Khamis, 12 Mac 2015

My Dream Husband - Bab 9






“ALONG!” tegur Zafira.
Aqil mematikan tingkah laku. Wajah Zafira ditatap kasih.
“Along dah beli barang yang Fira pesan tadi?” tanya Zafira sambil menghampiri Aqil.
“Dah. Along dah belikan. Ada atas meja dapur tu,” jawab Aqil.
Zafira tersenyum gembira. Dia segera menuju ke arah dapur. Barang-barang yang dipesan elok terletak di atas meja. Tidak sabar untuk  membuat kek khas buat Iqwan.
“Kak long mana?” tanya Aqil pula.
“Kak long ada kat atas,” jawab Zafira. Matanya meninjau satu persatu barang yang dibeli oleh Aqil. Khuatir ada yang tertinggal.
“Pukul berapa Iqwan datang?”
“Dalam pukul 8.00 malam.”
Aqil mengangguk. Tingkah laku Zafira diperhati dengan penuh minat. Riak gembira terlukis di wajah adiknya itu. Adakah kerana majlis malam ini maka adiknya beriak sebegitu?
“Terima kasih, along,” ucap Zafira, tiba-tiba.
Aqil berkerut dahi. Kurang faham dengan ucapan itu.
“Sebab tolong Fira belikan barang-barang ni semua. Tak sabar nak buat kek untuk Iqwan,” jelas Zafira, tersenyum.
“Sama-sama, Fira,” balas Aqil turut sama tersenyum.
“Fira nak buat sekarang. Takut tak sempat nanti.”
“Baiklah. Along tak nak kacau Fira.”
Zafira segera memeluk tubuh Aqil. Sebagai tanda terima kasih kerana Aqil begitu memahami akan kehendaknya selama ini.
“Sayang adik along ni,” ucap Aqil sambil membalas pelukan.
Zafira meleraikan pelukan. Senyuman diberikan buat abangnya itu. Tanpa berlengah, dia memulakan tugas membuat kek. Semoga dia berjaya membuat kek.
Aqil hanya memandang. Senyuman terukir di bibir. Setelah itu, dia beredar dari ruangan dapur. Membiarkan Zafira membuat kek khas buat Iqwan.
Rasa bersalah menumpang di hati. Bersalah atas apa yang berlaku selama ini. Jauh di sudut hati, dia berdoa agar Zafira bahagia dengan apa yang dilakukannya.


“KAU tak siap lagi?” tegur Khairil dari arah belakang.
Iqwan tersentak. Ditoleh ke belakang dan wajah Khairil menyapa mata.
“Dah pukul berapa ni? Bukan ke kau ada dinner kat rumah Zafira?”
“Awal lagi.”
“Awal kau kata? Dah pukul 7.00, Wan. Dinner kau pukul 8.00 kan?”
Iqwan sekadar mengangguk. Jam di pergelangan tangan dikerling buat seketika.
“Kenapa? Kau tak jadi pergi ke?” tanya Khairil tatkala menyedari riak di wajah Iqwan.
“Jadi. Cuma aku…”
“Wan, jangan hampakan harapan orang.”
Iqwan hanya mendengar. Keluhan ringan dilepaskan.
“Kenapa? Kau menyesal dengan keputusan kau ke?”
“Menyesal? Maksud kau?”
“Yalah. Keputusan untuk bertunang dengan Zafira.”
“Aku tak menyesal. Keputusan aku muktamad.”
“Habis tu, kenapa kau mengeluh? Kau terpaksa?”
Khairil masih lagi bertanya. Keputusan Iqwan ingin bertunang dengan Zafira masih tidak dapat diterima. Entah kenapa dia dapat merasai ada sesuatu yang cuba dirahsiakan oleh Iqwan ketika ini. Kenapa dengan tiba-tiba, Iqwan ingin bertunang dengan Zafira?
“Yang kau nak curiga dengan keputusan aku, kenapa? Kau tak percayakan aku ke?” tegur Iqwan, mendengus keras. Sakit hatinya mendengar pertanyaan Khairil. Adakah dia tidak boleh dipercayai selama ini?
“Aku tak curiga. Tapi, cara kau tu yang membuatkan aku curiga,” tukas Khairil.
“Sudahlah! Malas aku nak layan kau. Aku nak bersiap. Nanti lambat pulak aku sampai kat rumah Zafira,” putus Iqwan bingkas bangun dari duduk.
Dibawa langkah menuju ke bilik di tingkat atas. Malas untuk melayan karenah Khairil. Walau bagaimana dia menjelaskan kepada Khairil, kawannya itu tetap tidak akan mempercayainya. Bagaimana untuk menghalau rasa curiga di hati Khairil?
Khairil hanya memandang. Gelengan diberikan kepada kawannya itu. Jauh di sudut hati, dia berharap apa yang dirasai selama ini tidak benar. Berharap Iqwan tidak mempermainkan perasaan Zafira.


“MESTI kau tak sabar, kan?” tanya Izreen dari hujung talian.
“Eh, mestilah tak sabar. Berdebar-debar jantung aku ni kau tahu tak?” balas Zafira, tersenyum. Disentuh lembut dadanya yang sedang bergetar hebat.
“Kau masak apa untuk dia?”
“Aku buatkan kek coklat untuk dia. Lauk-pauk tu semua, ada yang aku masak dan ada yang kak long masak.”
“Oh, kek coklat. Mesti sedap. Jangan lupa tinggalkan sikit untuk aku.”
“Aku ajak datang, tak nak.”
“Bukannya aku tak nak. Kerja aku ni dari tadi tak siap-siap. Esok aku dah nak kena submit kat bos,” terang Izreen, mengeluh berat.
“Tak apalah. Kau kan pembantu bos. Nak tak nak, kau kena la siapkannya juga.”
Izreen mengangguk lemah. Laptop di hadapan ditatap dengan pandangan yang kosong.
“Okeylah Reen. Aku nak tolong kak long siapkan hidangan. Apa-apa nanti, aku beritahu pada kau,” ujar Zafira tatkala terpandangkan Amylia.
“Baiklah. Sampaikan salam aku pada along dan kak long. Have fun, Fira,” balas Izreen.
Bukannya dia tidak tahu majlis makan malam keluarga Zafira bersama dengan Iqwan. Zafira sendiri yang bercerita. Malah, majlis itu juga diadakan untuk merapatkan hubungan mereka. Semoga apa yang dirancang oleh Zafira akan membuahkan hasil.
Zafira menapak menuju ke ruang dapur. Diperhatikan Amylia yang sedang menyediakan hidangan di atas meja. Tanpa berlengah, dia segera membantu Amylia.
“Iqwan tak datang lagi ke?” tanya Amylia sebaik sahaja Zafira berada di sisi.
Zafira mengerling jam di pergelangan tangan. Masa sudah menghampiri ke angka 8.15 malam. Perasaan risau menujah ke hati. Adakah Iqwan tidak jadi datang? Adakah Iqwan lupa akan majlis makan malam ini?
“Along mana?” tanya Amylia tatkala menyedari ketiadaan Aqil.
“Along kat depan. Tunggu Iqwan,” jawab Zafira. Tangannya lincah meletak pinggan yang berisi lauk di atas meja.
“Kek ni nak letak mana?”
“Err.. letak di tengah-tengah boleh tak, kak long?”
“Boleh juga.”
Zafira mengangguk dan tersenyum. Puas hatinya melihat kek coklat yang elok terletak di atas meja. Berharap, Iqwan menyukai kek coklat hasil air tangannya itu.
Suara orang memberi salam mematikan perbualan mereka berdua. Zafira segera ke ruang tamu untuk melihat. Adakah Iqwan yang memberi salam itu? Dilihatnya Aqil sedang membuka pintu utama. Seminit kemudian, wajah Iqwan menyapa mata. Pantas, dibawa langkah menuju ke arah Iqwan dan Aqil. Rasa teruja dengan kehadiran Iqwan.
“Awak!” tegur Zafira kemudian.
Iqwan tersenyum paksa. Dia menapak masuk ke dalam rumah. Diperhatikan segenap ruang rumah itu. Cantik! Puji Iqwan di dalam hati.
“Jemput duduk, Encik Iqwan,” pelawa Aqil, ramah.
“Encik Iqwan? Along, kenapa panggil ‘encik’? Panggil Iqwan sajalah,” tegur Zafira.
Aqil tersenyum kelat. Matanya memandang ke wajah Iqwan. Sukar untuk menafsir riak di wajah Iqwan ketika ini.
“Abang, makanan dah sedia. Jemputlah Iqwan makan,” beritahu Amylia, tiba-tiba dari arah ruang makan.
Aqil mengangguk faham.
“Mari, Encik Iqwan. Eh, Iqwan.”
Iqwan tersenyum. Dia segera mengekori Aqil daripada belakang. Zafira di sisi tidak dihiraukan. Jelas riak teruja di wajah Zafira ketika ini.


“SAYA tak minta lebih, Encik Iqwan. Persetujuan Encik Iqwan satu rahmat bagi saya,” beritahu Aqil, tersenyum.
Iqwan hanya mendengar. Wajah tersenyum Aqil ditatap seketika.
“Terima kasih kerana Encik Iqwan sudi terima Zafira. Kalau ada salah dan silap, mintak dimaafkan. Kadang kala perangai Zafira sukar untuk dilayan,” sambung Aqil lagi.
Iqwan masih lagi mendengar. Dia melangkah perlahan keluar dari kawasan halaman rumah. Aqil di sisi turut sama melangkah.
“Saya sayangkan Zafira. Dia satu-satunya adik yang saya ada. Saya harap, Encik Iqwan dapat membahagiakan adik saya,” luah Aqil pula.
“Insya-Allah!”
Hanya itu yang keluar daripada bibir Iqwan. Entah kenapa terasa kelu lidahnya untuk membalas. Keikhlasan Aqil menghadirkan rasa lain di hati.
“Along!” tegur Zafira, tiba-tiba.
Aqil dan Iqwan tersentak. Masing-masing menghalakan mata ke arah Zafira yang sedang melangkah menghampiri mereka berdua.
“Saya masuk dalam dulu. Terima kasih, Encik Iqwan,” kata Aqil berlalu dari situ.
Iqwan mengangguk perlahan. Langkah Aqil diperhati penuh minat. Kemudian, dihalakan mata ke wajah Zafira di sisi.
“Terima kasih sebab sudi datang,” ucap Zafira, ramah.
Iqwan tidak membalas. Dia menapak menuju ke kereta. Otaknya sedang ligat berfikir. Entah apa yang sedang difikirkannya, dia sendiri tidak tahu. Adakah tentang kata-kata Aqil sebentar tadi membuatkan dia berfikir.
“Awak!” tegur Zafira.
Tersentak Iqwan dengan teguran itu. Zafira di sisi dipandang seketika.
“Ini untuk awak,” ujar Zafira.
Sebuah key chain berbentuk hati diserahkan kepada Iqwan. Key chain yang dibelinya tidak lama dulu. Key chain itu juga yang ditunjuk kepada Iqwan melalui telefon.
Iqwan membalas huluran. Key chain di tangan ditatap dengan pandangan yang kosong.
“Maaf kalau ia tidak seberapa. Saya tak tahu nak bagi apa. Jadi, saya bagi yang tu.”
“Aku tak kisah.”
Zafira mengangguk. Wajah Iqwan ditatap mesra.
“Aku balik dulu,” pamit Iqwan.
Daun pintu dibuka lalu menapak masuk ke dalam perut kereta. Enjin dihidupkan dan bersedia untuk beredar dari halaman rumah Aqil.
“Terima kasih awak. Saya akan simpan peristiwa hari ini dalam diari saya,” beritahu Zafira, tersenyum. Dia melambai tangan ke arah Iqwan.
Iqwan tersenyum kecil. Dia segera memandu keluar dari halaman rumah. Sejak dari tadi, otaknya ligat berfikir. Berfikir tentang keputusannya yang lepas.
“Apa yang kau dah buat, Iqwan? Kenapa kau menyusahkan diri sendiri?” soal Iqwan kepada dirinya sendiri.
Diberhentikan kereta dan meraup kasar wajahnya. Kenapa kata hati tidak seiring dengan kata akal. Lain yang difikir, lain pula yang dibuatnya.
“Betul ke keputusan yang aku buat ni?” soal Iqwan lagi.
Key chain pemberian Zafira ditatap. Rasa kasihan menyelinap masuk ke dalam hati. Rasa kasihan terhadap Zafira.
“Aku tak patut lakukannya,” kata Iqwan pula.
Setelah itu, dia menyambung pemanduannya menuju ke rumah. Ada baiknya dia tidak memikirkan tentang itu lagi. Jika difikirkan, pasti akan memeningkan kepalanya. Hanya kepada Allah dia berserah segala-galanya.


DEAR My Dream Husband,

Saya happy dengan kehadiran awak. Terima kasih awak. Saya takkan lupa peristiwa malam ini sampai bila-bila.

                                          Your Future Wife – NZS

Zafira tersenyum. Peristiwa beberapa jam yang lepas bermain-main di tubir mata. Rasa gembira dengan kehadiran Iqwan. Walaupun Iqwan tidak banyak bercakap, dia tidak terasa hati. Yang penting, Iqwan sudi datang makan malam bersama-sama dengannya.
“Zafira!” tegur Aqil dari arah muka pintu bilik.
Zafira tersentak. Dihalakan mata ke arah Aqil yang sedang menapak masuk ke dalam bilik. Senyuman diberikan kepada abangnya itu.
“Kenapa tak tidur lagi?” tanya Aqil, prihatin. Dilabuhkan duduk di birai katil.
“Belum mengantuk lagi, along. Kak long mana?” jawab Zafira, perlahan.
“Kak long ada kat bilik.”
Zafira mengangguk faham. Wajah Aqil ditatap sayang.
“Fira gembira?”
“Gembira? Maksud along?”
“Iqwan!”
“Fira happy, along.”
“Lega hati along dengarnya.”
“Along janganlah risau. Fira janji takkan susahkan hati along dan kak long lagi.”
“Along tetap risaukan Fira. Fira satu-satunya adik along. Arwah ayah amanahkan along untuk jaga Fira.”
Zafira tersenyum. Dihampiri Aqil lalu mendakap tubuh abangnya itu.
“Terima kasih kerana menjaga Fira selama ini. Fira sayangkan along,” ucap Zafira, ikhlas. Ditatap wajah Aqil buat seketika.
“Along doakan Iqwan dapat terima cinta Fira. Along yakin, Iqwan akan jatuh cinta dengan Fira,” beritahu Aqil, lembut.
“Fira tahu. Insya-Allah, Fira takkan berputus asa pikat hati Iqwan,” janji Zafira.
“Along doakan Fira berjaya,” doa Aqil pula. Dieratkan dakapan di tubuh. Sungguh, dia amat menyayangi adiknya itu.
Amylia memandang dari arah muka pintu bilik. Rasa sebak hadir dengan tiba-tiba. Sebak melihat adik-beradik itu.
“Terima kasih Allah. Terima kasih kerana mengurniakan mereka berdua dalam hidup aku. Mereka berdua amat penting dalam hidup aku,” bisik Amylia sendirian. Tingkah laku Aqil dan Zafira masih lagi dipandang.

“Semoga cinta Fira berjaya,” doa Amylia buat Zafira pula.


3 ulasan:

  1. Bahagia ke fira...penerimaan aqil bersebab?sape jadi mangsa dlm kisah ni...tk sabarrrrr...nk amek tau...

    BalasPadam
  2. Bahagia ke fira...penerimaan aqil bersebab?sape jadi mangsa dlm kisah ni...tk sabarrrrr...nk amek tau...

    BalasPadam