Selasa, 25 September 2012

Suara Cinta - Bab 7


BAB 7

“MACAM mana, bang haji?” tanya Hajah Norhayati.
“Macam mana apa?” tanya Haji Marwan, kurang mengerti.
“Nur Edleen!”
“Nur Edleen? Kenapa dengan Nur Edleen?”
Hajah Norhayati menepuk dahi. Gelengan kecil diberikan pada Haji Marwan. “Tentang rancangan abang haji tu lah.”
“Oh, tentang tu. Abang ingatkan apa tadi,” sahut Haji Marwan. “Leen tak bagi jawapan lagi. Jadi, kita tak boleh nak buat apa-apa.”
“Tapi, sampai bila bang haji? Sampai bila kita nak tunggu Leen setuju? Kalau kita tak ambil tindakan, sampai ke tua lah Leen tak setuju,” suara Hajah Norhayati.
Haji Marwan mengeluh ringan. Matanya memandang tepat ke wajah isterinya. Bagaimana untuk menjelaskan kepada Hajah Norhayati akan apa yang dirasakan tentang Nur Edleen ketika ini. Sungguh, Haji Marwan terlalu risaukan Nur Edleen. Risau, jika Nur Edleen akan bertanya pada mereka tentang kisah lima tahun yang lepas. Apa yang membuatkan Haji Marwan semakin risau, jika Nur Edleen bertanyakan tentang kemalangan yang dialami oleh Nur Edleen dahulu. Kemalangan yang hampir meragut nyawa Nur Edleen.
“Kenapa bang haji?” tanya Hajah Norhayati, berkerut. Matanya menatap mesra wajah Haji Marwan. Seakan ada kerisauan pada wajah itu.
“Abang risaukan Leen,” luah Haji Marwan.
“Abang haji risaukan apa?” tanya Hajah Norhayati.
“Entahlah Yati. Hati abang risau sangat-sangat dengan Leen. Kita nampak Leen macam tu, tapi abang tahu, Leen pendam semuanya di dalam hati. Cuba Yati imbas kembali macam mana Leen terima kenyataan lepas kemalangan dulu. Hampir setahun kita pujuk dia untuk terima kenyataan tersebut,” luah Haji Marwan dan mengeluh untuk kesekian kalinya.
Hajah Norhayati sekadar mendengar. Ada benarnya kata-kata Haji Marwan itu. Selama setahun mereka sekeluarga memberi semangat kepada Nur Edleen. Syukur alhamdulillah, Nur Edleen kembali kepada kehidupannya yang asal.
“Insya-Allah bang haji. Sama-samalah kita berdoa untuk kebahagiaan Leen. Yati cadangkan kita kenalkan mereka berdua dulu. Bila kedua-duanya dah kenal, baru kita buat keputusan,” cadang Hajah Norhayati.
“Elok juga tu. Abang harap Leen setuju dengan cadangan kita. Abang pun dah bincangkan dengan kawan baik abang tu. Buat permulaan, apa kata kita jemput pihak sana makan malam kat rumah kita ni,” sokong Haji Marwan dan tersenyum.
“Yati ikut aje bang haji mana yang terbaik buat Leen,” kata Hajah Norhayati turut tersenyum.
Haji Marwan mengangguk kecil. Senyuman masih terbias di wajah. Semoga apa yang dirancangkan oleh mereka menjadi kenyataan. Apa yang penting bagi mereka adalah kebahagiaan Nur Edleen, tidak lebih dan tidak kurang.


NUR EDLEEN mengeluh berat. Matanya hanya memandang Edzuary yang sedang berjalan di hadapannya. Sudahlah hatinya sakit disebabkan syarat merepek Edzuary, bertambah kesakitan di hati tatkala Edzuary memaksanya mengikut lelaki itu selepas waktu bekerja. Jika diikutkan hati, mahu sahaja dia membelasah Edzuary. Baru dia tahu siapa aku nanti, bisiknya.
“Yang awak berjalan terkedek-kedek macam itik ni, kenapa?” tegur Edzuary, keras.
Terhenti langkah Nur Edleen dek kerana teguran itu. Tajam matanya ke wajah selamba Edzuary. Senyuman sinis turut terbias di bibir lelaki itu.
“Nak protes? Saya korek bijik mata awak tu baru awak tahu. Sekarang awak dah tahu langit tu tinggi atau rendah, kan? So, lepas ni jangan nak main-main dengan saya,” sambung Edzuary  lagi. Dia tersenyum sinis sambil matanya memandang tepat ke wajah Nur Edleen.
Hisy, ini sudah lebih. Aku tonyoh mulut tu dengan cili baru tahu. Suka hati dia aje nak kritik cara aku berjalan, marah Nur Edleen di dalam hati. Tak apa, aku nak tengok sejauh mana kemenangan kau tu. Tunggulah kau, sekejap lagi kenalah kau dengan aku, azamnya pula.
“Eh.. mana ada saya protes. Lagi satu, encik tahu ke langit tu tinggi atau rendah? Sejak saya lahir sehinggalah sedewasa ini, apa yang saya tahu, langit tu memang tinggi dan tak  rendah pun,” jelas Nur Edleen bernada sindiran. Senyuman sinis terbias di wajah.
Edzuary mengerutkan dahi. Ingin mengenakan Nur Edleen, dia yang terkena balik. Ternyata, Nur Edleen bukan calang-calang orang untuk diperkotak-katikkan. Tanpa membalas, segera dilajukan langkah meninggalkan Nur Edleen.
“Encik.. marah ke?” tanya Nur Edleen sebaik sahaja menyaingi langkah Edzuary. “Encik, tak baik tau marah-marah, nanti muka encik tu cepat tua,” sambungnya. Dia mengekek ketawa di dalam hati melihat riak mencuka Edzuary. Pasti, Edzuary terasa disindir. Padan muka!
Edzuary tidak menghiraukan kata-kata Nur Edleen. Dilajukan langkah agar Nur Edleen tidak menyainginya. Namun, selaju mana langkahnya, Nur Edleen tetap berjaya menyaingi.
“Isteri encik apa khabar? Anak lelaki ke perempuan?” tanya Nur Edleen, prihatin.
Terhenti langkah Edzuary mendengar pertanyaan Nur Edleen itu. Tajam matanya ke wajah selamba Nur Edleen. “None of your business!”
Nur Edleen menggaru kepalanya yang bertudung. Matanya menghantar langkah Edzuary. “Tanya soalan pun tak boleh ke? Susah betul dapat bos yang suka berubah angin ni,” omelnya sendirian. “Eh, bos… tunggu!” laungnya pula dan melajukan langkah.


“HISY, aku ingatkan dia nak bawa aku ke mana. Rupa-rupanya dia nak bawa aku ke kolam ni. Buat penat aku ajelah ikut dia,” rungut Nur Edleen sendirian. Dilabuhkan duduk di atas rumput nan hijau sambil membuang pandang ke arah kolam pancing ikan Sungai Kandis yang terbentang luas di hadapan matanya. Terasa tenang dan damai Nur Edleen rasakan ketika ini. Terasa lapang dadanya juga. Semenjak dua menjak ini, fikirannya asyik memikirkan permintaan Haji Marwan. Bagaimana untuk mengelak dari mengikut permintaan tersebut?
“Nah!” sergah Edzuary, seraya menghulurkan sebatang joran kepada Nur Edleen.
Tersentak Nur Edleen dengan huluran Edzuary. Bulat matanya memandang joran tersebut. Bingkas, dia bangun dari duduknya. “Untuk apa?”
“Main skipping!” Selamba Edzuary menjawab dan berkira untuk beredar dari situ. Boleh pulak tanya lagi. Tentulah nak pancing. Bengap betul! Kutuk Edzuary di dalam hati.
“Main skipping? Boleh ke encik? Setahu saya, joran ni untuk pancing ikan, bukannya main skipping,” terang Nur Edleen, lurus.
“Dah tahu untuk pancing, yang awak tanya lagi tu, kenapa?” geram Edzuary.
Nur Edleen tersengih. Sengaja mengusik Edzuary. Sengaja buat-buat bodoh. Jauh dia sudut hati, dia suka melihat senyuman di bibir Edzuary. Kadang kala hatinya bertanya, kenapa lelaki itu sukar untuk melemparkan senyuman? Lelaki itu sering dilihat termenung dan berkhayal. Apa yang dimenungkan oleh Edzuary selama ini? Ingin sahaja Nur Edleen bertanya kepada Edzuary, tetapi siapalah dia untuk masuk campur dalam urusan Edzuary. Tak pasal-pasal dicop penyibuk pula oleh Edzuary nanti.
“Err… encik!” panggil Nur Edleen, lembut.
Edzuary hanya berdehem. Matanya diluruskan ke hadapan sambil memberi tumpuan sepenuhnya pada joran.
“Saya… saya… saya tak pandai pancing ikan.” Jujur Nur Edleen berkata.
“Mustahil tak tahu,” bidas Edzuary.
“Betul encik. Saya memang tak pandai nak pancing ikan dalam kolam. Saya pandai pancing kat pasar aje. Lagi besar encik. Macam-macam jenis ada. Yang kecik, yang besar, hitam, putih, merah, warna-warni, semua ada. Encik pancing aje kat pasar tu. Harga pun murah juga. Kalau encik tak tahu nak pilih, encik boleh bawa saya ke sana,” cerita Nur Edleen, bersungguh. Dia yang sudah duduk bersila di sebelah Edzuary hanya memerhati lagak Edzuary yang sedang menarik joran. Kagum sebentar dia melihatnya.
“Yang awak duduk tercanguk kat sini, kenapa? Pergilah pancing kat sana,” arah Edzuary, keras. Rasa segan dan malu tatkala Nur Edleen memerhatikan tingkahnya.
“Tapi… saya tak tahu,” beritahu Nur Edleen.
“Saya tak peduli. Saya nak, sekurang-kurang awak dapat pancing seekor ikan. Selagi tak dapat, selagi itulah awak kena duduk kat kolam ni,” kata Edzuary bernada arahan.
Nur Edleen segera bangun dari duduknya. Sakit telinganya mendengar arahan Edzuary itu. Rasa nak tonyoh-tonyoh saja muka Edzuary, Nur Edleen rasakan. Tanpa membalas kata-kata Edzuary, dicapai joran dan beredar dari situ. Dicebikkan muka dan menjulurkan lidah ke arah Edzuary. Suka hati dia aje nak buat aku macam ni. Tunggu kau, aku buktikan yang aku boleh memancing, kata hati Nur Edleen.
Edzuary hanya tersenyum. Dalam kedegilan Nur Edleen ada kelembutannya juga. Jika dia tidak berbuat begitu, dengan mudah Nur Edleen akan mengambil kesempatan ke atas dirinya. Malah, Nur Edleen juga akan mempermain-mainkannya seperti yang berlaku di rumah Mak Zainab dahulu. Rasa sakit hati masih lagi bersisa. Mungkinkah rasa sakit itu akan lenyap dari dalam hatinya, Edzuary tidak ada jawapan untuk itu.


“ASSALAMUALAIKUM pak cik!” tegur Nur Edleen, ramah.
“Waalaikumussalam. Ada apa nak?” balas pak cik yang bernama Zahid itu.
“Ikan ni pak cik tangkap ke? Kalau jual berapa harganya?” tanya Nur Edleen sambil mengunjuk ke arah ikan yang dimaksudkannya itu.
“A’ah nak, pak cik tangkapnya tadi. Harga ikan ni, ikut harga berat. Kalau tak silap pak cik, sekilo dalam RM 23,” jawab Pak Zahid dan tersenyum.
“Err.. mahalnya pak cik. Best sangat ke ikan ni?” tanya Nur Edleen, lurus.
“Mahal nak. Bukan senang nak dapat ikan ni. Kat mana-mana pasar belum tentu ada,” cerita Pak Zahid, bersungguh. “Cuba tengok saiz ikan ni, besar, kan?” tambahnya lagi.
Terangguk-angguk Nur Edleen mendengarnya. Kagum sebentar dia melihat Pak Zahid. Hebat betul pak cik ni dapat tangkap ikan sebesar ni. Kalau aku beli dan tunjukkan pada mamat tu, mesti dia percaya punyalah, bisik Nur Edleen, nakal.
“Kalau saya beli ikan ni, boleh tak pak cik?” tanya Nur Edleen, sekadar mencuba.
Pak Zahid mengerutkan dahi. Matanya menjamah wajah bersih Nur Edleen.
“Saya tak pandai memancing. Dah sejam saya tunggu, satu ikan pun tak lekat. Agaknya, ikan tu takut dengan saya kut,” beritahu Nur Edleen tanpa dipinta. Wajahnya beriak sedih. Sekadar menagih simpati dari Pak Zahid.
“Anak ikut cara tak betul kut. Kalau memancing ni kena ada tekniknya,” kata Pak Zahid.
“Serius pak cik, saya memang tak pandai memancing. Bos saya yang ajak saya datang ke sini. Tu ha… bos saya, pak cik,” balas Nur Edleen sambil menunjuk ke arah Edzuary.
Pak Zahid memandang ke arah yang ditunjukkan. Dia mengangguk kecil tatkala melihat Edzuary yang sedang memancing tidak jauh dari mereka berdiri. Kemudian, dijatuhkan matanya ke wajah sedih Nur Edleen. Kasihan pula dia melihatnya. Terdetik rasa ingin menolong Nur Edleen ketika itu.
“Baiklah, pak cik jual ikan ni pada anak,” kata Pak Zahid, mengalah.
Bersinar-sinar wajah Nur Edleen mendengarnya. Lantas, tangan Pak Zahid dicapai dan ucapan terima kasih meniti di bibirnya. Sungguh, tidak meyangka Pak Zahid akan menjual ikan tersebut kepadanya.


NUR EDLEEN melangkah jalan menuju ke arah Edzuary. Bibirnya menguntum senyuman sedari tadi. Gembira di hati hanya Allah sahaja yang tahu. Bukannya apa, dia gembira kerana tidak perlu bersusah payah menunggu ikan memakan umpannya. Dengan wajah simpati, dia dapat memujuk Pak Zahid agar menjual ikan kepadanya. Dengan rasa bangga Nur Edleen membawa ikan tersebut kepada Edzuary.
“Ehem.. ehem..” dehem Nur Edleen.
Edzuary tersentak. Segera dihalakan matanya ke wajah Nur Edleen yang sedang tersenyum. Apasal minah ni tersenyum sumbing? Tanya hatinya.
“Dah give up?” tanya Edzuary seakan menyindir.
“Eh.. mana ada saya give up. Jangan-jangan bos yang dah give up,” bidas Nur Edleen dan mengangkat kening.
“Saya… saya give up. Tolong sikit. Selama saya memancing, belum pernah lagi saya give up. Sekurang-kurangnya, saya akan dapat dua tiga ekor ikan kalau memancing,” balas Edzuary penuh bangga.
Nur Edleen mencebik. Meluat mendengar kata-kata bangga Edzuary. Matanya mengintai bakul yang berada di sisi Edzuary, ternyata kosong. Huh! Nak berlagak dengan aku. Satu ikan pun tak ada. Dua tiga ikan konon. Boleh jalanlah! Kutuk Nur Edleen di dalam hati.
So?” tanya Nur Edleen.
So apa?” tanya Edzuary, berkerut.
“Mana ikannya?” tanya Nur Edleen lagi.
“Ada.. ada.. saya suruh orang simpankan ikan tu,” jawab Edzuary sambil cuba mengawal suara agar tidak bergetar.
“Oh.. orang simpan,” ulang Nur Edleen dan mengangguk. Nak tipu aku konon. Ingat aku ni bodoh ke, bisiknya pula.
“Yang awak sibuk tanya saya ni, kenapa? So, mana ikan awak?” tanya Edzuary. Tidak mahu diasak dengan persoalan lagi. Takut temberangnya akan pecah.
“Ikan saya?” ulang Nur Edleen.
“Mesti tak ada, kan?” ejek Edzuary dan tersenyum sinis.
Huh! Nanti kau. Mesti terbeliak mata kau tengok ikan aku ni nanti, kata hati Nur Edleen.
“Sudahlah Nur Edleen. Baik awak pergi tunggu joran awak tu. Takut kena tarik dek ikan jaws pulak,” seloroh Edzuary bernada ejekan.
Nur Edleen tersenyum manis. Tanpa membalas, dibawa ikan ke hadapan dan ditayangkan di hadapan mata Edzuary. Terbeliak mata Edzuary dilihatnya.
“Taraaaa…. besar tak ikan saya ni Encik Edzuary Safuan Erizal Hanif,” kata Nur Edleen penuh bangga. Ditayang-tayangkan ikan itu di hadapan mata Edzuary. Walaupun ikan itu berat, namun demi untuk memalukan Edzuary, dia sanggup membawa ikan itu dengan sendirinya.
“Awak…”
“Kenapa? Tak percaya? So, jangan pandang saya sebelah mata. Saya ni terror pancing ikan. Bukan setakat ikan kat kolam ni saja saya pandai, kat pasar tu pun saya pandai juga, kalau encik nak tahu,” terang Nur Edleen dan tersenyum bangga.
Edzuary mendengus kasar. Ternyata, dia kalah dalam pertaruhan itu. Dia menolak ikan yang dipegang oleh Nur Edleen. Sakit hatinya melihat senyuman di bibir Nur Edleen. Jika diikutkan hati, mahu sahaja dia beredar dari situ. Namun disabarkan hati agar tidak berbuat begitu demi menjaga air mukanya sendiri.
“Kenapa? Dah tak sudi nak tengok ikan saya ni ke?” tanya Nur Edleen seakan menyindir.
“Huh! Awak ingat saya heran ke? Saya boleh dapat lagi besar dari ini la,” bidas Edzuary tidak mahu mengalah.
Well! It’s up to you. Apa yang pasti, saya dah menang,” ejek Nur Edleen.
Edzuary mendengus geram. Dia menolak kuat ikan yang masih dipegang oleh Nur Edleen. Tanpa disengaja, ikan itu terjatuh ke bawah dan hampir di tepi kolam. Membuntang mata Nur Edleen melihatnya.
Aduh! Suka hati dia aje nak tolak ikan aku tu. Dahlah mahal aku belinya, habis duit belanja dapur yang aku simpan untuk bulan ni, rungut Nur Edleen.
“Encik, kalau marahkan saya, janganlah marahkan ikan tu. Kesian, kena tolak dari encik. Tak pasal-pasal, lebam badan ikan tu,” ujar Nur Edleen berwajah sedih. “Encik, tolonglah ambil ikan tu balik,” pintanya, sayu.
“Peduli apa saya. Awak ambillah sendiri,” balas Edzuary tidak mahu mengalah.
“Encik ni, tak baik tau. Kesian ikan tu encik buat dia macam tu. Nanti dibuatnya keluarga dia datang mencari, macam mana? Encik kan bakal jadi bapa, so, mesti encik faham perasaan berkeluarga,” jelas Nur Edleen bernada rayuan. “Cuba kalau encik di tempat ikan tu, mesti encik dapat rasakan apa yang ikan tu rasakan,” sambungnya lagi.
Edzuary hanya mendengar. Sedikit sebanyak kata-kata Nur Edleen menusuk masuk ke dalam hati. Ada benarnya kata-kata Nur Edleen itu. Tanpa membalas, diatur langkah menuju ke tepi kolam. Dengan perlahan, dia mengambil ikan tersebut. Belum sempat dia mencapai ikan tersebut, kakinya tergelincir dan jatuh ke dalam kolam.
Terhambur ketawa Nur Edleen melihatnya. Sungguh, tidak meyangka Edzuary akan terjatuh ke dalam kolam. Tanpa membuang masa, segera dikeluarkan telefon bimbit dan menangkap gambar Edzuary. Sekadar buat kenangan dan sebagai senjata di masa hadapan.
“Nur Edleen!” jerit Edzuary, geram.
“Oppsss!! Maaf bos, saya tak perasan pun bos kat dalam tu,” balas Nur Edleen dan tersengih. Sengaja menaikkan kemarahan bos besarnya itu.
“Awak nak tolong ke tidak ni?” tanya Edzuary, keras.
“Err… tolong? Nak tolong macam mana encik? Sekejap, saya panggilkan orang keluarkan encik dari dalam kolam tu. Oh ya, apa kata encik mandi-manda kat dalam tu dulu sementara saya panggilkan orang. Bukan senang nak dapat pengalaman untuk kali kedua ni, encik,” beritahu Nur Edleen dan tersengih.
Edzuary mendengus geram. Masuk kali kedua dia terjatuh di dalam air. Pertama, ketika dia memetik kangkung di rumah Mak Zainab dan kali kedua di dalam kolam pancing ikan ini. Sungguh Edzuary merasa malu di hadapan Nur Edleen. Jika boleh disorokkan mukanya, ingin sahaja dia menyorok. Tidak mahu Nur Edleen mengesan rasa malunya itu.


“KAU ni Leen, teruk sangat kenakan dia. Sikit-sikit sudahlah,” tegur Ezzura sekadar nasihat. Seminit kemudian dia tertawa mendengar cerita Nur Edleen itu.
“Orang macam dia tu mana boleh kenakan sikit-sikit. Dia ingat dia bos, boleh buat aku macam tu. So, dia yang terkena dan aku yang mengenakannya,” bidas Nur Edleen dan tertawa.
“Kalau ya pun, takkan kau tak kesian tengok dia berkubang dalam kolam tu. Hari tu dalam parit, kali ni dalam kolam ikan pula. Entah-entah, dia ada sawan air kut. Tak boleh tengok air, mesti teruja lebih,” komen Ezzura dan masih ketawa.
“Sawan air?” ulang Nur Edleen, berkerut. “Betullah kut, dia terkena sawan air. Pantang tengok air, mesti dia terjatuh. Haisey, rugi benar aku tak tangkap gambar dia banyak-banyak buat koleksi,” sambungnya dan tersengih.
“Hai, siap main tangkap gambar nampak. Dalam hati tu dah ada taman untuk encik bos besar ke?” sindir Ezzura dan tersenyum nakal.
“A’ah, taman rashidah utama. Kau nak join aku ke sana tak?” balas Nur Edleen, pura-pura. Bukannya dia tidak mengerti akan maksud tersirat Ezzura itu. Sengaja dia buat-buat bodoh dan tidak mahu Ezzura bercerita tentang hati dan perasaan. Apa yang pasti, hati dan perasaannya masih belum dimiliki sesiapa. Tetapi, kenapa dapat dirasakan hatinya sudah diserahkan pada seseorang. Siapa? Nur Edleen tidak punya jawapan pada persoalan itu. Sudah berkali dia bersoal jawab dengan hatinya. Namun, tetap tidak punya jawapan pada persoalan tersebut. Bagaimana untuk mendapatkan jawapan? Nur Edleen masih memikirkannya.
“Aku cakap yang betul-betul, kau boleh main-main pulak,” geram Ezzura.
“Eh.. aku nak send gambar dia la, okey tak?” kata Nur Edleen. Sengaja menukar topik perbualan. Tidak mahu diasak dengan pertanyaan itu lagi.
Berkerut dahi Ezzura mendengar. Ternyata, Nur Edleen cuba mengelak dari berbincang tentang hati dan perasaan. “Kau ada nombor phone dia ke?”
“Eh.. mestilah ada. Ini Nur Edleen la. Kacang aje kalau bab-bab nombor telefon ni,” jawab Nur Edleen dengan riak bangga.
“Kau curi dari mana?”
“Aku tak curi la. Aku dapatkan dari Karmila.”
“Dia ada nombor kau tak?”
“Mestilah ada. Kalau tak ada, takkan dia boleh call aku minta aku ikut dia lepas kerja tadi. Dia minta dari Karmila. Aku sendiri yang tanya pada Karmila,” beritahu Nur Edleen. “Nasib baik dia nak hantarkan aku balik lepas dia kalah tadi, kalau tidak, tak pasal-pasal, kau yang jadi mangsa ambik aku kat kolam tu,” sambungnya dan tersengih.
“Hurm, nasib baik, kan?” sahut Ezzura dan mencebik. “Eh, cepatlah hantar. Aku nak tengok apa dia balas,” gesanya, teruja.
“Tak guna punya kawan. Tadi, beria-ria nasihat aku berbagai. Last-last, dia pun nak tumpang sekaki. Tak malu betul!” cebik Nur Edleen, meluat.
Ezzura hanya tersengih. Matanya ralit melihat tingkah Nur Edleen yang sedang mencari gambar Edzuary di fail manager dari dalam handphone. Setelah berjumpa, Nur Edleen menunjukkan gambar tersebut kepadanya. Tergelak dia melihat wajah mencuka Edzuary yang sedang berkubang di dalam kolam ikan.
“Okey done!” kata Nur Edleen dan tertawa. “Kita tunggu balasan dari dia.”
Ezzura hanya mengangguk. Rasa sedikit teruja dengan apa yang dilakukan oleh Nur Edleen. Bukannya dia ingin bersubahat mengenakan Edzuary, sekadar main-main sahaja. Berharap, Edzuary tidak akan salah faham tentang mereka berdua nanti.
Bunyian mesej masuk menyentak mereka berdua. Segera, Nur Edleen membuka kotak mesej dan membaca mesej yang dikirimkan oleh Edzuary.

Delete! Kalau awak tak delete gambar tu, tahulah apa saya nak buat pada awak esok.

“Hahaha… dia ingat aku takut,” kata Nur Edleen dan tertawa.
“Nampak serius aje bunyinya tu,” kata Ezzura pula bernada risau.
“Tak apa, aku balas kejap.” Tanpa menunggu, ditaip kata-kata di dalam handphone. Dia tersenyum selepas siap menaipnya.

Sayang kalau nak deletenya. Saya nak buat kenang-kenangan. Handsome la encik macam tu.  (^__*)

“Wah! Melampau ayat kau ni Leen.”
Belum sempat Nur Edleen membalas, bunyi mesej masuk mengganggunya.

Saya tahulah saya ni handsome. Jangan disebabkan gambar saya tu, tak tidur malam pulak awak nanti. Asyik menatap gambar saya aje.

“Huh! Dia ingat handsome sangat ke sampai aku tak tidur disebabkan dia,” bidas Nur Edleen dan mencebik.
Ezzura sudah tertawa besar. Ingin mengenakan Edzuary, Nur Edleen yang terkena semula. Semoga ada jalan penyelesaian di antara mereka kelak.

Jangan nak perasan!

“Padan muka!” ejek Nur Edleen, geram.
“Tu la. Nak kenakan dia, last-last kau yang terkena. Padan muka kau sebenarnya,” kutuk Ezzura, selamba.
“Sudahlah. Malas aku nak layan kau. Baik aku tidur,” bidas Nur Edleen, seraya bangun. Dia menapak jalan menuju ke bilik. Fikirannya masih memikirkan Edzuary. Sebab apa? Nur Edleen tidak pasti. Semoga tidur malamnya akan lena seperti malam-malam sebelum ini.
Ezzura hanya memandang. Dia menggeleng kecil dengan tingkah Nur Edleen. Sampai bila Nur Edleen akan bersikap begitu? Hatinya tertanya-tanya. Jauh di sudut hati, Ezzura berharap agar Nur Edleen dapat menerima insan yang bernama ‘lelaki’ di dalam hidupnya nanti.

6 ulasan:

  1. hahahaaa...amik ES, jatuh kolam di buat si NE
    memang gempak cara dia menyakat si ES...
    bestttt....

    BalasPadam
    Balasan
    1. Hehe.. NE mmg nakal.. suka sakat ES.. lps ni ada lg yg disakatkan NE..

      Padam
  2. aduh... nakal ye asyik nak kena kan es je..cian dia

    BalasPadam
  3. sungguh nakal nur.marah tapi bahagia.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Kak Idah.. lama x npk akak komen.. a'ah, NE mmg nakal.. tp, ES pn nakal jg.. hehehe..

      Padam