Isnin, 14 Disember 2015

Luahan Hati - Bab 5






HAMIDAH masih ralit membantu Mak Jah di dapur. Hari ini, rumah Mak Jah mengadakan kenduri arwah suaminya yang sudah lama meninggal. Tidak menang tangan dirasakan Hamidah ketika ini. Walaupun Elisya, Farah dan beberapa orang kampung datang membantu, dapat dirasakan kekurangan tenaga kerja terutamanya di bahagian hadapan.
Mujur juga ada beberapa kenalan Firdaus turut sama membantu. Nafas lega ditarik dan melepaskannya lembut. Dihalakan mata ke arah Elisya. Sedari tadi hanya riak sedih yang terpamer di wajah kawannya itu. Kenapa Elisya beriak begitu?
Hamidah melangkah menghampiri Elisya yang sedang menyusun kuih-muih ke dalam piring. Hatinya diasak untuk bertanya daripada Elisya. Entah kenapa dapat dirasakan sesuatu perubahan kepada Elisya. Seperti ada masalah berat yang sedang dihadapi oleh Elisya melihatkan riak di wajah gadis itu ketika ini.
“Sya!” tegur Hamidah sebaik sahaja menghampiri Elisya.
Elisya mengangkat muka. Wajah Hamidah menyapa mata. Senyuman diberikan kepada kawannya itu.
“Kenapa ni? Monyok saja muka tu saya tengok. Awak ada masalah ke?” tanya Hamidah, prihatin. Dia turut membantu Elisya menyusun kuih-muih ke dalam piring.
“Tak ada apa-apalah, Midah.”
“Dari tadi saya tengok muka awak monyok dan sedih saja. Firdaus sakitkan hati awak ke?” tanya Hamidah lagi.
“Eh, tak adalah,” bidas Elisya, laju.
“Awak jangan nak tipu saya, Sya. Saya perasankan pandangan Firdaus pada awak. Pandangan benci. Firdaus masih dengan sikap dia lagi ke?”
Elisya menghela nafas berat. Matanya memandang wajah Hamidah.
“Biar saya tegur Firdaus,” ujar Hamidah dan berkira-kira untuk beredar dari situ.
“Jangan Midah! Jangan keruhkan lagi keadaan. Mungkin ada salah yang saya buat sehinggakan Firdaus membenci saya,” tegah Elisya seraya menarik lengan Hamidah.
Termati langkah Hamidah dek kerana tarikan itu. Nafas dihela dan melepaskannya lembut. Wajah Elisya ditatap mesra. Rasa kasihan menapak dalam hati. Perlukah dia berterus-terang kepada Elisya kisah yang sebenarnya?
“Saya ingat, nak balik ke Australia dalam sehari dua lagi,” ujar Elisya, perlahan.
“Apa? Awak nak balik?” ulang Hamidah, terkejut.
Elisya sekadar mengangguk.
“Tapi, kan belum cukup dua minggu awak kat sini? Takkan dah nak balik?”
“Mama dan papa saya minta saya balik cepat. Mereka ada perkara nak bincang dengan saya,” kata Elisya bingkas bangun dari duduk.
“Ya ke? Perkara apa?” tanya Hamidah, berminat.
“Tentang perkahwinan saya,” jawab Elisya lalu beredar dari situ berserta piring yang berisi kuih-muih di tangan.
Terkedu Hamidah mendengarnya. Matanya menghantar langkah Elisya sehingga hilang di sebalik pintu. Benarkah apa yang didengarinya tadi? Tentang perkahwinan Elisya.


“TERIMA kasih Alif sebab bantu aku,” ucap Firdaus, ikhlas.
“Ala, perkara kecik sajalah Daus. Bukannya aku tak tahu yang family kau adakan kenduri arwah setiap tahun,” balas Alif lalu tersenyum.
“Walau bagaimanapun, aku tetap nak ucapkan terima kasih pada kau. Tak menang tangan aku tadi dibuatnya.”
“Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan lancar.”
“Alhamdulillah, Alif. Jomlah kita makan dulu.”
“Tak apalah, Daus. Aku dah kenyang.”
“Kenyang? Bila kau makan? Aku tak nampak pun.”
“Aku kenyang tengok Elisya. Sejuk mata aku memandang wajah dia. Kau sendirikan tahu, dari zaman sekolah lagi aku minat kat dia,” terang Alif lalu tersengih.
Matanya masih lagi ralit memerhatikan Elisya yang sedang sibuk mengemas sambil dibantu oleh Hamidah.
Firdaus turut memandang ke arah yang sama. Hatinya mengakui akan kata-kata Alif. Seakan ada perasaan lain yang hadir di hati tatkala melihat pandangan Alif terhadap Elisya. Perasaan apakah itu? Adakah perasaan cemburu?
“Dapat juga aku jumpa dengan dia,” ujar Alif masih tersenyum.
“Nasib baik dapat. Kalau tak dapat, menangis air mata darah la kau,” kata Firdaus sekadar mengusik. Ketawa kecil terlepas daripada bibir.
Alif tidak membalas. Bukannya dia tidak mahu berjumpa dengan Elisya. Disebabkan rasa malu yang menebal membuatkan dia menahan perasaan daripada berjumpa dengan gadis itu.
“Cantikkan dia, Daus,” puji Alif, ikhlas.
Firdaus mengangguk perlahan.
“Kalau aku tackle dia… apa pendapat kau, Daus?” tanya Alif pula.
Tersentak Firdaus mendengarnya. Wajah Alif yang sedang tersenyum dipandang seketika. Perlukah dia memberi pendapat tentang itu?
“Daus, aku tanya kau ni. Okey tak, kalau aku tackle Elisya?”
“Aku… aku…”
“Kau kan rapat dengan dia dulu. Mesti tentang dia kau tahu. Apa kata kau beritahu pada aku, apa yang dia suka dan tak suka?”
“Dulu lain dan sekarang lain, Alif.”
“Memang la dulu lain sekarang lain. Dulu kita masih dibangku sekolah. Sekarang kita dah bekerja. Dulu kita tak ada perasaan. Sekarang kita ada perasaan. Tambah-tambah perasaan malu. Aku sebenarnya dah lama suka kat dia. Dari sekolah lagi,”  jujur Alif memberitahu.
Firdaus tergamam. Pengakuan Alif sedikit mengejutkan. Malah menghadirkan rasa lain di hati. Kenapa Alif tidak berterus-terang tentang perasaannya terhadap Elisya sebelum ini?
“Bila Elisya balik ke sana? Aku ingat nak ajak dia keluarlah Daus.”
Firdaus hanya membisu. Otaknya masih ligat berfikir. Kenapa dia berasa kurang enak mendengar kata-kata Alif? Adakah dia cemburu ketika ini?
“Aku nak jumpa dia sekejap. Kau nak ikut tak?”
“Tak apalah. Aku nak ke sana. Nak kemas apa yang patut,” balas Firdaus berlalu pergi.
Alif hanya memandang. Dijungkitkan bahu dan mengatur langkah menuju ke tempat di mana Elisya dan Hamidah berada. Sudah agak lama dia tidak berbual bersama Elisya. Inilah peluang untuknya berbual dan bertanya khabar tentang gadis itu.


“SAYA sihat Alif. Awak?” tanya Elisya lalu tersenyum.
“Saya sentiasa sihat Elisya. Lebih sihat lepas saya tengok awak,” balas Alif, tersengih. Kepala yang tidak gatal digaru.
Ketawa kecil Elisya mendengarnya. Alif tidak pernah berubah. Masih seperti dulu. Suka mengusik dan bergurau. Tidak seperti Firdaus yang jauh berbeza dari dulu dan sekarang.
“Lama saya tak jumpa dengan awak. Saya ada juga tanya pada Firdaus tentang awak, tapi Firdaus tu, macam nak tak nak saja bercakap. Macam tadi, saya tanya kat dia tentang awak, haram dia nak jawabnya,” adu Alif berserta dengusan ringan.
Elisya tersenyum hambar. Pasti Firdaus tidak suka dengan pertanyaan Alif itu. Rasa sebak hadir dalam hatinya kala ini.
“Elisya… Elisya…” panggil Alif, lembut.
“Eh… ya, Alif. Awak tanya apa?” tanya Elisya sedikit terpinga-pinga.
“Awak ni, kenapa? Dari tadi saya tengok wajah awak sedih saja. Kata-kata saya menyinggung perasaan awak ke?” tanya Alif, prihatin.
“Tak… tak.. bukan sebab itu. Saya rindukan keluarga saya di sana,” dalih Elisya. Tidak mahu Alif berasa serba salah.
Alif menatap wajah Elisya. Seperti ada sesuatu yang cuba disembunyikan oleh gadis itu. Tetapi, apa dia?
Family awak sihat, Alif? Lama saya tak jumpa dengan adik awak, Halim.”
“Oh, adik saya tu. Halim sekarang sambung belajar kat UKM Bangi.”
Elisya mengangguk faham. Senyuman diberikan kepada Alif. Kemudian, dihalakan pandangan ke arah sawah. Tanpa disengajakan, matanya terpandang kelibat Firdaus. Hanya jelingan tajam yang diberikan oleh lelaki itu. Dia mengeluh dalam hati.
“Bila awak balik ke sana, Elisya?”
“Insya-Allah, kalau tak ada halangan dalam sehari dua ni saya balik ke sana.”
“Cepatnya? Kan baru seminggu lebih awak kat sini?”
“Mama dan papa saya minta saya balik cepat. Ada perkara yang mereka nak bincangkan dengan saya,” beritahu Elisya.
“Perkara? Perkara apa?” tanya Alif sekadar ingin tahu.
“Tentang perkahwinan saya. Mereka dah cari calon yang sesuai untuk saya,” jujur Elisya masih tersenyum.
Tersentap Alif mendengarnya. Perkahwinan? Calon suami? Elisya akan berkahwin? Benarkah apa yang diperkatakan oleh Elisya itu?
“Saya ke sana dulu, Alif. Nak bantu Mak Jah sekejap,” pamit Elisya berlalu pergi.
Alif hanya mengangguk dan memandang. Sebu di hati ketika ini. Niat untuk memikat Elisya hanya tinggal niat sahaja. Bukan jodohnya dengan Elisya.


“KALAU kau tak percaya kau boleh tanya dia. Aku dengar dari mulut dia sendiri. Dia nak kahwin,” beritahu Alif jelas dan nyata.
“Tak mungkin! Aku tak percaya!” bidas Firdaus tatkala penjelasan Alif mengenai perkahwinan Elisya terngiang-ngiang di cuping telinganya.
“Apa yang tak mungkin? Apa yang tak percaya?” tanya Elisya, tiba-tiba.
Tersentak Firdaus dek kerana pertanyaan itu. Dihalakan mata ke arah yang bertanya. Serta-merta dengusan kasar terlepas daripada bibir. Pantas dia bangun dari duduk untuk beredar.
“Firdaus Hakimi, boleh saya bercakap dengan awak sebentar?” pinta Elisya, lembut.
“Aku tak senang!” balas Firdaus lalu melangkah jalan menuju ke rumah.
“Saya nak balik KL esok. Lusa, saya balik ke Australia,” beritahu Elisya, perlahan.
Terhenti langkah Firdaus mendengarnya.
“Saya ingat, nak tinggal lagi seminggu kat sini sebelum saya balik ke sana. Tapi, mama saya dah call tadi minta saya balik cepat. Sebab itulah…”
“Suka hati kaulah! Tak ada kena-mengena dengan aku,” pintas Firdaus berlalu pergi.
Elisya hanya memandang. Semakin sebak dirasakan ketika ini. Kenapa Firdaus bersikap begitu terhadapnya? Apa salahnya selama ini? Sudah puas dikerah otaknya berfikir sebab dan punca Firdaus berubah sikap. Namun, semuanya menemui jalan buntu. Kepada siapa dia harus bertanya? Bila ditanya kepada Hamidah, gadis itu seakan mengelak daripada bercerita.
Tanpa membuang masa, dibawa langkah masuk ke dalam rumah menuju ke bilik. Dia perlu mengemas barang keperluannya. Terasa berat untuk meninggalkan kampung itu. Atas sebab-sebab yang tertentu, terpaksa juga dia mengambil keputusan sebegitu.


ELISYA mencapai laptop dari atas meja lalu membawanya ke atas katil. Butang on ditekan dan menanti laptop berfungsi. Keluhan berat terlepas daripada bibir. Matanya memerhati segenap ruang bilik yang dihuni selama seminggu. Pasti dia akan merindui bilik itu selepas ini.
Deringan telefon menyentak lamunan Elisya. Telefon bimbit dicapai dari atas meja lalu melihat nama di skrin telefon. Dahlia! Sebut Elisya dalam hati. Nafas ditarik dan melepaskannya lembut.
“Aku sihat alhamdulillah,” balas Elisya sebaik sahaja salam bersambut.
“Alhamdulillah. So, macam mana dengan misi ‘Luahan Hati’ kau?” tanya Dahlia ingin tahu.
“Tak berjaya lagi, Lia,” keluh Elisya.
“Tak mengapalah, Sya. Mungkin masanya tidak sesuai untuk kau luahkan perasaan kau yang sebenarnya pada dia. Lagipun, aku tak berapa nak setuju dengan keputusan kau ni. Aku tak nak kau terluka lagi seperti dulu.”
“Aku tahu. Kalau dulu dia pandang sepi dengan luahan aku tak salah kalau aku mencuba buat kali yang kedua.”
“Yalah! Kalau dia terima, tak sia-sialah kau ke sana. Tapi, kalau dia tak terima luahan kau macam dulu….”
“Aku reda. Bukan jodoh aku dengan dia untuk bersama,” pintas Elisya, perlahan.
Dahlia menghela nafas ringan.
“Kau janganlah fikirkan sangat tentang dia. Apa yang penting sekarang ni, permintaan mama dan papa kau.”
Permintaan Puan Ilyana dan Encik Emran berkenaan lamaran dari sahabat baik keluarga itu sudah lama diketahuinya. Disebabkan lamaran itu, Elisya bercuti di kampung. Sekadar untuk menenangkan fikiran sebelum menerima lamaran tersebut.
Malah, misi untuk Elisya meluahkan perasaan kepada Firdaus Hakimi buat kali yang kedua turut menjadi sebab dan kenapa Elisya berada di kampung.Ternyata, Elisya bukanlah seorang yang mudah berputus asa. Cintanya kepada Firdaus Hakimi tidak pernah luput sehingga ke hari ini.
“Aku tahu. Sebab itulah aku minta masa daripada papa dan mama aku.”
“Kalau aku di tempat kau, aku pun tak tahu apa aku nak buat. Seperti diluah mati mak ditelan mati bapak saja.”
“Dah tertulis takdir aku macam tu. Nak tak nak, terpaksalah aku terima seikhlas hati aku,” beritahu Elisya, mengeluh.
“Tapi, itu masa depan kau. Kau sepatutnya fikirkan tentang masa depan kau. Aku rasa, kau macam terpaksa saja,” bidas Dahlia.
“Aku ikhlas, Lia,” ujar Elisya.
Dahlia mengeluh lembut. Sukar untuk memujuk Elisya. Jika keputusan sudah dibuat, tidak mungkin Elisya mengubahnya.
So, jadi tak kau balik KL esok? Kalau jadi, aku ambil kau kat stesen bas.”
“Insya-Allah, jadi. Walau macam mana pun, aku kena balik juga.”
“Aku faham. Banyak-banyaklah bersabar. Semoga Allah permudahkan segala-galanya.”
“Insya-Allah. Terima kasih, Lia.”
“Kalau macam tu, aku letak dulu. Esok kau mesej aku pukul berapa kau naik bas ke sini. Senang sikit aku nak tunggu kau esok,” pesan Dahlia.
Yes boss! Arahan diterima!” balas Elisya lalu ketawa kecil.
Dahlia yang mendengar turut sama ketawa. Tidak dinafikan Elisya seorang yang suka bergurau dan mengusik. Tetapi, selepas apa yang berlaku, Elisya berubah laku. Dari seorang yang periang kepada yang pendiam.
Semuanya kerana Firdaus Hakimi. Ditambah dengan masalah yang dihadapi oleh Elisya ketika ini menambahkan lagi perubahan Elisya. Semoga Elisya menemui kebahagiaan yang dicari selama ini.


FIRDAUS menyandarkan tubuh ke kepala katil. Matanya membuang pandang ke arah kipas siling yang sedang ligat berputar. Entah apa yang sedang difikirkan, dia sendiri tidak pasti. Adakah Elisya yang sedang difikirkannya itu?
Firdaus mengeluh berat. Kenapa begitu cepat Elisya mengambil keputusan untuk pulang ke Australia? Adakah disebabkan sikap dinginnya membuatkan Elisya mengambil keputusan sebegitu? Bukan niatnya untuk melukakan hati Elisya.
Disebabkan kenangan lama membuatkan dia bersikap begitu. Kenangan yang bersangkut-paut dengan Elisya. Apa yang pasti, hatinya menolak kehadiran Elisya selama seminggu ini. Tatkala kenangan lama meniti di minda, hatinya menjadi sakit.
“Daus!” tegur Mak Jah dari muka pintu.
Tersentak Firdaus seketika. Dihalakan mata ke muka pintu bilik. Wajah Mak Jah menyapa mata. Serta-merta senyuman diberikan kepada maknya itu.
“Kenapa dengan anak mak ni? Dari siang tadi monyok saja. Daus ada masalah ke?” tanya Mak Jah, prihatin.
Dilabuhkan duduk di birai katil dan menatap mesra wajah anak terunanya itu. Ada riak sedih pada wajah Firdaus. Apa yang membuatkan anaknya itu sedih?
“Tak ada apa-apa mak. Daus cuma penat saja,” dalih Firdaus sambil membetulkan duduk.
“Mak tahu, Daus ada masalah sekarang ni. Dari air muka Daus pun mak dah boleh tahu. Apa masalah Daus sebenarnya ni? Cuba Daus beritahu pada mak. Kut-kut, mak boleh bantu.”
Firdaus menghela nafas berat. Perlukah dia bercerita kepada Mak Jah akan masalahnya itu? Masalah? Adakah apa yang sedang difikirkannya itu merupakan masalah?
“Esok Daus hantar Sya ke stesen bas, boleh?” pinta Mak Jah berharap.
“Untuk apa?” tanya Firdaus pura-pura. Hakikatnya, dia sudah pun mengetahuinya.
“Esok kan Sya balik ke Kuala Lumpur. Lusa, ke Australia,” beritahu Mak Jah.
Firdaus mengangguk lemah. Baru tadi Elisya memberitahunya tentang itu, namun dia buat endah tak endah sahaja.
“Boleh, kan Daus?” pinta Mak Jah lagi.
“Boleh mak. Esok, Daus hantar Sya ke stesen bas,” balas Firdaus sambil mengangguk.
“Terima kasih, Daus. Mak keluar dulu nak tidur. Daus pun, janganlah tidur lewat sangat,” pesan Mak Jah lalu bangun dari duduk.
Tanpa menunggu, dibawa langkah beredar dari bilik itu. Senyuman diberikan kepada anaknya itu.
“Baiklah mak!” balas Firdaus turut sama tersenyum.
Matanya menghantar langkah Mak Jah sehingga hilang di sebalik pintu bilik. Kemudian, dia bingkas bangun dari duduk lalu melangkah menuju ke jendela. Keluhan berat dilepaskan untuk kesekian kali. Apa yang harus dilakukan ketika ini? Perlukah dia berjumpa dengan Elisya?
Setelah lama berfikir, ada baiknya dia berjumpa dengan Elisya. Meminta maaf atas keterlanjurannya selama dua minggu ini. Berharap Elisya dapat memaafkannya.
“Abang!” panggil Farah.
Firdaus yang sedang melangkah menuju ke bilik Elisya berkerut dahi. Suara esakan tangis Farah menyapa gegendang telinga. Dilajukan langkah menghampiri bilik Elisya. Kenapa Farah menangis?Apa yang sedang berlaku?
“Kak Sya!” adu Farah, teresak.
“Kenapa dengan Sya?” tanya Firdaus, berdebar.
“Daus, Sya dah pergi.” Sebak Mak Jah memberitahu Firdaus.
“Apa? Pergi?” ulang Firdaus, terkejut.
Mak Jah mengangguk lemah.
“Bukan ke esok baru dia nak balik KL?” tanya Firdaus tidak berpuas hati.
“Mak pun tak tahu. Mak ke bilik nak ajak Sya makan. Satu rumah ni mak cari dia. Lepas tu, mak terjumpa dengan surat ni,” cerita Mak Jah lalu teresak kecil. Dihulurkan sepucuk surat kepada Firdaus dan dibalas oleh anaknya itu.
“Farah pun sama. Farah nak minta tolong Kak Sya ajarkan Farah matematik. Bila Farah sampai kat bilik, Kak Sya dah tak ada. Farah ingat Kak Sya keluar. So, Farah balik bilik Farah semula,” cerita Farah pula. Masih kedengaran esakan tangisnya itu.
Firdaus hanya mendengar. Dikeluarkan sehelai kertas dari dalam sampul surat lalu membaca isi kandungan surat tersebut.

Maafkan Sya sebab tak memberitahu kepada Mak Jah akan pemergiaan Sya ini. Atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan, Sya terpaksa pergi malam ini juga. Sya ucapkan terima kasih atas segala-galanya. Halalkan makan minum Sya selama Sya berada di rumah Mak Jah. Maafkan segala kesalahan Sya, sengaja mahupun tidak disengajakan. Insya-Allah, kalau ada rezeki dan jodoh, kita berjumpa lagi.
Farah, belajar rajin-rajin. Kak Sya doakan agar Farah berjaya dalam SPM nanti. Semoga cita-cita Farah nak menjadi seorang doktor akan tercapai suatu hari nanti. Maafkan kesalahan Kak Sya selama seminggu ini.
Firdaus, saya minta maaf atas segala-galanya. Walaupun saya tidak tahu kenapa awak tidak menyenangi kedatangan saya, tapi saya yakin, pasti ada sebab kenapa awak bersikap sebegitu. Maafkan segala kesalahan saya andai kata saya ada menyakiti hati awak. Semoga awak bahagia di samping orang tersayang.

Elisya Emran

Firdaus melipat semula surat tersebut selepas membacanya. Diraup kasar wajahnya lalu menatap wajah sedih Mak Jah dan Farah. Adakah disebabkannya, Elisya mengambil keputusan sebegitu? Adakah kerana sikapnya selama seminggu ini membuatkan gadis itu terasa hati? Ya Allah, apa yang telah aku lakukan? Bukan niat aku nak melukakan hati dia, bisik Firdaus sayu.
Tanpa membuang masa, dia segera beredar dari situ. Mungkin dia dapat menahan Elisya daripada pergi. Berharap, usahanya itu membuahkan hasil.
Mak Jah dan Farah hanya memandang. Pasti Firdaus keluar mencari Elisya. Semoga usaha Firdaus berjaya. Semoga Elisya selamat tiba di Kuala Lumpur.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan