Rabu, 1 Februari 2012

Gurauan Berkasih - Bab 9


BAB 9

“Saya nak awak siapkan dokumen ni hari ini juga tanpa sebarang kesalahan,” arah Amirul sambil menghulurkan fail kepada Liyana.
Liyana menyambutnya berserta anggukan di kepala.
“Kalau tak ada apa lagi, saya minta diri dulu,” ujar Liyana lembut.
Tanpa menunggu balasan, dia segera membawa tubuhnya keluar dari bilik Amirul. Entah mengapa kata-kata Dato’ Zulkifli pada malam itu masih terngiang-ngiang di cuping telinganya. Tergamak Dato’ Zulkifli menganggapnya sebegitu. Kedatangannya pada malam itu bukanlah untuk meminta wang ataupun harta, cuma sekadar untuk melepaskan kerinduan yang bertamu dalam dirinya selama sebulan. Jika kedatangannya dipertikaikan, perlukah dia melawat mereka lagi? Perlukah dia memekakkan telinga dan membutakan mata dengan kata-kata dan perbuatan Dato’ Zulkifli itu? Liyana buntu. Buntu memikirkan itu semua. Terasa sesak nafasnya tiba-tiba.
 “Aduh!!” rengek Liyana sambil memegang dahinya yang terasa sakit. Macam mana la dia boleh tidak perasankan bucu pintu kaca itu. Mungkin terlalu leka mengelamun menyebabkan dia tidak menyedari akan bucu pintu itu.
“Lia… awak ni kenapa? Jalan tu cuba tengok depan. Ini tidak, jalan sambil mengelamun,” marah Amirul. Dia menarik tangan Liyana dan membawa Liyana ke sofa.
Liyana hanya menurut tanpa membantah. Otaknya masih lagi ligat memikirkan peristiwa malam itu. Kenapa Dato’ Zulkifli masih membencinya? Persoalan yang sentiasa berlegar-legar di kotak fikirannya selama ini. Sungguh dia tidak ada jawapan untuk soalannya itu.
“Mari saya tengok dahi awak tu,” ujar Amirul sambil menyentuh lembut dahi Liyana. “Lebam dah dahi awak ni Lia. Tunggu saya ambilkan minyak,” sambung Amirul.
Lantas dia bangun dan mencari First Aid Kit. Setelah berjumpa, dia mengeluarkan sebotol minyak dan menuangkan sedikit ke tapak tangan. Dengan perlahan, dia mengurut dahi Liyana sambil cuba mengawal debaran di dada. Alamak! Apasal laju aje jantung aku ni? Buat malu ajelah kalau dia dengar jantung aku sekarang ni, bisik hati Amirul.
Liyana membiarkan sahaja perbuatan Amirul tanpa berniat untuk menolak. Hembusan lembut nafas Amirul menampar gegendang telinganya. Dirasakan ketenangan berada di sisi Amirul. Segala masalah yang di fikirkannya sebentar tadi, lenyap begitu sahaja.
“Sakit?” tanya Amirul lembut. Matanya menikam anak mata Liyana. Hanya kesedihan yang terpancar dari anak mata itu.
Liyana sekadar menggeleng. Entah mengapa dirasakan jantungnya berdegup dengan kencang. Ada debaran di dada. Panahan anak mata Amirul menusuk ke tangkai hati. Sungguh dia tidak mengerti akan apa yang sedang berlaku terhadap jantung dan hatinya itu.
“Terima kasih,” ucap Liyana seraya bangun.
“Awak ada masalah ke Lia?” soal Amirul sambil memegang tangan Liyana.
Tersentak Liyana dengan tindakan Amirul. Dia memandang tangan Amirul dengan pandangan yang kosong. Tidak mungkin dia akan bercerita masalahnya itu kepada Amirul. Amirul bukan siapa-siapa dengannya.
“Saya balik bilik dulu,” ujar Liyana lembut dan melepaskan pegangan Amirul. Dia membawa tapak kakinya keluar dari bilik Amirul. Jika berlama di situ, entah apa akan terjadi dengan jantungnya itu. Mungkinkah akan berdegup dengan kencang atau sebaliknya.
Amirul sekadar mengangguk. Ekor matanya sahaja yang menghantar langkah Liyana. Seminit kemudian, dia mengusap lembut dadanya. Dapat dirasakan debaran di dada. Jantungnya berdegup dengan kencang. Ada perasaan halus yang sedang menyucuk ke tangkai hati. Apakah itu? Adakah dia sudah jatuh cinta dengan Liyana? Ah!! Tidak mungkin aku jatuh cinta dengan dia. Aku takkan tergoda dengan dia. Kata-kata aku dulu masih tersemat kemas dalam diri aku ini, bidas hati Amirul.


Dato’ Zulkifli masih meneliti fail syarikat. Keluhan berat dilepaskan untuk kesekian kalinya. Masalah syarikat tidak pernah putus dari dulu sehinggalah sekarang. Sehinggakan pernah suatu ketika dulu syarikatnya hampir bankrap di atas kesilapan yang dilakukannya. Kesilapan yang tidak boleh dimaafkan sehingga ke hari ini. Kesilapan yang bersangkut paut dengan kehidupannya sekarang.
Jika bukan disebabkan kasih dan cintanya terhadap Datin Suraya, tidak mungkin dia akan bersetuju dengan permintaan Datin Suraya suatu ketika dulu. Di atas kesilapan itulah, sehingga ke hari ini kesannya masih bersisa dan tidak mungkin akan lenyap begitu sahaja. Andai kata masa boleh diputarkan semula, ingin saja dia menolak keras cadangan Datin Suraya demi kesejahteraan keluarga dan syarikatnya.
“Dato’..” tegur Zurina dari hujung talian. Lamunan Dato’ Zulkifli terhenti di situ.
Yes Zurina,” balas Dato’ Zulkifli.
“Tan Sri Khalil ingin berjumpa dengan Dato’,”
“Tan Sri Khalil?” Dahi Dato’ Zulkifli berkerut. “Baiklah, suruh Tan Sri masuk!” arah Dato’ Zulkifli.
“Baiklah Dato’,” balas Zurina dan mematikan talian.
Dato’ Zulkifli membetulkan duduknya. Otaknya ligat berfikir akan tujuan kedatangan Tan Sri Khalil ke pejabatnya. Ada perkara pentingkah yang ingin disampaikan oleh Tan Sri Khalil? Mengenai projek ataupun keluarga?
“Maaf kalau ganggu kau Zul,” ujar Tan Sri Khalil sebaik sahaja masuk dan duduk di kerusi.
“Tak apa. Aku pun tak sibuk mana. Apa tujuan kau datang ke sini? Ada hal apa? Soal business ke?” balas Dato’ Zulkifli.
Tan Sri Khalil menarik nafas dan menghembusnya. Bagaimana untuk berterus-terang dengan Dato’ Zulkifli? Perlukah dia berterus-terang tentang janji mereka dahulu untuk menyatukan anak-anak mereka?
“Macam ni Zul. Aku dah buat keputusan tentang rancangan kita untuk satukan kedua-dua anak kita tu. Aku minta maaf Zul. Amirul tak bersetuju dengan rancangan kita tu,” bohong Tan Sri Khalil. Mungkin dengan cara ini Dato’ Zulkifli akan percaya dan terima dengan hati yang terbuka.
“Maksud kau Lil, satukan Amirul dengan Laila, begitu?” tanya Dato’ Zulkifli inginkan kepastian.
Tan Sri Khalil mengangguk. Wajah Dato’ Zulkifli dipandang mesra.
“Aku dah tanyakan pada Amirul. Dia tak bersetuju. Sebenarnya Zul, Amirul dah ada pilihannya sendiri. Dia dah bagitau aku hasrat dia nak berkahwin dengan gadis pilihannya. Insya-ALLAH kalau tak ada apa-apa halangan, kami nak merisik gadis tu dalam bulan ni juga. Maafkan kami sekeluarga Zul,” jelas Tan Sri Khalil. Keluhan berat terlepas dari bibirnya.
“Tak apalah Lil. Dalam soal jodoh ni, kita sebagai orang tua tak boleh nak memaksa sangat. Nanti kita juga yang susah. Lagipun anak aku Laila belum bersedia untuk ke arah itu. Umur aje dah dua puluh lima tahun, tapi perangai mengalahkan budak umur sepuluh tahun. Macam mana nak kahwin kalau diri sendiri pun tak terurus,” jelas Dato’ Zulkifli. Mengerti akan permintaan Tan Sri Khalil itu.
“Terima kasih Zul. Aku tak boleh nak memaksa Amirul. Kau kan tahu Amirul pernah lari dari rumah sebab aku nak jodohkan dia dengan anak Kamal dulu. Seminggu kami mencari dia. Sejak dari itu, aku dan Marissa tak memaksa dia dalam soal jodoh. Biarlah dia yang buat keputusan dengan siapa dia nak berkahwin,” terang Tan Sri Khalil. Peristiwa Amirul memberontak melarikan diri dari rumah masih terimbau di ingatannya
“Ya… aku masih ingat lagi peristiwa tu. Oh ya, gadis mana yang kau nak risikkan tu?” tanya Dato’ Zulkifli berminat.
“Budak tu bekerja kat syarikat aku sebagai pembantu Amirul. Dah lama dah diorang kenal. Dah dua tahun bercinta dan baru sekarang aku tahunya. Aku pun berkenan jugak dengan budak tu. Baik, berbudi bahasa, hormat orang tua dan dia pernah tolong aku masa aku hampir nak berlanggar dengan kereta dulu,” cerita Tan Sri Khalil. Terukir sebuah senyuman di bibirnya.
“Oh… budak perempuan yang kau ceritakan pada aku dulu tu ya,” ulang Dato’ Zulkifli inginkan kepastian. Tan Sri Khalil mengangguk. “Erm… boleh tak kalau aku nak berjumpa dengan budak tu? Teringin juga nak tengok bakal menantu kau tu,” sambung Dato’ Zulkifli dan tertawa.
“Insya-ALLAH… aku akan kenalkan dia dengan kau. Tak pun kau datang ajelah ke office aku kalau kau nak tengoknya,” balas Tan Sri Khalil. “Eh… okeylah Zul. Dah lama sangat aku kat sini. Apa-apa pun aku minta maaf disebabkan rancangan kita tu tak berjaya. Jangan kau berdendam dengan aku, sudahlah,” seloroh Tan Sri Khalil berserta ketawa kecil.
“Hisy… kau ni Lil, ke situ pulak. Tak adanya aku nak berdendam dengan kau. Dah tak ada jodoh, nak buat macam manakan,” bidas Dato’ Zulkifli turut sama tertawa.
Tan Sri Khalil mengangguk. Bingkas dia bangun dan menapak ke muka pintu bilik. Selepas mengucapkan terima kasih, dia membawa dirinya keluar dari bilik itu. Dato’ Zulkifli hanya memerhati dari ekor matanya sahaja sehingga kelibat Tan Sri Khalil hilang dari pandangan mata.


Tan Sri Khalil meneguk fresh orange di hadapan sambil membuang pandang ke luar restoran. Selepas berjumpa dengan Dato’ Zulkifli, dia segera menuju ke sebuah restoran yang terletak di Bangsar untuk melepaskan tekanan bekerja buat sementara. Hatinya terasa lega selepas mendengar kata putus dari Dato’ Zulkifli sebentar tadi. Mujurlah dia punya alasan yang kukuh untuk menolak rancangan menjodohkan Amirul dengan Laila. Mujur juga dia berjumpa dengan Liyana. Jika tidak, sukar untuk mengelak dari meneruskan rancangan tersebut.
Tan Sri Khalil bukannya seorang yang memungkiri janji. Tetapi disebabkan sikap dan perangai Laila, membuatkan dia tidak berkenan untuk menjadikan Laila sebagai menantunya. Apa yang menjadi tanda tanya, di mana seorang lagi anak Dato’ Zulkifli? Setahu Tan Sri Khalil, Dato’ Zulkifli mempunyai tiga orang anak. Seorang lelaki dan dua orang perempuan. Kenapa setiap kali Dato’ Zulkifli sekeluarga berkunjung ke rumahnya, hanya Adif dan Laila sahaja yang dibawa. Mana perginya seorang lagi anak Dato’ Zulkifli?
Pernah juga dia bertanya kepada Dato’ Zulkifli sendiri tentang itu. Namun jawapan yang diberikan hanyalah ‘Ada di rumah. Study nak periksa.’ Alasan itu saja yang sering diberikan oleh Dato’ Zulkifli. Sehingga sekarang dia tidak mengenali anak bongsu Dato’ Zulkifli. Teringin juga dia berkenalan dengan anak bongsu Dato’ Zulkifli itu, tetapi setiap kali disuarakan pada Dato’ Zulkifli, Dato’ Zulkifli seakan menolak dan memberi pelbagai macam alasan. Malah dia juga tidak pernah melihat gambar anak bongsu Dato’ Zulkifli.
“Teringin aku nak jumpa anak bongsu Zul tu. Pada siapa aku nak tanyakan?” bisik Tan Sri Khalil sendirian.
“Hai Uncle!” tegur seseorang mematikan lamunan Tan Sri Khalil. Pantas dia menoleh ke belakang untuk melihat akan gerangan yang menegurnya itu.
“Ha Laila. Dari mana?” balas Tan Sri Khalil.
Laila melabuhkan duduknya tanpa disuruh. Senyuman manis dihadiahkan buat Tan Sri Khalil. Berita mengenai penolakan Tan Sri Khalil sudah diberitahukan oleh Dato’ Zulkifli. Sungguh dia kecewa dengan keputusan Tan Sri Khalil. Malah alasan yang diberikan juga membuatkan hatinya panas. Amirul berkahwin dengan pilihan hatinya? Berita yang disampaikan oleh Anita mengenai perang dingin antara Amirul dan Shasha tidak memungkinkan mereka berdua akan berkahwin. Malah Shasha mencabar Amirul untuk berkahwin dengan perempuan lain. Tetapi, siapa perempuan yang telah menjadi ‘minah sanggup’ Amirul itu? Laila bermonolog sendiri. Huh!! Kalau aku tahu siapa ‘minah sanggup’ tu, aku cincang-cincang dia sampai lumat. Mengacau betullah!! Marah Laila di dalam hati.
“Laila dari office papa tadi. Uncle buat apa kat sini?” jawab dan soal Laila. Dia mengangkat tangan ke arah pelayan yang sedang berdiri di tepi kaunter. Seminit kemudian, pelayan tersebut datang mengambil pesanan. Setelah memberi pesanan, kelibat pelayan itu menghilang di balik pintu.
Uncle nak jumpa kawan sekejap lagi kat Shah Alam. Sementara menunggu, Uncle singgah kat sini, nak basahkan tekak,” balas Tan Sri Khalil.
Laila mengangguk. Suasana hening seketika tatkala pelayan meletakkan segelas carrot susu di atas meja. Selepas mengucapkan terima kasih, tanpa menghiraukan Tan Sri Khalil, segera dia meneguk rakus carrot susu tersebut.
“Papa dah bagitau Laila tentang perkara tu?” tanya Tan Sri Khalil ingin tahu.
Laila mengangguk. Tidak berminat untuk bersuara.
“Maafkan Uncle. Keputusan di tangan Amirul. Uncle tak boleh nak buat apa. Uncle harap Laila tak berdendam dengan Amirul,” ujar Tan Sri Khalil.
Rasa bersalah menyerbu diri. Ada baiknya dia berterus-terang agar Laila tidak berdendam dengan keluarganya terutama Amirul.
“Tak mengapalah Uncle. Amirul ada hak untuk menolak atau menerima. Lagipun dari dulu lagi Amirul tak sukakan Laila, inikan pulak nak berkahwin,” ujar Laila lemah.
Sengaja menagih simpati daripada Tan Sri Khalil. Biar Tan Sri Khalil rasa bersalah. Jangan ingat aku akan berdiam diri. Aku takkan lepaskan perempuan tu. Aku akan carinya sampai dapat siapa perempuan tu, bisik hati Laila.
Tan Sri Khalil hanya mendengar. Jauh di sudut hati, dia bersimpati dengan Laila. Bukannya dia tidak tahu akan perasaan Laila terhadap Amirul. Walaupun Laila tidak memberitahunya, dari segi tingkah lakunya terhadap Amirul sudah membuktikan bahawa Laila memendam perasaan terhadap Amirul. Tetapi, dia tidak boleh berbuat apa-apa. Keputusan di tangan Amirul dan keputusan itu juga amat dipersetujui oleh dia dan isterinya.


“Kau kenapa ni Lia? Dari pagi tadi lagi aku tengok kau monyok aje. Kau ada masalah ke?” tanya Fazura risau. Sedari malam tadi wajah Liyana mendung. Mungkinkah disebabkan Amirul atau keluarganya?
Liyana melepaskan keluhan berat. Entah mengapa dia asyik memikirkan perbuatan Amirul terhadapnya pagi tadi. Dirasakan ada kelainan dari sebelum ini. Jika dulu pantang berjumpa, pasti ada drama sebabak yang akan dilakonkan olehnya. Kelembutan Amirul begitu mendamaikan hati. Malah jantungnya berdegup dengan kencang tatkala Amirul menghampirinya. Adakah dia sudah jatuh cinta dengan Amirul? Adakah dia akan terjebak sekali lagi dalam dunia percintaan? Pengalaman yang lepas begitu memeritkan sehinggakan membawa kepada perubahannya sekarang.
“Lia… kau janganlah takutkan aku. Kau ni kenapa? Bagitaulah pada aku Lia,” desak Fazura lagi.
“Hati aku ni rasa sakitlah Zura,” beritahu Liyana. 
Tangannya mengusap dadanya yang berdegup dengan kencang tatkala nama Amirul terdetik di hatinya dengan tiba-tiba.
“Hati kau sakit? Lia… kena pergi check doktor ni. Kau jangan nak main-main Lia. Takkanlah lebam kat dahi kau sampai boleh sakit ke hati terus,” kalut Fazura bernada cemas.
Tangannya sudah menyentuh dahi Liyana yang masih berlebam. Lebam akibat terlanggar pintu kaca di bilik Amirul. Sungguh dia terkejut apabila Liyana memberitahu bahawa Amirul yang telah menyapu ubat ke dahi Liyana.
Liyana menepuk dahi. Dia tergeleng kecil mendengar kata-kata Fazura itu. Dia ni memang bendol betul, getus hati Liyana.
“Yang kau ni bendol sangat ni kenapa?” suara Liyana seraya bangun. Dia melangkah jalan menuju ke jendela dan membuang pandang di situ. “Hati aku sakit sebab aku teringatkan kata-kata ayah aku semalam,” sambung Liyana menyembunyikan perasaan sebenar. Mana mungkin dia akan berterus-terang pada Fazura akan perasaannya itu.
“Dah tu, kau cakap hati kau sakit buat apa. Mati-mati aku ingat kau ada penyakit hati. Nak kata kau merokok, tak adalah pulak,” geram Fazura. Dia turut bangun dan menghampiri Liyana. “Sudahlah, tak payahlah kau ingatkan lagi. Lebih lama kau ingat, lebih sakit hati kau tu,” nasihat Fazura pula.
“Yalah… aku nak bekukan hati aku lepas ni boleh tak?”
“Beku?” ulang Fazura berserta kerutan. “Kau nak bekukan macam mana?” tanya Fazura lurus.
“Masuk dalam peti aislah,” jawab Liyana dan tersengih.
“Kau ni Lia… asyik nak kenakan aku ajelah,” geram Fazura seraya mencubit Liyana.
“Aduh!! Macam ketamlah kau ni. Dah kau tu bendol sangat, siapa suruh,” balas Liyana sambil mengusap lengannya yang terasa sakit.
“Eh… esok kau dating dengan Harris kan?” ujar Fazura teruja.
Dating?” ulang Liyana dan kembali duduk di sofa. “Ya tak ya jugak. Hampir aku terlupalah Zura,” sambung Liyana. “Macam mana aku nak elak ni Zura. Akukan kerja esok. Semalam aku dah ambil cuti. Takkan aku nak ambil cuti lagi. Nanti mengamuk pulak Kak Marina kesayangan aku tu,” tambahnya lagi.
“Aku tak nak masuk campur. Pandai-pandai kaulah ya Lia,” balas Fazura dan berlalu menuju ke dapur untuk membancuh air.
“Tolonglah aku Zura. Macam mana aku nak elak dari Harris? Lagipun kau kan tahu Amirul tak bagi aku keluar dengan Harris esok,” gusar Liyana. Kata-kata Amirul masih terngiang-ngiang di cuping telinganya. Eh.. kejap. Sejak bila pulak aku takut dengan mamat hingusan tu, bidas hatinya.
“Hai… sejak bila pulak kau amik port semua cakap dia tu? Bukan ke kau anti sangat dengan si Amirul tu?” sindir Fazura sambil meletakkan secawan nescafe panas di atas meja kecil di sisi sofa. Dia melabuhkan duduk bersebelahan dengan Liyana.
“Anti? Aku bukan anti dengan dia. Aku ada misi yang perlu aku jalankan Zura,” beritahu Liyana seraya mencapai cawan nescafe. Dihirup perlahan nescafe tersebut.
“Misi? Misi apa? Ceritalah dengan aku,” teruja Fazura. Matanya memandang tepat ke muka Liyana.
“Eh… mana boleh bagitau kau. Ini antara aku dengan dia aje tau. Dia tu berlagak betul. Apa dia ingat dia tu bagus sangat dah ke? Senang-senang aje nak kutuk aku. Ada ke dia kata aku macam Betty Suarez. Tak ada sivik betullah dia tu,” kutuk Liyana dan meletakkan semula cawan di atas meja.
Betty Suarez? Yang dalam cerita Yo Soy Betty La Fea atau Ugly Betty tu ke?” ulang Fazura inginkan kepastian.
“Yalah… Betty mana lagi kalau tak Betty tu,” gerutu Liyana dan mencebik.
Pecah ketawa Fazura mendengarnya. Liyana di pandang dari atas ke bawah.
“Yang kau gelak ni kenapa? Aku sekeh karang baru tau,” geram Liyana seraya bangun. Sakit hatinya mendengar ketawa Fazura itu.
“Ala… gelak pun tak boleh ke. Meh sini kejap,” ujar Fazura turut sama bangun.
Dia menarik Liyana agar berdiri di hadapannya. Diperhatikan Liyana penuh minat. Jarinya mengetuk-ngetuk pipi. Seakan-akan sedang berfikir. Dia turut membayangkan persamaan Liyana dengan Betty Suarez tu.
“A’ah la Lia… sama,” suara Fazura.
“Apa yang samanya?” ulang Liyana ingin tahu. Matanya tepat ke muka Fazura.
“Betullah kata Amirul. Bila aku tilik dan belek… samalah kau dengan Betty Suarez tu,” balas Fazura berserta ketawa besar. Geli hati dengan katanya itu.
“Ha… gelak… gelak… kau pernah tak makan selipar? Kalau kau tak pernah, meh sini aku bagi kau makan. Kau sengaja nak kutuk akukan,” marah Liyana sambil matanya dijegilkan.
“Kau ni Lia…. relaks la. Usik sikit pun tak boleh. Aku hairanlah, kenapa Amirul boleh gelarkan kau macam tu sedangkan sedikit pun tak ada persamaan kau dengan Betty,” komen Fazura dan tergeleng kecil.
“Mamat hingus tu memang sengaja nak cari pasal dengan aku. Taulah untung nasib dia tu nanti. Aku akan buat dia jatuh cinta dengan aku. Biar dia termakan sendiri dengan kata-kata yang dia pernah hamburkan pada aku dulu,” azam Liyana sambil menggenggam erat tangannya.
Kata-kata Amirul dulu sentiasa terngiang-ngiang di cuping telinganya. Dan tidak semudah itu dia akan melupakannya. Itulah misi utama dia. Dia akan membuatkan Amirul jatuh cinta dengannya. Biar dia kenal siapa aku sebenarnya, bisik Liyana.
“Lia… kau jangan main-mainkan perasaan orang Lia. Nanti terkena batang hidung sendiri baru kau tahu langit tu cerah atau tak,” nasihat Fazura lembut. “Dibuatnya kau sama-sama jatuh cinta dengan dia macam mana?” sambung Fazura dan menapak menuju ke dapur untuk membasuh cawan yang telah digunakannya tadi.
Aku jatuh cinta kat dia? Oh… no… no… mamat berhingus tu. Bukannya handsome mana pun. Macam tak cukup acuan adalah aku tengoknya. Mata dia mengalahkan mata beruang koala. Hidung dia, lagilah… penyek. Telinga dia… ish… ish… ish…. macam telinga monyet. Erm… apa lagi ek? Ha… bibir dia macam… macam… macam apa ek? Macam Angelina Jolie pun ada jugak aku tengoknya. Liyana bermonolog sendiri dan tersengih.
“Yang kau tersengih-sengih tu kenapa? Kau teringatkan Amirul ke?” sergah Fazura dari arah dapur. Tak payahlah nak nafikan lagi Lia, bisik Fazura.
“Aku bayangkan kalau-kalau dia bertukar jadi alien lah,” balas Liyana dan tertawa.
“Hisy… kau ni Lia. Tak baik tau bayangkan orang macam tu. Tapikan, betul jugak apa yang kau katakan tu. Bila aku pandang lama-lama si Amirul tu, macam beruang koala pun ada,” komen Fazura dan ketawa besar.
Liyana yang mendengarnya turut sama ketawa. Geli hati dengan komen Fazura itu. Siaplah kau Amirul. Aku akan kotakan janji aku dulu tu. Aku akan buat kau jatuh cinta dengan aku. Kau pandang aku sebelah mata ajekan. Terimalah nasib kau nanti, azam Liyana di dalam hati. Seminit kemudian, dia menapak masuk ke dalam bilik untuk merehatkan minda dan badannya yang sedari pagi tadi asyik bekerja keras. Moga malam ini malam terindah buat Liyana.


Next bab Liyana berdating dgn Harris.. apa tindakan Amirul ek??   
Enjoy reading!!!   

(^_^)

Maaf kalau n3 kali ni pendek


4 ulasan:

  1. apa yg dirahsiakn oleh dato zulkifli dan datin suraya yerk,,,,,curious tersgt laaa... pendek la..tak puas la...

    BalasPadam
    Balasan
    1. terima kasih krn membaca GB.. Insya-ALLAH, soalan 2 akn berjwb dlm bab 30 ke atas.. mmg pendek.. xpe, nti sy edit n cuba pnjgkan bab 8 & 9.. :)

      Padam
  2. alalalalaaa.. pendek ni..ngah bz ek? hehee.. tu dia nak pecah rahsiiaa sampai episod 30 nuuu.. waaaaaaaaa... lama tuuu.. solutionyerr,, sila post n3 setiap hari yer kak..? :)))

    BalasPadam
    Balasan
    1. hihi.. mmg lama 2 nk tunggu... klu n3 tiap2 hr, nti jemu pulak membacanya.. huhu.. n3 lps 2 hr dh kira oklah kan?? hihi.. :D

      Padam