Jumaat, 7 September 2012

Suara Cinta - Bab 2


BAB 2

NUR EDLEEN melangkah jalan dengan penuh berani. Hari ini bermulalah tugasnya sebagai Eksekutif Akaun di Pelangi Holding. Haji Marwan ada menawarkan dia bekerja di Indah Holding, tetapi disebabkan keinginan untuk berdikari membuatkan dia menolak tawaran tersebut. Ada baiknya dia menimba pengalaman di tempat lain sebelum bersedia menguruskan Indah Holding. 
“Ini bilik Cik Nur Edleen. Kalau ada apa-apa masalah, Cik Nur Edleen boleh berjumpa dengan saya,” beritahu Karmila merangkap setiausaha pengurus besar syarikat.
“Terima kasih Cik Karmila. Panggil saya Leen sahaja. Mesti tergeliat lidah Cik Karmila nak sebut nama saya, kan?” kata Nur Edleen dan tersenyum.
“Nama Cik Leen masih boleh saya terima lagi. Tapi, kalau nama bos besar, memang tergeliat habis lidah saya nak sebutnya,” balas Karmila dan turut sama tersenyum.
Nur Edleen mengerutkan dahi. Bos besar? Siapa bos besar? Hatinya diasak untuk tahu. “Bos besar?” 
Karmila mengangguk. Langkah diatur menuju ke meja kerja Nur Edleen. Fail kewangan syarikat diletakkan di atas meja. Arahan pengurus besar meminta Nur Edleen mengkaji kewangan syarikat perlu dikhabarkan. Jika tidak, mahu bergegar satu pejabat nanti.
“Siapa nama bos besar?” tanya Nur Edleen sekadar ingin tahu. Dilabuhkan duduk di kerusi yang dikhaskan buat dirinya. Matanya melilau melihat keadaan bilik itu. Cantik dan teratur perhiasan yang menghiasi ruang bilik tersebut. Pandai orang yang mereka bilik ini, pujinya di dalam hati.
“Encik Edzuary Safuan Bin Erizal Hanif,” jawab Karmila dan menggeleng. “Tergeliat lidah saya ni Cik Leen,” adunya pula.
Nur Edleen tertawa kecil. Ada benarnya kata-kata Karmila. Memang tergeliat lidah menyebut nama bos besarnya itu.
“Petang nanti dalam pukul tiga, Cik Leen ada meeting dengan bos besar tentang pengurusan syarikat. Satu pesanan dari saya, Cik Leen jangan lewat. Bos besar tak suka stafnya lambat dan tidak menepati masa,” beritahu Karmila dan menapak keluar dari bilik Nur Edleen.
“Baiklah Cik Karmila. Patik yang menurut perintah,” kata Nur Edleen dan tertawa.
Karmila turut sama tertawa. Senyuman dilemparkan kepada Nur Edleen. Senang hatinya berkenalan dengan Nur Edleen. Ternyata Nur Edleen bukan seorang yang sombong. Tidak seperti Pengurus Pemasaran mereka. Berlagak sombong dan menganggap dirinya cantik di syarikat tersebut. Semoga Nur Edleen bertahan lama bekerja di bawah pengurusan Encik Edzuary, bisik Karmila sendirian.
Nur Edleen menarik nafas lega. Senyuman menghiasi bibir. Rasa teruja melihat biliknya sendiri. Sungguh tidak menyangka jawatan yang dipegang melayakkan dia memiliki bilik pejabat sendiri. Itulah yang menjadi idamannya selama ini. Walaupun dia boleh mendapatnya dengan bekerja di Indah Holding, tapi bagi Nur Edleen, biarlah ianya datang dengan usahanya sendiri. Kini sudah terbukti bahawa dia layak memiliki semua itu.
Deringan telefon bimbit menyentakkan Nur Edleen. Segera tangannya menggagau beg tangan mencari telefon bimbit. Setelah berjumpa, dilekapkan ke telinga sebaik sahaja butang hijau ditekan. Menanti sapaan dari hujung talian.
Of course la, dapat bilik sendiri. Gempak, kau tau tak,” kata Nur Edleen, teruja sebaik sahaja salam berjawab.
“Serius? Aku tak percayalah,” bidas Ezzura.
“Betullah. Kalau kau tak percaya, kau datanglah ke sini.”
“Hurm, okey. Nanti-nantilah aku ke sana. Kau dah jumpa dengan bos kau ke Leen?”
“Belum lagilah Zura. Petang nanti ada meeting pengurusan, baru aku jumpa dengan dia. Yang kau sibuk tanya pasal bos aku tu, kenapa?”
“Eh, tak salahkan aku ambil tahu tentang kau.”
“Ya, tak salah kalau ambil tahu tentang aku. Tapi, yang menjadi salahnya, kau ambil tahu tentang bos aku, itu yang aku curiga sangat-sangat ni,” bidas Nur Edleen sambil mengangkat kening. Terdengar gelak ketawa Ezzura di hujung talian. Dia turut sama tertawa.
“Nanti kau inform aku tau.”
Inform apa?” tanya Nur Edleen, pura-pura.
“Sudah gaharu cendana pula, sudah tahu bertanya pula.
Nur Edleen tertawa mendengarnya. Ezzura tidak akan puas selagi tidak diberi jawapan yang tepat. Dia kenal benar dengan kawan baiknya itu. Sudah bertahun-tahun dia berkawan dengan Ezzura. Segala masalah dikongsi bersama. Malah Ezzura merupakan anak angkat ummi dan abahnya.
“Kau nak lunch dengan aku, tak?” tanya Ezzura sekadar mencuba.
Lunch?” ulang Nur Edleen, berkerut.
“Yalah! Lunch dengan aku.”
“Kau buang tebiat ke Zura? Bukan ke jarak office kau dengan aku jauh. Mana sempat nak lunch sama ngan kau.”
“Apasal pulak buang tebiatnya? Kau ingat jauh sangat ke office kita ni,” bidas Ezzura.
Nur Edleen menggaru kepalanya yang bertudung. Bingkas dia bangun dari duduk dan menghampiri jendela. Dapat dilihat bangunan pencakar langit menghiasi Kuala Lumpur. Indah dari pandangan mata. Rasa teruja turut menumpang di dalam hati.
“Sebab jauhlah aku cakap macam tu. Apasal kau ni bengap sangat,” bentak Nur Edleen.
“Kau tu yang bengap. Kalau dah satu office, mestilah tak jauh,” balas Ezzura dan mendengus geram. Tangannya sudah memulas tombol pintu bilik Nur Edleen.
“Eh… lupa pulak yang kita satu office,” ujar Nur Edleen dan tersengih. Dipusingkan badan dan wajah Ezzura menyapa mata. “Aku tak tahu pulak yang kau kerja kat sini juga,” sambungnya sekadar mengusik. Kemudian dia tertawa kecil melihat riak di wajah Ezzura.
Ezzura mencebik. Langkah dibawa masuk ke dalam bilik dan melabuhkan duduk di situ. Matanya menjamah wajah tenang Nur Edleen.
Sorry beb, aku terlebih makan semut dalam gula, itu yang aku terlupa,” kata Nur Edleen, kesal. Dilabuhkan duduk di kerusi dan menatap wajah Ezzura.
“Banyaklah kau punya semut. Wah! Cantik betul bilik kau ni. Mengalahkan jawatan CEO lagaknya,” puji Ezzura, seraya duduk.
Well! Jawatan aku kan lebih besar dari kau. Sebab itulah aku boleh dapat bilik macam ni,” bangga Nur Edleen.
“Tekan lift naik sendirilah beb. Eh, jomlah kita lunch. Perut aku dah menyanyi lagu ‘Babe’ KRU ni,” ajak Ezzura, seraya bangun.
“Kau ni merepek ajelah. Kan pagi lagi, takkan nak lunch kut,” tegah Nur Edleen turut sama bangun.
Ezzura menepuk dahinya sendiri. Bila datang bengap Nur Edleen, beginilah jadinya. Matanya mengisyaratkan ke arah jam di dinding. Nur Edleen yang melihat, segera melorotkan mata ke arah tersebut. Membuntang matanya melihat jarum jam yang sedang berdetik perlahan. Masa sudah pun menginjak ke angka satu tengahari. Barulah dia sedar, terlalu lama masa diambil oleh Karmila untuk menerangkan padanya tentang selok belok Pelangi Holding.
“Apa lagi, jomlah. Pukul tiga kau ada meeting, kan?” ajak Ezzura tatkala Nur Edleen tidak berganjak dari tempat berdirinya itu.
Yes boss!” sahut Nur Edleen dan memberi tabik hormat pada Ezzura. Seminit kemudian, dia tertawa dengan tingkahnya itu.
Ezzura hanya tertawa kecil. Nur Edleen memang pandai bergurau dengannya. Kalau sehari tidak bergurau, tidak sah jadinya. Seakan tidak lengkap dalam hidup Nur Edleen jika tidak bergurau. Namun, sampai bila Nur Edleen akan bersikap sebegitu? Adakah Nur Edleen akan mengingati kisah hidupnya yang lalu? Hanya dia dan keluarga Haji Marwan mengetahui siapa Nur Edleen yang sebenarnya.


“KAU nak makan apa?” tanya Ezzura setibanya mereka di restoran yang menyajikan masakan melayu.
“Kambing golek ada tak?” tanya Nur Edleen.
Ezzura mengerutkan dahi. Kambing golek? Biar betul minah ni. Buang tebiat apa cari kambing golek tengahari buta macam ni, bebelnya di dalam hati.
“Ada tak?” tanya Nur Edleen lagi.
“Kau ni buang tebiat ke Leen. Manalah ada kambing golek kat sini,” geram Ezzura.
“Erk, tak ada ya,” ulang Nur Edleen sambil menggaru kepalanya yang bertudung. “Kalau macam tu, aku nak makan laksa ajelah. Nampak sedap aje laksa tu aku tengoknya sebab tinggal satu aje lagi tu. Aku pergi sambar laksa tu dulu. Takut orang lain sambarnya pula,” sambungnya dan menapak jalan menuju ke tempat laksa terhidang.
“Leen… Leen…” omel Ezzura dan menggeleng. Matanya menghantar langkah Nur Edleen menuju ke tempat laksa. Kemudian, tangannya lincah menceduk nasi dan lauk ke dalam pinggan sendiri.
Nur Edleen melangkah dengan riang. Teringin sungguh dia dengan laksa. Kalau kambing golek tak dapat, laksa pun laksa lah. Lama aku tak makan ni, bisik Nur Edleen sendirian dan tersenyum ceria. Belum sempat tangannya mencapai mangkuk laksa, seseorang sudah pun menarik mangkuk laksa tersebut. Maka terjadilah adegan tarik-menarik di antara Nur Edleen dengan seseorang di restoran itu semata-mata kerana semangkuk laksa.
“Saya punyalah!” kata Nur Edleen.
Hello! Saya punya! Saya yang pegang dulu,” bentak Edzuary, keras.
Hello! Please! Saya punya okey!” balas Nur Edleen tidak mahu mengalah. Geram sungguh dia ketika ini. Semakin kuat tangannya menarik mangkuk laksa itu, semakin kasar lelaki di hadapannya menarik. Hampir dia terdorong ke hadapan disebabkan tarikan itu.
“Saya yang pegang dulu. Awak ni buat-buat tak tahu ke?” beritahu Nur Edleen masih tidak mengaku kalah.
“Saya yang tarik dulu. Awak yang sibuk-sibuk tarik dari saya ni, kenapa?” balas Edzuary turut tidak mahu mengalah.
“Awak pergilah makan benda lain. Saya nak laksa ni juga,” geram Nur Edleen. Tajam matanya ke muka Edzuary. Tidak mahu mengalah. Jika dia mengaku kalah, bukan Nur Edleen namanya. Main kasar betul mamat ni, bentak hatinya.
“Awaklah pergi makan benda lain. Saya tetap nak laksa ni,” tegas Edzuary. Matanya membalas tatapan Nur Edleen. Tangannya masih lagi mempertahankan mangkuk laksa tersebut. Dia ingat aku ni mudah mengaku kalah apa. Ini Edzuary Safuan la, bisik Edzuary di dalam hati.
“Okey… okey…  macam ni lah. Apa kata encik beli makanan lain dan saya beli makanan yang lain juga. So, baru fair and square. Encik tak dapat, saya pun tak dapat juga,” cadang Nur Edleen sambil mengangkat kening. Berharap lelaki itu setuju dengan cadangannya itu.
“Awak pergilah beli makanan yang lain. Saya tetap nak laksa ni,” kata Edzuary, selamba dan mencebik.
Nur Edleen menarik nafas dalam-dalam. Matanya menjamah wajah selamba lelaki di hadapannya itu. Tanpa berlengah, segera dia memanggil pelayan di situ. Sementara menanti kelibat pelayan itu sampai, Nur Edleen memandang tepat ke wajah lelaki itu. Kenapa dapat dirasakan sesuatu ketika melihat lelaki tersebut? Seakan jantungnya berdegup dengan kencang tatkala melihat wajah lelaki itu.
“Ada apa, cik?” tanya seorang pelayan di situ.
“Ada lagi tak laksa ni?” tanya Nur Edleen.
“Maaf cik, tak ada lagi,” jawab pelayan tersebut. “Ada apa lagi, cik?” tanyanya pula.
“Erk, tak ada dah,” ulang Nur Edleen, berkerut.
Pelayan itu sekadar mengangguk. Tanpa menunggu, segera dia beredar dari situ.
So?” tanya Edzuary dan mengangkat kening.
So apa? Kalau nak cari Ah So bukan kat sini. Kat kedai apek sana,” geram Nur Edleen.
Edzuary yang mendengar tertawa kecil. Ternyata gadis di hadapannya itu seorang yang tidak berputus asa, tegas dan ego. “Awak nak bagi laksa ni pada saya atau tak?” tanyanya lagi. Kemenangan sudah berpihak padanya.
Oh, kau cabar aku ya. Tak apa.. tak apa.. hari ni hari kau, esok mesti hari aku. Undur diri bukan bererti kalah. Tahulah kau apa aku nak buat selepas ini, geram Nur Edleen di dalam hati. Senyuman nakal terbias di wajahnya.
“Okey, saya mengaku kalah. Lagipun bukan sedap mana pun laksa ni. Awak ajelah yang ambil,” kata Nur Edleen, mengaku kalah. Tangannya melepaskan mangkuk laksa yang dipegangnya sedari tadi.
Edzuary tersenyum puas. Kemenangan berpihak padanya. Bangga dirasakannya ketika itu. “Terima kasih cik adik. Cik adik nak makan apa, ambil ajelah, cik abang belanja.”
Nur Edleen tersenyum paksa. Otaknya ligat memikirkan sesuatu untuk mengenakan lelaki itu. Sungguh, dia bukanlah seorang yang mudah kalah. Menyerah dahulu bukan bererti kalah. Kau tunggu dan lihat ajelah, bisik hatinya. Senyuman paksa masih terukir di bibir.
“Encik nak saya tolong tuangkan kuah ke dalam mangkuk ni ke?” pelawa Nur Edleen penuh sopan dan tersenyum manis.
“Boleh juga kalau cik sudi nak tolongnya,” balas Edzuary turut tersenyum. Dihulurkan mangkuk berisi laksa ke arah Nur Edleen. Menanti Nur Edleen menuangkan kuah laksa ke dalam mangkuk tersebut. Erm, boleh tahan cun minah ni, pujinya di dalam hati.
Nur Edleen mengangguk perlahan. Tangannya menyentuh lembut periuk berisi kuah laksa itu. Fuh! Nasib baik sejuk. Kalau panas tadi, mahu kena saman aku nanti. Tunggulah kau mamat. Aku kerjakan kau cukup-cukup, azamnya di dalam hati. Lantas dicapai senduk dari dalam periuk yang berisi kuah laksa. Dia mengacau-ngacau kuah laksa tersebut dan tersenyum. Dengan perlahan, Nur Edleen menceduk kuah laksa itu dan dijirusnya ke baju lelaki itu. Setelah puas, segera dia beredar dari situ.
“Padan muka!” ejek Nur Edleen sebelum meninggalkan tempat itu.
Edzuary tergamam. Dapat dirasakan darah merah menyerbu ke muka ketika itu. Dengusan kasar terlepas dari bibir. Sungguh tidak menyangka perempuan itu sanggup memperlakukannya sebegitu rupa. Hidungnya mencium bauan kuah laksa tersebut. Rasa nak termuntah Edzuary rasakan ketika ini. Tanpa berlengah, segera dia menuju ke bilik air untuk membersihkan kekotoran di baju. Pasang-pasang mata yang melihat keadaannya itu tidak diendahkan. Kau jangan ingat akan terlepas. Kalau aku jumpa dengan kau lagi, taulah macam mana aku nak kerjakan kau, azam Edzuary di dalam hati.


“CIK NUR EDLEEN,” perkenal Karmila dan tersenyum.
Nur Edleen turut sama tersenyum. Tangannya membalas jabatan tangan setiap pegawai di dalam bilik mesyuarat itu. Gerun pula dia melihat setiap wajah di hadapannya ketika ini. Kesemuanya sudah pun kelihatan berumur. Hanya seorang dua sahaja yang seakan nampak muda dari yang lain-lain. Mungkin juga sebaya dengannya.
“Bos mana Mila?” tanya Encik Hamid tidak sabar. Jam di tangan dikerling buat seketika. Belum pernah lagi bos besarnya itu terlewat menghadiri mesyuarat memandangkan bosnya itu seorang yang menepati masa.
“Bos tukar baju sekejap Encik Hamid. Ada orang tumpahkan kuah laksa ke atas bajunya,” terang Karmila, seraya duduk bersebelahan Nur Edleen.
Berderau darah Nur Edleen mendengarnya. Bos tukar baju? Ada orang tumpahkan kuah laksa ke atas bajunya? Ulang Nur Edleen di dalam hati. Serta merta mukanya pucat tidak berdarah. Adakah bos yang dimaksudkan oleh Karmila adalah lelaki yang sama di restoran tadi?
“Maaf semua, saya terlambat,” suara Edzuary, kesal.
Tersentak Nur Edleen mendengar suara itu. Dikerling buat seketika dan menatap wajah bos besarnya. Alangkah terkejutnya dia tatkala melihat bos besarnya itu. Lelaki yang sama di restoran tadi. Dengan pantas Nur Edleen menundukkan muka. Tidak mahu lelaki itu mengesaninya di dalam bilik tersebut.
“Bau laksa lagilah bos,” usik Encik Hamid dan tertawa kecil.
Terhenti tingkah Edzuary dari duduk di kerusi. Hidungnya mencium baju dan tubuhnya sendiri. Berkerut-kerut dia cuba mencium dirinya sendiri. Aku dah spray banyak kali minyak wangi aku tu. Takkan ada bau laksa lagi, rungut Edzuary di dalam hati.
“Saya gurau aje bos. Tak ada dah bau laksa,” kata Encik Hamid serba salah tatkala melihat riak berkerut bosnya.
“Mila, you dah bagitau staf baru kita suruh dia masuk meeting sekali?” tanya Edzuary, seraya duduk.
“Ada bos. Orangnya pun ada kat sini, kat sebelah saya ni,” jawab Karmila dan tersenyum.
Edzuary mengangguk. Tangannya membuka fail syarikat dan meneliti butiran di dalam fail tersebut. “Boleh perkenalkan diri? Maaf saya tak sempat nak baca biodata awak. Kalau tak menjadi keberatan, boleh perkenalkan diri awak pada kami semua?” pintanya dan masih ralit membaca.
Semakin tidak keruan Nur Edleen rasakan. Seram sejuk pun ada juga. Perlukah dia menurut kemahuan bos besarnya atau memandang sepi terhadap permintaan itu. Masak aku kali ini. Itulah kau Leen, lain kali tengok orang dulu siapa yang kau nak lawan, kutuknya sendirian.
Please introduce yourself,” ulang Edzuary.
Nur Edleen tidak ada pilihan lain. Nak tak nak, bingkas dia bangun dari duduk. Rimas pulak tatkala pasang-pasang mata yang berada di dalam bilik itu memandang tepat ke arahnya.
“Assalamualaikum, saya Nur Edleen Haji Marwan. Berasal dari Selangor dan menetap di Shah Alam. Pemegang Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Perakaunan dari UiTM. Anak bongsu dari dua beradik. Pengalaman…”
“Umur? Dah kahwin ke belum?” pintas Edzuary dan masih menunduk.
“Erk, perlu ke bagitau?” tanya Nur Edleen, berkerut.
Of course! Kalau tak bagitau, orang lain mudah ambil kesempatan pada awak,” jawab Edzuary, selamba.
Nur Edleen menggaru kepalanya yang bertudung. Matanya menjamah satu persatu wajah sengihan di dalam bilik itu. Naik menyampah Nur Edleen lihatnya. Pasti kesemuanya sudah berkahwin termasuklah bos besarnya, duga hati Nur Edleen.
“Umur dua puluh lima tahun dan belum berkahwin. Walaupun saya belum berkahwin dan masih single, tapi saya not available,” beritahu Nur Edleen sambil cuba mengawal nada suara.
Terangkat wajah Edzuary mendengar kata-kata Nur Edleen. Tergamam dia buat seketika. Begitu juga dengan Nur Edleen, turut sama terkejut dengan pandangan mata Edzuary. Seakan ada sesuatu yang cuba diceritakan dari sinar anak mata itu. Tapi apa? Hatinya bertanya. Seminit kemudian, Edzuary melarikan pandangan. Tidak sanggup untuk bertentang mata dengan Nur Edleen. Jika di restoran tadi, dia cuba mengingati di mana dia bertemu dengan gadis itu, tapi tidak pada waktu dan ketika ini. Ternyata gadis inilah yang ditemuinya di Pasaraya Giant sebulan yang lalu.
“Baiklah! Terima kasih!” ucap Edzuary, serius.
Nur Edleen bingkas duduk. Diusap lembut dadanya yang berombak kencang dan cuba untuk meredakan degupan jantung yang sedang berlari laju. Sukar untuknya mengawal jantungnya ketika itu.
Usai bermesyuarat, Nur Edleen segera menuju ke bilik. Belum sempat tangannya memulas tombol pintu, namanya sudah pun di panggil oleh Edzuary. Bagaikan terkena kejutan eletrik Nur Edleen rasakan ketika itu. Jika tadi dia merasa seram sejuknya, tapi tidak pada kali ini. Menggigil tubuhnya dirasakan Nur Edleen dan sukar juga untuk dia mengawal degupan jantungnya juga.
“Masuk bilik saya!” arah Edzuary dan berlalu dari situ.
Nur Edleen sekadar mengangguk. Mahu tidak mahu, terpaksalah juga dia mengekori Edzuary dari belakang dan masuk ke dalam bilik. Pasti dia akan dihukum disebabkan tingkahnya di restoran tengahari tadi.
Edzuary menghempas lembut tubuhnya ke kerusi empuk. Matanya masih lagi menjamah wajah menunduk Nur Edleen. Tadi bukan main berani, sekarang mana keberanian kau tu, kutuknya di dalam hati.
“Saya minta maaf atas kelakuan saya tadi. Memang saya sengaja lakukannya sebab saya marah dan geram dengan encik,” akui Nur Edleen perlahan.
Edzuary hanya mendengar. Deheman kecil terlepas dari bibir. Bingkas dia bangun dari duduk dan menapak menghampiri Nur Edleen. Diperhatikan Nur Edleen dengan penuh minat.
“Kalau encik nak hukum saya, hukumlah. Saya akan terimanya seikhlas hati saya,” beritahu Nur Edleen lagi.
Well! Memang saya nak menghukum awak. Disebabkan tingkah awak tadi, saya yang mendapat malu. Disebabkan awak, habis satu badan saya berbau kuah laksa. Sebotol minyak wangi yang saya guna pun belum tentu lagi dapat menghilangkan bauan laksa tu,” jelas Edzuary sambil berpeluk tubuh dan bersandar di meja kerja. Matanya menjamah wajah menunduk Nur Edleen.
“Saya tahu dan saya akui kesalahan saya. Apa yang encik nak saya lakukan asalkan encik dapat maafkan saya,” tegas Nur Edleen. Diangkat wajahnya dan memandang tepat ke wajah Edzuary. Seminit kemudian, dia menjatuhkan wajah. Tidak sanggup menatap wajah serius bos besarnya itu.
“Mana keberanian awak tadi? Dah hilang? Atau awak memang berlagak berani depan saya sahaja.” Sinis Edzuary berkata.
“Saya…” Sukar untuk Nur Edleen bersuara. Bukannya dia tidak berani. Jika diikutkan hati, mahu sahaja dia membidas kata-kata bos besarnya. Tetapi disebabkan hari ini hari pertama dia bekerja, terpaksalah dia menahan rasa di hati.
“Saya apa?” ulang Edzuary dan masih sinis.
“Kalau tak ada apa-apa, saya minta diri dulu,”  pinta Nur Edleen. Daripada aku dengar bebelan dia, baik aku blah dari sini. Buat sakit hati aje aku tengok muka dia tu, omelnya di dalam hati.
“Saya tak suruh pun awak pergi. Kesalahan awak tadi masih belum saya maafkan,” tegas Edzuary dan masih bersandar di meja.
Aduh! Dia nak apa lagi dari aku ni. Kan aku dah minta maaf pada dia, rungut Nur Edleen. “Kan saya dah minta maaf,” bentaknya, keras. Masih cuba mengawal suara.
“Maaf awak saya tak terima,” balas Edzuary, selamba. Matanya terarah ke daun pintu bilik yang terkuak perlahan. Pasti cleaner yang ingin masuk ke dalam biliknya. Sudah menjadi kebiasaan dalam waktu-waktu begini, cleaner akan datang menjalankan tugas membersih. Dengan tiba-tiba, senyuman nakal terbit di bibir. Otaknya ligat memikirkan rancangan untuk mengenakan Nur Edleen.
“Mak Ita!” panggil Edzuary.
Tersentak Mak Ita dengan panggilan Edzuary. Segera dilajukan langkah menuju ke arah Edzuary. Senyuman manis dihadiahkan buat Edzuary.
“Ada apa Ary?” tanya Mak Ita. Mulanya dia segan untuk memanggil Edzuary hanya dengan panggilan ‘Ary’. Tetapi atas arahan Edzuary sendiri, mahu tidak mahu, terpaksalah dia memanggil dengan nama itu.
“Mak Ita nak bersihkan pejabat ke?” tanya Edzuary, prihatin.
“Macam biasalah Ary. Kan, masa ni tugas Mak Ita bersihkan bilik Ary,” jawab Mak Ita dan masih tersenyum.
Nur Edleen yang berada di situ hanya mendengar. Berkerut-kerut dahinya cuba menafsirkan akan tujuan bosnya memanggil cleaner tersebut.
“Hari ni Mak Ita tak payah bersihkan bilik saya. Mak Ita berehat sahaja,” arah Edzuary.
“Mana boleh Ary. Nanti Mak Ita kena marah dengan supervisor,” balas Mak Ita. Sungguh dia tidak mahu dimarahi oleh supervisor yang dipanggil ‘harimau’ itu.
“Tak apa Mak Ita. Mak Ita jangan risau, tahulah saya menguruskannya,” beritahu Edzuary, cuba menghalau kerisauan di hati perempuan tua itu.
“Baiklah kalau dah macam tu. Mak Ita minta diri dulu,” pinta Mak Ita, mengalah.
“Mak Ita tinggalkan barang-barang tu semua kat sini. Nanti saya suruh orang hantarkan ke bawah,” arah Edzuary.
Berkerut Mak Ita mendengar arahan Edzuary. Seminit kemudian, dia mengangguk dan berlalu pergi dari bilik itu.
So,” kata Edzuary sepatah sebaik sahaja kelibat Mak Ita menghilang.
So apa?” ulang Nur Edleen, berkerut. Kurang faham.
“Tu ha…” kata Edzuary sambil memuncungkan mulut ke arah kelengkapan Mak Ita.
Nur Edleen menoleh ke arah yang ditunjukkan. Berkerut-kerut dia cuba menafsir dengan arahan Edzuary. Seminit kemudian, barulah otaknya dapat menafsirkannya.
“Saya?” tanya Nur Edleen sambil jari telunjuk menghala ke arah diri sendiri. “Itu!” tanyanya lagi. Jari telunjuknya dihalakan pula ke arah peralatan Mak Ita.
Edzuary sekadar mengangguk. Langkah diatur menuju ke sofa dan dilabuhkan duduk di situ. Senyuman kemenangan menghiasi bibir ketika ini.
Nur Edleen mendengus geram. Tangannya dikepal menahan marah. Mentang-mentang dia bos, sesuka hati aje nak suruh aku buat kerja cleaner. Hangin aku dah ni, geramnya.
“Apa lagi yang dimenungkan tu, cepat buat kerja. Awak nak saya pecat awak pada hari pertama awak kerja ke?” arah Edzuary bernada ugutan. “Cipta sejarah awak nanti. ‘Seorang pekerja dipecat pada hari pertama dia bekerja’. Wah! Gempak!” sambungnya, teruja.
Nur Edleen mencebik. Sakit telinganya mendengar kata-kata yang keluar dari mulut bosnya itu. Tanpa berlengah, segera dia mencapai peralatan Mak Ita dan dibawa menghampiri sofa. Ditarik pembersih hampagas dan dipasang suis ke soket. Tunggu kau, taulah macam mana aku nak kerjakan kau nanti, azam Nur Edleen di dalam hati dan tersenyum nakal. Otak jahatnya sedang ligat merencanakan sesuatu.

Terima kasih kerana membaca SC.
(^____^)

14 ulasan:

  1. Nk lg sista...lg dan lg..dan lg.....hoho

    ~~> nana jamil

    BalasPadam
  2. Nakal ES ep ni kn...
    Hahahaaa syiokkk
    lg plzzzz

    BalasPadam
    Balasan
    1. hahaha.. nakal x nakal la ES tu.. minggu dpn akak smbg...

      Padam
  3. kak Ros...bekerja di Pelangi Holding, tpi belajar ttg selok belok Indah Holding... bukan sue dah highlight ke kak..huhuhu..

    BalasPadam
  4. Balasan
    1. Hehe.. minggu dpn kita smbg ya.. terima kasih kerana membaca SC.. (^__^)

      Padam
  5. kak Ros , best Sesangat , nk smbunganyerrr , eheheheh , nakal gak yer ES nieee , alahaiiii

    ~Fae~

    BalasPadam
  6. hihi.... cpt3.nk mintA smbgnnya best....

    BalasPadam