Rabu, 12 November 2014

Seandainya Tuhan Mengizinkan! - Bab 16





“MAAFKAN Syira,” lafaz Nur Syahirah, sebak. Dikucup lembut tangan Puan Mariam dan beralih ke pipi tua maknya itu.
Puan Mariam menarik tubuh Nur Syahirah. Didakap erat serta kemas tubuh anaknya itu. Melepaskan kerinduan selama enam tahun terhadap Nur Syahirah.
“Syira rindukan mak!” luah Nur Syahirah, teresak kecil. Dieratkan lagi dakapan ke tubuh. Melepaskan bebanan rindu yang ditanggung selama enam tahun.
“Mak pun rindukan Syira!” Puan Mariam meluahkan rasa di hati. Sebak dan gembira bergabung menjadi satu.
Nur Syahirah meleraikan pelukan. Wajah Puan Mariam ditatap dengan kasih yang mendalam. Selama enam tahun wajah itu tidak ditatap. Semakin dimamah usia dan sedikit cengkung. Adakah maknya itu tidak menjaga pemakanan atau mengabaikan waktu makan?
“Alhamdulillah. Ayah gembira sangat Syira,” ujar Encik Nazim.
“Maafkan Syira ayah. Maaf sebab susahkan hati ayah dan mak serta adik,” luah Nur Syahirah. Dikucup lembut tangan tua Encik Nazim dan mendakap tubuh ayahnya itu.
“Ayah faham, Syira,” balas Encik Nazim seraya mengusap lembut belakang Nur Syahirah. Rasa rindu terhadap anak sulungnya itu terlerai sudah.
“Kak Syira janganlah pergi mana-mana lagi. Kesian kat ayah dan mak,” suara Syakir, tiba-tiba. Sedari tadi dia hanya menjadi pemerhati.
“Betul kata Syakir tu, Syira. Tinggallah di sini,” sokong Puan Mariam.
“Tapi mak….”
“Syira risaukan keselamatan kami?” tebak Encik Nazim. Mengerti akan gantungan ayat anaknya itu.
Nur Syahirah sekadar mengangguk.
“Insya-Allah, tak ada apa-apa,” sambung Encik Nazim, tersenyum.
“Betul kata ayah tu. Perkara dah lama berlalu. Dah enam tahun pun,” sampuk Puan Mariam. Menyokong kata-kata suaminya itu.
“Syira tetap risaukan mak, ayah dan adik.” Nur Syahirah meluahkan kerisauan. Selama ini, keselamatan keluarga menjadi keutamaan daripada segala-galanya.
“Kakak janganlah risau, adik ada. Adik akan jaga mak dan ayah,” ujar Syakir pula.
Nur Syahirah sekadar tersenyum. Kepala Syakir diusap kasih.
“Macam mana Syakir dapat nombor telefon akak? Akak kan dah tukar nombor.”
“Mak long!”
“Mak long?”
Syakir mengangguk.
“Mak call nombor lama Syira, tapi dah ditamatkan perkhidmatan. Setiap masa mak berdoa agar suatu hari nanti mak dapat bercakap dengan Syira,” cerita Puan Mariam. Ada nada sebak di hujung ayatnya itu.
Nur Syahirah hanya mendengar. Rasa sebak menujah ke hati.
“Mak telefon mak long tanya pasal Syira. Mak long dah cerita kesemuanya pada mak. Nombor telefon tu pun mak long Syira yang bagi lepas mak desak dia supaya bagi. Kalau nak tunggu Syira call kami… entah berapa tahun lagi kami nak tunggu.”
Nur Syahirah menelan liur. Kelat! Cerita semuanya?
“Kalau dari dulu mak tahu Syira berhubung dengan mak long… mak desak mak long Syira tu beritahu mak kat mana Syira berada.”
“Mak long cerita apa pada mak?” tanya Nur Syahirah ingin tahu.
“Mak long cerita yang kakak ada seorang anak,” jawab Syakir bagi pihak Puan Mariam.
Tersentak Nur Syahirah mendengarnya. Air liur semakin laju ditelan.
“Syira ambil anak tu daripada siapa?” tanya Encik Nazim yang sedari tadi membisu. Dia juga ingin mengetahui kisah anak kecil yang dicerita oleh Puan Hasiah.
“Ambil anak? Maksud ayah?” tanya Nur Syahirah kurang paham. Hatinya berdebar-debar ketika ini. Adakah keluarganya sudah mengetahui tentang Sarah Imani?
“Bukan ke Syira ada ambil anak angkat?” tanya Encik Nazim.
Rasa curiga menyelinap dalam hati. Kenapa Nur Syahirah beriak cemas? Adakah Nur Syahirah cuba menyembunyikan sesuatu daripada mereka sekeluarga?
“Oh, Syira ingatkan apa tadi,” sahut Nur Syahirah sambil melepaskan nafas lega.
“Kawan mak budak tu kawan Syira masa di universiti dulu. Dia meninggal lepas lahirkan anak,” cerita Nur Syahirah. Menyembunyikan kebenaran.
Senyuman diberikan buat keluarganya. Terima kasih, mak long. Terima kasih kerana merahsiakannya. Mak, ayah, Syakir… maafkan Syira. Insya-Allah, Syira akan jelaskan semua bila tiba masanya nanti, bisik Nur Syahirah dalam hati.
Encik Nazim, Puan Mariam dan Syakir sekadar mengangguk.
“Syira masuk dalam bilik dulu,” ujar Nur Syahirah bingkas bangun dari duduk.
“Sakit apa, Syira?” tanya Puan Mariam.
Termati tingkah laku Nur Syahirah.
“Maksud mak?”
“Budak tu meninggal sebab apa? Sakit ke?” ulang Puan Mariam ingin tahu.
Nur Syahirah menghela nafas berat. Perlukah dia menjawab pertanyaan maknya itu?
“Ayah pun nak tahu juga. Budak tu sakit apa?” sampuk Encik Nazim.
“Mak long tak beritahu pada mak dan ayah?” tanya Nur Syahirah.
“Mak long Syira hanya beritahu pada kami yang budak tu meninggal masa umur setahun. Meninggal sebab apa… tak adalah pulak mak long Syira beritahu kami,” jelas Puan Mariam.
“Jantung berlubang, mak.”
“Jantung berlubang!” Serentak Encik Nazim, Puan Mariam dan Syakir bersuara.
Nur Syahirah hanya mengangguk. Terimbau semula kenangan bersama Sarah Imani di tubir mata. Mama rindu! Bisik Nur Syahirah sendirian.
“Kesiannya akak. Kecik-kecik lagi dah hidap penyakit kronik,” simpati Syakir. Sebak mengenang nasib anak kecil itu.
Nur Syahirah mengerdipkan mata. Menahan agar air mata tidak gugur membasahi pipi. Sungguh, dia berasa sedih akan kehilangan Sarah Imani.
“Dah tertulis takdir buat anak kecil tu. Apa-apa pun, kita doakan agar rohnya dicucuri rahmat,” suara Encik Nazim, tenang.
Syakir mengangguk faham. Rasa sebak hadir tiba-tiba. Entah kenapa dia berasa begitu sedih? Semoga dia aman di sana, doa Syakir dalam hati.


NUR SYAHIRAH membuang pandang ke langit malam. Angin malam menampar tubuh. Nafas ditarik dan melepaskannya ringan. Disandar tubuh ke belakang sambil memejamkan mata. Telinganya disapa dengan bunyi cengkerik tidak jauh dari tempat diduduki. Dia tersenyum tatkala mendengarnya.
“Awak nak apa, Zairiel? Awak tak nampak ke saya tengah mengajar?” Nur Syahirah geram. Sakit hatinya tatkala ditarik keluar oleh Zairiel dari dalam kelas tanpa rela.
Zairiel tidak mengendahkan kata-kata Nur Syahirah. Dibawa Nur Syahirah ke belakang sekolah. Dia perlu mencari jawapan pada setiap pertanyaan yang sedang bersarang di kepalanya.
“Awak nak apa? Saya tak boleh tinggalkan kelas saya. Tak pasal-pasal saya kena tegur dengan Puan Jamilah,” tegas Nur Syahirah. Mengharapkan pengertian daripada Zairiel.
Zairiel menghentikan langkah. Dilepaskan pegangan tangan dan meraup kasar wajahnya.
Nur Syahirah yang melihat kelekaan Zairiel memulakan langkah untuk beredar dari situ. Belum sempat dia menjauh, Zairiel menarik lengannya semula. Termati langkahnya itu.
“Saya nak awak berterus-terang perkara yang sebenar,” ujar Zairiel bernada tegas.
“Tentang apa?” Nur Syahirah pura-pura bertanya. Dia tahu perkara apa yang ingin dibincangkan oleh Zairiel.
“Awak sengaja buat-buat tak faham, Syira. Saya tahu awak faham dengan soalan saya tadi,” bentak Zairiel, keras. Tajam matanya ke riak selamba Nur Syahirah.
“Kan saya dah jelaskan pada awak malam tadi.”
“Saya tetap tak percaya!”
So, tak ada guna saya jelaskan lagi kalau awak tak mempercayainya.”
“Awak memang sengaja buat-buat cerita, kan?”
“Suka hati awak la nak percaya ataupun tidak,” kata Nur Syahirah beredar dari situ.
“Saya takkan lepaskan awak pergi!” Tegas Zairiel bersuara.
Ditarik Nur Syahirah rapat ke dinding. Tangannya mengepung tubuh Nur Syahirah dan menatap tajam wajah di hadapannya itu.
Nur Syahirah menelan liur. Kelat! Takut melihat wajah tegang Zairiel. Sepanjang perkenalan mereka, belum pernah lagi dia melihat wajah Zairiel setegang itu. Adakah disebabkan kenyataannya tadi membuatkan Zairiel beriak begitu?
Ya Allah, apa yang harus aku lakukan sekarang ni, bisik Nur Syahirah sendirian. Matanya membalas tatapan Zairiel. Hembusan nafas Zairiel menampar wajah. Haruman minyak wangi dari tubuh Zairiel menusuk ke lubang hidung.
“Awak belum berkahwin. Sarah Imani bukan anak awak,” tukas Zairiel, tegas.
“Saya dah….”
Belum sempat Nur Syahirah menyudahkan ayat, bibir Zairiel sudah pun menyentuh bibirnya. Terkejut dia dengan tindakan Zairiel. Serta-merta dia menolak tubuh Zairiel agar menjauhinya.
“Syira… maafkan saya. Saya tak sengaja,” luah Zairiel, kesal.
Sungguh, bukan niatnya untuk bertindak begitu. Disebabkan hasutan syaitan membuatkan dia mengucup bibir Nur Syahirah secara tidak sengaja.
Nur Syahirah memandang tajam ke wajah Zairiel. Tanpa membalas, dia segera beredar dari situ. Sakit hatinya tatkala Zairiel bertingkah laku sebegitu. Berani sungguh Zairiel mengucup bibirnya. Malu, seandainya ada yang melihat tingkah laku mereka berdua tadi.
“Syira…” panggil Zairiel. Namun, panggilannya tidak disahut.
“Ya Allah, apa yang aku dah buat?” keluh Zairiel pula.
Dia segera beredar dari situ. Senyuman terbias di wajah tatkala mengingati tindakannya sebentar tadi. Disentuh lembut bibirnya. Masih terasa kehangatan bibir Nur Syahirah. Semakin melebar senyuman di bibir.
“Syira!” tegur Puan Mariam, tiba-tiba.
Tersentak Nur Syahirah dek kerana teguran itu. Lamunannya yang panjang berterbangan entah ke mana. Dihalakan mata ke arah Puan Mariam sambil membetulkan duduk.
“Kenapa termenung ni?” tanya Puan Mariam pulasambil melabuhkan duduk.
“Tak adalah mak. Syira tengah fikirkan pasal bulan dan bintang atas langit tu,” tukas Nur Syahirah sambil mendongak ke langit.
Puan Mariam berkerut dahi.
“Ada apa mak?” tanya Nur Syahirah. Wajah berkerut Puan Mariam ditatap.
“Tak ada apa. Mak saja nak berbual dengan Syira. Dah lama kitatak berbual bersama. Rindu pulak,” jawab Puan Mariam.
“Syira pun sama, mak. Rindu!”
“Kalau bukan disebabkan ‘dia’, kita takkan terpisah selama enam tahun.”
Nur Syahirah mengangguk. Mengiyakan kata-kata Puan Mariam.
“Mak harap, tak ada lagi halangan untuk kita sekeluarga bersama. Mak yakin, ‘dia’ dah tak kisah tentang kita lagi.”
“Tapi mak, Syira tetap risaukan keselamatan mak, ayah dan adik. Syira pasti ‘dia’ takkan lepaskan Syira.”
“Syira tahu siapa yang buat semua ni?”
“Tak tahu, mak. Kenapa?”
“Kalau mak tahu siapa yang lakukan semua ni terhadap kita sekeluarga, mak toreh-toreh muka dia bagi cacat.”
Tertawa Nur Syahirah mendengarnya. Gelengan kecil diberikan kepada maknya itu.
“Sebab dia kita jadi macam ni.”
“Mak…”
“Kita tak ada apa-apa. Nak kata kaya… tak adalah sangat. Cukup makan pakai aje kita ni. Nak kata kita sakitkan hati orang… tak adalah pulak. Selama ini, mak dan ayahbaik dengan semua orang. Sebab apa yang membuatkan ‘dia’ tak sukakan kita?”
Nur Syahirah hanya mendengar. Ditarik tangan Puan Mariam dan menggenggamnya erat.
“Apa salah kita, Syira? Kenapa ‘dia’ pisahkan Syira dengan mak?”
“Syira tak tahu mak. Apa yang Syira tahu… Syira diarahkan supaya tinggalkan Malaysia. Kalau Syira tak buat macam tu, mak, ayah dan Syakir akan dicederakan,” jelas Nur Syahirah menyembunyikan kebenaran.
Mustahil dia akan berterus-terang kepada Puan Mariam. Tidak mahu Puan Mariam risau dan khuatir akan dirinya. Cukuplah selama enam tahun dia menyusahkan keluarganya dan dia tidak mahu berbuat begitu lagi.
“Masa Syira ke sana, Zairiel ada datang jumpa dengan mak. Dia tanya tentang Syira.”
Nur Syahirah berkerut dahi. Zairiel?
“Zairiel cuba cari Syira, tapi tak dapat. Zairiel tanya pada kami, tapi kami sendiri tak tahu ke mana Syira pergi.”
Nur Syahirah hanya membisu dan mendengar.
“Zairiel ada bagi mak sesuatu. Zairiel kata, kalau Syira balik kampung suatu hari nanti, Zairiel minta mak bagi benda ni pada Syira,” ujar Puan Mariam.
“Benda? Benda apa?” tanya Nur Syahirah, berkerut. Berdebar-debar hatinya ketika ini.
Puan Mariam menyeluk poket baju kurung kedahnya. Dikeluarkan sekotak baldu berwarna merah dari dalam poket lalu diserahkan kepada Nur Syahirah. Kotak yang berisi sebentuk cincin. Sebagai tanda lamaran daripada Zairiel buat Nur Syahirah.
Nur Syahirah menyambut huluran Puan Mariam. Berkerut dahinya melihat kotak baldu itu. Apa maksud kotak baldu itu? Adakah Zairiel ingin melamarnya?
“Zairiel minta izin mak dan ayah untuk memperisterikan Syira. Cincin ni tanda lamaran Zairiel buat Syira,” terang Puan Mariam tersenyum senang.
Nur Syahirah terkedu. Wajah Puan Mariam yang sedang tersenyum senang ditatap.
“Macam mana, Syira?”
“Mak… Syira…” Sukar buat Nur Syahirah membuat keputusan. Hatinya menolak keras lamaran Zairiel.
“Mak tak memaksa. Mak sokong semua keputusan Syira. Zairiel tu dah macam keluarga kita. Syira pun dah berkawan dengan Zairiel dari sekolah lagi. Segala perangai dan sikap Zairiel, Syira dah tahu dan arif. Susah nak cari lelaki sebaik Zairiel.” Jujur Puan Mariam meluahkan.
Nur Syahirah tidak membalas. Matanya menatap cincin yang terletak elok di dalam kotak baldu berwarna merah itu.
“Fikirkan mana yang terbaik buat Syira,” ujar Puan Mariam bingkas bangun.
Ditepuk lembut tangan Nur Syahirah dan beredar dari situ. Membiarkan anaknya itu berfikir akan lamaran Zairiel.
Nur Syahirah hanya memandang. Keluhan berat terlepas daripada bibir. Perlukah dia menerima lamaran Zairiel?


2 ulasan: