Isnin, 27 Februari 2017

Terus Mencintaimu - Bab 9






“AIR!” suara Aidil sambil menghulurkan setin minuman dan dibalas baik oleh Hanif.
“Kau okey ke tidak ni?” tanya Aidil bernada risau. Duduk dilabuhkan di sisi Hanif.
Hanif meneguk minuman. Dia sekadar mengangguk sebagai tanda jawapan kepada pertanyaan Aidil.
“Aku rasa kau tak okey,” sambung Aidil lagi. Masih tidak berpuas hati.
“Kenapa kau rasa aku tak okey?” Hanif bertanya. Dia memandang Aidil di hadapan.
“Pasal ayah kau nak jual syarikat dan menetap di kampung.”
Bulat mata Hanif mendengarnya. Bagaimana Aidil tahu mengenai itu? Adakah Haidar bercerita kepada Aidil?
“Haidar beritahu pada aku,” ujar Aidil tatkala menyedari riak di wajah Hanif.
“Huh! Haidar tu memang tak boleh simpan rahsia. Semua orang nak diceritanya,” rengus Hanif sambil meremukkan tin minuman yang sudah kosong.
“Kau kan tahu hubungan aku dengan dia macam mana?”
“Iyalah! Best friend forever, kan?”
Aidil ketawa kecil melihat cebikan Hanif. Kawannya itu masih tidak sukakan Haidar. Sejak sekolah menengah lagi, Hanif tidak sukakan Haidar. Hanif dan Haidar jauh berbeza. Haidar bersikap terbuka manakala Hanif bersikap prejudis dan ego.
Walaupun dia berkawan baik dengan Haidar, Hanif tetap kawannya. Maka dari itu, Haidar memintanya membantu serta memantau Hanif dari segala segi. Tidak mahu Hanif leka dengan apa yang diperolehi selama ini.
“Kau boleh tolong aku tak?”
Suara Hanif mematikan lamunan pendek Aidil. Hanif di hadapan dipandang berserta kerutan di dahi.
“Kau boleh tolong aku tak?” Hanif mengulangi pertanyaannya.
“Tolong apa?” soal Aidil masih berkerut.
“Tolong aku siasat Iris Eryna,” sebut Hanif, senafas.
“Iris Eryna?”
Hanif sekadar mengangguk.
“Aku nak tahu siapa dia yang sebenarnya.”
Why? Dia dah…..”
“Mengarut! Kau jangan nak fikir yang bukan-bukan, Aidil.” Hanif memintas. Dia tahu apa yang hendak diperkatakan oleh Aidil.
Aidil ketawa. Wajah Hanif dipandang tidak berkelip.
“Aku nak tahu hebat sangat ke dia.” Hanif memberitahu niat sebenarnya.
“Memang dia hebat.” Aidil sengaja berkata begitu. Sekadar melihat reaksi Hanif.
“Huh! Hebatlah sangat,” cebik Hanif, meluat.
Semakin kuat Aidil ketawa. Dia menggelengkan kepala dengan sikap Hanif.
“Aku nak kau tolong aku siasat siapa sebenarnya dia. Aku macam kenal dia sebelum ni. Tapi, aku tak sure.”
Aidil yang mendengar terus mematikan ketawa. Apa maksud Hanif?
“Mata dia. Macam aku pernah nampak mata seperti tu sebelum ni.”
“Maksud kau?”
Hanif menghela nafas ringan. Matanya dibuang jauh ke tengah tasik. Pagi yang mendamaikan. Mereka berdua berada di tasik sekadar untuk jogging bersama.
“Maksud kau?” Aidil mengulangi pertanyaannya.
“Aku tak tahu. Setiap kali aku pandang dia, perasaan benci dan marah aku meluap-luap,” jelas Hanif, perlahan.
Aidil tidak membalas. Otaknya sedang berfikir.
“Aku dapat rasakan, ada sesuatu tentang dia yang perlu aku siasat.”
“Perasaan kau saja, Hanif. Kau dan dia kan tak boleh berjumpa. Pasti ada perkara yang terjadi dan tak puas hati antara kau dan dia.”
Hanif hanya mendengar. Dia cuba untuk memahami kata-kata Aidil.
“Tapi, kau dan dia macam berjodoh pulak aku rasa.”
“Maksud kau?”
“Iyalah! Aku perasan yang sekarang ni kau selalu berjumpa dengan dia.”
Totally wrong! Bukan berjumpa tapi terjumpa, okey! ‘Ter’ jumpa.” Hanif menekankan perkataan ‘ter’.
“Bukan sama ke maksudnya tu?” Aidil sengaja bertanya.
“Tak sama!” Hanif menegaskan.
“Walau apa pun Hanif, dah banyak kali kau ‘ter’ jumpa dengan dia. Itu tandanya kau dan dia berjodoh. Mana la tahu kan dia jodoh kau. Dia pun aku tengok seorang yang cantik dan bijak.” Aidil mengusik. Dia turut memuji Iris.
“Mengarut!” bidas Hanif, keras.
Aidil ketawa mendengarnya.
“Aku nak kau siasat pasal dia. Kalau boleh, cari kelemahan dia.”
“Kelemahan dia? Maksud kau?”
“Yang kau tiba-tiba bengap ni, kenapa? Dia tu musuh kita. So, kita kena la cari kelemahan musuh. Baru senang kita nak serang.”
Aidil menggeleng perlahan. Dia tersenyum dengan kerenah Hanif.
“Kau nak tolong ke tidak?”
“Kalau aku tak nak tolong, kau nak buat apa?”
“Aku upah orang lain. Apa susah? Yang penting duit.”
“Kalau macam tu, kau upah orang saja la siasat. Aku tak ada masa nak layan kebudak-budakkan kau tu.”
“Kau kata aku kebudak-budakkan?” Hanif menjegilkan mata.
“Memang pun. Dengan perempuan pun kau nak cari gaduh,” tembak Aidil lalu ketawa. Sengaja mengkritik kawannya itu.
“Kau….”
“Jom kita balik. Dah lewat ni. Aku dah janji dengan Haidar nak jumpa tengah hari ni,” pintas Aidil bingkas bangun dari duduk.
“Kau nak jumpa dengan Haidar? Kenapa?” Hanif berminat ingin tahu. Dia turut sama bangun dari duduk.
“Adalah! Mana boleh beritahu pada kau. Rahsia antara aku dan dia.”
“Huh! Rahsia la konon. Tak apa kalau kau tak nak beritahu pada aku. Lambat laun nanti, aku akan tahu juga.”
“Ikut suka hati kau la, Nif. Aku tak nak masuk campur dalam urusan kau dan Haidar.”
Hanif tidak membalas. Matanya menghantar pemergian Aidil. Rahsia apa yang mereka berdua sembunyikan?
“Ah! Lantak dia orang la. Malas aku nak fikir,” putus Hanif lalu beredar dari situ.


“ALHAMDULILLAH, majlis berjalan dengan lancar,” ucap Puan Hanum berserta nafas lega.
“Alhamdulillah mak. Semuanya berjalan dengan lancar,” ucap Iris pula sambil tersenyum.
“Walaupun kita tangguhkan majlis ni, tapi tetap berjalan juga.”
“Maafkan Iris, mak. Kalau bukan….”
“Tak apa la, Iris. Kerja lebih penting. Sumber rezeki Iris.”
Iris masih lagi tersenyum. Wajah Puan Hanum ditatap seketika. Hari ini mereka mengadakan majlis kesyukuran seperti yang dirancang. Walaupun perancangan asal pada minggu lepas, atas sebab-sebab tertentu rancangan terpaksa ditukar.
Di saat akhir dia terpaksa menghadiri conference di luar negara atas arahan Dato Rashid. Mahu tidak mahu, terpaksalah dia bersetuju. Lagipun dia hanyalah pekerja biasa. Arahan bos tetap perlu dituruti.
“Iris!” Puan Hanum menegur.
“Haa…. Apa dia mak?” Iris tersentak.
“Bila Iris nak balik kampung?” Puan Hanum sekadar bertanya. Masih teringat dengan niat Iris untuk pulang ke kampung.
“In shaa Alla mak. Kalau semuanya dah selesai, Iris balik.”
“Seorang?”
Iris sekadar mengangguk. “Mak nak ikut ke?”
“Tak apalah Iris. Iris baliklah. Mak ni menganggu Iris saja nanti. Lagipun, Iris balik ke sana ada tujuan bukannya tak ada tujuan.”
“Apa salahnya kalau mak ikut?”
“Tak apalah nak. Mak tinggal di sini saja. Kalau mak bosan, mak pergilah ke rumah Mak Semah tu, berbual.”
Iris sekadar mengangguk. Wajah Puan Hanum ditatap sayang.
“Mana Zakry? Bukan kata nak datang?” tanya Puan Hanum tatkala menyedari ketiadaan Zakry. Kawan baik Iris.
“Dia lewat sikit mak. Ada hal katanya. Tapi, dia minta kita tinggalkan makanan untuk dia,” beritahu Iris lalu ketawa kecil. Geli hati dengan permintaan Zakry hari itu.
Puan Hanum turut sama ketawa. Zakry seorang yang kelakar dan peramah. Senang hatinya melihat persahabatan Iris dan Zakry.
“Mak ke dapur dulu. Nak kemas apa yang patut,” ujar Puan Hanum kemudian.
“Mak, tak apa. Biar Iris yang buat.” Iris menghalang. Tidak mahu menyusahkan Puan Hanum.
“Tak apa. Iris berehatlah dulu. Dari semalam mak tengok Iris tak berehat,” suara Puan Hanum, lembut.
“Tapi mak….”
“Berehat ya!” pintas Puan Hanum. Tangan Iris dicapai lalu ditepuk lembut.
Iris serba salah. Nak tak nak, dia terpaksa akur. Tubuh Puan Hanum yang sedang melangkah menuju ke dapur dipandang penuh minat.
Tanpa menunggu, langkah dibawa menuju ke halaman rumah. Duduk dilabuhkan di bangku yang tersedia di laman itu sambil melepaskan nafas ringan. Wajah Hanif dan Haidar menyapa mata silih berganti. Seakan iras wajah mereka berdua. Adakah mereka berdua adik-beradik?
Mustahil Hanif dan Haidar mempunyai pertalian adik-beradik. Haidar seorang yang lembut dan ikhlas manakala Hanif seorang yang ego dan berlagak. Bagai langit dengan bumi mereka berdua. Tetapi, kenapa kedua-duanya punya rasa yang berbeza?
Tatkala bertemu dengan Haidar, perasaan sebak dan bersalah hadir di hati. Seperti ada kisah yang tersembunyi. Adakah itu sekadar firasat di hati atau kisah silamnya yang dia sendiri tidak ingat?
Hanif pula, penuh dengan ego dan lagak. Kebencian dan dendam menghuni di hati pemuda itu. Dia yakin dengan apa yang dirasakan terhadap Hanif. Perasaan benci dan dendam terhadap seseorang. Siapa? Walau siapa pun, semoga suatu hari nanti perasaan itu lenyap dari sinar mata Hanif.
“Hai, menung jauh nampak?” tegur Zakry mengejutkan Iris.
Tersentak Iris mendengar teguran itu. Dia menghalakan mata ke arah Zakry yang sedang melangkah menghampirinya di bangku.
“Aku bagi salam pun tak jawab,” sambung Zakry sambil melabuhkan duduk.
Iris sekadar tersengih. Kepala yang bertudung digaru seketika.
“Mak mana?”
“Ada di dalam. Mengemas!”
“Mengemas? Habis tu, kau buat apa kat sini?”
“Termenung!”
“Bertuah punya anak. Kenapa tak tolong mak mengemas?”
“Mak yang tak bagi aku tolong dia. So, aku termenung la kat sini,” jelas Iris berserta sengihan di bibir.
Zakry menggelengkan kepala. Wajah Iris di sisi ditatap seketika.
“Aku ingat nak ambil cuti. Nak balik kampung,” ujar Iris bernada perlahan.
“Bukankah dah lama kau planning nak balik kampung?” soal Zakry sedikit pelik. Itulah yang diberitahu Iris selama beberapa minggu ini. Keinginan gadis itu untuk pulang ke kampung halaman.
“Aku tak ada kekuatan, Zack,” suara Iris seraya memandang wajah Zakry di sisi.
Zakry tidak membalas. Dia faham dengan kata-kata Iris.
“Kenangan lama masih berbekas di hati aku. Walaupun aku dah cuba nak lupakan, kenangan tu tetap menjengah fikiran aku.”
Zakry menghela nafas ringan. Dia mengangguk perlahan tanda faham.
“Sehingga sekarang, aku rasa kekurangan.” Iris menunduk memandang kaki sendiri.
“Iris…..” Zakry menyeru. Wajah Iris yang menunduk ditatap sayu.
Iris tidak membalas. Air mata meniti di tubir mata.
“Kau seorang yang tabah. Aku kagum dengan kau,” suara Zakry lagi. Memberi semangat buat gadis itu.
Iris mengangkat wajah. Senyuman meniti di bibir.
“Aku pasti, kau akan berjumpa dengan dia. Usaha kau selama sepuluh tahun ni tak akan sia-sia. Percayalah cakap aku ni,” sambung Zakry penuh yakin.
“Aku nak tebus balik kesalahan aku, Zack. Aku harap sangat berjumpa dengan dia,” balas Iris bernada sebak.
“In shaa Allah, Iris. Allah tahu niat baik kau. Yang penting, usaha, doa dan tawakal.”
Zakry masih memberi kata-kata semangat buat Iris. Dia tahu, sehingga ke hari ini, Iris masih lagi tidak dapat melupakan peristiwa lama. Iris rasa bersalah atas apa yang berlaku dahulu. Walaupun kesalahan itu bukan seratus peratus terletak di bahu Iris, tetapi gadis itu masih menganggap dirinya bersalah.
“Ha Zack, bila sampai?” tanya Puan Hanum, tiba-tiba.
Teguran Puan Hanum mematikan lamunan pendek Zakry. Dihalakan mata ke wajah Puan Hanum yang semakin menghampiri.
“Ingatkan Zack tak datang,” sambung Puan Hamun.
“Maaf mak, terlewat. Ada kerja sikit tadi,” jelas Zakry seraya bangun. Tangan Puan Hamun dicapai lalu dicium lembut.
“Iris, kenapa tak beritahu mak yang Zack dah datang?” Puan Hanum menegur Iris. Wajah Iris yang sedang menunduk dipandang.
“Mak… Zack lapar.” Zakry bersuara. Dia memberi isyarat kepada Puan Hanum.
Puan Hanum tidak membalas. Cuba untuk memahami isyarat Zakry. Seminit kemudian, dia mengangguk perlahan. Faham akan maksud isyarat yang diberikan oleh Zakry. Pasti Iris sedang mengingati kisah lama. Maka ada baiknya dia tidak terus bersuara.
“Mak, jom kita masuk!” Zakry mengajak.
“Jomlah!” balas Puan Hanum kemudian.
“Iris, aku dengan mak masuk dalam dulu,” ujar Zakry.
“Mak masuk dalam dulu, Iris. Kalau Iris nak apa-apa, beritahu mak,” suara Puan Hanum pula. Tangan Iris disentuh lembut.
Iris tersentak. Dia mengangkat wajah lalu memandang Puan Hanum yang sedang tersenyum. Sejak bila Puan Hanum berada di hadapannya itu?
Puan Hanum tersenyum. Pasti Iris tidak menyedari kehadirannya di situ.
“Aku nak makan sekejap,” beritahu Zakry.
“Haa… baiklah!” Iris sedikit terpinga-pinga.
“Mak ada di dalam. Kalau perlukan apa-apa, beritahu mak,” pesan Puan Hanum untuk kesekian kali.
Iris hanya mengangguk. Ucapan syukur meniti di benak hati. Bersyukur kerana memiliki ibu angkat serta sahabat baik seperti Zakry.
“Aku makan sekejap. Apa-apa panggil aku,” pesan Zakry pula.
Tanpa menunggu, dia melangkah jalan beriringan dengan Puan Hanum menuju ke rumah. Dikerling sekilas wajah Iris buat seketika. Hanya riak sedih terlukis di wajah itu.
Jauh di sudut hati, dia tetap mendoakan kebahagiaan Iris. Semoga ada insan yang bernama lelaki dapat menerima segala kekurangan Iris Eryna.




1 ulasan: