Selasa, 26 Ogos 2014

Calon Suami Buat Novelis - Bab 2





NEXT!” suara Qaira.
Next? Aira, dah berapa orang kau reject? Takkan satu pun tak sesuai?” soal Ainul berkerut dahi. Ada nada tidak puas hati.
“Ala, semua tu tak menepati citarasa aku.”
“Citarasa? Hurm… sampai ke sudah la kau takkan jumpa. Bukannya aku tak tahu citarasa kau tu. Nak macam hero-hero dalam novel kau tu kan?”
“Haaa… bijak pun kau.”
Hello! Ini bukan novel. Ini realiti. Okey!”
Qaira tersengih. Kepala yang tidak gatal digaru sekali.
“Mengalahkan nak cari calon suami. Padahal nak cari pembantu pejabat aje.”
Qaira masih lagi tersengih. Wajah pembantunya itu ditatap mesra.
So, bila lagi ada interview?” tanya Qaira kemudian.
Ainul membuka diari berwarna hitam. Matanya meneroka isi di dalam diari itu.
“Minggu hadapan.”
“Okey! Macam biasalah. Kau aturkan semua tu.”
“Ini kali yang terakhir. Kalau kau tolak lagi, kau tanggung sendiri.”
“Yalah… yalah. Membebel macam mak nenek la kau ni.”
Ainul menjegilkan mata.
By the way Aira, petang nanti kau ada meeting dengan pihak atasan. Dia orang nak tengok laporan akaun bulan lepas.”
“Petang ni? Apasal tak beritahu aku awal-awal?”
Emergency! Aku baru dapat tahu daripada Gina pagi tadi. Dia suruh aku sampaikan pada kau.”
“Aku ada hal la Ainul. Aku cadang nak mintak keluar sekejap.”
Ainul menjungkitkan bahu tanda tidak tahu.
“Tak apalah. Aku cuba cancel pertemuan aku dengan mamat tu. Hope dia tak kesah dan tak marahkan aku. Dah banyak kali aku postponed.”
“Mamat? Mamat mana?”
“Sibuk pulak kau ni Ainul.”
“Ala… aku nak tahu gak. Ibu kau nak kenenkan kau dengan lelaki lagi ke?”
“Tak ada maknanya. Aku nak discuss pasal novel aku tu.”
Ainul mengangguk faham. Diari di tangan dipeluk erat.
“Dah alang-alang kau tanya ni, kau ada calon untuk aku tak?” tanya Qaira tersengih.
Ainul membuntangkan mata. Terkejut mendengar pertanyaan Qaira.
“Abang kau ke? Adik kau ke? Sepupu sepapat? Jiran tetangga?”
“Aira, aku ada seorang kakak aje. Mana ada abang dan adik lelaki.”
“Eh, iya tak iya juga. So, tak ada la.”
“Rasanya tak ada. Kalau ada nanti, aku beritahu pada kau.”
“Hurm…” balas Qaira pendek.
“Aku keluar dulu. Tak pasal-pasal melalut pulak nanti. Jangan lupa meeting petang nanti,” pamit Ainul bernada pesanan.
Qaira sekadar berdehem. Dia menghantar langkah Ainul sehingga hilang dari pandangan mata. Tanpa menunggu, dia bangun dari duduk lalu keluar dari bilik itu. Dia perlu berjumpa dengan Encik Ghazali untuk membincangkan tentang penerbitan novelnya.


“JODOH itu rahsia Allah. Lambat dengan cepat aje. Kena yakin pada Allah,” kata Qiara tersenyum. Air minuman disedut perlahan.
“Memang la. Tapi kalau kau tak berusaha, macam mana kau nak jumpa dengan jodoh kau?” balas Niezam menggeleng.
“Aku tengah berusaha la ni. Kau ingat nak cari suami macam cari sayur kat pasar tu ke? Boleh main pilih-pilih aje? Main tunjuk aje?” kata Qaira bernada geram.
Niezam tersengih. Ada benarnya kata-kata Qaira itu.
“Nak cari ‘laki’ memang la berlambak. Kat tepi jalan pun dah boleh dapat. Tapi, kalau nak cari ‘suami’… itu yang susah,” hujah Qaira pula.
 Niezam mengangguk perlahan. Wajah Qaira ditatap seketika. Sudah lama dia mengenali Qaira. Sejak dari universiti lagi. Sikap gadis itu begitu menyenangkan.
“Kau tak ada calon untuk aku ke?”
“Dulu aku nak, kau jual mahal. So, tanggung la.”
“Masalahnya kau tak beritahu aku yang kau suka kat aku. Aku tahu pun daripada Tini. Kalau Tini tak beritahu, sampai ke tua la aku tak tahu yang kau ada perasaan pada aku.”
Niezam menggaru kepala yang tidak gatal. Ada benarnya juga. Memang dulu dia tidak berani berterus-terang. Dalam diam dia menyukai Qaira. Sejak dari semesta pertama lagi. Tetapi disebabkan perubahan Qaira, dia mengelak daripada gadis itu. Dia menjauhi Qaira. Pernah juga mereka berdua bergaduh atas sebab-sebab yang tidak munasabah.
Semua itu hanya tinggal kenangan. Kini, dia sudah pun berkahwin dan mempunyai seorang anak. Hanya doa yang mampu diberikan kepada Qaira agar bertemu dengan seorang lelaki yang dapat membahagiakan gadis itu.
“Kau ingat tak lagi macam mana kita gaduh dulu?”
“Aku ingat. Mana boleh aku lupa tentang tu.”
“Aku mintak maaf. Aku tak tahu siapa betul dan siapa salah.”
“Perkara dah lama. Tak perlulah nak diingatkan lagi.”
Qaira hanya mengangguk. Ada benarnya kata Niezam. Semua itu sudah lama. Biarlah menjadi kenangan dalam kisah hidup mereka.
So, macam mana dengan novel kau? Okey?”
“Ikutkan aku ada discussion dengan Encik Ghazali. Tapi, terpaksa cancel sebab petang ni aku ada meeting.”
“Oh… itu yang kau ajak aku keluar makan.”
Qaira sekadar mengangguk lalu tersengih.
“Nasib baik la aku ni jenis yang baik hati. Bolehlah temankan kau. Kalau tidak… tak ada maknanya nak temankan kau.”
“Ala… dengan aku pun nak berkira.”
“Ah! Kena jugak berkira. Nasib baik la wife aku tu jenis yang tak cemburu. Kalau jenis yang cemburu, tak pasal-pasal kau kena hambat dengan batang penyapu.”
Respect kat wife kau.”
Niezam hanya tersenyum. Rasa bangga kerana memiliki Saleha sebagai isteri.
“Kau tak ada calon untuk aku ke?” Qaira bertanya pada soalan yang sama.
Niezam berkerut dahi.
“Niezam!”
“Yang kau tolak calon-calon ibu kau tu siapa suruh?”
“Yang tu… aku no komen.”
“Dia orang tu semua tak handsome macam aku ke?”
“Kau? Kau handsome?”
Niezam sekadar mengangguk. Seminit kemudian, dia ketawa.
“Calon-calon tu semua tak boleh buat jantung aku berdegup laju.”
“Kau ingat ini novel? Hero dan heroin bertemu. Jantung masing-masing berdegup laju. Begitu?”
“Mestilah! Kalau jantung kita tak berdegup, tak ada perasaan namanya tu. Aku nak tanya kau. Macam mana pertemuan kau dengan Saleha dulu? Jantung kau berdegup laju tak?”
Niezam berfikir sejenak. Cuba merencanakan pertanyaan Qaira. Kemudian, dia mengangguk. Sebagai tanda jawapan kepada pertanyaan gadis itu.
“Haa… aku nak yang macam tu la. Bila aku jumpa dengan seorang lelaki, jantung aku berdegup kencang. Aku rasa serba tak kena. Gelabah! Kalut! Macam pertemuan hero dan heroin ciptaan aku dalam kesemua novel aku tu,” beritahu Qaira penuh perasaan.
“Aduh!” rengek Qaira kemudian tatkala Niezam menepuk dahinya.
“Kau ingat diri kau tu Sofea, Alisya, atau Jasmine? Kau tu Qaira Nur Imani. Bukan heroin yang kau ciptakan tu,” tegur Niezam menggeleng.
Qaira tersengih. Dahi yang terasa sakit diusap lembut.
“Jangan nak samakan diri kau dengan heroin-heroin tu semua. Ini realiti dan bukan khayalan. Kalau kau terlalu memilih, sampai bila-bila pun kau takkan jumpa dengan imam kau,” tegur Niezam bernada nasihat.
Qaira tidak membalas. Kata-kata nasihat Niezam meniti di benak hati.
“Aku tetap doakan untuk kau. Semoga kau bertemu dengan seorang imam yang dapat membimbing kau dunia akhirat,” doa Niezam bernada ikhlas.
Qaira hanya tersenyum. Kepala mengangguk kecil. Ucapan terima kasih meniti di bibir. Rasa beruntung kerana memiliki seorang sahabat seperti Niezam. Semoga hubungan persahabatan kekal hingga ke akhir hayat.


“HAI! Fauzan. 25. Model,” perkenal Fauzan tersenyum.
Qaira membulatkan mata. Wajah Fauzan di hadapan ditatap berserta senyuman di bibir. Kacak!
“Hai Qaira. Emel, 23 dan Pilot,” perkenal Emel pula.
Qaira menoleh ke arah yang bersuara. Wajah Emel menyapa mata. Senyuman di bibir lelaki itu sungguh menawan.
I’m Danish. 26 years old. Chief Executive Officer.” Danish bersuara. Dicapai tangan Qaira lalu mengucup lembut tangan itu.
Qaira tersenyum malu. Dia menundukkan muka memandang jemari sendiri.
“I sudi jadi husband you kalau you sudi.” Fauzan bersuara. Dia menghampiri Qaira lalu duduk di sisi gadis itu.
“Kalau you pilih I, I sanggup buat apa saja yang you suruh. I sanggup korbankan segala-galanya demi you,” kata Emel pula. Dia turut sama duduk di sisi Qaira.
“Ini hadiah I untuk you, Qaira. I sanggup bagi company I pada you kalau you pilih I sebagai husband.” Danish membuat tawaran. Tangan Qaira dicapai lalu digenggam erat.
Qaira tersenyum malu. Wajah ketiga-tiga pemuda di hadapan ditatap silih berganti. Masing-masing mempunyai kelebihan dan keistimewaan tersendiri. Sukar untuk membuat pilihan. Yang mana satu menjadi pilihan?
“Pilih I, Qaira,” suara Emel.
“I akan membahagiakan you,” celah Fauzan.
“I yang paling sesuai untuk you,” sampuk Danish.
Qaira terkedu. Apa jawapan yang harus diberikan kepada ketiga-tiga pemuda itu? Jika dia memilih salah seorang daripada mereka, adakah yang dua lagi dapat menerimanya? Buntu! Buntu ketika ini.
“Pilih I, Qaira.”
Serentak mereka bertiga bersuara. Masing-masing mengasak sehingga menyebabkan Qaira membuntangkan mata.
“Err…”
Qaira mematikan ayat. Tidak tahu bagaimana untuk membuat keputusan.
“I paling sesuai untuk you,” asak Emel.
“I dan bukan dia,” suara Fauzan.
“You patut pilih I dan bukan mereka berdua,” tegas Danish.
Qaira memandang satu persatu wajah di hadapan. Rasa rimas tatkala tubuhnya ditarik dan ditolak oleh mereka bertiga. Rasa nak patah pinggang dan tangannya itu. Dia perlu menghentikan drama itu sebelum melarat.
Stop it!” tegah Qaira meninggi.
Serta merta dia bangun dari duduk. Lagak seperti ketua yang memberi arahan kepada orang bawahannya.
“Qaira Nur Imani!” tegur Encik Borhan sambil menjegilkan mata.
Qaira tersentak. Dihalakan mata ke arah suara yang menegur. Buntang matanya melihat wajah Encik Borhan. Kemudian, dihalakan mata ke arah manusia-manusia yang berada di dalam bilik mesyuarat itu.
“Awak mengelamun Qaira?” soal Encik Borhan pula.
“Err…” Qaira berjeda.
Dia menggaru kepala yang tidak gatal. Malu ketika ini. Berpasang-pasang mata sedang tertumpu ke arahnya. Jantungnya berdegup dengan kencang.
“Mana laporan kewangan bulan lepas?” tanya Encik Borhan.
“Ada… ada. Sekejap Encik Borhan,” balas Qaira sambil mencari laporan kewangan syarikat. Serba tak kena ketika ini.
“Maaf Tuan Haji Saiful. Staf saya ni kalut sikit orangnya,” ujar Encik Borhan tersenyum kelat.
Haji Saiful hanya mengangguk. Matanya memerhati tingkah laku Qaira yang sedang mencari maklumat kewangan.
“Qaira!” panggil Encik Borhan perlahan.
“Haa… sekejap! Saya dah jumpa,” balas Qaira.
Setelah berjumpa, dia bangun dari duduk. Belum sempat dia melangkah menghampiri Encik Borhan, kakinya tersadung di kaki bangku akibat kalut. Tersembam dia ke atas lantai berserta helaian kertas laporan kewangannya itu.
Pekerja-pekerja yang berada di dalam bilik mesyuarat itu terkejut. Masing-masing memandang ke arah Qaira sambil cuba menahan ketawa.
“Qaira, apa kena dengan awak ni?” tanya Encik Borhan keras.
Qaira bangun dari jatuhan. Dia mengibas seluar yang sedikit kotor. Helaian kertas yang bertaburan dikutip satu persatu. Setelah itu, diserahkan kepada Encik Borhan berserta sengihan di bibir. Rasa malu turut menumpang dalam hati.
“Maaf Encik Borhan. Saya gemuruh!” ujar Qaira kemudian.
Dia segera duduk di kerusi. Matanya memandang wajah-wajah yang berada di dalam bilik itu. Pandangannya terhenti ke dua wajah yang tidak dikenali. Siapa lelaki tua di sisi Encik Borhan itu? Di sisi lelaki tua, seorang pemuda yang sedang beriak tidak berperasaan.
“Encik Borhan!” panggil Qaira perlahan.
Encik Borhan menoleh. Wajah Qaira ditatap berkerut.
“Errr… siapa tu?” tanya Qaira pula.
Dimuncungkan mulut ke arah Haji Saiful dan pemuda di sebelah lelaki tua itu. Siapa mereka berdua? Adakah mereka berdua staf baru di syarikat?
“Kan tadi saya dah kenalkan siapa mereka berdua. Siapa suruh mengelamun?” balas Encik Borhan keras.
“Oh, saya lupa. Maaf Encik Borhan,” balas Qaira. Dihalakan mata ke arah kedua-dua tetamu itu.
“Encik ni pembantu pejabat kan?” Selamba Qaira bertanya.
Haji Saiful yang mendengar ketawa besar. Tidak menyangka dengan pertanyaan Qaira. Kepala menggeleng kecil.
“Qaira Nur Imani!” Keras nada Encik Borhan menegur.
“Alamak! Salah! Sorrysorry. Saya duduk dan zip mulut,” suara Qaira bergetar.
Gerun pula dia melihat wajah Encik Borhan. Bukan sekali dia ditegur Encik Borhan, acap kali dia ditegur. Namun teguran itu dibuat endah tak endah sahaja. Apa yang pasti, Encik Borhan berpuas hati dengan hasil kerjanya.
Encik Borhan mendengus kasar. Geram dengan perangai dan sikap Qaira. Sudah puas dia menegur Qaira tetapi gadis itu masih dengan sikap yang sama. Walau bagaimanapun, dia tetap berpuas hati dengan hasil kerja Qaira. Selama ini, Qaira tidak pernah mengecewakannya. Disebabkan itu dia melantik Qaira sebagai Pengurus Akaun syarikat.
“Maaf Haji Saiful,” ucap Encik Borhan kesal.
“Tak apa Borhan. Staf awak ni memang kelakar,” balas Haji Saiful.
Encik Borhan tersenyum kelat.
“Kalau macam tu, kita akan teruskan projek tu. Tentang budget, Encik Borhan jangan risau. Syarikat saya akan suntik modal ke dalam syarikat Encik Borhan.”
“Pastikan budget yang dibuat tidak melebihi budget yang telah kita tetapkan hari tu.”
“Baiklah! Saya akan mintak Qaira sediakan budget tu.”
“Saya?” suara Qaira tiba-tiba.
Mereka yang berada di dalam bilik itu memandang ke arah Qaira. Berkerut dahi masing-masing mendengar pertanyaan Qaira.
“Habis tu kalau bukan awak siapa?” soal Encik Borhan geram.
“Encik Borhan!” Selamba Qaira menjawab.
Haji Saiful ketawa mendengarnya.
“Boleh tak jangan perbodohkan diri sendiri?” tegur seseorang tiba-tiba.
Qaira dan yang lain-lain menghalakan mata ke arah yang bersuara. Wajah di sisi Haji Saiful ditatap berserta kerutan di dahi.
“Membazir masa aje. Kalau dah habis boleh kita balik? Rimas kat sini lama-lama. Tambah-tambah tengok orang memperbodohkan diri sendiri. Ingat lawak ke?”
“Awak maksudkan siapa?” soal Qaira bernada keras.
Adakah dirinya yang dimaksudkan oleh pemuda itu? Tetapi, siapa pemuda di sisi lelaki tua bernama Haji Saiful? Adakah pekerja tuan haji itu?
“Awak terasa ke?” soal pemuda itu pula.
“Saya serahkan semua tu pada Encik Borhan. Kalau ada masalah apa-apa, Encik Borhan boleh hubungi saya,” sampuk Haji Saiful bingkas bangun.
Ada baiknya dia meminta diri daripada menunggu. Khuatir perkara yang tidak diingini berlaku. Lebih baik mengelak daripada berlaku.
“Baiklah tuan haji,” balas Encik Borhan turut sama bangun.
Mereka yang berada di situ turut sama bangun. Masing-masing menghantar pemergian Haji Saiful sehingga di muka pintu bilik.
“Mamat tu mengata aku. Siap kau kalau aku jumpa lagi dengan kau. Aku tenyeh-tenyeh mulut kau dengan cili,” geram Qaira sambil mengepal tangan.
Entah kenapa jantungnya berdegup dengan kencang tatkala memandang wajah pemuda itu. Degupan yang berlainan dari degupan biasa.
“Uit! Kenapa dengan jantung aku ni?” soal Qaira perlahan kepada dirinya sendiri. Disentuh jantungnya yang sedang berdetak hebat.
“Takkan….” Qaira mematikan ayat. Dia terfikirkan sesuatu.
“Tak mungkin!” tukas Qaira menggeleng laju.


Selasa, 19 Ogos 2014

Calon Suami Buat Novelis - Bab 1






“AKU terima nikahnya Qaira Nur Imani Binti Qamil dengan mas kahwin tiga ratus ringgit tunai,” lafaz pengantin lelaki senafas.
“Sah?” tanya tok kadi yang bernama Imam Mahathir.
“Sah!” sebut beberapa orang saksi.
“Alhamdulillah!” ucap Imam Mahathir sekali gus membaca doa.
Tetamu-tetamu yang berada di situ turut sama menadah tangan dan mengaminkan doa. Senyuman terukir di bibir masing-masing.
Usai  berdoa, pengantin lelaki bingkas bangun dari duduk. Dia melangkah menuju ke arah Qaira yang sedang duduk bersimpuh di sisi keluarga. Nafas ditarik dan melepaskannya ringan. Misinya untuk memperisterikan QairaNur Imani, gadis yang diidamkannya selama ini berjaya. Tidak menyangka semudah itu dia berjaya memikat hati Qaira Nur Imani.
Qaira berdebar-debar. Semakin pengantin lelaki menghampiri semakin laju jantungnya berdetak. Belum pernah lagi dia melihat wajah pengantin lelaki. Dia juga tidak mengenali siapa bakal suaminya. Semua itu diatur oleh keluarganya dan dia menerima seikhlas hati perkahwinan ini.
“Aira jari!” suruh Lija bernada keras.
Qaira tersentak. Dihulurkan jari manis ke arah pengantin lelaki. Sebentuk cincin pengikat kasih tersemat indah di jari manisnya itu. Kemudian, huluran tangan suaminya disambut lalu mencium lembut tangan itu. Hatinya berkira-kira untuk mengangkat wajah. Malu untuk menatap wajah suami.
“Terima kasih kerana sudi menjadi isteri abang,” ucap pengantin lelaki.
Dahi Qaira dikucup lembut. Dia tersenyum buat seketika.
Qaira mengangkat wajah. Buntang matanya melihat wajah di hadapannya itu.
“Hai sayang!” suara suaminya dan tersengih.
“Tidak!!!” jerit Qaira bingkas bangun.
Sungguh dia terkejut melihat wajah lelaki itu. Bertambah terkejut melihat gigi lelaki itu yang rongak dan berlubang.
“Tidak! Tidak!”
Qaira menjerit buat kali yang kedua.
“Aduh!” rengek Qaira kemudian.
Pantas dia membuka mata. Melilau matanya melihat keadaan sekeliling. Adakah dia di majlis perkahwinan atau di tempat lain?
“Hahahaha…” gelak Lija tiba-tiba.
Qaira terkejut. Dihalakan mata ke arah suara ketawa.
“Kau ni dah kenapa sampai cium lantai bagai. Kau mimpikan apa?” tegur Lija seraya melangkah menghampiri Qaira.
Qaira tidak membalas. Dia bangun dari jatuhan dan mengusap punggungnya yang terasa sakit.
“Kau mimpikan hero-hero ciptaan kau tu ke? Hero yang mana satu yang kau mimpi kali ni?” tanya Lija pula. Berminat untuk tahu.
“Hero rongak!” balas Qaira geram.
“Rongak?” ulang Lija berkerut dahi.
“Mamat rongak tu la!”
“Maksud kau, Kamal rongak?”
“Huh! Kacau daun betul. Punya la best mimpi aku ni. Bukan senang aku nak mimpi kahwin kau tahu tak?”
Lija yang mendengar ketawa besar. Kepala menggeleng kecil.
“Ingatkan handsome la suami aku tu. Tup-tup keluar muka Kamal rongak. Langkah seribu aku bagi. Kalah Michael Jordan.”
Semakin galak Lija ketawa. Wajah tegang Qaira ditatap mesra.
“Buang karan betul!” geram Qaira lagi.
“Siapa suruh tidur tengah hari kembang macam ni. Kan dah mimpi Kamal rongak.”
Qaira mendengus kasar. Dia bersandar di sofa. Jam di dinding dikerling buat seketika. Masa baru merangkak ke pukul satu petang.
“Kau keluar tak hari ni?”
Qaira berfikir sejenak.
“Kalau kau tak keluar, aku nak keluar sekejap. Nak beli barang sikit.”
“Aku ada date!”
Date? Dengan siapa? Kau tak beritahu aku pun yang kau ada date.”
“Ibu aku tu la. Tak habis-habis nak cari calon suami untuk aku. Naik bosan aku kau tahu tak,” beritahu Qaira mengeluh ringan.
“Oh!” sambut Lija sepatah.
“Kau nak keluar pukul berapa?” tanya Qaira seraya memandang ke wajah Lija.
Lija hanya membisu. Otaknya sedang ligat berfikir.
“Wei mak cik! Kau nak keluar pukul berapa?” tegur Qaira keras.
“Haaa… apa… apa… Kau jatuh dalam longkang,” latah Lija terkejut.
Qaira ketawa melihat tingkah Lija. Tidak menyangka Lija akan melatah.
“Kau ni Aira. Aku sekeh baru tau,” geram Lija sambil mengurut dada.
Qaira masih lagi ketawa. Tidak diendahkan kemarahan Lija.
“Kau nak keluar pukul berapa?” ulang Qaira pada pertanyaannya tadi.
“Tak jadi!” jawab Lija masih meredakan diri sendiri.
“Tak jadi? Kenapa pulak?”
“Aku nak ikut kau dating sama. Boleh tak?”
What?!”
“Ala, bolehlah! Aku nak juga tengok calon suami yang ibu kau cadangkan tu.”
“Eh, mana boleh!”
“Apasal pulak tak boleh?”
“Nanti kau berkenan pulak dengan dia kalau dia handsome. Tak boleh! Tak boleh! Tak boleh!” tegas Qaira sambil menggeleng.
“Ala… bolehlah Aira. Aku janji tak mengorat calon suami kau tu,” janji Lija sambil mengangkat tangan. Lagak seperti orang memberi sumpah sahaja.
No! Muktamad!” tolak Qaira bingkas bangun.
“Bolehlah Aira!” pujuk Lija lagi.
No way!” putus Qaira dan beredar dari situ.
“Aira! Aira!” panggil Lija.
Namun panggilannya itu tidak bersambut. Kelibat Qaira sudah pun menghilang di sebalik pintu bilik.
“Ah! Aku peduli apa. Aku tetap nak ikut!” tegas Lija lalu berlalu ke bilik.


“YALAH ibu. Kalau ibu tak percaya, ibu datang la sini,” tegas Qaira berserta nafas ringan.
“Ibu tetap tak percaya,” tegas Puan Noraini pula.
Qaira mengeluh untuk kesekian kali.
“Aira tu suka main-mainkan ibu.”
“Kalau ibu tak percaya, ibu tanya Lija. Dia ada kat sebelah Aira.”
“Lija? Lija ikut sekali ke?”
“A’ah!”
“Kan ibu dah pesan, datang seorang diri. Degil!”
Qaira ketawa kecil.
“Melencong entah ke mana la tu. Perginya tidak nanti. Percayalah cakap ibu ni.”
“Ibu, ada gunanya Lija ni. Dibuatnya calon ibu tu ada masalah mental, naya Aira nanti. Tak pasal-pasal keluar muka hadapan surat khabar ‘Gadis Diculik atau dibunuh oleh Pesakit Mental’. Siapa yang susah? Ibu juga kan?” terang Qaira bernada serius.
“Hisy.... ada ke cakap macam tu,” tegur Puan Noraini serius.
Qaira tersengih. Kepala yang tidak gatal digaru.
“Calon ibu tu orang baik-baik. Anak Haji Mahadi, tok imam kat masjid sini.”
“Haji Mahadi? Tok imam? Yang mana satu?”
“Tok imam masjid tepi jalan tu.”
“Oh, tok imam tu. Aira ingatkan tok imam dalam novel Aira tu.”
“Qaira Nur Imani!” tegur Puan Noraini sedikit meninggi.
Sorrysorry. Janganlah marah ibu. Aira main-main aje,” pujuk Qaira lembut.
“Suka main-mainkan ibu.”
Qaira ketawa kecil dan tersengih. Matanya terpandangkan Lija yang baru keluar dari tandas. Berkerut wajah kawan baiknya itu.
“Okeylah ibu. Aira letak dulu. Aira dah nampak calon ibu tu.”
“Hurm… ingat pesanan ibu hari tu. Jangan nak kenakan orang lain.”
“Yalah, ibu. Tapi, boleh tahan calon ibu ni. Dari belakang tengok macam Hafizi, hero Aira dalam Cinta Encik Jutawan. Bila dekat, nampak macam Aeril, hero My Best Husband!” beritahu Qaira sambil matanya tertancap ke sesusuk tubuh yang membelakanginya.
“Ini bukan novel Qaira Nur Imani. Ini realiti!” geram Puan Noraini.
“Okey… okey! Aira pergi jumpa calon ibu tu ya. Senyum sikit!” balas Qaira tersenyum. Dikerling Lija yang sudah pun berada di sisi.
“Ingat Aira! Jangan nak kenakan budak tu pulak,” amaran Puan Noraini.
Yes madam!”
Qaira menyahut sambil mengangkat tangan kanan. Seperti memberi tabik hormat pada ketua. Seminit kemudian, dia mematikan talian. Nafas ditarik dan dilepaskan ringan.
“Apa kes?” soal Lija berminat.
“Kes biasa!” jawab Qaira tersenyum.
“Ibu takut kau buat balik la tu.”
“Ala… biasalah. Itulah cara untuk aku mengelak daripada berjumpa dengan calon-calon tu semua.”
“Sampai bila kau nak mengelak. Lambat laun, kau kena juga pilih salah seorang daripada calon yang ibu kau kenalkan.”
Qaira tidak membalas. Otaknya sedang ligat berfikir.
“Mana dia?” tanya Lija sambil melilaukan mata.
Qaira mendiamkan diri. Otaknya sedang memikirkan sesuatu.
“Aira, itu ke dia?”
Lija bertanya buat kali yang kedua. Diunjuk ke arah seorang pemuda yang sedang duduk membelakangi mereka berdua.
“Haaa!!!” sebut Qaira tiba-tiba.
“Opocot kau jatuh tergolek!” latah Lija sambil melompat.
Qaira yang melihat membesarkan mata. Terkejut melihat tingkah Lija sebentar tadi.
“Aira!!!” tegur Lija keras.
Sorry la beb. Aku tak sengaja,” kesal Qaira tersengih.
Lija mengurut dada. Wajah Qaira dipandang tajam.
“Kau ni baru sergah sikit dah nak melatah. Ntah apa-apa ntah,” kutuk Qaira selamba.
Lija tidak membalas. Dia masih mengurut dada yang berdegup pantas.
“Hurm… macam menarik dan tertarik aje,” beritahu Qaira.
“Siapa? Siapa?” tanya Lija berminat.
Qaira hanya tersenyum. Dia melangkah menghampiri pemuda yang sedang duduk sambil meneguk minuman.
“Hai!” tegur Qairadaripada belakang.
Pemuda yang bernama Sharmin itu terkejut. Tersembur air yang baru diteguknya.
Qaira yang melihat ketawa. Geli hati melihat tingkah pemuda itu.
“Qaira!” tegur Lija pula sedikit geram.
Qaira tersengih. Dia melabuhkan duduk di kerusi berhadapan dengan Sharmin.
“Hai!” tegur Qaira kemudian.
Sharmin tidak membalas. Dia mencapai tisu lalu mengelap mulut yang sedikit kotor.
“Dah lama tunggu?” tanya Qaira dalam nada sengau.
Lija yang mendengar menahan ketawa. Dia melabuhkan duduk di sisi Qaira.
“Saya Qaira Nur Imani. Awak anak tok imam Haji Mahadi kan?”
Lija menyiku lengan Qaira. Masih cuba menahan ketawa tatkala mendengar suara sengau Qaira. Pasti Qaira sedang berlakon ketika ini.
Sharmin hanya memandang. Kelu lidahnya untuk bersuara. Rasa terkejut mengenali Qaira Nur Imani. Berbeza dengan apa yang diketahui daripada ayahnya.
“Kenapa diam ni? Suara saya sedap sangat ke?”
“Haa… tak ada.”
Qaira menahan ketawa. Riak di wajah Sharmin diperhati dalam diam.
“Awak….”
“Kenapa? Awak terkejut sebab suara saya sengau ke?”
Sharmin sekadar mengangguk.
“Ala… biasalah tu. Kan kita nak dijodohkan. Mestilah cakap yang baik-baik.”
“Tapi…”
“Saya mintak diri dulu. Bye!” ujar Qaira lalu bangun dari duduk.
Lija turut bertingkah yang sama. Dia mengekori Qaira daripada belakang.
“Aaaa…. Aaawakk!!” panggil Sharmin.
Qaira tidak mengendahkan panggilan Sharmin. Dia melangkah keluar dari dalam restoran. Seminit kemudian, pecah ketawanya itu. Ketawa yang ditahan-tahan sejak dari tadi.
Lija turut sama melepaskan ketawa. Kepala menggeleng memikirkan tingkah Qaira.
“Mampus kalau ibu aku tahu,” ujar Qaira masih ketawa.
“Kau tengok tak muka dia tadi. Macam nak terkeluar bijik mata dia disebabkan terkejut,” kata Lija sambil menekan perut. Geli hati!
Qaira hanya ketawa. Dia turut sama menggeleng mengenangkan tingkahnya tadi.
“Eh… kejap… kejap.”
Qaira mematikan ketawa. Berkerut dahinya memandang Lija.
“Bukan ke part tadi macam dalam novel….”
“Dia, My Wife!” sahut Qaira.
“Haaa… kau ni Aira. Pandai betul!” puji Lija menggeleng.
Qaira tersengih. Ingatannya mengimbas semula jalan cerita dalam novelnya yang bertajuk ‘Dia, My Wife!’. Apa yang sedang dilakukannya ketika ini, merupakan sebahagiaan dari dalam novelnya.
So, nak ke mana?” tanya Lija ingin tahu.
“Pantai!” jawab Qaira laju.


“QAIRA ni memang nak kena betul,” geram Puan Noraini.
Telefon bimbit di tangan digenggam erat. Sakit hati selepas mendapat tahu tentang Qaira daripada Haji Mahadi.
“Buat malu aje dengan Haji Mahadi tu,” sambung Puan Noraini lagi.
“Hai, yang awak membebel seorang-seorang ni kenapa? Awak bebelkan apa?” tegur Encik Qamil dari arah belakang.
Puan Noraini terkejut. Diurut dada yang berdegup kencang.
Sorry! Abang tak sengaja,” ujar Encik Qamil kesal.
Puan Noraini tidak membalas. Wajah Encik Qamil ditatap dengan pandangan tajam.
“Awak bebelkan apa?”
“Anak kesayangan awak tu la. Buat hal lagi.”
“Anak saya? Siapa anak saya?”
Encik Qamil mengusik. Wajah isterinya ditatap kasih.
“Awak jangan nak bergurau pulak Encik Qamil. Puan Noraini sedang marah.”
Encik Qamil yang mendengar ketawa. Matanya masih menatap wajah Puan Noraini.
“Anak awak tu buat hal lagi. Anak awak berlakon sengaukan suara. Terkejut budak Sharmin tu. Tak pasal-pasal saya kena explain dengan Haji Mahadi,” terang Puan Noraini dalam nada geram. Dengusan kasar terlepas dari bibir.
Semakin galak Encik Qamil ketawa. Kepala menggeleng mendengar tentang Qaira.
“Abang!”
“Dia, My Wife!”
“Apa yang Dia, My Wife?”
“Novel anak awak la. Kan ada part tu dalam novel.”
Puan Noraini berfikir sejenak. Otaknya cuba mengimbas isi kandungan di dalam novel Dia, My Wife!.
“Yang awak sibuk-sibuk nak kenenkan dia dengan anak Haji Mahadi tu kenapa? Awak sendiri dah tahu perangai anak awak tu macam mana. Yang awak buat juga tu kenapa?” soal Encik Qamil menggeleng.
“Kalau saya tak buat macam tu, sampai bila-bila pun anak kita tu tak kahwin. Umur makin meningkat. Entah apa yang difikirkan Qaira tu pun saya tak tahu. Itu tak kena. Ini tak kena. Lelaki macam mana lagi yang dia nak,” bebel Puan Noraini.
“Macam hero dalam novel dia la. Awak ni, Ani. Itu pun tak tahu.”
Selamba Encik Qamil menjawab. Dia segera beredar dari ruang tamu menuju ke bilik. Kepala menggeleng mengenangkan tingkah Puan Noraini. Selama ini, bukannya dia tidak tahu tindakan Puan Noraini. Masuk yang ke lima kali Puan Noraini merancang. Namun satu pun rancangan tidak berjaya. Qaira masih lagi mengelak untuk dijodohkan.
Puan Noraini hanya memandang. Sakit hati mendengar jawapan daripada suaminya itu. Nafas ditarik dan melepaskannya ringan. Cara apa lagi yang perlu dilakukan supaya Qaira berkahwin. Perlukah dia mengatur perkahwinan tanpa pengetahuan Qaira seperti yang digambarkan dalam novel. Atau dalam erti kata lain, kahwin paksa!
“Novel? Kahwin paksa?” sebut Puan Noraini berkerut dahi.