BAB 2
Hari
ini merupakan hari pertama Aisya bekerja. Semangat bekerjanya meluap-luap
sehinggakan dia boleh tersandung di pintu bilik. Nadia yang mengetahui Aisya
sudah memperolehi pekerjaan turut tumpang gembira dan menghadiahkan Aisya
sehelai baju kurung moden. Aisya amat terharu dengan pemberian Nadia dan
berjanji akan bekerja sebaik mungkin.
Aisya mengenakan baju kurung moden yang dihadiahi oleh
Nadia. Sambil dia membelek-belek dirinya di hadapan cermin, Nadia menerjah
masuk ke dalam bilik dengan tiba-tiba.
“Kau ni, buat terkejut aku jelah.
Dah tak da keje lain apa nak main sergah-sergah aku pagi-pagi buta ni,” bebel
Aisya sambil mengusap-usap dada yang berdegup kencang dengan tiba-tiba. Mukanya
turut berubah pucat.
Nadia hanya tersengih. Semenjak dia mengetahui akan
kelemahan Aisya, makin ligat dia menakut-nakutkan Aisya.
“Kau pergi naik apa?”
“Ada driver datang amik aku. Kenapa?”
“Ha!” terlopong mulut Nadia mendengarnya. “Serius?” suara
Nadia lagi.
Aisya ketawa melihat reaksi Nadia. Dia hanya bergurau tetapi
Nadia menganggapnya benar. Dia melangkah keluar dari bilik tanpa menghiraukan
Nadia yang masih terlopong.
Setibanya Aisya di Menara Holding, dia diminta untuk
melaporkan diri di Bahagian Sumber Manusia yang diketuai oleh Encik Hamdan.
Setelah diperkenalkan dengan kesemua staf yang ada, Aisya diminta untuk
mengkaji pelan rancangan pasaraya yang akan di buka di Perak. Hari permulaan
yang baik buat dirinya. Dia amat bersyukur kerana diberi peluang bekerja di
sebuah syarikat yang ternama di Kuala Lumpur.
“Aisya, jom kita lunch!”
ajak Nurul pada tengahari itu.
Aisya mendongak kepala memandang Nurul. Kelihatan sebuah
senyuman terukir di bibir Nurul.
“Aisya ada kerja sikit nak buat kak,” tolak Aisya lembut
tidak mahu menyakitkan hati Nurul.
Walaupun baru hari pertama dia bekerja di Menara Holding,
dia bersyukur dengan layanan dan penerimaan kakitangan lain terhadapnya. Di
dalam hati dia mengucap syukur kepada ALLAH.
“Jomlah! Kerja, kerja juga… tapi, time makan kena makan juga,” balas Nurul tidak mahu mengalah. Dia
sudah pun menarik tangan Aisya tanpa sempat Aisya bersuara. Aisya terpaksa akur
dengan tindakan Nurul.
“Eh Tengku Hariz, Tengku dah makan?” tegur Nurul apabila
berselisih dengan Tengku Hariz di muka pintu utama. Tengku Hariz hanya
mengangguk dan tersenyum. “Saya pergi lunch
dulu Tengku,” sambung Nurul dan segera beredar dari situ. Aisya yang
terkedek-kedek berjalan segera mempercepatkan langkahnya kerana dikhuatiri
Nurul akan menunggu terlalu lama. Dengan tidak semena-mena, dia terlanggarkan
Tengku Hariz.
“Maaf… tak sengaja,” ujarnya perlahan. Mukanya ditundukkan.
Tidak berani untuk melihat muka lelaki itu. Dikhuatiri akan dimarahi nanti.
“Tak mengapalah. Saya pun salah juga,” balas Tengku Hariz
dan melangkah jalan masuk ke dalam pejabat. Entah mengapa moodnya hari ini kurang baik. Semenjak dua menjak ini, fikirannya
asyik memikirkan seseorang. Dia yakin, orang itu bukanlah Sharifah Aleeya,
tetapi seseorang yang tidak dikenalinya. Seseorang yang membuatkan jantungnya
berdegup dengan kencang. Seseorang yang selalu mengganggu tidur malamnya.
Aisya mengangkat muka. Matanya mengekori langkah lelaki itu.
Melihatkan susuk tubuh itu, hatinya berdegup kencang. Dadanya di usap lembut.
Entah mengapa dia dapat merasakan debaran di hati. Seperti ada sesuatu yang telah
mengusik tangkai hatinya itu.
“Aisya!!” laung Nurul dari arah pintu utama. Aisya terkejut
dan menoleh. Pantas dia mengatur langkah menuju ke pintu utama dan mendapatkan
Nurul di situ.
Mereka berdua berjalan beriringan menuju ke restoran
berhampiran. Aisya hanya membisu. Fikirannya asyik memikirkan seseorang. Siapa?
Dia tidak pasti. Dia juga ingin bertanyakan Nurul tentang gerangan lelaki yang
ditegur Nurul tadi. Adakah lelaki itu sekadar pekerja sama sepertinya ataupun
berjawatan tinggi darinya. Mungkin ada baiknya aku bertanya pada Kak Nurul,
bisik hatinya.
“Siapa tadi tu kak?” tanya Aisya ingin tahu. Persoalan
itulah yang bermain-main di fikirannya sedari tadi. Dia menceduk lauk ke dalam
pinggan sambil menunggu jawapan dari Nurul.
“Siapa? Yang akak tegur tadi tu ke?” ulang Nurul ingankan
kepastian. Dikhuatiri akan tersalah memberi info
kepada Aisya.
Aisya mengangguk. Dia mengekori Nurul ke kaunter bayaran dan
membayar harga makanan dan minuman yang telah diambil. Setia menunggu jawapan
dari Nurul.
Nurul melabuhkan punggung di kerusi. Soalan Aisya tadi
dibiarkan begitu sahaja. Sengaja membuat Aisya tertunggu-tunggu.
Aisya duduk berhadapan dengan Nurul. Setelah membasuh
tangan, dia menyuap nasi ke dalam mulut. Matanya masih lagi memandang ke wajah
Nurul. Menunggu jawapan dari soalannya tadi.
“Oh! Itulah bos kita. Tengku Hariz Iskandar Bin Tengku
Azman. Aisya jangan main-main dengan dia, dia tu ikut mood sikit. Kalau mood
dia baik, baiklah dia… kalau mood dia
tak baik, mahu di hamun satu office
sampai pecah barang tau,” cerita Nurul dengan muka yang sengaja diseriuskan.
Aisya menelan liur. Berkerut seribu dahinya. Gerun pula dia
mendengarnya. Dia memandang Nurul yang sedang khusyuk menjamu selera.
“Kenapa? Tak percaya?” tanya Nurul apabila menyedari pandangan
Aisya itu. Lagaknya seperti iklan di televisyen sahaja.
Aisya hanya tersenyum. Apa yang menjadi persoalan dia
sekarang samada dia perlu percaya dengan kata-kata Nurul ataupun tidak. Selagi
dia tidak berjumpa sendiri dengan bos, dia tidak boleh membuat satu kesimpulan
mengenai bos berdasarkan cerita dari Nurul. Tak pelah, lambat laun aku akan
jumpa juga dengan dia. Akukan pekerja bawahannya, bisik hati kecilnya sambil
meneruskan suapan nasi ke dalam mulut.
“Siapa yang pandai-pandai sangat ni? Saya tak minta di ubah
mahupun di tokok tambah dalam laporan ni. Awak tak faham dengan arahan saya ke
Nurul. Berapa lama awak dah bekerja dengan saya Nurul, takkan itu pun awak
masih tak faham-faham!” marah Tengku Hariz sambil melemparkan fail di hadapan
Nurul. Kecut perut Nurul melihat kemarahan Tengku Hariz. Belum pernah dia
dimarahi seteruk hari ini. Jika ada pun hanya sekadar teguran kecil sahaja.
Nurul teringatkan Aisya. Aisya ada bertanya jika dia boleh
mengubah atau menokok tambah maklumat di dalam laporan tersebut. Dia tidak tahu
untuk menjawab persoalan Aisya dan hanya mengiyakannya sahaja. Silap dia juga
kerana memandai-mandai memberi arahan kepada Aisya yang baru beberapa jam
bekerja di syarikat ini. Sepatutnya dia lebih arif akan kesilapan itu memandangkan
dia sudah lima tahun bekerja di Menara Holding. Hisy!! Aku pulak yang
dipersalahkan. Bukan aku yang ubahnya, Aisya! Marahnya di dalam hati.
“Maafkan saya Tengku. Saya terlupa nak bagitau pada staf
baru kita supaya jangan diubah mahu pun ditokok tambah dalam laporan ini,”
jelas Nurul tersekat-sekat seperti meletakkan ke semua kesalahan itu kepada
Aisya.
“Staf baru?” ulang Tengku Hariz berserta kerutan.
Nurul mengangguk. Tengku Hariz termenung seketika. Dia agak
terkejut dengan kehadiran pekerja baru dipejabatnya. Lantas dia menghubungi
Encik Hamdan untuk mengesahkan perkara itu. Setelah mengesahkannya, dia meminta
Nurul memanggil staf baru itu sambil cuba mencari fail peribadi pekerja
tersebut. Ah!! Mana pulak aku letak fail tu, geramnya di dalam hati.
Tengku Hariz memberi arahan masuk apabila terdengar pintu
biliknya diketuk seseorang. Dia masih lagi mencari-cari fail peribadi staf baru
itu. Habis mejanya bersepah dek kerana pencariannya itu. Di selongkarnya juga
di kabinet fail dan di dalam laci, namun tidak ditemuinya juga.
“Awak staf baru di sini?” tanya Tengku Hariz sambil
membongkok mencari fail apabila menyedari kehadiran seseorang di dalam
biliknya.
“Ya Tengku. Saya pekerja baru di sini,” jawab Aisya ringkas.
Dia kehairanan melihat bosnya terbongkok-bongkok seolah-olah sedang mencari
sesuatu. Apahal dengan dia tu, aku pantang betul bila bercakap tak pandang
muka. Kurang ajar namanya tu, marah Aisya di dalam hati apabila terlihat reaksi
Tengku Hariz terhadap kehadirannya di dalam bilik itu.
“Awak sebagai pekerja baru di sini, siapa yang beri awak hak
untuk ubah atau tokok tambah laporan yang telah diluluskan dalam mesyuarat
lembaga. Awak sepatutnya tahu polisi syarikat dan juga tugas awak. Encik Hamdan
tak briefing awak sebelum awak
mulakan kerja?” Jelas Tengku Hariz yang masih lagi menunduk.
Sayup-sayup penjelasan itu masuk ke gegendang telinga Aisya
tetapi masih jelas di dengari olehnya. Nasib baik aku dah korek telinga aku
malam tadi. Kalau tidak, sepatah haram pun aku tak dapat tangkap apa yang kau
katakan tadi, ngomel Aisya pula.
“Ada Tengku. Maafkan saya jika saya berbuat salah. Saya rasa
laporan itu kekurangan maklumat, maka disebabkan itulah saya mengubah dan
menambah maklumat dalam laporan itu,” bela Aisya dengan nada yang tegas. Dia yakin
bahawa dia di pihak yang benar. Ada baiknya dia berterus-terang daripada
berpura-pura. Dia pelik kenapa laporan sebegitu boleh diluluskan di dalam
mesyuarat lembaga sedangkan isi kandungan berterabur dan tidak mengikut format
yang betul.
“Apa hak awak untuk mempersoalkan laporan saya itu,”
tengking Tengku Hariz seraya mendongakkan kepala untuk memandang Aisya.
Aisya terkejut. Tengku Hariz tersentak. Masing-masing
terdiam seketika. Lama mereka berpandangan. Aisya mulai berasa tidak selesa dan
gelabah apabila ditenung tajam oleh Tengku Hariz. Alamak!! Mamat nilah yang aku
langgar kat restoran hari tu. Macam mana aku boleh terjebak kerja kat syarikat
dia ni, bisiknya dan mengalih pandangan ke arah lain.
Tengku Hariz bingkas bangun dan melangkah perlahan ke arah
Aisya. Macam aku kenal je minah ni, tapi di mana ya, desisnya. Tengku Hariz
memandang tajam Aisya. Berkerut-kerut dahi Tengku Hariz memikirkannya.
“Saya minta maaf sekali lagi Tengku. Jika perbuatan saya itu
menyalahi polisi syarikat, saya akan ubah laporan itu ke asal semula. Jika
tiada apa-apa lagi, saya minta diri dulu,” suara Aisya cemas apabila menyedari
dirinya direnung begitu tajam oleh Tengku Hariz. Dia tidak begitu selesa dengan
renungan itu. Baik aku cabut dulu, detik hati Aisya.
Tengku Hariz sekadar mengangguk. Ekor matanya sahaja yang
menghantar langkah Aisya keluar dari bilik. Namun, dia masih lagi cuba untuk
mengingati Aisya. Di mana ya?
“Oh! Aisya Lyana Sofea Binti Ahmad Nordin.” Bisik Tengku
Hariz dan tersenyum sinis.
Fail peribadi Aisya yang berada di genggaman di belek dan di
baca isi kandungannya. Dia benar-benar kagum dengan pencapaian serta taraf
pendidikan yang di miliki oleh Aisya. Gambar Aisya di amati betul-betul dan
terlintas sesuatu di fikiran. Ha! Minah sengal ni la yang langgar aku kat
restoran ari tu. Aku ingat lagi, dia ni yang sengaja buat aku naik hangin ari
tu sampai aku terlewat hadir ke mesyuarat,
marah Tengku Hariz. Matanya tidak berkelip dari memandang gambar Aisya. Tak
pe, aku nak tengok berapa lama kau boleh bertahan kerja kat sini, sambungnya
lagi.
Tengku Hariz meletak fail peribadi Aisya di atas meja
semula. Badan disandarkan ke belakang. Kedua-dua belah tangan di letakkan di
atas dahi. Matanya tertancap ke siling pejabat. ‘Aisya Lyana Sofea’. Nama itu
meniti di benak hati. Terasa debaran di dada. Terasa jantung berdegup kencang.
Ada sesuatu yang mengusik tangkai hati. Wajah Aisya terbayang di tubir mata.
Hisy… kenapa pulak aku ingatkan pompuan tu? Dia dah jatuhkan maruah aku. Dia
dah malukan aku dengan pertikaikan harga baju aku, geram Tengku Hariz. Aku
perlu usir dia dari syarikat aku. Aku akan pastikan dia dipecat secepat
mungkin. Dia belum kenal siapa Tengku Hariz Iskandar lagi. Tengku Hariz
memasang azam. Senyuman sinis terukir di bibir.
“Aduh! Macam mana ni?’ rungut Aisya sambil mundar-mandir di
hadapan cermin. Wajahnya pucat serta-merta. Tidak mengangka akan berjumpa
dengan lelaki yang telah memalukannya dahulu. “Kalau aku tahu dia bos syarikat
ni, tak ingin aku nak kerja kat sini,” sambung Aisya. Dia mengamati wajahnya di
hadapan cermin. Terpancar kerisauan di wajah itu. “Ah!! Pedulikanlah dia. Aku
kerja kat sini sebab nak cari rezeki yang halal. Buat tak tahu aje sudahlah,”
kata Aisya cuba menyedapkan hatinya sendiri. Dia mengemaskan penampilan dan segera
keluar dari ladies room itu. Dia
bertekad untuk tidak memikirkan tentang bosnya lagi.
Aisya kembali semula ke tempatnya. Dia duduk dan melemparkan
sebuah senyuman kepada Nurul. Nurul yang memandangnya berkerut seribu. Lantas
dia bangun dan menghampiri Aisya.
“Kenapa?” tanya Nurul. Matanya tepat ke muka Aisya.
“Kenapa apa kak?” ulang Aisya berdebar-debar. Dia dapat
merasakan ada sesuatu yang ingin disampaikan oleh Nurul.
“Aisya ada buat salah ke?” tanya Nurul serius.
“Ha… buat salah? Mana ada kak? Siapa yang cakap?” soal Aisya
bertubi-tubi lantas berdiri. Dadanya semakin kencang. Tidak pernah dia
merasakan sekencang itu. Risau di hati apabila diberitahu telah melakukan
kesalahan. Baru hari pertama dia bekerja. Mana mungkin dia akan melakukan
kesalahan.
“Tengku Hariz!” jawab Nurul selamba. Dia kembali semula ke
tempatnya. Sengaja membiarkan Aisya bermain dengan perasaan.
“Tengku Hariz?” ulang Aisya berserta kerutan. Hisy… apa hal
pulak ni? Hatinya risau.
“Tengku Hariz minta Aisya hantarkan dokumen atas meja tu ke
alamat yang tertera. Dokumen tu penting dan hari ini tarikh tutupnya,” beritahu
Nurul setelah puas membuatkan Aisya tertanya-tanya. Hatinya tercuit melihat
wajah kerisauan Aisya.
Aisya mengusap dada. Hatinya kembali tenang. Jika itu yang
dipinta, dia akan melakukannya. Tetapi kenapa perlu dia yang menghantarnya?
Kenapa tidak budak pejabat sahaja yang menghantarnya? Persoalan yang sedang
bermain-main di fikirannya.
“Cepat Aisya! Tengku nak Aisya hantarkan dokumen tu sebelum
pukul 5.00 petang ni. Kalau tidak, Aisya akan dipecat!” arah Nurul keras. Dia
khuatir akan dimarahi oleh Tengku Hariz sekali lagi. Dan dia tidak mahu
dimarahi lagi.
Aisya mengerling jam di tangan, tepat pukul 3.15 petang. Dia
berkira-kira di dalam hati. Mana mungkin dia sempat tiba di alamat yang tertera
sebelum masa yang ditetapkan. Masa perjalanan ke tempat itu sudah memakan
hampir sejam. Untuk mencari pejabat tersebut, satu masalah pula. Bagaimana jika
dia tidak sampai pada masa yang ditetapkan? Mungkinkah dia akan dipecat? Berkerut-kerut
dahinya memikirkan persoalan itu.
“Aisya pergi dulu kak,” putus Aisya selepas lama berfikir.
Dia mencapai beg tangan serta dokumen tersebut dan berlalu pergi dari situ.
“Hmm…” balas Nurul tanpa sedikit pun menoleh ke arah Aisya.
Senyuman terukir di bibir. Dia pasti Aisya tidak akan sempat tiba di pejabat
tersebut. Jika betul tekaannya, sudah pastilah Aisya akan dimarahi oleh Tengku
Hariz dan dia mahukan itu berlaku. Kemarahan Tengku Hariz tadi masih lagi
bersisa di hati. Betapa sakit hati apabila dimarahi sebegitu tanpa memikirkan
perasaannya.
Aisya menunggu di perhentian teksi. Matanya membelingas ke
kiri dan ke kanan mencari-cari kelibat teksi. Sudah hampir 15 minit dia
menunggu, namun kelibat teksi, tidak juga kelihatan. Peluh sudah pun merenik di
dahi. Lantas, dia mengambil tisu di dalam beg tangan lalu mengelap peluh
tersebut. Hatinya menyumpah seranah Tengku Hariz. Sepertinya Tengku Hariz
sengaja untuk mengenakannya dan menyusahkannya.
Setelah hampir setengah jam menunggu, barulah kelibat teksi
kelihatan. Dia segera memboloskan diri masuk ke dalam perut teksi dan
mengarahkan pemandu teksi menghantar ke alamat yang diberikan. Dia juga meminta
pemandu itu mempercepatkan perjalanan. Masa masih lagi berbaki sejam untuk
sampai ke pejabat tersebut. Dia tidak mahu di pecat dan dia juga tidak mahu
dianggap lemah oleh Tengku Hariz. Dia yakin Tengku Hariz sengaja menguji dan
mencabarnya. Dan dia menyahut cabaran itu. Dia perlu melaksanakannya. Dia perlu
membuktikan bahawa dia seorang yang bertanggungjawab.
Tengku Hariz masih mengekori teksi yang dinaiki oleh Aisya.
Dia sengaja berbuat begitu kerana ingin menguji Aisya. Dia yakin Aisya akan
berputus asa. Dia yakin Aisya tidak akan sempat tiba di pejabat itu
memandangkan masa sudah menginjak ke 4.20 minit. Mengikut perkiraan, dari
tempat Aisya berada hingga ke pejabat itu, memakan masa setengah jam dan dia
yakin Aisya akan gagal dalam tugasan itu. Dan dia akan meraikan kemenangan.
Aisya akan dipecat dan dia tersenyum apabila memikirkannya.
“Pakcik… berapa lama lagi nak sampai ni?” rungut Aisya
bernada cemas. Dia mengerling jam di dashbox,
hampir 4.35 petang.
“Jam teruk nak.
Pakcik rasa anak takkan sempat sampai sebelum pukul 5.00 ni,” jawab pemandu
teksi itu serba salah. Dia mengerling wajah Aisya dari cermin pandang belakang.
Ada kerisauan pada wajah itu.
“Kalau dari sini, berapa jauh lagi pakcik?” tanya Aisya
lagi. Jika jaraknya tidak jauh, dia terpaksa mengambil alternative lain untuk ke pejabat itu.
“Erm… masuk simpang depan tu, sampailah nak,” jawab pemandu
itu sambil jari telunjuk menunjuk ke arah jalan yang dimaksudkan olehnya tadi.
Aisya melihat ke arah jalan yang ditunjukkan oleh pemandu
itu. Jika dilihat dari mata kasar, tidaklah terlalu jauh. Mungkin dia perlu
membuat satu keputusan. Keputusan yang mungkin akan menyusahkan dirinya
sendiri. Jika tiada pilihan lain, dia terpaksa melakukannya juga, asalkan dia
dapat menghantar dokumen itu pada masa yang ditetapkan.
“Kalau macam tu, saya turun di sini sajalah pakcik. Berapa
tambangnya?” ujar Aisya sambil mencari dompet dari dalam beg tangan.
“Eh nak… jauh tu. Penat kalau anak nak berjalan ke sana,”
beritahu pemandu itu risau. Biar betul budak ni, desisnya.
“Tak pe pakcik. Dah tak sempat ni,” tegas Aisya sambil
mengeluarkan sekeping not RM50 dari dompetnya. Dihulurkan kepada pemandu
tersebut dan huluran disambut. “Bakinya pakcik simpan ajelah. Terima kasih!”
sambung Aisya dan segera keluar dari perut kereta dan melangkah jalan menuju ke
simpang yang diberitahukan oleh pemandu itu tadi. Dia perlu cepat memandangkan
masa hanya berbaki sepuluh minit sahaja.
Tengku Hariz tersentak seketika. Sungguh tidak menyangka
yang Aisya akan bertindak seperti itu. Bertindak dengan berjalan kaki hingga ke
pejabat tersebut. Rasa bersalah menyerbu perasaan. Namun disebabkan ego, dia
menafikan tindakan Aisya itu. Bodoh! Sanggup berjalan kaki semata-mata nak
hantar dokumen tu. Perempuan jenis apa dia tu? Kutuk Tengku Hariz. Matanya
masih lagi melihat kelibat Aisya yang sedang berlari anak menuju ke simpang
hadapan. Mesti kau takut aku pecat kau kan? Duga Tengku Hariz. Dia tersenyum
sinis apabila memikirkannya.
“Assalamualaikum,” tegur Aisya sebaik sahaja tiba di kaunter
hadapan pejabat tersebut. Dia mengawal pernafasannya buat seketika. Berjalan
sejauh itu amat memenatkan. Sudah lama dia tidak berjogging dan kepenatan amat dirasai.
“Waalaikumussalam. Ya cik, boleh saya bantu?” balas gadis
merangkap penyambut tetamu itu. Sebuah senyuman manis dihadiahkan kepada Aisya.
“Saya nak hantar dokumen ni. Maaflah terlewat seminit,” beritahu
Aisya sambil menghulurkan sampul surat putih kepada gadis tersebut.
Berkerut dahi gadis itu menerimanya. Dokumen apa yang
dimaksudkan oleh tetamu itu? Dia membuka sampul surat tersebut. Seminit
kemudian, dia menepuk dahi dan tertawa apabila melihatkan isi kandungan dokumen
tersebut.
“Kenapa cik?” tanya Aisya kehairanan. Hairan mendengar gadis
itu ketawa. Seakan-akan mengejeknya. Sambil menunggu, dia mengelap peluh yang
sudah pun membasahi dahi.
“Cik… dokumen ni untuk Encik Mazlan. Tidak ada yang pentingnya
pada dokumen ni. Hanya surat rasmi dan beberapa borang dari Tengku Hariz untuk
Encik Mazlan saja,” jelas gadis itu berserta tawanya yang masih bersisa.
Kepalanya digelengkan. Kesian!
Berderau darah Aisya mendengarnya. Terasa darah panas
menyerbu ke muka. Terasa amarahnya menerjah ke dalam diri. Terasa Tengku Hariz
sengaja mempermain-mainkannya. Terasa Tengku Hariz sengaja
memperbodoh-bodohkannya. Jika diikutkan hati yang panas, mahu saja dia merampas
dan mengoyak dokumen tersebut. Melepaskan rasa marah dan geram terhadap Tengku
Hariz.
“Tak mengapalah cik. Saya dipertanggungjawabkan untuk
menghantar dokumen ini dan telah pun saya laksanakannya. Saya minta diri dulu.
Terima kasih,” ujar Aisya lembut. Cuba menyembunyikan perasaan sebenar.
“Baiklah! Sama-sama,” balas gadis itu dengan senyuman yang
tidak lekang di bibirnya.
Aisya segera meninggalkan pejabat tersebut. Hatinya
benar-benar panas dengan apa yang berlaku. Mati-mati dia telah ditipu oleh
Tengku Hariz. Terasa mahu menampar dan menendang Tengku Hariz. Begitu mudah dia
dipermain-mainkan. Begitu mudah dia diperbodoh-bodohkan. Apa motif Tengku Hariz
sebenarnya? Patutlah nalurinya kuat menyatakan yang Tengku Hariz sengaja
menguji dan mencabarnya. Tengku Hariz sengaja menyusahkannya. Dan betullah
tekaannya itu.Tengku Hariz memang sengaja! Geram hatinya.
Aisya terduduk seketika. Melepaskan lelahan di situ.
Melepaskan keluhan yang berat di situ. Entah mengapa hatinya tiba-tiba sayu dan
sedih. Begitu mudah dia ditipu. Begitu mudah dia membenarkan dirinya tertipu.
Jika dulu dia ditipu oleh Tengku Azizul, dan hari ini dia ditipu sekali lagi
tetapi dengan cara yang berbeza. Dia mengetuk-ngetuk dahinya. Memarahi dirinya
sendiri. Tidak semena-mena air mata menitis perlahan di pipi. Pantas dia
menyeka air mata itu.
Setelah puas menyelami hati dan perasaan, bingkas dia bangun
dan mencari sebuah teksi untuk pulang ke rumah. Dia sudah penat untuk berfikir.
Baru hari pertama dia bekerja di Menara Holding, dia sudah diuji dengan ujian
yang sengaja direka untuk mempermain-mainkan serta memperbodoh-bodohkannya.
Bodoh betul aku ni, getus hatinya lagi.
Tengku Hariz ketawa melihat kelibat Aisya keluar dari
pejabat itu. Dia merasakan kemenangan. Gembira apabila melihat musuhnya
kecundang. Padan muka kau! Baru kau kenal siapa aku yang sebenarnya. Kau jangan
ingat aku akan lupakan peristiwa itu. Aku akan pastikan kau dipecat dan
berhenti dari syarikat aku. Tengku Hariz memasang azam.
Entah mengapa ketawanya itu mati dengan tiba-tiba tatkala
melihat riak muka Aisya yang sedih. Dan terlihat Aisya sedang menyeka air
matanya sendiri. Buat seketika, hatinya rasa bersalah dengan apa yang telah
dilakukan olehnya terhadap gadis itu. Hatinya sebak dan sedih melihatkan wajah
sedih itu. Pedih hatinya melihatkan air mata yang mengalir perlahan di pipi
gadis itu. Kenapa dengan aku ni? Kenapa aku rasa sedih melihatkan air mata dia?
Ah!! Apa semua ni? Jerit hatinya sambil mengusap dadanya yang tiba-tiba terasa
sebu. Tanpa membuang masa, dia segera beredar dari situ. Tidak sanggup berlama
di situ. Jika berlama, entah apa lagi yang akan difikirkan tentang gadis itu.
Ada baiknya dia berehat di rumah sahaja. Lantas dia menghalakan kereta pulang
ke rumah.
“So, amacam first day keje, okey tak?” soal Nadia sambil menghulurkan secawan milo panas kepada
Aisya dan duduk bersebelahan Aisya. Aisya menoleh sekilas dan huluran Nadia di
sambut dengan sebaris senyuman. Milo panas dihirup perlahan-lahan.
“Okeylah, not bad!” jawab Aisya ringkas sambil
meletakkan cawan di atas meja bersebelahan sofa yang mereka berdua duduki.
Matanya masih tertancap ke arah televisyen yang sedang menayangkan drama
lakonan pujaannya Azhar Sulaiman.
“Okey aje? Bos kau
macam mana pulak? Handsome tak? Dah
kahwin ke belum?” tanya Nadia bertubi-tubi tanpa ada full stop.
Aisya mencebik. Meluat! Nadia disebelah dipandang sekilas.
Sengaja membiarkan Nadia ternanti-nanti jawapan darinya.
“Erm… bolehlah dikategorikan ‘Jejaka Idaman Malaya’ masa
kini,” jawab Aisya acuh tak acuh.
Jejaka Idaman Malaya? Uwekk!! Loya tekak aku menyebutnya,
kutuk Aisya pula. Entah mengapa dia jadi hangin bila nama Tengku Hariz
dibincangkan. Mungkin insiden di restoran tempoh hati masih segar diingatan dan
tidak mungkin akan dilupakan begitu sahaja. Mungkin juga disebabkan peristiwa
petang tadi menambahkan lagi kebencian terhadap Tengku Hariz. Jika Nadia tahu
apa yang berlaku pada petang tadi, sudah pastilah Nadia akan turut sama
mengutuk Tengku Hariz.
Nadia menegakkan badannya. Terjegil matanya mendengar
kata-kata Aisya. ‘Jejaka Idaman Malaya’? Kalau aku jumpa, aku ngorat
habis-habis, desis Nadia sendirian.
“Kau tak terpikat ke?” duga Nadia membuatkan Aisya tergelak
dengan tiba-tiba.
“Terpikat? Apa kes aku nak terpikat dengan dia pulak.
Mengarut betullah kau ni Nadia,” sangkal Aisya dalam tawanya yang masih
bersisa.
Berkerut dahi Nadia mendengar jawapan Aisya. Bukan niat dia
untuk bertanyakan soalan itu, tetapi jawapan dari Aisya itu yang penting. Dia
mahu Aisya bahagia dan tidak mahu dibayangi dengan kenangan silam lagi. Biarlah
masa menentukan segala-galanya.
“Terpikat?” ulang Aisya ketika berada
di dalam bilik. Dia tertawa kecil. Dia tahu apa yang Nadia cuba sampaikan.
Selama ini bukan saja Nadia malah mak dan adiknya tidak putus-putus berharap
agar dia mencari pasangan hidup secepat mungkin. Kata-kata Nadia sebentar tadi
menerjah ke dalam kotak fikiran.
“Aisya, kau jangan seksa hidup kau.
Berilah peluang pada diri kau sendiri untuk mencari kebahagiaan yang kau
impikan selama ini. Yang lepas biarlah lepas. Jangan jadikan kenangan lepas
sebagai penghalang untuk kau mencari kebahagiaan sendiri. Aku yakin kau akan
bahagia suatu hari nanti.”
“Bahagia?” Bisik Aisya perlahan. Dia
melelapkan matanya sambil melepaskan keluhan yang berat.
“Adakah lagi sinar bahagia untukku
Nadia?” soal Aisya sendirian.
Jika Nadia berada di hadapan, mahu saja
dia bertanya tentang kebahagiaan apa yang Nadia inginkan darinya. Hati sering
tertanya-tanya. Adakah kebahagiaan itu akan mewarnai kehidupannya semula?
Adakah kebahagiaan itu akan membuatkan dirinya tersenyum semula? Adakah
kebahagiaan itu nanti akan merobekkan semula hatinya? Dia terlena dengan
persoalan yang diciptakannya tadi. Semoga hari esok menjanjikan yang lebih baik
dari hari ini.
best..
BalasPadamthanks.. enjoy reading!! :)
BalasPadamBestttnyer :)
BalasPadamterima kasih kerana membaca HM.. ;)
PadamBestt Gilaaaaa . Chaiyok :D
BalasPadamterima kasih coz sudi membaca HM.. :)
Padam