“AWAK tahu apa salah awak, Dalia?” Encik
Zaihan bertanya dalam nada serius.
Dalia menundukkan wajah memandang kaki
sendiri. Dia akui akan kesalahannya.
“Awak tahu atau tidak, Dalia?” Encik
Zaihan mendengus kasar. Wajah Dalia di hadapan dipandang tidak berkelip.
“Sa… sa… yaaa…” Dalia tersekat-sekat.
Tidak tahu untuk membalas.
“Saya apa?” Encik Zaihan meninggikan
sedikit suara.
“Saya tolak lelaki tu sampai jatuh.”
Dalia pantas menjawab. Dia mengurut dada akibat sergahan Encik Zaihan.
“Haa… mengaku pun,” balas Encik Zaihan
lalu menyandarkan tubuh ke kerusi.
“Sumpah, Encik Zaihan. Saya tak sengaja
nak tolak dia. Saya ingat dia curi dokumen tu.” Dalia membela diri. Dia
mengangkat tangan lagak seperti orang bersumpah.
Encik Zaihan berpeluk tubuh.
“Encik Zaihan juga yang kata dokumen tu
penting. Kalau saya hilangkan dokumen tu, Encik Zaihan nak potong gaji saya. So...” Dalia mematikan ayat.
“So?”
Encik Zaihan.
“So,
bila saya nampak dia pegang dokumen tu saya ingat dia yang curi. Sebab dokumen
tu tiba-tiba hilang dari dalam beg sandang saya.” Dalia menjelaskan dalam nada
serius.
Encik Zaihan menghela nafas ringan. Dia
sedang memikirkan sesuatu.
“Err… gaji saya kena potong ke encik?”
Dalia sekadar ingin tahu.
Encik Zaihan yang mendengar memandang
ke wajah Dalia.
“Saya dah hantar dokumen tu seperti
yang Encik Zaihan arahkan. So, gaji
saya tak dipotong, kan?” Dalia menanti balasan daripada Encik Zaihan. Dia
berdoa agar gajinya tidak dipotong.
“Hurm…” Encik Zaihan masih berfikir.
“Tolonglah, encik. Saya banyak hutang.
Bukan keliling pinggang dah. Keliling rumah sekali.” Dalia merayu berserta riak
kasihan.
“Baik! Saya tak akan potong gaji awak.
Tapi…”
“Alhamdulillah!” pintas Dalia sambil
meraup wajah. Dia beriak ceria.
“Tapi…” Encik Zaihan menekan suara.
“Tapi apa?”
“Saya nak awak…”
“CISHH!!! Tak guna punya bos. Kalau aku tahu
macam ni jadinya, baik kau potong saja gaji aku tu.” Dalia membentak bengang.
Dia menggenggam erat pen.
“Cishh!!! Cishh!!!” Dalia menikam-nikam
pen di atas kertas. Geram dengan arahan Encik Zaihan sebentar tadi.
“Hai, marah nampak?” Sakinah menegur.
Di tangannya segelas air.
Dalia menoleh ke arah Sakinah. Dia
merampas gelas dari tangan Sakinah lalu meneguk air dari dalam gelas tersebut.
Bahang panas di tubuhnya semakin berkurangan.
“Air Kak Ki…” Belum sempat Sakinah
menegur Dalia sudah pun meneguk habis airnya. Dia tergamam seketika.
Dalia meletakkan gelas di atas meja.
Dia sedikit lega.
“Kau marahkan siapa? Serius nampaknya
Kak Kinah tengok.” Sakinah bertanya. Dia melabuhkan duduk di atas kerusi.
Airnya habis diminum oleh Dalia.
“Bos kesayangan Kak Kinah tu la.” Dalia
membalas. Dia menggenggam erat tangan.
“Pasal apa?”
“Pasal… haish! Nak cerita pun malas.”
“Kalau malas tak payah cerita,” putus
Sakinah. Dia meneruskan kerja.
Dalia yang mendengar tersengih. Dia
memikirkan sesuatu.
“Kau tak ada kerja ke?” Sakinah menegur
tatkala Dalia tidak berganjak dari tempatnya.
“Ada Kak Kinah,” balas Dalia masih
berfikir.
“So,
pergilah buat kerja kau. Yang kau melangut
macam kera sumbang kat sini tu dah kenapa?” Sakinah menghalau. Tumpuannya untuk
membuat kerja sedikit terganggu.
Dalia mencebik meluat. Dia beredar dari
situ menuju ke sofa. Dia sedang memikirkan sesuatu. Bagaimana untuk mengelak
daripada gajinya dipotong?
“Ha.. awak buat apa lagi kat sini
Dalia? Kan saya suruh awak pergi minta maaf pada Encik Rafiq tu.” Encik Zaihan
menegur. Dia menghampiri Dalia di sofa.
Dalia yang baru hendak melabuhkan duduk
terkejut dengan teguran Encik Zaihan. Dia tersengih kepada bosnya itu.
“Duit bos.” Dalia menghulurkan tangan
meminta.
“Duit? Awak minta duit daripada saya?”
Encik Zaihan sedikit bengang.
“Buat beli bunga. Beli buah. Kan nak
pergi minta maaf.” Dalia memberi alasan. Dia masih menghulurkan tangan meminta.
“Dah! Dah! Jangan nak mengada-ngada.
Awak nak saya potong gaji awak ke tidak?” Encik Zaihan mengugut. Dia mendengus
kasar.
“Iya la… iya la… saya pergi sekarang.
Kedekut tahi hidung masin la bos ni.” Dalia membebel. Dia mencapai topi keledar
dari atas meja.
“Haa… membebel. Melawan saya. Nak kena
potong gaji?”
“Bos ni… sikit-sikit nak ugut potong
gaji. Kesian la kat saya anak yatim piatu ni.”
“Dah… pergi! Kalau awak tak nak pergi,
saya potong gaji awak.”
“Iya la. Saya pergi. Saya pergi.” Dalia
mendengus kasar. Dia beredar dari situ.
Encik Zaihan hanya memandang. Dia
menggeleng dengan tingkah laku Dalia. Gadis itu suka melawan arahannya.
Setelah itu, dia segera masuk ke dalam
bilik pejabat. Banyak kerja yang perlu diselesaikan. Jauh di sudut hati, dia
sentiasa mendoakan agar Dalia hidup seperti yang dimahukannya.
“SAYA minta maaf, Encik Rafiq.” Azie meminta
maaf. Dia berasa bersalah atas apa yang berlaku kepada bosnya itu.
“Tak apa, Azie. Awak tak perlu rasa
bersalah,” balas Rafiq berserta senyuman di bibir.
Azie tersenyum hambar. Rasa bersalah
masih menghuni dalam hati.
“Awak, okey?” Rafiq bertanya. Wajah
gadis itu dipandang seketika.
“Okey, Encik Rafiq.” Azie turut
membalas pandangan.
“Tak ada yang cedera?”
“Tak ada, Encik Rafiq.”
“Baguslah!”
Azie memandang ke wajah Rafiq. Pemuda
itu beriak tenang. Kemudian, dijatuhkan mata ke arah tangan yang berbalut.
Akibat jatuhan tadi, tangan Rafiq mengalami kecederaan.
“Kalau tak ada apa lagi, awak boleh
keluar,” arah Rafiq bernada tegas.
“Baiklah, Encik Rafiq.” Azie beredar
dari bilik itu. Dia melepaskan nafas lega.
Rafiq hanya mengangguk dan memandang.
Dia menyandarkan tubuh ke kerusi. Peristiwa sebentar tadi menyapa mata ketika
ini.
“Kelakar!” sebutnya spontan. Wajah
gadis yang menolaknya sehingga jatuh menyapa mata pula.
“Comel!” pujinya pula. Senyuman terukir
di bibir.
“Siapa yang comel?” tegur seseorang
dari arah muka pintu bilik.
Rafiq tersentak. Dia menghalakan mata
ke arah yang menegur. Wajah Puan Raihan menyapa mata.
“Siapa yang comel?” tanya Puan Raihan
sambil melangkah masuk ke dalam bilik.
“Err… tak ada siapa.” Rafiq bangun dari
duduk. Dia menelan air liur sendiri.
Puan Raihan memandang ke wajah Rafiq
buat seketika.
“Ada hal apa mama datang ke pejabat
ni?” Rafiq memberanikan diri untuk bertanya.
“Kenapa? Mama tak boleh datang jumpa
dengan Raf ke?” Puan Raihan pula bertanya. Menduga anaknya itu. Dia melabuhkan
duduk di atas sofa.
“Apa pula tak boleh? Boleh. Cuma Raf
terkejut dengan kedatangan mama ke office
ni.” Rafiq membalas. Dia bangun dari duduk lalu menghampiri Puan Raihan di
sofa. Tangan mamanya itu dicium lembut. Kemudian, dia duduk berhadapan dengan
Puan Raihan.
“Mama ada perkara nak bincang dengan
Raf.”
“Perkara? Perkara apa?”
“Kenapa dengan tangan Raf?” Puan Raihan
bertanya tatkala terpandangkan balutan di tangan anaknya itu.
“Terluka sikit. Raf minta Fazrin
balutkan.” Rafiq menjelaskan. Dia memandang tangan sendiri.
“Kenapa tak pergi klinik?”
“Err… balik nanti la Raf singgah
klinik.”
Puan Raihan yang mendengar mendengus
kasar.
“Mama kata ada perkara nak bincang
dengan Raf. Apa dia?” Rafiq menukar topik. Tidak mahu membincangkan tentang
tangannya itu. Jika tidak, sampai bila-bila pun isu tangannya tidak akan habis.
Puan Raihan menghela nafas ringan. Dia
berkira-kira untuk memberitahu Rafiq.
“Mama?” Rafiq menegur.
“Nanti la mama cakap dengan Raf. Mama
ada hal. Mama pergi dulu.” Puan Raihan bangun dari duduk. Dia beredar dari
ruangan itu.
Rafiq turut sama bangun. Dia memandang
pemergian Puan Raihan berserta kerutan di dahi. Perkara apa yang hendak
dibincangkan oleh Puan Raihan dengannya?
“ADUH!” adu Puan Raihan tatkala tubuhnya
dilanggar seseorang. Dia terjatuh ke lantai.
“Kurang ajar!” marah Puan Raihan
tatkala orang yang melanggarnya pergi tanpa meminta maaf. Dia segera bangun
dari jatuhan.
“Hey, kamu! Berhenti!” arah Puan Raihan
sedikit meninggi.
Dalia yang mendengar lantas mematikan
langkah. Dia menoleh mencari suara yang memanggil.
“Kamu! Aku suruh berhenti!” Puan Raihan
masih meninggi. Wajah gadis di hadapannya dipandang tajam.
“Puan panggil saya ke?” Dalia bertanya
seakan orang bodoh.
“Ya, kamu! Aku panggil kamu. Siapa lagi
yang ada kat sini selain daripada kamu?” Puan Raihan mndengus kasar. Dia
mengibas kotoran di baju.
Dalia melangkah menghampiri Puan
Raihan. Dia berkerut dahi melihat wanita itu.
“Mana adab kamu? Langgar orang tanpa
minta maaf,” tegur Puan Raihan bernada kasar.
“Langgar? Saya?” Dalia bertanya sambil
mengunjuk ke diri sendiri.
“Kamu! Siapa lagi?” Puan Raihan hilang
sabar.
Dalia melilaukan mata melihat
sekeliling. Ternyata tidak ada orang lain melainkan mereka berdua.
“Mak bapa kamu tak ada ajar adab dengan
kamu? Dah langgar orang. Lepas tu terus pergi macam tu saja?” tegur Puan Raihan
lagi. Masih tidak berpuas hati.
“Hai, lebih nampak.” Dalia menjeling
tajam. Main mak bapa pula orang tua ni. Dalia merengus dalam hati.
“Kamu nak minta maaf ke tidak?” tanya
Puan Raihan sambil berpeluk tubuh.
“Kalau saya tak nak, macam mana?” tanya
Dalia berani. Wanita itu tidak patut dilayan dengan baik.
“Kurang ajar! Kamu tahu nasib kamu
nanti.”
“Puan ugut saya?”
“Kamu belum kenal siapa saya lagi. Tahu
la nasib kamu nanti.”
“Sedikit pun saya tak takut dengan
ugutan puan. Saya lebih takutkan Allah daripada puan.”
Puan Raihan yang mendengar menggenggam
erat tangan. Wajah Dalia yang beriak selamba
dipandang tajam.
“Saya tengok puan tak ada cedera pun. So, kalau tak ada apa-apa lagi yang puan
nak bebelkan pada saya, ada baiknya kita ikut haluan masing-masing.” Dalia
bersuara berserta senyuman sinis. Tanpa menunggu, dia beredar dari situ.
“Hey, kamu! Berhenti! Berhenti aku
kata!” marah Puan Raihan tidak tertahan. Dia memandang pemergian Dalia sehingga
hilang di sebalik pintu lift.
“Kurang ajar! Tak ada adab! Tunggu kau.
Kalau aku jumpa dengan kau lagi, tahu la nasib kau tu.” Puan Raihan merengus
kasar. Sakit hatinya melihat tindakan Dalia. Ikutkan hati marahnya tadi, mahu
ditampar gadis itu sebelum pergi.
“Siap kau nanti!” Puan Raihan
menggenggam erat tangan. Setelah itu, dia beredar dari situ. Dia perlu berjumpa
dengan seseorang.
“Puan! Puan! Nanti dulu!” panggil Dalia
dari jauh.
Puan Raihan yang mendengar mematikan
langkah. Dia menoleh ke arah suara yang memanggil. Wajah Dalia menyapa mata.
“Nanti dulu puan!” arah Dalia sambil
berlari anak menghampiri Puan Raihan.
“Huh! Baru dia tahu siapa aku yang
sebenarnya,” kata Puan Raihan berserta cebikan di bibir. Dia menanti Dalia
menghampirinya.
Dalia menghentikan langkah. Dia
menstabilkan pernafasan buat seketika.
“Kenapa? Kau dah sedar dengan kesalahan
kau tadi?” tanya Puan Raihan sambil berpeluk tubuh. Dia menanti Dalia
menstabilkan pernafasan.
“Puan kena bayar saya,” balas Dalia
setelah nafas reda.
Puan Raihan yang mendengar berkerut
dahi.
“Ini… ini… puan kena bayar saya.” Dalia
mengunjuk sesuatu kepada Puan Raihan.
Puan Raihan memandang ke arah yang
ditunjuk. Buntang matanya melihat kesan koyakan di pakaian Dalia.
“Sebab handbag mahal puan tu la baju saya habis koyak. So, saya nak minta ganti rugi baju saya
yang terkoyak ni,” jelas Dalia berserta sengihan di bibir.
“What?!”
Puan Raihan terkejut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan