Khamis, 30 Oktober 2014

Seandainya Tuhan Mengizinkan! - Bab 11








“AWAK apa khabar, Hana?” tanya Zairiel, tersenyum.
“Saya sihat alhamdulillah. Awak?” balas Farhana turut sama tersenyum.
“Lama saya tak jumpa dengan awak. Tak sangka pulak awak ada di sini.”
“A’ah, saya dah lama di sini.”
“Jadi, awak yang jaga anak saya selama ini?”
“Err…” Farhana menggaru kepalanya yang bertudung. Apa aku nak jawab ni?
“Saya tak tahu pulak Farhana yang Cik Syira maksudkan dulu adalah awak.”
Farhana tidak membalas.
“Syira mana, Hana?” tanya Zairiel kemudian.
“Syira... Syira… tak ada dengan saya. Lepas kami habis belajar, kami bawa haluan masing-masing,” bohong Farhana.
“Awak ada contact dia tak?”
Farhana hanya menggeleng. Otaknya ligat berfikir mencari jawapan kepada setiap persoalan yang bakal ditanya daripada mulut Zairiel. Sudah tentulah tentang Nur Syahirah yang akan ditanya oleh Zairiel nanti.
“Awak tahu kat mana Syira sekarang ni?”
“Saya.. saya tak tahu Zairiel. Paling last saya contact Syira, dua tahun yang lepas.”
Zairiel menghela nafas ringan. Mukanya diraup kasar. Melepaskan segala lelah dan beban yang membelenggu selama beberapa tahun ini.
“Comel anak awak, Zairiel!” puji Farhana, ikhlas.
Zairiel sekadar tersenyum. Matanya membuang pandang ke arah pokok bunga yang terdapat di kawasan itu.
“Mamanya…”
“Dah meninggal. Lepas melahirkan Danny,” pintas Zairiel, perlahan. Pasti pertanyaan itu yang ditanya Farhana.
Sorry!” balas Farhana lalu menunduk.
Walaupun dia tahu perkara yang sebenar mengenai Daniel Iman, tidak ada salahnya kalau dia bertanya daripada Zairiel untuk mengesahkan tentang itu sahaja.
“Saya rindukan Syira, Hana. Saya teringin sangat nak jumpa dengan Syira. Saya nak luahkan apa yang terbuku di hati saya selama beberapa tahun ni pada Syira,” luah Zairiel, sebak.
Farhana hanya mendengar. Matanya memandang wajah menunduk Zairiel. Ada kesedihan pada wajah itu.
“Selama beberapa tahun ni saya mencari Syira. Sehinggalah saya berputus asa. Saya buntu dan tidak tahu di mana saya harus mencari Syira,” beritahu Zairiel lagi.
“Kenapa awak mencari Syira, Zairiel? Itupun kalau awak tak keberatan nak beritahu pada saya,” tanya Farhana sekadar ingin tahu.
“Saya perlu luahkan apa yang terbuku di hati saya selama ini,” jawab Zairiel seraya mengangkat wajah.
“Luahkan?” ulang Farhana.
“Luahkan perasaan saya pada dia. Apa yang saya rasa selama enam tahun ni selepas dia tinggalkan saya tanpa khabar berita,” jelas Zairiel.
“Insya-Allah, awak akan jumpa dengan Syira semula,” kata Farhana, tersenyum.
“Andai kata awak jumpa dengan Syira, tolong beritahu pada Syira yang saya nak sangat jumpa dengan dia. Saya nak jelaskan satu perkara pada dia.”
“Baiklah, Zairiel. Kalau saya jumpa dengan Syira, saya akan sampaikan pesanan awak ni pada dia.”
“Terima kasih, Hana.”
“Perkara kecik saja. Saya gembira jumpa dengan awak semula.”
“Saya pun gembira jumpa dengan awak. Saya tak sangka awak yang menjaga Daniel Iman selama dua bulan ni.”
“Daniel Iman tu comel budaknya. Mungkin disebabkan kehilangan mamanya membuatkan dia memberontak.”
“Mungkin juga. Apa-apa pun, saya ucapkan terima kasih kerana menjaga Danny selama ini,” ucap Zairiel, tersenyum.
Farhana sekadar mengangguk. Direnung wajah tenang Zairiel. Seakan ada kesedihan di wajah itu. Adakah disebabkan Nur Syahirah maka Zairiel beriak begitu?
“Oh ya, sebelum saya terlupa, siapa Mak cik Syira yang Danny maksudkan selama ini? Dia ada kat sini ke?” tanya Zairiel sambil melilaukan mata.
Lagak seperti mencari kelibat seseorang. Entah siapa, dia sendiri tidak pasti. Adakah pengasuh Daniel Iman yang bernama Nur Syahirah itu yang dicarinya?
Gulp! Farhana menelan liur. Kelat! Perlukah dia berterus-terang kepada Zairiel? Perlukah dia memberitahu Zairiel pengasuh yang menjaga Daniel Iman selama ini adalah Nur Syahirah.
“Dia tak datang jumpa Danny ke, Hana?” tanya Zairiel lagi.
Entah kenapa hatinya berdebar-debar ketika ini. Debaran yang dirasai ketika nama Nur Syahirah terdetik di benak hati. Malah, otaknya sedang ligat berfikir. Siapa pengasuh Daniel Iman yang sebenar?
Farhana tidak senang duduk. Hatinya berkira-kira untuk menjawab pertanyaan Zairiel.
“Adakah Syira yang jaga Danny selama ini Nur Syahirah yang saya cari Hana?”
“Eh.. bukan.. bukan Syira kawan kita tu. Syira lain,” bidas Farhana, laju.
“Awak tak bohong dengan saya?” tanya Zairiel sambil mengangkat kening.
“Tak.. tak.. saya tak bohong,” jawab Farhana menggeleng laju.
“Hurm, mungkin betul juga. Lagipun dalam Malaysia ni, berapa ramai yang mempunyai nama yang sama. Mungkin Nur Syahirah yang lain. Betul kan, Hana?” rumus Zairiel.
“Ha.. betul la tu,” sokong Farhana mengangguk kecil.
“Kalau macam tu, saya minta diri masuk ke dalam dulu. Nak tengok Danny. Terima kasih sebab tolong jagakan Danny,” kata Zairiel seraya bangun.
“Sama-sama, Zairiel. Saya pun nak beransur dulu,” tutur Farhana turut sama bangun.
Zairiel mengangguk. Dibawa langkah menuju ke bilik rawatan Daniel Iman. Ucapan syukur meniti di benak hati. Bersyukur kerana berjumpa dengan Farhana semula selepas enam tahun. Berharap, dia akan berjumpa dengan Nur Syahirah selepas ini.
“Zairiel!” panggil Farhana.
Terhenti langkah Zairiel dek kerana panggilan itu. Dipusingkan badan dan memandang ke wajah Farhana. Menanti butir bicara daripada gadis itu.
“Awak cintakan Syira?” tanya Farhana.
Zairiel menghembus nafas ringan. Senyuman terbias di wajah. Tanpa membalas, disambung langkah menuju ke bilik Daniel Iman. Perlukah dia menjawab pertanyaan Farhana itu?


“PAPA!” panggil Daniel Iman bernada ceria.
“Anak papa macam mana? Sihat?” tanya Zairiel sambil duduk di birai katil.
“Sihat papa,” jawab Daniel Iman.
“Dah makan ubat?”
“Dah, papa!”
Good boy! So, boleh la tidur sekarang.”
“Tidur? Kenapa nak tidur kat sini?” tanya Daniel Iman, berkerut.
“Doktor kata, Danny kena tidur sini malam ni. Doktor nak check Danny lagi,” beritahu Zairiel seraya mengusap lembut rambut Daniel Iman.
“Papa kan doktor. Papa sajalah yang check Danny.”
“Tak boleh sayang. Danny ada lelah. Jadi, biar kawan papa check Danny ya.”
“Tapi…”
“Danny dengar cakap papa ya,” pujuk Zairiel lagi.
Daniel Iman mengeluh ringan. Matanya memandang wajah tersenyum Zairiel.
“Danny lapar? Papa belikan makanan untuk Danny.”
“Kak Syira mana?”
Sedari tadi matanya mencari kelibat Nur Syahirah namun tidak berjumpa. Adakah Nur Syahirah berasa bersalah atas apa yang berlaku ketika ini?
Zairiel berkerut dahi. Terkejut mendengar panggilan Daniel Iman terhadap Nur Syahirah.
“Kak Syira mana, papa?” ulang Daniel Iman.
“Kak Syira?” ulang Zairiel, pura-pura.
Daniel Iman tersenyum kelat. Malu tatkala ditegur oleh Zairiel. Pasti papanya terkejut dengan perubahan panggilan buat pengasuhnya itu.
“Kak Syira?” ulang Zairiel sambil mengangkat kening.
“Papa ni, malulah Danny,” tegur Daniel Iman lalu menunduk.
Tertawa Zairiel mendengarnya. Ditarik tubuh Daniel Iman lalu mendakapnya erat. Menyalurkan rasa kasih dan sayang terhadap tubuh itu.
“Kak Syira cantik dan baik,” puji Daniel Iman, ikhlas.
Zairiel meleraikan pelukan. Ditatap kasih wajah anaknya itu.
“Danny minta maaf sebab susahkan papa. Danny…”
“Tak mengapalah sayang. Papa faham!” potong Zairiel sambil mengusap lembut pipi Daniel Iman. Kemudian, dikucup lembut dahi anaknya itu.
“Papa telefon Kak Syira, boleh?” pinta Daniel Iman.
“Telefon Kak Syira?” ulang Zairiel inginkan kepastian.
Daniel Iman mengangguk dan tersenyum.
“Sekejap, papa musykil satu perkara,” ujar Zairiel, berkerut.
Daniel Iman turut sama berkerut. Kurang mengerti maksud ‘musykil’ itu.
“Musyikil tu apa, papa?”
“Maksud musykil tu lebih kurang curiga. Papa musykil dengan Danny sekarang ni. Kenapa tiba-tiba saja Danny sukakan Kak Syira?” balas Zairiel seraya memandang ke wajah Daniel Iman. Menanti jawapan daripada anaknya itu.
“Danny… Danny…”
“Danny apa?”
“Sebenarnya, Danny dah lama sukakan Kak Syira. Danny takut nak cakap dengan papa sebab Danny tak nak papa sukakan Kak Syira,” jelas Daniel Iman.
“Oh, pandai betul anak papa ni main-mainkan papa,” tegur Zairiel seraya menarik lembut hidung Daniel Iman.
“Sakitlah papa!” rengek Daniel Iman seraya mengusap lembut hidungnya yang terasa sakit. Sengihan diberikan kepada papanya itu.
Zairiel ketawa kecil. Didakap tubuh Daniel Iman. Bersyukur kerana Daniel Iman dapat menerima pengasuhnya. Semoga hubungan Daniel Iman dan pengasuhnya akan bertambah baik.
Deringan telefon menyentak Zairiel dan Daniel Iman. Digagau poket seluar lalu mengeluarkan telefon bimbit. Melebar senyumannya tatkala nama pengasuh Daniel Iman tertera di screen telefon. Hatinya turut sama berdebar-debar.
“Danny?” tanya Zairiel sebaik sahaja salam berjawab.
“Danny macam mana, doktor?” tanya Nur Syahirah. Ya Allah, kenapa hati aku berdebar-debar sekarang ni, bisik Nur Syahirah sendirian.
“Danny tak ada apa-apa. Cuma kena tahan malam ni untuk pemeriksaan lanjut,” jawab Zairiel sambil cuba mengawal suara daripada bergetar. Ya Allah, adakah dia Nur Syahirah yang aku cari selama ini?
“Oh, maafkan saya sebab tak ada di sisi Iman. Tiba-tiba saja saya ada hal dan perlu balik segera. Maafkan saya sekali lagi,” jelas Nur Syahirah.
“Eh, tak mengapa. Cik Syira uruskan mana yang penting dulu. Saya tak nak susahkan Cik Syira,” kata Zairiel, lembut.
“Kalau macam tu, boleh saya bercakap dengan Iman?” pinta Nur Syahirah.
“Boleh, apa salahnya. Sekejap, saya pass phone ni pada Danny,” kata Zairiel seraya menghulurkan telefon kepada Daniel Iman.
Daniel Iman mencapai telefon dari tangan Zairiel. Dilekapkan ke telinga dan menanti sapaan daripada Nur Syahirah.
“Iman!” seru Nur Syahirah, lembut.
“Kak Syira!” balas Daniel Iman, ceria.
Berkerut dahi Nur Syahirah mendengarnya. Senyuman terbias di wajah. Syukur kerana Daniel Iman dapat menerimanya sebagai pengasuh.
“Kenapa Kak Syira tak datang lawat Danny?” 
“Kak Syira ada hal. Nanti Kak Syira datang.”
“Okey! Danny tunggu!”
“Insya-Allah, sebelum keluar esok Kak Syira datang ya,” beritahu Nur Syahirah.
“Baiklah! Danny minta maaf sebab susahkan Kak Syira selama ni. Terima kasih sebab jaga Danny,” luah Daniel Iman bernada sebak.
“Tak mengapa Iman. Kak Syira faham.”
“Danny sayang Kak Syira!”
“Kak Syira pun sayangkan Iman.”
“Esok, Kak Syira datang sini ya. Danny tunggu!”
“Insya-Allah, kalau tak ada apa-apa halangan Kak Syira datang jumpa Iman.”
“Danny dah mengantuk. Nak tidur. Selamat malam, Kak Syira,” beritahu Daniel Iman. Dihulurkan telefon kepada Zairiel.
“Baiklah, Iman. Kak Syira sayang Iman. Selamat malam,” ucap Nur Syahirah pula.
“Cik Syira!” seru Zairiel.
Tersentak Nur Syahirah mendengar seruan itu. Dibetulkan suara sambil cuba menahan perasaan malu.
“Farhana ada ke?” tanya Zairiel.
“Hana? Hana belum balik lagi. Sekejap lagi balik la,” jawab Nur Syahirah.
“Oh!” sahut Zairiel.
“Err.. kenapa cari Hana?” tanya Nur Syahirah, curiga.
“Saya ada benda nak tanya dengan Farhana. Cik Syira boleh tolong sampaikan pesanan saya?” pinta Zairiel pula.
“Insya-Allah, apa dia?”
“Kalau Farhana dapat cari Nur Syahirah, minta dia beritahu pada saya,” pinta Zairiel.
Nur Syahirah tersentap. Jantungnya sudah pun berlari laju. Kenapa doktor itu berkata begitu? Kenapa doktor itu mencari Nur Syahirah? Siapa sebenarnya Doktor Zairiel?
“Kalau Farhana perlukan bantuan saya, insya-Allah saya akan bantu.”
“Nur Syahirah? Siapa Nur Syahirah?” tanya Nur Syahirah, tersekat-sekat.
“Kawan baik saya dan Farhana. Dah lama saya cari dia. Syukur alhamdulillah, saya berjumpa dengan Farhana siang tadi. Sekurang-kurangnya, kemungkinan untuk saya berjumpa dengan Nur Syahirah akan menjadi kenyataan,” terang Zairiel, tersenyum.
Semakin kencang jantung Nur Syahirah mengepam. Benarlah firasat hatinya. Doktor Zairiel yang sedang berbual dengannya selama dan ketika ini adalah Zairiel Iqwan.
“Ya Allah, kenapa aku tak sedarinya selama ini?” bisik Nur Syahirah, perlahan.
“Cik Syira!” panggil Zairiel, lembut.
“Ya.. saya!” sahut Nur Syahirah. Masih tersekat-sekat.
“Tolong sampaikan pesanan saya tadi pada Farhana, Cik Syira.”
“Sekejap! Doktor yakin, Farhana yang doktor jumpa siang tadi adalah Farhana, housemate saya?”
“Saya pasti, Cik Syira. Farhana dah cerita semuanya pada saya.”
“Cerita? Cerita apa?” tanya Nur Syahirah, kalut.
Zairiel berkerut dahi. Kenapa suara pengasuh Daniel Iman kedengaran kalut dan bergetar? Seakan ada yang cuba dirahsiakan oleh gadis itu daripada pengetahuannya.
“Cerita apa, doktor?” tanya Nur Syahirah sedikit mendesak.
“Nur Syahirah!” Serentak Zairiel dan Farhana memanggil nama Nur Syahirah.
Nur Syahirah yang mendengar terkedu. Semakin kencang jantungnya berdegup. Apa yang harus dilakukannya ketika ini?




1 ulasan: