lapangkanlah dadaku, mudahkanlah segala urusanku dan lepaskan kekakuan lidahku, agar mereka mengerti perkataanku. Hanya padaMu aku memohon dan mengadu.
Amin, amin Ya Rabbal Allamin…

Sehabis sahaja berdoa, Elisya meraup wajah. Dipejamkan mata sambil cuba menghalau perasaan yang sedang berkecamuk hebat. Hanya kepada Allah, tempat untuknya mengadu segala keresahan di hati.
“Sya…” seru Dahlia, tiba-tiba.
Elisya menoleh. Wajah Dahlia menyapa mata. Senyuman diberikan kepada kawan baiknya itu. Ditanggalkan telekung lalu melipatnya. Menanti butir bicara daripada Dahlia.
“Sya, phone kau berbunyi banyak kali. Aku tak berani nak angkat,” beritahu Dahlia seraya menghulurkan telefon bimbit milik Elisya.
“Oh, ya ke. Aidid kut!” tebak Elisya sambil membalas huluran.
“Tak! Private number!” balas Dahlia berlalu dari situ.
Elisya berkerut dahi. Private number! Siapa yang menelefon? Seminit kemudian, telefon bimbitnya berbunyi semula. Ditatap skrin telefon bimbit buat seketika.
“Assalamualaikum,” mulai Elisya sebaik sahaja telefon bimbit dilekapkan ke telinga.
“Waalaikumussalam,” balas Firdaus, lembut.
Semakin berkerut dahi Elisya. Siapa yang berada di hujung talian? Seakan pernah mendengar suara itu.
“Elisya…” seru Firdaus masih lembut.
“Siapa?” tanya Elisya ingin tahu. Bagaimana suara itu mengenalinya?
“Firdaus!” jawab Firdaus, sepatah.
Berderau Elisya mendengarnya. Firdaus? Firdaus Hakimi? Bagaimana Firdaus mengetahui nombor telefonnya? Dari mana Firdaus mendapat nombor telefonnya? Pelbagai persoalan sedang bermain-main di minda.
“Elisya.. Sya..” panggil Firdaus tatkala tidak mendapat respon daripada Elisya.
“Ma… ma.. cam mana awak tahu nombor phone saya?” tanya Elisya, bergetar.
“Dari seseorang!” jawab Firdaus, tersenyum.
Ucapan syukur meniti di benak hati. Bersyukur kerana berjaya mendapatkan nombor telefon Elisya. Mujur juga Kamil masih berada di office, menyiapkan laporan yang diberinya tadi.
“Seseorang? Siapa?” desak Elisya. Nama Aidid meniti di benak hati.
“Awak dah lupa ke? Bukan ke syarikat awak ada memohon tender syarikat saya? Jadi, saya minta staf saya cari fail syarikat awak dan saya dapatnya dari situ,” terang Firdaus.
Elisya mengeluh berat. Perlukah dia mematikan talian atau mendengar bicara daripada Firdaus? Hatinya berbelah bagi ketika ini.
“Sya, saya minta maaf sebab gunakan cara begitu. Kalau saya tak buat macam tu, sampai bila-bila pun saya takkan tahu di mana awak berada,” jelas Firdaus pula. Berharap, Elisya memahami akan tindakannya itu.
“Awak nak apa daripada saya, Firdaus Hakimi?” tanya Elisya, lurus. Tidak mahu berlengah serta membuang masa.
Firdaus mengeluh berat. Sikap dingin Elisya menggigit tangkai hatinya. Bagaimana untuk meluahkan perasaan jika Elisya bersikap begitu kepadanya?
“Kalau tak ada apa-apa saya letak dulu,” ujar Elisya. Bersedia untuk mematikan talian. Namun, ditahan oleh Firdaus.
“Mak dan Farah nak jumpa dengan Sya.”
Elisya tersentak. Mak Jah, Farah! Detik hatinya sayu. Rasa rindu turut menujah ke dalam hati ketika ini.
“Mereka rindu dan nak jumpa dengan Sya.”
Elisya menghela nafas berat.
“Insya-Allah, kalau ada masa nanti saya jumpa dengan Mak Jah dan Farah.”
“Baiklah, Sya. Maafkan saya sebab mengganggu awak,” kesal Firdaus.
“Saya letak dulu,” balas Elisya lalu mematikan talian.
Firdaus mengeluh berat. Diletakkan telefon bimbit di atas meja dan meraup muka. Elisya masih cuba untuk mengelak darinya.
“Siapa call kau tadi?” tanya Dahlia, tiba-tiba.
“Haaa…” balas Elisya, terpinga-pinga.
“Siapa call kau?” ulang Dahlia sambil duduk di birai katil.
“Firdaus Hakimi!”
“Firdaus Hakimi?”
Elisya mengangguk lemah.
“Dia nak apa daripada kau? Mana dia dapat nombor phone kau?” tanya Dahlia, bertubi-tubi.
“Dia dapat dari permohonan aku. Syarikat dia yang tawarkan tender tu,” jelas Elisya sambil menggerakkan kerusi rodanya ke meja kerja.
Dahlia mengangguk faham. Dia memerhatikan tingkah laku Elisya.
“Lia, aku nak minta tolong kau sesuatu, boleh?”
“Tolong? Tolong apa?”
“Esok, boleh tak kau hantarkan aku ke kubur? Dah lama aku tak melawat kubur arwah papa dan mama aku. Rindu pada mereka berdua,” pinta Elisya bernada sebak.
“Boleh! Esok, aku hantarkan kau ke sana.”
“Terima kasih, Lia. Aku ni banyak menyusahkan kau. Malu dan segan aku dengan kau.”
“Sya, kan aku dah cakap pada kau dulu. Kau tak pernah susahkan aku. Aku ikhlas lakukan untuk kau dan aku tak harapkan balasan daripada kau. Manalah tahu kan suatu hari nanti, aku pulak yang perlukan pertolongan dari kau,” jelas Dahlia, ikhlas.
Menghalau rasa serba salah di hati Elisya. Selama ini, hanya Elisya kepentingannya. Selagi Elisya tidak berkahwin, selagi itulah dia akan setia di sisi kawan baiknya itu.
“Aku tetap rasa begitu, Lia,” ujar Elisya, perlahan.
Dahlia bingkas bangun dari duduk. Bahu Elisya dipegang kejap. Senyuman diberikan kepada Elisya.
“Selagi kau memerlukan aku, selagi itulah aku akan sentiasa berada di sisi kau.”
Elisya tersenyum. Tangannya menyentuh lembut tangan Dahlia. Bersyukur kerana memiliki seorang kawan seperti Dahlia.
Selama dua tahun ini, Dahlia setia berada di sisinya. Sungguh, dia berasa terharu atas pengorbanan Dahlia. Rasa bersalah turut sama menumpang di hati.
Sehingga ke hari ini, belum pernah lagi dia melihat Dahlia keluar dengan mana-mana lelaki. Adakah disebabkan keadaannya, Dahlia tidak mahu keluar mahupun bercinta dengan lelaki? Adakah Dahlia sama seperti Aidid? Memikirkan tentang dirinya.
“Aku keluar dulu. Kau jangan tidur lewat sangat,” pesan Dahlia lalu menapak keluar dari bilik Elisya.
Yes boss!” balas Elisya lalu ketawa kecil.
Dahlia turut sama ketawa. Gelengan kecil diberikan kepada kawannya itu.
Elisya masih lagi ketawa. Matanya menghantar langkah Dahlia sehingga kelibat itu hilang di sebalik pintu bilik. Lantas, dicapai laptop lalu menghidupkannya. Dia perlu menyelesaikan beberapa kertas kerja untuk dihantar ke kementerian.
Semenjak dia mengambil alih syarikat membekal peralatan pejabat milik keluarganya, tidak menang tangan dibuatnya. Walau bagaimana sekalipun rintangan yang datang, dia akan cuba mengharunginya sebaik mungkin.
Elisya mencapai tetikus lalu menggerakkannya. FolderPersonal’ dibuka dan mencari fail bernama ‘Diariku’. Setelah berjumpa, fail itu dibuka lalu membacanya. Segala mengenai peristiwa yang berlaku selama ini dicoretkan di dalam fail tersebut.
Hanya pada diari itu, tempatnya meluahkan perasaan. Tatkala membacanya, serta-merta kenangan lalu terimbas semula. Keluhan terlepas daripada bibir. Sampai bila dia akan mengingati kisah itu? Kisah yang telah mengubah seluruh kehidupannya.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan