Sabtu, 21 April 2012

Kerinduan saya pada Hatimu Milikku


Betapa rindunya sy pd Tengku Hariz Iskandar & Aisya Lyana Sofea.. so, sy post part terakhir buat anda semua sblm anda semua dpt peluk n cium mereka.... erk, peluk n cium.. hehehe.. semoga kerinduan anda semua pd TH & Aisya terlerai sudah... huaargghhhh... rindu sgt2.. ;(


“Mak… janganlah risau. Aisya tak ada apa-apa. Aisya masih kuat untuk hadapinya.” Hanya itu yang mampu diperkatakan oleh Aisya sebagai jaminan buat Puan Suhaila. Seketika itu, dia meraih tangan Puan Suhaila dan menggenggamnya erat. Cuba menyalurkan keyakinan kepada Puan Suhaila.
Puan Suhaila mengangguk faham. Jika dia meneruskan perbualan itu, sudah pastilah hati Aisya akan terguris dan akan membuatkan Aisya teringat akan peristiwa lama.
“Mak ingat nak buat kenduri arwah abah dan Danish hujung minggu ni kat kampung,” beritahu Puan Suhaila sambil bangun dari duduknya. “Mak pun dah bagitau pada Syikin suruh balik kampung hujung minggu ni,” sambung Puan Suhaila lagi.
Aisya tersentak. Dia hampir terlupa akan peristiwa itu. Hampir sepuluh tahun Tengku Danish Hakim meninggalkannya. Betapa rindunya dia kepada arwah anaknya itu.
“Mak nak ke pasar!” ujar Puan Suhaila lembut. Dia perasaan akan perubahan di wajah Aisya. Mungkin Aisya sedang merindui arwah anaknya.
“Baiklah mak. Mak nak Aisya temankan ke pasar?” pelawa Aisya sebaik dirinya kembali ke alam nyata. Ya Syikin! Sudah terlalu lama dia tidak berjumpa dengan adik bongsunya itu. Semenjak Syikin berkahwin, hanya sekali dua dia berjumpa dengan Syikin. Itupun sewaktu Syikin melahirkan anaknya yang pertama dan kini Syikin disahkan mengandung anak kedua.
“Tak payahlah. Aisya duduk di rumah dan berehat. Mak pergi tak lama, sekejap aje. Lepas beli, mak baliklah,” tegah Puan Suhaila dan menapak masuk ke dalam bilik. Seminit kemudian dia keluar berserta tudung di kepala dan sebuah dompet di tangan.
“Mak pergi dulu!” ujar Puan Suhaila sambil menyarungkan selipar ke kaki.
Aisya sekadar mengangguk. Matanya sahaja yang menghantar pemergian Puan Suhaila sehingga lesap kelibat Puan Suhaila dari pandangan mata.
Aisya menyambung semula kerjanya yang tertangguh akibat berbual bersama Puan Suhaila sebentar tadi. Dia membaca kiriman email yang dihantar oleh Marlisa. Marlisa mengirimkan sebuah fail ‘Jemputan ke majlis pertunangan’. Siapa yang bertunang, dia tidak pasti. Lantas dia menggerakkan tetikus dan memuat turun fail tersebut. Setelah menunggu beberapa saat, fail tersebut berjaya di buka. Bulat matanya melihat nama yang tertera di kad jemputan tersebut.

Jemputan ke majlis pertunangan di antara
Marlisa Binti Effendi dan Tengku Hariz Iskandar Bin Tengku Azman
di kediaman kami……

Sehabis membacanya, tanpa disuruh-suruh, air mata mengalir membasahi pipi. Terasa nafas terhenti buat seketika. Jiwanya benar-benar kosong. Hatinya benar-benar sakit. Perasaannya hancur luluh seperti perang dunia ketiga yang meletus sehingga meninggalkan kesan untuk jangka masa yang panjang. Sampai hati!!
Aisya menyeka air mata. Tiada gunanya untuk menangisi semua itu. Tiada gunanya untuk menyesali dengan apa yang telah terjadi. Yang terjadi tetap akan terjadi. Apa yang perlu dilakukannya, menerima berita itu dengan redha dan ikhlas. Sesungguhnya apa yang berlaku, mungkin ada hikmah yang ALLAH cuba sembunyikan. Lantas dia menekan butang reply dan menaip sesuatu di situ.

 ‘Tahniah aku ucapkan buat kau dan Tengku Hariz. Aku doakan agar kau berbahagia di sampingnya. Jagalah dia elok-elok sepertimana kau menjaga nyawa kau sendiri. Maafkan aku kerana tidak dapat menghadirkan diri ke masjlis pertunangan kau sebab pada hari itu aku akan  menjalani pemeriksaan lanjut di hospital. Sampaikan salam aku pada semua. Aku akan kirimkan hadiah pertunangan kau sedikit masa lagi. I’m happy for you Marlisa!’

Butang send ditekan dan email yang ditulis olehnya sebentar tadi sudah selamat dikirimkan kepada Marlisa. Selepas itu, dia menutup laptop dan diletakkan di atas meja. Dia menyandarkan badan dan memejamkan mata buat seketika. Cuba mengusir perasaan kecewanya. 

Terima kasih kerana menyokong sy selama ini. 


Selasa, 3 April 2012

Special - Gurauan Berkasih



“Dah habis makan ke?” tanya Liyana berbasa basi.
“Hmm…” jawab Amirul pendek.
Kemudian dia mengangkat badan dan bersandar di kepala katil. Majalah yang dibawa Syakila tadi dicapai lalu dibacanya. Tidak menghiraukan Liyana yang berada di hadapannya itu.
“Sedap tak Lia masak?”
“Hmm…”
“Esok Lia masak lagi ya.”
“Hmm…”
“Lia teman sampai malam ya.”
“Hmm…”
Hisy dia ni. Hmm… hmm.. jawapan dia. Tak ada mulut ke nak bersuara. ALLAH tarik kenikmatan tu baru padan muka dia, geram Liyana di dalam hati. Seminit kemudian, Liyana tersenyum. Akal nakalnya sedang berlegar-legar di kotak fikirannya waktu ini.
“Err… Syakila dah balik ke?” tanya Liyana buat-buat bodoh.
“Hmm…” jawab Amirul masih sama.
Okey.. aku nak tengok sejauh mana ‘hmm’ kau tu, bisik Liyana.
“Lia nak pergi Tanjung Karang nak jumpa Pak Bakar, Mak Khatijah dan Raziff sekali, boleh?” tanya Liyana berserta senyuman di bibir. Menanti jawapan dari Amirul.
“Hmm…” balas Amirul tanpa menyedari pertanyaan Liyana itu.
“Okey, Lia nak dating dengan Raziff sekali. Rul tak kesahkan?” tanya Liyana lagi sengaja menduga perasaan Amirul.
“Hmm…”
Seminit kemudian, Amirul memberhentikan bacaannya. Raziff? Ulang Amirul di dalam hati. Pantas dia menutup majalah dan menatap wajah Liyana. Berkerut-kerut dia memandang wajah Liyana yang beriak selamba.
“Minggu depan Lia nak ke Tanjung Karang. Rul tak kesahkan,” ulang Liyana pada soalannya tadi.
“Buat apa?” tanya Amirul bernada curiga.
“Hai! Ada pun suara. Ingatkan tak ada tadi,” sindir Liyana dan beriak serius.
“Buat apa ke sana?” ulang Amirul pada soalannya tadi. Tidak mempedulikan dengan sindiran Liyana itu.
“Nak main kat sawah dengan Raziff. Rindu pulak rasanya nak berkubang kat sawah tu dengan Raziff,” balas Liyana selamba. Dia menapak menuju ke sofa dan melabuhkan duduk di situ.
“Main kat sawah dengan Raziff? Berkubang dengan Raziff?” ulang Amirul berserta kerutan di dahi. Ada nada cemburu dari suaranya itu.
Liyana mengangguk. Majalah di atas meja dicapai lalu berpura-pura membacanya. Di sebalik wajahnya yang terlindung, dia mengekek ketawa. Geli hati melihat wajah berkerut Amirul. Sambil-sambil itu juga dia mengintai Amirul di sebalik majalah. Terkumat-kamit mulut Amirul dilihatnya. Entah apa yang dibebelkan Amirul ketika itu dia sendiri tidak tahu. Mungkin sedang menyumpah seranah Raziff kot, fikir Liyana dan ketawa kecil. Ketawa yang hanya dapat didengarinya sahaja.
“Lia…” seru Amirul lembut.
“Hmm…” balas Liyana keras.
Aik! Balas dendam nampak minah tu. Hisy, tak boleh jadi ni. Macam mana aku nak larang dia dari pergi ke Tanjung Karang tu? Mentang-mentanglah tangan dan kaki aku berbalut, sengaja nak ambil kesempatan, rungut Amirul di dalam hati.
“Kalau Rul tak bagi Lia pergi, Lia nak pergi juga ke?” tanya Amirul sekadar mencuba.
Liyana menutup majalah dan diletakkan di atas meja. Matanya dihalakan ke arah Amirul.
“Hmm.. pergi!” jawab Liyana serius.
Amirul menundukkan mukanya. Kecewa dengan jawapan Liyana. Apalah gunanya untuk menghalang kehendak Liyana lagi. Jika dihalang, Liyana tetap dengan keputusannya untuk ke Tanjung Karang.
“Tak mengapalah. Lia pergilah. Rul doakan Lia selamat pergi dan balik,” ujar Amirul perlahan. Bingkas dia menurunkan kaki kiri ke bawah. Tongkat yang berada di sisi katil di capai dan cuba untuk berdiri.
“Rul nak ke mana?” tanya Liyana tatkala menyedari tingkah Amirul. Bingkas dia bangun dan menapak ke katil.
“Nak bawa hati yang terluka dan kecewa disebabkan Lia,” jawab Amirul selamba dan masih cuba untuk berdiri. Namun tidak berjaya. Dia memerlukan seseorang untuk membantunya berdiri.
Liyana mencebik mendengar jawapan Amirul. Nak bawa hati yang terluka dan kecewa konon, ulang Liyana di dalam hati. Itulah siapa suruh merajuk dan main-mainkan aku. Sekarang siapa yang menyesal, dia jugakan, kutuk Liyana di dalam hati.

Semoga terlepas rindu anda semua pada Amirul & Liyana...
(^_^)