Selasa, 14 Februari 2012

Hatimu Milikku Special Entry


Hai readers… lama sungguh saya tak entry sedutan dalam bab HM.. okey hari ni saya entry dua sedutan dalam HM.. semoga dapat melepaskan rindu anda semua pada Tengku Hariz dan Aisya… Selamat membaca sambil melayan lagu tema Hatimu Milikku..  :D


Sedutan pertama

Tengku Hariz melabuhkan duduk di sisi katil. Wajah Aisya yang sedang tidur ditatap sayang. Kasih dan sayangnya semakin menggebu dari sehari ke sehari. Entah mengapa hatinya menangis tatkala memandang wajah polos di hadapannya itu. Perbualan di antara Tengku Azman dan Tengku Azizul sebentar tadi menusuk ke tangkai hati. Hatinya tersayat selepas mendengarnya. Kenapa Aisya perlu hadapi semua ini? Kenapa Aisya perlu menanggung semua ini? Tidak adakah kebahagiaan buat Aisya? Tidak cukupkah penderitaan yang dialami oleh Aisya selama ini? Tidak cukup lagikah ujian yang ditempuhi oleh Aisya selama ini? Tengku Hariz bersoal jawab di dalam hati. Ya ALLAH, akukah yang bersalah selama ini? Akukah yang menjadi penyebab semua ini berlaku? Akukah yang menyebabkan dia menderita dan menanggung semua ini? Apa perlu aku lakukan lagi untuk meringankan bebannya? Aku tidak sanggup kehilangannya lagi. Tengku Hariz menyalahkan dirinya sendiri.
“Hariz…” seru Aisya perlahan. Matanya tepat ke muka Tengku Hariz. Sedari tadi dia memerhatikan Tengku Hariz sedang mengelamunkan sesuatu.
“Aisya… bila Aisya sedar?” tanya Tengku Hariz terkejut mendengar suara Aisya. Entah berapa lama dia mengelamun, dia sendiri tidak pasti. Mungkin lama, jika tidak bagaimana dia boleh tidak menyedari yang Aisya sedang merenungnya.
“Aisya lapar!” rengek Aisya sambil cuba bangun dari pembaringan. Masih lagi terasa sisa denyutan di kepala.
Seusai sholat tadi, dia terus berbaring di atas katil disebabkan kepalanya yang terasa sakit. Entah bagaimana dia boleh tertinggalkan ubatnya di dalam kereta Tengku Azizul. Dan disebabkan itu dia terpaksa menahan kesakitan di kepala. Disebabkan itu jugalah pandangannya menjadi kabur dan akhirnya dia tidak sedarkan diri dengan apa yang telah berlaku kepada dirinya sendiri.
Tengku Hariz membantu Aisya bersandar di kepala katil. Bubur nasi yang masih panas dicapai dari atas meja yang terletak di sisi katil. Bubur nasi yang disediakan oleh Mak Kiah. Tengku Hariz meniup bubur nasi dan menyuakannya ke mulut Aisya. Aisya menyambut dan mengunyahnya dengan perlahan. Matanya tidak lekang menatap wajah kacak Tengku Hariz. Seperti ada sesuatu yang cuba disembunyikan dari wajah itu.
“Kenapa ni?” tanya Aisya sambil menolak sudu yang disuakan oleh Tengku Hariz kepadanya. Hatinya gusar melihatkan riak wajah Tengku Hariz. “Hariz sakit ke? Luka Hariz tu berdarah balik ke?” sambung Aisya bernada risau. Risau hatinya jika luka di perut Tengku Hariz berdarah semula.
Tengku Hariz meletakkan mangkuk bubur nasi di atas meja. Mukanya diraup beberapa kali. Keluhan berat dilepaskan. Pandangannya jatuh ke wajah pucat Aisya. Tumpah kasih dan sayang pada wajah pucat itu. Sukar untuk melepaskan Aisya buat kali yang kedua. Namun jika itu dapat meringankan beban Aisya, dia sanggup melakukannya walaupun hati tidak merelakannya.
“Riz lepaskan Aisya. Riz takkan ganggu Aisya lagi. Aisya pergilah ke mana yang Aisya nak, Riz takkan halang Aisya lagi.” Begitu perit hatinya menuturkan kata-kata itu. Demi melihat Aisya bahagia, dia sanggup menerima keperitan itu. Dia sanggup menelan semua keperitan itu. Dia tidak peduli jika dia dipersalahkan di kemudian hari. Baginya, kebahagiaan Aisya lebih penting dari segala-galanya. Setelah itu, dia bingkas bangun dan menapak keluar dari bilik itu.
Aisya tergamam seketika. Kata-kata Tengku Hariz menusuk terus ke tangkai hati. Bagaikan batu besar menghempap bahu. Bagaikan hati disiat-siat dengan sebilah pisau belati. Jiwanya terasa kosong. Hatinya terasa kecewa. Perasaannya hancur luluh selepas mendengar kata-kata itu.
“Hariz…” panggil Aisya sebak. Namun panggilannya itu tidak dibalas oleh Tengku Hariz. Kelibat Tengku Hariz telah lama menghilang di sebalik pintu bilik itu.
Aisya bingkas bangun dari katil. Dia menghayun langkah keluar dari bilik dan menuju ke bilik Tengku Hariz yang terletak selang dua bilik dari bilik yang didudukinya itu. Dia perlu mendapat penjelasan daripada Tengku Hariz. Dia perlu tahu kenapa dan sebab apa Tengku Hariz berkata begitu. Dia perlu tahu apa kesalahannya sehinggakan Tengku Hariz boleh berkata begitu. Dia perlu tahu kenapa?
“Hariz… Hariz…” panggil Aisya sambil mengetuk pintu bilik Tengku Hariz. Bertalu-talu diketuk namun masih tiada tanda untuk Tengku Hariz membukanya.
“Kenapa ni Aisya?” tegur Tengku Hanis Suraya apabila terdengar suara Aisya dari dalam bilik.
“Kak Anis… tolong Aisya panggilkan Hariz. Dari tadi Aisya panggil Hariz, dia tak nak keluar. Aisya nak tanya dia sesuatu,” rintih Aisya sambil menggenggam tangan Tengku Hanis Suraya. Air mata sudah membasahi pipi.
“Tapi kenapa? Kak Anis tak faham Aisya. Aisya bergaduh dengan Hariz ke?” tanya Tengku Hanis Suraya. Pelik melihat keadaan Aisya yang sedang menangis dan tidak ada tanda-tanda untuk berhenti.
“Anis… Aisya… kenapa ni?” tanya Tengku Azizul pula. Dia yang baru selesai menunaikan sholat di bilik sholat, terdengar bunyi bising dari luar bilik. Dilihatnya Tengku Hanis Suraya dan Aisya sedang berdiri di hadapan pintu bilik Tengku Hariz.
“Abang… panggilkan Hariz. Aisya nak tanya dia sesuatu. Tolong Aisya abang,” rayu Aisya berserta esakan kecil. Dia meraih tangan Tengku Azizul mengharapkan pertolongan Tengku Azizul untuk memujuk Tengku Hariz.
“Tapi kenapa?” tanya Tengku Azizul persis soalan Tengku Hanis Suraya. Dia juga pelik melihat keadaan Aisya begitu.
Aisya melorot jatuh ke lantai. Sukar untuk mengertikan kedua-dua insan di hadapannya itu. Ternyata keputusan yang dibuat oleh Tengku Hariz tidak mungkin akan berpatah balik semula. Dia perlu menerima hakikat yang dia tidak diperlukan lagi oleh Tengku Hariz. Di kala hatinya terbuka semula untuk menerima Tengku Hariz, dia dibuang begitu sahaja tanpa sebarang alasan. Demi Tengku Hariz, dia sanggup mengusir perasaan dendam dan benci. Dia cuba menyuntik semula perasaan cinta ke dalam hatinya itu. Dan ketika dia hampir merasai nikmat kebahagiaan, dia ditinggalkan dengan sebuah penderitaan. Penderitaan yang akan menjadi pendampingnya buat selama-lamanya.



Sedutan kedua

Aisya menoleh sebaik sahaja terdengar pintu bilik dikuak seseorang. Terjengul kepala Tengku Hariz di sebalik pintu itu. Kemudian, Aisya memalingkan mukanya memandang keluar jendela. Cuaca petang itu begitu mendamaikan hati. Jika dia punya kudrat, ingin saja dia membawa diri keluar dari tempat itu dan menghirup udara petang disamping orang tersayang. Sungguh tinggi angan-angannya itu. Dapatkah dia merealisasikan angan-angannya itu?
“Kenapa tak berehat? Aisya kan tak sihat lagi,” ujar Tengku Hariz berbasa-basi. Dia menghampiri Aisya yang sedang duduk di tepi jendela. Aisya sepertinya sedang mengelamunkan sesuatu. Apa yang dilamunkan oleh isterinya itu, dia sendiri tidak tahu.
Aisya membatukan diri. Matanya masih lagi tertancap ke dada langit yang terbentang luas di hadapannya itu.
“Aisya… jangan buat abang macam ni. Apa lagi yang Aisya tak puas hatikan. Cuba Aisya bagitau pada abang,” pujuk Tengku Hariz. Dia mencapai tangan Aisya dan mengelusnya lembut.
“Aisya banyak susahkan abang,” ujar Aisya perlahan. Dari dulu hinggalah sekarang dia telah banyak menyusahkan Tengku Azman sekeluarga. Itulah yang dirasakannya kini.
“Kenapa Aisya cakap macam tu? Dah berkali-kali abang katakan yang Aisya tak pernah susahkan abang, malah keluarga abang. Cuba Aisya berfikiran positif sikit,” balas Tengku Hariz dalam nada sedikit meninggi. Sukar untuk memahamkan Aisya.
Aisya memandang tepat ke muka Tengku Hariz. Jelas sinar keikhlasan dan kejujuran di wajah itu. Tetapi kenapa sukar baginya untuk mengakui kata-kata Tengku Hariz. Mungkin kata-kata Marlisa sedikit sebanyak mempengaruhinya dalam perkara itu.
“Aisya tak nak orang kesiankan Aisya. Aisya tak nak orang simpati dengan Aisya. Abang tahu tak?” hambur Aisya sekawal yang mungkin. Dia tidak mahu meninggikan suara di hadapan suaminya. Berdosa besar!
“Ya ALLAH… tolonglah Aisya. Jangan serabutkan kepala abang dengan perkara yang tak masuk akal tu. Tak ada sesiapa pun yang kesiankan Aisya. Tak ada sesiapa pun yang simpati dengan Aisya. Apa yang mereka tunjukkan pada Aisya adalah kasih sayang dan bukannya simpati. Abang kasihkan Aisya dan abang ikhlas kasihkan Aisya. Tak cukup lagi ke keikhlasan yang abang tunjukkan pada Aisya selama ini,” jelas Tengku Hariz kesal. Sungguh dia berasa kesal dengan apa yang difikirkan oleh Aisya selama ini.
Aisya menyeka air mata yang hampir gugur. Kata-kata Tengku Hariz sayup kedengaran di gegendang telinganya. Keikhlasan Tengku Hariz tidak boleh dinafikan. Tetapi hatinya masih lagi berdegil untuk tidak menerima malah menolaknya keras.
“Sudahlah… apa-apa pun yang terjadi, abang tetap cintakan Aisya, sayangkan Aisya seikhlas hati abang. Jangan menangis sayang, tak baik untuk kandungan sayang tu. Sayang berehatlah, abang nak balik rumah kejap nak mandi. Dah melekit badan abang ni seharian tak mandi. Nanti Aisya juga yang tak nak dekat dengan abang, tak nak cium abang. Melepaslah abang nak bermanja-manja dengan Aisya nanti kalau keadaan abang macam ni,” putus Tengku Hariz dalam nada usikan. Dia memeluk erat Aisya dan cuba menyalurkan semangat kepada Aisya. Moga dengan cara ini dapat menghilangkan rasa resah gelisah Aisya selama ini.
“Abang balik dulu ya sayang, Malam nanti abang datang balik,” ujar Tengku Hariz selepas membaringkan Aisya semula ke atas katil. Dia menghadiahkan kucupan di pipi dan juga di dahi Aisya. Seminit kemudian, dia menapak keluar meninggalkan Aisya berbaring di situ. Ya ALLAH lindungilah anak dan isteriku ini, doanya di dalam hati.





2 ulasan:

  1. alamak dorg bercerai? hadei la..huhhuhu bila nak kuar ni?tak sabar nak baca.
    password utk ulasan - warrior (hehe cun sangat lah password ni.)
    tp kan eliza, klo tak letak yg password, grenti lagi ramai nak mengomen. hehe.

    BalasPadam
    Balasan
    1. eh, yeke Yong.. ada password. alamak!! mesti ter'setting' sendiri.. xpe, nti sy check balik setting dia.. tq Yong..

      Padam