Isnin, 17 November 2014

Seandainya Tuhan Mengizinkan! - Bab 19





“TAHNIAH! Aku doakan kau bahagia hingga ke akhir hayat,” ucap Farhana. Pipi Nur Syahirah dikucup lembut.
“Terima kasih, Hana,” balas Nur Syahirah seraya mendakap tubuh Farhana.
“Sama-sama kasih. Jangan lupakan aku lepas ni. Maklumlah, dah ada encik abang tersayang,” usik Farhana sambil meleraikan pelukan.
“Kau ni, Hana. Walau apa pun, aku tetap takkan lupakan kau. Kau sahabat aku dunia dan akhirat,” kata Nur Syahirah sedikit sebak.
“Aku tahu kau takkan lupakan aku,” balas Farhana, tersengih.
Nur Syahirah tersenyum hambar. Dihalakan mata ke arah Zairiel yang sedang berbual mesra bersama keluarga. Tatkala matanya bertembung dengan Zairiel, senyuman tawar diberikan buat suaminya itu. Sedari malam tadi, hatinya tertanya-tanya. Benarkah keputusan yang dibuatnya ini? Menerima lamaran Zairiel sekali gus menjadi isteri lelaki itu.
Bagaimana jika Zairiel menyedari siapa dirinya yang sebenar? Adakah Zairiel dapat menerima atau dia akan dibenci? Ya Allah, aku mohon kekuatan untuk hadapi semua ini. Tabahkan hatiku seandainya dia membenci aku nanti, bisik Nur Syahirah sendirian.
“Syira… Syira…” panggil Farhana seraya menyentuh lembut bahu Nur Syahirah.
“Haa.. apa dia?” tanya Nur Syahirah, terpinga-pinga.
“Hai, dah tak sabar nak ehem.. ehem ke?” usik Farhana sambil menjongketkan kening.
“Kau ni, mengada-ngada ajelah. Aku tengah fikirkan sesuatu,” tukas Nur Syahirah. Panas pipinya tatkala diusik sebegitu.
Tertawa Farhana melihat rona merah di pipi Nur Syahirah. Sengaja mengusik kawan baiknya itu. Sedari tadi dia menyedari pandangan Nur Syahirah terhadap Zairiel.
“Aku risau la Hana.”
“Kau risaukan apa?”
“Macam mana kalau Zairiel dapat tahu siapa aku yang sebenar? Dapatkah dia terima aku seadanya?”
“Syira, yang kau fikirkan sangat tentang tu kenapa? Kalau dia benar-benar sayang dan cintakan kau, dia akan terima kau seadanya.”
“Aku tetap risau.”
“Sudahlah! Kalau kau risau, kau berterus-terang pada dia dengan apa yang terjadi pada enam tahun yang lepas.”
“Apa yang terjadi pada enam tahun yang lepas?” tanya Zairiel, tiba-tiba.
Tersentak Nur Syahirah dan Farhana mendengar pertanyaan itu. Ditoleh ke belakang dan wajah Zairiel menyapa mata mereka berdua.
“Apa yang terjadi pada enam tahun yang lepas?” ulang Zairiel kepada pertanyaannya yang tadi. Wajah Nur Syahirah dan Farhana dipandang silih berganti.
“Eh… tak ada apa-apa yang terjadi. Kami cuma teringat zaman belajar dulu. Betul kan, Syira?” dalih Farhana, tersenyum paksa.
“Haa.. betul.. betul. Zaman belajar dulu,” sokong Nur Syahirah mengangguk laju.
Zairiel berkerut dahi. Wajah Nur Syahirah dan Farhana masih menjadi tatapan mata. Seperti ada sesuatu yang disembunyikan oleh mereka berdua.
“Syira, aku jumpa mak dan ayah kejap,” bisik Farhana, perlahan.
Tanpa menunggu, dibawa langkah menuju ke arah Encik Nazim, Puan Mariam dan Syakir berada. Ada baiknya dia beredar dari situ. Khuatir, Zairiel akan bertanya lebih lagi.
“Hana…” panggil Nur Syahirah. Matanya memandang langkah Farhana yang sudah pun menghampiri keluarganya.
Zairiel turut sama memandang. Kemudian, dihalakan pandangan ke wajah Nur Syahirah. Kenapa riak cemas terlukis di wajah isterinya itu?
“Saya ke sana dulu,” pamit Nur Syahirah.
Hatinya berdebar-debar. Pandangan Zairiel menggusarkan hati. Sebagai langkah selamat, ada baiknya dia beredar dari situ.
“Sayang rahsiakan sesuatu daripada abang?” tanya Zairiel.
Termati langkah Nur Syahirah. Apa jawapan yang harus diberikan kepada Zairiel?
“Nur Syahirah!” sebut Zairiel.
“Saya dahaga. Nak minum air,” balas Nur Syahirah.
Tanpa membuang masa, dia segera beredar dari situ. Namun, langkahnya mati tatkala Zairiel menarik lengannya.
“Apa yang terjadi pada enam tahun yang lepas?” Zairiel bertanya buat kali yang ketiga.
Nur Syahirah membisu. Wajah Zairiel ditatap kasih. Perlukah dia berterus-terang kisah yang sebenar? Jika dia berterus-terang, adakah Zairiel dapat menerimanya?
“Saya….”
“Mama!” Panggilan Daniel Iman mematikan kata-kata Nur Syahirah. Nafas lega dilepaskan dan tersenyum ke arah Daniel Iman.
Zairiel melepaskan pegangan. Dengusan terlepas daripada bibir. Matanya memandang tingkah laku Daniel Iman dan Nur Syahirah. Hatinya menduga sesuatu.


NUR SYAHIRAH menatap wajah Daniel Iman yang sedang tidur. Dikucup lembut dahi dan mengusap rambut kanak-kanak itu. Tumpah kasih dan sayang kepada Daniel Iman. Sukar untuk berpisah dengan Daniel Iman kerana kanak-kanak itu sudah menjadi sebahagian dalam hidupnya.
          Tatkala terpandangkan Daniel Iman, serta-merta kenangan Sarah Imani terimbau di fikiran. Jika Sarah Imani masih hidup, mungkin usia Sarah Imani tua setahun daripada Daniel Iman. Tetapi, Allah lebih sayangkan Sarah Imani. Sebagai hambaNya, dia redha dan ikhlas dengan pemergian Sarah Imani.
“Sayang!” tegur Zairiel, tiba-tiba.
Tersentak Nur Syahirah mendengar teguran itu. Air mata yang hampir gugur diseka dengan hujung jari. Senyuman diberikan buat suaminya itu.
“Abang angkat Danny bawa masuk bilik dia sekejap,” ujar Zairiel dan bersedia untuk mengangkat Daniel Iman.
“Biarlah Iman tidur kat sini,” pinta Nur Syahirah.
Berkerut dahi Zairiel mendengar permintaan Nur Syahirah. Mati tingkah lakunya untuk mengangkat Daniel Iman.
“Boleh, kan? Untuk malam ni saja,” pujuk Nur Syahirah pula. Mengharap persetujuan daripada Zairiel.
“Tapi….”
Please… malam ni saja,” pinta Nur Syahirah sedikit merayu.
Zairiel mengeluh berat. Mahu tidak mahu, terpaksalah dia bersetuju dengan permintaan Nur Syahirah.
“Terima kasih!” ucap Nur Syahirah, tersenyum.
Zairiel tidak membalas. Dibawa langkah beredar dari bilik itu. Membiarkan Nur Syahirah bersama Daniel Iman.
Nur Syahirah menarik nafas lega. Bersyukur kerana Zairiel bersetuju dengan permintaannya. Tanpa membuang masa, dibaringkan tubuh di sisi Daniel Iman. Kepenatan siang tadi mulai terasa dan perlu dihilangkan. Dipejamkan mata dan memaksa dirinya untuk tidur.
Zairiel melabuhkan duduk di sofa. Remote televisyen dicapai lalu menekan butang on. Terlayar sebuah drama di hadapan mata. Otaknya sedang ligat berfikir.
Sedari siang tadi, dia memikirkan tingkah laku Nur Syahirah dan Farhana. Sesekali dia terlihat Farhana dan Nur Syahirah berbisik sesama sendiri. Riak di wajah Nur Syahirah kelihatan cemas dan khuatir. Apa yang mereka sembunyikan?
Bunyi telefon menyentak lamunannya. Digagau poket seluar dan mengeluarkan telefon bimbit. Ditatap nama yang tertera di screen telefon. Keluhan terlepas daripada bibir.
“Ada apa Adila?” tanya Zairiel kemudian.
“I rindukan you, Zairiel,” rengek Adila, manja.
“Dah lewat, Dila. I dah mengantuk. Nak tidur.”
“Sampai hati you buat I macam ni, Zairiel. I rindukan you. Dah lama I tak jumpa dengan you. Kenapa you nak jauhkan diri daripada I? Apa salah I?”
“Dila, berapa kali I nak beritahu pada you. Perasaan I pada you tetap sama. I anggap you sebagai kawan dan tak lebih dari itu,” jelas Zairiel, tegas.
“Apa salahnya kalau you bagi peluang pada I? Cuba you buka pintu hati you untuk I. I tak kisah status ‘duda’ yang you pegang,” kata Adila teresak kecil.
“I harap, you dapat terima dengan apa yang nak I beritahu pada you ni,” tutur Zairiel, lembut. Nafas ditarik dan melepaskannya lembut.
“Sebenarnya, I dah kahwin.”
Terkejut Adila mendengarnya.
“You tipu I, kan Zairiel? You sengaja ada-adakan cerita untuk halang I dari mendekati you. Betul kan, Zairiel?”
“I tak tipu, Dila. I dah berkahwin siang tadi. I berkahwin dengan perempuan yang paling I cinta selama ini,” jujur Zairiel.
“You tipu! I tak percaya. Siapa perempuan tu?” bentak Adila, keras. Menafikan penjelasan Zairiel sebentar tadi.
“Maafkan I!” ucap Zairiel dan mematikan talian.
Diraup sekali wajah dan melepaskan keluhan berat. Ada baiknya dia berbuat begitu. Tidak mahu terus-terusan mendengar rengekan Adila.
Tanpa membuang masa, dia bingkas bangun sebaik sahaja suis televisyen ditutup. Dikerling jam di dinding. Masa sudahmerangkak ke angka dua belas malam. Langkah dibawa menuju ke bilik. Terkejut dia tatkala terpandang Nur Syahirah di muka pintu bilik.
“Sayang, kenapa?” tanya Zairiel sedikit bergetar. Adakah Nur Syahirah mendengar perbualannya dengan Adila sebentar tadi?
“Saya dahaga. Nak minum air. Saya ke dapur dulu,” jawab Nur Syahirah, tenang.
“Sayang, nanti dulu!” tegah Zairiel seraya menahan langkah Nur Syahirah.
Termati langkah Nur Syahirah. Jantungnya berdegup dengan kencang.
“Abang nak beritahu sayang sesuatu,” beritahu Zairiel dan menarik Nur Syahirah masuk ke dalam bilik bersebelahan.
“Err… esok sajalah. Takut Iman cari saya bila dia terjaga nanti.” Nur Syahirah beralasan.Langkahnya mengekori langkah Zairiel. Berdebar-debar dirasai ketika ini.
Zairiel menyimpan senyuman. Wajah kalut Nur Syahirah menggelikan hati. Dibawa Nur Syahirah ke katil dan melabuhkan duduk di birai.
“Ya, Iman! Sekejap, mama datang!” suara Nur Syahirah.
Zairiel berkerut dahi.
“Awak, Iman panggil saya,” beritahu Nur Syahirah bingkas bangun dari duduk.
“Abang tak dengar apa-apa pun,” tukas Zairiel seraya menarik Nur Syahirah duduk di sisinya semula.
“Ada! Saya dengar Iman panggil. Saya tengok Iman sekejap,” tegas Nur Syahirah. Menegakkan kenyataannya tadi.
“Hey… kenapa ni? Sayang takut dengan abang ke?” tanya Zairiel, tersenyum.
Nur Syahirah tidak menjawab. Dia bermain-main dengan jari-jemari. Debaran di hati sukar untuk diselindung.
Zairiel masih lagi tersenyum. Ditarik tangan Nur Syahirah dan mengucup lembut jari-jemari itu. Kemudian, ditatap wajah tersayang dengan kasih yang mendalam.
“Saya nak tengok Iman,” ujar Nur Syahirah.
Masih mencuba. Berharap, Zairiel membenarkannya keluar dari bilik itu.
“Kalau sayang terdengar perbualan abang dengan Adila tadi abang nak sayang tahu, antara abang dengan Adila tak lebih dari seorang kawan. Hanya sayang bertakhta di hati abang.”
Jujur Zariel meluahkannya. Mungkin dengan berterus-terang dapat menghindarkan mereka berdua daripada salah faham antara satu sama lain.
Nur Syahirah sekadar mengangguk. Sedari tadi hatinya tertanya-tanya, siapa Adila yang sebenar? Secara tidak sengaja dia terdengar perbualan Zairiel bersama Adila. Syukur kerana Zairiel seorang yang berterus-terang. Mungkin dengan cara ini juga dapat mengelak perselisihan faham antara satu sama lain.
“Terima kasih kerana menerima abang menjadi suami sayang,” ucap Zairiel, lembut. Matanya masih menatap wajah Nur Syahirah.
“Abang cintakan sayang sepenuh hati abang. Sejak sayang tinggalkan abang enam tahun yang lepas, setiap hari abang rindukan sayang. Setiap hari abang berdoa agar pertemukan abang dengan sayang semula. Syukur alhamdulillah, doa abang termakbul. Abang bertemu dengan sayang semula dan sekarang sayang dah jadi isteri abang.”
Nur Syahirah cuba merencana penjelasan Zairiel. Setiap hari dia merindui aku? Bagaimana dengan Maisarah? Bukankah dia couple dengan Maisarah? Ke mana pergi Maisarah? Hati Nur Syahirah tertanya sendiri.
“Sayang…” tegur Zairiel tatkala terpandang Nur Syahirah seakan mengelamun.
“Saya balik bilik dulu. Tentu Iman dah terjaga,” ujar Nur Syahirah cuba bangun dari duduk. Risau terhadap Daniel Iman menujah di hati.
Zairiel menahan tingkah laku Nur Syahirah. Kata ganti diri yang keluar daripada mulut Nur Syahirah kurang menyenangkan di pendengarannya.
“Saya….”
Termati kata-kata Nur Syahirah tatkala bibir Zairiel menyentuh lembut bibirnya. Tergamam dia buat seketika dengan tingkah laku Zairiel itu.
“Sayang! Not ‘saya’,” tegur Zairiel sebaik sahaja bibir mereka terlerai. Pipi Nur Syahirah diusap lalu mengucupnya lembut.
Nur Syahirah tidak menjawab. Dibiarkan sahaja tingkah laku Zairiel yang sedang mengucup pipinya. Perlukah dia menolak kehendak suaminya itu? Berdosakah jika dia menolaknya? Dia tidak mahu menjadi seorang isteri yang derhaka. Dia tidak mahu menjadi seorang isteri yang tidak diredhai oleh suami sendiri. Dia takut akan balasan Allah. Tetapi, jika dia tidak menolak, adakah Zairiel dapat menerima dirinya selepas ini?
Ya Allah, aku berserah semuanya kepadaMu. Jika selepas ini aku terpaksa tempuhi dugaan yang hebat, aku redha dan ikhlas menerimanya. Jika dia membenciku, akan aku cuba sedaya upaya untuk melembutkan hatinya. Aku serahkan takdirku kepadaMu, doa Nur Syahirah.


“KENAPA ni, sayang?” tegur Dato Amran tatkala terpandang Adila.
“Papa!” esak Adila seraya memeluk tubuh Dato Amran.
Dato Amran berkerut dahi. Kurang mengerti akan tindakan Adila.
“Dia dah kahwin, papa,” adu Adila. Masih teresak.
“Kahwin? Siapa yang dah kahwin?” tanya Dato Amran.
“Zairiel!” sebut Adila, sepatah.
Dato Amran meleraikan pelukan. Wajah Adila ditatap minta penjelasan.
“Zairiel dah kahwin, papa.”
“Zairiel dah kahwin? Bila?”
“Siang tadi.”
“Dengan siapa?”
“Dila tak tahu. Zairiel sendiri beritahu pada Dila. Papa, Dila sayangkan Zairiel. Sampai hati Zairiel buat Dila macam ni,” luah Adila, sebak.
Dato Amran berfikir sejenak. Otaknya masih cuba merencana penjelasan Adila. Benarkah Zairiel sudah berkahwin? Kenapa Encik Zahrin tidak memberitahunya? Adakah Zairiel berkahwin tanpa pengetahuan Encik Zahrin?
“Papa, kenapa Zairiel buat Dila macam ni? Apa kurangnya Dila?” tanya Adila sambil menyeka air mata.
“Syhhh… jangan cakap macam tu. Dila tak kurang apa-apa pun. Zairiel tu yang tak pandai nak menilai anak papa,” pujuk Dato Amran, lembut.
“Habis tu, kenapa Zairiel tak terima Dila? Puas Dila buat macam-macam untuk pikat hati dia. Zairiel tetap tak pandang Dila.”
“Zairiel tu memang bodoh. Tak apa, Dila cari orang lain saja. Masih ada yang nakkan anak papa ni. Kan anak papa ni cantik dan seksi.”
Adila menyeka air mata yang masih bersisa. Wajah Dato Amran ditatap mesra.
“Betul ke Zairiel dah kahwin?” tanya Dato Amran inginkan kepastian.
Adila sekadar mengangguk.
“Dengan siapa?”
“Dila tak tahu. Tapi, memang Zairiel beritahu yang dia dah kahwin siang tadi.”
Uncle Zahrin… tahu tak?”
“Dila tak tahu.”
Dato Amran berfikir sejenak.
“Dila tak tipu papa?”
“Betullah papa. Zairiel sendiri yang cakap dengan Dila yang dia dah kahwin.” Adila menegakkan kenyataannya tadi. Dengusan kecil terlepas daripada bibir.
“Tak apalah. Esok papa suruh orang siasat.”
“Dila masuk tidur dulu,” pamit Adila.
“Hai, tadi bukan main meraung. Sekarang dah tak ada apa-apa. Pelik betul papa dengan Dila ni,” tegur Dato Amran menggeleng kecil.
“Ala, papa ni. Macamlah tak kenal dengan Dila. Takkan nak meraung, meratap bagai kut? Tak kuasalah nak menangis lama-lama untuk jantan macam Zairiel tu. Macam hebat sangat,” cebik Adila, meluat dan berlalu pergi.
Dato Amran ketawa. Matanya menghantar langkah Adila yang sudah pun masuk ke dalam bilik. Senyuman sinis terbias di wajah. Perlukah dia memberitahu Encik Zahrin mengenai perkara ini? Mungkin ada baiknya dia memberitahu Encik Zahrin.
Sekadar untuk menyakitkan hati musuhnya itu. Tidak sabar untuk melihat reaksi Encik Zahrin sebaik sahaja mengetahui tentang perkahwinan Zairiel.
“Padan dengan muka kau, Zahrin,” kutuk Dato Amran, sendirian.


2 ulasan: