Jumaat, 6 Mac 2015

My Dream Husband - Bab 5





“SELAMAT pagi, Encik Iqwan,” tegur Haniza, ramah merangkap setiausaha.
“Selamat pagi. Encik Khairil dah sampai?” balas Iqwan sambil melabuhkan duduk.
“Encik Khairil hari ni masuk lambat sebab ada appointment dengan client,” beritahu Haniza, tersenyum. Wajah Iqwan ditatap mesra.
Iqwan mengangguk faham. Dikerling jam di dinding buat seketika. Masa baru merangkak ke pukul sembilan tiga puluh minit pagi.
By the way Encik Iqwan, ini ada jambangan bunga buat encik,” ujar Haniza seraya menyerahkan sejambak bunga kepada Iqwan.
Iqwan yang melihat berkerut dahi. Jambangan yang dihulurkan oleh Haniza dibalas.
“Siapa bagi?” tanya Iqwan kemudian.
“Tak pastilah pulak saya, Encik Iqwan. Ada seorang despatch hantar tadi,” jelas Haniza.
“Hurm… tak mengapalah. Terima kasih!” balas Iqwan sambil mengangguk.
Haniza turut sama mengangguk. Selepas diberi arahan, dia keluar dari bilik itu. Dia tersenyum buat seketika. Belum pernah lagi bosnya itu mendapat sebarang jambangan bunga mahupun hadiah. Siapa yang memberi jambangan bunga itu?
Iqwan menghela nafas ringan. Jambangan bunga di atas meja diperhati penuh minat. Siapa yang memberi jambangan bunga itu? Dicapai kad kecil yang terselit di celah jambangan bunga lalu membacanya.

Special for my dream husband from your future wife.

My dream husband? Your future wife?” baca Iqwan, perlahan.
Seminit kemudian, telefon bimbitnya berbunyi. Dicapai lalu menekan butang hijau tanpa melihat siapa gerangan yang menelefon.
“Assalamualaikum, encik suami!” sapa Zafira, lembut dari hujung talian.
Berkerut dahi Iqwan mendengarnya. Dihalakan telefon bimbit ke hadapan. Melihat nombor telefon yang tertera di skrin. Minah sengal! Sebut Iqwan dalam hati. Nama panggilan yang dikhaskan buat Zafira.
“Encik Iqwan… Encik Iqwan…” panggil Zafira pula.
“Kau nak apa?” Keras Iqwan bertanya. Hilang moodnya pagi itu.
“Errr…” Zafira mematikan ayat. Malu untuk berterus-terang.
“Kau nak apa?”
“Encik suami dah terima bunga daripada saya?”
“Dah!”
“Cantik tak bunga tu?”
“Kau nak apa sebenarnya ni? Aku banyak kerja nak buat,” rengus Iqwan, keras.
“Saja call Encik Iqwan. Rindu!” jujur Zafira. Tidak diendahkan kemarahan Iqwan.
“Dahlah! Malas aku nak layan kau,” balas Iqwan dan mematikan talian.
Dengusan kasar terlepas daripada bibir. Lantas, jambangan bunga dicapai lalu mencampakkannya ke dalam tong sampah. Panas hatinya ketika ini.
“Suka hati dia saja nak panggil aku encik suami. Minah sengal!” geram Iqwan, sendirian.
Ada baiknya dia meneruskan kerja daripada melayan perempuan sengal itu.


AQIL memerhati Zafira yang sedang tersenyum. Senyuman di bibir Zafira berlainan sekali. Senyuman bahagia. Apa yang membuatkan adiknya itu tersenyum? Adakah disebabkan Iqwan maka adiknya itu beriak ceria dan gembira? Adakah adiknya itu sudah dilamun cinta? Sungguh, dia takut memikirkan perkara itu. Takut kalau-kalau pisang berbuah dua kali.
Tetapi, ada baiknya Zafira bercinta. Sekurang-kurangnya Zafira tidak memikirkan peristiwa yang lalu. Zafira tidak membenci malah berdendam atas apa yang berlaku. Kata-kata isterinya, Amylia terngiang-ngiang di cuping telinga.
“Eloklah kalau Fira ceria dan gembira. Tak adalah dia teringatkan kisah yang lalu. Amy tahu, Fira berpura-pura gembira di hadapan kita berdua. Fira tak nak kita risaukan dia,” jelas Amylia sambil melabuhkan duduk.
Aqil berfikir sejenak. Ada benarnya kata-kata Amylia itu.
“Amy tak nak Fira berdendam dan membenci atas apa yang berlaku dahulu,” sambung Amylia. Wajah suaminya ditatap kasih.
“Betul juga cakap Amy. Kalau boleh, abang tak nak Fira simpan dendam dan benci atas apa yang berlaku dahulu,” sokong Aqil sambil mengangguk perlahan.
“Jadi, abang kena buat sesuatu agar Fira sentiasa gembira dan ceria.”
Aqil menghela nafas ringan. Anggukan diberikan sebagai tanda persetujuan.
“Along!” tegur Zafira, keras.
Aqil tersentak. Kata-kata Amylia berterbangan begitu sahaja. Dihalakan mata ke wajah Zafira buat seketika.
“Along ni tak dengar ke apa yang Fira tanya tadi?” tanya Zafira, serius.
“Fira tanya apa? Along tak dengar,” balas Aqil, berkerut.
“Boleh tak kalau Fira nak ajak Iqwan makan malam kat rumah?”
“Makan malam?”
“Yalah! Makan malam. Boleh tak?”
“Fira, along tak rasa Iqwan nak datang. Baik…”
“Kan along nak kenalkan Iqwan dengan Fira? So, tak salahkan kalau kita jemput Iqwan makan malam kat rumah kita,” pintas Zafira, laju.
Aqil mengeluh. Bagaimana untuk menolak cadangan Zafira?
“Boleh tak, along?” Zafira mendesak.
“Nanti along tanya dia dulu. Kalau dia tak nak, along tak boleh nak kata apa.”
Zafira berfikir sejenak. Kemudian, anggukan diberikan kepada abangnya itu.
“Along ada banyak kerja ni. Draf yang along minta semalam tu dah siap ke belum?” ujar Aqil seraya memandang ke wajah Zafira.
“Err… belum lagi,” sengih Zafira.
“Dah! Pergi buat kerja. Siapkan draf tu. Along nak petang nanti,” arah Aqil bernada tegas. Gelengan diberikan kepada adiknya itu.
Zafira masih lagi tersengih. Dia segera beredar dari bilik itu.
“Along, jangan lupa ajak dia nanti tau,” ujar Zafira, mengingatkan.
Aqil tidak membalas. Matanya menghantar pemergiaan Zafira. Nafas ringan dilepaskan. Rasa menyesal ketika ini. Menyesal kerana mengakui kenyataan Zafira semalam.


“MENTANG-mentanglah dah start kerja dengan along, aku pun kau dah lupa,” rajuk Izreen.
“Ala… sorry la. Along tu bagi aku banyak kerja, itu yang tak ada masa nak call kau. Esok aku balik ya.” Zafira memujuk. Berharap Izreen termakan dengan pujukannya itu.
“Alasan!” cebik Izreen, meluat.
Zafira ketawa kecil. Bahu kawan baiknya itu dipeluk kejap.
“Tak ada… tak ada… aku tak terima pelukan kau ni,” tolak Izreen, lembut.
Semakin galak Zafira ketawa. Wajah mencuka kawannya itu ditatap kasih.
“Hari ni kau kena belanja aku makan. Sebagai denda.”
“Aik! Macam tu pulak?”
“Yalah! Lagipun, dah lama kau tak belanja aku.”
Zafira berfikir sejenak. Seminit kemudian, dia mengangguk. Ikutkan sajalah. Nanti merajuk lagi, bisik hati Zafira.
“Haa… macam tulah kawan baik. Saling bantu-membantu,” sengih Izreen.
Zafira mencebik meluat. Menyampah mendengar kata-kata Izreen. Dihalakan mata ke arah sebuah kedai cenderamata. Ada sesuatu yang menarik minatnya ketika ini. Dia segera melangkah menuju ke kedai itu.
“Eh… kau nak ke mana?” tanya Izreen sedikit terkejut.
“Nak ke kedai tu,” unjuk Zafira.
Izreen menghalakan mata ke arah yang ditunjuk. Sebuah kedai cenderamata menyapa mata. Pasti ada sesuatu yang menarik minat kawannya itu.
Zafira segera menuju ke arah kedai tersebut. Senyuman terukir di bibir. Sebuah key chain berbentuk hati menarik minatnya. Dicapai lalu menatap key chain itu.
“Kau cari apa kat sini?” tegur Izreen dari arah belakang.
Zafira menoleh. Senyuman diberikan kepada Izreen. Diunjuk key chain berbentuk hati kepada Izreen.
“Nak buat apa dengan key chain tu?”
“Nak kasi pada encik suami.”
“Encik suami?” ulang Izreen sedikit terkejut.
Zafira mengangguk. Senyuman tidak lekang daripada bibir.
“Bila masa pulak kau kahwin? Tak ajak aku pun.”
“Semalam! Lepas along beritahu dia bakal suami aku.”
Semakin berkerut dahi Izreen mendengarnya. Siapa yang dimaksudkan oleh Zafira itu?
“Aku dah planning nak ajak dia dinner kat rumah. Nanti along uruskan tentang tu.”
“Eh… kejap. Kau maksudkan siapa ni?”
“Hitrik Roshan!” balas Zafira, tersenyum.
Dibawa langkah menuju ke kaunter untuk membayar harga key chain tersebut. Setelah itu, telefon bimbit dikeluarkan dari dalam tas tangan.
Izreen hanya memandang. Kepala yang bertudung digaru sekali. Apa yang tidak kena dengan Zafira? Siapa encik suami yang dimaksudkan oleh Zafira itu? Hitrik Roshan? Terdetik nama itu di benak hati.
Done!” kata Zafira beberapa minit kemudian.
“Apa yang done?” tegur Izreen sebaik sahaja menghampiri Zafira.
“Jom pergi makan!” ajak Zafira lalu beredar dari situ.
“Zafira! Fira!” panggil Izreen sambil cuba untuk mengejar langkah Zafira. Dia perlu mengorek rahsia daripada Zafira. Apa yang berlaku di antara Zafira dan Hitrik Roshan?
“Hitrik Roshan?” Termati langkah Izreen tatkala nama itu disebut.


SO sweet!” puji Khairil, ikhlas.
Sweet apa ke bendanya tu. Sengal lagi adalah,” cebik Iqwan, meluat.
Tergelak Khairil mendengarnya. Gelengan diberikan kepada kawan baiknya itu.
“Dia ingat aku terharu la dengan apa yang dia buat tu. Macam orang gila talak adalah.”
“Wan, tak baiklah cakap macam tu,” tegur Khairil, kurang senang.
Iqwan masih mencebik. Tidak diendahkan teguran Khairil itu.
“Dia betul-betul suka kat kau. Dia memang nak tackle kau. Kau beruntung tau sebab ada perempuan sukakan kau dan berusaha nak dapatkan kau.”
“Untung la sangat. Menyampah lagi adalah.” Selamba Iqwan menjawab.
Geli geleman tatkala mengingati video yang dihantar oleh Zafira. Video di mana Zafira menunjukkan key chain berbentuk hati khas buatnya. Rasa nak termuntah melihat video itu.
Khairil yang mendengar ketawa kecil. Wajah mencebik Iqwan ditatap. Kenapa Iqwan begitu membenci Zafira? Apa salah gadis itu?
“Yang kau gelak tu, kenapa? Ada yang kelakar ke?”
“Saja nak gelak. Tak boleh ke?”
“Dahlah! Malas aku nak layan kau. Malam nanti aku ada game. Kau nak join tak?” kata Iqwan bingkas bangun dari duduk.
“Malam ni? Sorry, aku ada hal.”
“Hal la sangat kau tu.”
Tersengih Khairil mendengarnya. Kepala yang tidak gatal digaru. Malu tatkala Iqwan dapat menghidu tingkah lakunya selama ini.
“Asalkan kau bahagia, Khai,” sambung Iqwan lagi.
Bukannya dia tidak tahu apa yang dibuat oleh Khairil setiap malam. Kawannya itu suka melayan drama korea. Entah apa yang best dengan drama korea, dia sendiri tidak tahu.
Bunyi mesej masuk mengejutkan Iqwan. Digagau telefon bimbit dan menatap nama di skrin. Keluhan berat terlepas daripada bibir.
“Siapa?” tanya Khairil, ingin tahu.
“Minah sengal!” jawab Iqwan, selamba.
Khairil menggelengkan kepala. Matanya memandang wajah berkerut Iqwan.

Encik suami, tengah hari esok free tak? Nak ajak pergi lunch sama. J

Tergelak Khairil mendengarnya. Bahu kawannya itu dipegang lembut. Setelah itu, dia beredar dari situ. Membiarkan Iqwan melayani perasaan sendiri.
Iqwan mendengus kasar. Sakit hatinya membaca mesej yang dikirimkan oleh Zafira. Ikutkan hati, mahu sahaja dia menelefon dan memarahi gadis itu.
“Ah, buat sakit hati aku sajalah,” geram Iqwan turut sama beredar dari bilik itu.


“ALONG, nak tanya sesuatu boleh tak?” Ramah Zafira bertanya sambil melabuhkan duduk.
“Tanya apa?” balas Aqil dan memberi sepenuh perhatian kepada Zafira.
“Sebagai seorang lelaki, apa yang along suka dan tak suka?”
Aqil berkerut dahi. Kurang faham dengan soalan Zafira itu.
“Maksud Fira, masa along bercinta dengan Kak Amy. Apa yang along tak suka dan suka?” jelas Zafira, cermat.
“Maksud Fira, apa yang abang tak suka dan suka Kak Amy buat, begitu?” ulang Iqwan.
Zafira mengangguk faham. Senyuman malu terbias di wajah.
“Along sebagai seorang lelaki tak suka kalau perempuan tu menggedik dan mengada-ngada. Lelaki cepat rimas dengan perempuan macam tu,” mulai Aqil.
Zafira berfikir sejenak. Otaknya cuba merencana kenyataan Aqil.
Then, lelaki tak suka perempuan cerewet.”
“Sekejap! Fira nak fikir.”
Aqil memandang ke wajah Zafira. Apa yang sedang difikirkan oleh adiknya itu?
“Fira ni cerewet ke, along? Menggedik dan mengada-ngada ke?” tanya Zafira kemudian. Wajah abangnya ditatap meminta kepastian.
“Errr…” Aqil mematikan ayat. Sukar untuk menjawab.
“Dulu, Fira tak tahu semua tu. Fira terlalu bodoh dan Fira tak nak jadi macam dulu. Fira nak tackle Iqwan atas usaha Fira sendiri. Fira tak kisah kalau Iqwan tak suka cara Fira. Yang pasti, Iqwan tetap akan jadi suami Fira,” beritahu Zafira, yakin.
Aqil hanya mendengar. Wajah adiknya ditatap. Ada riak kebahagiaan di wajah itu. Senang hatinya melihat riak itu. Kalau boleh, hari-hari dia mahu melihat Zafira gembira dan ceria. Dia tidak mahu Zafira memikirkan kisah lama.
“Fira dah jatuh cinta dengan Iqwan,” akui Zafira lalu tersenyum.
Terkejut Aqil mendengarnya. Biar betul dengan apa yang diluahkan oleh Zafira itu?
“Fira serius. Fira akan cuba pikat hati Iqwan. Fira yakin, suatu hari nanti Iqwan akan terima cinta Fira,” beritahu Zafira lagi.
“Fira, along….”
“Along takut Fira kecewa lagi, kan? Insya-Allah, kali ni Fira yakin dengan jodoh Fira. Kalau perkara yang sama berulang kembali, Fira takkan terima mana-mana lelaki selepas itu. Biarlah Fira membujang sampai ke tua,” pintas Zafira.
Dia yakin, pasti itu yang ingin diperkatakan oleh Aqil. Abangnya itu terlalu risaukannya. Rasa bersalah kerana merisaukan hati Aqil dan Amylia. Suatu masa dahulu, memang dia kecewa. Kecewa dengan sikap lelaki yang dicintainya dahulu.
Masa itu dia terlalu bodoh dalam menilai keikhlasan seseorang. Lelaki itu hanya mempermain-mainkan perasaannya. Lelaki itu telah memalukannya serta meragut kebahagiaannya.
Rasa menyesal kerana mengenali lelaki itu. Rasa menyesal kerana mencintai dan menyayangi lelaki itu. Perasaan sebak hadir dengan tiba-tiba. Sebak mengenangkan kenangan dua tahun yang lepas. Hanya kepada Allah dia memohon kekuatan untuk meneruskan kehidupan.
“Fira!” tegur Aqil, lembut.
Zafira menoleh. Diseka air mata yang meniti di tubir mata. Senyuman hambar diberikan kepada abang kandungnya nan seorang itu.
“Along yakin, Iqwan akan terima Fira. Along akan bantu Fira,” beritahu Aqil.
Tangan Zafira ditarik lalu menggenggamnya erat. Ada baiknya dia menyokong usaha adiknya itu. Mungkin dengan cara itu dapat memberi kebahagiaan kepada Zafira.
Dia tidak mahu Zafira mengalami pengalaman yang sama. Dia tidak mahu melihat Zafira menangis lagi. Janjinya kepada arwah ayahnya akan ditunaikan. Janji untuk membahagiakan Zafira sehingga nafas terakhir. Janji untuk menjaga dan melindungi Zafira.
“Iqwan akan membahagiakan Fira,” bisik Aqil, perlahan.

Terima kasih! Jumpa minggu hadapan.
J

Tiada ulasan:

Catat Ulasan