Isnin, 10 November 2014

Seandainya Tuhan Mengizinkan! - Bab 15





TERIMA kasih! Maaf, sebab susahkan awak,” ucap Zairiel, kesal.
“Tak Zairiel. Saya yang sepatutnya perlu minta maaf. Saya terlalu ikutkan perasaan. Saya ego dan pentingkan diri sendiri. Kalau Hana tak beritahu saya tentang keadaan Iman, tak mungkin saya ada di sini,” bidas Nur Syahirah.
“Izinkan saya jaga…”
“Saya rindukan awak, Syira,” luah Zairiel, jujur.
Terkedu Nur Syahirah mendengarnya.
“Saya rindukan awak,” ulang Zairiel lagi.
“Saya masuk dalam tengok Iman sekejap,” balas Nur Syahirah sambil melangkah menuju ke bilik. Namun, langkahnya terhenti tatkala Zairiel memegang tangannya.
“Syira…” seru Zairiel penuh syahdu.
Nur Syahirah memejamkan mata. Cuba mencari kekuatan dalam diri. Perlukah dia mengakui yang dia turut sama merindui lelaki itu?
“Syira…” panggil Zairiel lagi. Tubuh Nur Syahirah ditarik supaya mengadapnya.
“Zairiel, saya…” kata-kata Nur Syahirah terhenti tatkala seseorang memanggil Zairiel. Serentak mereka menoleh ke arah yang memanggil.
“Kenapa Im?” tanya Zairiel, berkerut.
“Danny!” sebut Doktor Imran.
“Kenapa dengan Danny?”
“Kenapa dengan Iman?”
Serentak Nur Syahirah dan Zairiel bersuara. Masing-masing berpandangan antara satu sama lain. Tanpa membuang masa, mereka segera menuju ke bilik Daniel Iman. Perasaan risau menghuni hati ketika ini.
“Kenapa Im?” tanya Zairiel setibanya di bilik.
Doktor Imran hanya tersenyum. Dia melangkah menjauhi katil agar Zairiel dapat melihat Daniel Iman.
“Danny!” luah Zairiel sebaik sahaja terpandangDaniel Iman.
“Papa!” sebut Daniel Iman, tersekat-sekat.
Zairiel segera mendapatkan Daniel Iman. Dikucup dahi dan pipi anaknya itu.
“Anak papa!”
“Mama Syira?” tanya Daniel Iman pula.
Zairiel menghentikan tingkah laku. Berkerut dahinya tatkala pertanyaan itu keluar daripada mulut Daniel Iman.
“Danny rindukan mama Syira,” adu Daniel Iman.
“Iman!” suara Nur Syahirah.
Sengaja dia berlindung di belakang Doktor Imran. Sekadar untuk melihat bagaimana reaksi Daniel Iman.
Doktor Imran menapak ke tepi sedikit. Memberi ruang kepada Nur Syahirah.
“Mama!” panggil Daniel Iman, lemah.
Nur Syahirah menghampiri katil. Tubuh kanak-kanak itu didakap erat. Dikucup lembut dahi Daniel Iman dan menatap kasih wajah Daniel Iman.
“Mama pergi mana?” tanya Daniel Iman serayamembalas tatapan Nur Syahirah.
“Iman, Kak Syira….”
“Iman rindukan mama!” luah Daniel Iman teresak kecil.
Nur Syahirah terkedu. Matanya memandang wajah pucat Daniel Iman. Panggilan ‘Iman’ yang keluar daripada mulut Daniel Iman menyebukan hati. Serta-merta wajah Sarah Imani meniti di tubir mata. Perlahan-lahan air mata membasahi pipi.Ditarik tubuh Daniel Iman lalu mendakapnya erat serta kemas. Melepaskan kerinduan terhadap kanak-kanak itu.


“ALHAMDULILLAH! Lepas masukkan air, dah kurang tanda-tanda di badan Danny. Doktor Imran akan pantau Danny setiap masa,” beritahu Zairiel sehabis sahaja berbual bersama Doktor Imran mengenai kesihatan Daniel Iman.
“Syukur alhamdulillah. Nanti saya buatkan sup ketam untuk Iman. Orang tua-tua kata, sup ketam elok untuk pesakit denggi,” kata Nur Syahirah.
“Terima kasih, Syira!” ucap Zairiel.
“Tak perlulah berterima kasih pada saya, Zairiel. Saya dah anggap Iman macam anak saya sendiri,” kata Nur Syahirah, ikhlas.
Zairiel melabuhkan duduk di birai katil. Wajah Daniel Iman ditatap kasih. Kemudian, dihalakan mata ke wajah Nur Syahirah. Sejuk matanya memandang wajah itu. Senyuman terbias tatkala melihat kemesraan Nur Syahirah dan Daniel Iman. Andai aku melamarmu menjadi suri dalam hidupku, adakah kau sudi menerimanya? Zairiel berbisik dalam hati.
“Iman kena minum banyak air kalau nak cepat baik,” pujuk Nur Syahirah tatkala Daniel Iman menolak untuk minum.
Daniel Iman menggelengkan kepala.
“Iman sayang Kak Syira tak?” tanya Nur Syahirah.
“Sayang!” balas Daniel Iman, sepatah.
“Kalau sayang, Iman kena dengar cakap Kak Syira.”
“Sakit tekak!”
“Iman minum perlahan-lahan.”
“Danny, minum sayang,” pujuk Zairiel pula.
Daniel Iman mengangguk lemah. Tangannya mencapai gelas minuman yang dihulurkan oleh Nur Syahirah. Perlahan-lahan diteguk air dari dalam gelas itu.
Good boy!” puji Zairiel, tersenyum.
Nur Syahirah turut sama tersenyum. Diusap lembut ubun rambut Daniel Iman sebaik sahaja gelas kosong diletakkan di atas meja.
“Kenapa mama tak datang jumpa dengan Iman?” tanya Daniel Iman, perlahan.
Nur Syahirah terkedu. Sudah dua kali Daniel Iman memanggilnya dengan panggilan ‘mama’. Kenapa Daniel Iman memanggilnya dengan panggilan itu? Malah, kata ganti diri Daniel Iman turut sama berubah.
“Mama tak sayang Iman?” tanya Daniel Iman lagi. Matanya menatap kasih wajah Nur Syahirah. Sungguh, dia amat menyayangi wanita itu.
“Err….”
“Danny… tidur sayang. Dah jauh malam ni. Esok Danny sembang dengan Kak Syira lagi,” tegur Zairiel, lembut.
“Iman tidur dulu. Esok kita sembang lagi,” sokong Nur Syahirah mengangguk kecil.
“Iman tak mengantuk lagi. Iman nak sembang dengan mama. Dah lama Iman tak sembang dengan mama,” balas Daniel Iman. Nafas dihela ringan.
“Danny, tak baik susahkan Kak Syira. Lagipun, Kak Syira dah nak balik,” tegur Zairiel lagi. Ada nada tegas pada ayatnya itu.
“Iman nak sembang dengan mama,” bentak Daniel Iman, keras.
“Zairiel, tak mengapalah. Biar saya temankan Iman sampai dia tidur,” ujar Nur Syahirah.
“Syira… tak susahkan awak ke?” Zairiel serba salah.
Nur Syahirah sekadar menggeleng.
“Baiklahkalau dah macam tu. Maaf, kalau Danny menyusahkan awak.”
So, Iman nak cakap apa dengan Kak Syira?” tanya Nur Syahirah berserta senyuman di bibir. Dikuak rambut Daniel Iman ke tepi.
“Jadi mama Iman, boleh?” tanya Daniel Iman.
“Danny!” tegur Zairiel sedikit meninggi. Kurang senang dengan pertanyaan Daniel Iman itu. Rasa malu turut menumpang di hati.
Nur Syahirah berkerut dahi. Apa jawapan yang harus diberikan kepada Daniel Iman?
“Maaf Syira. Awak jangan ambil kesah dengan pertanyaan Danny tu,” ujar Zairiel, kesal.
“Tak mengapa, Zairiel. Biasalah budak-budak,” balas Nur Syahirahtersenyum kelat.
“Mama Syira!” panggil Daniel Iman. Menanti jawapan daripada wanita itu.
“Iman dah mengantuk, sayang. Apa kata Iman tidur dulu. Esok, Kak Syira bagi jawapan,” cadang Nur Syahirah sambil membetulkan selimut.
Daniel Iman menggeleng. Matanya masih belum mengantuk. Selagi Nur Syahirah tidak menjawab pertanyaannya tadi, selagi itu dia tidak akan tidur.
“Danny tidur dulu. Kan Kak Syira nak bagi jawapan esok,” pujuk Zairiel pula.
“Tak nak!” tolak Daniel Imanlalu bangun dari pembaringan.
“Iman tidur dulu, sayang,” pujuk Nur Syahirah untuk kesekian kali.
“Tak nak! Tak nak la! Iman nak tahu juga!” bentak Daniel Iman, keras.
“Daniel Iman!” tegur Zairiel sedikit meninggi.
“Zairiel, apa kena dengan awak ni?” tegur Nur Syahirah.
Daniel Iman teresak kecil. Sedih tatkala ditegur papanya.
“Papa tak sayang Danny.”
Zairiel meraup wajah. Bukan niatnya untuk menegur Daniel Iman. Tetapi disebabkan rasa malu membuatkan dia terlepas bicara. Malu disebabkan permintaan Daniel Iman.
“Syhhh… jangan menangis sayang,” pujuk Nur Syahirah seraya mendakap tubuh Daniel Iman. Cuba untuk mententeramkan kanak-kanak itu.
“Selama ini, Kak Syira dah anggap Danny macam anak Kak Syira. Danny mengingatkan Kak Syira pada anak Kak Syira yang dah lama meninggal. Nama Iman di belakang nama Danny hampir sama dengan nama arwah. Daniel Iman. Sarah Imani,” jelas Nur Syahirah sambil cuba menahan sebak di dada.
Zairiel berkerut dahi. Anak? Sarah Imani? Sarah Imani anak Nur Syahirah? Adakah Nur Syahirah sudah berkahwin?
“Mama ada anak?” Daniel Iman bertanya seraya memandang wajah Nur Syahirah.
“Anak?” suara Zairiel pula.
Tersentak Nur Syahirah dek kerana pertanyaan itu. Adakah dia sudah terlepas cakap?
“Syira… awak…”
“Anak mak long saya. Saya dah anggap macam anak saya sendiri,” pintas Nur Syahirah, laju. Dileraikan pelukan lalu bangun dari duduk.
“Kak Syira balik dulu. Esok Kak Syira datang jumpa Iman,” sambung Nur Syahirah seraya mencapai beg tangan dari atas meja. Dibawa langkah beredar dari bilik itu sambil cuba menahan debaran di dada. Bagaimana dia boleh terlepas cakap?
Daniel Iman terpinga-pinga. Matanya menghantar langkah Nur Syahirah. Pelik dia melihat pengasuhnya itu. Tanpa membuang masa, dibaringkan tubuh dan menarik selimut.
Zairiel yang melihat tingkah laku Daniel Iman segera membantu. Diusap ubun rambut Daniel Iman dan menghadiahkan kucupan di dahi.
“Danny tidur dulu. Papa nak keluar sekejap,” kata Zairiel.
“Danny takut!” adu Daniel Iman.
“Sekejap saja, sayang. Lepas papa jumpa dengan Kak Syira papa datang sini,” pujuk Zairiel. Mengharap pengertian daripada anaknya itu.
Daniel Iman sekadar mengangguk. Selimut ditarik sehingga ke paras dada dan memejamkan mata.
Zairiel menarik nafas lega. Setelah memastikan keadaan Daniel Iman, dia segera beredar dari bilik itu. Dia perlu mengejar Nur Syahirah. Sedari tadi hatinya tertanya-tanya. Siapa Sarah Imani yang sebenar?


SO?” tanya Farhana sambil melabuhkan duduk di birai katil.
So, apa?” tanya Nur Syahirah kurang faham.
“Dia ada tanya kau pasal Sarah?”
Nur Syahirah sekadar mengangguk.
“Apa yang kau jawab?”
“Aku beritahu yang Sarah anak mak long.”
“Dia percaya?”
“50-50!”
“Bila kau nak berterus-terang pada dia tentang Sarah?”
“Kenapa aku perlu berterus-terang pada dia tentang Sarah?”
“Dia perlu tahu, Syira.”
“Dia tak ada kena-mengena dengan Sarah.” Tegas Nur Syahirah menyatakan.
“Syira, kau tak boleh nak nafikan. Dia ada hak untuk tahu siapa Sarah Imani.” Farhana pula yang bertegas. Kedegilan Nur Syahirah sukar untuk dilawan.
“Aku tetap tak nak dia tahu siapa Sarah Imani yang sebenar. Ini keputusan aku!”
Setelah itu, dia segera menuju ke bilik. Ada baiknya dia tidak membincangkan tentang perkara itu lagi. Sungguh, dia berasa sesak nafas memikirkan tentang itu. Belum tiba masanya untuk dia bercerita mengenai kisah silamnya.
Farhana hanya memandang. Nur Syahirah masih lagi bersikap degil. Sukar untuk mengubah pendirian Nur Syahirah.
Nur Syahirah menghumbankan tubuh ke atas katil. Keletihan amat dirasai ketika ini dan minta direhatkan. Mata dipejam rapat sambil otaknya ligat berfikir. 
“Sarah… mama rindu!” luah Nur Syahirah bernada sebak.
Dibukakan mata sambil menyerengkan tubuh ke sisi kanan. Matanya terpahat ke bingkai gambar di atas meja. Gambar Sarah Imani sewaktu berusia setahun.
“Syira!” panggil Zairiel, lantang.
Nur Syahirah tidak mengendahkan panggilan Zairiel. Dilajukan langkah menuju ke tempat di mana kereta parkirkan. Tidak mahu Zairiel bertanya lebih siapa Sarah Imani.
“Syira!” panggil Zairiel seraya menarik lengan Nur Syahirah.
Termati langkah Nur Syahirah dek kerana tarikan itu. Mahu tidak mahu, terpaksa juga dia berhadapan dengan Zairiel.
Zairiel menstabilkan pernafasan. Lengan Nur Syahirah erat dalam genggaman. Selagi dia tidak mendapat jawapan selagi itu dia tidak akan melepaskan Nur Syahirah pergi.
“Dah jauh malam Zairiel. Saya nak balik,” pinta Nur Syahirah.
Ditarik lembut lengannya dari genggaman Zairiel namun tidak berjaya. Zairiel mengeratkan lagi genggaman. Keluhan berat terlepas daripada bibir.
“Selagi awak tak jawab soalan-soalan saya selagi tu saya tak benarkan awak balik.”
“Soalan apa yang awak nak tanya pada saya?”
Ada baiknya dia mengalah daripada terus-terusan berdegil. Matanya membalas tatapan Zairiel. Lama dia berkeadaan begitu sehinggalah dia tidak sanggup untuk menatapnya lagi.
“Sarah Imani? Siapa Sarah Imani?”
Nur Syahirah hanya membisu.
“Awak ada anak? Awak dah kahwin, Syira?”
“Perlukah saya jawab pertanyaan awak ni?” Nur Syahirah sekadar menduga. Matanya merenung ke dasar anak mata Zairiel.
Zairiel turut memandang. Seminit kemudian, anggukan diberikan sebagai tanda jawapan kepada pertanyaan Nur Syahirah.
“Kalau saya kata yang saya dah kahwin dan Sarah Imani…”
“Tak! Tak mungkin! Saya tak percaya!” pintas Zairiel menggeleng kecil. Lengan Nur Syahirah dilepaskan dan meraup kasar wajahnya.
“Itulah kenyataannya,” ujar Nur Syahirah berlalu pergi.
Jika dengan berbohong dapat menjauhkan diri daripada Zairiel, dia rela berbuat begitu. Biarlah dia sendiri yang menanggung sebab dan akibat daripada perbohongannya itu.
“Saya tetap tak percaya, Nur Syahirah!” tegas Zairiel sedikit meninggi.
Bunyi dari arah telefon menyentak lamunan Nur Syahirah pada peristiwa di hospital beberapa jam yang lepas. Dicapai telefon bimbit dari atas meja dan menatap nama di screen. Berkerut dahinya tatkala melihat nombor itu. Siapa yang menelefonnya ketika ini?
“Syakir?” sebut Nur Syahirah, terkejut.



3 ulasan:

  1. Tak sabar nak tahu sarah imani anak syira dengan siapa? Hadooii

    k.mid

    BalasPadam
    Balasan
    1. Terima kasih k.mid coz sudi bc dan follow STM. :)

      Padam