Ahad, 29 Julai 2012

Gurauan Berkasih


Salah satu part yang paling saya suka.. (^__*)


“Okey Kak Ina. Molek sangat dah rupanya ni. Meh kejap Lia tangkap gambar Kak Ina. Lia nak masukkan dalam muka buku,” puji Liyana dan tersengih.
“Muka buku? Apa ke bendanya tu? Buku ada muka ke?” tanya Marina lurus.
“Ya ALLAH!” ucap Liyana dan menepuk dahi. “Facebooklah Kak Ina,” sambungnya.
“La… cakaplah facebook. Lia ingat Kak Ina ni kolot sangat ke, sampaikan benda-benda tu akak tak tahu. Akak ni up to date tau,” puji Marina berserta senyuman.
“Yalah tu up to date. Baru sebut muka buku pun tak tau,” cebik Liyana meluat.
“Akak tak mainlah Bahasa Melayu, akak main bahasa orang puteh tau,” bidas Marina dan tersengih.
Liyana menggelengkan kepala. Geli hati melihat gelagat Marina. Walaupun Marina tidak bersekolah tinggi, tetapi pemikiran Marina sentiasa up to date dan Liyana mengakui akan perkara itu. Malah ada sesetengah perkara yang Liyana tidak tahu tetapi diketahui oleh Marina.
“Bila nak mula ni Lia? Tak sabar akak nak berlakon. Berkobar-kobar dah ni,” ujar Marina teruja dan tersenyum.
Dia membelek-belek dirinya di hadapan cermin yang berada di dalam bilik Liyana. Kagum melihat dirinya sendiri. Belum pernah dia berkeadaan seperti itu. Semuanya gara-gara Liyana. Sayang punya pasal, ikutkan ajelah permintaan Liyana itu, fikir Marina.
Liyana tersenyum melihat Marina. Malah dia turut kagum melihat penampilan Marina. Mana tidak kagumnya, rambut ala-ala afro gitu. Lipstick… mak aii, burung hantu pun takut menengoknya. Selagi boleh dihabiskan lipstick tu, selagi itulah ditonyoh Marina. Bajunya pula…. erm, macam mana nak terangkannya. Ala, terangkan ajelah. Baju ala-ala 1 Malaysia, macam-macam colour ada. Dah macam Betty Suarez pulak tengoknya. Betty Suarez? Liyana menelan liurnya berkali-kali. Bukan Betty Suarez, dah macam ‘Hantu Kak Limah’ Liyana menengoknya. Tapi versi ni lain sikit. ‘Hantu Kak Ina balik ke rumah’. Liyana mengekek ketawa memikirkan semua itu.
“Ha… Lia gelakkan akak ya,” tegur Marina keras.
“Eh… mana ada Kak Ina. Lia terpikirkan kata-kata Amirul dulu,” bohong Liyana berserta tawanya yang masih bersisa.
“Lawa tak akak ni Lia?” tanya Marina ingin tahu.
“Dah lawa dah tu. Kalau Lia letak pic akak kat facebook, sure ramai yang nak berkenalan dengan Kak Ina. Entah-entah Mamat Khalid tu pun berkenan dengan Kak Ina bila tengoknya,” terang Liyana sekadar mengusik.
“Mamat Khalid?” ulang Marina berserta kerutan di dahi.
“Yalah.. Mamat Khalid, pengarah filem ‘Hantu Kak Limah’ tu. Bila dia tengok pic Kak Ina, mesti dia berkenan nak ambil Kak Ina jadi pelakonnya. Untuk filem baru dia yang bertajuk ‘Hantu Kak Ina balik ke Kuala Lumpur’,” usik Liyana dan tertawa lepas.
“Lia!!” jerit kecil Marina geram. Sebuah cubitan hinggap di lengan Liyana.
“Alah… Lia gurau aje. Kak Ina ni macam ketamlah,” rungut Liyana sambil meraba lengannya yang terasa sakit akibat cubitan Marina itu.
“Ha.. tau pun sakit. Eh… tapi, okey jugak tu. Bila lagi akak nak tunjukkan skill lakonan akak ni. Mesti Mamat Khalid teruja tengoknya, betul tak Lia?” kata Marina sekadar angan-angan.
Liyana mengangguk. Mengiyakan kata-kata Marina. Layan ajelah. Janji happy, bisik Liyana dan tersenyum.
“Eh… jomlah Kak Ina. Nanti Tan Sri tak ada pulak kat pejabatnya,” ajak Liyana apabila menyedari akan kelewatan mereka.


Liyana melangkah jalan menuju ke bilik Tan Sri Khalil. Marina mengekori dari belakang. Dalam perjalanan itu, kesemua staf yang berada di pejabat itu terkejut melihat Marina. Terlopong masing-masing melihat Marina berserta mulut yang ternganga luas. Kalau dibiarkan terus sudah pasti lalat berminat untuk masuk ke dalam mulut mereka. Liyana berlagak selamba dan biasa. Apa yang pasti, rancangannya berjaya untuk mengelak Tan Sri Khalil dari merisiknya. Jika dia tidak berbuat begitu, dia akan dipaksa berkahwin dengan Amirul dan perkara itu merupakan perkara terakhir yang akan difikirkan oleh Liyana selagi dia hidup di muka bumi ALLAH ini.
“Lia!!” panggil Amirul tatkala Liyana melalui biliknya.
Alamak! Macam mana pulak dia boleh nampak ni? Aku nak elak dari dia tadi, alih-alih dia juga yang nampak dulu. Menyusahkan betullah! Rungut Liyana di dalam hati.
“Hai Encik Amirul! Dah makan?” balas Liyana dan tersenyum. Matanya mengerling sekilas ke arah Marina.
Marina terkejut melihat Amirul. Dia melarikan wajahnya dari dilihat oleh Amirul. Bukannya dia tidak kenal pada Amirul, terlebih dari kenal. Malah mereka berdua pernah makan bersama ketika Amirul singgah di butiknya tidak lama dulu.
“Siapa ni?” tanya Amirul menolak pertanyaan Liyana tadi.
“Err… mak angkat saya,” ujar Liyana sambil menggaru kepalanya yang tidak gatal.
“Mak angkat?” ulang Amirul. Diperhatikan Marina dari atas ke bawah. Seakan-akan pelik melihat Marina. Takkan mak angkat dia macam ni kot, bisik Amirul.
“Mak… salam. Encik Amirul ni bos Lia,” beritahu Liyana sambil cuba menahan ketawa di dalam hati. Melihatkan wajah kelat Amirul sudah membuktikan Amirul kurang menyenangi akan kehadiran Marina.
Marina menghulurkan tangan untuk bersalaman dengan Amirul. Dia turut menahan ketawa di dalam hati melihatkan riak di wajah Amirul. Seakan geli Amirul melihat dirinya yang berkeadaan begitu. Marina… Marina… lakonan kau berjaya, puji Marina di dalam hati.
“Err… tak pelah,” tolak Amirul sambil menggaru belakang tengkuknya. “Saya masuk dululah Lia,” sambungnya pula dan segera menapak masuk ke dalam bilik.
Jika berlama di situ, entah apa lagi yang akan dibuatkan oleh mak angkat Liyana itu. Hisy.. tak sanggup aku nak salam dengan maknya tu. Tengoklah keadaan dia, eee… geli aku, kutuk Amirul di dalam hati.
Liyana segera menuju ke ladies room. Marina turut mengekori dari belakang. Setibanya mereka di dalam ladies room, terburai ketawa mereka berdua. Ketawa yang ditahan-tahan sebentar tadi.
“Kak Ina tengok tak muka dia tadi,” ujar Liyana dan masih ketawa.
“Apa pulak tak tengoknya, kelat semacam. Lia perasan tak macam mana dia tengok akak tadi. Hampir nak terkeluar bijik mata dia tengok akak dari atas ke bawah,” balas Marina turut sama ketawa.
Liyana mengangguk sambil menekan perut. Geli hati melihat riak di wajah Amirul tadi. Entah apa yang difikirkan Amirul ketika ini, dia malas nak ambil tahu. Mungkin Amirul terkejut selepas mengetahui siapa mak angkat Liyana. Mungkin juga Amirul seakan tidak mempercayai Liyana dijaga oleh seorang mak angkat seperti Marina. Pelbagai andaian menerjah ke kotak fikiran Liyana. Namun Liyana malas untuk ambil pusing semua itu. Apa yang pasti, rancangannya pasti berjaya melihatkan reaksi Amirul sebentar tadi.


“Masuk!” arah Tan Sri Khalil sebaik sahaja menyedari pintu biliknya diketuk seseorang.
Liyana dan Marina menapak masuk ke dalam selepas arahan diberi. Sebuah senyuman manis terukir di bibirnya. Setelah mereka berdua meredakan ketawa masing-masing di ladies room, Liyana segera membawa Marina menuju ke bilik Tan Sri Khalil. Misinya cuma satu, meminta Tan Sri Khalil membatalkan hajatnya untuk merisik dirinya. Dia berharap agar misinya itu berjaya.
“Assalamualaikum Tan Sri,” ucap Liyana lembut.
“Waalaikumussalam. Ada a…ap…pa Lia,” tergagap-gagap Tan Sri Khalil menyebutnya sebaik sahaja dia mengangkat muka. Terlopong dia melihat seseorang yang tidak dikenali berdiri bersebelahan Liyana.
Liyana tertawa kecil melihat gelagat Tan Sri Khalil. Sudah pastilah Tan Sri Khalil terkejut melihat Marina. Begitu juga dengan Marina, turut sama menahan ketawa. Rasa nak pecah perutnya menahan ketawa sedari tadi.
“Maaf Tan Sri mengganggu. Lia nak kenalkan Tan Sri dengan mak angkat Lia,” ujar Liyana serba salah. Senyuman manis dihadiahkan buat bakal mertuanya itu.
Tan Sri Khalil mengerutkan dahi. Bingkas dia bangun dan menghampiri Liyana dan Marina. Diperhatikan Marina dari atas ke bawah, sama seperti Amirul. Ada riak kurang senang di wajah Tan Sri Khalil. Pelik aje aku tengok mak angkat Liyana ni. Betul ke mak angkat Liyana ni? bisik Tan Sri Khalil persis Amirul. Dah anak beranak, tentulah sama pemikirannya, ya tak?
“Kenapa Tan Sri?” tanya Liyana pura-pura.
“Eh.. tak ada apa-apa. Betul ke mak angkat awak ni Liyana?” tanya Tan Sri Khalil inginkan kepastian.
“Betullah Tan Sri,” jawab Liyana serius. “Mak… salam,” ujarnya pula.
Marina segera menghulurkan tangannya untuk bersalaman. Namun seperti Amirul, Tan Sri Khalil tidak menyambut salaman Marina. Liyana tersenyum melihatkan reaksi Tan Sri Khalil. Ternyata apa yang difikirkannya selama ini adalah benar. Mana mungkin orang kaya akan menerima orang miskin. Itu pun jika benar Liyana seorang yang miskin. Walaupun sekadar lakonan semata-mata, reaksi terhadap apa yang sedang berlaku amat diperlukan oleh Liyana. Kini dia boleh membuat keputusan buat dirinya sendiri.
“Maaf, tangan saya luka. Jadi tak boleh nak bersalaman,” jelas Tan Sri Khalil seraya menunjukkan tangan kanannya yang berbalut.
Terbeliak mata Liyana melihatnya. Dia menoleh sekilas ke arah Marina. Sengihan dihadiahkan buat Marina.
“Kenapa dengan tangan Tan Sri?” tanya Liyana berbasa-basi. Cuba menyembunyikan rasa terkejutnya. Ternyata pemikirannya tadi tidak benar sama sekali.
“Terkepit kat pintu bilik. Puan Sri tak perasankan tangan saya. Mujurlah sikit aje, kalau tak, susah saya nak buat kerja nanti,” jelas Tan Sri Khalil berserta senyuman di bibir. Masih terimbau-imbau peristiwa itu di kepala otaknya.
“Oh..” ujar Liyana berserta anggukan.
“Macam mana ni Lia? Plan macam tak jadi aje,” bisik Marina di telinga Liyana.
“Tak pe Kak Ina. Lia ada idea baik punya,” balas Liyana turut berbisik. Sudah terbayang-bayang perancangan di kepala otaknya.
“Jemputlah duduk. Buat apa berdiri saja ni,” jemput Tan Sri Khalil dan menapak ke sofa. Dia melabuhkan duduk di situ.
Liyana dan Marina mengikuti tingkah Tan Sri Khalil dan duduk berhadapan Tan Sri Khalil. Masing-masing sedang memikirkan perancangan seterusnya. Berkerut-kerut dahi Liyana memikirkannya. Semoga Tan Sri Khalil bersetuju dengan permintaannya itu.
“Ada apa Lia nak jumpa saya, siap bawa mak angkat Lia sekali?” tanya Tan Sri Khalil ingin tahu. Dia melemparkan sebuah senyuman kepada Marina.
“Err.. Lia dah bagitau mak tentang rombongan merisik Tan Sri tu,” jawab Liyana dan menarik nafasnya sebentar. Belum sempat Liyana menyambung, Marina bersuara.
“Begini Tan Sri. Anak angkat saya ni belum layak lagi untuk berumah tangga. Kencing berak dia pun saya yang basuh lagi,” celah Marina serius.
Erk… kencing, berak. Adui!! Apa yang Kak Ina merepek ni? Buat malu aku ajelah. Sejak bila pulak dia yang basuh kencing dengan berak aku ni, gerutu Liyana di dalam hati. Matanya dihalakan ke arah Marina yang berlagak selamba.
Alamak! Lia maaf, terlepas cakaplah pulak. Excited sangat nak berlakon ni. Tu yang pakai hentam aje bercakapnya. Aku pun tak perasan ayat apa yang aku cakapkan tadi, bisik Marina serba salah.
Tan Sri Khalil mengerutkan dahi. Pelik mendengar kata-kata dari mak angkat Liyana itu. Takkanlah kencing dan berak Liyana masih dibasuh oleh mak angkatnya itu. Mustahil… mustahil… bisik Tan Sri Khalil berserta gelengan kecil.
“Eh… silap information Tan Sri. Maksud saya tadi, dari kecik sampai umur tiga tahun, berak dan kencing Liyana tu saya tolong basuhkan,” suara Marina membetulkan fakta.
“Oh… saya ingatkan apa tadi,” ujar Tan Sri Khalil dan tersenyum.
Liyana menyedekahkan senyuman buat Tan Sri Khalil. Dia menjegilkan mata kepada Marina. Marina yang melihat, sekadar tersengih sambil menggaru-garu rambut afronya.
“Liyana ada ceritakan pada saya tentang Amirul. Kalau boleh biarlah mereka berdua berkenalan lebih rapat lagi. Biarlah mereka berdua saling jatuh cinta dan biarlah mereka berdua sayang menyayangi,” beritahu Marina. Agak kedengaran serius di pendengaran Liyana.
“Bukan ke mereka berdua dah lama kenal dan saling menyintai antara satu sama lain,” bidas Tan Sri Khalil pantas.
“Err… ya, betul tu. Memang mereka berdua saling menyintai antara satu sama lain. Tapi, kalau boleh biar mereka betul-betul serius dalam perhubungan mereka. Kalau tak menjadi keberatan Tan Sri Khalil, saya ada cadangan buat Tan Sri Khalil,” jelas Marina dan tersenyum.
Liyana sekadar mendengar. Berdoa agar Tan Sri Khalil bersetuju dengan cadangan Marina itu. Cadangan yang sudah lama difikirkan oleh Liyana.


2 ulasan:

  1. Akak ingat bab nie, hahahahha. Nanti bila Lia lari ke kampung Kak Marina tu, hilang rambut Alfro kan..hihihihi.

    BalasPadam
    Balasan
    1. aah, part ni mmg sy suka.. sampai terkedu Amirul tgk mak angkat lakonan Liyana tu.. hehehe.. :)

      Padam