Jumaat, 23 Disember 2011

Hatimu Milikku - Bab 15 (New Edited)


BAB 15

“Kenapa termenung ni Aisya? Aisya ada masalah ke?” soal Puan Suhaila sambil duduk bersebelahan Aisya. Dia risau melihat keadaan Aisya yang asyik termenung. Seperti orang yang dilanda masalah negara sahaja.
Sesampainya Aisya di rumah malam semalam, Aisya lebih selesa mengurungkan diri di dalam bilik daripada duduk di luar. Perubahan Aisya menggusarkan naluri keibuannya.
Aisya memandang sekilas ke wajah Puan Suhaila. Satu keluhan berat dilepaskan perlahan-lahan. Kepala dilentokkan ke bahu Puan Suhaila. Diusap lembut oleh Puan Suhaila dengan penuh kasih sayang. Selama ini hanya Puan Suhaila tempat Aisya bermanja.
“Hati Aisya sakit mak, sakit!” rintih Aisya lembut. “Kenapa Aisya tidak bahagia seperti orang lain?” sambung Aisya. Tangannya sudah melingkar ke pinggang Puan Suhaila.
“Aisya, setiap apa yang berlaku ada hikmahnya nak. Mak tahu Aisya sekarang ni sedang berperang dengan hati Aisya sendiri. Mak tak tahu siapa lelaki tu, tapi mak tahu anak mak jadi sampai begini disebabkan lelaki kan!” pujuk Puan Suhaila.
Aisya mengangkat muka. Wajah Puan Suhaila dipandang sayang. Mak ni macam tau-tau aje apa yang tersirat di dalam hati aku ni, Aisya berbisik.
“Tak mak, bukan disebabkan lelaki,” bidas Aisya pantas. “Tak ada gunanya kalau Aisya berharap pada dia. Lagipun siapalah Aisya di matanya? Kami umpama langit dengan bumi, enggang dengan pipit. Bagaimana Aisya nak luahkan perasaan Aisya kalau dia tak rasakan apa yang Aisya rasakan?” luah Aisya. Kepala dilentokkan semula ke bahu Puan Suhaila.
Tiada apa yang perlu dirahsiakan. Setiap kali mempunyai masalah, kepada Puan Suhaila tempat dia mengadu. Kini, dia jelas dengan perasaannya. Pintu hati yang telah lama ditutup telah dibuka perlahan-lahan dan diisikan dengan nama Tengku Hariz Iskandar Tengku Azman.
“Hai, tadi kata bukan disebabkan lelaki. Pastu kata bagai enggang dengan pipit la… apa la…” usik Puan Suhaila. Itulah yang diluahkan Aisya tadi.
Aisya menepuk dahinya. Dia sudah tersalah langkah. Ingin berahsia, last-last dia juga yang membocorkannya.
“Memanglah bukan disebabkan lelaki, tapi disebabkan insan yang bernama ‘lelaki’.” Aisya menekankan perkataan ‘lelaki’ di hujung ayatnya itu.
“Eh… bukan sama ke? Tak pelah Aisya, Insya-ALLAH akan ada sinar bahagia yang menanti Aisya. Percayalah nak. Anak makkan kuat. Bersabarlah sayang,” nasihat Puan Suhaila lembut sambil menepuk lembut bahu Aisya. Ya ALLAH, kuatkanlah hati anakku dalam menghadapi semua dugaan dalam hidupnya. Cukuplah penderitaan yang di alaminya selama ini, rintih Puan Suhaila dalam sedu dan sebak. Dalam dia memohon kepada ALLAH, ingatannya kembali kepada kenangan enam tahun yang lepas. Kenangan yang telah meragut kepercayaannya selama ini.


“Apa yang Puan Sharifah maksudkan ni?” tanya Encik Ahmad Nordin kurang mengerti. Wajah majikannya itu ditatap curiga.
“Kau jangan nak pura-pura tak tahu Ahmad,” sindir Puan Sharifah Rohana. Matanya mencerlung ke arah Aisya. “Kau tanya anak kesayangan kau tu, apa yang dia dah buat dengan anak aku,” sambung Puan Sharifah Rohana meninggi.
Encik Ahmad Nordin mengerutkan dahi. Matanya beralih ke arah Aisya yang sedang tunduk memandang lantai. Selepas diberitahu akan niat Tengku Azman untuk menyunting Aisya menjadi menantu mereka, dia seakan-akan tidak mempercayainya. Mana mungkin anak seorang driver layak berkahwin dengan anak orang berada, apatah lagi berketurunan ‘Tengku’ pula tu. Tak pernah terlintas di fikiran untuk menjadi besan kepada majikannya. Namun, selepas dipujuk dan diyakinkan oleh Tengku Azman, hendak tak nak, dia terpaksa bersetuju menerima pinangan Tengku Azman sekeluarga.
“Saya tak faham Puan Sharifah. Cuba Puan Sharifah terangkan pada saya, apa yang sebenarnya berlaku?” tanya Encik Ahmad Nordin, masih samar-samar.
“Macam mana kau tak boleh tau Ahmad?” sinis Puan Sharifah Rohana bertanya. “Kau tahu tak yang anak kau tu dah perangkap anak aku. Pandai betul kau ajar anak kau Ahmad suruh tackle anak orang kaya. Dah tu anak aku pulak yang kau pilih. Siap tuduh anak aku yang mengandungkan anak kau. Entah anak siapa yang dikandungkan tu, anak aku pulak yang dijadikan kambing hitam.” Jelas lagi nyata Puan Sharifah Rohana menerangkannya.
Rasa marah dan sakit hatinya terhadap Aisya masih belum lagi reda. Kelancangan mulut Nadia masih lagi terngiang-ngiang di cuping telinganya. Jika diikutkan hati panasnya masa itu, mahu saja dia mencili-cilikan mulut Nadia itu. Tergamak Nadia menuduh Tengku Azizul merogol Aisya. Entahkan betul atau tidak Nadia mempunyai bukti untuk menyabitkan anaknya ke muka pengadilan. Hisy!! Geram aku dibuatnya. Mahu aje aku bagi penampar sebijik kat Nadia tu, marah Puan Sharifah Rohana di dalam hati.
Tergamam Encik Ahmad Nordin mendengarnya. Betulkah apa yang dijelaskan oleh Puan Sharifah Rohana itu? Aisya mengandung? Lantas dia mencerlungkan matanya ke arah Aisya. Diperhatikan anaknya itu dari atas ke bawah. Rasa marahnya menjalar di dalam tubuh dengan tiba-tiba. Tunggu masa untuk melepaskannya sahaja.
“Betul ke Aisya? Cakap dengan abah perkara yang sebenarnya?” jerkah Encik Ahmad Nordin. Dia menghampiri Aisya yang masih tunduk memandang lantai. “Cakap Aisya! Abah nak dengar dari mulut kau sendiri!!” tengking Encik Ahmad Nordin pula. Tangannya sudah di genggam erat. Cuba menahan kemarahannya ketika itu.
“Nak… cakap nak. Betul ke apa yang Puan Sharifah tu katakan?” desak Puan Suhaila pula yang sedari tadi membisu. Matanya tajam ke arah Aisya. Lantas dia menghampiri Aisya dan menggoncang-goncang badan Aisya. Berharap agar Aisya bersuara.
Namun tindakan Puan Suhaila itu tidak mendatangkan hasil. Aisya mengeraskan tubuhnya dan membisu. Tidak tahu apa yang perlu diperjelaskan lagi. Semuanya sudah ternyata benar.
“Maafkan Aisya!” hanya ayat itu yang mampu keluar dari mulut Aisya.
Tersentap jantung Encik Ahmad Nordin dibuatnya. Ucapan maaf dari Aisya membuktikan apa yang diperkatakan oleh Puan Sharifah Rohana itu adalah benar. Sungguh dia merasa kecewa dengan apa yang berlaku. Tergamak Aisya menconteng arang ke mukanya. Terasa begitu hina sekali di hadapan Tengku Azman sekeluarga.
“Kenapa Aisya? Kenapa Aisya buat abah dan mak macam ni? Abah tak pernah ajar anak-anak abah buat perkara yang tak baik, perkara yang tak elok. Kurang ke didikan yang abah dan mak berikan pada Aisya selama ini,” kesal Encik Ahmad Nordin sebak. Dia mengusap dadanya yang terasa sebu tiba-tiba.
“Abah!” panggil Aisya pantas mengangkat muka. “Aisya tak bersalah abah. Aisya dianiaya. Aisya dirogol,” lafaz Aisya tegas. Sungguh itulah yang berlaku. Kesalahan Tengku Azizul tidak mungkin akan dimaafkan.
“Oh!! Jadi kau nak tuduh anak aku yang aniaya kau, begitu?” herdik Puan Sharifah Rohana tiba-tiba. Matanya tajam menikam ke muka Aisya. Sakit hatinya apabila Tengku Azizul dipersalahkan.
“Ya!! Tengku Azizul yang rogol saya!! Lelaki tak guna!! Lelaki pengecut!!” jerit Aisya sekuat hati. Sakit hatinya apabila dia dituduh sengaja menganiaya Tengku Azizul.
Panggg!!!
Satu tamparan hinggap di pipi Aisya membuatkan Aisya jatuh terjelepuk ke lantai.
“Abah tak pernah ajar Aisya meninggikan suara terhadap orang yang lebih tua. Kalau abah tahu begini perangai Aisya yang sebenarnya, dah lama abah bunuh kau Aisya. Sepatutnya abah biarkan kamu mati dalam stor sekolah tu dulu, kalau hidup hanya untuk memalukan abah dan mak,” hambur Encik Ahmad Nordin meninggi. Dia mengusap-usap dadanya yang terasa sakit dengan tiba-tiba.
“Aisya memang tak bersalah. Tengku Azizul yang rogol Aisya!!” jerit Aisya masih menegakkan kebenaran. Dia mengusap pipinya yang terasa sakit akibat ditampar oleh Encik Ahmad Nordin tadi. Belum pernah dia ditampar sebegitu, dan hari ini dia merasai tamparan itu.
“Aisya!!” marah Puan Suhaila. “Kenapa kurang ajar dengan abah? Menyesal mak lahirkan kau Aisya, kalau begini perangai kau selama ini,” sambung Puan Suhaila lagi. Dia menghampiri Encik Ahmad Nordin dan cuba untuk menenangkan perasaan suaminya itu.
“Huh!! Hebat betul lakonan korang anak beranak. Tak payahlah nak bazirkan air mata palsu korang tu. Jijik aku tengoknya. Aku bagi amaran pada kau Aisya. Jangan ingat aku akan terima kau sebagai menantu aku walaupun kau dah berkahwin dengan anak aku. Aku akan pastikan hidup kau menderita dalam rumah ni. Baru kau tahu langit tu tinggi atau rendah,” ugut Puan Sharifah Rohana. Matanya tajam ke muka Aisya. “Dan kau Ahmad, selama ini kau memang nak menumpang harta kekayaan kami. Kalau tak, kau takkan ajar anak kau untuk goda anak aku. Kenapa kau tak ajar dia goda anak lelaki kaya yang lain? Kenapa anak aku yang kau pilih?” hina Puan Shairfah Rohana.
Menyirap darah Encik Ahmad Nordin mendengarnya. Terlalu berat pertuduhan dan penghinaan yang dihamburkan Puan Sharifah Rohana terhadap keluarganya. Puan Suhaila sudah mengurut dada menahan amarah di hati. Aisya hanya menggeleng-gelengkan kepala. Hatinya pilu dan sedih apabila melihat abahnya dihina dengan sebegitu sekali.
“Maafkan saya Puan Sharifah, memang saya tak pandai nak mengajar anak. Saya pun tak ajar anak saya untuk goda anak Puan Sharifah. Tapi, itu tidak bermakna Puan Sharifah ada hak untuk menghina keluarga saya,” bidas Encik Ahmad Nordin agak keras. Puan Sharifah Rohana dipandang tajam. Jika diikutkan hati mahu saja dia menampar muka Puan Sharifah Rohana. Tetapi, apa hak dia untuk berbuat begitu kerana selama ini yang memberi makan dan minum keluarganya adalah duit gaji yang diberikan oleh Puan Sharifah Rohana sekeluarga.
Puan Sharifah Rohana mencebik. Terasa meluat mendengar kata-kata Encik Ahmad Nordin itu.
“Aku nak kau ingat sampai bila-bila Aisya. Aku akan pastikan kau menderita dalam rumah ni,” ugut Puan Sharifah Rohana lagi. Seminit kemudian, dia meninggalkan ruang dapur itu. Terasa puas hatinya kerana dapat menyedarkan Aisya dari mimpi yang indah. Disebabkan Aisya, Tengku Azizul dipaksa berkahwin walaupun hati tidak merelakannya. Kau terimalah akibatnya nanti, bisik hati kecil Puan Sharifah Rohana diselangi dengan tawanya yang sinis
“Abah… Aisya tak bersalah. Aisya dirogol. Aisya teraniaya,” ulang Aisya pada perkara yang sama. Dia perlu menyakinkan kedua-dua orang tuanya itu. Tangan Encik Ahmad Nordin diraih dan dicium, namun ditepis kasar oleh Encik Ahmad Nordin.
Tersentak Aisya dengan tolakan Encik Ahmad Nordin itu. Terasa diri dipersalahkan di atas apa yang berlaku. Terasa diri dipandang hina oleh kedua-dua orang tuanya itu. Sungguh dia kecewa dengan sikap Encik Ahmad Nordin dan Puan Suhaila.
“Mak… percayalah pada Aisya. Selama ini Aisya tak pernah malukan mak dan abah. Aisya pegang kepercayaan mak dan abah. Aisya benar-benar tak bersalah,” rayu Aisya lagi. Kali ini air mata sudah mengalir dengan deras. Jika tadi dia dapat menahan air mata dari gugur, kali ini dia tidak dapat menahannya lagi.
“Disebabkan kepercayaan kami itulah, Aisya sanggup memalukan kami. Aisya salah gunakan kepercayaan yang kami berikan tu. Abah kecewa dengan Aisya,” luah Encik Ahmad Nordin kecewa. Kata-kata Puan Sharifah Rohana sebentar tadi menambahkan kelukaan di hati. Terasa dihina yang amat sangat. Belum pernah dia merasa sehina itu. 
“Abah… mak… maafkan Aisya. Ampunkan Aisya mak, abah,” rintih Aisya pula berserta esakan tangisan. Tangan Encik Ahmad Nordin dicium beberapa kali tetapi tidak mendatangkan simpati pada Encik Ahmad Nordin yang hanya membatukan diri.
Encik Ahmad Nordin menahan sebak di dada. Terasa sakit dadanya ketika itu. Kisah disebalik perkahwinan Aisya begitu melukakan hatinya. Berita Aisya mengandung menambahkan kekecewaannya. Terasa dirinya gagal menjadi seorang ayah.
Puan Suhaila mendengus kasar. Kata-kata hina Puan Suhaila membuatkan hatinya menjadi panas. Belum pernah dia merasa terhina sebegitu. Disebabkan Aisya, dia dan suaminya terpaksa menelan kesemua kata-kata hina itu.
“Mak… maafkan Aisya,” rintih Aisya lagi. Kali ini tangan Puan Suhaila cuba diraihnya. Dan seperti Encik Ahmad Nordin, Puan Suhaila juga menepis kasar tangan Aisya.
“Kau memang anak yang dah memalukan kami Aisya. Penat kami membesarkan kau dengan kasih sayang, bagai menatang minyak yang penuh. Tapi, apa yang kau berikan pada kami. Kata-kata penghinaan yang kami dapat disebabkan kau,” marah Puan Suhaila sedari tadi tidak tertahan. Rasa sakit di hati masih lagi bersisa.
“Ya ALLAH mak… tolong jangan mengungkit kasih sayang mak dan abah berikan pada Aisya. Aisya benar-benar minta maaf. Aisya bersalah kerana malukan mak dan abah,” luah Aisya lagi. Esakannya semakin kuat kedengaran. Sukar untuk menggambarkan betapa sedihnya tatkala mendengar kata-kata yang dikeluarkan oleh Puan Suhaila itu.
Encik Ahmad Nordin sekadar mendengar. Hatinya benar-benar kecewa dan sakit. Dirasakan dadanya semakin menekan, semakin berombak dan semakin sakit. Entah mengapa juga pandangannya semakin kelam dan kabur. Hanya senyuman hampa yang mampu terukir di bibir tuanya. Dilihatnya Aisya masih teresak-esak menangis, terasa sayu dan pilu melihat anaknya itu. Dosa apa yang telah dilakukannya sehingga dia dihukum sebegitu rupa. Mungkin dosanya yang silam membuatkan Aisya terpaksa menerima tempiasnya. Ya ALLAH, aku serahkan takdir anakku padaMU. Lindungilah dia. Tabahkan hatinya. Seminit kemudian, tubuhnya terasa ringan dan dia rebah di situ juga.
“Abang… abang…Ya ALLAH, abang!” jerit Puan Suhaila. Segera dia menerpa ke tubuh suaminya. Aisya yang masih lagi teresak-esak turut sama menerpa ke tubuh Encik Ahmad Nordin. Dia menggoncang tubuh Encik Ahmad Nordin dan menghalakan jari ke hidung Encik Ahmad Nordin. Kemudian itu dia menggelengkan kepala. Air mata yang sempat di seka, mengalir dengan deras semula.
“Abah… abah… maafkan Aisya abah… maafkan Aisya…” rintih Aisya sambil menggoncang tubuh kaku Encik Ahmad Nordin. Puan Suhaila sudah pun terduduk. Terkejut melihat tubuh kaku suaminya. Kepala digeleng berkali-kali. Tidak mempercayai bahawa Encik Ahmad Nordin akan meninggalkannya buat selama-lama.
“Kau jangan sentuh suami aku. Pergi kau dari sini. Disebabkan kau, aku kehilangan dia, orang yang aku sayang,” marah Puan Suhaila sambil menolak badan Aisya ke belakang. Aisya tersungkur ke belakang. Air mata makin deras mengalir.
“Maafkan Aisya abah… maafkan Aisya mak… Aisya bersalah pada mak dan abah, maafkan Aisya!” rayu Aisya lagi sambil memegang tangan Puan Suhaila. Namun pantas ditepis oleh Puan Suhaila.
“Aku jijik dengan kau. Pergi kau dari sini!” tengking Puan Suhaila.
Menggeletar seluruh badan Aisya mendengar tengkingan Puan Suhaila. Belum pernah Puan Suhaila menengking mahupun memarahinya selama ini. Tapi, pada malam ini, semuanya berubah dalam sekelip mata. Dia mengesot ke tepi dinding. Kedua-dua belah kakinya dipeluk erat. Tubuh kujur Encik Ahmad Nordin dipandang tanpa berkelip. Dia merasakan pandangannya semakin kabur. Sekelip mata dia pengsan di situ.


“Menyusahkan betul! Dia ingat boleh bersenang-lenang lepas berkahwin dengan anak aku. Jangan nak bermimpi Aisya. Aku akan pastikan kau menderita dalam rumah ini,” ugut Puan Sharifah Rohana. Tubuh Aisya di hadapan di pandang penuh kebencian. Setelah puas, dia meninggalkan tubuh itu sendirian di dalam bilik.
Aisya membuka mata. Terasa diri sedang diulit mimpi ngeri. Suara ugutan Puan Sharifah Rohana sayup-sayup menembusi ke gegendang telinga. Dalam keadaan terpisat-pisat, dia melihat keadaan sekeliling bilik itu. Baru sebentar tadi dia berbual dengan mak dan abahnya, kenapa dia boleh berada keseorangan di dalam bilik ini?
“Aisya!” seru Nadia sambil melabuhkan punggung di sisi Aisya. “Kau okey ke?” soal Nadia pula. Tangannya sudah menggenggam erat tangan Aisya.
“Mana mak dan abah aku?” tanya Aisya. Soalan Nadia ditolak tepi.
Nadia melemparkan pandangan ke luar jendela. Tidak sanggup untuk menatap wajah Aisya ketika ini.
“Nadia, mana mak ngan abah aku?” ulang Aisya keras. Nadia di sisi dipandang tajam.
“Aisya, kau bersabar ya. Semua ini dugaan dan takdir dari ALLAH buat kau,” nasihat Nadia. Cuba untuk menenangkan perasaan Aisya.
“Jangan nak berbelit-belit Nadia. Mana mak dan abah aku?” tekan Aisya. Nafasnya sudah berombak menahan marah.
“Mak kau dah balik kampung untuk uruskan pengkebumian abah kau,” jawab Nadia tenang. Air mata tidak mampu untuk diseka lagi. Setitis demi setitis membasahi pipi. Tabahkan hatimu Aisya, doa Nadia.
“Apa maksud kau Nadia? Pengkebumian siapa yang kau katakan ni?” soal Aisya seperti tidak percaya dengan kata-kata Nadia.
Nadia menghampiri Aisya. Tubuh itu dipeluk erat. Cuba mententeramkan dan memberi semangat kepada tubuh itu. Di waktu ini, tubuh itu memerlukan sokongan daripadanya. Dia mengusap lembut belakang tubuh itu agar tangisan dari tubuh itu dapat diredakan. Perasaan bersalah kepada tubuh itu menghantuinya kini.
“Abah kau Aisya,” ucap Nadia perlahan dan masih boleh didengari oleh Aisya.
Aisya meleraikan pelukan Nadia. Nadia dipandang dengan penuh tanda tanya. Benarkah apa yang diperkatakan oleh Nadia tadi? Pengkebumian abahnya? Aisya memejamkan mata. Cuba untuk mengingati semula apa yang terjadi sebelum dia pengsan.
“Tidak… tidak… tak mungkin Nadia… tak mungkin. Abah… maafkan Aisya… maafkan Aisya. Aisya berdosa pada abah. Maafkan Aisya,” raung Aisya dalam esakan yang tidak henti-henti.
“Syyhh…. mengucap Aisya, ingat ALLAH. Aku ada di sisi kau. Setiap yang hidup akan mati, begitulah dengan abah kau. ALLAH lebih sayangkan abah kau Aisya,” nasihat Nadia sambil mengusap lembut rambut Aisya. Hatinya pilu melihat keadaan Aisya begitu. Kenapa dia harus dihukum atas kesilapan orang lain? Kenapa dia yang harus menerima penderitaan ini? Ya ALLAH, berilah kekuatan kepadanya. Sesungguhnya aku amat menyayanginya, rintih Nadia sendirian.


Puan Suhaila menyapu air mata di pipi. Rasa kesal menerjah dalam diri. Jika dulu dia dan suaminya tidak berkeras dan menerima Aisya ketika itu, Aisya tidak akan hidup menderita seperti sekarang. Kenapa Aisya perlu dihukum di atas kesilapan orang lain? Kenapa Aisya perlu menempuh semua itu dalam usianya yang masih dua puluh tahun ketika itu. Sungguh dia menyesal kerana membuang dan menyakiti hati Aisya.
“Mak… kenapa ni?” tanya Aisya apabila melihat Puan Suhaila menyeka air mata di pipi tua itu.
“Mak teringatkan kisah enam tahun yang lepas. Mak rasa bersalah pada Aisya,” kesal Puan Suhaila. Sungguh itu yang dirasakan selama enam tahun ini.
Aisya menghembus nafasnya lembut. Matanya menatap kasih Puan Suhaila.
“Mak tak perlulah rasa bersalah. Semua yang berlaku sudah tertulis dalam kamus hidup Aisya. Aisya redha dan ikhlas menerimanya mak,” tutur Aisya lembut. Dia tidak mahu Puan Suhaila terus-terusan rasa bersalah dengan apa yang berlaku terhadapnya dulu. Jika sudah tertulis buatnya, dia dengan hati yang ikhlas menerimanya.
“Tapi, kalau mak dan arwah abah tak berkeras dengan Aisya waktu tu, mungkin Aisya hidup bahagia sekarang,” keluh Puan Suhaila pula. Masih juga rasa bersalah.
“Sudahlah mak. Yang lepas biarlah lepas. Mak tak bersalah dalam hal ni,” balas Aisya lembut. Dia menggenggam erat tangan Puan Suhaila dan mengangguk perlahan. Memberi isyarat agar Puan Suhaila menerima kata-katanya itu.
Puan Suhaila turut mengangguk faham. Dia mengeratkan lagi genggaman Aisya. Dia tahu Aisya tidak suka mengungkit kisah lalu. Seboleh-bolehnya Aisya ingin membuang terus kenangan silam lalu. Kenangan silam yang memberi sebuah penderitaan kepada Aisya. Jauh di sudut hati, sukar baginya melupakan kenangan itu. 



2 ulasan:

  1. kita menangis bila membaca bab nie kesiannyer Aisya :(

    BalasPadam