Khamis, 16 Julai 2020

Tiada Dirimu - Bab 4








AZIE memandang tajam ke wajah Dalia. Gadis itu tidak faham bahasa. Sudah dijelaskan namun gadis itu tidak juga beredar dari pejabat. Peristiwa semalam masih tidak dilupakan. Disebabkan Dalia, Rafiq mengalami kecederaan di tangan.
Mujurlah Rafiq bersetuju untuk ke klinik dan kecederaan yang dialami pemudia itu tidak serius. Jika tidak, dia akan berasa menyesal kerana membenarkan Dalia masuk ke dalam pejabat semalam.
“Ehem…” Dalia berdehem. Dari tadi dia melihat Azie termenung.
Azie tersentak. Dia mengemaskan penampilan.
“Bos awak tu lambat lagi ke nak masuk?” tanya Dalia ingin tahu.
“Entah! Mana la aku tahu,” jawab Azie acuh tidak acuh.
“Tak tahu?” ulang Dalia berserta kerutan di dahi.
“Kau ingat aku ni jaga tepi kain dia ke? Sibuk nak tahu ke mana dia pergi.” Azie menjeling tajam.
So? Kau buat kerja apa kat sini?”
“Aku…”
“Oh! Penyambut tetamu,” pintas Dalia sambil mengangguk faham.
Azie menggenggam erat tangan. Tajam matanya ke wajah selamba Dalia.
Morning!” tegur Rafiq dengan tiba-tiba.
Azie dan Dalia tersentak. Masing-masing menghalakan mata ke arah Rafiq.
“Selamat pagi, Encik Rafiq,” ucap Azie bernada lembut dan manja.
Dalia yang mendengar mencebik. Geli telinganya mendengar suara mengada Azie.
“Cik?” Rafiq menegur Dalia tatkala terpandang wajah gadis itu.
“Assalamualaikum, encik,” sapa Dalia sambil mengangkat tangan.
“Waalaikumussalam,” balas Rafiq berserta senyuman di bibir. Tidak menyangka yang dia akan bertemu dengan gadis itu lagi.
“Boleh jumpa sekejap tak?” tanya Dalia selepas itu.
Azie yang mendengar berkerut dahi.
“Ada perkara nak cakap.” Dalia menanti jawapan daripada Rafiq.
“Cik kena buat appointment dulu sebelum nak…”
“Boleh! Kita masuk ke dalam,” suara Rafiq. Ada nada teruja pada suaranya itu. Seminit kemudian, dia melangkah masuk ke dalam bilik pejabat.
Azie hanya memandang. Dia mendengus kasar melihat Dalia masuk ke dalam bilik bersama dengan Rafiq.
“Haish! Melampau betul minah tu,” rengus Azie, geram.
“Cik boleh tolong bawakan segelas air ke dalam?” pinta Dalia berserta sengihan di bibir. Kemudian, dia masuk ke dalam bilik.
“Kurang ajar!” Azie menggenggam erat tangan. Sakit hatinya mendengar permintaan Dalia. Tajam matanya memandang pemergian gadis itu.
“Ingat aku ni kuli kau ke apa? Suka hati nak mengarah aku,” bebel Azie.
Tanpa rela, dia melangkah menuju ke pantry. Ada baiknya dia akur dari membantah. Dia tidak mahu menjatuhkan imejnya di hadapan Rafiq.


“WOW! Menarik dan tertarik,” puji Dalia sebaik sahaja masuk ke dalam bilik pejabat Rafiq. Melilau matanya melihat keadaan bilik Rafiq.
Rafiq tersenyum. Dia melabuhkan duduk sambil memandang tingkah laku Dalia.
“Encik lukis ke semua ni?” Dalia menyentuh gambar lukisan di dinding. Dia tertarik melihat lukisan tersebut.
“Tak. Adik saya yang lukis.” Rafiq memandang ke wajah Dalia.
“Pandainya adik encik melukis.” Dalia masih memuji. Dia menoleh ke wajah Rafiq.
Rafiq hanya tersenyum. Tidak dinafikan yang Ziqri pandai melukis. Tetapi, semua itu hanya tinggal kenangan. Sejak dari kejadian itu, Ziqri berhenti melukis.
“Cik nak cakap apa dengan saya?” Rafiq bertanya akan tujuan Dalia ke pejabatnya.
“Oh! Lupa pula.” Dalia menghampiri kerusi. Dia melabuhkan duduk di situ.
“Hal apa?”
Dalia mengeluarkan telefon bimbit. Dia mencari folder record. Setelah berjumpa, dia meletakkan telefon bimbit di atas meja.
Rafiq yang melihat berkerut dahi.
“Encik boleh tak maafkan saya?”
“Maaf? Pasal apa?”
“Kes semalam tu. Disebabkan saya, tangan encik…” Dalia mematikan ayat. Dia memandang balutan di tangan Rafiq.
“Hal kecil saja, cik. Tak perlulah diperbesarkan.” Rafiq turut sama memandang tangannya yang berbalut.
“Kecil bagi encik tapi besar bagi saya.”
Rafiq berkerut. Dia kurang faham.
“Kalau encik tak maafkan saya, gaji saya kena potong.”
“Potong gaji?”
Dalia mengangguk laju. Dia memandang ke wajah Rafiq di hadapan.
“Takkan sampai macam tu sekali?” Rafiq sedikit terkejut.
Dalia tidak membalas. Dia bangun dari duduk lalu menghampiri Rafiq di kerusi. Dia merapatkan wajahnya ke telinga Rafiq.
Rafiq hanya memandang. Tingkah laku Dalia yang sedang menghampirinya menghadirkan rasa debaran di dada.
“Kalau encik nak tahu, bos saya tu kedekut orangnya. Then, dia tu seorang yang bengis dan pemarah. Kalau saya buat salah sikit, saya akan dipukul,” bisik Dalia ke telinga Rafiq.
Buntang mata Rafiq mendengarnya. Dia menoleh ke wajah Dalia meminta kepastian.
“Betul! Kalau encik tak percaya, encik boleh call pejabat dan tanya pada staf di situ.” Dalia berkata dalam nada serius. Dia menjauhkan wajah lalu melangkah ke kerusi semula.
Rafiq melepaskan nafas lega. Disentuh dadanya yang sedang bergetar hebat.
So?” Dalia mengangkat kening.
“Baiklah, saya maafkan awak.” Rafiq mengalah. Mungkin itu cara yang terbaik agar gaji Dalia tidak dipotong oleh bosnya.
“Okey! Saya balik dulu.” Dalia bangun dari duduk. Dia mencapai telefon bimbit dari atas meja lalu dimasukkan ke dalam beg sandang.
Rafiq yang melihat agak terkejut. Dia perlu menahan Dalia daripada beredar.
“Ada jodoh kita jumpa lagi,” pamit Dalia sambil menarik pintu bilik. Dia perlu menyelesaikan satu lagi tugasan.
“Nanti dulu!” Rafiq menahan.
Dalia yang baru hendak keluar mematikan langkah. Dia menoleh ke wajah Rafiq.
“Dengan syarat.”
“Syarat?”
Rafiq mengangguk. Dia tersenyum kepada Dalia. Sudah terencana di fikiran bagaimana untuk menghalang Dalia beredar dari situ. Berharap Dalia bersetuju dengan permintaannya.


DALIA memandang jam di pergelangan tangan. Masa sudah menunjukkan ke pukul 1.15 petang. Sudah 15 minit dia berada di restoran itu bersama dengan Rafiq. Terasa kekok dan janggal. Belum pernah lagi dia keluar makan bersama dengan seorang lelaki seperti ini. Jika ada pun, hanya bersama dengan Shafiq.
Dalia melepaskan nafas ringan. Rafiq yang sedang melihat buku menu dipandang seketika. Pemuda itu kelihatan tenang dan bersemangat. Diamati wajah pemuda itu buat seketika. Hatinya memuji kekacakan Rafiq.
“Ehem…” Rafiq menegur. Dalia kelihatan leka memandang wajahnya.
Dalia tersentak. Dia melarikan pandangan. Pasti Rafiq menyedari tingkah lakunya sebentar tadi.
“Cik nak order apa?” Rafiq bertanya dalam nada lembut.
“Air suam,” balas Dalia berserta senyuman kecil.
“Air suam?”
“Ya. Air suam. Kenapa encik?”
Rafiq berkerut dahi. Dia menyandarkan tubuh ke kerusi. Wajah Dalia di hadapan  dipandang. Seminit kemudian, pelayan datang untuk mengambil pesanan.
Dalia menanti penuh sabar.
“Terima kasih,” ucap Rafiq sebaik sahaja memberi pesanan.
“Err… encik.” Dalia memanggil. Dia perlu memberitahu Rafiq sesuatu.
“Rafiq Adam. Panggil saya Rafiq saja.” Rafiq memperkenalkan diri.
“Encik Rafiq.” Dalia mengangguk perlahan.
“Cik?”
“Dalia.”
“Okey! Cik Dalia.”
“Lama lagi ke kita kat sini?” Dalia sekadar bertanya. Dia perlu beredar untuk menguruskan sesuatu.
“Kenapa? Cik Dalia ada hal ke?”
“Err…” Dalia menggaru kening.
“Cik Dalia?”
“Saya ada hal yang nak diuruskan.”
“Oh! Penting ke?”
“Peenn…tiii… tinglah juga.”
Rafiq tidak membalas. Dia sedang memikirkan sesuatu.
Dalia menelan air liur sendiri. Sukar untuk menduga pemikiran Rafiq. Dia mencapai gelas minuman sebaik sahaja pelayan meletakkannya di atas meja. Tekak yang terasa kering sudah dibasahkan.
“Baiklah! Tapi, selepas saya habis makan.” Rafiq tersenyum. Dia menjamah makanan yang sudah pun terhidang.
Dalia menggigit bibir. Tingkah laku Rafiq yang sedang makan diperhati berserta perasaan tidak tenteram. Dia mengerling jam di pergelangan tangan. Bila-bila masa sahaja kejadian yang tidak diingini bakal terjadi.
“Cik Dalia tinggal di mana?” Rafiq bertanya. Sekadar untuk berkenalan dengan Dalia.
“Tepi jalan.” Dalia selamba membalas.
“Tepi jalan?” ulang Rafiq sedikit terkejut. Dia memandang Dalia meminta kepastian.
“Eh! Bukan… bukan… maksud saya rumah saya betul-betul tepi jalan.” Dalia membetulkan kenyataan.
Rafiq ketawa kecil.
“Lama lagi ke Encik Rafiq nak tahan saya?” Dalia bertanya. Wajah Rafiq dipandang.
Rafiq mematikan ketawa. Dia membalas pandangan Dalia. Pertanyaan gadis itu dipandang sepi.
“Boleh saya pergi?” Dalia mencuba. Berharap Rafiq membenarkannya pergi.
“Saaayyyaaannnnggg…” panggil seseorang dari kejauhan.
Dalia dan Rafiq terkejut. Masing-masing menghalakan mata ke arah yang memanggil.
“Sayang…” Shafiq memanggil buat kali yang kedua. Dia melangkah menghampiri Dalia dan Rafiq.
Dalia yang melihat menelan air liur berkali-kali. Mati aku! Desisnya dalam hati.
Sorry sayang. I ada hal tadi. Itu yang lambat.” Shafiq melabuhkan duduk di sisi Dalia. Dia menstabilkan nafas buat seketika.
Rafiq tergamam seketika.
“Macam mana? Hebat tak lakonan aku?” Shafiq berbisik ke telinga Dalia.
“Mati aku!” Dalia menepuk dahi sendiri.
“Encik?” Rafiq bersuara. Dia perlu tahu siapa lelaki itu.
“Shafiq. Pakwe Dalia.” Shafiq memperkenalkan diri. Dia menghulurkan tangan untuk bersalaman.
Pakwe?” Rafiq sedikit terkejut. Dia membalas huluran Shafiq.
Pakwe tu boyfriend.” Shafiq tersengih sambil melepaskan jabatan di tangan.
Dalia memegang kepala. Sakit kepala datang dengan tiba-tiba.
“Kau yang selalu ganggu Dalia, kan?”
“Ganggu?”
“Dalia mengadu pada aku. Ada seorang mamat selalu ganggu dia lepas dia balik dari kerja. So, kau la yang ganggu dia selama ini, kan?” Shafiq bertanya dalam nada serius. Dia menyandarkan tubuh lalu berpeluk tubuh.
Rafiq yang baru meneguk air minuman tersedak.
So, aku bagi warning pada kau. Jangan kau berani ganggu Dalia lagi. Kalau tidak…” Shafiq mematikan ayat.
Dalia menepuk dahi mendengar kata-kata Shafiq. Dia menggeleng tidak percaya.
“Kalau tidak apa?” Rafiq sekadar ingin tahu. Wajah Shafiq di hadapan dipandang.
“Lebam muka kau tu aku kerjakan.” Shafiq membalas. Dia beriak serius.
Rafiq yang mendengar ketawa. Geli hati mendengar kata-kata ugutan daripada Shafiq.
Shafiq yang mendengar suara ketawa Rafiq berkerut dahi.
“Wei Dalia…” Shafiq memanggil. Dia menyiku lengan Dalia.
Semakin sakit kepala Dalia mendengarnya. Dia memandang ke wajah Shafiq.
“Yang kau senyap saja ni kenapa? Bukan kau ke yang suruh aku menyamar jadi pakwe kau?” Shafiq berbisik geram. Sejak dari tadi Dalia hanya membisu sahaja.
“Bukan dia la bongok!” balas Dalia turut sama geram.
“Haaaa…” Shafiq terkejut pantas bangun dari duduk.
Rafiq masih lagi ketawa. Dia menggeleng dengan tingkah laku Shafiq.
“Habis tu, dia ni siapa?” tanya Shafiq masih lagi terkejut. Wajah Dalia dipandang meminta kepastian. Adakah dia tersalah orang?



Tiada ulasan:

Catat Ulasan