Isnin, 1 Oktober 2012

Suara Cinta - Bab 9


BAB 9

“TOLONG! Tolong! Tolong selamatkan saya. Tolong!” jerit Nur Edleen dan menggeleng.
Ezzura yang mendengar segera masuk ke dalam bilik rawatan Nur Edleen. Berkerut-kerut dia melihat Nur Edleen yang sedang tergeleng-geleng sambil tangan terkapai-kapai di awangan seperti orang meminta tolong. Adakah Nur Edleen bermimpi buruk ketika ini?
“Tolong! Tolong selamatkan saya. Api! Api!” jerit Nur Edleen.
“Leen.. Leen.. bangun.. bangun…” panggil Ezzura, seraya menepuk lembut pipi Nur Edleen. Namun, tidak berhasil. Nur Edleen masih lagi dalam dunia mimpinya.
“Tolong! Selamatkan saya! Tolong!” jerit Nur Edleen lagi.
“Leen… Leen… mengucap… mengucap…” panggil Ezzura dan melekapkan kedua-dua belah tangannya ke pipi Nur Edleen.
Tersentak Nur Edleen mendengar panggilan Ezzura. Segera dibukakan mata dan bangun memeluk tubuh Ezzura. Erat!
“Aku takut Zura. Aku takut. Aku nampak api,” beritahu Nur Edleen, bergetar.
“Mengucap Leen. Mengucap. Kau bermimpi aje tu. Mana ada apa-apa,” pujuk Ezzura lembut sambil mengusap belakang Nur Edleen. Cuba untuk mententeramkan Nur Edleen.
“Aku tak mimpi Zura. Aku nampak api tu depan mata aku. Separuh badan aku hampir terbakar,” luah Nur Edleen dan teresak.
Ezzura menghela nafas berat. Pasti, Nur Edleen bermimpikan kemalangan lima tahun yang lepas. Kenapa baru kini Nur Edleen bermimpi? Kenapa tidak sebelum ini? Selama setahun Nur Edleen mengalami trauma akibat kemalangan tersebut. Selama setahun mereka berusaha menyembuhkan penyakit kemurungan Nur Edleen. Bila Nur Edleen pulih, kenapa begini pula jadinya?
“Dahlah Leen. Kau tidur ya. Tadi kau pengsan kat restoran. Mujur ada Encik Edzuary tolong hantarkan kau ke hospital ni,” jelas Ezzura.
Bulat mata Nur Edleen mendengarnya. Dileraikan pelukan dan memandang wajah Ezzura. Berkerut-berkerut dahinya meminta kepastian daripada Ezzura akan kenyataan itu.
“Kebetulan dia ada dinner dengan kawan dia kat restoran tu. Nasib baik pelayan cam kau duduk semeja dengan kitaorang, kalau tidak, tak tahulah apa jadi dengan kau, Leen,” terang Ezzura. Ditatap mesra wajah berkerut Nur Edleen.
“Err.. malunya aku.” Itu pula yang keluar dari mulut Nur Edleen. Dia menundukkan muka dan tersipu-sipu malu.
“Kenapa pulak nak malu?” tanya Ezzura, kurang mengerti.
“Yalah, mesti esok dia gelakkan aku. Tak nak pergi kerja la esok. Aku nak amik EL,” jawab Nur Edleen dan masih menunduk. Diramas-ramas jari-jemarinya sendiri. Perasaan resah menghuni hatinya waktu ini.
Ezzura tertawa kecil. Kenapa itu yang difikirkan oleh Nur Edleen?
“Eee.. malunya. Mesti dia tengok muka aku, kan?” sambung Nur Edleen.
“Yang kau nak malu tu, kenapa? Bukan ke hari-hari dia tengok muka kau,” kata Ezzura dan menggeleng.
“Eh… ya tak ya juga. Aku lupa la yang dia tu bos besar aku,” ujar Nur Edleen, tersengih.
“Kau ni, Leen, geram aku dengarnya la,” geram Ezzura, seraya mencubit lengan Nur Edleen. Terasa dipermain-mainkan oleh Nur Edleen.
“Aduh! Sorry la, aku gurau aje. Jangan la marah. Aku penat la Zura, nak sambung tidur balik,” pujuk Nur Edleen, lembut.
“Aku pun nak keluar sekejap, nak bagitau diaorang yang kau dah okey. Letih aku dengar kau terjerit-jerit minta tolong macam orang sawan gila aku tengok kau tadi,” kata Ezzura, bingkas bangun.
Nur Edleen terkedu. Wajahnya berubah pucat. Ingatannya memutarkan semula mimpi ngeri yang dialaminya sebentar tadi. Peristiwa yang pernah berlaku dalam hidupnya dahulu. Sungguh, Nur Edleen tertanya-tanya akan maksud mimpinya itu.
“Zura, aku…” Belum sempat dia menyudahkan ayat, telefon bimbitnya berbunyi nyaring. Dihalakan mata ke arah telefon dan menatap nama di screen telefon tersebut.
“Siapa?” tanya Ezzura, ingin tahu.
“Edzuary Safuan Erizal Hanif,” jawab Nur Edleen.
“Hurm, dia risaukan kau la tu,” ujar Ezzura dan tersenyum. Dia menapak jalan menuju ke muka pintu bilik. “Dia pun rindukan kau,” sambungnya dan berlalu dari situ.
Nur Edleen mencebik. Gatal telinganya mendengar kata-kata Ezzura. Rindukan aku? Tak ada maknanya dia nak rindukan aku. Lelaki macam dia tu, bukannya boleh dibuat baik, gerutu Nur Edleen sendirian. Dengan malas, telefon bimbit dicapai dan menekan butang hijau. Kemudian, dilekapkan ke telinga, menanti sapaan dari hujung talian.
“Awak dah okey ke?” terjah Edzuary tanpa memberi salam.
Nur Edleen mengerutkan dahi. Tak ada adat langsung. Tak reti nak bagi salam ke? “Assalamualaikum Encik Edzuary Safuan Erizal Hanif!” ucapnya bernada sindiran.
Edzuary tersentak. Digaru kepalanya yang tidak gatal. Malu ditegur sebegitu oleh Nur Edleen. Terlupa untuk memberi salam kepada Nur Edleen. “Waalaikumussalam. Maaf, saya terlupa,” balasnya, kesal.
“Erm…” sahut Nur Edleen.
“Awak dah okey ke?” ulang Edzuary pada soalannya yang tadi.
“Erm…” balas Nur Edleen dan berbaring.
“Awak dah makan ubat ke?” tanya Edzuary, prihatin.
“Erm…” masih sama.
“Awak ni tak ada suara ke nak jawab?” geram Edzuary dan mendengus kasar.
“Ada. Kenapa?” tanya Nur Edleen, pura-pura. Sengaja mengusik Edzuary.
“Habis tu, bila saya tanya, jawab la elok-elok. Allah tarik nikmat suara awak tu baru tahu,” bebel Edzuary, keras.
Nur Edleen tertawa. Geli hati mendengar bebelan Edzuary. Dalam kedinginan Edzuary, masih ada sikap prihatin dalam diri lelaki itu. Nur Edleen mengukir senyuman di bibir.
“Encik dah habis membebel ke?” tanya Nur Edleen dan tertawa.
Edzuary mengerutkan dahi. Bebel? Dia kata aku membebel. Aku ambil berat pasal dia, dia boleh kata aku membebel. Hisy, tak makan saman betul minah ni, geramnya.
“Kalau dah habis, saya nak tidur. Mengantuk dah ni,” rengek Nur Edleen, manja.
“Yalah, pergilah tidur,” geram Edzuary.
“Terima kasih encik. Saaaaayaaanggg encik!” ucap Nur Edleen dan mematikan talian.
Edzuary terkedu. Ucapan Nur Edleen menusuk masuk ke cuping telinga dan terus ke hati. Benarkah apa yang diucapkan oleh Nur Edleen itu? Rasa berbunga di hati ketika ini. Dengan perlahan, bibirnya menguntum senyuman lebar.


“APA? Zura tak bohong dengan abah, kan?” tanya Haji Marwan, keras.
“Tak abah, Zura tak bohong. Leen pengsan tadi dan sekarang ada kat hospital,” jelas Ezzura, terang dan nyata.
“Macam mana boleh jadi macam tu, Zura? Leen tak makan ke?”
“Doktor kata, Leen stress. Masa makan pun tak jaga.”
Stress? Hurm, mungkin disebabkan permintaan abah dan ummi buatkan Leen tertekan sehingga menyebabkan pengsan,” keluh Haji Marwan.
“Abah, janganlah cakap macam tu. Mungkin juga disebabkan permintaan kami buatkan Leen stress,” tukas Ezzura. Tidak mahu Haji Marwan menyalahkan diri sendiri atas apa yang berlaku terhadap Nur Edleen.
“Permintaan? Permintaan apa, Zura?” ulang Haji Marwan, berkerut.
“Kami nak buat program dengan anak-anak yatim tidak lama lagi. Jadi, kami suruh Leen minta sponsor dari bosnya. Mungkin, sebab itu juga buatkan Leen stress. Kami minta maaf abah,” terang Ezzura dan mengeluh.
“Tak mengapalah, Zura. Abah yakin, permintaan abah dan ummi ni yang buatkan Leen stress. Bukan sebab lain lagi,” kata Haji Marwan, perlahan.
“Abah, semua tu dah tertulis dalam kamus hidup Leen. Mahu tak mahu, Leen perlu redha menerima segala ujian dari-Nya,” kata Ezzura bernada pujukan.
Haji Marwan mengeluh berat. Hatinya sebak tatkala mendapat tahu akan keadaan Nur Edleen. Mungkin disebabkan permintaannya membuatkan Nur Edleen mengalami tekanan dan sekali gus pengsan. Rasa bersalah menumpang di hati. Bagaimana reaksi isterinya jika mendapat tahu akan perkara ini?
“Abah.. abah…” panggil Ezzura dari hujung talian.
“Ya… abah ada ni,” balas Haji Marwan.
“Abah janganlah risau. Zura akan jaga Leen. Mungkin, Leen penat sangat sampaikan Leen pengsan. Beberapa hari ni Leen banyak kerja kat office. Lagipun tadi, Leen dah sedar dan…” terhenti kata-kata Ezzura. Perlukah dia memberitahu tentang mimpi Nur Edleen itu?
“Dan apa, Zura?” tanya Haji Marwan.
“Leen… Leen…”
“Leen apa, Zura?” tekan Haji Marwan.
“Leen mimpikan kemalangan lima tahun yang lepas, abah,” beritahu Ezzura.
Tersentap Haji Marwan mendengarnya. Diusap lembut dadanya yang berdegup dengan pantas. Nur Edleen bermimpikan kemalangan lima tahun yang lepas? Bagaimana itu boleh terjadi? Adakah Nur Edleen akan bertanyakan darinya tentang perkara itu? Jika ya, jawapan apa yang harus diberikan pada Nur Edleen nanti. Pelbagai persoalan mengasak dirinya ketika ini. Berharap, Nur Edleen akan melupakan mimpi tersebut.
“Leen ada tanya pada Zura tak?”
Ezzura menghela nafas berat. “Tak ada abah. Leen just cakap yang dia nampak api dan separuh badannya hampir terbakar,” ceritanya. Terdengar Haji Marwan menghela nafas lega.
“Abah yakin, Leen ingat peristiwa kemalangan tu dan abah tak nak Leen tertekan kerana peristiwa tersebut. Zura kan tahu macam mana kita berubatkan Leen,” luah Haji Marwan.
“Zura tahu abah dan kalau boleh Zura tak nak Leen ingat kisah tu lagi. Semakin Leen ingat semakin Leen mengalami tekanan. Cuma, kenapa baru sekarang Leen mimpikan kemalangan tu dan kenapa tidak dari dulu lagi? Zura rasa macam ada sesuatu yang tertinggal la, abah,” jelas Ezzura penjang lebar.
“Abah pun sependapat dengan Zura. Tak apalah, kita tengok dalam beberapa hari ini. Kalau Leen masih alami mimpi itu, kita bawa Leen jumpa Doktor Julia. Mungkin Doktor Julia ada jawapannya,” cadang Haji Marwan.
Ezzura mengangguk faham. Ada benarnya kata-kata Haji Marwan itu. Hanya pada Dia untuk mereka bermohon agar Nur Edleen tabah menghadapi takdir yang telah tertulis di dalam kamus hidupnya.
“Zura, abah letak dulu, ummi kamu ada kat belakang ni,” beritahu Haji Marwan.
“Baiklah abah, kirim salam pada ummi sekali,” balas Ezzura.
“Insya-Allah, kalau ada apa-apa yang berlaku pada Leen, Zura jangan lupa bagitau abah,” pesan Haji Marwan bernada tegas.
“Insya-Allah, baiklah abah,” balas Ezzura.
Haji Marwan mengangguk. Dimatikaan talian dan memandang tepat ke wajah Hajah Norhayati yang sedang memandang ke arahnya berserta kerutan di dahi.
“Kenapa, bang haji?” tanya Hajah Nohayati.
“Zura call tadi,” jawab Haji Marwan dan naik ke atas katil.
Call, kenapa?”
“Pasal Leen.”
“Leen? Kenapa dengan Leen?” asak Hajah Norhayati bernada risau.
“Tak ada apa. Leen pengsan tadi, tapi dah elok,” terang Haji Marwan.
“Apa! Pengsan? Abang haji biar betul,” ulang Hajah Norhayati, tidak percaya.
“Habis tu, takkan Zura nak tipu kita pulak.”
“Betul ke bang haji? Habis tu, Leen kat mana sekarang ni?"
“Leen tak ada apa-apa. Dia dah sedar,” beritahu Haji Marwan berserta keluhan ringan.Wajah Hajah Norhayati ditatap mesra.
“Esok, kita pergi lawat Leen, bang haji,” cadang Hajah Norhayati, seraya duduk di birai katil. Wajah Haji Marwan ditenung sayang.
Haji Marwan hanya mengangguk. Dia mencapai surat khabar lalu membacanya. Tidak mahu terus-terusan membincangkan tentang Nur Edleen. Jika dibincang, khuatir akan merisaukan hati isterinya itu. Cukuplah pengalaman yang mereka alami dahulu dan tidak mahu pengalaman itu berulang kembali.


EDZUARY meletakkan telefon bimbit di atas meja kecil di sisi katil. Dia menapak keluar dari bilik menuju ke balkoni dan membuang pandang di situ. Angin malam menyapa tubuh. Terasa tenang dan damai di waktu ini. Bintang yang berkerlipan di dada langit menambahkan kecantikan ciptaan Allah. Kagum dengan kebesaran Allah.
Edzuary menarik nafas berat. Otaknya ligat memutarkan semula perbualan bersama Aimanuddin di restoran tadi.
“Sampai bila kau nak hidup macam ni, Ary? Sudah-sudahlah dengan kenangan kau tu,” kata Aimanuddin bernada nasihat.
“Kau ni, tak ada benda lain lagi ke nak cakap. Bosan aku dengarnya,” balas Edzuary, kurang senang.
“Itu la masalah kau. Asal aku bersuara sikit, mula la kau kata aku membebel, tak ada benda lain nak cerita la, bosan la, apa la... kadang-kadang aku tak faham dengan kau la, Ary,” komplen Aimanuddin, juga tidak senang.
“Dah kau asyik cerita yang sama aje, mana aku tak bosan,” rungut Edzuary pula. Dengusan kasar terlepas dari bibir.
“Dah kau tak nak dengar nasihat aku, sebab itulah aku membebel dengan kau. Lagi satu, kau tak kesiankan mama dengan papa kau, ke? Tentu mereka sedih dengan keadaan kau yang tak sudah-sudah ni,” bebel Aimanuddin lagi.
Edzuary mengeluh berat. Wajah diraup beberapa lagi. Kata-kata teman baiknya itu menusuk ke tangkai hati. Sungguh, tidak terniat untuk membuat mama dan papanya sedih, tetapi disebabkan memori silamnya membuatkan dia jadi begitu. Rasa bersalah menyerbu perasaannya ketika ini.
“Aku tak berniat nak buat mama dan papa aku bersedih. Aku...”
“Buktikan Ary! Buktikan yang kau tak nak buat mereka bersedih lagi,” pintas Aimanuddin. Matanya tepat ke wajah Edzuary.
“Insya-Allah, aku akan cuba. Semenjak dua menjak ni, aku asyik bermimpi. Aku tak tahu sebab apa. Mungkin...”
“Kalau kau asyik fikirkan tentang tu, mestilah kau akan bermimpikan tentang tu juga. Kau kena buka hati kau untuk redha dengan apa yang telah berlaku. Ada baiknya kau kenal dengan seseorang yang boleh menjadi tempat untuk kau berbual dan meluahkan perasaan kau tu,” cadang Aimanuddin dan tertawa kecil.
Edzuary mengerutkan dahi. Seseorang? Bukankah selama ini hanya Aimanuddin tempat untuknya meluahkan segala isi hati. Tidak ada sesiapa melainkan Aimanuddin, sahabat baiknya selama ini.
“Habis, kau tu siapa? Selama ini hanya kau tempat aku mengadu,” tukas Edzuary.
“Maksud aku perempuan. Kau perlukan perempuan dalam hidup kau,” bidas Aimanuddin. Dia tergeleng kecil melihat riak di wajah Edzuary.
“Perempuan?” ulang Edzuary, berkerut.
Aimanuddin mengangguk.
“Aku tak nak sejarah berulang kembali. Kau sendiri faham apa yang terjadi pada aku dulu,” sambung Edzuary.
“Aku tahu Ary, sebab itulah aku nak kau reda dengan apa yang terjadi dulu. Selagi kau tak reda dan anggap semua itu takdir, selagi itulah kau akan ingatnya. Aku pasti kau memerlukan seseorang untuk kau meluahkan segala isi hati kau itu,” bidas Aimanuddin, keras.
Edzuary menundukkan muka. Sering kali dia akan tertewas tatkala berlawan pendapat dengan Aimanuddin. Mungkin ada benarnya juga kata-kata Aimanuddin itu. Cuma hatinya sahaja yang menolak seratus peratus pandangan dan nasihat Aimanuddin.
“Nur Edleen!” bisik Edzuary, perlahan.
“Ary!” panggil Encik Erizal dari muka pintu bilik. “Banyak kali papa panggil, tak sahut-sahut, kenapa? Apa yang Ary menungkan tu?” tanyanya. Langkah diatur menuju ke luar balkoni dan berdiri di sebelah anaknya itu.
Edzuary tersenyum hambar. Matanya menatap wajah papanya. Bahagia. Itu yang dirasakan Edzuary. Kenapa dia tidak sebahagia papanya? Sejak dari dulu lagi, papa dan mama terlalu mengambil berat akan dirinya. Namun, selepas peristiwa itu, mama dan papanya seakan cuba menjaga hatinya. Seakan tidak mahu hatinya kecewa dan terluka. Seakan terlalu berhati-hati ketika berbicara. Sungguh, Edzuary rasa bersalah kerana telah mengecewakan serta membuat keluarganya bersedih. Nur Edleen! Terdetik nama itu di benak hatinya lagi.
“Ary!” panggil Encik Erizal lagi. Bahu anaknya itu disentuh lembut.
“Maaf pa, Ary mengelamun sekejap,” balas Edzuary.
“Apa yang Ary lamunkan? Kalau Ary ada masalah, Ary cerita dengan papa. Kalau Ary tak nak cerita dengan papa, dengan mama pun boleh, kan?” kata Encik Erizal.
Edzuary menarik nafas dan melepaskannya lembut. Matanya menatap kasih wajah Encik Erizal yang semakin di mamah usia. Kasihan Edzuary melihatnya.
“Ary ada masalah?” ulang Encik Erizal.
“Tak ada apa-apa papa. Ary cuma penat sikit, banyak kerja kat office,” dalih Edzuary. Tidak mahu merisaukan hati papanya.
“Papa tahu, Ary ada masalah. Kalau Ary tak ada masalah, Ary takkan balik ke rumah ni,” bidas Encik Erizal. Bukan sehari dua dia mengenali anaknya itu. Sejak dari kecil sehinggalah sedewasa ini, segala perubahan pada Edzuary dapat di agak dan di duga. Setiap kali Edzuary pulang ke rumah mereka, pasti Edzuary mempunyai masalah. Jika bukan masalah, sudah tentu Edzuary sukar dalam membuat keputusan. Apa yang paling mereka dapat kesan, jika Edzuary mempunyai masalah dalam hubungan cinta atau melibatkan hati. Edzuary akan termenung dan tenggelam dalam dunianya sendiri. Encik Erizal pasti, Edzuary punya masalah hati ketika ini. Jika benar, sudah tentulah dia dan isterinya akan gembira dan merasa lega.
Encik Erizal mengeluh di dalam hati. Sebab dan kenapa Edzuary pulang ke rumah dalam keadaan berlumpur, sudah diceritakan padanya dan Puan Jaslina. Terkejut mereka berdua tatkala mendengarnya. Dia tersenyum memikirkan peristiwa itu. Ternyata, anaknya itu mudah dipermain-mainkan serta diperbodoh-bodohkan. Semoga sikap dan perangai anaknya itu akan berubah tidak lama lagi.
“Ary tak ada masalah apa-apa, papa. Papa janganlah risau tentang Ary,” bidas Edzuary.
“Ary, selama ini papa tak pernah minta apa-apa dari Ary. Tapi kali ini, papa minta Ary dengar cakap papa dan mama. Kami nak yang terbaik untuk Ary. Kami tak nak tengok anak kami hidup dan tenggelam dalam kenangan lama. Yang lepas, biarlah lepas. Kita kena reda dengan apa yang telah berlaku. Kalau kita ikhlas menerima semua itu sebagai takdir, Insya-Allah, hidup kita akan lebih bermakna dan papa yakin, Ary akan dapat rasa kebahagiaan itu sepertimana papa dan mama,” luah Encik Erizal panjang lebar dan bernada nasihat. Tanpa menunggu balasan dari Edzuary, segera dia beredar dari situ. Memberi ruang pada Edzuary berfikir yang mana satu baik dan buruk buat diri Edzuary. Jika difikirkan balik, terlalu lama mereka berdua menanti Edzuary pulih dan kali ini mereka berharap, Edzuary akan melupakan peristiwa yang pernah berlaku lima tahun yang lepas.
“Insya-Allah papa. Ary takkan kecewakan papa dan mama,” janji Edzuary sebelum kelibat Encik Erizal hilang di sebalik pintu bilik.
Encik Erizal sekadar mengangguk. Semoga apa yang dikatakan oleh Edzuary itu tertunai dan tidak akan membuat hati mereka berdua sedih dan kecewa lagi.
“Ary janji papa. Ary takkan kecewakan papa dan mama lagi,” azam Edzuary pada dirinya sendiri. Kemudian, dia menapak masuk ke dalam bilik. Badan yang terasa letih dan penat, perlu direhatkan. Lantas, dicapai tuala dari ampaian dan menapak menuju ke bilik air.
“Nur Edleen!” hatinya berbisik indah sehingga membuatkan langkahnya mati di hadapan pintu bilik air. Perlahan-lahan bibirnya mengukir sebuah senyuman. Senyuman yang hanya difahami oleh dirinya sendiri.

12 ulasan:

  1. Api..api... naper yekkk
    ishhhhh
    suspendeddd jer tau...
    lagi sambungggg plzzzzz

    BalasPadam
    Balasan
    1. hahaha.. sabor ajelah eppy ni.. ada la sbbnya tu.. nti akak smbg ya.. (^__^)

      Padam
  2. Apa sebenarnya yg terjadi lima tahun lepas? Nu edleen ngan edzuary nie ada kaitan ke 5tahun lepas?
    Nur

    BalasPadam
    Balasan
    1. hurm, mgkn ada, mgkn x de.. kena tggu bab seterusnya utk tahu kisah NE n ES..

      Padam
    2. Tak sabar nak tahu sebabnya. Cepatlah sambung.

      Kak Mas

      Padam
    3. Insya-Allah, dlm minggu ni sy mskkn bab 10..

      terima kasih Kak Mas coz sudi singgah n membaca SC.. (^___^)

      Padam
  3. apa kenangan nih...iskk suspen sggh...NE ex girlfren ES?xcdent sama2, pastu NE lupa ingatan & buat plastic surgery..ES xkenal dh dgn NE...hehehe....imagination...

    BalasPadam
    Balasan
    1. hehe.. byknya soalan.. tp, mcm best la imagination wida tu.. hehe.. xpe, setiap persoalan tu ada jwpnnya nti.. kena ttgu bab seterusnya klu nk tahu..

      terima kasih kerana membaca SC.. (^__^)

      Padam
    2. Wida ataupun ES ngan girlfriend xcdent ngan kereta NE. Kemudian girlfriend dia mati tetapi NE cedera parah.


      Kak Mas

      Padam
    3. Kak Mas..

      mungkin btl n mungkin jg tdk.. apa2 pn jwpnnya ada nti..

      Padam
  4. leen nie wife ES ke yg dianggap da mati sbb kebakaran??
    da separuh badan terbakar msti la buat perbedahan plastik n leen hilang ingatan...

    BalasPadam
    Balasan
    1. hurm, mgkn btl dan mgkn jg tdk.. kena tggu bab seterusnya utk tahu kisah yg sbnrnya.. terima kasih kerana sudi singgah dan membaca SC.. (^___^)

      Padam