AZIE memandang tajam ke wajah Dalia. Gadis
itu tidak faham bahasa. Sudah dijelaskan namun gadis itu tidak juga beredar
dari pejabat. Peristiwa semalam masih tidak dilupakan. Disebabkan Dalia, Rafiq
mengalami kecederaan di tangan.
Mujurlah Rafiq bersetuju untuk ke
klinik dan kecederaan yang dialami pemudia itu tidak serius. Jika tidak, dia
akan berasa menyesal kerana membenarkan Dalia masuk ke dalam pejabat semalam.
“Ehem…” Dalia berdehem. Dari tadi dia
melihat Azie termenung.
Azie tersentak. Dia mengemaskan
penampilan.
“Bos awak tu lambat lagi ke nak masuk?”
tanya Dalia ingin tahu.
“Entah! Mana la aku tahu,” jawab Azie
acuh tidak acuh.
“Tak tahu?” ulang Dalia berserta
kerutan di dahi.
“Kau ingat aku ni jaga tepi kain dia
ke? Sibuk nak tahu ke mana dia pergi.” Azie menjeling tajam.
“So?
Kau buat kerja apa kat sini?”
“Aku…”
“Oh! Penyambut tetamu,” pintas Dalia
sambil mengangguk faham.
Azie menggenggam erat tangan. Tajam
matanya ke wajah selamba Dalia.
“Morning!”
tegur Rafiq dengan tiba-tiba.
Azie dan Dalia tersentak. Masing-masing
menghalakan mata ke arah Rafiq.
“Selamat pagi, Encik Rafiq,” ucap Azie
bernada lembut dan manja.
Dalia yang mendengar mencebik. Geli
telinganya mendengar suara mengada Azie.
“Cik?” Rafiq menegur Dalia tatkala
terpandang wajah gadis itu.
“Assalamualaikum, encik,” sapa Dalia
sambil mengangkat tangan.
“Waalaikumussalam,” balas Rafiq
berserta senyuman di bibir. Tidak menyangka yang dia akan bertemu dengan gadis
itu lagi.
“Boleh jumpa sekejap tak?” tanya Dalia
selepas itu.
Azie yang mendengar berkerut dahi.
“Ada perkara nak cakap.” Dalia menanti
jawapan daripada Rafiq.
“Cik kena buat appointment dulu sebelum nak…”
“Boleh! Kita masuk ke dalam,” suara
Rafiq. Ada nada teruja pada suaranya itu. Seminit kemudian, dia melangkah masuk
ke dalam bilik pejabat.
Azie hanya memandang. Dia mendengus
kasar melihat Dalia masuk ke dalam bilik bersama dengan Rafiq.
“Haish! Melampau betul minah tu,”
rengus Azie, geram.
“Cik boleh tolong bawakan segelas air
ke dalam?” pinta Dalia berserta sengihan di bibir. Kemudian, dia masuk ke dalam
bilik.
“Kurang ajar!” Azie menggenggam erat
tangan. Sakit hatinya mendengar permintaan Dalia. Tajam matanya memandang
pemergian gadis itu.
“Ingat aku ni kuli kau ke apa? Suka
hati nak mengarah aku,” bebel Azie.
Tanpa rela, dia melangkah menuju ke pantry. Ada baiknya dia akur dari
membantah. Dia tidak mahu menjatuhkan imejnya di hadapan Rafiq.
“WOW! Menarik dan tertarik,” puji Dalia
sebaik sahaja masuk ke dalam bilik pejabat Rafiq. Melilau matanya melihat
keadaan bilik Rafiq.
Rafiq tersenyum. Dia melabuhkan duduk
sambil memandang tingkah laku Dalia.
“Encik lukis ke semua ni?” Dalia
menyentuh gambar lukisan di dinding. Dia tertarik melihat lukisan tersebut.
“Tak. Adik saya yang lukis.” Rafiq
memandang ke wajah Dalia.
“Pandainya adik encik melukis.” Dalia
masih memuji. Dia menoleh ke wajah Rafiq.
Rafiq hanya tersenyum. Tidak dinafikan
yang Ziqri pandai melukis. Tetapi, semua itu hanya tinggal kenangan. Sejak dari
kejadian itu, Ziqri berhenti melukis.
“Cik nak cakap apa dengan saya?” Rafiq
bertanya akan tujuan Dalia ke pejabatnya.
“Oh! Lupa pula.” Dalia menghampiri
kerusi. Dia melabuhkan duduk di situ.
“Hal apa?”
Dalia mengeluarkan telefon bimbit. Dia
mencari folder record. Setelah
berjumpa, dia meletakkan telefon bimbit di atas meja.
Rafiq yang melihat berkerut dahi.
“Encik boleh tak maafkan saya?”
“Maaf? Pasal apa?”
“Kes semalam tu. Disebabkan saya,
tangan encik…” Dalia mematikan ayat. Dia memandang balutan di tangan Rafiq.
“Hal kecil saja, cik. Tak perlulah diperbesarkan.”
Rafiq turut sama memandang tangannya yang berbalut.
“Kecil bagi encik tapi besar bagi
saya.”
Rafiq berkerut. Dia kurang faham.
“Kalau encik tak maafkan saya, gaji
saya kena potong.”
“Potong gaji?”
Dalia mengangguk laju. Dia memandang ke
wajah Rafiq di hadapan.
“Takkan sampai macam tu sekali?” Rafiq
sedikit terkejut.
Dalia tidak membalas. Dia bangun dari
duduk lalu menghampiri Rafiq di kerusi. Dia merapatkan wajahnya ke telinga
Rafiq.
Rafiq hanya memandang. Tingkah laku
Dalia yang sedang menghampirinya menghadirkan rasa debaran di dada.
“Kalau encik nak tahu, bos saya tu
kedekut orangnya. Then, dia tu
seorang yang bengis dan pemarah. Kalau saya buat salah sikit, saya akan
dipukul,” bisik Dalia ke telinga Rafiq.
Buntang mata Rafiq mendengarnya. Dia
menoleh ke wajah Dalia meminta kepastian.
“Betul! Kalau encik tak percaya, encik
boleh call pejabat dan tanya pada
staf di situ.” Dalia berkata dalam nada serius. Dia menjauhkan wajah lalu
melangkah ke kerusi semula.
Rafiq melepaskan nafas lega. Disentuh
dadanya yang sedang bergetar hebat.
“So?”
Dalia mengangkat kening.
“Baiklah, saya maafkan awak.” Rafiq
mengalah. Mungkin itu cara yang terbaik agar gaji Dalia tidak dipotong oleh
bosnya.
“Okey! Saya balik dulu.” Dalia bangun
dari duduk. Dia mencapai telefon bimbit dari atas meja lalu dimasukkan ke dalam
beg sandang.
Rafiq yang melihat agak terkejut. Dia
perlu menahan Dalia daripada beredar.
“Ada jodoh kita jumpa lagi,” pamit
Dalia sambil menarik pintu bilik. Dia perlu menyelesaikan satu lagi tugasan.
“Nanti dulu!” Rafiq menahan.
Dalia yang baru hendak keluar mematikan
langkah. Dia menoleh ke wajah Rafiq.
“Dengan syarat.”
“Syarat?”
Rafiq mengangguk. Dia tersenyum kepada
Dalia. Sudah terencana di fikiran bagaimana untuk menghalang Dalia beredar dari
situ. Berharap Dalia bersetuju dengan permintaannya.
DALIA memandang jam di pergelangan tangan.
Masa sudah menunjukkan ke pukul 1.15 petang. Sudah 15 minit dia berada di
restoran itu bersama dengan Rafiq. Terasa kekok dan janggal. Belum pernah lagi
dia keluar makan bersama dengan seorang lelaki seperti ini. Jika ada pun, hanya
bersama dengan Shafiq.
Dalia melepaskan nafas ringan. Rafiq
yang sedang melihat buku menu dipandang seketika. Pemuda itu kelihatan tenang
dan bersemangat. Diamati wajah pemuda itu buat seketika. Hatinya memuji
kekacakan Rafiq.
“Ehem…” Rafiq menegur. Dalia kelihatan
leka memandang wajahnya.
Dalia tersentak. Dia melarikan
pandangan. Pasti Rafiq menyedari tingkah lakunya sebentar tadi.
“Cik nak order apa?” Rafiq bertanya dalam nada lembut.
“Air suam,” balas Dalia berserta
senyuman kecil.
“Air suam?”
“Ya. Air suam. Kenapa encik?”
Rafiq berkerut dahi. Dia menyandarkan
tubuh ke kerusi. Wajah Dalia di hadapan
dipandang. Seminit kemudian, pelayan datang untuk mengambil pesanan.
Dalia menanti penuh sabar.
“Terima kasih,” ucap Rafiq sebaik
sahaja memberi pesanan.
“Err… encik.” Dalia memanggil. Dia
perlu memberitahu Rafiq sesuatu.
“Rafiq Adam. Panggil saya Rafiq saja.”
Rafiq memperkenalkan diri.
“Encik Rafiq.” Dalia mengangguk
perlahan.
“Cik?”
“Dalia.”
“Okey! Cik Dalia.”
“Lama lagi ke kita kat sini?” Dalia
sekadar bertanya. Dia perlu beredar untuk menguruskan sesuatu.
“Kenapa? Cik Dalia ada hal ke?”
“Err…” Dalia menggaru kening.
“Cik Dalia?”
“Saya ada hal yang nak diuruskan.”
“Oh! Penting ke?”
“Peenn…tiii… tinglah juga.”
Rafiq tidak membalas. Dia sedang
memikirkan sesuatu.
Dalia menelan air liur sendiri. Sukar
untuk menduga pemikiran Rafiq. Dia mencapai gelas minuman sebaik sahaja pelayan
meletakkannya di atas meja. Tekak yang terasa kering sudah dibasahkan.
“Baiklah! Tapi, selepas saya habis
makan.” Rafiq tersenyum. Dia menjamah makanan yang sudah pun terhidang.
Dalia menggigit bibir. Tingkah laku
Rafiq yang sedang makan diperhati berserta perasaan tidak tenteram. Dia
mengerling jam di pergelangan tangan. Bila-bila masa sahaja kejadian yang tidak
diingini bakal terjadi.
“Cik Dalia tinggal di mana?” Rafiq
bertanya. Sekadar untuk berkenalan dengan Dalia.
“Tepi jalan.” Dalia selamba membalas.
“Tepi jalan?” ulang Rafiq sedikit
terkejut. Dia memandang Dalia meminta kepastian.
“Eh! Bukan… bukan… maksud saya rumah
saya betul-betul tepi jalan.” Dalia membetulkan kenyataan.
Rafiq ketawa kecil.
“Lama lagi ke Encik Rafiq nak tahan
saya?” Dalia bertanya. Wajah Rafiq dipandang.
Rafiq mematikan ketawa. Dia membalas
pandangan Dalia. Pertanyaan gadis itu dipandang sepi.
“Boleh saya pergi?” Dalia mencuba.
Berharap Rafiq membenarkannya pergi.
“Saaayyyaaannnnggg…” panggil seseorang
dari kejauhan.
Dalia dan Rafiq terkejut. Masing-masing
menghalakan mata ke arah yang memanggil.
“Sayang…” Shafiq memanggil buat kali
yang kedua. Dia melangkah menghampiri Dalia dan Rafiq.
Dalia yang melihat menelan air liur
berkali-kali. Mati aku! Desisnya dalam hati.
“Sorry
sayang. I ada hal tadi. Itu yang lambat.” Shafiq melabuhkan duduk di sisi
Dalia. Dia menstabilkan nafas buat seketika.
Rafiq tergamam seketika.
“Macam mana? Hebat tak lakonan aku?”
Shafiq berbisik ke telinga Dalia.
“Mati aku!” Dalia menepuk dahi sendiri.
“Encik?” Rafiq bersuara. Dia perlu tahu
siapa lelaki itu.
“Shafiq. Pakwe Dalia.” Shafiq memperkenalkan diri. Dia menghulurkan tangan
untuk bersalaman.
“Pakwe?”
Rafiq sedikit terkejut. Dia membalas huluran Shafiq.
“Pakwe
tu boyfriend.” Shafiq tersengih
sambil melepaskan jabatan di tangan.
Dalia memegang kepala. Sakit kepala
datang dengan tiba-tiba.
“Kau yang selalu ganggu Dalia, kan?”
“Ganggu?”
“Dalia mengadu pada aku. Ada seorang
mamat selalu ganggu dia lepas dia balik dari kerja. So, kau la yang ganggu dia selama ini, kan?” Shafiq bertanya dalam
nada serius. Dia menyandarkan tubuh lalu berpeluk tubuh.
Rafiq yang baru meneguk air minuman
tersedak.
“So,
aku bagi warning pada kau. Jangan kau
berani ganggu Dalia lagi. Kalau tidak…” Shafiq mematikan ayat.
Dalia menepuk dahi mendengar kata-kata
Shafiq. Dia menggeleng tidak percaya.
“Kalau tidak apa?” Rafiq sekadar ingin
tahu. Wajah Shafiq di hadapan dipandang.
“Lebam muka kau tu aku kerjakan.”
Shafiq membalas. Dia beriak serius.
Rafiq yang mendengar ketawa. Geli hati
mendengar kata-kata ugutan daripada Shafiq.
Shafiq yang mendengar suara ketawa
Rafiq berkerut dahi.
“Wei Dalia…” Shafiq memanggil. Dia
menyiku lengan Dalia.
Semakin sakit kepala Dalia
mendengarnya. Dia memandang ke wajah Shafiq.
“Yang kau senyap saja ni kenapa? Bukan
kau ke yang suruh aku menyamar jadi pakwe
kau?” Shafiq berbisik geram. Sejak dari tadi Dalia hanya membisu sahaja.
“Bukan dia la bongok!” balas Dalia turut sama geram.
“Haaaa…” Shafiq terkejut pantas bangun
dari duduk.
Rafiq masih lagi ketawa. Dia menggeleng
dengan tingkah laku Shafiq.
“Habis tu, dia ni siapa?” tanya Shafiq
masih lagi terkejut. Wajah Dalia dipandang meminta kepastian. Adakah dia
tersalah orang?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan